Rabu, 3 Ogos 2011

SIASAH

SIASAH


John Malott sahkan dakwaan pembangkang dapat sokongan asing

Posted: 02 Aug 2011 09:30 PM PDT

Bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R Malott memudahkan usaha penentang Pakatan Rakyat untuk mengaitkan gabungan parti pembangkang itu dengan sokongan asing, ekoran kenyataan-kenyataannya tanpa henti menunjukkan sokongan kepada pembangkang.

Malott yang menjawat jawatan duta AS pada 1996 hingga 1998 bertindak luar biasa dengan memberi tumpuan khusus kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia lebih 10 tahun selepas dia melepaskan jawatan itu.

Usaha Malott itu mungkin sesuatu yang biasa dalam komuniti dasar luar AS di Washington DC, yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan termasuk National Endowment for Democracy, NED yang banyak diperkatakan secara sangat negatif di blog-blog propemerintah pada masa ini.

Kenyataan-kenyataan Malott juga mungkin boleh membantu meningatkan sokongan kumpulan tertentu, seperti kelompok liberal untuk memberi sokongan kepada pembangkang, tetapi memberi peluang mudah untuk kelompok konservatif termasuk kumpulan seperti Perkasa untuk mengaitkan PR dengan agenda asing.

Pada 1998, kenyataan Naib Presiden AS Al Gore menyokong gerakan reformasi telah mencetuskan reaksi yang sama, mengaitkan gerakan menentang pemerintah dengan agenda asing. Malott kini dilihat mengulangi hal yang sama, tetapi dengan lebih tidak berhati-hati.

Malott mengambil setiap peluang untuk melemparkan kritikan terhadap pemerintah, mengulas pelbagai isu termasuk perhimpunan Bersih yang diadakan 9 Julai lalu, di mana-mana ruang yang diperolehi seperti akhbar internet dan akhbar-akhbar di Barat.

Pada masa ini, dengan blog dan kumpulan pendesak konservatif yang lantang bersuara mengulas isu campur tangan asing, tindakan Malott itu dilihat tidak bijak dalam menekan kerajaan Malaysia.

Penentang pembangkang dibekalkan dengan bukti baharu sokongan asing kepada pembangkang melalui kenyataan-kenyataan Malott, yang tidak dibaca oleh sebahagian besar audiens kumpulan konservatif.

Gerakan liberal di Malaysia telah sedia dapat dikaitkan dengan bantuan asing, seperti daripada pertubuhan di bawah NED, Open Society Foundations dan pelbagai pertubuhan lain. Kaitan ini terus menjadi bahan kritikan dan manipulasi media baharu proparti pemerintah.

Open Society yang dimiliki dermawan aktivis politik George Soros memberi bantuan kewangan kepada pelbagai media di seluruh dunia, termasuk yang berhaluan kiri, dan berperanan dalam aktivisme demokrasi di seluruh dunia, terutama republik bekas Soviet yang menyaksikan perubahan dalam kebangkitan yang digelar "revolusi warna."

Malott kini manjadi salah satu elemen yang semakin menyukarkan usaha perubahan di Malaysia, ekoran rasa curiga yang tercetus disebabkan kecamannya terhadap pemerintah Malaysia yang dilihat mampu meningkatkan sokongan kepada pembangkang.

Bekas duta AS itu tidak perlu bersuara lagi. Biarlah perubahan di Malaysia ini diusahakan oleh rakyat negara ini tanpa gangguan orang seperti Malott.

Tiada ulasan: