sesemut emas ™ |
Malaikat berdoa untuk orang yang bersedekah di bulan Ramadhan Posted: 11 Aug 2011 09:48 PM PDT Bulan Ramadhan al-Mubarak antara bulan yang digandakan amalannya buat kata. Justeru itu, pada bulan ini digalakkan bersedekah malah ia merupakan sunnah Nabi S.A.W dan salah satunya ialah memberi makan untuk orang berbuka puasa. Bahawa tercatit di dalam sebuah hadith Nabi S.A.W yang bermaksud: "Sesiapa yang memberi minum orang yang berpuasa maka ia akan diberi minum oleh Allah S.W.T daripada kolam-Nya di hari akhirat nanti yang mana minumannya tidak akan dahaga sehingga dia masuk syurga." Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Pagi-pagi lagi Malaikat berdoa kepada orang yang bersedekah supaya ditambahkan hartanya dan orang yang kedekut akan dibinasakan hartanya." Bersedekah kepada fakir miskin akan mendapat empat kelebihan untuk mengukuhkan dunia ini. Empat perkara tersebut ialah keadilan pemerintah, ulama yang beramal, pemurahnya orang yang hartawan dan doa daripada orang fakir. Sekurang-kurangnya bersedekah kepada fakir miskin boleh mengurang tahap jurang sosial. Kebanyakan orang fakir ialah terdiri daripada orang yang berjiwa halus. Apabila bersedekah kepada orang fakir mereka akan berasa diri tidak dipinggirkan, malah akan sentiasa mensyukuri dan berdoa yang terbaik untuk yang membantu mereka.. -ibnumustafa- |
Perang Badar inspirasi umat Islam di bulan Ramadhan Posted: 11 Aug 2011 12:02 AM PDT Setelah penghijrahan Baginda Nabi S.A.W ke Madinah, permusuhan kaum kafir Quraish terhadap umat Islam masih belum reda. Penyiksaan dan gangguan mereka kepada kaum muslimin yang masih berada di Mekah dan tidak dapat keluar dari kota itu semakin menjadi-jadi. Pada sudut yang lain pula harta benda yang ditinggalkan oleh mereka yang telah berhijrah ke Madinah dirampas oleh kafir Quraish. Hal inilah yang menjadi dasar bagi Baginda Rasulullah S.A.W untuk menyekat kafilah dagang Quraish yang melintas dekat Madinah dalam perjalanan perniagaan menuju ke Syam atau dari Syam menuju Mekah. Tahun kedua hijrah, Rasulullah S.A.W bersama 313 sahabatnya bergerak menuju Badar untuk menyekat kafilah Quraish yang membawa harta berlimpah hasil dari perniagaan di Syam. Setelah mendengar berita itu, Abu Sufyan, yang memimpin kafilah ini, mengirimkan utusannya ke Mekah untuk meminta bantuan tentera kafir Quraish dalam menghadapi ancaman ini. Bagi kafir Quraish, sekatan kafilahnya oleh kaum muslimin tidak bererti kerugian harta tetapi apa yang paling penting baginya ialah kehormatan suku besar di Mekah ini. Untuk itu, Abu Jahal yang merupakan salah seorang bangsawan terkemuka Quraish bersama seribu orang lengkap dengan peralatan perang meninggalkan Kota Mekah dan bergerak menuju ke Badar. Sementara kafilah pimpinan Abu Sufyan dengan melintasi jalan alternatif berjaya meloloskan dari sekatan kaum muslimin. Abu Sufyan mengirimkan utusannya untuk meminta Abu Jahal kembali ke Kota Mekah kerana baginya dia telah berjaya melepaskan diri daripada sekatan bahaya itu. Namun pesanan itu ditolak oleh Abu Jahal beliau segera bersiap untuk berperang bagi menghadapi pasukan Islam Madinah. Di Badar, pasukan muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W telah bersiap siaga sepenuhnya. Pasukan kecil berjumlah 313 orang dan peralatan yang ala kadarnya, siap menghadapi seribu orang di barisan kafir Quraish yang lengkap bersenjata. Namun keimanan yang dimiliki oleh umat Islam menjadi sandaran dan pendorong mereka untuk tegar dan siap menanti kematian di jalan Allah S.W.T yang basalannya adalah syurga. Tepat pada tarikh 17 Ramadhan tahun kedua hijrah, perang di Badar berkecamuk setelah dimulai dengan konfrantasi iaitu satu lawan satu antara tiga pihak dari dua barisan perang. Satu demi satu wakil musuh terkorban. Darah bersimbah di sana sini. Tak lama, berita tersebar bahwa Abu Jahal yang pernah disebut Rasulullah S.A.W sebagai Firaun di tengah umat ini tewas di tangan pasukan muslimin. Dengan terbunuhnya Abu Jahal dan beberapa pemuka kafir Quraish di medan perang Badar menjadi pukulan hebat bagi pasukan Mekah yang akhirnya memilih untuk melarikan diri. Dalam perang Badar, pasukan kafir Quraish menderita kerugian tujuh puluh tewas dan tujuh puluh yang lain menjadi tawanan. Sementara barang rampasan perang yang ditinggalkan bukanlah jumlah yang sedikit, dianggarkan sebanyak 150 unta, sepuluh kuda, sejumlah kulit dan kain, serta peralatan perang ditinggalkan oleh pasukan Mekah yang lari tunggang langgang menyelamatkan diri. Suasana pada malam tercetusnya perang di Badar Malam itu terjadi beberapa keajaiban, perasaan takut dan tertekan yang ada pada kaum Muslimin tiba-tiba hilang, pasukan Islam menikmati malam itu dengan senang dan tenang, dan akhirnya tertidur dengan puas. Hujan pun turun, membasahi pasir padang Badar sehingga menjadi padat dan lembut apabila dipijak (pasir dalam keadaan kering, seperti pasir pantai, membuat susah berjalan). Inilah seperti yang dijanjikan Allah S.W.T di dalam Surah Al-Anfaal; ayat 8: "(Ingatlah), ketika Allah S.W.T menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu ketenteraman daripada-Nya, dan Allah S.W.T menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki (mu)." Subuh hari, Abu Bakar 'menganggu' ibadah Rasul S.A.W kerana kafir Quraish sudah semakin hampir mendekati umat Islam. Pasukan Islam dengan segera membuat persiapan, ketika pasukan kafir Quraish sudah kelihatan jelas oleh Rasul S.A.W, Rasul S.A.W memanjatkan doa, "Ya Allah! Kaum kafir Quraish yang enggan untuk menyembahMu dan mendustai utusanMu sudah berada di sini. Ya Allah, kami menunggu dan mengharapkan daripadaMu kemenangan yang Engkau janjikan kepadaku dan sahabat-sahabatku. Kami memohon kepadaMu, ya Allah, untuk mengalahkan mereka." Rasulullah S.A.W minta pendapat sahabat sebelum berangkat ke Badar Sebaliknya pihak Muslimin, yang sudah kehilangan kesempatan mendapatkan harta rampasan, sudah sepakat akan bertahan terhadap musuh bila diserang. Oleh kerana itu merekapun segera berangkat ke tempat mata air di Badar itu, dan perjalanan ini lebih mudah lagi kerana waktu itu hujan turun. Setelah mereka sudah mendekati mata air, Rasulullah S.A.W berhenti. Ada seseorang yang bernama Hubab bin Munzir bin Jamuh, orang yang paling mengetahui atau disifatkan sebagai seorang pakar tentang mengenal tempat itu, setelah melihat Nabi S.A.W turun di tempat tersebut, dia bertanya: "Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan untuk berhenti di tempat ini? Kalau ini sudah wahyu Tuhan, kita takkan maju atau mundur setapakpun dari tempat ini. Ataukah ini sekadar pendapat tuan sendiri, suatu taktik perang belaka?" "Sekadar pendapat saya dan sebagai taktik perang," jawab Rasulullah S.A.W. "Rasulullah," katanya lagi. "Kalau begitu, tidak tepat kita berhenti di tempat ini. Mari kita pindah sampai ke tempat mata air terdekat yang tahu tempat itu dengan penuh yakin, lalu telaga-telaga kering yang di belakang itu kita timbun setelah diambil airnya. Selanjutnya kita membuat kolam, kita isi sepenuhnya. Barulah kita hadapi mereka berperang. Kita akan mendapat air minum, mereka tidak." Melihat saran Hubab yang begitu tepat itu, Nabi Muhammad S.A.W dan rombongannya segera pula bersiap-siap dan mengikut pendapat temannya itu, sambil mengatakan kepada sahabat-sahabatnya bahawa dia juga manusia seperti mereka, dan bahawa sesuatu pendapat itu dapat dimusyawarahkan bersama-sama dan dia tidak akan menggunakan pendapat sendiri di luar mereka. Dia perlu sekali mendapat konsultasi yang baik dari sesama mereka sendiri. Selesai kolam itu dibuat, Sa'ad B. Mu'az memberikan usulnya: "Rasulullah," katanya, "kami akan membuatkan sebuah dangau buat tempat Tuan tinggal, kenderaan Tuan kami sediakan. Kemudian biarlah kami yang menghadapi musuh. Kalau Tuhan memberi kemenangan kepada kita atas musuh kita, itulah yang kita harapkan." "Tetapi kalau pun sebaliknya yang terjadi; dengan kenderaan itu Tuan dapat menyusul teman-teman yang ada di belakang kita. Rasulullah, masih ramai sahabat-sahabat kita yang tinggal di belakang, dan cinta mereka kepada Tuan tidak kurang dari cinta kami ini kepada Tuan." "Sekiranya mereka dapat menduga bahawa Tuan akan dihadapkan pada perang, nescaya mereka tidak akan berpisah dari Tuan. Bagi mereka Tuhan menjaga Tuan. Mereka benar-benar ikhlas kepada Tuan, berjuang bersama Tuan." Nabi Muhammad S.A.W sangat menghargai dan menerima baik saranan Sa'ad itu. Sebuah dangau buat Nabi S.A.W lalu dibangunkan. Jadi bila nanti kemenangan bukan di tangan Muslimin, ia takkan jatuh ke tangan musuh, dan masih akan dapat bergabung dengan sahabat-sahabatnya di Kota Yathrib. Di sini orang perlu berhenti sejenak dengan penuh kekaguman, kagum melihat kesetiaan Muslimin yang begitu dalam, rasa kecintaan mereka yang begitu besar kepada Rasulullah S.A.W, serta dengan kepercayaan penuh kepada ajarannya. Semua mereka mengetahui, bahawa kekuatan kafir Quraish jauh lebih besar dari kekuatan mereka, jumlahnya tiga lipat ganda banyaknya. Tetapi, sungguhpun begitu, mereka sanggup menghadapi, mereka sanggup melawan. Dan mereka inilah yang sudah kehilangan kesempatan mendapatkan harta rampasan. Tetapi sungguhpun begitu kerana bukan pengaruh kebendaan itu yang mendorong mereka bertempur, mereka selalu siap disamping Nabi S.A.W, memberikan dukungan, memberikan kekuatan. Dan mereka inilah yang juga sangsi, antara harapan akan menang, dan kecemasan akan kalah. Tetapi, sungguhpun begitu, fikiran mereka selalu hendak melindungi Nabi S.A.W, hendak menyelamatkannya dari tangan musuh. Mereka menyiapkan jalan baginya untuk menghubungi orang-orang yang masih tinggal di Kota Madinah. Suasana yang bagaimana lagi yang lebih patut dikagumi daripada ini? Iman mana lagi yang lebih menjamin akan memberikan kemenangan seperti iman yang ada ini? Menentukan nasib 70 orang tawanan Baginda Rasulullah S.A.W mencari kesempatan dan ruang ada untuk bertemu dua sahabat terdekatnya bagi meminta pandangan mereka berdua berhubung isu tawanan. Saidina Abu Bakar R.A menyatakan bahawa setiap seorang daripada mereka mengajar sepuluh anak orang Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, agar kesemua mereka hingga berjumlah 700 anak orang-orang Islam menjadi pandai dan celik ilmu, inilah juga pandangan peribadi Rasulullah S.A.W. Walau bagaimanapun, Saidina Umar R.A tidak bersetuju dengan pandangan itu, beliau mencadangkan agar setiap mereka itu dibunuh sahaja, kerana merekalah penyebab kepada masalah syirik dan penentangan terhadap ajaran-ajaran baginda Rasulullah S.A.W kalau masih mahu mereka terus hidup. Rasulullah S.A.W tidak dapat berkata apa-apa terhadap dua pandangan yang sama sekali bercanggah antara satu sama lain, namun pada malam itu Baginda menerima turunnya wahyu Ilahi agar kesemua tawanan itu dihapuskan dari muka bumi ini, kisah itu dirakam menerusi ayat 67 Surah al-Anfaal: "Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai (menyimpan) tawanan sebelim ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu mengharapkan harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat untukmu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." Keesokan harinya, Baginda S.A.W bertemu semula dengan dua orang sahabat karibnya bagi menyatakan ketegasan Allah S.W.T mengenai masalah tawanan, sambil Baginda S.A.W menyifatkan sikap Saidina Abu Bakar R.A seperti Nabi Nuh A.S dan Isa A.S dan menyifatkan sikap Saidina Umar R.A seperti Nabi Ibrahim A.S dan Musa A.S yang sentiasa tegas dalam segenap tindak-tanduknya. Akhirnya Baginda Rasulullah S.A.W menyatakan arahan Allah S.W.T supaya kesemua tawanan itu perlu dihapuskan daripada muka bumi ini dengan segera sebelum berbagai-bagai tindakan lain muncul bagi melemahkan Islam dan umatnya. Mengapa perang ini begitu istimewa? Pertama, kerana Perang ini Rasulullah S.A.W beserta pasukannya mengalami kemenangan meskipun hanya berjumlah 313 orang sahabat (terdiri dari 82 Muhajirin, 61 dari suku Aus dan 170 dari suku Kharaj) serta pasukan kaum Muslimin hanya memiliki dua ekor kuda dan 70 ekor unta, bahkan satu ekor dinaiki sampai dua tiga orang. Kedua, Baginda S.A.W mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum berangkat ke Badar, sesungguhnya tindakan Baginda S.A.W itu tidak sedikitpun mengurangkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin tertinggi umat Islam dan perkara bagi menentukan nasib para tawanan yang berjumlah seramai 70 orang, Baginda S.A.W meminta pandangan dua orang sahabatnya yang terdekat iaitu Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar Bin al-Khattab R.A untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ketiga, peranan doa yang diajarkan oleh Baginda S.A.W menjadi teras dan pemangkin sebelum sesuatu tindakan dibuat, ia bertujuan untuk mendapatkan keredhaan dan restu Allah S.W.T. Keempat, walaupun menghadapi suasana getir dalam peperangan, ia sedikitpun tidak menghalang umat Islam daripada terus berpuasa, apatah lagi ia merupakan arahan Rasulullah S.A.W dan pelengkap kepada rukun Islam yang lima. Kelima, jumlah yang sedikit bukan ukuran untuk mudah dikalahkan, yang penting kesungguhan, keutuhan jati diri, kerjasama dan perancangan yang hebat menjadi penentu kepada sesuatu kejayaan. Keenam, kepatuhan kepada arahan pimpinan yang tidak berbelah bagi dalam perkara yang tidak menyanggah agama, menjadi faktor utama keberhasilan mendapatkan kejayaan. Ketujuh, mengetahui sumber peralatan perang pihak musuh seperti pengetahuan Nabi S.A.W terhadap bilangan unta yang dimiliki tentera kafir Quraish boleh membantu melancarkan strategi peperangan. Kelapan, menghantar wakil bertemu pihak musuh dari kalangan individu yang hebat seperti Saidina Hamzah R.A, Saidina Ali K.W boleh menggerunkan pihak musuh, kerana mereka beranggapan bahawa pihak umat Islam memiliki pasukan perang terkuat yang sukar dikalahkan. Kesembilan, menghalakan niat dan matlamat perang menghadapi musuh adalah kerana Allah S.W.T dan meninggikan syiar-syiar agama-Nya, bukan atas tujuan meraih harta dan habuan dunia yang melalaikan. Kesepuluh, cara berfikir yang bernas patut dilontarkan ketika mengadakan sesuatu perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian seperti yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A bagi menyelesaikan isu tawanan perang. Kesebelas, sebagai seorang Nabi, Baginda S.A.W tidak sedkitpun rasa malu untuk menerima pandangan dari sahabatnya yang bukan bertaraf Nabi atau Rasul dalam isu-isu tertentu bagi mencari jalan penyelesaiannya. Keduabelas, sesungguhnya banyak pengajaran positif yang perlu diambil kira oleh setiap individu muslim yang cintakan agamanya ke arah satu tahap kekuatan dalam pelbagai aktiviti harian hidup mereka. Wallahualam.. -ibnumustafa- |
You are subscribed to email updates from sesemut emas ™ To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan