Sabtu, 13 Ogos 2011

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Posted: 13 Aug 2011 01:34 AM PDT

BAGI yang tidak mempunyai kenderaan sendiri, pengangkutan awam seperti kapal terbang, kereta api dan bas adalah alternatif untuk perjalanan pulang ke kampung. Namun, atas sebab tiket yang terhad dan harga yang lebih murah, akhirnya perkhidmatan bas sering menjadi pilihan utama bagi kebanyakan orang.

Namun, saban tahun kebanyakan pengguna berdepan dengan masalah yang serupa seperti sukar untuk mendapat tiket untuk pulang beraya, perlu beratur panjang di kaunter malah, lebih menyedihkan ada yang ditipu 'ulat tiket' kerana terdesak mendapatkan tiket.

Senario itu tentu sekali dapat dielak apabila menggunakan sistem pembelian eticketing.my melalui alam maya yang dibangunkan oleh anak syarikat Energetic Point Sdn. Bhd., iaitu E-Transact Technology Sdn. Bhd.

Penggunaan sistem eticketing.my itu dapat membantu pengguna mengetahui dengan mudah sekiranya terdapat tiket diingini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan hanya menekan satu klik sahaja. Pengarah Urusan E-Transact Technology Sdn. Bhd., Shahizam Ibrahim, berkata, sehingga kini sudah terdapat 30 operator bas ekspres yang menggunakan sistem yang dibangunkan syarikat berkenaan.

"Kalau pengguna memasuki laman web kami, mereka boleh memilih daripada 15 operator bas ekspres yang menawarkan tiket perjalanan pulang ke kampung halaman.

"Menariknya tentang sistem eticketing.my ini, pengguna tidak perlu lagi beratur panjang untuk memiliki tiket bas ekspres mereka tetapi, hanya perlu mendaftar dan membuat pembelian," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Daftar percuma

PERKHIDMATAN kios tiket bas ekspres merupakan antara kemudahan baharu yang diusahakan E-Transact Technology.

Shahizam menjelaskan, pengguna hanya perlu mendaftar secara percuma dengan memasukkan butiran peribadi yang mengambil masa tidak kurang daripada 10 minit.

Katanya, selepas memasukkan butiran peribadi, pengguna boleh memilih operator bas dan destinasi perjalanan yang ingin ditujui mereka dengan mudah dan pantas.

"Secara tidak langsung, sistem ini dapat membantu pengguna menjimatkan dan mengurus masa mereka apabila berurusan dalam pembelian tiket bas ekspres kerana ia dapat dilakukan di mana-mana sahaja asalkan mempunyai akses Internet.

"Selain daripada itu, ia juga dapat mengelak kesesakan di kaunter-kaunter operator bas terutamanya pada waktu puncak," ujarnya lagi.

Dia memberitahu, sistem tersebut turut dapat memaparkan sebarang kekosongan tempat duduk kepada pengguna.

Katanya, ia bermakna pemilihan tempat duduk mampu dilakukan dengan lebih berkesan untuk memberi keselesaan kepada mereka.

"Selepas melakukan pembelian tiket melalui eticketing.my, pengguna akan mendapat kod naik bas. Mereka boleh memilih mencetak atau menyalin kod berkenaan untuk dibawa apabila ingin menaiki bas kelak.

"Pengguna hanya perlu menunjukkan kod naik di kaunter untuk mengambil tiket sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halaman masing-masing bagi memastikan perjalanan menjadi lebih efisien," katanya.

Dalam pada itu, dia memberitahu, sistem tersebut dapat memberi kemudahan kepada ibu bapa yang ingin membeli tiket kepada anak-anak mereka.

"Sebagai contoh, jika ibu bapa berada di selatan Semenanjung Malaysia dan anak di negeri sebelah utara, tidak mungkin tiket yang dibeli dapat diberikan kepada anak mereka.

"Bagaimanapun, dengan penggunaan sistem eticketing.my ini mereka hanya perlu memberikan kod naik bas ekspres kepada anak-anak," katanya lagi.

Teknologi sistem eticketing.my

Sementara itu, Jurutera Kanan Energetic Point Sdn. Bhd., Mohd. Hafiz Ishak memberitahu, sistem eticketing.my menggunakan teknologi SMARTicket atau pun tiket pintar.

"Ia merupakan penyelesaian kepada pengurusan tiket moden hari ini terutamanya operator bas ekspres. Teknologi ini amat mudah digunakan, boleh diubah pada bila-bila masa dan sangat stabil untuk menjual tiket kerana menggunakan konsep laman web," katanya.

Mohd. Hafiz menjelaskan, teknologi itu bermakna pengguna ataupun operator bas dapat menggunakan sistem tersebut di mana-mana mereka berada asalkan mempunyai akses internet.

Katanya lagi, ia juga amat sesuai digunakan dalam pelbagai modul seperti kaunter tiket, perniagaan dalam talian, peranti mudah alih dan banyak lagi.

"Operator bas yang menggunakan sistem ini dapat menguruskan perjalanan, harga tiket dan banyak lagi dengan mudah dan pantas.

"Selain daripada itu, pengurusan operator bas juga dalam melakukan pengurusan pemandu dan bas, penjadualan, perjalanan dan banyak lagi menggunakan sistem ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Korporat dan Kewangan Energetic Point Sdn. Bhd., Muhammad Nazri Baksis, memberitahu, pengguna boleh melakukan pembayaran dengan pelbagai kaedah apabila menggunakan sistem eticketing.my.

"Mereka boleh memilih menggunakan kad kredit, wang tunai dan beberapa kaedah lagi mengikut kesesuaian dan keselesaan," ujarnya lagi.

Muhammad Nazri menambah, pihaknya juga sedang dalam mencari ejen satelit untuk menguruskan penjualan tiket-tiket itu.

Katanya, ejen satelit itu akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik yang menjadi tarikan orang ramai untuk menguruskan penjualan tiket dengan lebih mudah.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai operator-operator bas ekspres yang terlibat dalam sistem eticketing.my. boleh melayari laman web www.eticketing.my.

Manusia Cenderung Bergosip

Posted: 12 Aug 2011 09:19 PM PDT

BERGOSIP bukan amalan yang sihat namun masih ramai yang berdepan kesukaran untuk menghindarinya. Walaupun minda mengarahkan kita supaya tidak mendengar perbualan tentang orang lain, arahan itu seperti tidak dipedulikan, malah kita menjadi semakin teruja untuk mendengar gosip tersebut, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan orang yang kita kenali.


Hanyut dalam lingkaran gosip memang susah untuk dibuang. Salah satu penyebabnya adalah sistem visual manusia yang telah diprogram untuk fokus kepada gosip negatif yang kita dengar.

Selain itu, minda manusia lebih mudah untuk mengingati gosip yang negatif berbanding perkara baik.

"Secara semula jadi, manusia lebih sensitif kepada informasi yang mungkin berpotensi mengancam kehidupan kita," beritahu pakar sains neuro dari California, Amerika Syarikat, Irving Biederman.

Tambahnya lagi, walaupun topik dalam gosip itu mengenai orang lain, misalnya pertelingkahan antara rakan sepejabat, kita akan menjadi semakin teruja untuk mendengarnya.

Kajian sebelum ini menunjukkan manusia cenderung untuk menghakimi dan senang bercakap tentang orang lain.

Walaupun gosip telah lama berada dalam lingkungan sosial, tetapi manusia tidak lahir untuk bergosip. Walaupun kecenderungan itu ada, sebagai ibu bapa, kita perlu menjahi gosip dengan cara menjaga pertuturan dan mengelak daripada bercakap hal negatif orang lain.

Berfikiran terbuka lebih bahagia

MANUSIA yang memiliki keperibadian terbuka atau ekstrovert sebenarnya adalah orang yang bahagia.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh perunding psikologi dari Universiti San Francisco, Ryan Howell, mendapati, golongan ekstrovert biasanya lebih mengingat hal-hal positif daripada masa lampaunya.

"Kami mendapati orang yang berfikiran terbuka sangat bahagia dengan hidupnya kerana mereka lebih menyimpan kenangan positif. Mereka juga menyimpan kenangan pahit dan penyesalan, namun jumlahnya sedikit," katanya.

Sementara itu, orang berkeperibadian sempit atau nerotik berpandangan kontra dengan ekstrovert.

"Kerap mengingati perkara yang menyakitkan hati akan menjadikan emosi anda kurang stabil. Setiap perkara yang hadir dalam hidup anda akan cuba dikaitkan dengan penyesalan atau memori pahit tersebut. Ia boleh menjadikan anda sentiasa berasa kurang bahagia dan malang.

"Mengimbau masa lalu dengan positif berkait rapat dengan kualiti serta kepuasan hidup seseorang.

"Lupakan perkara negatif dalam hidup anda dan gantikannya dengan hal yang positif. Lakukannya sekarang kerana ia dapat meningkatkan kepuasan hidup," kata Howell.

Berjemur baiki kualiti sperma

JIKA ingin segera menjadi seorang bapa, terdapat satu rahsia mudah yang boleh diikuti sekali gus merealisasikan impian anda untuk menimang cahaya mata dalam tempoh singkat.

Jadikan berjemur pada waktu pagi sebagai rutin harian anda. Sinaran mentari yang kaya dengan vitamin D itu dikatakan bagus untuk meningkatkan kualiti kesuburan kaum Adam.

Satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pakar di Universiti Copenhagen, Denmark, yang melibatkan 340 lelaki mendapati bahawa vitamin D—mikronutrien yang dihasilkan tubuh ketika berjemur waktu pagi dapat meningkatkan kualiti sperma.

Ini kerana sel sperma yang mempunyai kadar vitamin D yang mencukupi akan lebih aktif berenang menuju sel telur.

"Selain mampu bergerak lebih pantas, sel sperma tersebut juga didapati mempunyai kadar penetrasi yang lebih tinggi," ungkap Dr. Martin Blomberg Jensen.

Ke Mana Beruang Kutub Selepas Ini?

Posted: 12 Aug 2011 05:11 PM PDT

AHLI biologi baru-baru ini memberi peringatan terkini mengenai masalah perubahan iklim yang menyebabkan suhu meningkat di bahagian kutub.

Di kutub utara misalnya, peningkatan suhu telah memaksa beruang kutub berenang lebih jauh untuk mencari ais laut yang lebih stabil.

Ternyata, senario terbaharu ini membahayakan kebanyakan anak-anak beruang kutub yang berdepan dengan ancaman maut akibat kepenatan dan juga pemangsaan.

NASIB keluarga beruang kutub ini masih samar dengan isu pemanasan iklim yang tidak berkesudahan.

Para penyelidik yang mengikuti kumpulan beruang kutub dewasa mendapati kadar kematian anak-anak haiwan tersebut adalah pada kadar 45 peratus apabila berenang sejauh 48 kilometer (km) berbanding hanya 18 peratus bagi beruang kutub lain yang tidak perlu 'berpindah' lokasi dengan kerap.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila ais laut menyusut dengan pantas hingga memaksa beruang kutub itu berenang lebih jauh dan lama.

"Penyelidikan ini merupakan analisis pertama dalam mengenal pasti perubahan penting aliran bertahun-tahun mengenai peningkatan pola renang jarak jauh oleh beruang kutub.

"Sebelum ini, kajian hanya merekodkan kejadian tunggal mengenai pola renang beruang kutub," kata Penyelidik Kajian Geoff York yang merupakan pakar beruang kutub Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

LAPANGAN ais yang ideal semakin berkurangan lantas mengancam survival beruang kutub.

Bagi mengenal pasti jarak renang mamalia tersebut, para penyelidik telah mengumpul data daripada kolar sistem kedudukan global (GPS) yang dipasang pada 68 ekor beruang kutub dewasa di Lautan Artik Selatan Beaufort dan Chukchi antara tahun 2004 hingga 2009.

Kesemua beruang kutub yang direkodkanitu adalah betina. Kolar GPS tidak dipasang pada beruang kutub jantan kerana bentuk kepalanya tidak sebesar otot lehernya hinggakan alat tersebut mudah tergelincir.

Dalam pada itu, penyelidik turut melihat imejan satelit ais laut bagi mengenal pasti insiden beruang-beuang kutub tersebut berenang melebihi 48km pada satu-satu masa.

Sebanyak 20 ekor daripada beruang kutub yang memakai kolar berkenaan telah berenang pada jarak begitu jauh malah saintis mengenal pasti renangan haiwan berkenaan adalah sejauh 50 larian maraton.

Pada masa yang sama, terdapat 11 ekor beruang kutub itu turut berenang bersama anak-anaknya dan lima daripada beruang kutub tersebut kehilangan anak ketika berenang terlalu jauh.

ADAKAH tidak lama lagi, beruang kutub hanya akan menjadi penghuni di banyak zoo di seluruh dunia gara-gara kemusnahan habitatnya?

Renangan paling jauh dicatatkan dalam kajian tersebut adalah sejauh 686km manakala 12.7 hari merupakan catatan hari paling lama direkodkan oleh mereka.

Menurut penyelidik, renangan yang jauh menambah penggunaan tenaga sekali gus melemahkan beruang kutub itu akibat kepenatan merentasi laut bergelora.

Kata penyelidik lagi, kehilangan ais laut secara mendadak telah memaksa beruang-beruang kutub dan anaknya berenang dalam jarak yang jauh untuk mencari daratan. Haiwan itu juga sukar mencari dataran ais yang kuat untuk menampung beban berat badannya.

"Perubahan iklim yang melanda dunia telah membuatkan ais laut tidak dapat menampung beruang-beruang kutub lagi.

"Ia sekali gus telah memaksa beruang-beruang kutub ini mencari makanan dan tempat tinggal di kawasan lain," kata York.

Menurut Pusat Sains Kutub, Universiti Washington, tahap ais laut Artik telah menurun pada kadar terendah pada Julai 2011 dengan 47 peratus lebih rendah berbanding tahun 1979.

Tiada ulasan: