Sabtu, 13 Ogos 2011

Kopitiam Bang Nan

Kopitiam Bang Nan


Suka membaca tulisan Dr. Dzul...

Posted: 12 Aug 2011 09:40 PM PDT

Ada kebijaksanaan dan hikmah....

Menilai gelagat dan "nawaitu" orang politik pertahan Aqidah ummat.

AUGUST 13, 2011
by Dr. Dzul

Akhbar Utusan Malaysia terus menerus memutarkan isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) keatas sebuah gereja Methodist di Damansara Utama baru baru ini tanpa memperdulikan tindakan itu bakal mengundang pertentangan agama dan perkauman yang melampau.

Meletakkan tajuk Bajet 2012 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri sebagai tajuk utama pilihan pengarang, akhbar itu juga turut memaparkan gambar berwarna sekumpulan badut Umno BN menjalankan demonstrasi di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Gambar muka depan itu menyerlahkan peri-laku mereka yang meletakkan mangkuk tandas dan penyapu sebagai bantahan kepada Menteri Besar Selangor. Demonstrasi itu adalah bagi menyatakan perasaan mereka yang tersinggung dengan tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana kenyataan memohon maaf kepada pengurusan gereja terbabit atas serbuan pihak JAIS itu.

Seramai kira kira 30 orang demonstran hadir yang mewakili 2 pertubuhan bukan kerajaan iaitu, Permuafakatan Warisan Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan ( Gempak). Mereka turut mempertikaikan sikap Khalid yang kononnya dituduh memperdagangkan Islam dan akidah umat islam kerana kepentingan politik.

Apakah salah tindakan Khalid memohon maaf bagi pihak kerajaan negerinya, sementara menunggu laporan lengkap dari JAIS berikutan insiden tersebut, sehingga tindakannya itu dianggap mereka sebagai memalukan dan tidak wajar?

Kewajaran Khalid meminta maaf itu tidak patut diputarbelitkan media. Ia boleh diertikan bahawa Khalid kesal isu sebesar ini tidak dimaklumkan kepada beliau dan tidak juga kepada Exco agamanya. Ini tidak bermakna bahawa Khalid menyokong gereja tersebut. Sebaliknya pulak ianya juga tidak menggambarkan Khalid menyalahkan JAIS dalam tindakan mereka.

Yang penting sebagai ketua sebuah negeri, Khalid mahu dilihat berhati hati dalam membuat sebarang tindakan kerana menjaga keharmonian perasaan antara kaum dan agama. Tegasnya Khalid mahukan laporan lengkap disiapkan bagi mengadili kes ini dengan baik berpandukan maklumat yang tepat.

Begitu juga dalam menagani isu isu lain bersabitan pertentangan agama seperti masalah kuil dan kepala lembu dan babi hutan, serangan terhadap rumah ibadat dan kes perebutan anak selepas ibu atau bapa kembali ke agama asal dan sebagainya. Isu seumpama ini amat sensitif dan emotif, berlembut tidak bermaksud kita lemah atau menyebelahi dan lunak kepada sesuatu pihak.

Laporan lengkap dan terperinci insiden tersebut dijangka diterima selepas Hari Raya Aidilfitri. Khalid mahukan laporan penuh termasuk semua bahan bukti dan soal siasat keatas 12 individu yang dikatakan terbabit dalam usaha memesongkan akidah mereka oleh pihak gereja Methodist Damansara Utama.

Pengarah Eksekutif, Harapan Komuniti Raymond Koh juga telah tampil memberi kenyataan bahawa majlis makan malam yang diadakan di premises gereja tersebut adalah bertujuan mengutip dana , ianya dihadiri jemputan dari pelbagai kaum dan beliau juga mendakwa makanan yang dihidangkan halal dan disediakankan oleh orang melayu.

Beliau menyatakan kekesalannya bahawa majlis kutipan dana itu telah disalah tanggap sebagai majlis memurtadkan orang Islam. Beliau juga terkilan serbuan JAIS itu dibuat tanpa sebarang waran ditunjukkan walaupun pihaknya meminta pegawai JAIS berbuat demikian.

Walaubagaimana pun JAIS sedar bahawa mereka dibenarkan berbuat demikian dibawah peruntukan Enekmen Ugama Bukan Islam 1988. JAIS kini bertanggungjawab mengumpul segala bukti bagi memperkukuhkan dakwaan bahawa wujud usaha untuk memurtadkan orang Islam.

Akhbar Utusan Malaysia juga mendahului pihak JAIS apabila menyiarkan satu lapuran dari beberapasumber di muka 4 akhbar bertarikh 11 Ogos 2011, bagaimana serbuan itu dibuat serta berjaya mendapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa majlis tersebut sememangnya majlis memurtadkan orang islam. Umum menyaksikan sekali lagi UM menjalankan perbicaraan melalui media atau "trial by the media". Ini amat dikesali pelbagi pihak. Ia juga bercanggah dengan prinsip Islam "Al-Aslu Bari atul Zimmah" – "Tidak Berdosa-Bersalah selagi belum dibuktikan" yang berkebetulan diguna pakai dalam perundangan sivil.

Pengarang UM seharusnya menghormati kenyaatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang meminta semua pihak menghentikan segera sebarang spekulasi sehingga pihak JAIS menyelesaikan siasatannya. Tampaknya UM mendahului Menteri agama itu.

Sementara itu pimpinan PAS terus dikecam oleh pelbagai pihak atas sikap yang dikatakan berdiam diri kerana menghitung kepentingan politik mereka.

Sayugia dingatkan bahawa Presiden PAS, Dato' Seri Hj Hadi Awang telah membuat kenyataan akhbar selepas mesyuarat JK Kerja PAS Pusat bahawa PAS akan bersemuka dengan kedua dua pihak terbabit. Ini bagi mendapatkan penjelasan supaya jalan terbaik yang lebih harmoni dan adil dapat dicapai.

Kajian rambang penulis, mendapati pendirian itu amat disenangi pelbagai pihak: Islam dan Bukan-Islam. PAS nyata sekali lagi menyerlahkan sentuhan politiknya yang semakin matang. Apakah itu yang sangat dicemburi seteru poitiknya, Umno. Mungkin PAS lebih memahami dan mendalami tuntutan "Politik Baru".

Seorang penganalis politik upahan Umno, atas perasaan cengkil mungkin, telah menyelar PAS mengalami sindrom "skizofrenia politik" kerana kononnya berpecah pendirian dalam mendepani isu ini. Ketua Pemuda PAS dikatakan menyokong Dr Hassan Ali, sementara pendirian pimpinan Pusatnya menentang. Cubaan beliau melaga-lagakan PAS itu nyata meleset.

Apa yang disebut oleh Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dalam kenyataan blognya, menegaskan pendirian Pemuda yang tidak akan bertolak ansur dalam mempertahankan soal akidah umat Islam, walaupun terpaksa mengorbankan tenaga, wang ringgit mahupun darah dan nyawa. Komitmen itu adalah menasabah dan sepatutnya lahir dari seorang Ketua Pemuda sebuah parti Islam.

Nasrudin juga turut menyatakan menyokong tindakan pimpinan tertinggi mengatur pertemuan dengan pihak gereja dan JAIS sebelum membuat sebarang kenyatan. Jelasnya soal akidah tidak boleh dipandang ringan terutama dalam negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.

Kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dalam akhbar Utusan Malaysia jelas bertujuan mengeruhkan semangat setiakawan antara PAS dengan DAP dan PKR apabila memutar belit kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS dalam soal akidah umat islam. PAS dan Ketuanya tidaklah semudah itu boleh dipermainkan oleh politik murahan dan ledakan emosi orang-orang Umno yang mahu dilihat menjadi jagoan Islam

Terkini Ezzam Mohd Nor, Lokman Adam, bersama seorang ahli parlimen bebas Zulkifli Nordin dengan sekumpulan pemuda yang menggelarkan diri mereka Gerakan Mencegah Murtad telah mengisytiharkan kesediaan untuk berperang habis-habis terhadap portal Malaysiakini dan Malaysianinsider kerana didakwa biadap terhadap JAIS.

PAS tidak akan terikut-ikut dengan rentak dan gelagat Umno yang gagal mempamerkan sikap Islam yang sebenarnya. PAS tidak perlu bersaing dengan Umno bagi membuktikan siapa lebih 'hebat' untuk mempertahankan aqidah ummat Islam. Sebabnya jelas. Tradisi mempertahan aqidah dan akhlak Ummat sememang menjadi tunggak dan teras perjuangan PAS termaktub dalam Perlembagaan parti Islam itu.

Umno yang baru celek dan ketika bertindak ternyata lebih memburukkan lagi keadaan. Kini tindakan ganas dan melulu ini bakal mencetuskan mudharat bagi Islam. Dalam kejahilan uslub dan metodologi memperjuangkan Islam, Umno gagal menyerlahkan 'kemuliaan dan kerahmatan' agama ini.

Menilai kesungguhan pemimpin pemimpin Umno mempertahankan akidah umat islam yang dikaitkan dalam isu serbuan ini, mengingatkan kita pada satu peristiwa yang melibatkan mantan mufti Selangor ketika itu Al-Marhum Dato' Ishak Baharom yang "dipecat" dari jawatannya juga ketika itu cuba menyelamatkan akidah umat Islam.

Kerajaan negeri Selangor, dibawah pentadbiran Umno-BN telah tidak menyambung kontrak Dato' Ishak Baharom sebagai Mufti Besar Selangor ketika itu kerana terlibat dalam usaha penangkapan 3 orang gadis melayu oleh JAIS yang menyertai pertandingan ratu cantik di salah sebuah hotel di Subang Jaya pada 13 Jun 1997.

Beliau dan penguasa JAIS dikecam hebat oleh media yang juga ketika itu dikuasai oleh Umno BN. Bantahan orang ramai juga disiarkan secara terbuka dan pelbagai peringkat pimpinan Umno BN mengutuk tangkapan tersebut. Dato' Ishak Baharom dikecam hebat oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamed.

Sebagai seorang Mufti Besar Negeri Selangor tentulah beliau percaya sebarang perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan adalah dilarang sama sekali oleh agama islam. Ini termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor yang telah diwartakan 2 tahun sebelum kejadian itu pada 11 Mei 1995.

Pimpinan Umno wajar diingatkan bahawa ada 2 kelompok utama yang terdedah kepada kerosakan aqidah. 1. Terlalu miskin dan dhaif dalam menyara kehidupan dan 2. terlalu jahil serta longgar dalam pegangan agama serta dibuai dengan hiburan yang melampau. Sejak isu murtad disebut-sebut bertahun lamanya , apakah tindakan konsisten yang dilakukan Kerajaan Pusat dan menteri agamanya?

Pemimpin Umno mutakhir ini yang menunjukkan ghairah bercakap tentang mempertahankan aqidah ummat ini perlu tengok balik kepada diri mereka sendiri. Sejauhmanakah mereka terlibat dalam menjadikan kedua-dua golongan tadi semakin kritikal dan tenat

Tengok kepada polisi dan dasar hiburan negara. Tengok juga kepada kejayaan proses pembasmian kemiskinan selepas DEB dan jurang kaya-miskin yang semakin melebar. Tengok kepada proses pembolotan kekayaan negara dan peminggiran sebahagian rakyat yang terpinggir dalam arus pembangunan mutakhir ini. Golongan asnaf dan fuqara serta ibu tunggal nyata dalam pengkalan data negeri dan Pusat.

Persoalannya, mengapakah masih ada ummat Islam yang dhaif mengadu nasib kepada badan pertubuhan NGO Kristian dan lain-lain? Benarkah agensi-agensi dan jabatan-jabatan Islam gagal menangani keperluan mereka, seperti lazim didakwa pelbagai pihak? Apaah tindakan undang-undang sahaja mampu mengawal kejadian seumpama ini? Ataukah ia membayangkan permasalahan yang lebih mendasar dan mendalam di segi pegangan aqidah, kafahaman dan amalan ummat Islam di negara ini?

Islam berdiri atas hujjah dan kefahaman yang jelas. Keyakinan aqidah mesti dibina atas ilmu dan pengetahuan yang kukuh. Aqidah adalah natijah iman yang mendalam dan tidak dapat dipaksakan. Paksaan adalah bertentangan dengan uslub atau kaedah menanamkan Iman dan keyakinan. Paksaan akan membuahkan sifat Nifaq, satu yang berlawanan dengan sifat Aqidah yang mesti dilakukan secara redho atas kejelasan hujjah dan ilmu.

Bertempek, melaung dan berdemonstrasi sahaja untuk ummat berpegang dengan aqidah bukan jalannya menanam dan menyuburkan Aqidah ummat. Meleka dan melalaikan ummat dengan hiburan keterlaluan juga berlawanan dengan usaha untuk mempertahankan aqidah ummat.

Atas bahu kepimpinan politik dan agama, tugasan untuk mendidik ummat Islam ini diletakkan. Aqidah adalah keyakinan hati dan jiwa. Ia tidak dapat dipasakkan dengan undang-undang dan hukuman semata-mata. Ia perlu dibina dengan menyeluruh dan konsisten serta bereterusan.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak memerlukan ia diperkasa dengan 'keangkuhan' lebih dari ia perlu ditampilkan dengan sifat "Rahmah" dan "Ihsan Belas" kepada pihak lain. Ada yang juga tak kena dengan kepimpinan yang bertanggungjawab tentang agama Islam di Negara ini yang gagal memahami bahawa Islam itu bukan dalam kedudukan diserang atau "under-siege" seperti yang didakwa pihak tertentu yang tidak memahami watak dan sifat Islam itu sebenarnya.

Bahkan Politik Baru menampilkan satu keselesaan dan perasaan saling menghormati yang cukup mendalam sekaligus membuka ruang 'dialog' antara agama yang cukup luar biasa. Pernah penulis sendiri terasa akan permusuhan dan perseteruan yang sangat tajam dengan pihak IFC satu ketika dahulu.

Namun setelah ruang dialog, wacana dan diskusi mampu dibina, maka runtuh segala tembok-tembok prajudis. Semua masih kuat dengan pegangan agama dan kepercayaan masing-masing, mungkin lebih kukuh lagi. Tetapi hari ini , kami boleh berkawan bahkan bergandingan bahu kea rah mencari "Satu Malaysia Baru" yang lebih cemerlang, hebat dan gemilang.

Hari ini, Dato Ambiga, Malik Imtiaz dan Harris Ibrahim adalah kawan dan rakan seperjuangan penulis dalam BERSIH 2.0. Kami memahami mereka dan mereka lebih memahami kami lagi dan mengapa ummat Islam cukup sensitif dengan persoalan Aqidah dan Akhlak atau Moral. Kami akan terus mewujudkan dialog dan wacana nasional ini bagi memperkukuhkan persefahaman antara agama dan budaya bagi menjauhi prajudis dan buruk sangka. Inilah Politik Li-Ta'arafu – "Saling Kenal-Mengenali-Hormat-Menghormati" yang dianjurkan Al-Quran.

Bukankah persefahaman ini yang dimahukan PM Najib dalam pendekatan "moderate'nya? Bukankah ini yang dicanang merata dunia yang kononnya dilaksanaka di Negara contoh ini? Namun jelasnya kesemua ini tampak kosong dan lompang. PAS dan Pakatan rakyat jauh lebih berjaya dan telus dalam menghidupkan dan menghayati tuntutan "Al-Wasatiyyah" atau "Keserdahaan" yang dianjurkan oleh Islam.

Kembali kepada persoalan pokok. Bila direnungi kesemua pergolakan ini, anda tidak dapat mengelak dari bertanya. Benarkah Umno konsisten untuk mempertahankan aqidah ummat ataukah ia lebih tepat lagi kerana ingin menangguk di air keruh untuk kepentingan kepartaian sahaja bagi menjatuhkan lawan politiknya? Politik itu murni dan medan untuk bersaing bagi mencari redho Allah. Tetapi nyata hari ini, politikuslah kelompok utama yang merosakkan medan amal ini.

Mungkin kesemua ini tidak salah dari perspektif politik Umno. Tetapi jangan sampai 'nawaitu' politik sebenar itu, ketika diadunkan atas nama agama, bakal merosakkan kemuliaan Islam sebagai agama Rahmatan Lil-'Alamin!

Masa akan menentukan dan menyerlahkan kebenaran hakikat ini.

Dr Dzulkefly Ahmad,

Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan PAS.

Tiada ulasan: