Isnin, 1 Ogos 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Anwar : Allahyarham Syed Ahmad Jamal Seniman Yang Memahami Rakyat

Posted: 31 Jul 2011 11:34 PM PDT

KUALA LUMPUR 1 OGOS : Sekembalinya Allahyarham Datuk Syed Ahmad Jamal ke rahmatullah semalam meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan khasnya berkata, beliau menyifatkan seniman Negara, Syed Ahmad Jamal sebagai seniman yang dekat dengan rakyat.

"Tatkala meletusnya Reformasi 98, Syed Ahmad Jamal tidak tinggal diam, Allahyarham sedar peranannya sebagai seorang seniman adalah memahami dan seterusnya bersama dengan denyut nadi rakyat yang menuntut keadilan," kata Anwar.

Syed Ahmad Syed Jamal, 82, meninggal dunia malam semalam di kediamannya di Gombak, Kuala Lumpur.

Beliau adalah pelukis logo ADIL atau Pergerakan Keadilan Sosial, gerakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan sebagai respons tindakan-tindakan yang dikenakan ke atas Anwar yang difitnah pada tahun 1998.

Menurut Anwar, beliau sendiri masih menyimpan lukisan Allahyarham di ruang tamu rumahnya dan berasa bangga mengenali seniman seperti Allahyarham.

"Saya akui tersemat rasa bangga, namun bukan bermegah, kerana punyai karya seorang seniman hebat, jujur lagi berani.

"Seniman yang berasal dari Muar ini dijoloki gelar pelopor seni moden Malaysia bersama antaranya Latif Mohidin, Ibrahim Hussein dan Anthony Lau," kata Anwar.

Ujar Anwar lagi, beliau turut berasa dekat dengan Syed Ahmad Jamal kerana Allahyarham bukan sahaja melukis logo ADIL tetapi turut menghasilkan karya lain memperihalkan peristiwa 'mata lebam' Anwar.

Malah, Syed Ahmad Jamal turut melawat Anwar di penjara Sungai Buloh dan di mahkamah memberikan sokongan menentang pemerintah zalim.

Tambah Anwar, beliau sentiasa mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman.

"Saya, Azizah dan keluarga sememangnya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dianugerahkan seorang sahabat yang baik dan setia.

"Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Syed Ahmad Jamal dan moga ruh allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh," kata Anwar.

PRU13 Sengit Di Negeri Sembilan

Posted: 31 Jul 2011 11:32 PM PDT

SHAH ALAM 1 OGOS: Simulasi pilihanraya Umno bukan sahaja meramalkan BN tewas di Perak, tetapi juga di Negeri Sembilan. Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke menjangkakan Negeri Sembilan bakal menyaksikan pertembungan hebat dalam PRU akan datang.
Beliau bagaimanapun mengambil sikap berhati-hati bagi mengelak termakan perangkap psikologi Barisan Nasional.

"Kita menjangkakan ada persaingan sengit dikedua-dua negeri ini. Apa-apapun saya rasa, dipihak kita dalam Pakatan Rakyat kita jangan termakan dengan propaganda ini," tegas Anthony.

Beliau juga berharap agar semua ahli parti akan terus bekerja keras selagi pilihanraya ke-13 masih belum diadakan.

"Mungkin seolah-olah mereka nak membuat kenyataan ini untuk kita berasa selesa dan supaya tidak perlu bekerja kuat untuk berkempen. Jadi saya tidak perlulah berasa terkejut ataupun berasa gembira dengan kenyataan seperti begitu," jelas Anthony.

Simulasi P'raya Umno Ramal Tewas Di Perak

Posted: 31 Jul 2011 11:31 PM PDT

SHAH ALAM 1 OGOS: Perak diramal kembali kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum akan datang, lapor The Malaysian Insider. Laporan itu dibuat berdasarkan kepada maklumat dalaman sumber portal mengulas simulasi pilihanraya Umno yang diadakan baru-baru ini.
Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, hakikatnya rakyat Perak menolak rampasan kuasa lalu dan mahu kerajaan Pakatan Rakyat yang dilantik secara sah dipulihkan.

"Itulah hakikatnya. InsyaALLAH. Rakyat di negeri Perak tidak setuju kepada rampasan kuasa dan lain-lain faktor. Tapi kalau keputusannya mereka akan hilang perak. InsyaALLAH," tegas beliau.

PRU-12 lepas menyaksikan Pakatan Rakyat memenangi 31 dari 59 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak. Kerajaan yang ditubuhkan tidak sampai setahun itu bagaimana digulingkan selepas tiga ADUN PR menjadi wakil rakyat bebas menyokong BN.

Sumber dalaman Umno memberitahu The Malaysian Insider bahawa BN kehilangan beberapa kerusi di Perlis dan Johor dalam simulasi pilihanraya itu.

Pilihan raya olok-olok: BN boleh hilang Perak, Negeri Sembilan

Posted: 31 Jul 2011 11:28 PM PDT

Pilihan raya olok-olok: BN boleh hilang Perak, Negeri Sembilan


August 01, 2011


KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Barisan Nasional (BN) boleh kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13, demikian menurut keputusan pilihan raya olok-olok melainkan parti-parti komponennya meletakkan muka-muka popular yang berpotensi dan memastikan jentera di peringkat akar umbi menjana sokongan pengundi.

The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya latihan yang diadakan baru-baru ini menunjukkan BN boleh kehilangan sehingga 15 daripada 56 kerusi di Johor, dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

Persekitaran itu tidak pernah diduga tetapi BN telah hilang enam kerusi di Johor pada pilihan raya umum 2008.

Daripada enam kerusi itu PAS menguasai dua manakala DAP pula empat.

Difahamkan Perlis, di mana BN menguasai 14 daripada 15 kerusi, kemungkinan akan kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan salah satu daripada tiga bahagian Parlimen di tangan Pakatan Rakyat disebabkan kemarahan penduduk negeri itu mengenai isu Wahabi termasuk tindakan meletakkan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dalam senarai pengganas.

"Pilihan raya olok-olok ini menunjukkan banyak kelemahan. Dan, isu Wahabi tidak membantu," kata satu sumber Umno kepada The Malaysian Insider.

Seorang pemimpin Umno yang semakin meningkat juga memberikan sentimen yang sama sambil menegaskan, BN perlu meletakkan muka-muka baru untuk menyegarkan kedudukan perikatan itu sementara memastikan jentera peringkat bawah peringkat aktif bagi mendapatkan sokongan menyeluruh.

"Masalahnya ialah jentera Umno boleh bekerja jika diberikan motivasi, tetapi ahli parti komponen kelihatan tidak diberikan motivasi," kata pemimpin Umno itu.

Beliau mendedahkan bahawa Umno hanya boleh menang 27 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak meskipun BN memerintah semula negeri itu sejak awal 2009 ekoran tindakan melompat parti melibatkan tiga wakil rakyat dari Pakatan Rakyat.

Pada Jun lalu, Umno negeri itu yakin boleh menang 33 kerusi dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menolak laporan The Malaysian Insider bahawa kemenangan hanya boleh dipastikan jika calon yang betul dipilih kali ini.

Difahamkan beberapa pemimpin Umno bahagian di Perak keberatan untuk berkempen atau mendaftar pemilih baru melainkan mereka pasti akan menjadi calon pilihan raya umum ke-13.

"Umno Perak kuat dan boleh menang 33 kerusi negeri tetapi pemimpin-pemimpin bahagian tidak mahu bergerak kecuali mereka atau calon pilihan mereka diturunkan," kata sumber Umno ketika itu.

Pada Mac 2008, Umno bertanding di 34 daripada 59 kerusi Dewan Undngan Negeri di Perak dan menang 27 kerusi manakala MCA pula satu. Pakatan Rakyat memperoleh 31 kerusi.

"Keadaan tidak berubah di Perak dan kini keadaan yang sama wujud di Negeri Sembilan memandangkan pembangkang menjadi semakin kukuh, melihat pada kemungkinan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan kekal sebagai menteri besar," kata sumber Umno.

Mohamad disebut-sebut akan bertanding kerusi Parlimen.

Kata sumber itu, mereka melobi dengan kuat untuk mendapatkan kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan.

"Tetapi mereka lupa bahawa kemenangan ketika pilihan raya umum 2008 adalah tipis," katanya lagi.

Di negeri itu, BN menguasai 21 daripada 36 kerusi manakala 15 dimenangi Pakatan Rakyat, yang yakin untuk mengambil alih negeri itu kali ini.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS kini menguasai kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selain memperoleh 82 kerusi Parlimen.

Perikatan itu menyasarkan akan memperoleh lebih banyak kerusi kali ini dan mengurangkan lagi majoriti BN pada pilihan raya umum ke-13.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memberi bayangan bila pilihan raya umum akan diadakan tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberitahu BN agar bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum dalam waktu terdekat.

Kebanyakan penganalisis dan pemimpin pembangkang menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini tetapi ada juga mengatakan ia kemungkinan diadakan seawal November ini selepas Bajet 2012 dibentangkan di Parlimen awal 7Oktober dan sebelum perhimpunan agung tahunan Umno.

Tiada ulasan: