Pahang Daily Online |
- Penganjur Karnival Jualan Aidil Fitri Di Hadapan Terminal Makmur Kuantan Jawab Dakwaan Buat Sambungan Elektrik Tanpa Kebenaran Oleh MPK!
- Lynas: Mahfuz Omar, Hormati Kenyataan Dr.Che Rosli Tetapi Kebimbangan Penduduk Perlu Di Teliti !
- Panas: Pakar Australia Meragui "Ujian DNA" Oleh Jabatan Kimia Malaysia Kerana Pihak Berkenaan Gagal Perolehi Pengiktirafan Pensijilan ISO17025!
- Aneh: Pengerusi SPR Tiba-Tiba Berbeza Pendapat Dengan Timbalannya, "Akui'' Guna Dakwat Kekal Lebih 'Kurang Bermasalah' Dari Sistem Biometrik
- Bicara Kes Liwat: Integriti Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Di Persoalkan, Pakar Australia Dedah Garis Panduan Penting Terhadap Ujian DNA Di Abaikan
- Warta Pahang: Dewan 'Pemuda PAS Negeri' Kesal Pengharaman Tazkirah Dan Desak Supaya Pihak MUIP Tarik Balik Larangan Tersebut Demi Islam !
- Bicara Liwat: Pakar DNA Dari Australia, Dr.Brian McDonald Jadi Saksi Pembelaan Anwar Ibrahim !
- Panas: Ahli Parlimen Pembangkang Sendiri Akui Lynas Selamat Dan Sangkal Pendedahan Yang Di Buat 'Fuziah Salleh' Tentang Isu Itu Selama Ini !!
Posted: 25 Aug 2011 08:41 AM PDT KUANTAN, 25 Ogos - Penganjur Karnival Jualan Aidil Fitri dihadapan Terminal Makmur dekat sini, menafikan laporan akhbar yang dibuat oleh seorang Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kononnya mereka membuat sambungan elektrik tanpa kebenaran. Dalam laporan Harian Metro (foto) dan Sinar Harian (19 Ogos) minggu lalu, Penguatkuasa MPK yang bernama Sarjan T.Ramathas mendakwa pihak penganjur terbabit membuat sambungan elektrik tanpa mendapat kelulusan MPK. Malah beliau juga mempertikaikan kedudukan kotak fius elektrik yang dikatakan berdekatan dengan kawasan khemah bazar berkenaan. Ramathas juga mendakwa tindakan terbabit boleh menjejaskan imej MPK kerana penganjur bersikap tidak bertanggungjawab dan lepas tangan dalam hal ini. Persoalannya sekarang, apakah wajar Penguatkuasa berkenaan mengeluarkan kenyataan media tanpa merujuk kepada pihak penganjur itu sendiri. Malah, difahamkan Ramathas hadir ke lokasi terbabit ketika operasi perniagaan masih belum dijalankan. Menurut seorang saksi, beliau hairan kenapa Ramathas yang hanya merupakan Penguatkuasa boleh mengambil tindakan mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa merujuk pihak yang berkenaan. "Saya dapati beliau jelas telah membelakangkan kepentingan awam dan mengeluarkan kenyataan berdasarkan emosinya semata-mata. Ini kerana pihak yang sepatutnya berbuat demikian bukanlah beliau. Sewajarnya dia membawa laporan tersebut kepada pihak atasan termasuk Yang Di Pertua untuk membuat siasatan. Malah, pihak penganjur juga tidak dimaklumkan kehadiran beliau pada hari tersebut. Anehnya, beliau dengan berani telah membawa pihak media untuk terus hentam dan memalukan penganjur tanpa merujuk pihak terbabit", katanya. Kenyataan Media Wajar Di Rujuk Pihak Berkaitan Sewajarnya sebuah Majlis Tempatan seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), kenyataan media haruslah dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Yang DiPertua atau pun Pegawai Perhubungan Awamnya. Langkah T.Ramathas mengeluarkan kenyataan tanpa ada siastaan dijalankan oleh bahagian elektrik atau pun merujuk kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah keterlaluan dan diluar bidang kuasanya sebagai Penguatkuasa. Umumnya, bidang tugas pihak Penguatkuasa tidak merangkumi urusan elektrik, tetapi bagaimana beliau boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Menurut sumber, segala urusan dengan pihak MPK berkenaan dengan tapak telah pun diuruskan mengikut prosedur permohonan yang betul. Urusan elektrik adalah dibawah bidang kuasa TNB dan segala yang berkaitan telah dijelaskan oleh pihak penganjur. Ini termasuklah permintaan untuk bayaran caj sambungan ke salur utama dan bayaran cagaran TNB. Difahamkan sambungan salur elektrik ke lokasi terbabit dibekalkan oleh TNB menerusi pencawangnya di kawasan Perhentian Bas Dan Teksi (Terminal Makmur) yang terletak berhampiran. Difahamkan sebelum memohon bekalan elektrik pihak TNB membuat anggaran bekalan terlebih dahulu. Oleh itu tidak timbul soal penganjur membuat sambungan tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). Maka, T.Ramathas sepatutnya merujuk masalah terbabit (jika benar dakwaannya) kepada pihak penganjur dan juga TNB sebelum mengeluarkan apa jua kenyataan media. Tindakan beliau itu jelas sekali membelakangkan Yang DiPertua MPK. Sedangkan sebagai Penguatkuasa, beliau hanya layak untuk terima aduan sahaja sebenarnya. Keratan artikel yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian (19 Ogos) Bukti, tuduhan kononnya penganjur tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan orang ramai dalam isu ini adalah tidak wajar sama sekali Soalnya sekarang, siapakah yang memberikan arahan supaya beliau mengeluarkan kenyataan itu. Bahkan, sebelum mengeluarkan kenyataan siapakah yang telah dirujuk oleh beliau agaknya?. Semua ini menimbulkan kemusykilan. Malah, tindakan tersebut jelas sekali membuktikan beliau membuat tindakan berdasarkan emosi semata-mata (tekanan kerja dan orang awam) tanpa merujuk kepada fakta sebenarnya. Malah, kenyataan beliau kononnya fius elektrik berkenaan dipagar dengan tali amaran awas "merah putih" menunjukkan beliau hanya mencari isu. Beliau harus faham bahawa Ekspo Jualan Aidil Fitri yang dikatakan Bazar Ramadan itu adalah bersifat sementara, maka sambungan bekalan elektrik juga adalah berkonsep sementara dan bukanlah kekal seperti yang diharapkan. Makanya, penyediaan "kotak fius" oleh kontraktor elektrik di kawasan terbabit sudah membuktikan keselamatan diutamakan seperti kotak fius yang sudah tertutup dan berpagar. Malah, kini kawasan itu telah dipagar semula dengan "pagar jaring" (foto) bagi meningkatkan lagi tahap keselamatannya. Masalah yang ditimbulkan kononnya ada asap yang dikeluarkan oleh kotak fius terbabit juga amatlah dangkal sama sekali. Ini kerana, masalah tersebut adalah perkara biasa yang berlaku dimana-mana eskpo besar akibat gangguan teknikal atas penggunaan bekalan individu yang berlebihan. Difahamkan juga, pihak kontraktor elektrik terbabit senantiasa "standby" setiap hari di situ. Malah, pemadam api juga disediakan pada setiap "sub dB elektrik" yang terdapat ditapak tersebut. [Justeru itu, mana-mana pegawai pihak majlis tempatan diminta lebih berhati-hati dalam mengeluarkan apa jua kenyataan media. Sewajarnya, siasatan dan rujukan perlulah dibuat terlebih dahulu sebelum berbuat demikian. Jika tidak, isu seperti ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti pegawai terbabit malah menjatuhkan juga imej majikannya. Ikutlah prosedur yang betul dalam menjalankan tugas sebagai kakitangan awam. Diharapkan apa yang berlaku ini menjadi pengajaran yang berguna kepada pihak lain selepas ini. Jangan dek kerana "nila setitik rosak susu sebelanga". Kami tidak mempunyai apa-apa kepentingan untuk memaparkan isu ini, namun ia bagi mencari keadilan untuk semua pihak. Jalan penyelesaian yang terbaik harus diambil supaya masing-masing akan mendapat faedah di kemudian hari. Manakala itu, pihak media juga wajar mendapat kenyataan dari kedua-dua belah pihak sebelum mengeluarkan artikel terbabit. Apa yang berlaku dalam kes ini, hanya satu pihak sahaja yang dirujuk oleh pihak media tanpa pengetahuan penganjur terlebih dahulu]. |
Lynas: Mahfuz Omar, Hormati Kenyataan Dr.Che Rosli Tetapi Kebimbangan Penduduk Perlu Di Teliti ! Posted: 25 Aug 2011 06:55 AM PDT KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Biarpun terdapat pelbagai pandangan, namun pandangan pakar kesihatan awam bahawa projek loji Lynas di Gebeng, Kuantan tetap akan menjejaskan kesihatan orang ramai perlu diberikan perhatian serius, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (foto). "Walaupun perlu dihormati pandangan (Ahli Parlimen Hulu Langat) Dr Che Rosli (Che Mat) yang merupakan seorang pakar dalam bidang nuklear mengenai tahap radiasi loji tersebut, tetapi kebimbangan penduduk setempat yang disokong oleh pandangan pakar kesihatan awam terhadap kesan loji tersebut ke atas mereka mestilah dikongsi bersama dan diberi perhatian serius," kata beliau. Awal Julai lalu, pakar kesihatan awam, Dr Jayabalan menyifatkan projek memperoses nadir bumi itu tetap akan menjejaskan kesihatan orang ramai setelah ia beroperasi kelak. Bercakap mengenai kesan radiasi daripada projek Lynas itu, beliau berkata, loji itu akan menghasilkan sekurang-kurangnya 20,000 tan sisa radioaktif setahun. "Walaupun Lynas dan Badan Perlesenan Tenaga Atom (AELB) menyatakan tahap radiasi lebih rendah, tetapi ianya akan berbahaya apabila terkumpul dengan jumlah yang lebih banyak," kata Dr Jayabalan. Selain pandangan pakar kesihatan awam, kata Mahfuz, rakyat negara ini terutama penduduk sekitar projek Lynas itu semakin bimbang apabila akhbar The New York Times melaporkan projek Lynas mengalami isu kejuruteraan dalam tangki simpanan, paip penghantar dan tapak kilang. Menurut akhbar tersebut, masalah yang dihadapi oleh Lynas Advanced Material Plant (LAMP) itu termasuk dinding 70 tangki takungan didapati mengalami rekahan struktur, ketirisan dan terkandung poket udara, paip tidak memenuhi ketetapan piawaian, tapak tidak dapat menebat air, dan sebagainya. Antaranya, paip keluli yang digunakan merupakan keluli biasa yang tidak dapat menahan kehausan dan kehakisan; tangki konkrit juga diperbuat oleh simen biasa dan bukan konkrit polimer lebih mahal yang bercampuran dengan bahan plastik; tapak simen kilang tersebut juga tidak dilitupi oleh penebat plastik bagi menghalang air dan kelembapan. "Penekanan Lajnah Alam Sekitar PAS bahawa rakyat yang tentang projek itu tidak beremosi kosong amat penting untuk diberit perhatian yang sepatutnya," kata Mahfuz. [Kenyataan Mahfuz ini adalah sependapat dengan Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS, Zulkefly Mohamad Omar bahawa rakyat yang membantah projek itu berpegang kepada kajian yang menyeluruh dan bersandarkan rujukan-rujukan yang tertentu sehingga terbukti bahawa salah satu isu yang dibangkitkan wakil penduduk setempat ialah mengenai ketiadaan pelan pengurusan sisa buangan diakui oleh panel Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sendiri sebagai salah satu penambahbaikan yang perlu disediakan oleh pihak Lynas dan Badan Perlesenan Tenaga Atom AELB]. |
Posted: 25 Aug 2011 02:28 AM PDT KUALA LUMPUR 25 Ogos - Adalah mustahil sperma yang banyak dapat dikesan selepas terdedah lebih daripada lapan jam menurut konsultan molekular genetik dari Australia, Dr Brian Mcdonald. Beliau yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes fitnah liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata jumlah sperma akan merosot selepas dibiarkan terdedah. Justeru pasukan peguambela meragui sekiranya pakar DNA Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong (foto) menjalankan ujian keatas spesimen sperma yang sama diperolehi dari dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan. "Sekiranya sperma diuji selepas 100 jam (tanpa simpanan betul), adakah kemungkinan ujian akan mencatatkan bacaan negatif?" tanya Ram. "Benar. Kemungkinan bukan sampel yang sama berdasarkan sejarah kajian," jawab Brian. Pada sebelah pagi, mahkamah dikejutkan dengan penemuan makmal di Jabatan Kimia Malaysia (JKM) tidak mendapat pensijilan ISO17025 yang dikeluarkan oleh American Society of Crime Laboratories Directors (ASCLD). Perkara yang didedahkan Brian itu menyatakan bahawa mana-mana makmal yang menjalankan ujian DNA harus mendapat akreditasi di peringkat antarabangsa. Namun difahamkan makmal JKM di mana ujian sperma kes liwat Saiful dijalankan gagal memperoleh sijil ISO setelah tamat pada Oktober 2005. Makmal tersebut yang diberi tempoh lima tahun daripada tarikh tamat untuk memenuhi piawaian masih tidak mendapat pengiktirafan malah diberikan tempoh lanjutan sebanyak dua kali yang akan berakhir pada Oktober nanti. [Sankara yang ditemui media selepas hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menangguhkan sesi perbicaraan hari ini menyanggah keterangan Seah sebelum ini yang menyatakan jumlah sperma yang banyak berjaya dikesan walaupun telah melebihi 90 jam. "90 jam masih kata ada banyak. (Seah) perlu jelaskan bagaimana beliau dapat. Ianya mungkin tiada sperma langsung. Itu sebab saya suruh tunjukkan foto (sperma) di mahkamah tapi mereka kata tiada," katanya. Sesi perbicaraan hari ini turut menyentuh kelalaian Seah memperbetulkan kesilapan tarikh yang dicatatkan pada dua botol spesimen yang mengandungi DNA. Botol-botol itu dilabel dengan tarikh 26 Jun 2008 sedangkan Saiful membuat aduan di Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun tahun yang sama.Menurut Brian, sebagai pakar DNA, Seah peka terhadap sebarang kecacatan sebelum mengetengahkan kepada umum dengan hasil ujian. Brian menyifatkan kemungkinan sampel diambil pada 28 Jun atau ianya telah disalah label. Katanya perbuatan Seah mampu merisikokan nyawa seseorang dan akan dibuang kerja sekiranya ianya berlaku di negara Australia. Mahkamah bersambung esok di mana Ram Karpal (foto) akan meneruskan sesi menyoal pakar dari Australia itu]. |
Posted: 25 Aug 2011 02:05 AM PDT KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda, adalah kurang bermasalah daripada menggunakan sistem biometrik. Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (foto) berkata, walaupun biometrik adalah "sistem yang sempurna" di segi teorinya, tetapi wujud kelemahan bila diamalkan. "Hujah bahawa (seseorang yang mempunyai beberapa kad pengenalan) boleh mengundi sekali sahaja dan kemudian bawa kad lain ke saluran yang berbeza, dan ia akan sepadan dengan cap ibu jarinya dan dia akan dibenarkan mengundi "Prasyarat bagi sistem ini berkesan ialah setiap orang mempunyai hanya satu kad pengenalan sahaja," katanya. Dibanding dengan dakwat kekal, katanya, sistem tersebut boleh juga bermasalah pada hari mengundi dan menyulitkan prosesnya. Abdul Aziz berkata, pihaknya mencubanya dengan 50 orang dan purata masa bagi setiap orang adalah 10 saat, tetapi menghadapi masalah apabila mesin tidak dapat mengesannya. "Dengan dakwat kekal, anda hanya perlu celup jari dalam dakwat," katanya. Beliau juga berkata sistem biometrik "sangat mahal" dan memerlukan sekurang-kurangnya tujuh bulan. Abdul Aziz juga menafikan dakwaan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa dakwat kekal boleh digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menandakan pengundi naif supaya mereka hilang kelayakan mengundi. [Kenyataan Pengerusi SPR ini terkadang nampak menarik dan baik untuk diperkatakan, namun disebalik itu timbul kemusykilan kenapa beliau kini mengeluarkan kenyataan "lembut" yang sealiran dengan kerajaan UMNO BN itu sendiri sekarang. Jika dulu, Tan Sri Aziz Yusof begitu lantang mempertahankan sistem SPR yang ada sekarang adalah yang terbaik dan beliau secara terang-terangan mengutuk perhimpunan Bersih 2.0 awal Julai lalu. Namun, kini nadanya sudah berbeza bahkan rentaknya pincang sama sekali dengan timbalan beliau sendiri. Apakah dia benar-benar insaf untuk melihat pilihanraya yang adil dan saksama tertegak di bumi Malaysia ini. Atau ia mungkin satu "trick" yang dilakukan untuk mengaburi mata rakyat supaya menerima apa saja ketetapan yang bakal dibuat oleh SPR pada PRU13 nanti. Inilah yang perlu kita fikirkan sekarang, kerana manusia tidak semudah itu akan berubah jika bukan kerana ada "udang disebalik mee". Apapun, teruskan perjuangan rakyat demi masa hadapan]. |
Posted: 25 Aug 2011 01:31 AM PDT KUALA LUMPUR 25 Ogos - Integriti Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dipersoal apabila mahkamah diberitahu bahawa ahli kimia jabatan itu mengabaikan garis panduan penting ujian DNA. Perkara itu didedahkan pakar DNA Australia, Dr Brian McDonald yang menjadi saksi kelima kes fitnah liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Brian dalam keterangannya menyatakan bahawa ahli kimia dari JKM, Nor Aidora Saedon mengabaikan prosedur penting ketika menjalankan analisis sperma yang dikaitkan dengan Anwar. Katanya, Nor Aidora mempunyai peluang untuk memperbetulkan keputusan ujian tersebut namun tidak berbuat demikian. "Apa yang beliau ada merupakan bukti campuran (DNA), lebih daripada seorang. Tapi beliau secara khusus mengabaikan perkara itu," jelas Brian di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah. Peguam Ram Karpal dalam prosiding hari ini menimbulkan kesangsian terhadap ujian sampel sperma yang diambil dari dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan dan mendakwa ianya milik Anwar. Anwar sebelum ini ditahan semalaman di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008 dan dibebaskan keesokkan harinya selepas sesi keterangan selesai. Pasukan forensik PDRM kemudian mengambil sampel DNA pada sehelai tuala muka 'Good Morning', berus gigi, botol air mineral dan sehelai rambut yang ditinggalkan Anwar untuk dikaitkan dengan 'lelaki Y' iaitu DNA sperma. Peguambela kemudian mendakwa polis sengaja memerangkap anak guamnya dengan meletakkan barang-barang tersebut agar Anwar meninggalkan sample DNAnya. Sehubungan dengan itu berdasarkan ujian oleh ahli kimia JKM termasuk pakar Dr Seah Lay Hong mengesahkan 'lelaki Y' adalah ketua pembangkang, Anwar Ibrahim. [Sankara yang ditemui media selepas mahkamah berehat berkata, Jabatan Kimia Malaysia seharusnya mengemukakan bukti foto sampel air mani yang diambil untuk mengukuhkan dakwaan. "Kaca (spesimen) diletakkan di bawah mikroskop dan terus anda boleh nampak sperma mati atau hidup. Sebab itu kita minta foto ditunjukkan di mahkamah," ujar beliau. Katanya sehingga kini JKM gagal berbuat demikian. Menurut Sankara lagi, makmal JKM mempunyai dua garis panduan dalam menjalankan ujian DNA malah jabatan itu tidak mempunyai akraditasi penuh dari panel antarabangsa. Beliau menyatakan bahawa ujian DNA yang dilakukan oleh Seah dan Nor Aidora berlainan. "Kedua mereka perlu guna garis panduan yang sama di dalam makmal. Prosedur ujian perlu sama," kata Sankara]. |
Posted: 25 Aug 2011 12:37 AM PDT TEMERLOH, 25 Ogos - Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini melahirkan rasa kesal dan membantah arahan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang melarang penyampaian tazkirah Ramadan di semua masjid dan surau seluruh negeri ini. Sementara itu Ketua Pemudanya, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim (foto), menganggap 'pengharaman' berkenaan sebagai satu kejutan baru di Malaysia selepas negara ini diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam. Baru-baru ini, telah muncul di sebuah stesen televisyen dalam slot berita tengah hari (22 Ogos lalu) mengumumkan larangan mengadakan tazkirah Ramadhan di semua surau dan masjid seluruh negeri Pahang dengan alasan telah menggangu ibadah orang lain dan majlis ilmu. Difahamkan, kebanyakan masjid di bawah MUIP sudah menghentikan majlis tazkirah selepas sembahyang zohor dan sembahyang tarawih. Shahril dalam edaran medianya yang kesal dengan arahan tersebut, menyoal adakah pengharaman tazkirah ini hanya berdasarkan aduan seorang individu atau Exco Kerajaan Negeri lalu tanpa sebarang siasatan terus mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Nyatakan Kebenaran Bukanlah Bermakna Politik "Sepatutnya MUIP sebagai sebuah institusi agama yang besar bertindak lebih matang dan berakhlak dengan memanggil penyampai tazkirah untuk menyiasat adakah benar beliau menyampaikan tazkirah yang bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, bukannya mengharamkan tazkirah dan menyekat majlis ilmu. "Tazkirah menjadi dimensi untuk mendidik umat Islam secara tidak langsung. Institusi pendidikan bukan sekadar di sekolah, kolej atau universiti semata-mata. Malah masjid, surau dan madrasah menjadi platform menyuburkan Islam sejak zaman berzaman. "Kemungkinan pula hala tuju larangan itu menjurus kepada tazkirah menjadi ceramah politik. Takkan lah seorang pentazkirah apabila menghuraikan ayat-ayat al-Quran yang mengharamkan riba, rasuah, judi, haramnya bersalam antara lelaki dan perempuan, wajib pakai tudung dan sebagainya sudah dikira mengganggu ibadah orang ramai?" soalnya. Shahril juga berkata, kini rakyat bertambah malu untuk menobatkan Malaysia 'Negara Islam' apabila ajaran Islam cuba dihalang oleh orang Islam sendiri, apatah lagi yang halang itu sebuah institusi yang bertanggungjawab menjaga agama. Tambahnya, tazkirah yang diadakan sekadar mengulas ayat al-Quran yang dibaca ketika bersolat. Kejahilan Akan Bertambah Andai Agama Di Sekat Sekiranya menyentuh pelbagai isu mengenai kehidupan manusia, itu realitinya sebuah kitab suci. Al Quran diturunkan dari Allah Taala yang mengatur segala kehidupan manusia. "Apabila proses memberi kefahaman, ayat-ayat Allah berlaku, orang ramai akan faham maksud isi kandung al-Quran. Ketika sembahyang mereka akan mengingati maksud-maksud ayat yang dibaca imam. Sembahyangnya tentu menjadi lebih khusyuk dan iman semakin menebal. "Perlu diingat, kejahilan umat Islam dalam menghayati ajaran Islam dalam segala aspek kehidupan boleh menjerumuskan umat Islam kepada gejala murtad. Adakah pihak Muip akan bertanggungjawab di hadapan Allah kelak diatas kejahilan umat Islam di Pahang yang boleh membuka ruang kepada terdedahnya gejala murtad?" soalnya lagi. Oleh itu, DPPNP membantah keras larangan ini dan mendesak supayaTimbalan Pengarah MUIP, Dato' Sri Wan Hj Abdul Wahid bin Wan Hassan (foto) menarik balik larangan tazkirah kerana ia akan menyebabkan orang jahil bertambah jahil dan orang alim membisu, maka ia akan beri kesan kepada kehancuran sebuah negara itu. [Awal Ramadan yang lalu, Exco kerajaan negeri Pahang, Dato' Wan Adnan Wan Mamat (foto) pernah mempertikaikan tazkirah semasa solat Tarawih atas alasan ia berunsur politik dan mengelirukan umat Islam. Malah, beliau juga berharap agar pihak berkenaan mengambil tindakan teas atas perkara ini. Persoalannya, memang benar bila bercakap agama ia akan menyentuh soal sikap dan perangai seseorang Islam itu sendiri. Makanya, apakah membaca ayat-ayat Allah itu boleh dikategorikan sebagai politik? Sedangkan ia terkandung dan termaktub dalam Al-Quran. Manusia perlu didik agar menjadi lebih baik dari semalam. Maka, jika larangan ini dikuatkuasakan akhirnya ajaran Islam itu sendiri akan tersekat dan besar dosanya bila menghalang penyebaran agama Allah atas muka bumi ini. Justeru, pihak MUIP diminta mengkaji dulu sebelum melaksanakan sesuatu tindakan. Ingatlah, Allah melihat apa yang kita kerjakan. Oleh itu, bekerjalah untuk agama dan bukannya untuk kepentingan politik tertentu]. |
Bicara Liwat: Pakar DNA Dari Australia, Dr.Brian McDonald Jadi Saksi Pembelaan Anwar Ibrahim ! Posted: 25 Aug 2011 12:14 AM PDT KUALA LUMPUR 25 Ogos - Hari ke empat sesi pembelaan kes fitnah liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pakar DNA Australia, Dr Brian McDonald (foto) mengambil tempat di kandang saksi. Brian yang juga dari Australia sebelum itu disoal terlebih dahulu oleh peguambela Ram Karpal, dan akan diikuti dengan pemeriksaan balas oleh peguamcara 11, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidan, yang mengetuai pasukan pendakwa. Beliau yang berpengalaman dalam bidang kajian DNA dijemput khas oleh peguambela untuk memberi pandangan bersabit alatan dan prosedur operasi standard (SOP) makmal kimia untuk tujuan analisis sampel DNA. Menjawab soalan peguam Ram Karpal, Brian menjelaskan jenis-jenis kelengkapan makmal kimia yang kebiasaannya digunapakai makmal di seluruh dunia termasuk di Jabatan Kimia Malaysia (JKM). Menurut Brian lagi, selepas menerima data daripada kedua-dua ahli kimia Malaysia, beliau telah membuat satu laporan berasingan. Laporan bertajuk 'Report of Malaysian Version in the case of PP vs AI' disediakan beliau pada tahun 2009. Dalam keterangannya, Brian menjelaskan tentang beberapa terma dalam ujian DNA. Brian menjelaskan terma seperti starter, peaks, polymerase Chain Reaction (ujian PCE), dan electropherograms. Beliau juga menjelaskan tentang istilah 'short tandem repeat' (STR) dan 'loci' dalam ujian DNA. Jelasnya lagi, DNA dari darah, mani darah, dan sampel badan seseorang itu, adalah sentiasa serupa. Oleh itu katanya, terdapat garispanduan standard antarabangsa agar ia boleh ditafsirkan di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun ulasan teperinci Brian itu mendapat bantahan Timbalan Pendakwaraya (DPP) Datuk Yusof Zainal Abiden dengan alasan saintis itu tidak layak memberi sebarang pandangan memandangkan beliau tidak menganggotai lembaga JKM. Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah yang menerima bantahan itu kemudian mengarahkan Brian untuk memberi keterangan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman beliau dalam aspek ujian makmal. [Pada perbicaraan kes hari ini, pendakwaraya turut menjemput pakar forensik DNA Jabatan Kimia Malaysia Dr Seah Lay Hong bertindak sebagai pemantau. Pakar kimia Dr Seah dan Nor Aidora Saedon sebelum ini mengesahkan bahawa sampel DNA 'lelaki Y' adalah milik Anwar. Walau bagaimanapun pasukan pembelaan mempertikaikan keputusan ujian makmal yang disifatkan tidak mengikut standard antarabangsa malah menuntut bukti ujian itu dikemukakan kepada mahkamah. Anwar yang dari awal menafikan tuduhan itu turut mengecam tindakan polis yang mengambil sampel DNA beliau tanpa kerelaan selepas ditahan semalaman di IPK Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008. Selepas dibebaskan keesokkan hari, pasukan forensik PDRM telah mengambil sehelai tuala 'Good Morning', berus gigi, botol air mineral dan sehelai rambut dari lokap tersebut dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kimia bagi tujuan analisis]. |
Posted: 24 Aug 2011 09:36 AM PDT KUANTAN, 25 Ogos - Orang ramai disekitar bandar ini panik dan terkejut dengan laporan eksklusif terbaru TV3 berkenaan isu Lynas malam tadi. Laporan yang dihoskan oleh pengacara sensasi Karam Singh Walia (foto) itu telah disiarkan dalam Buletin Utama stesyen TV terbabit. Antara lain laporan berkenaan mendedahkan bahawa kilang memproses "rare earth" milik Lynas Corporation Australia yang dijangka akan memulakan pra-operasinya di kawasan Perindustrian Gebeng pada September ini adalah selamat. Malah, Karam Singh turut mendedahkan dan membongkar beberapa maklumat palsu yang kononnya telah disajikan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh selama ini. Susulan pendedahan itu, ramai pihak yang menghubungi kami untuk bertanyakan apa yang sebenarnya telah dibongkarkan malam tadi. Mereka seolah-olah panik dengan pembongkaran yang dibuat oleh TV3 itu. Tambahan pula individu yang memberikan maklumat tersebut adalah dua orang saintis yang pakar dalam bidang nuklear iaitu Profesor Dr. Ahmad Termizi Ramli (Pakar Keselamatan Radiologi & Kesihatan) dan Dr Che Rosli Che Mat (Saintis Nuklear). Tambah mengejutkan lagi ialah Dr.Che Rosli juga adalah merupakan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mewakili Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagi kawasan Hulu Langat, Selangor. Persoalannya, jika ia didedahkan oleh wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) mungkin ia tidak menjadi isu, tetapi pendedahan terbaru ini dibuat oleh wakil rakyat pembangkang sendiri. Maknanya, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dalam isu ini sebenarnya. Ada Risiko Bukan Alasan Haramkan Kilang Lynas Dalam pendedahannya, Profesor Dr. Ahmad Termizi (foto) berkata adanya risiko bukan alasan untuk mengharamkan sesuatu perkara. Risiko mesti berpadanan dengan manfaat. Ini persoalan seterusnya. Jadi risiko yang ada pada aras yang terlibat dengan dos sinaran pada aktiviti seperti Lynas, terlalu rendah atas apapun untuk mengharamkannya. "Isu ini tiada kaitan dengan bahaya sinaran. Aras bahaya sinarannya terlalu rendah setara dengan alam sekitar, setara dengan yang sediada di alam sekitar. Kalau mematuhi peraturan-peraturan yang sediada di negara ini pun. Yang juga memenuhi standard piawaian antarabangsa. Isu ni isu yg dimanipulasikan untuk kepentingan tertentu. Jadi dalam banyak keadaan data-data yang dikemukan tu tak dapat dipertahankan sebenarnya secara saintifik. Jadi cuma dispinkan. Digembar-gemburkan. Data-data yang pada saya kadang-kadang palsu dan tidak ada kena mengena." katanya. Beliau turut melahirkan rasa kesalnya jika kerajaan menunduk kepada desakan pihak tertentu untuk menghentikan operasi kilang kimia Lynas. "Jadi saya rasa sedihlah kalau kita, negara ini membuat sesuatu keputusan yang sangat besar, genting kepada kepentingan negara berdasarkan kepada emosi, berdasarkan kepada propaganda dan tidak berdasarkan kepada ilmu, berdasarkan kepada kepakaran yang sediada dalam negara ini sebenarnya", tambah beliau lagi. Beliau juga menyangkal pembohongan Fuziah bahawa kilang Lynas terbabit tidak dapat beroperasi di Australia kerana tidak dilesenkan kerajaan negara itu. "Lynas juga dapat lesen untuk melakukan proses ini di Australia tapi kos tinggi. Jadi pertimbangan di sini ialah kos ekonomik, pertimbangan keberkesanan kos, cost effectiveness. Jadi mereka memilih di Malaysia kerana Malaysia mempunyai infrastruktur yang baik dan kos pengeluaran per unit yang boleh bersaing di pasaran dunia. Jadi kita dipilih dalam konteks itu. Pada pandangan saya, satu peluang win-win situation. Sama-sama untung." kata Prof Dr. Ahmad Termizi. Pendedahan Fuziah Salleh Tidak Masuk Dek Akal Sementara itu, turut didedahkan ialah kenyataan Fuziah Salleh yang tidak masuk akal bila mengatakan kilang kimia Lynas itu ialah kilang loji nuklear yang sama seperti loji nuklear di Fukushima, Jepun yang dilanda kebocoran radiasi akibat tsunami awal Mac lalu. Menurut Dr Che Rosli Che Mat (foto) pula, "Mereka menakutkan orang ramai mengatakan bahawa Lynas ni loji nuklear sedangkan dia hanya memproses bahan tabii iaitu nadir bumi daripada Mount Weld yang lebih rendah daripada kalau kita main lombong bijih, lebih rendah dari segi radiasinya. Yang membawa isu ni PKR. Jadi saya bersabar lama dan saya pernah dapat warning daripada Penerangan PAS mengatakan YB jangan buat komen apa-apa. Saya terima. Saya tidak bercakap. Tapi tidak adil. Mereka buat komen setiap keluaran Harakah dengan bahasa yang kita kurang senang lah. Adakah Lynas itu sebagai loji nuklear? Pernah Dr Mitzi nampak sebagai loji radiationlah apa semua macam-macam. Dia spin.""Saya pun malu. Saya orang PAS juga. Jadi akhirnya saya buat keputusan saya sebagai saintis nuklear, saya datang hari ini. Apa dia orang nak kata, kata lah", katanya. Tambah beliau, penduduk Kuantan tidak perlu takut dengan kewujudan kilang kimia Lynas. "Jadi benda-benda macam tu tuduhan yang tidak saintifik, tidak akademik langsung. Tuduhan-tuduhan yang macam tu lah, maknanya pada masyarakat, pada rakyat tidak perlu takut. Mereka boleh sendiri nanti melihat sendiri masuk ke Lynas melihat apa saja, apa yg dibina, apakah masa depannya, apakah kemudahan-kemudahan yang ada untuk menjaga keselamatan pekerja dan juga orang awam", katanya lagi. Beliau turut akui bahawa kilang proses rare-erth milik Lynas itu adalah selamat. "Setelah saya melihat dari segi infrastrukturnya, dari segi bahan yg dibawa, saya sendiri pantau, monitor, Lynas selamat. Dengan kaedah-kaedah yang akan digunakan dan dengan bantuan daripada agensi nuklear kita akan pantau, AELB akan pantau dan sebagainya dan juga environment", kata Dr Che Rosli Che Mat lagi. [Kami tidak mahu mengulas panjang senario terbaru ini. Namun bagi kami apa yang diperkatakan oleh dua saintis terbabit perlulah diambilkira, kerana mereka sebenarny tidak mempunyai apa-apa kepentingan dengan mendedahkan apa yang tersirat di hati selama ini. Mungkin penjelas lebih relevan perlu diberikan terhadap isu yang cukup sensitif buat rakyat Kuantan ini. Malah, persoalannya jika Ahli Parlimen Pembangkang sendiri mengeluarkan kenyataan sedemikian maka apakah lagi yang mahu rakyat perkatakan. Dr.Che Rosli masih Ahli Parlimen PAS dan tidak pernah sama sekali menjadi Ahli Parlimen Bebas. Beliau juga merupakan Saintis dalam bidang nuklear, maka sudah pasti fakta yang diberikannya itu juga boleh diambilkira pada masa ini. Terkadang, ada perkara yang kita sendiri tidak tahu sepenuhnya tetapi sengaja buat-buat tahu untuk bermain dengan isu. Kami melihat, isu ini akan terus menjadi buah mulut penduduk Kuantan selagi ia tidak dibatalkan. Namun, kilan Lynas itu dijangka memulakan operasi dalam masa terdekat ini. Apakah wajar ia ditutup selagi belum ada bencana yang menimpa penduduk gamaknya. Fikirlah dengan sebaiknya]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan