Selasa, 9 Ogos 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Pasca Bersih 2.0 : SPR Dituntut Tubuh J/kuasa Khas Pantau Pilihan Raya

Posted: 09 Aug 2011 05:36 AM PDT



KUALA LUMPUR 9 OGOS : Sebulan berlalu sejak Himpunan Aman Bersih 2.0 yang mengumpulkan puluhan ribu rakyat Malaysia di kota Kuala Lumpur, namun perjuangan menuntut pilihan raya bersih dan adil masih diteruskan.

Terbaru, Jawatankuasa Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan tiga jawatankuasa khas yang dianggotai parti politik untuk mengkaji masalah berkaitan pilihan raya.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, tiga jawatankuasa itu adalah untuk menyelesaikan daftar pemilih, menjelaskan kaedah biometrik dan pengundian awal.

"Bersih akan menulis surat kepada suruhanjaya itu bagi menggesa jawatankuasa khas tersebut ditubuhkan dalam masa tiga bulan.

"Bersih akan menghantar surat cadangan tersebut kepada SPR dalam minggu ini," kata Maria dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman pelaksanaan sistem biometrik oleh SPR selepas himpunan 9 Julai lalu itu mendapat tentangan dan kritikan pelbagai pihak.

Pakatan Rakyat berpendapat pelaksanaan sistem biometrik hanya akan menambah lebih banyak masalah dan bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan pilihan raya yang berlaku selama ini, termasuk pengundi hantu.

Menurut Maria, kerana itulah jawatankuasa khas itu perlu ditubuhkan bagi menjawab pelbagai dakwaan mengenai kepincangan dalam sistem pilihan raya yang dilaksanakan dan dirancang SPR, termasuk kaedah biometrik yang mahu diperkenalkan.

"Bersih memerlukan laporan lengkap tentang kaedah biometrik yang akan dibuat oleh SPR dan keselamatannya.

"Mereka juga perlu memberi senarai terperinci tentang kawasan pengundian awal yang bakal mereka jalankan terhadap pengundi dari anggota tentera dan polis. Kita juga perlu tahu samada mereka akan membenarkan pemantau ketika pengundian awal dijalankan," katanya.

Lebih teruk lagi, SPR kini dibelenggu pelbagai masalah dengan sistem daftar pemilihnya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa usaha mendaftarkan 200,000 warga Indonesia sebagai pengundi di negara ini.

Kontroversi pengundi bernama Kg Baru yang berdaftar di laman SPR serta seorang bertaraf permastautin tetap bernama Mismah yang mendapat taraf warganegara dalam tempoh 4 jam, seolah-olah tidak diakui SPR.

Menurut Maria, SPR perlu bertanggungjawab dengan kelemahannya dan bersedia menerima kritikan pihak lain.

"Cukup dengan menuding jari terhadap banyak pihak dan SPR perlu bertanggungjawab di atas kesalahan ini. Jika mereka tak boleh buat, biar pihak lain melakukannya," katanya.

PKR : Ilmu Politik Penting Demi Masa Depan Negara

Posted: 09 Aug 2011 05:34 AM PDT





SHAH ALAM 9 OGOS : Kefahaman mengenai politik boleh diterapkan oleh pensyarah kepada pelajarnya, asalkan tidak membawa elemen kepartian yang menjurus kepada kepentingan sesebuah parti politik, demikian menurut Pengerusi Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang.

Katanya lagi pendedahan mengenai kefahaman ini penting bagi mendidik mahasiswa menentukan hala tuju politik negara pada masa hadapan.

"Yang tidak boleh dibawa oleh pensyarah-pensyarah ini ialah elemen kepartian tetapi dari segi profesionalisme, maklumat-maklumat pensyarah kena beritahu. Supaya mahasiswa yang ada di universiti itu dapat ilmu dan dapat mengenal,"katanya kepada Tv Selangor.

Menurut Abbas, sesebuah institusi itu akan disifatkan gagal untuk mendidik mahasiswa jika memberikan fakta dan maklumat yang salah kepada pelajar-pelajar yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang.

"Kalau mahasiswa keluar universiti tidak dapat gambaran antara kebenaran dengan kebatilan atau maklumat-maklumat tidak sampai yang menuju kepada kebenaran, (maka) universiti itu gagal dari segi mendidik pelajar untuk menjadi orang yang baik.

"Contoh (subjek) Sejarah, berbincang mengenai ketamadunan sesuatu bangsa, itu politik (tetapi) yang salahnya parti. Misalnya seorang pensyarah itu bercakap tentang Islam, maka (dia) kata (ini) parti PAS, (jadi) tak boleh lah, ini adalah (mengenai) agama Islam,"jelas Abbas lagi.

Oleh itu katanya, apa yang paling penting dalam hal ini ialah mesej yang dibawakan oleh golongan pendidik itu sendiri haruslah berteraskan kepada fakta yang benar.

"Pensyarah pula jangan bawa kepartian masa bersyarah, sampaikan maklumat yang sebenarnya,"tambah beliau lagi.

Justeru ujarnya, adalah penting kepada pensyarah institusi terbabit memahami perbezaan antara elemen kepartian dan ilmu politik, kerana kedua-dua konsep yang disampaikan adalah berlainan sama sekali.


Pemuda PAS : SPR Lakukan Kesalahan Memalukan, Daftar 'Kg Baru' Sebagai Pengundi

Posted: 09 Aug 2011 05:31 AM PDT




SHAH ALAM 9 OGOS : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak proaktif dengan bertindak segera terhadap pendedahan-pendedahan yang dibuat oleh pihak tertentu berhubung senarai daftar pemilih yang meragukan.

Oleh itu menurut Pengerusi Malaysian For Free and Fair Elections ( MAFREL) Syed Ibrahim Syed Noh, satu laporan rasmi harus dibuat oleh pihak terbabit bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru apabila SPR mendaftarkan seorang yang bernama 'Kg Baru' sebagai pemilih.

Kg Baru didaftarkan sebagai pengundi bagi Dewan Undangan Negeri Hulu Besut dan Parlimen Besut, Terengganu.

Namun apabila semakan dibuat di laman web Jabatan Pendaftaran Negera (JPN), nombor kad pengenalan sama adalah milik Noraini Binti Abdullah.

"Pada saya mudah sahaja, saya rasa pendedahan-pendedahan begini perlu dibuat laporan secara rasmi dan kemudian pihak SPR perlu ambil tindakan,"katanya kepada Tv Selangor.

Menurut Syed Ibrahim lagi, sesebuah suruhanjaya perlu memandang berat isu ini memandangkan ia melibatkan kredibiliti badan itu.

"Sebenarnya SPR sendiripun boleh membuat kajian mereka kalau dah ada satu dua aduan.Maknya berdasarkan kepada satu dua aduan, mereka kena membuat siasatan serius,"ulas beliau lagi.

Masalah seperti ini juga katanya, jika tidak ditangani dengan baik oleh SPR membolehkan ahli-ahli parlimen membawa perkara ini ke Dewan Rakyat bagi menolak daftar pemilih itu.

" Dari segi undang-undangpun, ada ruang di mana pihak ahli-ahli parlimen boleh timbulkan untuk menyebut bahawa dengan keraguan-keraguan yang timbul berhubung dengan daftar pengundi, malah pilihan raya sendiripun tidak boleh diadakan," kata beliau.

"Kalau SPR tidak ambil secara serius, saya rasa itu satu keangkuhan dan sepatutnya mereka lebh bersikap 'gentleman' dan berbesar hati menerima aduan-aduan ini dan terus membuat semakan,"katanya lagi.

Semalam, Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membincangkan isu 'penaiktarafan' status penduduk tetap (PR) kepada warganegara dalam tempoh sehari seorang individu bernama Mismah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berjanji akan memanjangkan perkara itu ke pengetahuan Perdana Menteri pada majlis berbuka puasa semalam.

Selangor Bakal Peneraju Pilihan Raya Tempatan.

Posted: 09 Aug 2011 05:30 AM PDT


SHAH ALAM 9 OGOS : Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyambut baik cadangan kerajaan Selangor melaksanakan pilihan raya bagi melantik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di tiga perkampungan Cina akhir bulan ini.

Menurut koordinatornya, Sarah Devaraj pemilihan ketua kampung menerusi kaedah tersebut membantu menyuburkan amalan demokrasi tulen di peringkat akar umbi.

Beliau yakin kaedah pilihan raya mampu mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih sendiri pemimpin di kawasan mereka berbanding Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang dilantik terus oleh kerajaan Umno- Barisan Nasional (BN).

"Kami menggalakkan Kerajaan Negeri Selangor mengekalkan momentum untuk perubahan demokratik dan terus meneroka cara-cara untuk mengadakan pilihan raya bagi kerajaan tempatan," ujar beliau dalam kenyataan media.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebelum ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM60 ribu bagi mengendalikan pilihan raya JKKK di tiga kampung merangkumi Kampung Baru Sungai Jarum di Kuala Langat, Kampung Bagan Pulau Ketam dan Kampung Pandamaran di Klang.

Ketiga- tiga kampung ini dipilih sebagai perintis bergantung kepada saiz kepadatan penduduk.

Kampung Bagan di Pulau Ketam mempunyai kepadatan penduduk yang kecil, manakala Kampung Baru Sungai Jarom pula mempunyai kepadatan penduduk yang sederhana dan Kampung Baru Pandamaran mempunyai jumlah penduduk yang besar.

Pilihan raya Kampung Baru Sungai Jarum ditetapkan pada 24 Julai, sementara Kampung Bagan Pulau Ketam dan Kampung Pandamaran di Klang, masing-masing pada 31 Julai dan 7 Ogos depan.

Selangor mempunyai 368 kawasan perkampungan Melayu dan 78 kawasan perkampungan Cina.

Pemilihan Pengerusi JKKK itu sama seperti pilihan raya biasa yang diadakan di DUN dan Parlimen seperti wujudnya pengeluaran writ, hari penamaan calon, RM500 deposit semasa kempen, waktu pengundian, keputusan, serta petisyen bantahan.
Sarah menjelaskan cara tersebut mampu menggalakkan penduruk kampung untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam isu-isu masyarakat setempat.

Beliau kemudian menggesa kerajaan Umno-BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghentikan retorik ketakutan dalam usaha mereformasikan sistem pilihan raya umum termasuk penggunaan dakwat kekal.

Justeru beliau dengan lantang menyeru agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencontohi kerajaan Selangor dengan mempertimbangkan tuntutan rakyat bersabit perlantikan pengerusi JKKK seraya menolak kaedah JKKP yang menjulang perlantikan berkepentingan politik.

Tiada ulasan: