Jumaat, 19 Ogos 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Tahniah ....Wanita godam laman web hina Nabi, lucah

Posted: 19 Aug 2011 02:28 PM PDT

2011/08/20
DAMMAM: Seorang wanita Alkhobar yang kini menuntut di Amerika Syarikat dipuji kerana mengambil inisiatif memusnahkan 23 laman web Denmark yang menghina Nabi Muhammad SAW, lapor akhbar Madinah kelmarin.

Nouf Rashid memberitahu akhbar berbahasa Arab itu yang beliau menggodam laman web Denmark itu yang mempunyai rujukan kartun Rasulullah bersama laman web lain yang kandungannya turut diragui menurut pandangannya. Gadis itu berkata beliau turut memusnahkan sejumlah laman web lucah dan menggodam sistem komputer lelaki muda yang cuba menggugut gadis dengan mengancam menyiarkan gambar peribadi mereka. Akhbar Arabnews melaporkan gadis berkenaan mendapat kemahirannya dalam bidang itu kerana minatnya mempelajari perkara baru dalam lapangan teknologi maklumat.

Nouf berkata beliau menceburi dunia penggodam untuk menyelamatkan gadis yang diugut lelaki yang mahu berkahwin dengannya dan memperoleh gambar peribadi gadis itu. Rakan mangsa meminta Nouf mencari penggodam di Amerika bagi menyelamatkan gadis itu.

"Malah, saya menghubungi beberapa rakan penggodam di universiti dan belajar seni menggodam," katanya. – Agensi

SPR temui BERSIH bincang 3 isu pembaharuan

Posted: 19 Aug 2011 02:16 PM PDT

2011/08/20

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju menemui BERSIH 2.0 bagi membincangkan tiga isu baru berkaitan pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara tetapi menegaskan tidak akan sekali-kali tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba mengugut atau mencabarnya bagi melakukan reformasi pilihan raya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, mengesahkan pihaknya sudah menerima surat daripada BERSIH mengenai pertemuan itu dan ia akan diadakan apabila suruhanjaya bersedia, namun persetujuan itu tidak bermakna SPR menerima pakai segala cadangan.

"BERSIH mahu membincangkan tiga perkara baru berkaitan reformasi pilihan raya tetapi saya tidak dapat mendedahkannya kerana tidak adil kepada mereka. Kita sudah terima surat daripada BERSIH dan akan tetapkan tarikh sesuai. "Malah SPR sedia berjumpa sesiapa saja yang mahu memberi cadangan atau pandangan untuk menambah baik amalan demokrasi dan sistem pilihan raya tetapi mesti bersikap telus lagi terbuka selain memahami kuasa serta kekangan suruhanjaya.

"Bukan senang menguruskan 12.4 juta pengundi dan saya akui kesilapan memang boleh berlaku tetapi janganlah terus menghentam SPR saja, sebaliknya kerjasama dengan kita untuk bersihkan daftar pemilih," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM), di sini semalam.

Hadir sama pada mesyuarat lebih dua jam itu Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan delegasi empat anggota daripada PROGAM, diketuai Tan Sri Ramon Navaratnam. Tiga lagi anggotanya, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Hamdan Adnan; Datuk N Siva Subramaniam dan Datuk Dr Denison Jayasooria.

Abdul Aziz berkata, hasil perbincangan dengan PROHAM akan dibawa kepada panel SPR bagi mempertimbangkan sama ada apa yang disyorkan itu boleh dijadikan sebahagian daripada undang-undang atau diterima pakai sebagai dasar baru.
Antara isu dibincangkan, katanya, adalah kebebasan SPR, pemantauan pilihan raya menggunakan sistem biometrik, penggunaan dakwat kekal, kemungkinan memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik, pembabitan badan bebas memantau operasi SPR, tempoh kempen lebih munasabah dan kekangan terhadap SPR dari segi kewangan serta kakitangan.

PROHAM adalah badan bukan kerajaan (NGO) pertama menemui SPR selepas perhimpunan haram anjuran BERSIH pada 9 Julai lalu, turut menyerahkan memorandum bertajuk 'Hak Asasi Manusia dan Reformasi Pilihan Raya' meliputi hasil perbincangan sebuah forum umum dianjurkannya bulan lalu.

Mengenai teguran dan kritikan pelbagai pihak terhadap SPR untuk membersihkan daftar pemilih selepas kesilapan mengenainya dilaporkan media, Abdul Aziz, berkata orang ramai perlu mengetahui hakikat sebenar sebelum terburu-buru mengemukakan pendapat.

"Pembersihan daftar pemilih dilakukan setiap hari berdasarkan maklumat harian rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem sambungan di talian (ALIS) antara kedua badan ini. Memang ada kesilapan dalam daftar pemilih tapi jumlahnya kecil, hanya 0.0001 peratus daripada 12.4 juta pengundi berdaftar," katanya - BH

Bukan Muslim teruja sambut bulan puasa

Posted: 19 Aug 2011 11:05 AM PDT

JEDDAH: Ramadan adalah bulan istimewa bukan saja bagi umat Islam yang berpuasa dan menyambutnya tetapi juga penduduk bukan Islam di sini.

Raju Phillips, seorang ekspatriat bukan Islam yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan berkata, beliau akan membaca terjemahan bahasa Inggeris kitab al-Quran. "Ia peluang baik untuk belajar mengenai Islam kerana masa rehat lebih lama ekoran perubahan masa bekerja ketika Ramadan," katanya. Perunding pendidikan khas, K R Jayachandran, berkata ketika Ramadan beliau mendengar ceramah agama di televisyen.

"Ramai penceramah agama dalam televisyen ketika Ramadan. Saya menontonnya selepas solat Maghrib," katanya.

Mubeen Pervas berkata, dia menjemput rakan bukan Islam ke parti berbuka kerana mahu berkongsi kegembiraan dan membantu mereka memahami Islam.

"Banyak salah faham mengenai Islam. Saya cuba jelaskan apabila mengadakan parti berbuka dengan menjemput rakan bukan Islam berkongsi kegembiraan," kata Pervas. – Agensi

Pembelian saham ESSO oleh San Miguel ... muncul beberapa persoalan - DSAI

Posted: 19 Aug 2011 10:04 AM PDT

Pembelian saham beberapa aset hiliran Esso oleh San Miguel Corp, menimbulkan beberapa persoalan. Pembelian saham itu bernilai USD 610 juta, suatu jumlah kurang dari nilai harga pasaran serta menyebabkan sahamnya merudum sebanyak 18% semalam.

Sungguhpun jumlah itu barangkali berasaskan alasan komersial, namun ianya memberi tamparan buat pemegang saham minoriti kerana jualan kurang dari nilai pasaran tersebut. Saya menggesa semua yang terbabit termasuk Suruhanjaya Sekuriti dan Badan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti untuk meneliti pembelian tersebut demi memastikan kepentingan pemegang saham minoriti tidak terjejas.

Saya juga perihatin apabila beberapa aset utama seumpama kompleks pemprosesan serta stesyen petrol diambil alih oleh syarikat yang hampir tiada pengalaman berurusan di Malaysia.

San Miguel menempa nama di negara ini hanya apabila anak mantan Perdana Menteri, Mirzan Mahathir dilantik sebagai pengarah konglomerat tersebut selepas membeli 19.9% saham yang bernilai RM 2.9 billion.

Sungguhpun Mirzan Mahathir telah meletak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah San Miguel Corp pada April 2010, dia masih memegang jawatan sebagai pengarah Petron Corporation, syarikat bersekutu San Miguel yang memiliki jaringan pusat pemprosesan serta edaran petrol di Filipina.

Justeru, tidak hairanlah persoalan muncul berkaitan pembelian saham aset sektor hiliran Esso tersebut samada semata-mata menguntungkan pihak Mirzan Mahathir. Manakala itu saudaranya Mohkzani Mahathir mendapat manfaat besar dari sektor huluan industri petroleum dan gas melalui Kenchana Petroleum; terutamanya ayahnya masih merupakan penasihat PETRONAS.

Pembelian tersebut juga memunculkan beberapa persoalan terhadap iltizam pentadbiran negara untuk memupuk budaya tadbirurus korporat yang lebih tegas. Dunia korporat wajar menuruti amalan ketelusan dan pertanggungjawaban sekaligus meninggalkan amalan korporat yang merugikan rakyat sepertimana yang menjadi kebiasaan sistem payung pimpinan Umno-Barisan Nasional.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
DEWAN RAKYAT MALAYSIA
19 OGOS 2011

Iklan Seksi, Pengurusan Nurul Minta Maaf

Posted: 19 Aug 2011 07:54 AM PDT

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
PETALING JAYA: Pihak pengurusan penyanyi Nurul Wahab meminta maaf berhubung isu penyiaran iklan promosi hari Raya pusat pengurusan badan, Glow-Glamour yang memapar penyanyi itu berpakaian terdedah.

Menurut pengurusnya, Badrul Hashim, Nurul yang merupakan duta Glow-Glamour tidak mengetahui mengenai iklan tersebut termasuklah gambar yang dipaparkan oleh pihak pengeluar produk itu.

"Memang sebelum ini Nurul ada mengambil beberapa gambar termasuklah gambar yang dijadikan sebagai iklan Hari Raya bagi tujuan promosi Glow-Glamour pada masa akan datang.

"Tetapi Nurul tidak tahu gambar yang terdedah pula menjadi pilihan untuk dipaparkan pada iklan tersebut," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Paparan iklan promosi raya yang menunjukkan gambar Nurul berpakaian seksi.

Tambah Badrul, dia telah pun berjumpa dengan pihak Glow Glamour untuk bertanyakan isu tersebut dan pusat pengurusan badan itu meminta maaf atas kesilapan memilih gambar yang tidak sesuai untuk iklan promosi raya.

"Setelah berbincang, mereka telah meminta maaf dan tidak tahu perkara ini boleh menjadi sensitif dan tidak sesuai bagi tujuan promosi Ramadan dan Aidilfitri, tambah pula ada gambar masjid pada paparan iklan Hari Raya itu.

"Malah pusat pelangsingan badan itu telah menarik balik iklan tersebut dan membuat permohonan maaf menerusi laman web mereka dan di akaun Facebook," jelasnya.

Ditanya apakah reaksi Nurul apabila isu iklan tersebut dibangkitkan, penyanyi itu yakin dia tidak bersalah dengan hal itu cuma risau reputasinya tercalar.

Nurul kini berada di Sandakan, Sabah, bagi menghadiri sebuah sidang perniagaan - mStar

Umno Selangor dan P Pinang nak saman Mustafa Ali dan Guan Eng? ....

Posted: 19 Aug 2011 07:13 AM PDT

Guan Eng kata 'saman sekarang jika mahu'

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Lim Guan Eng berkata Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman tidak perlu menunggu sehingga tujuh hari untuk menyaman beliau, sebaliknya boleh berbuat demikian sekarang jika mahu.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan Zainal Abidin berbalas mesej menerusi Twitter petang ini mengenai tindakan saman berhubung kenyataan Lim, didakwa cuba mengaitkan isu perkauman ekoran insiden simbahan cat di ibu pejabat DAP, Ahad lalu.

"Tak payah tunggu tujuh hari. Saman sekarang. Kamu belit. Buktikan apa saya cakap," kata Lim (gambar) dalam mesej diposkan sekitar 7 petang tadi.

Kira-kira dua jam sebelum itu, Zainal Abidin dalam mesej kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata: "Saya beri notis tujuh hari kepada Lim Guan Eng, beri bukti, sebelum saya bawa ke mahkamah."

Khairy berkata beliau berharap Umno Pulau Pinang akan menyaman Lim kerana menuduh membakar ibu pejabat DAP di George Town.

Dalam pada itu, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah pula menulis, "Umno Selangor nak saman Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Umno Pulau Pinang nak saman Lim Guan Eng. Jangan tuduh kami bukan-bukan," katanya lagi.

Umno mengadakan mesyuarat majlis tertinggi petang ini.

Mesej-mesej Twitter mengenai isu itu muncul selepas berakhir mesyuarat MT.

Semalam, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang menggesa Lim menarik balik kenyataannya yang didakwa cuba mengaitkan isu perkauman dengan insiden simbahan cat di ibu pejabat DAP.

Zainal Abidin berkata, kenyataan Lim itu telah memberi gambaran seolah-olah perbuatan simbah cat itu dilakukan oleh orang Islam.

"Sebagai Ketua Menteri, beliau tidak sepatutnya bercakap sembarangan tanpa bukti, apatah lagi cuba mengaitkan sesuatu kejadian jenayah dengan isu sensitif agama," katanya.

Lim sebelum ini dipetik berkata, simbahan cat di ibu pejabat DAP mungkin berkaitan dengan tindakan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang membuat larangan terhadap masjid atau surau di negeri ini menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh.

Ahad lepas, pejabat DAP di Jalan Talipon di George Town dan pusat perkhidmatan Setiausaha Politik Lim, Ng Wei Aik, di Lorong Seratus Tahun disimbah dengan cat.

Awal pagi semalam sebuah papan tanda dan pintu utama pejabat DAP Pulau Pinang itu mengalami kerosakan teruk akibat satu kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat.

Zainal Abidin berkata, kenyataan Lim itu jelas membuktikan beliau bukanlah seorang pemimpin negeri yang berhemah apabila cuba mencetus isu perkauman.

"Sebagai parti politik yang mewakili orang Melayu dan Islam, kita mahu Lim memberi bukti dakwaannya itu atau jika tidak mempunyai bukti, beliau harus menarik balik kenyataannya atau kita akan ambil tindakan undang-undang kerana cuba menghasut dan mencetus isu perkauman," katanya.- TMI

Tiada ulasan: