MIMPI SENJA |
- Mandat BN hampiri garisan akhir, Kit Siang ingatkan Najib
- Sambut merdeka macam sambut ulang tahun Umno
- WikiLeaks : Kerajaan Persekutuan mencurahkan jutaan ringgit kepada Sarawak (Taib Mahmud) sebagai 'terima kasih' kerana membekalkan kerusi yang cukup untuk BN
- British adalah penjajah - semua yang menentang penjajah adalah dianggap 'Hero'
- Kenali siapa pengkhianat orang orang Melayu
Mandat BN hampiri garisan akhir, Kit Siang ingatkan Najib Posted: 31 Aug 2011 11:36 PM PDT Oleh Debra Chong September 01, 2011 KUALA LUMPUR, 1 Sept — Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengingatkan Datuk Seri Najib Razak mandat kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) menghampiri garisan penamat dan mahu perdana menteri menunaikan pembaharuan dijanjikan secepat mungkin atau menghadapi tamparan pengundi pada pilihan raya umum ke-13. BN mempunyai 19 bulan lagi sebelum mandatnya berakhir awal 2013. Populariti Najib telah menjunam enam mata dalam kajian terbaru kendalian Merdeka Center baru-baru ini. "Rakyat Malaysia mengibarkan bendera kebangsaan semalam tetapi mempunyai satu persoalan yang sama - ke mana anda pergi, Malaysia?" kata penasihat DAP ini dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. Lim berkata, pemimpin-pemimpin komponen perikatan dalam perutusan Hari Kemerdekaan Ke-54 semalam menyeru rakyat Malaysia yang berlainan latar belakang agama dan kaum agar bersatu, bersikap sederhana dan bertolak ansur antara satu sama tetapi ia kelihatan diterima dengan hambar. Ini kerana, menurut Lim, landskap nasional yang "pecah belah dan berbalah", di samping ketidakupayaan Najib untuk memperlihatkan kepimpinan yang berkesan. Ahli Parlimen Ipoh Timur ini menekankan, usaha-usaha yang tidak bertanggungjawab dan semberono cuba memecah belah negara mengikut garisan kaum dan agama. Beliau memberikan contoh satu laporan menerusi saluran TV1 pada Ahad lalu - didakwa mengaitkan satu laman sosial Facebook menggalakkan murtad di kalangan Muslim dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat. Saluran milik kerajaan itu menyiarkan bahan berkaitan kumpulan Facebook "Murtads in Malaysia and Singapore" menerusi segmen berita perdana 8 malam mengaitkan pemimpin-pemimpin seperti Tan Kok Wai, Charles Santiago, Dr Boo Cheng Hau dan Ean Yong Hian Wah. Malah, laporan itu mendakwa Presiden Parti Sosialis Malaysia Dr Nasir Hashim sebagai seorang penyokong kumpulan tersebut. "Pembohongan menjadi hidangan utama disajikan oleh media arus perdana," kata beliau dengan merujuk kepada liputan bahawa DAP mahu mewujudkan sebuah negara Kristian dan mahukan perdana menteri kalangan penganut Kristian atau kecaman terbaru bahawa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengagungkan komunis dan tidak menganggap Datuk Onn Jaafar dan Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman sebagai pejuang kemerdekaan sebenar. Katanya, usaha-usaha sedemikian tidak membantu dalam menyatupadukan rakyat Malaysia, tetapi mewujudkan persekitaran sebaliknya. Lim menegaskan bahawa jika Najib serius dan jujur sebagai perdana menteri bagi semua rakyat, maka beliau seharusnya menyediakan kepimpinan, bukan slogan-slogan kosong. "Perhimpunan Bersih 9 Julai yang berjaya adalah bukti, jika Najib dan mereka dalam kuasa enggan bertindak, maka rakyat Malaysia sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli, sama ada yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, pengikut Taoisme, Konfucius atau Sikh bersedia untuk bersatu bertindak menyelamatkan Malaysia," kata Lim lagi. Bersih 2.0 menuntut pembaharuan pilihan raya dengan mengemukakan lapan tuntutan sebelum pilihan raya umum ke-13. Awal bulan lalu, Najib mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa pilihan khas untuk mengkaji pembaharuan pilihan raya. |
Sambut merdeka macam sambut ulang tahun Umno Posted: 31 Aug 2011 08:07 AM PDT [Harakahdaily] KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Kesan daripada kerajaan menjadikan sambutan kemerdekaan negara seperti menyambut ulang tahun kelahiran Umno, maka rakyat begitu hambar untuk menyambut kemerdekaan negara. "Bukan rakyat tidak patriotik, tetapi rakyat mual dengan Umno. "Inilah yang terjadi apabila negara menyambut kemerdekaan, seolah-olah negara merdeka hasil perjuangan Umno sahaja," kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Justeru, katanya ke mana pergi nama-nama yang mempelopori kemerdekaan negara seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam dan lain-lain lagi. "Kenapakah nama-nama mereka digelapkan daripada sejarah negara ini?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Sebaliknya, kata beliau yang diuar-uarkan ketika menyambut kemerdekaan ialah tokoh-tokoh Umno. Pada hal, ujarnya kewujudan Umno hanyalah kerana menentang Malayan Union 11 Mac 1946, malahan slogan Umno peringkat awal ialah Hidup Melayu. Menurutnya, laungan kemerdekaan hanya dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 5 April 1953 di Persidangan Agung Pemuda. Maknanya, kata beliau Umno begitu lambat untuk menyuara kemerdekaan. Pada hal, tambahnya golongan yang tidak mahu berkompromi dengan British sudah lama menyuara kemerdekaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945), Hizbul Muslimin (1948). Ini, katanya tentu rakyat bertanya siapa pemimpin Umno yang diburu oleh penjajah ketika memperjuangkan kemerdekaan "Ini membuktikan Umno ialah anak emas penjajah," ujarnya lagi |
Posted: 31 Aug 2011 03:44 AM PDT Jabatan Negara Amerika Syarikat diberitahu dalam sebuah kabel sulit bahawa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan kerabatnya dipercayai menerima peratusan tertentu habuan daripada kebanyakan kontrak komersial utama - termasuk dari sektor pembalakan - yang diagihkan di negeri itu. Menurut ketua bahagian politik Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, ketika itu, Mark D Clark: "kerajaan negeri Sarawak sangat korup dan dalam gengaman kukuh ketua menterinya". "Dewan Undangan Negeri bernilai AS$ 82 juta (RM300 juta) yang sedang dibina itu mungkin lambang atau contoh paling jelas membuktikan bagaimana ketua menteri dan pegawai-pegawai kanannya menjadikan diri masing-masing kaya," tulis Clark pada kabel bertarikh13 Oktober, 2006 dan didedahkan oleh portal pembocor maklumat kontroversi Wikileaks. Dalam sebuah lagi kabel lain yang bocor tiga tahun kemudian, Kedutaan Amerika Syarikat melaporkan bahawa kerajaan Taib "mengeluarkan permit penebangan balak sambil meronda negeri yang tidak dibangunkan itu dengan menggunakan 14 helikopter. Syarikat-syarikat keluarganya juga dikatakan menguasai sebahagian besar ekonomi Sarawak." Kabel ini berdasarkan lawatan oleh seorang kaunselor politik kedutaan yang melawat Sarawak pada 12-14 Oktober, 2009. Kaunselor politik itu juga melaporkan bahawa dia telah disambut oleh timbalan ketua menteri, ketika itu, Tan Sri George Chan (kiri) di sebuah rumah agam yang baru dibina bersebelahan padang golf yang paling eksklusif di Kuching. "Chan memberitahu bahawa sejak pilihan raya umum Mac 2008, kerajaan persekutuan telah 'mencurahkan jutaan ringgit' untuk pembangunan negeri itu," kata kabel yang bocor bertarikh 2 November, 2009 itu. "Beliau menyifatkan peruntukan itu sebagai satu bentuk 'terima kasih' kepada kerajaan negeri Sarawak kerana membekalkan kerusi yang mencukupi bagi BN yang membolehkan gabungan itu mengekalkan majoritinya di Dewan Rakyat." Pegawai Kedutaan Amerika Syarikat juga telah berjumpa dengan seorang petugas operatif PKR, Baharuddin Moksin, yang mengadu ketidakupayaan dan kegagalan pembangkang untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi. "(Baharuddin) Moksin berkata bahawa walaupun parti-parti pembangkang berjaya menyewa sebuah helikopter semasa pilihan raya kecil Batang Ai pada April, kerajaan negeri enggan memberikan hak pendaratan bagi helikopter mereka. "Baharuddin menjelaskan bahawa di Sarawak, hanya tiga syarikat, - Cahaya Mata Sarawak, Naim Cendera Holdings dan Titanium Management Berhad - semuanya dikaitkan dengan keluarga Ketua Menteri, adalah 'pemain utama dalam negeri," kata kabel itu. "Semua kontrak utama dan sebahagian besar tanah yang ditukarkan menjadi ladang kelapa sawit (termasuk tanah istiadat dan hak pribumi yang enggan diiktiraf oleh kerajaan negeri) telah diberikan kepada ketiga-tiga syarikat ini." - Malaysiakini |
British adalah penjajah - semua yang menentang penjajah adalah dianggap 'Hero' Posted: 31 Aug 2011 03:07 AM PDT PAS: Fakta sejarah perlu dikaji semula, tak timbul isu sokong komunis Oleh G Manimaran KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-54 dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula dikritik sesetengah pihak berhubung satu ceramah baru-baru ini, parti Islam itu menegaskan, negara perlu mentafsir semula fakta sejarah agar semua hero diberi penghormatan sewajarnya. Sehubungan itu Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, soal menyokong komunis tidak timbul jika "kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis." "Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit," kata Tuan Ibrahim. Mohamad atau lebih dikenali sebagai "Mat Sabu" dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, dilaporkan berkata, pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara. Bagaimanapun ia dinafikan oleh Mohamad dan menegaskan akan mengambil tindakan saman ke atas Utusan Malaysia atas alasan telah memutarbelitkan kandungan ceramahnya. Polis pula berkata mahu menyiasat Mohamad kerana mengeluarkan kenyataan mengemparkan rakyat. Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas iaitu "apakah British dan kuncunya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah ditafsirkan." Kata beliau, kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero. "Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. "Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini. Hari ini, genap 54 tahun negara mencapai kemerdekaan. Bagaimanapun sambutan akan diadakan pada 16 September ini sempena Hari Malaysia. Tuan Ibrahim menambah, disebabkan pada zaman British menjajah negara, mereka telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka. "Namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan, maka kini timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah. "Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), PKM (Parti Komunis Malaya) dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British," katanya lagi. Justeru kata Tuan Ibrahim, atas penilaian itu, "kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero." "Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?" tambah beliau. Beliau seterusya menyoal, jika kedua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya? "Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya," kata Tuan Ibrahim. Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat. Bagaimanapun katanya, yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero. Pada masa yang sama kata Tuan Ibrahim, kedudukan dan jasa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah. "Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat? "Secara menafsir sejarah secara jujur, semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun," katanya lagi. Namun demikian, tambah beliau, "kita tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya menghalau penjajah." "Namun apa yang pasti, menghalau penjajah merupakan 'common goal' yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain," katanya lagi. Tuan Ibrahim seterusnya bertanya, "pada 1950 adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara?" "Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu," jelas beliau. "Selepas merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan. "Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British," kata beliau. Oleh itu kata beliau, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis. "Inilah tafsiran sejarah secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi satu-satu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era. Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri selepas menghalau penjajah," katanya sambil menambah, sejarah yang paling kritikal juga berlaku di zaman peralihan antara Jepun dan British. "Di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British," kata beliau lagi. "Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat. "Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Profesor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini," kata beliau lagi. - TMI |
Kenali siapa pengkhianat orang orang Melayu Posted: 31 Aug 2011 02:09 AM PDT UMNO menganggap orang Melayu kurang cerdik dan mudah dicucuk hidung. Matlamat UMNO menyerang DAP adalah untuk menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap DAP, dan seterus supaya menolak Pakatan. Ini adalah pakej UMNO mengajak Melayu membenci DAP, dan ia diulas untuk membuktikan UMNO sendiri tahu yang para pemimpinnya banyak omong kosong dan terlalu bergantung kepada fitnah. Mengapa orang Melayu tidak ramai menyertai DAP? Kerana UMNO berjaya menfitnah sejak zaman-berzaman, mereka memberi persepsi buruk terhadap DAP dengan mengaitkan hal perkauman, agama dan ideologi komunis. Hakikatnya, semua dakwaan itu palsu dan UMNO sendiri pun tahu yang ia palsu. Semua fitnah ini telah dibuktikan tidak relevan dan salah sama sekali. Komunis tidak mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan tetapi DAP menjunjung Perlembagaan dan segala isinya. Ideologi DAP adalah demokrasi social yang ditolak dan ditentang oleh komunis. Dalam UMNO, pernah ada pemimpin ditahan di bawah ISA kerana dituduh komunis. Bagaimana UMNO boleh menyamakan kuda dengan basikal? UMNO menerusi ejen-ejen seperti Utusan dan Perkasa melukis gambaran pada fikiran orang Melayu bahawa mereka hanya akan menjadi kuda tunggangan orang-orang Cina dalam DAP. Hakikatnya, untuk menjadi pemimpin yang baik dalam mana-mana organisasi, setiap individu perlu mempunyai kualiti dalam semua segi. Kualiti hanya akan wujud sekiranya organisasi itu mempunyai jumlah kuantiti yang mencukupi. Tanpa kuantiti, sukar untuk memilih kualiti yang terbaik di kalangannya. Sifir ini dengan mudah menjelaskan, mengapa orang Melayu belum ada yang menjadi pemimpin besar dalam DAP, kerana jumlahnya masih sedikit. Senario ini juga adalah kesan dari kempen UMNO BN menakut-nakutkan orang Melayu kepada DAP, hingga jumlah ahli Melayu dalam DAP belum ramai. Kini, masa depan kita pasti akan berubah. Pada masa yang sama, perlu ditanya: MCA itu kuda tunggangan UMNO atau UMNO kuda tunggangan MCA? Benarkah DAP menjaga kepentingan Melayu di Pulau Pinang? Sebelum PRU 2008, kita semua tidak akan tahu jika tidak diuji. Kini, pentadbiran Pulau Pinang termasuk kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain, adalah manifestasi kerajaan yang mendukung Perlembagaan dan menghormati Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Yang DiPertua Negeri masih kekal, jabatan dan agensi kerajaan kekal, kepentingan dan kedudukan semua kaum di Pulau Pinang tetap terpelihara. Pendek kata, tidak ada apa-apa perubahan dibuat untuk mengubah struktur pentadbiran negeri. Yang baru dan amat berbeza adalah corak dan pendekatan pentadbiran. Ia kini lebih bersih, telus dan saksama dengan agihan ekonomi yang semakin adil. Maksudnya, semua ini boleh dilakukan sebelum 2008 tetapi tidak dilakukan oleh UMNO, Gerakan dan BN. Tetapi ia telah dilaksanakan oleh DAP dan Pakatan Rakyat. Ini adalah proses, dan proses adalah bukti nyata. Mana-mana ahli forensik sekali pun tidak mampu menyangkalnya. Jangan lupa, yang telah diuji pula telah gagal – UMNO. Lihat sendiri track record mereka, dulu, kini dan selamanya – gagal. Dengan adanya pemimpin Melayu didalam DAP, adakah ia akan merosakkan hubungan dalam Pakatan Rakyat? UMNO hanya faham politik kaum. Pemimpin mereka ingat orang lain pun seperti mereka. Melayu letak dalam UMNO, Cina dalam MCA dan India dalam MIC. UMNO kata lompat, komponen-komponen BN lain tanya, berapa tinggi mahu lompat. Oleh kerana tidak faham atau pura-pura tidak faham, UMNO terus melaga-lagakan hubungan antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Itu kerja mereka. Bagi rakyat yang sudah celik – biarlah si Luncai terjun dengan labunya..biarkan. Hakikatnya, apa yang didukung oleh PKR, DAP dan PAS semuanya bersifat politik terbuka. Yakni rentas kaum, agama dan budaya. Ini perjuangan kemanusiaan. Semua ini menjadi dasar bersama PR yang kuat. Benarkah DAP akan menjadikan negara ini negara Kristian? DAP mahu Perdana Menteri dari orang Cina? Ini adalah dakyah terbesar UMNO-BN tahun ini. Mereka ibarat berkhayalkan pisang akan berbuah nangka. Dakyah ini menghina intelek masyarakat. Semata-mata mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu, mereka telah mencipta berita palsu. Mereka ingat orang Melayu bodoh dan tidak faham Perlembagaan. Sedangkan UMNO bising melalak tentang Perlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan. Tidak masuk akal langsung tuduhan itu. Lagi satu, mungkin pemimpin dan ahli UMNO lupa bahawa pemimpin besar mereka Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang sesiapa yang layak menjadi Perdana Menteri tanpa mengira kaum dan agama. Namun DAP adalah parti berprinsip yang menerima hakikat masyarakat, realiti politik bahawa orang Melayu dan Bumiputera ialah kaum majoriti di Malaysia. DAP dengan hati terbuka menerima Perdana Menteri dari kalangan orang Melayu dan Islam; syaratnya pemimpin yang jujur, ikhlas, bersih dan telus dan adil. Malah apabila ada pemimpin UMNO yang cuba "cucuk" Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan mahu menjadi Perdana Menteri, dengan senyum tenang, Presiden PAS itu menjelaskan beliau tidak berminat untuk memegang jawatan itu. Jelas, hanya UMNO yang gila kuasa dan tidak sanggup hilang dari kuasa yang membolehkan mereka membuat segala kebejatan. Pemimpin UMNO selalu tuduh DAP, PAS dan PKR gila kuasa. Tapi rakyat sudah tahu kelentong dan tembelang UMNO. Dan akhirnya… Parti mana yang akan menjadi pembangkang yang 'kuat' di Malaysia? Jawabnya ialah UMNO dan mana-mana komponen BN yang setia dengannya. Ini adalah kerana UMNO- BN yang paling kuat membangkang semua keperluan dan kehendak rakyat. Rakyat mahu hapuskan tol, ia dibangkang 'kuat' oleh UMNO-BN Rakyat mahu sistem pendidikan dirombak, UMNO-BN bangkang dengan'kuat' Guru-guru mahu gaji, elaun dan pengurangan kerja pentadbiran untuk tumpu kepada mengajar, UMNO-BN bangkang dengan 'kuat' Wartawan, seniman dan mahasiswa mahukan kebebesan, UMNO-BN bangkang lagi 'kuat' Rakyat mahu negara berkebajikan, UMNO-BN tolak keras Rakyat tidak mahu subsidi dikurangkan, UMNO-BN peduli apa kerana rakyat tidak sepenting kroni korporat mereka. Oleh kerana hebat benar bangkangan UMNO dan BN terhadap aspirasi dan keperluan rakyat, maka elok sangat jika UMNO menjadi ketua pembangkang selepas PRU akan datang. – RoketKini |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan