Jumaat, 12 Ogos 2011

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Belum Pilihanraya, KDN Kata Biometrik Telah diubahsuai

Posted: 12 Aug 2011 03:47 AM PDT

Beberapa syarikat pengurus bagi Program 6P akan disiasat polis selepas dikenal pasti menggunakan khidmat perunding teknologi maklumat (IT) tidak sah untuk mengubah suai peralatan biometrik yang digunakan bagi program berkenaan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata hasil pemantauan sehingga kelmarin pihaknya mendapati kira-kira 600 peralatan dikendalikan syarikat pengurus sudah diubah suai.


Menurutnya, tindakan pihak terbabit menyebabkan peralatan itu tidak lagi memenuhi spesifikasi ditetapkan kerajaan untuk kegunaan program berkenaan. "Tindakan tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan kerosakan kepada sistem yang diselaraskan kementerian.

"Ia menyebabkan data yang diambil daripada pekerja dan pendatang asing tanpa izin gagal dimuat naik ke dalam pelayar Jabatan Imigresen untuk dijumlahkan dengan statistik lain yang diterima dari seluruh negara," katanya, melalui satu kenyataan, di sini, semalam.

Alwi berkata, semua syarikat pengurus diberi amaran keras supaya tidak melakukan sebarang percubaan seumpama itu kerana gangguan sistem berkenaan berisiko mengeluarkan slip Nexcode pendaftaran pendatang asing tanpa izin dengan nombor kod rujukan berganda. Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku pendatang asing tanpa izin akan berdepan masalah ketika proses pemutihan dan pengampunan.

"Syarikat pengurus yang memerlukan bantuan untuk menyelesaikan kes seumpama ini diminta merujuk kaunter setempat di kementerian.

"Kaunter yang ditubuhkan sejak Isnin lalu sebagai inisiatif membantu syarikat pengurus menangani masalah teknikal sekiranya ada," katanya.

Sehingga kelmarin, sejumlah 1.68 juta pendatang asing tanpa izin dan pekerja asing sah sudah mendaftar melalui program berkenaan, di mana 830,837 adalah pekerja asing sah. Program 6P adalah rancagan penyelesaian menyeluruh membabitkan urusan pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran pekerja asing di negara ini.

Projek Atas Angin Pemuda UMNO

Posted: 12 Aug 2011 01:23 AM PDT


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan Keputusan Yayasan Gerakbakti Kebangsaan (YBK), satu entiti dipercayai milik Umno melepaskan 40 peratus pegangan sahamnya dalam syarikat pemaju Kuala Lumpur Eco City (KLEC) sebagai mengambil keuntungan atas angin.

Menurut Izzah, perkongsian untung berdasarkan nisbah 80:20 di antara KLEC dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu jelas mempunyai agenda tersendiri tanpa memikirkan nasib penduduk asal di kawasan itu.

"Jelas amalan untung atas angin ini sangat ketara dan tidak masuk akal sehingga tergamak melihat beratus penduduk pindah.

"Saya rasa zaman projek kerjasama ali baba sudah lama berakhir kalau dikira dengan apa kata Perdana Menteri, tranformasi dan sebagainya,"kata Izzah lagi. 

Pada 26 Julai 2011, akhbar The Star melaporkan syarikat pemaju SP Setia Sdn Bhd, bersedia mengambil alih baki saham KLEC dari YBK yang dianggarkan bernilai  RM75 juta.

"Sekiranya pengambilalihan terlaksana, ke mana keuntungan RM75 juta itu akan dibelanjakan? Bagaimanakah tindakan ini akan menguntungkan golongan sasar terutama mereka yang telah dipindahkan atau adakah ini satu contoh menerima keuntungan 'atas angin' bagi pihak Pemuda Umno?,"soalnya. 

Izzah berkata demikian ketika ditemui media dalam satu sidang akhbar ketika melawat rumah seorang penduduk Kampung Abdullah Hukum, Sugayindran Velasamy yang dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semalam.

Sugayindran Velasamy kecewa kerana rumah yang didirikan di atas tanah miliknya sejak sekian lama dirobohkan oleh pemaju bagi tujuan pembangunan projek Kuala Lumpur Eco City.

Malah Sugayindran, pemilik asal tanah berstatus hak milik kekal (freehold) seluas empat ekar sejak bergenerasi lamanya itu tidak diberikan sebarang pampasan oleh pemaju walau sesen pun.

Bercakap kepada TvSelangor, Izzah yang juga naib presiden PKR menuntut YBK yang dipengerusikan Ketua Pemuda Umno menjelaskan bagaimana KLEC memperolehi aset tersebut iaitu sebidang tanah seluas 25 ekar di kawasan tanah premium di tengah kota Kuala Lumpur.

" Kalau isu tanah dengan dokumentasi yang cukup, ianya tidak akan menjadi isu walaupun berpuluh tahun, apa yang berlaku sekarang tidak ada penjelasan daripada DBKL. Dahulu tanah adalah milik persendirian tetapi kini ianya ditukar menjadi milik DBKL, Seperti ada satu kerja pemadaman fakta yang tidak boleh dijawab oleh pihak DBKL,"ujar Izzah.

Sekarang MAS-Air Asia Pula Akan Bergabung?

Posted: 11 Aug 2011 11:11 PM PDT

Pertukaran saham di antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia bukan sahaja membangkitkan kerisauan serius tentang penguasaan AirAsia yang berkemungkinan berlakunya episod monopoli ke atas industri penerbangan tanahair, malah ia juga menyalahi peraturan urus tadbir korporat.

Menurut Ketua umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mustahil keghairahan gabungan itu membawa kepada monopoli kerana ia membabitkan broker kuasa politik.

"Malah, penglibatan Pengerusi AirAsia, Tony Fernandes dan penamanya dalam lembaga pengarah MAS turut menimbulkan konflik kepentingan walaupun beliau memegang jawatan bukan eksekutif," kata Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.


Tony Fernandes dan syarikatnya, Tune Air Sdn Bhd semalam menukarkan 10 peratus kepentingan saham dalam AirAsia dengan 20.5 peratus saham dalam MAS.

Menurut Anwar, senario yang merisaukan ini juga menimbulkan persoalan terhadap nasib program transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana ia melibatkan penggunaan wang rakyat. 

"Adakah kerajaan sekarang mengakui pemulihan MAS yang dikatakan berjaya sebelum ini adalah satu 'pertunjukan' semata-mata?"

"Najib perlu dipertanggungjawabkan kerana mengelirukan rakyat tentang hal ini," kata Anwar.

Dalam kenyataan sama, Anwar turut melahirkan kerisauannya tentang urusniaga itu yang akan menguntungkan pihak minoriti tetapi merugikan pihak majoriti.

"Saya risau urusniaga ini menguntungkan pihak minoriti dan mengorbankan pihak majoriti, iaitu pekerja MAS yang berkhidmat dengan penerbangan nasional kita dengan berdedikasi dan setia walau pun diberikan pilihan yang teruk dan tidak mendapat bonus selama bertahun-tahun," kata Anwar.

Urusniaga itu juga, kata Anwar, membangkitkan isu ketelusan kerana ia dilakukan dengan penuh kerahsiaan.

"Dalam hal ini, Suruhanjaya Sekuriti perlu menyiasat kemungkinan berlakunya urusniaga dalaman membabitkan saham kedua-dua entiti ini," kata Anwar.

Beri Masa Tiga Bulan atau Tunggu BERSIH 3.0

Posted: 11 Aug 2011 09:45 PM PDT

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga memaklumkan bahawa pihaknya belum bercadang untuk menggerakkan gelombang Bersih 3.0 dalam masa terdekat ini.

Sebaliknya, beliau berkata pihaknya kini hanya menunggu respons daripada Putrajaya berhubung lapan tuntutan Bersih 2.0 yang telah diketengahkan.

Ambiga berkata, walaupun kepincangan mengenai sistem pengurusan pilihan raya terus didedahkan dan diperkatakan namun pihaknya mengambil pendirian untuk "tunggu dan lihat" terhadap perkembangan terbaru yang akan diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam tempoh tiga bulan ini.


Pada 9 Julai lalu, Bersih 2.0 telah mengajurkan perhimpunan besar-besaran yang disertai puluhan ribu rakyat Malaysia yang turut disambut dibeberapa buah negara luar.

Jelas Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam , pihaknya kini hanya mahu SPR dan kerajaan melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0 yang disifatkan boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan sahaja.

"Kita ambil pendirian tunggu dan lihat yang mana kita mahu SPR dan kerajaan mengambil tindakan yang serius dan melaksanakan lapan tuntutan kita.

"Kita tahu ada desakan yang mahu perhimpunan Bersih 3.0 diadakan tapi kita tidak pernah membincangkan perkara itu setakat ini... tiada perbincangan dan keputusan," katanya dipetik The Malaysian Insider.

Ujarnya lagi, walaupun beliau diasak soalan sama berulang kali namun Ambiga tetap mempertahankan pendirian gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu.

"Seperti yang saya katakan kita mahu lihat reaksi SPR dan kerajaan terhadap lapan tuntutan kita.

"Sepatutnya semua tuntutan ini boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan terutamanya daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal, rasuah dan akses media," katanya.

Bersih 2.0 membuat lapan tuntutan agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Malah, isu kepincangan sistem pengurusan pilihan raya yang hangat diperkatakan kini berhubung pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat  mendapat bantahan pelbagai pihak terutamanya kepimpinan Pakatan Rakyat.

Ia didakwa menjadi semakin meruncing apabila pemastautin tetap itu juga turut didaftarkan sebagai pengundi.

Namun dengan pantas perkara itu dinafikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

Sebelum ini Pakatan Rakyat mendesak Najib memikul tanggungjawab bagi memastikan daftar pemilih benar-benar serius sekiranya tidak mahu berdepan dengan gelombang Bersih 3.0.

Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.

Buaya Kejut Sahur

Posted: 11 Aug 2011 08:30 PM PDT

Bunyi bising ayam dalam sangkar ketika waktu sahur mengejutkan seorang penduduk Kampung Tanjung di tebing Sungai Sarawak, di sini apabila pemeriksaannya membawa kepada penemuan seekor buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter, pagi semalam.

Mohammad Ali Jais, 51, berkata dia baru bangun untuk bersahur bersama keluarganya pada kira-kira jam 4 pagi sebelum terdengar ayam diternak dalam sangkar depan rumahnya bising seperti 'diganggu' sesuatu.


"Saya terus melakukan pemeriksaan selepas mendapati bunyi itu tidak berhenti, sebaliknya semakin kuat dan bergegas keluar sebelum terkejut mendapati buaya berkenaan cuba menyambar ayam saya.

"Buaya itu dilihat sudah berada di tepi sangkar dan menunggu mangsa untuk menerkam ayam itu," katanya.

Mohammad Ali berkata, dia meminta bantuan tiga jiran sebelum menangkap dan mengikat kaki buaya itu dalam tempoh 15 minit walaupun reptilia itu cuba melawan.

Mohammad Ali mengakui sering melihat buaya itu timbul di sekitar tebing Sungai Sarawak, namun kejadian reptilia terbabit naik ke darat adalah pertama berlaku di perkampungan berkenaan.

"Sepanjang menetap di perkampungan ini, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dan saya percaya buaya itu naik ke darat kerana mahu mencari makanan disebabkan kelaparan," katanya.

Katanya, dia bernasib kerana menyedari kehadiran buaya itu dan tidak menolak berkemungkinan reptilia itu bertindak ganas dan menyerang penduduk yang melalui kawasan berkenaan.

Teman Lelaki Dibelasah, Kekasih Dirogol

Posted: 11 Aug 2011 06:35 PM PDT


Seorang remaja lelaki bukan saja cedera dibelasah sekumpulan lelaki, malah teman wanitanya menjadi mangsa rogol dalam kejadian berhampiran sebuah ladang di Chembong di sini, Sabtu lalu.

Selain itu, dompet mangsa berusia 17 tahun itu bersama sejumlah wang turut dikebas kumpulan terbabit.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, remaja terbabit dan kekasihnya berusia 17 tahun dikatakan menaiki motosikal dari Kota menuju ke Chembong.

"Difahamkan, timbul perselisihan faham antara mereka menyebabkan lelaki itu memberhentikan motosikal berhampiran sebuah ladang untuk berbincang, sebelum tiba-tiba kumpulan lelaki itu muncul," katanya

Diperkosa Sebelum Berbuka

Posted: 11 Aug 2011 03:31 PM PDT


Bukan saja dirogol dan disamun, malah wajahnya turut disimbah sejenis cecair dipercayai asid menyebabkan mangsa berdepan risiko kemungkinan buta dan kini terlantar menerima rawatan di hospital.

Itu nasib yang menimpa seorang wanita bujang dan tinggal bersendirian selepasnya rumahnya dicerobohi seorang penjenayah bertopeng, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun baru pulang ke rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, selepas membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran.

Menurut sumber polis, sebaik tiba di rumah, mangsa membuka kunci pintu rumahnya tanpa menyedari seorang lelaki menceroboh masuk dan bersembunyi.

"Selepas meletakkan juadah berbuka di dapur, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian sementara menunggu waktu berbuka dan ketika itu lelaki terbabit yang bertopeng menghampiri mangsa dan merogolnya," katanya.

Tiada ulasan: