Rabu, 31 Ogos 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Sepuluh Buah Kanopi Di Bazar Ramadan Padang MPK 2 "Musnah Di Pukul Ribut" Pada Ahad Lalu!

Posted: 30 Aug 2011 08:22 PM PDT

KUANTAN, 31 Ogos - Sebanyak 10 buah gerai jualan di Bazar Ramadan di Padang MPK2 dekat sini telah rosak teruk akibat dipukul ribut pada Ahad (28 Ramadan) lalu. Kejadian yang dipercayai berlaku semasa umat Islam sibuk berbuka puasa itu tidak mengakibatkan kecederaan kerana orang ramai sudah mula berkurangan di kawasan terbabit. Difahamkan, ketika kejadian hujan lebat turun di kawasan terbabit dan disertai dengan ribut yang cukup dasyat. Menurut seorang saksi, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku di kawasan Bazar Ramadan Padang MPK2 berhadapan dengan Stadium Darul Makmur, Kuantan. Sebelum ini kejadian yang sama melibatkan lokasi lain seperti bazar di Mahkota Square, berhadapan Masjid Negeri Sultan Hj.Ahmad Shah 1. Malah, awal Ramadan yang lalu kejadian yang sama berlaku di tapak Expo Jualan di Teluk Chempedak yang mengakibatkan lima buah kanopi rosak teruk. Kejadian terbaru yang berlaku ini sungguh mengejutkan ramai pihak terutamanya mereka yang berkunjung ke bazar Ramadan terbabit. Namun, ramai juga yang mengatakan kejadian yang berlaku itu adalah satu peringatan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang cuai terhadap kewajipan masing-masing. Ini kerana, ramai dikalangan peniaga bazar Ramadan sebenarnya membuka gerai jualan mereka sejak dari jam 4.00 petang lagi iaitu sebelum Asar. Ini menyebabkan ramai dikalangan mereka terlepas menunaikan solat Asar semata-mata mahu mencari rezeki berniaga di bulan Ramadan. Malah, selepas waktu berbuka puasa ketika itulah mereka sibuk mengemas barangan jualan masing-masing dan masih dilihat dikawasan terbabit hingga malam pada kebiasaannya. Ini menyebabkan, ramai yang terlepas menunaikan solat Maghrib, semata-mata mengejar keuntungan duniawi. Mungkin inilah yang dikatakan peringatan dari Allah.


Musnah, beginilah keadaan beberapa buah gerai jualan bazar Ramadan itu

Besi kanopi patah remuk akibat dipukul oleh ribut pada petang hari kejadian
[Justeru itu kepada umat Islam yang mencari rezeki di bulan Ramadan adalah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati selepas ini. Janganlah kerana ingin mencari keuntungan, mereka sanggup meninggalkan kewajipan kepada Allah SWT. Langkah membuka gerai jualan sebelum Asar juga antara penyebab masing-masing tidak sempat untuk bersolat. Apatah lagi selepas waktu tersebutlah begitu ramai orang berpusu-pusu untuk mendapat juadah berbuka puasa mereka. Senario ini sebenarnya berlaku di mana-mana sejak sekian lama. Ramai yang berniaga di Bazar Ramadan atas hasrat untuk mencari rezeki tapi akhirnya sia-sia bila meninggalkan tanggungjawab mereka itu. Malah, lebih mengecewakan lagi ada yang tidak menutup aurat dan berpakaian menjolok mata semasa berniaga. Ini amat bertentangan dengan kesucian bulan Ramadan itu sendiri. Lantaran itulah terkadang bala Allah datang tanpa diundang. Semuanya adalah satu peringatan untuk manusia-manusia yang lalai. Oleh itu berhati-hatilah].

Perutusan Aidil Fitri: MB Pahang Ingatkan Rakyat Supaya 'Pelihara' Keamanan Serta Kesejahteraan!

Posted: 30 Aug 2011 07:53 AM PDT

KUANTAN, 30 Ogos - Menteri Besar Pahang, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob (foto) menasihatkan agar rakyat pelihara keamanan dab kesejahteraan yang dikecapi negara sekarang ini. Beliau berkata demikian dalam perutusan Merdeka Raya MB Pahang 2011 baru-baru ini. "Janganlah kita cuba mengada-adakan perkara yang mungkin tidak sesuai untuk negara kita. Ada orang cuba mengatakan mari kita bertukar kerajaan. Saya berpandangan dan berpendapat kerajaan yang boleh ditukar adalah dalam keadaan dua cara dan dua suasana. Jika kerajaan itu zalim dan jika kerajaan itu tidak dapat menjamin rakyat boleh mendapat kemudahan asas. Kalau sebuah negara itu kerajaannya zalim, rakyat kebuluran maka wajib kerajaan itu ditukarkan. Kita semua lihatlah adakah kerajaan kita seperti yang saya sebutkan tadi", kata Adnan. Malah kata Adnan, dapat dilihat semasa 9 Julai lalu (Himpunan Bersih 2.0) pihak polis telah dengan begitu toleransi dan kerajaan sendiri dibawah kepimpinan YAB Dato' Seri Najib Tun Razak menawarkan untuk sesiapa yang ingin meluahkan perasaan mereka pergi ke stadium. "Cuba kita bandingkan dengan sebuah negara Eropah yang kita tahu, kita lihat bagaimana rakyat telah melakukan rusuhan tetapi dibiarkan oleh polis kerana Menteri Dalam Negeri mengatakan negera berkenaan perlu diseliakan, diawasi mengikut keizinan masyarakat. Oleh sebab itu polis tidak bertindak apa-apa. Maka kedai, pasaraya telah dirompak. Bahkan ada juga rakyat kita yang menderita dirompak, cedera, tetapi akhirnya beberapa hari kemudian kita dapati pihak polis juga telah mengambil tindakan yang begitu tegas sehinggakan belantan digunakan, mereka digari, dipaksa baring atas jalanraya. Polis kita tidak buat begitu. Cuba kalau polis kita berbuat begitu. Saya percaya kiamat Malaysia ni. Akan adalah orang yang akan buat tuduhan berbagai-bagai", kata Menteri Besar Pahang lagi.

[Dalam pada itu, beliau juga berharap agar semua ini menjadi ikhtibar untuk diingati oleh rakyat. Ini katanya, rakyat negara ini tidak perlu terpengaruh dengan mana-mana kejadian yang berlaku diluar negara. "Kita sewajarnya bersyukur kepada Allah kerana walaupun kita berbagai kaum tapi kita harmoni, walau pun kita berbeza pendapat pandangan politik tapi kita tidak bergaduh, dan kita berharap dengan semangat Adil Fitri ini mudah-mudahan semua kita ini saudara sesama Islam benar-benar menunjukkan kita orang Islam dan orang Islam itu bersaudara. Kita mengamalkan bahawa, kalau kita sesama Islam bersaudara maka wajib kita menghormati dan menolong antara satu sama lain dan kita berpadu, bersatu padu, berteguh hati untuk kita menghadapi ancaman yang mungkin datang dari mana-mana" katanya. Adnan turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf zahir Batin kepada seluruh umat Islam].

JAIS Mohon Tempoh Sebulan Lagi Untuk Siapkan Laporan Isu Gereja Methodist Damansara Utama !

Posted: 30 Aug 2011 07:29 AM PDT

SHAH ALAM, 30 Ogos - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memohon tempoh sebulan lagi untuk menyiapkan laporan mengenai serbuan yang dilakukan jabatan itu di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau berkata permohonan itu dibuat oleh jabatan itu pada Khamis lalu semasa beliau mengadakan perjumpaan dengan wakil JAIS dan Harapan Komuniti, penganjur majlis makan malam di gereja itu. "Pada perjumpaan itu, JAIS menyatakan mereka masih belum menyiapkan laporan dan kami memutuskan untuk memberikan masa kepada mereka bagi menyiapkan laporan itu dan tindakan lain yang perlu," katanya selepas mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam hari ini. Abdul Khalid, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran yang dibincangkan pada perjumpaan itu dan hanya berkata perjumpaan membabitkan tiga bahagian. "Yang pertamanya untuk mengesahkan fakta , dan kemudian untuk prosesnya (hak JAIS adakan pemeriksaan) dan akhir sekali sama ada pemeriksaan itu perkara biasa ataupun tidak. "Dari situ, kami boleh membuat rumusan untuk memperkemaskan laporan dan untuk mencadangkan tindakan lain," tambahnya.

[Abdul Khalid berkata JAIS berpendapat mereka mempunyai kes prima facie berdasarkan keterangan yang dikumpul berkaitan pemeriksaan di gereja itu. Beliau menambah beliau akan mengadakan dua lagi perjumpaan dengan JAIS. Menteri Besar sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri telah menubuhkan awatankuasa pendengaran untuk menyiasat pertikaian mengenai serbuan yang dibuat JAIS digereja itu. Khamis lau wakil JAIS dan Harapan Komuniti mengadakan perjumpaan dengan anggota jawatankuasa pendengaran itu yang terdiri daripada Abdul Khalid, mufti negeri Datuk Tamyes Abd Wahid dan Timbalannya Datuk A.Majid Omar].

Tiada ulasan: