Tempayan Retak |
Ambil Iktibar Kejatuhan Gaddafi - Zainal Kling Posted: 23 Aug 2011 07:32 AM PDT Oleh SUSAN ALBERT KASSIM PETALING JAYA: Parti pemerintah dinasihatkan supaya mengambil iktibar daripada kejatuhan pemerintahan Muammar Gaddafi agar peristiwa serupa tidak berlaku di negara ini. Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, fenomena yang melanda negara Timur Tengah itu sepatutnya membuka mata pemerintah bahawa rakyat kini menuntut sistem demokrasi dalam pentabdiran sebuah negara. Sehubungan itu, beliau memberitahu parti pemerintah haruslah bersedia mengadakan pilihan raya dan membiarkan rakyat menentukan pemimpin yang mereka inginkan untuk mentadbir negara. "Pemerintah tidak boleh mengukuhkan undang-undang sendiri kerana rakyat sudah menentukan keinginan mereka... malah kekuatan tentera dan polis juga tidak dapat menghalang kehendak rakyat," katanya ketika dihubungi mStar Online, Selasa. Menurut Zainal, rakyat pada zaman sekarang sudah dapat berfikir secara rasional dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan di negara ini. Bagaimanapun, beliau percaya pemberontakan sedemikian tidak mungkin akan berlaku di Malaysia kerana pada kebiasaannya sistem demokrasi berparlimen telah diamalkan sejak sekian lama. "Tempoh untuk mengadakan pilihan raya masih ada sehingga April 2013... jadi saya rasa rakyat tidak akan memberontak," katanya. Pada Isnin, rejim Gaddafi yang sinonim dengan pemerintahan kuku besi akhirnya tumbang selepas lebih enam bulan krisis berlaku di Libya. Sekumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli tetapi nasib pemimpin Libya itu masih menjadi tanda tanya. Mengulas mengenai insiden itu, Zainal berkata, masyarakat di Libya melakukan pemberontakan secara besar-besaran kerana ingin menghapuskan rejim autokratik yang diamalkan Gaddafi selama 42 tahun dan menegakkan sistem demokrasi. "Peristiwa itu ibarat gerakan pembebasan terhadap kongkongan oleh pemerintah yang pada asalnya menghapuskan pemerintahan beraja. Gaddafi bertindak sebagai raja untuk memerintah negara itu dan menurunkan kuasa kepada anak-anaknya," ujarnya yang juga ahli akademik. Susulan kekacauan yang menimpa negara pengeluar minyak terbesar dunia itu, beliau berkata harga minyak di pasaran dunia dijangka naik. "Pengeluaran minyak akan tergendala akibat kekacauan itu tetapi jika pengambilalihan kuasa berjalan lancar, situasi tersebut mungkin mempengaruhi keadaan harga minyak di pasaran dunia," tambahnya |
KDN timbang tindakan terhadap Ketua Wanita PKR Posted: 22 Aug 2011 07:47 PM PDT PUTRAJAYA 22 Ogos – Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin bakal berdepan dengan tiga tindakan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) ekoran dakwaannya wujud 'skrip bersumpah' yang perlu dibaca pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika berdaftar dengan Program 6P. Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam berkata, sehingga kini Zuraidah masih gagal membuat laporan polis bagi membuktikan dakwaannya itu. ''Justeru, tiga langkah sedang dalam pertimbangan KDN iaitu sama ada membuat laporan polis terhadap Zuraida, melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau mengemukakan saman terhadap beliau. ''KDN mungkin memilih satu antaranya tetapi tidak menolak untuk melakukan ketiga-tiganya sekali gus dengan mengambil kira tuduhan berat yang dilemparkan Ketua Wanita tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Zuraidah, katanya, menuduh inisiatif kerajaan menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau singkatannya Program 6P sebagai cubaan untuk menjual kedaulatan negara. Minggu lalu, Zuraida dipetik sebagai berkata, hasil siasatan PKR mendapati kerajaan mensyaratkan PATI supaya membaca 'skrip bersumpah' dengan menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian proses pemutihan. Pada skrip itu katanya, tertulis teks "Saya/suami/isteri/anak-anak, tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi UMNO/BN" yang didakwa beliau sebagai diperoleh daripada ahli PKR yang menyelinap masuk ke lokasi tertentu. Justeru, Zuraida menyelar Program 6P sebagai muslihat jelas kerajaan untuk menyeludup pengundi sekali gus melabelkannya sebagai cubaan untuk menjual kedaulatan negara |
You are subscribed to email updates from Tempayan Retak To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan