Rabu, 31 Ogos 2011

Kopitiam Bang Nan

Kopitiam Bang Nan


Masa untuk bertindak...

Posted: 31 Aug 2011 06:55 PM PDT

Pendedehan wikileaks mengenai 'kedegilan' kakitangan awam negeri Selangor mematuhi arahan kerajaan negeri bukanlah satu rahsia.

YB-yb Pakatan Rakyat sering dalam pertemuan-pertemuan dengan kami menyatakan kesukaran untuk mendapatkan kerjasama mereka baik di JAIS, MAIS, Majlis-majlis perbandaran mahupun Pejabat-pejabat tanah dan daerah.

Ada di antara kakitangan kerajaan tersebut bila berdepan dengan pegawai-pegawai YB (yang menyamar sebagai rakyat biasa) diberitahu oleh mereka agar "tunggu BN perintah balik, semua boleh settle.!" Saya sendiri pernah mengalami kisah ini.

Ada kakitangan kerajaan yang sengaja melengah-lengahkan permohonan rakyat sebagai usaha untuk sabotaj kerajaan negeri sekarang agar kelihatan lembab.


Bukan itu sahaja, biarlah kita berterus terang. Kelihatan seolah-olah pihak istana juga tidak friendly dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Bukan Sultan tetapi orang keliling Sultan yang majoritinya kumpulan songkok tiga jengkal cuba membentuk imej begitu. Dengan bantuan media seperti TV3 dan Utusan Malaysia, imej ini seolah-olah adalah pendirian rasmi Sultan. Ini sedikit sebanyak menjejaskan dan menyusahkan pentadbiran PR yang dipilih secara demokratik oleh rakyat negeri Selangor.

Bukan suatu rahsia, perlantikan SUK, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Negeri adalah perlantikan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan. Bukan tak nak percaya kepada individu-individu ini tetapi sejarah tidak pernah menipu.

Saya biasa dengar tuntutan-tuntutan individu terhadap kerajaan negeri (mengenai tanah) tidak bersungguh-sungguh dipertahankan oleh pejabat pegawai undang-undang negeri sehinggakan hakim yang mendengar tuntutan juga merasa pelik dengan tindak tanduk mereka. Baguslah kepada individu yang menuntut tetapi kerajaan negeri yang kena tanggung semua itu.

Setuju sangat saya dengan pendapat pembaca-pembaca di atas bahawa sudah sampai masanya Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar untuk 'flex his muscles' dengan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pegawai-pegawai yang engkar tersebut.

Kalau perlu, bentangkan di DUN untuk menubuhkan agensi di bawah kerajaan negeri untuk mengambil alih sebahagian kerja-kerja yang tergendala angkara 'pengkhianat' ini. Buatlah apa yang patut Tan Sri.

Sebab itulah saya juga 'pissed off' dengan sesetengah wakil rakyat kita sendiri yang tidak 100% 'in tandem' dengan polisi kerajaan negeri. Pendirian resmi kerajaan macam ni dia buat macam tu. Sungguh malang ada antara kita sendiri tidak boleh memerdekakan diri dari slogan 'hidup melayu.' Tidak bebas dari faham assobiyah....

Ucapan Mat Sabu buat barua Umno kalut tak tentu pasal!!

Posted: 31 Aug 2011 06:47 PM PDT

Hehe....

KENYATAAN RESMI PSM

TELITI KONTEKS UCAPAN MUHAMMAD SABU DAHULU
TIMBALAN KETUA POLIS NEGARA HARUS SERTAI PARTI POLITIK

PSM berpendirian bahawa apa yang tertulis dalam Utusan Malaysia bukanlah isu sebenar dan konteks sebenar apa yang telah diceramahkan oleh Muhammad Sabu – Timbalan Presiden PAS mengenai isu Bukit kepong dan Kemerdekaan Tanah Melayu..

PSM berpendirian sebegini kerana semasa penahanan Ahli PSM pada bulan Julai lalu dan kemudiannya penahanan mereka dibawah EO, Utusan Malaysia dan PDRM juga membuat pelbagai tohmahan dan cerita palsu seperti ada senjata dalam bas, PSM mahu mencetuskan perang keatas yang Dipertuan Agung, mahu menghidupkan PKM, ada agen luar negara dan sebagainya. Ajaran yang PSM belajar adalah Utusan Malaysia kebal bercakap bohong dan tidak ada apa yang boleh dilakukan. Begitu juga ada ahli PERKASA dan orang UMNO seperti Ezam yang boleh membuat ugutan berunsur jenayah tetapi mereka kebal dan tiada tindakan diambil terhadap mereka.

Justeru itu, PSM berharap konteks apa yang Muhamamd Sabu katakan sebenarnya harus diteliti. Ini adalah kerana sejarah negara ditulis dari kacamata UMNO yang telah bersekongkol dengan British untuk mendapat kemerdekaan. Terdapat juga banyak buku sejarah yang telah dikarang mengenai versi ini oleh sejarahwan. Pejuang-pejuang kiri seperti Boestaman, Samsiah Fakeh, Burhanuddin Al-Helmy dan lain-lain pejuang kemerdekaan tidak diberi ruang secukupnya dalam sejarah yang dikarang dan diterbit oleh UMNO.

PSM juga sedih apabila Timbalan Ketua Polis negara begitu terburu-buru mengeluarkan kenyataan meminta Muhamamd Sabu membaca buku sejarah. Sebagai seorang Pegawai Polis beliau sepatutnya menyiasat samada kenyataan Muhammad Sabu mempunyai unsur jenayah atau tidak. Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti seorang Ahli UMNO atau ahli politik. Jika beliau ingin menyertai politik, bersaralah dan masuklah gelanggang politik.

PSM berharap pihak polis yang neutral atau badan bebas seperti SUHAKAM menyiasat kenyataan Muhamamd Sabu.

S.Arutchelvan
Setiausaha Agung PSM
29 Ogos 2011

Sejarah yang cuba dipadamkan oleh Umno..!!

Posted: 31 Aug 2011 04:09 PM PDT

Umno dalam bahaya kalau melayu rajin mengkaji sejarah.....


Meluruskan Kembali Sejarah Kemerdekaan Negara:Catatan Ringkas Mengenai Perjuangan Nasionalis-Kiri-Radikal
by Rizal 'Syeikhryz' Hamdan on Tuesday, August 30, 2011 at 5:23am

MUKADIMAH

Baru-baru ini, telah tercetus satu kontroversi berkenaan kebangkitan semula pengaruh komunisme di Malaysia. Penulis memerhatikan perkembangan ini semenjak daripada peristiwa Demonstrasi BERSIH 2.0 pada beberapa bulan terdahulu. Di antara taktik yang digunakan oleh regim pemerintah ialah dengan menuduh,tujuan penganjuran demonstrasi tersebut adalah untuk menghidupkan kembali pengaruh komunis dalam negara (penangkapan 6 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia di bawah Emergency Ordinance 1948). Hal yang sama turut terjadi beberapa hari yang lepas, apabila Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohammad Sabu memberikan komen tentang peranan pihak Parti Komunis Malaya (PKM) dalam perjuangan kemerdekaan negara. Komen ini,seperti yang telah penulis jelaskan,mempunyai 'beban sejarah' dan ia pantas menjadi modal politik pihak Ethno-Nasionalis seperti Parti UMNO dan pertubuhan yang sealiran dengannya.

Selepas merenung kesemua hujah-hujah kedua-dua belah pihak,penulis berpendapat bahawa,kontroversi ini tercetus berikutan dokumentasi sejarah atau versi sejarah yang dipaparkan kepada masyarakat telah disunting,dibuang separuh,digelapkan setengah dan difokuskan segelintir sahaja. Apa yang penulis maksudkan ialah,pemaparan versi sejarah yang dipelajari masyarakat sejak zaman persekolahan sehingga dewasa ialah versi sejarah menurut perspektif regim penguasa. Sejarah yang ditonjolkan hanya memberikan 'kredit' perjuangan kemerdekaan kepada parti pemerintah sahaja. Sebaliknya, sejarah yang menonjolkan pihak lain sama ada dibuang sama sekali atau dikecilkan 'kepentingannya' sekadar menjadi pelengkap kronologi sesuatu peristiwa. Penulis berpendapat, ini merupakan perbuatan 'menyimpangkan sejarah' asal dengan tujuan politik. Tidak dinafikan, parti pemerintah harus dipuji kerana memainkan peranan dalam mempercepatkan proses kemerdekaan Negara. Namun, perlu kita fahami bahawa, kemerdekaan itu bukan hanya 'peristiwa sehari' tetapi merupakan suatu proses yang panjang.

Perlu kita akui, sebelum kemunculan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/PEKEMBAR), terdapat banyak organisasi kiri (left leaning) yang telah merintiskan perjuangan kemerdekaan Negara. Ramai daripada kalangan kita yang terlupa tentang kewujudan organisasi seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Hizbul Muslimin, Barisan Tani Semalaya (BATAS), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Aangkatan Pemuda Insaf (API), Gerakan Anak Muda (GERAM) dan beberapa pertubuhan lain yang turut serta menyumbang tenaga dan idea ke arah proses kemerdekaan Negara. Namun, disebabkan oleh sikap kita (regim penguasa) yang gemar memadamkan sejarah untuk membentuk 'hegemoni' dalam fikiran rakyat bahawa hanya parti pemerintah sahaja yang berjuang untuk merdeka, catatan sejarah negara ini dikesampingkan dan hanya menjadi 'subaltern history' yang berlegar untuk diselidik oleh mereka yang mengkaji sejarah mahupun politik Negara sahaja. Berdasarkan hal ini, penulis merasakan 'sejarah perjuangan kemerdekaan negara' harus diuruskan kembali agar diketahui oleh generasi muda.

PERINTIS AWAL PERJUANGAN KEMERDEKAAN

Kesedaran politik di Malaysia agak lambat berbanding Negara jiran seperti Indonesia dan Filipina. Di Indonesia, pada tahun 1905 sudah terdapat organisasi politik awal seperti Sarekat Dagang Islam (Sebelum dijenamakan semula sebagai Sarekat Islam pada tahun 1912) untuk menjadi platform politik masyarakat peribumi yang dipimpin oleh pejuang terkenal seperti Hj Oemar Said Tjokrominoto dan Hj Agus Salim. Di Filipina pula, gerakan politik seperti La Liga Filipina dan Katipunan pada tahun 1892. Di Malaya (sebelum dikenali sebagai Malaysia pada tahun 1963), organisasi politik yang bersifat kebangsaan hanya timbul pada tahun 1938 (sebelum itu yang ada hanyalah organisasi yang bersifat parokial/kewilayahan) di bawah pimpinan pejuang yang bersifat anti-establishment dan anti feudal seperti Ibrahim Yaakob. Organisasi KMM dilihat begitu progresif dan mahukan perubahan yang radikal kepada nasib anak bangsa. Contoh yang dapat diberikan ialah penerbitan tulisan Ibrahim Yaakob hasil pengamatannya (observation) ke seluruh Negara yang bertajuk 'Melihat Tanah Air'(1941). Tulisan ini merupakan antara percubaan pertama untuk menganalisis keadaan tanah air yang berada di bawah penjajahan Inggeris.

Penulis pasti tidak ramai daripada kalangan kita yang pernah mengetahui fakta ini selain mereka yang terlibat dalam pengajian politik atau sejarah Malaysia. Sebelum kemunculan Dato Onn Jaafar dalam aktivisme kemerdekaan Negara, kita sudah mempunyai ramai aktivis yang sudah terlibat aktif dalam menentang penjajah dan membangkitkan kesedaran rakyat akan penindasan dan kemunduran di tanah jajahan. Setiap hasil bumi Negara (pada tahap analisis periphery countries oleh penganalisis aliran Neo Marxis) akan diangkut ke Negara penjajah (pada tahap core countries). Pejuang-pejuang awal kemerdekaan seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Hj Muhammad, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan lain-lain nasionalis kiri telah mula memahami kepentingan untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris.

SEJARAH YANG DIPENCILKAN

Mereka yang disebutkan di atas merupakan nasionalis kiri yang anti establishment anti kolonial. Mereka mengambil sikap tidak bekerjasama dengan penjajah, namun masih mengambil saluran demokrasi untuk mencapai tujuan dan hasrat perjuangan mereka. Hasilnya, pada 17 Oktober 1945 ditubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) iaitu parti politik pertama yang ditubuhkan di Tanah Melayu pasca perang dunia kedua. Walaubagaimanapun, parti ini telah diharamkan pada 18 Jun 1948. Apa yang ingin penulis sampaikan ialah, PKMM merupakan parti politik pertama yang ditubuhkan dan tidak berbentuk militan berbanding Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada tahun 1930. Namun, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa PKM turut menyumbang kepada kemerdekaan Negara melalui 2 fasa perjuangan mereka.

1) Perjuangan menghalau penjajah Jepun melalui kerjasama sulit dengan British
2) Perjuangan anti kolonial menentang penjajah British.

Dua bentuk perjuangan yang dilaksanakan oleh PKM ini 'membolehkan' mereka menerima kredit memperjuangkan kemerdekaan Tanah Air. Namun, setelah Tanah melayu mencapai kemerdekaan, perjuangan ideologi marxisme oleh PKM diteruskan ke atas kerajaan Persekutuan Tanah Melayu atas anggapan kerajaan pimpinan Tunku Abd Rahman Putra Al-Haj merupakan 'anak emas' British dan hanya meneruskan dasar kapitalisme yang diasaskan oleh pihak kolonial. Walaubagaimanapun, ini merupakan suatu hal yang lain berikutan fasa perjuangan bersenjata yang melalui zaman yang berbeza. Apa yang penulis cuba tampilkan di sini ialah bagaimana PKM juga turut terlibat dalam usaha membebaskan Tanah Air daripada penjajahan British. Berikutan itu, mengapakah kita mahu menafikan sumbangan mereka? Di sinilah penulis menyatakan akibat daripada 'beban sejarah' yang dipikul oleh PKM sepanjang penentangannya ke atas pentadbiran Negara pasca merdeka menyebabkan mereka langsung tidak dicatatkan sebagai penyumbang tenaga dalam proses kemerdekaan Negara.

Ramai daripada kalangan kita yang hanya mengenali PKM sebagai sebuah organisasi militant yang dianggotai oleh etnik Cina sahaja, tetapi tidak berusaha memahami terdapat juga regimen dalam PKM yang dianggotai oleh etnik Melayu iaitu Regimen ke 10. Perlu penulis terangkan di sini bahawa kebanyakan ahli Regimen ke 10 PKM merupakan nasionalis kiri-Melayu yang terpaksa masuk ke hutan untuk menyertai perjuangan bersenjata PKM kerana diancam oleh pihak penjajah British. Perlu diingati, pada tahun 1948, pihak penjajah British telah menguatkuasakan Ordinan Darurat (kini peranannya diteruskan oleh Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) untuk menghapuskan kebangkitan nasionalisme Melayu yang dikepalai (spearheaded by) oleh pertubuhan-pertubuhan kiri di Tanah Melayu. Di antara pemimpin aliran nasionalis kiri yang dihumban ke penjara tanpa bicara adalah Ahmad Boestamam,Kamaruzaman Teh, Yahya Nasim dan beberapa tokoh kiri yang lain. Demi mengelakkan diri daripada turut sama ditahan tanpa bicara, terdapat sebilangan tokoh nasionalis kiri yang tiada pilihan lain selain menyertai PKM di hutan, ini termasuklah mereka-mereka seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Musa Ahmad dan lain-lain.

Namun, 'beban sejarah' yang dipikul oleh PKM telah 'mengelapkan' sumbangan pejuang-pejuang nasionalis kiri ini daripada dipaparkan kepada masyarakat sebagai tokoh kemerdekaan. Mengapa kita perlu bimbang kepada komunisme yang sudah tersimpan dalam 'arkib sejarah dunia'? Penulis berpendapat, komunisme masa kini hanyalah sebatas konsumerisme sahaja seperti pemakaian baju T berlambang bintang, Red Star, Sickle and Hammer serta imej tokoh-tokohnya seperti Che Guevara, Lenin, Mao dan lain-lain. Perlu kita fahami, semenjak penubuhan PKM pada tahun 1930 sehingga kini belum pernah terjadi revolusi proletar di Malaysia. Tanggapan bahawa perjuangan komunisme cuba dihidupkan kembali di Malaysia hanyalah telahan karut oleh mereka-mereka yang masih tersekat memorinya di zaman perang dingin (Cold War).

Penulis melihat catatan sejarah politik di Britain, para pemuka Irish Republican Army (IRA) seperti Jeneral Michael Collins (1890-1922) sendiri pun turut diiktiraf oleh pihak British sebagai wira tempatan Ireland selain daripada Eamon De Valera (1882-1975). Amerika Syarikat sendiri turut menghargai dan mengiktiraf pemimpin pemberontakan Chiricahua-Apache iaitu Geronimo (1829-1909) sebagai wira tempatan. Namun, mengapakah kita tidak pernah memberikan 'kredit' kepada pejuang-pejuang kiri yang turut sama berjuang untuk Negara? Berdasarkan hal ini, penulis merasakan kita perlu meluruskan kembali catatan sejarah bangsa dan Negara daripada terus diselewengkan demi kepentingan politik sesetengah pihak.

KESIMPULAN

Keamanan dan kesenangan yang kita nikmati pada hari ini bukan hanya hasil usaha sesetengah pihak sahaja, bahkan merupakan usaha kolektif yang membabitkan banyak ideologi dan aliran perjuangan. Kesilapan utama kita ialah sentiasa meminggirkan catatan sejarah Negara demi 'meampilkan' sesetengah pihak sahaja sebagai aktor utama kemerdekaan negara. Dalam sejarah Negara dan bangsa kita, ramai 'wira-wira yang tidak didendang' telah semakin dilupakan oleh rakyat. Hal ini berlaku bukan hanya kerana mereka malas untuk membaca atau mengkaji, tetapi kerana catatan sejarah telah 'dibengkokkan'. Sempena perayaan kemerdekaan Malaysia yang ke 54 ini, penulis berharap agar kita kembali mengenang jasa-jasa kesemua pejuang Negara, bukan hanya jasa sesetengah pejuang sahaja. 'Interaksi sejarah' yang berlaku di masa silam perlu kembali diluruskan bagi memastikan generasi akan datang lebih memahami dan meghargai 'catatan sejarah' Negara daripada perspektif yang pelbagai. Perbuatan 'meminggirkan' sejarah yang benar hanya menyebabkan terlahirnya generasi pelapis yang tidak progresif dan tidak kritis. Selamat menyambut hari raya Aidilfitri dan sambutan kemerdekaan Negara yang ke 54.

NOTA

Sila rujuk buku seperti Cheah Boon Kheng.1984. Red Star Over Malaya: Resistance and Social Conflict During and After Japanese Occupation of Malaya 1941-1946, Filem 10 Tahun Sebelum Merdeka oleh Fahmi Reza dan lain-lain buku berkenaan perjuangan nasionalis kiri untuk penjelasan lanjut.

Tiada ulasan: