SIASAH |
PAS ganti Umno atau PAS bersama Umno? Posted: 15 Aug 2011 07:54 PM PDT Dua tulisan terkini oleh dua pemerhati politik tempatan berhubung kedudukan politik PAS dan Umno, amat menarik untuk dinilai. Apapun kecenderungan politik parti yang boleh dikaitkan dengan dua penulis tersebut, beberapa persoalan realistik yang dikemukakan - isu yang agak diabaikan oleh pembangkang yang berbilang kaum itu - wajar diberi perhatian. A Kadir Jasin, dalam tulisannya membincangkan tentang kemampuan PAS memimpin sebuah kerajaan masa depan mengupas realiti kedudukan PAS dan potensi serta cabaran yang dihadapi dalam politik pakatan. Kadir menegaskan keperluan PAS bekerjasama dalam sebuah pakatan, dan memimpin pakatan itu, sama ada Pakatan Rakyat atau "mana-mana pakatan lain." "Tetapi sebelum ia boleh berharap (memimpin sebuah pakatan), ia perlu terlebih dahulu mengambil alih peranan Umno sebagai parti utama orang Melayu," tegas Kadir. "PAS perlu memenangi sebanyak mungkin kerusi dan memiliki kemampuan kewangan, organisasi dan intelektual menyamai Umno." Wartawan berpengalaman itu juga menimbulkan beberapa persoalan tentang perbezaan ideologi antara dengan parti-parti PR lain, sehingga berpotensi menjejaskannya. Menurutnya, tindakan PAS yang dilihat berkompromi boleh menjejaskan sokongan tetapnya, yang berada di luar bandar. PAS didakwa berpotensi menjadi pihak yang menangung kos politik terbesar. "Lama kelamaan, penyokong sebenarnya di luar bandar yang percaya pada ideal Islam parti ini, boleh hilang kepercayaan terhadapnya. Mereka mungkin memutuskan bahawa agenda Islam parti hanya dijadikan bidak catur oleh pemimpin mereka." Amaran paling dramatik Kadir ialah "PAS berdepan risiko kehilangan Kedah dan malah kubu kuatnya, Kelantan." Isu utama yang perlu diberi perhatian ialah ideologi dan politik berasas kaum tetap akan menjadi faktor dalam politik negara. Apapun, Kadir menyimpulkan mana-mana parti yang mendapat sokongan majoriti boleh memimpin negara. PAS, sebagai sebuah parti yang kuat, turut berpotensi memenuhi tuntutan ini. Tulisan penganalisis politik Norizan Sharif, tentang permuafakatan dan kerjasama politik Melayu Muslim mengulangi pandangannya tentang politik bipartisan yang dilihat sebagai satu pilihan yang wajar untuk menangani pelbagai isu, seperti yang sering diamalkan di Kongres Amerika Syarikat. Beliau menilai kerjasama politik dipandang dengan negatif sekali di negara kita, dan menimbulkan beberapa isu yang telah memanaskan politik negara sejak beberapa tahun lalu, sejak pilihan raya umum 2008. "Malangnya, di Malaysia politik muafakat dilihat sebagai sesuatu yang asing. Penyokong parti-parti politik disemai dengan kepercayaan bahawa bermuafakat itu tidak baik, terutama sekali bermuafakat dengan parti politik lawan." Menurutnya lagi, kerana inilah, dakwaan pertemuan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz dengan Tengku Razaleigh Hamzah, peranan Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa dengan pemimpin-pemimpin Umno dinilai dengan negatif sekali. Norisan memberi cadangan supaya pemimpin-pemimpin politik Melayu diseru "beralih dari politik pertentangan kepada politik muafakat. Politik muafakat bukan bermaksud harus bersatu dalam wadah yang sama." Jelasnya lagi, persaingan melibatkan kumpulan berbeza perlu diteruskan, tetapi "itu tidak bermaksud mereka tidak boleh membentuk muafakat, terutama sekali dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu." Isu seperti ini mudah dibaca oleh sesetengah pihak dalam pembangkang sebagai agenda Umno untuk menimbulkan semula isu kerjasama politik Umno dengan PAS, yang digelar sebagai UG (unity government) atau kerajaan perpaduan. Masa saranan seperti ini ditimbulkan oleh Norizan, dan respons yang mungkin tercetus boleh mengundang debat panas dalam kalangan pembangkang yang kelihatan sangat bimbang dengan sebarang kerjasama politik yang tidak melibatkan PR, sekurang-kurangnya sejak Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjadi perdana menteri. Perpaduan atau kerjasama politik ini, yang turut boleh membawa kepada kerajaan perpaduan jarang sekali, sekiranya ada, dibincang dengan rasional dalam kalangan pembangkang, kecuali dalam satu tempoh singkat semasa TunAbdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Tetapi, perubahan-perubahan yang akan terus melanda senario politik mampu mencetuskan pelbagai perkembangan yang tidak dijangka, seperti yang telah disaksikan sejak 1998 hingga kini. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan