sesemut emas ™ |
Posted: 18 Aug 2011 04:52 AM PDT Ramadhan dihayati lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Antara sedar dan tidak sudah separuh bulan ia berlalu. Bulan kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah.. Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah.. Namun, ini mungkin Ramadhan yang terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah.. Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadhan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini.. Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadhan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketaqwaan dibentang seluas-luasnya.. Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan.. Menghampiri Ramadhan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Kanda Hj Ahmad Fuad Bin Hj Mustafa, pada malam 19 Ramadhan 1421 bersamaan 15 Disember 2000, sebelas tahun lalu. Dalam usia 27 tahun, kematian kanda tercinta, anak lelaki pertama harapan ayah dan ibu, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, adik-beradik, ayah & ibu terutamanya dan saudara mara yang lain ke penjuru satu dunia yang berbeza.. Ternyata kasih sayang buat saudara darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi.. Ya, Ramadhan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali.. Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian saudara kandung yang belum berkeluarga, yang masih muda, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya.. Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan.. Benar sekali Sabda Nabi S.A.W, perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat meragut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang orang Mu'min yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya.. Ditanya lagi, orang Mu'min mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab Baginda S.A.W, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.. Ramadhan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadhan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata.. Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi Rabbul A'lamin. Sesungguhnya Allah SWT amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya.. Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadhan yang sangat istimewa itu. Pesanku buat diri yang sangat mudah terleka ini, juga kita semua.. walaupun kanda kerap mengejutkannya.. Al-Fatihah buat kedua orang kanda & kekanda tercinta Hj Ahmad Fuad Bin Hj Mustafa 19 Ramadhan 1421H / 15 Disember 2000 & Hjh Latifah Binti Hj Mustafa 25 Jamadil Awal 1421H / 26 Ogos 2000 Kalian tetap di jiwa kami selamanya~ -ibnumustafa- |
Ramadhan Menggamit Keinsafan, Mengisi Bekalan Iman Dan Taqwa.. Posted: 18 Aug 2011 02:45 AM PDT Ramadhan bulan ajaib sedang dilalui. Keinginan untuk mendekatkan diri pada-Nya serta merta bertambah. Sebuah tarikan yang amat kuat. Kita ingin menjadi manusia baru melalui proses The Power of 30 days. Bulan retreat, segala perlakuan biasa kita, kita tinggalkan pada genap 30 Sya'aban yang lalu, melangkah masuk ke Bulan penuh keberkatan, Ramadhan al-Kareem dengan program komprehensif, bertubi-tubi. Hari biasa, jadual sarapan, makan tengahari dan malam, kini kita berlapar. Haus. Lintasan fikiran kita terus ke Padang Mahsyar dengan segala kehausan dan kelaparan, lama dan berat. Tidak tertanggung. Bukankah, timbul keinsafan untuk kita menjadi manusia baik yang tidak akan kelak menderita tanpa sesiapa menjenguk menghulur segelas Teh O Ais Limau di Perhimpunan Pembalasan yang ngeri itu. Perut yang kita rajakan selama ini mengempis, membakar lemak-lemak yang telah kita kumpulkan setahun lamanya, lalu tidakkah hati tertumpah kepada para fuqara', anak-anak yatim dan mereka yang melarat, di mana kelaparan adalah hiasan hidup mereka seharian. Bukan seperti kita yang sering bermewah-mewahan. Hati kita menjadi lebih syahdu. Keinsanan seorang insan, dan keihsanan seharusnya segera memancar, lalu anda menjadi pemurah. Bukankah itu selanjutnya menambahkan pertautan kasih sesama insan sharing is caring? Paling tidak, anda hulurkan semangkuk kuah, pada jiran anda, sabda Rasulullah S.A.W. Kita dahulukan dengan sahur. Kita dipaksa, ya, dipaksa 30 hari dalam setahun untuk bangun pada waktu yang sukar, tapi penuh berkat. Waktu Tuhan menjanjikan pengampunan dan kurnia, waktu si mu'min bertekuk; "..pada waktu Sahur, mereka memohon keampunan..." - Surah az-Zaariyat; ayat 18.
Al-Quran? Ia email Tuhan untuk kita. Tapi kesibukan kita, atau sebenarnya sikap tak endah kita, kita lupa membaca warkah yang mahal itu. Kita, kita gelarkan diri kita para pejuang Islam, juga lupa mentelaahnya.. ah? Ramadhan merayu kita untuk berfikir semula tentang Quran dan kita. Nuzul al-Quran yang baru berlalu beberapa hari yang lalu apakah kita benar-benar menghayatinya? atau sekadar meraikan hari cuti seperti cuti-cuti umum yang lain. Dalam qiam Tarawih yang indah dan dalam sayup suara di mana-mana, alunan Quran membawa kita membacanya dari lembar ke lembar, sehingga tamat. Suluhan petunjuknya kita sematkan di dada, kisah dan teladan kita telusuri semula, hikmah dan maknanya, kita belajar sekali lagi. Harapan dan suruhannya, kita perkukuhkan azam menghayatinya. Larangannya, kita tidak biarkan ia berlalu tanpa menyentuh hati kita untuk berubah. Bulan ulangkaji. Bulan koreksi diri. Bulan mengisi tangki bekalan iman dan taqwa. Bulan kesabaran. Jika ada yang mengherdik dan menyakiti hati anda, katakanlah pada mereka, "Saya berpuasa.. Saya berpuasa.. Saya berpuasa.." Ia tidak mudah. Tapi kan Ramadhan itu meninggalkan yang buruk-buruk di pagar harinya yang pertama. Sabda Rasulullah S.A.W, berapa ramai orang yang berlapar, berdahaga dan berdiri malam, ia hanya sia-sia? Malang sekali. Ini yang seharusnya paling kita takuti. Dalam asyik mengejar ganjarannya, kita terlepas semuanya. Bukankah ini sahaja sudah cukup untuk mentransform individu dan masyarakat Islam seluruhnya melalui Ramadhan al-Kareem? Ahli Dewan Undangan, Ahli Parlimen, Para Menteri dan pembuat dasar, karyawan, pengarang dan penulis, peniaga, pekerja, berpuasa dengan ingatan ini, mana lagi kacau bilau dan hiruk pikuk yang tidak menentu dalam masyarakat Malaysia kita? Muhasabahlah, Allah S.W.T menjanjikan keampunan kepada hamba-Nya yang 'berpuasa' dengan keimanan yang penuh. Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di Ramadhan-Mu, wahai Maha Pengasih. Jambangannya menghiasi Malaysia Baru dengan pemimpin dan rakyat yang bertaqwa, satu masa. Teduhan dan bekalan kami untuk ke syurga-Mu. Alangkah bahagianya, sekali lagi Engkau izinkan aku menemui Ramadhan-Mu yang Pemurah... -ibnumustafa- |
You are subscribed to email updates from sesemut emas ™ To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan