pemuda cheh |
- 3 Golongan yang haram kita membenci mereka
- Kisah Rasulullah SAW dan Buah Limau
- Umno politikkan isu larangan baca al-Quran guna pembesar suara
3 Golongan yang haram kita membenci mereka Posted: 17 Aug 2011 10:51 PM PDT Abu Umamah R.A. memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda : " Sesiapa membenci tiga golongan berikut dia adalah orang munafiq (1) Seorang Islam yang tua (2) Seorang Ulamak (3) Seorang Raja yang adil ". |
Kisah Rasulullah SAW dan Buah Limau Posted: 17 Aug 2011 06:26 PM PDT "Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya." Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di'tewas'kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW. Kita hendaklah menghargai pemberian orang lain walaupun pemberian tersebut bukan kesukaan kita. Ucaplah terima kasih dan terimalah dengan hati yang ikhlas dan terbuka kerana setiap pemberian adalah rezeki daripada Allah. |
Umno politikkan isu larangan baca al-Quran guna pembesar suara Posted: 17 Aug 2011 05:09 PM PDT Oleh NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT Selagi boleh, saya tidak mahu menyemarakkan pertembungan politik sep anjang bulan Ramadhan. Saya kira waktu yang amat bernilai ini amat sesuai digunakan untuk berzikir, membaca al-Quran dan menghayati maknanya sesuai dengan kemuliaan Ramadhan. Namun, mengambil kira bahawa nama saya disebut berulang kali oleh media massa milik Umno hari ini (16 Ogos 2011), saya ringankan tangan saya untuk menulis sedikit jawapan untuk tatapan masyarakat. Saya mengira, Umno sewajarnya tidak memainkan isu larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara ini kerana larangan menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan tidak ada kaitan langsung dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh DAP. Isu ini sebenarnya sengaja dipolitikkan sehingga menjadi polemik. Saya ingin bertanya kepada Umno, sejak bila mereka beria-ia mahu mempertahankan Islam ini? Sebelum tangan menggapai ke atas, lihat dahulu lantai berpijak. Dasar Umno sendiri ialah kebangsaan dan sekular. Islam tidak pernah ada dalam agenda perjuangan Umno. Justeru, apabila kerajaan Melaka melanjutkan tempoh pusat hiburan beberapa bulan lepas, tidak ada sebarang suara yang menentang daripada Umno. Ada pula yang sibuk mahu menggantikan PAS sebagai pembela Islam. Saya kira, ini sebenarnya satu pengiktirafan terhadap PAS yang telah berjuang sekian lama membela Islam. Barangkali pihak ini 'tidak tergamak' untuk menggantikan Umno untuk memperjuangkan Islam. Masakan tidak, bila pula pernah Umno berjuang untuk Islam? Sesungguhnya Islam itu indah kerana ia diakui sendiri oleh Allah SWT sebagai rahmat. Tetapi sayangnya cara Umno mempersembahkan Islam pada hari ini, saya lihat ia menggerunkan masyarakat bukan Islam. Apa yang tidak diajar oleh Islam, itulah yang diperbesarkan oleh Umno. Manakala apa yang benar-benar termaktub ditidakkan. Bacaan al-Quran di pembesar suara sebelum solat Subuh bukanlah sesuatu yang diajar oleh Islam, jika ia terbukti menganggu dan ada aduan, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Negeri mengeluarkan pandangan. Di Kelantan dengan kebanyakan masyarakatnya muslim mungkin tidak mengira ini sebagai satu masalah, tetapi di Pulau Pinang mungkin keadaannya berbeza. Rasulullah SAW sendiri pernah melarang seorang sahabat yang mengangkat suara di dalam masjid untuk berzikir sehingga mengganggu orang lain. Ini disebut di dalam sebuah hadis : اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ فِي الصَّلَاةِ Yang bermaksud : ""Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: "Ketahuilah sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat". – Riwayat Abu Daud. Bahkan ini pernah ditegur oleh Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis. Katanya : وقد لبس إبليس على قوم من القراء فهم يقرأون القرآن في منارة المسجد بالليل بالأصوات المجتمعة المرتفعة الجزء والجزأين فيجمعون بين أذى الناس في منعهم من النوم وبين التعرض للرياء. ومنهم من يقرأ في مسجده وقت الأذان لأنه حين اجتماع الناس في المسجد. Yang bermaksud : "Dan sesungguhnya Iblis telah mengaburi terhadap satu golongan dari pembaca al-Quran di mana mereka membaca al-Quran di mimbar-mimbar masjid pada waktu malam dengan suara beramai-ramai yang kuat samada satu juzuk atau dua juzuk lalu mereka telah mengumpulkan di antara menyakiti manusia dengan menghalang mereka daripada tidur dan mendedahkan diri kepada riya'. Dan ada di antara mereka yang membaca al-Quran di masjidnya pada waktu azan kerana pada waktu itulah manusia berkumpul di masjid…" – halaman 3, kitab Talbis Iblis, cetakan pertama 1405H terbitan Darul Kitab al-Arabi, Beirut. Tidaklah saya ingin memutlakkan pandangan Ibnu Qayyim ini agar diterima semua pihak. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada pandangan dari ulama terdahulu yang menegah untuk dibaca al-Quran dengan kuat di masjid kerana dibimbangi mengganggu tidur masyarakat sekitar. Jika terbukti tidak mengganggu, tidaklah menjadi halangan. Justeru, ia terpulang kepada keadaan setempat dan situasi semasa masyarakat. Hairannya, judi yang benar-benar dilarang oleh Islam pula nampaknya tidak diendahkan pula oleh Umno. Di Kelantan, kami disaman oleh MCA kerana menghalang premis judi daripada beroperasi dan kes ini sedang disebut di mahkamah. Saya tertanya-tanya, di mana perwira-perwira Umno dalam isu ini? Atau tiba-tiba keris telanjang Ketuanan Melayu menjadi tumpul bila berdepan dengan rakan-rakan di dalam Barisan Nasional? Saya menyeru kepada Umno, janganlah menjadi tukang solek yang menghodohkan wajah Islam. Islam tertegak di atas hujah, bukan di atas emosi. Apa jua isu, perdebatkan dengan ilmiah bukan dengan provokasi. Sayangnya, saya lihat Umno sangat cenderung untuk menjadikan sesuatu isu sebagai kontoversi kerana dengan talian hayat inilah mereka bernyawa. Hakikatnya, isu perkauman dan pertembungan agama ini sengaja ditimbulkan untuk mengeruhkan suasana. Umno mengharapkan dengan kekeruhan ini, mereka mampu muncul sebagai juara. Mereka lupa, hasil kerja tangan mereka ini bakal menjadikan suasana lebih tidak tenteram dan menjauhkan masyarakat daripada Islam. Ingatlah, dalam mengendalikan sebarang isu, ambillah pertimbangan kemuliaan bulan Ramadhan yang sedang kita lalui sekarang. Jangan dibiarkan lidah berbicara sesuatu yang sudah diketahui pembohongannya kerana dibimbangi ia hanya menggandakan dosa di sisi Allah SWT kerana menodai kesucian Ramadhan. Dan biarlah ia juga boleh menjadi jawapan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. YAB DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT, Menteri Besar Kelantan. |
You are subscribed to email updates from pemuda cheh To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan