Ahad, 7 Ogos 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Kes Fitnah Liwat II : Mahkamah Benarkan PM, Rosmah Ditemubual

Posted: 07 Aug 2011 08:46 PM PDT

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isteri Rosmah Mansor dan 13 yang lain dipanggil menjadi saksi dalam kes fitnah liwat II ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membacakan keputusan itu Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menyatakan pihak pendakwaraya harus memastikan saksi yang dicadangkan hadir ke mahkamah.

"Apabila pendakwaraya menawarkan saksi kepada pihak pembelaan, adalah menjadi tanggungjawab pendakwa untuk memastikan saksi hadir ke mahkamah.

"Pihak pembelaan mempunyai hak untuk menemuramah saksi," kata Zabidin.

Sebelum ini kesemua mereka enggan ditemuramah peguambela lalu menyatakan hanya akan hadir sekiranya mahkamah mengemukakan sepina.

Sementara itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memohon tempoh seminggu untuk pihak pendakwaan mengaturkan sesi temuramah berkenaan kerana dua daripada saksi kini berada di Indonesia.

Zabidin kemudiannya bersetuju menangguhkan perbicaraan kepada 15 Ogos depan.

Selain Najib dan Rosmah, 13 lain yang akan dipanggil termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Terdahulu empat individu ini memberitahu sedia memberi keterangan di mahkamah dalam kes fitnah liwat ke atas Anwar sekiranya pihak pembelaan mensepina nama mereka sebagai saksi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Yusof sebelum ini.

"Menurut afidavit DPP Mohd Hanafiah (Zakaria), mereka (4 saksi itu) enggan datang kerana mereka bukan saksi utama.

"Justeru, mereka hanya akan datang ke mahkamah jika disepina sebagai saksi", katanya.
Beliau berkata demikian menjawab hujah peguam Anwar, Karpal Singh bahawa pihak pendakwaan sepatutnya membawa saksi berkenaan ke mahkamah untuk di temubual oleh pihak pembelaan berikutan nama-nama itu yang ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Karpal berkata pasukan pembelaan sepatutnya diberikan hak untuk menemu bual mereka sepertimana ketetapan undang-undang.

Sehubungan itu, Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menetapkan hari ini iaitu 8 Ogos untuk memutuskan sama ada permohonan Anwar memanggil 15 orang saksi termasuk Najib dan Rosmah untuk dibawa ke mahkamah bagi ditemubual, dibenarkan atau sebaliknya.

Ketua Pembangkang itu juga mahu menemubual 10 saksi alibi sebelum beliau memberikan keterangan.

Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemubual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan yang dijadualkan dari 8 hingga 26 Ogos.

Istana Ala Bali : Khir Diarah Bela Diri

Posted: 07 Aug 2011 08:45 PM PDT

SHAH ALAM 8 OGOS : Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bagi membela dirinya berhubung kes rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan terdapat kes prima facie ke atas Khir.

Mokhtaruddin kemudiannya menetapkan perbicaraan pada 26 hingga 30 September ini.

Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Khir yang melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Khir diwakili peguam M.Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.

PAS Sedia Jumpa Jais, Gereja

Posted: 07 Aug 2011 05:35 AM PDT

KUALA LUMPUR 7 OGOS : Satu pertemuan antara Pas dengan Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) dan gereja akan diadakan untuk mendapat penjelasan berhubung serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya, Rabu lepas.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi berkata, pertemuan itu dibuat bagi merungkai segala kontroversi yang berlaku ketika ini.

"Tindakan kepada Datuk Dr Hasan tak timbul. Kita akan jumpa terus Jais dan gereja," ujarnya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, hari ini.

Katanya, PAS akan berhubung dengan pihak Jais dan gereja mengikut tarikh yang sesuai untuk mendapat gambaran dan penjelasan langsung mengenai pemeriksaan tersebut.

"Selepas jumpa, baru buat keputusan," ujarnya.

PAS, jelasnya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya berhubung pemeriksaan Jais itu.

Laporan lanjut menyusul.

Mahasiswa Lancar Kempen 'Jom Baca Media Alternatif'

Posted: 07 Aug 2011 05:34 AM PDT

KUALA LUMPUR 7 OGOS : Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini melancarkan kempen 'Jom Baca media Alternatif di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) bermula jam 2 petang tadi.

Sekretariat Media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin berkata, kempen itu dibuat menjurus ke arah untuk menjadikan media alternatif sebagai sumber maklumat utama kepada rakyat di negara ini.

Selain itu katanya, ia bertujuan mendidik rakyat untuk mengutamakan kesahihan berita, mendedahkan mereka kepada persepsi yang lebih terbuka, dan memberi peluang kepada rakyat melihat realiti Malaysia berdasarkan dimensi yang berbeza.

Semalam, SMM telah menganjurkan Flash Mob sekitar Kuala Lumpur untuk mempromosikan kempen itu.

Menurut Ahmad Shukri, peserta yang terlibat telah memakai baju khas yang tertera alamat laman sesawang media altetnatif di Malaysia, sambil melakukan edaran risalah dan buah tangan kepada warga kota.

Pelancaran kempen 'Jom Baca Media Alternatif' diadakan pada hari ini dengan siri wacana 'Mahasiswa Selamatkan Rakyat' yang akan memfokuskan kepada isu pembinaan loji nadir bumi Lynas.

Tambah Ahmad Shukri, Sasterawan Negara, Datuk A Samad turut diberi penghormatan pada majlis tersebut sekali gus ikon perjuangan rakyat untuk melancarkan program itu.

SMM terdiri dari beberapa pertubuhan mahasiswa. Antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Pro Mahasiswa Nasional (PRO M), Kumpulan Anak Muda Independen (KAMI) & Malaysian Student & Youth Democratic Movement (DEMA).

MB : Rakyat S'gor Disaran Rebut Peluang Perniagaan

Posted: 07 Aug 2011 05:33 AM PDT

SHAH ALAM 7 OGOS : Rakyat di negeri Selangor diingatkan supaya memanfaatkan peluang untuk mereka meningkatkan pendapatan ekonomi masing-masing melalui skim-skim pinjaman dan perniagaan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri memperuntukan sejumlah RM 70 juta sebagai kemudahan pinjaman melalui Skim Mikro Kredit Selangor (SKIMSEL) dan Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR).

"Mereka yang mempunyai niat untuk berniaga atau menceburi bidang keusahawanan bermula daripada kecil-kecilan, boleh berbincang dengan kakitangan di pejabat-pejabat daerah atau pejabat dun masing-masing untuk mendapatkan maklumat," katanya pada majlis Ihya Ramadhan 1432H Meraikan Anak-anak Yatim, Ibu Tunggal dan Fakir Miskin di 'Bukit Megawati' Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor.

Beliau menambah, barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha dengan lebih tekun dalam usaha membawa kejayaan kepada Selangor dengan semangat 'Selangorku' agar segala hasil yang diperolehi dapat dikembalikan kepada seluruh rakyat untuk dikongsi bersama.

"Kita perlu bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat hidup di negeri yang serba ada ini dan bersama-sama sematkan di dalam hati, bahawa inilah 'Selangorku' iaitu sebuah negeri yang sentiasa menjalin keakraban antara rakyat dan pihak kerjaan negeri dalam usaha meneruskan dan mengekalkan pembangunan negeri yang dicintai ini bagi kesejahteraan dan kemakmuran bersama," katanya.

Selangorku merupakan program terbaru yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri dengan konsep rakyat Selangor turut serta dalam pembangunan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Pada majlis terbabit, Abdul Khalid turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Antara badan amal yang menerima sumbangan ialah Rumah Amal Kasih, Puchong, Rumal Amal al-Firdaus, Denai Alam, Pusat Jagaan asuhan Raudhatul Ikhwan, Seksyen 13, Rumah Aman Shah Alam, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Batang Kali, Ulu Selangor dan Dun Batu Tiga.

Majlis berbuka ini juga turut mendapat penyertaan lapan peniaga yang berdaftar dibawah skim MiMBAR untuk memperkenalkan produk yang mereka hasilkan termasuklah kiosk burger MiMBAR yang dilancarkan baru-baru ini.

Tokoh Akademik Sertai DAP

Posted: 07 Aug 2011 05:32 AM PDT

KUALA LUMPUR 7 OGOS : Tokoh akademik dan pakar sejarah budaya Prof Dr Ariffin Omar hari ini mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP sekali gus meneruskan perjuangan menentang politik perkauman dan menggalakkan hubungan erat antara kaum.

Beliau menyertai DAP atas keyakinan bahawa parti itu bukan sahaja ditegakkan atas dasar berbilang kaum tetapi juga mengamalkan politik yang menolak perkauman.

"Pemilihan parti ini bagi saya ialah kerana ia tidak mementingkan kaum sebaliknya berorientasikan kaum dan mewakili semua kaum"katanya.

"Selama lebih 30 tahun saya aktif dalam gerakan hak asasi manusia serta menentang korupsi dan salah guna kuasa serta menggalakkan amalan demokrasi," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Ariffin, 62, adalah pensyarah di Universiti Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur.

Beliau yang dilahir dan dibesarkan di Pulau Pinang bersekolah di St Xavier's Institution, sebelum ke Universiti Sains Malaysia untuk memperolehi ijazah sarjana muda (B.A.).

Beliau melanjutkan pengajian tinggi di Singapore University dengan memperolehi ijazah sarjana (M.A.). Setelah mengajar di USM, beliau memasuki Australian National University untuk memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) pada 1991.

Beliau terkenal sebagai salah seorang pengasas gerakan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara Aliran pada 1977.

Karya beliau yang terkenal serta menjadi rujukan kolej dan universiti antarabangsa ialah Bangsa Melayu: Malay Concepts of Democracy and Community 1945 – 1950 terbitan Oxford University Press, 1993.

Beliau juga adalah pengarang buku Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu: Runtuhnya Kerajaan-Kerajaan Melayu Sumatera Timur pada Tahun 1946 (2001, USM Press) yang memaparkan kajian tentang kejatuhan pemerintahan diraja di Sumatra Timur pada 1946, dan buku Bumiputra Policies: Dynamics and Dilemmas (2004, Kajian Malaysia) mengenai masalah negara yang berlaku akibat kerajaan mengenepikan keadilan sosial di Malaysia.

Dr Ariffin yang juga seorang Fulbright Fellow di University of Utah, Amerika Syarikat, kini sedang menulis buku mengenai hubungan antara kaum dan kebebasan beragama di Malaysia.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong dan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari.

Tiada ulasan: