Selasa, 16 Ogos 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Warta Pahang: SPR Perlulah Guna Kuasa Mencari Cara Berkesan Bersih Penyelewengan Pilihanraya

Posted: 16 Aug 2011 12:33 AM PDT


TEMERLOH, 16 Ogos - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menggunakan kuasa diperuntukkan kepada mereka untuk mencari kaedah baru lebih berkesan bagi penambahbaikan usaha membersihkan senarai pemilih supaya kewujudan pengundi hantu atau sebarang bentuk penyelewengan dapat dielakkan. Timbalan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hashim Abdullah (foto) berkata, penafian SPR kononnya tuduhan parti politik bahawa SPR gagal meyakinkan orang ramai terhadap peranan SPR dalam menyediakan senarai pemilih yang bersih, adil dan telus apabila terlalu banyak pendedahan gagal dijawab SPR ataupun dijawab secara tidak meyakinkan. Menurutnya, SPR bertanggungjawab menyediakan sistem kerja yang bebas terutama senarai daftar pemilih jika mereka mahu sistem demokrasi berpilihan raya berjalan dengan baik dan dihormati. "Peraturan sedia ada menyukarkan pembabitan orang ramai membetulkan kepincangan dalam senarai daftar pemilih kerana syarat bantahan dikenakan bayaran RM10, sedangkan ia amat penting dan sepatutnya dilakukan SPR dengan penuh ikhlas serta bertanggungjawab. "Kini, setiap bantahan dikenakan bayaran RM10 dan RM200 bagi setiap bantahan yang ditolak. Keadaan ini tidak masuk akal jika senarai daftar pemilih yang dibantah terlalu banyak," katanya.

[Hashim berkata, SPR perlu menyediakan kaedah yang membolehkan orang ramai terbabit dalam proses menyemak dan membantah senarai pengundi tidak sah serta tidak wajar tanpa mengenakan sebarang bayaran. "Bayaran kepada orang ramai yang membuat bantahan perlu dihapuskan kerana ia tidak menggambarkan ciri telus dan adil. SPR juga perlu memastikan hak orang ramai memilih pemimpin disukai dalam kalangan mereka adalah terjamin dan diperlihatkan keyakinan itu. "Jika SPR berpendapat bahawa akta baru atau pindaan akta perlu dilakukan untuk melaksanakan tanggungjawab itu, maka ia perlu diajukan kepada kabinet untuk dibawa dan dibahaskan di Parlimen," katanya. Menurutnya, langkah SPR yang selama ini suka berdolak-dalik berhubung kelemahan dan kepincangan mereka dengan memberikan alasan tidak mempunyai kuasa adalah sungguh memalukan].

Warta Pahang: Pemuda Yang Di Tuduh Membawa Pisau Semasa Himpunan Bersih 2.0, Hantar Notis Saman RM10 Juta Terhadap Berita Minggu - NSTP

Posted: 15 Aug 2011 10:20 PM PDT

TEMERLOH, 16 Ogos - Seorang Pemuda Unit Amal PAS yang pernah digambarkan oleh akhbar Berita Minggu sebagai 'perusuh yang membawa pisau' dalam himpunan Bersih 9 Julai lalu, menghantar notis tuntutan fitnah terhadap akhbar berkenaan. Abdul Razak Endot, 33, dalam notis yang difailkan melalui syarikat guaman Sazali & Lim dan ditujukan kepada Ketua Pengarang Berita Minggu serta penerbit dan pencetak syarikat The New Strait Times Press (M) Bhd., meminta pihak berkenaan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta. Dalam notisnya, pihak berkenaan juga diminta memberhentikan penyebaran fitnah dan menerbitkan permintaan maaf tanpa syarat. "Tindakan ini perlu bagi membersihkan imej saya yang tercemar teruk akibat penyiaran gambar dan ulasan akhbar berkenaan," katanya kepada Harakahdaily. Akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Julai iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur di halaman muka depannya telah menyiarkan gambar seorang pemuda bertubuh sasa dan bertopeng sambil memegang pisau. Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak, berkata tangannya memegang bendera jalur gemilang bukannya pisau sebagaimana kapsyen di bawah gambar akhbar berkenaan tetapi gambar tersebut telah diubah suai. Bercerita lanjut, Abdul Razak berkata beliau turun ke Kuala Lumpur pada perhimpunan tersebut sebagai anggota Unit Amal PAS yang diajar dengan disiplin tinggi. Beliau diarahkan mengawal keselamatan puluhan ribu rakyat di hadapan menara Maybank. Katanya, pada masa itu Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata. Bagi mengawal pemimpin, beliau sempat mengutip kelongsong gas yang masih berasap itu lalu membalingnya ke atas rumput bukannya ke arah pihak polis ujarnya.


Tambahnya lagi, gambar yang disiarkan akhbar berkenaan seolah-olah memegang pisau dan membaling batu sedangkan beliau memegang bendera jalur gemilang dan membaling kelongsong gas ke tepi. Serentak dengan itu, beliau menganggap akhbar kawalan UMNO itu berniat jahat dan fitnah sehingga merosakkan nama baik serta reputasinya serta dipandang rendah oleh masyarakat. "Saya merupakan seorang peniaga dan imej yang dipaparkan oleh akhbar berkenaan amat negatif menyebabkan saya boleh dipandang serong oleh masyarakat dan pelanggan. Sebab itu saya mahukan keadilan dan imej saya dibersihkan. "Saya juga sering terlibat dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan. Jadi jika gambaran ganas itu tidak ditarik akan terus merosakkan imej saya di mata masyarakat," tambah beliau lagi.

[Sementara itu, Abdul Razak memberitahu notis yang telah dihantarnya itu memberi tempoh 21 hari kepada pihak akhbar berkenaan untuk dipatuhi. Jika tidak, tindakan undang-undang seterusnya akan diambil. Apa yang diedahkan itu sungguh mengejutkan dan terbukti gambar-gambar berkenaan telah diubah suai sedemikian rupa untuk menunjukkan seolah-olah peserta demontrasi Bersih 2.0 bertindak ganas terhadap polis. Namun, hakikatnya adalah berbeza daripada apa yang dipertakan dan hanya mereka yang berada di lokasi berkenaan lebih mengetahui apa yang terjadi. Justeru itu media arus perdana digesa tidak terlalu taksub memaparkan berita dengan menutup kebenaran dan menyebarkan kepalsuan. Jika ini terus dilakukan, maka rakyat pasti akan semakin meluat dan menyampah terhadap kerajaan UMNO Barisan Nasional sebenarnya].

Bekas Menteri Bebas, Mahkamah Tinggi Putuskan Felda Gagal Dalam Kes Saman Fitnah RM200 Juta!

Posted: 15 Aug 2011 09:48 PM PDT


KUALA LUMPUR 16 Ogos - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan syarikat pelaburannya gagal dalam saman fitnah RM200 juta terhadap bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Dr. Tan Kee Kwong (foto). Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof dalam keputusannya berkata, meskipun beliau mendapati perkataan tersebut berunsur fitnah dan ia merujuk kepada Felda selaku plaintif namun lembaga tersebut telah gagal membuktikan bahawa Kee Kwong telah menyebut perkataan fitnah itu serta bertanggungjawab ke atas penyiaran artikel tersebut dalam akhbar Suara Keadilan. Menurut hakim, plaintif telah gagal memanggil Faizal Zakaria yang ketika itu wartawan akhbar Suara Keadilan untuk memberikan keterangan di mahkamah bagi mengesahkan bahawa Kee Kwong telah menyatakan perkataan fitnah ketika ditemubual. "Berikutan ini, kes ditolak dengan kos," katanya. Hakim Zabariah mengarahkan kos sebanyak RM70,000 kepada Tan, meskipun peguamnya Razlan Hadri Zulkifli dan Ho Kok Yew meminta RM100,000. Tan yang menitiskan air mata kegembiraan kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada hakim dan berkata tindakan itu tidak akan membantutkan usahanya memperjuangan keadilan serta kebenaran.

[Pada 25 Januari lalu, Felda dan anak syarikatnya menyaman Dr Tan berhubung satu artikel muka depan akhbar Suara Keadilan bertajuk 'Kontroversi' yang didakwa memfitnah mereka. Artikel itu bersambung pada muka tiga dengan tajuk "Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu." Plaintif mendakwa artikel itu memfinah mereka kerana perkataan-perkataan itu menunjukkan bahawa pengambilan balik dan pembinaan Menara Felda di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur akan memberi manfaat kepada kroni. Dalam kenyataan pembelaannya, Dr Tan berkata perkataan yang dibuat atau mengandungi ulasan dan menzahirkan pendapat itu merupakan ulasan adil berhubung kepentingan awam seperti kedudukan kewangan, perbelanjaan, pengurusan dan kegiatan plaintif. Dr Tan menafikan bahawa perkataan itu dengan cara apa pun memfitnah plaintif dan dalam konteks artikel itu, jika diambil secara menyeluruh, perkataan itu tidak bermakna atau boleh membawa sebarang makna seperti yang di dakwa oleh pliantif tersebut].

Isu Pahang: Kuantan River Cruise Kini Beroperasi Semula, Tapi Ramai Pihak Kecewa Tindakan MPK!

Posted: 15 Aug 2011 05:13 PM PDT

KUANTAN 15 Ogos - Ramai pihak di bandar ini terkejut dengan tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menamatkan kontrak dengan sebuah syarikat bumiputera (Melayu) yang menguruskan operasi Kuantan River Cruise (foto) sejak sekian lama. Difahamkan, mulai 15 Julai lalu kontrak menguruskan perkhidmatan tersebut telah diserahkan kepada ayarikat Sentoria Themeparks and Resort Sdn. Bhd. (Sentoria Themeparks and Resort) iaitu sebuah syarikat yang juga menguruskan Bukit Gambang Resort City (Waterpark) dekat sini. Persoalannya, kenapa MPK boleh mematikan perniagaan orang Melayu (Bumiputera) dan menyerahkan projek tersebut kepada syarikat terbabit. Difahamkan, operasi Kuantan River Cruise terbengkalai agak lama juga akibat masalah kewangan syarikat pengendali sebelum ini. Malah, MPK dipercayai telah mengenakan berbagai peraturan dan syarat yang tidak munasabah sehingga menyebabkan pihak terbabit "gulung tikar". Persoalannya, kenapa projek tersebut tidak diberikan kepada syarikat bumiputera lain yang berwibawa untuk melaksanakannya. Kuantan River Cruise adalah salah satu produk pelancongan yang menjadi daya tarikan orang ramai yang berkunjung ke bandar Kuantan. Lokasi terletak di Jeti Syahbandar, ialah Taman Esplanade berhadapan dengan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan bersebelahan bangunan ibu pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu sendiri.

[Kuantan River Cruise beroperasi setiap hari dan pengunjung boleh menaiki bot untuk menikmati keindahan pesisiran Sungai Kuantan. kadar tambang yang dikenakan juga sangat berpatutan iaitu hanya RM18 bagi dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak bagi satu pusingan yang mengambil masa kira-kira 40 hingga 45 minit. Kuantan River Cruise beroperasi pada setiap Isnin, Selasa dan Khamis bermula pukul 2.30 petang, 4 petang, 6.30 petang dan berakhir pukul 8 malam. Pada hari Jumaat pula, perkhidmatannya bermula pukul 11.30 pagi, 2.30 petang, 4 petang dan 6.30 petang manakala untuk sesi malam pula bermula pada pukul 8 dan 9 malam. Perkhidmatan Kuantan River Cruise ditutup pada setiap hari Rabu kecuali cuti sekolah dan cuti umum. Apa yang dipertikaikan sekarang ialah tindakan MPK memberikan projek itu kepada sebuah syarikat yang sudah "kaya raya" dengan mengorbankan syarikat Bumiputera yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya. Jika inilah keadaannya, maka akhirnya banyak syarikat Bumiputera akan berhadapan dengan masalah sebenarnya. Justeru itu, sewajarnya keutamaan kepada mereka].

Warta Pahang: NGO 'Haluan' Bawa Masuk Rakyat Palestin Ke Negeri Ini Sempena Bulan Ramadan !!

Posted: 15 Aug 2011 04:27 PM PDT

KUANTAN 15 Ogos - Sebagai usaha membantu penduduk Islam di Palestin, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) Pahang mengambil inisiatif membawa 10 rakyat negara itu ke negeri ini sempena Ramadan ini. Naib Setiausaha HALUAN Pahang, Abdul Bashir Abdul Ghani (foto) berkata, 10 rakyat Palestin itu dibawa masuk bertujuan memberi tazkirah pada solat tarawih di masjid-masjid terpilih di seluruh negeri ini. Beliau berkata, antara rakyat Palestin yang ditugaskan memberikan tazkirah ialah seorang penuntut Universiti Al-Azhar, Mesir, Ali Al-khotibi Abdul Hakim, 19. "Penuntut jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab itu ditugaskan untuk memberikan tazkirah kepada jemaah masjid pada solat tarawih. "Jemaah juga berpeluang untuk beribadat sambil menderma dalam tabung khas yang disediakan bagi membantu rakyat Islam Palestin," katanya. Beliau berkata, wang itu akan disalurkan kepada Ikatan Ulama Palestin, anak yatim, orang miskin dan pesakit kronik. ''Sumbangan dana itu diharap dapat membebaskan rakyat Palestin daripada cengkaman keganasan Israel," tegasnya. Mereka yang ingin memberikan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Tabung Palestin Haluan di Maybank menerusi nombor akaun 5644-9020-8528 atau akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di 14-023- 01-003429-2.

[NGO Haluan adalah antara pertubuhan bukan kerajaan yang cukup aktif dalam memperjuangkan isu-isu rakyat Palestin. Malah, mereka juga turut menghantar wakil ketika misi bantuan ke Gaza yang disekat oleh tentera Israel dulu. Difahamkan Haluan kini begitu aktif dalam menyebarkan maklumat dan info berguna tentang perjuangan dan nasib rakyat Palestin. Penderitaan dan keperitan hidup umat Islam di negara itu dipaparkan dalam bentuk video dan sebagainya agar orang ramai terpanggil untuk menghulurkan sumbangan derma bagi meringankan beban mereka. Justeru, atas keberkatan bulan Ramadan ini umat Islam diseru menghulurkan derma bagi membantu mereka yang kini terus ditindas oleh tentera Zionis itu. Moga Allah jua dapat membalasa segala kebaikan itu].

Kecewa Sikap SPR Tangani Penyelewengan Daftar Pemilih, Ambiga Cadang Bawa Kes Ke Mahkamah

Posted: 15 Aug 2011 02:25 PM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Kecewa dengan cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangani penyelewengan dan kecelaruan dalam daftar pemilih yang didedahkan media, BERSIH 2.0 bercadang mengheret suruhanjaya itu ke mahkamah. Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan (foto) percaya apa yang dilakukan SPR dengan sewenang-wenangnya memadam atau meminda butiran pengundi sebagai tindakan yang tidak sah. "Saya tidak pasti mereka sebenarnya boleh melakukannya, hanya membuang nama dan meletakkan nama dan menukar beberapa perkara. Mereka akan dakwa bahawa mereka beroperasi di bawah peraturan-peraturan yang melayakkan mereka memperbetulkan kesilapan pengkeranian," katanya. "Tetapi ini bukan kesilapan pengkeranian ... jadi saya tidak pasti apa undang-undang yang mereka gunakan untuk melakukan pembersihan ini yang mereka kata mereka lakukan setiap hari", katanya. Ambiga merujuk tindakan SPR yang mengeluarkan nama-nama 'pengundi klon' daripada daftar pemilih setelah didedahkan oleh Malaysiakini. Pengundi klon merujuk kepada orang-orang yang mempunyai dua catatan dalam daftar pemilih, berdasarkan nama yang sama tetapi dengan nombor MyKad yang berbeza. Sebelum ini, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof menjelaskan bahawa isu dua identiti berkenaan adalah kerana kesilapan manusia apabila nombor MyKad yang dimasukkan ke dalam sistemnya. Bagi menangkis dakwaan bahawa terdapat 'pengundi hantu' dalam daftar pemilih, Aziz berkata SPR akan mengeluarkan 12,000 nama pengundi yang berumur 90 tahun dan ke atas.

[Cadangan Bersih 2.0 itu memang ada asasnya. Jika tidak kita akan terpedaya dengan sikpa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang begitu mudah dengan sindrom penafian dan cuba memperbetulkan setiap apa yang didedahkan oleh pembangkang kepada media. Jika itu keadaannya, maka amatlah mudah SPR membuat tindakan. Pendedahan yang berasaskan bukti yang kukuh dijawab dengan mudah kononnya berlaku kesilapan pihak-pihak tertentu dan kecuaian manusia. Jika inilah keadaannya, maka apakah kita yakin pilihanraya itu dapat berlaku telus dan adil seperti yang diinginkan rakyat pada PRU-13 nanti agaknya. Oleh itu, SPR perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum kerajaan bersedia membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihanraya umum nanti. Jika dalam situasi sekarang, sudah pastilah satu sistem yang jelas menyelewengan dan penuh dengan unsur penipuan akan disajikan nanti].

Ahli UMNO Di Gesa Kuasai Alam Siber Untuk Sekat Sebarang Persepsi Negatif Terhadap Kerajaan BN!

Posted: 15 Aug 2011 01:52 PM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan (foto) berkata setiap ahli UMNO perlu lebih agresif menguasai peperangan di alam siber terutama berkaitan media baru bagi menangkis secara efektif segala tohmahan dan fitnah pihak tertentu terhadap parti itu dan kerajaan. Jelas beliau berkata perkara itu amat penting bagi mengubah sebarang persepsi negatif masyarakat terhadap UMNO dan kerajaan yang cuba dibawa pihak tertentu menerusi media baru. "Kalau kita tidak menguasainya kita akan tertinggal kerana orang muda akan membaca apa yang ditulis," katanya selepas menghadiri wacana politik bertajuk "Pembentukan Persepsi Politik" anjuran Jabatan Penerangan UMNO di sini semalam. Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata kerajaan memandang serius terhadap persepsi negatif masyarakat terhadap setiap tindakan kerajaan dan sentiasa mengambil tindakan untuk memperbetulkan. Mengenai wacana politik itu, beliau berkata ia merupakan satu pembaharuan yang dibawa oleh UMNO bagi meningkatkan pengetahuan anggotanya dalam pelbagai bidang politik menerusi pembentangan idea oleh pakar-pakar. "Ini merupakan satu program percambahan minda dan penambahan ilmu…siri wacana ini akan menjadi takwim tetap Penerangan UMNO selain ceramah dan program lain", ujarnya.

[Nampaknya UMNO sudah semakin sedar akan kekuatan pembangkang di medan "perang siber" sekarang ini. Namun, apakah kesedaran itu sudah terlambat atau tepat pada masanya. Apa yang jelas kini, media siber masih dikuasai sepenuhnya oleh blog-blog pro pembangkang di negara kita. Sebelum ini, dalam satu program di Bentong beberapa hari yang lalu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berkata UMNO perlu mewujudkan "unit tempur siber" yang lebih bersistematik dan mantap bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan pembangkang dalam alam siber. Maknanya, kini UMNO benar-benar sudah bersiap sedia untuk bertempur dengan pembangkang di alam siber. Soalnya, apakah persediaan yang dilakukan oleh pihak yang berkenaan. Malah, ada blogger-blogger yang selama ini berjuang dengan speenuh hati untuk membela pihak-pihak tertentu tidak diberikan layanan yang setimpal dengan apa yang telah dilakukan. Akibatnya, ramai dikalangan mereka yang akhirnya meninggalkan perjuangan tersebut dan kembali meneruskan survival kehidupan yang lebih memerlukan. Oleh itu, parti-parti politik diminta agar lebih mengambil perhatian terhadap blogger dan media baru mereka agar tidak terus dipinggirkan dari segi kebajikan dan kewangan. Jika tiada dana mencukupi, maka bagaimana mereka akan meneruskan perjuangan].

Mahfuz Omar Gesa Kerajaan Lakukan Rombakan Keanggotaan SPR Kerana Kenyataan Kontroversi Tan Sri Abdul Aziz Yusof Yang Cukup Memalukan

Posted: 15 Aug 2011 09:59 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Kerajaan pemerintahan didesak melakukan rombakan keanggotaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setelah Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengeluarkan kenyataan kononnya tiada satu pun negara didunia ini yang mempunyai sistem pilihan raya yang bersih. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (foto) berkata kenyataan Aziz itu secara tidak langsung membuktikan sistem pilihan raya di negara ini sememangnya kotor dan tidak telus sebagaimana yang didakwa Pakatan Rakyat sebelum ini. Mahfuz menambah Aziz sebagai pegawai tertinggi SPR tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu yang hanya mendedahkan kepincangan dalam SPR itu sendiri. "Saya cukup kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR yang mengatakan tidak ada daftar pemilih didunia ini, yang bersih. Jadi bagi saya ini satu kenyataan yang sangat memalukan," katanya. Mahfuz menegaskan, rombakan keanggotaan SPR itu harus dilakukan sebelum PRU-13 akan datang, dengan pelantikan dilakukan oleh Jawatankuasa Khas di bawah Parlimen. "Oleh kerana sifat dan nilai patriotik itu sudah tidak ada pada SPR maka satu proses rombakan terhadap SPR perlu dilakukan segera supaya dilantik di kalangan mereka betul- betul bebas dan semua SPR yang ada ini perlu diberhentikan, ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum pilihan raya umum yang akan datang. "Badan yang akan melantik anggota baru itu perlu bebas dan diselia oleh Parlimen. Badan tersebut bukannya terdiri daripada penjawat kerajaan atau pihak eksekutif kabinet Najib," kata Mahfuz Omar.

Sindrom Penafian Oleh SPR Akhirnya Makan Diri

SPR sebelum ini bersungguh- sungguh menepis dakwaan yang mengatakan sistem pilihan raya dinegara ini dicemari dengan elemen penyelewengan dan salah guna kuasa. Pakatan Rakyat telah berkali- kali berjaya membuktikan wujud pelbagai kepincangan dalam sistem pilihan raya antaranya senarai daftar pemilih yang meragukan, pengundi hantu, pengundi klon dan sebagainya. Pelbagai laporan polis telah dibuat, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. "Isu di Malaysia sekarang ini ialah isu kerana ada pihak yang cuba mengkotorkan system pilihan raya dan juga daftar pemilih tu sendiri. Jadi bukan itu tak ada di dunia ni pemilihan yang bersih. Itu sautu persoalan yang lain," katanya. Sikap dolak dalih SPR dan kerajaan pemerintah memaksa rakyat turun beramai- ramai ke jalanan bagi mendesak agar diadakan penambahbaikan dalam pilihan raya negara ini. "Tapi di Malaysia sekarang sudah banyak dipertikaikan tetapi sebelum ini semuanya dinafikan oleh SPR, tiba-tiba apabila dibuktikan oleh semua pihak, Bersih dan parti politik membuktikan, akhirnya dia mengaku tak semua daftar pemilih di dunia ini bersih. Jadi baru dia akui bahawa daftar pemilih di negara ini tidak bersih. Sistem pilihan raya itu tidak bersih," katanya lagi.

[Dalam kenyataan itu Mahfuz juga membangkitkan kebimbangan banyak pihak bersabit isu pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing yang sekaligus mendapat hak untuk menjadi pengundi. Biarpun kerajaan cuba menutup kebenaran yang didedahkan, namun rakyat secara amnya kini hilang keyakinan atas segala tindakan tersebut. Malah, pendaftaran PATI yang begitu ramai juga dilihat menjurus ke arah penyelewengan jika ia ditangani dengan cara yang tidak betul. Lantaran itulah pembersihan pilihanraya perlu dilakukan jika kita mahu melihat demokrasi di Malaysia dapat terus subur untuk dinikmati oleh generasi akan datang. Malah, tindakan Pengerusi SPR mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kontroversi itu seolah-olah mengesahkan yang wujudnya kepincangan seperti yang diwar-warkan selama ini. Akhirnya kebenaran terbit jua ketika umat Islam jalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini].

PM Umumkan Penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen Mengenai "Pembaharuan" Pilihan Raya!

Posted: 15 Aug 2011 09:09 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak (foto) semalam mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan. Perdana Menteri berkata, jawatankuasa berkenaan yang akan dianggotai anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu. "Ini supaya kita akan dapat kata sepakat untuk mengendalikan pilihan raya akan datang tanpa sebarang rasa syak wasangka bahawa ada sesuatu manipulasi yang dilakukan oleh kerajaan. "Sebab itulah bila timbul pertikaian mengenai pilihan raya bebas dan adil yang dibangkitkan baru-baru ini, maka kerajaan punya respons ialah untuk kita menangani soal yang telah mencetuskan pelbagai pendapat dan sedikit sebanyak pertikaian dan politik," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di Wisma Bernama. Beliau berkata, langkah itu diambil supaya tidak ada yang salah anggapan bahawa kerajaan tidak menginginkan proses yang bersih dalam memilih kerajaan. Beliau turut menegaskan, kerajaan juga komited untuk meneruskan tradisi demokrasi berparlimen yang telah dimulakan oleh pengasas negara sebelum ini.

[Satu tindakan yang bijak bagi sebuah kerajaan yang mengamalkan prinsip demokrasi sebenarnya. Akhirnya Himpunan Bersih 2.0 berjaya memberi idea yang bernas kepada kerajaan agar menjadikan negara ini benar-benar telus dan adil dalam melaksanakan pilihanraya. Pembaharuan yang paling bersar ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu perlu dirombak sebenarnya. Agensi itu perlu benar-benar bebas dan tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak. Malah, mereka juga perlu mempunyai kuasa penuh untuk berusaha melaksanakan sebuah pilihanraya yang adi di negara ini. Apapun, diharapkan kenyataan Najib itu tidak ada muslihatnya. Rakyat gusar dengan sistem biometrik yang mahu diamalkan, dikalan lebih sejuta Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah direkokkan berkampung di negara ini. Makanya, apakah tindakan yang dilakukan oleh kerajaan ini bagi menutup kelemahan sedia ada atau mempunyai strategi tersendiri untuk terus melakukan sesuatu yang amat dibenci oleh majoriti rakyat agaknya. Semoga segala usaha ini akan diterima semua pihak hendaknya].

Tiada ulasan: