Selasa, 30 Ogos 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Apabila Populariti Najib Meningkat, Mereka Melompat Gembira, Bila Merudum Mereka Tak Percaya

Posted: 29 Aug 2011 10:20 PM PDT

Pemimpin BN tidak risau kajian dakwa populariti Najib susut

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) mengetepikan kajian terbaru menunjukkan populariti Datuk Seri Najib Razak mengalami penurunan berterusan, sebaliknya yakin Perdana Menteri keenam itu terus menikmati keyakinan rakyat.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal berkata beliau tidak percaya yang sokongan akar umbi ke atas perikatan itu dan pengerusinya terjejas teruk memandagkan sokongan kuat terus diperlihatkan oleh rakyat.

Populariti Najib menjunam ke paras 59 peratus – penurunan dari 72 peratus, paras paling tinggi, yang direkodkan pada Mei tahun lalu, dipercayai berhubung kait dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan awal Julai lalu.

Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan arah aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.


Kadar populariti Najib pernah turun sehingga 56 peratus pada September 2009 - lima bulan selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam.

"Seramai 59 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam kajian (kali) ini enam peratus lebih rendah berbanding 65 peratus direkodkan pada Mei tahun ini," kata firma kajian pandangan umum ini dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini.

Kajian terbaru ini dikendalikan sebulan selepas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Pada Mei 2009, iaitu sebulan selepas menjadi perdana menteri, populariti Najib adalah 45 peratus dan ia melonjak kepada 65 peratus pada Jun 2009 sebelum menjunam ke aparas 56 peratus pada September tahun yang sama.

Pada Mac 2010, populariti meningkat semula kepada 66 peratus, 66 peratus pada Disember 2009, 69 peratus (Mac 2010) dan 72 peratus (Mei 2010).

Shafie berkata sementara inflasi merupakan isu utama yang perlu ditangani, Perdana Menteri juga telah menunjukkan bahawa beliau komited untuk menyediakan persekitaran yang sesuai dengan menyediakan program Kedai Rakyat 1Malaysia dan inisaitif-inisiatif yang bertujuan mengurangkan beban kewangan.

"Tidak ragu bahawa harga barangan tinggi di sesetengah kawasan, tetapi murah di sesetengah kawasan yang lain. Perdana Menteri melakukan yang terbaik untuk mengatasi masalah rakyat," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Anggota Kabinet ini menambah, mereka yang mempunyai pandangan negatif mengenai kepimpinan Najib lebih risau tentang isu-isu kaum dan agama berbanding kos sara hidup.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Donald Lim berkata mereka yang ditemui kelihatan respons kepada perkembangan sejak kebelakangan ini seperti langkah pihak berkuasa menangani perhimpunan Bersih 2.0, selain ketegangan antara agama, tetapi menuding ke atas pembangkang yang mempolitikkan isu-isu itu.

"Pembangkang khususnya DAP telah memutar belit isu yang wujud. Malah, isu Jais (Jabatan Agama Islam Selangor), ia menyalahkan BN," katanya lagi.

Timbalan Menteri Kewangan ini berkata inflasi adalah fenomena global yang diakibatkan oleh kenaikan harga barang dan hutang di Eropah dan Amerika Syarikat, tetapi inflasi di Malaysia masih rendah iaitu sekitar 3.4 peratus berbanding lima peratus di Singapura.

Bekas setiausaha agung MIC Datuk T Rajagopalu berkata, tidak sesiapa pun boleh mempersoalkan kerja keras Najib, yang secara terus-menerus berusaha memastikan rancangan pembaharuan demi kebaikan rakyat.

"Setiap hari Perdana Menteri menjalankan kerja beliau... beliau menggerakkan langkah beliau," katanya lagi.

Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan mengetepikan hasil kajian terbaru yang diumumkan hari ini sambil menegaskan, rakyat masih yakin dengan keupayaan dan kepimpinan Najib.

Timbalan menteri ini mendakwa kaedah kajian yang digunakan kemungkinan ada kecacatan, hanya menemu bual 20 peratus penduduk yang begitu kritikal dengan Najib dan dasar-dasarnya.

"Saya tidak percaya (hasil) kajian," kata Ahli Parlimen Tapah ini.

Ulasan GB

Satu ketika dulu, apabila Merdeka Center mengumumkan populariti Najib meningkat 72% pada Mei 2010, bergendang seluruh media arus perdana dan para pemimpin BN mengumumkan kajian Merdeka Center tersebut. Mereka memuji-muji Merdeka Centre menyatakan kajiannya tepat dan sahih.

Tetapi kini apabila organisasi yang sama mengumumkan populariti Najib kini merudum ke paras 59%, mereka tiba-tiba terkejut beruk dan terus tenggelam di dalam sindrom penafian dengan tidak mempercayai kajian Merdeka Centre tersebut.

Apa punya bingai menteri-menteri BN ini.

Artikel Sebelum ini:

Majoriti Mahu Dakwat Kekal & Pemantau Asing Untuk Pilihanraya - Merdeka Center

Semakin Sahih: Najib PM Terakhir Dari UMNO BN



Majoriti Mahu Dakwat Kekal & Pemantau Asing Untuk Pilihanraya - Merdeka Center

Posted: 29 Aug 2011 07:20 PM PDT

Hampir separuh daripada rakyat negara ini tidak berpuas hati dengan cara Putrajaya mengendalikan perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara awal bulan lalu, demikian menurut kajian terbaru kendalian Merdeka Center.

Hasil kajian firma itu yang dikeluarkan hari ini menunjukkan 48 peratus tidak bersetuju dengan cara digunakan oleh pentadbiran Najib manakala 39 peratus melahirkan pendirian bersetuju.

Mengikut pecahan kaum, pendirian tidak berpuas hati sangat tinggi di kalangan masyarakat Cina iaitu 68 peratus, diikuti 55 peratus melibatkan orang India dan 37 peratus kalangan Melayu.

Bagaimanapun dari segi puas hati, responden kalangan Melayu merekodkan 53 peratus, 28 peratus di pihak kaum India dan 17 peratus orang Cina.



"Hampir 49 peratus responden mengatakan bahawa mereka memahami tuntutan-tuntutan Bersih 2.0, gabungan pertubuhan bukan kerajaan yang telah diharamkan, yang menuntut pembaharuan bagi pilihan raya yang adil dan bersih di Malaysia.



"(Hanya) seramai 39 peratus responden melahirkan rasa puas hati dengan cara kerajaan mengendalikan isu-isu berkaitan dengan Bersih sementara 48 peratus responden tidak berpuas hati," kata Merdeka Center.

Kajian itu menunjukkan bahawa seramai 33 peratus responden faham tentang lapan tuntutan dibawa oleh Bersih 2.0 manakala 29 peratus faham sedikit dan baki 19 peratus tidak tahu atau tidak faham langsung.

Kajian kali ini, menurut Merdeka Center dikendalikan melibatkan 1,027 respoden, membabitkan pengundi berdaftar, antara 11 hingga 27 Ogos lalu.

Berkaitan dengan pembaharuan pilihan raya kajian kali ini turut mengemukakan soalan khusus berkaitan dengan

a) keperluan mengkaji dan membersihkan daftar pemilih

88 peratus responden bersetuju dengan soalan mengenai keperluan mengkaji dan membersihkan daftar pemilih.



b) penggunaan dakwat kekal,

Seramai 70 peratus bersetuju agar pilihan raya di negara ini menggunakan dakwat kekal dan 19 peratus tidak bersetuju.



c) membenarkan pembangkang menggunakan media arus perdana

Sseramai 68 peratus bersetuju dengan cadangan membenarkan pembangkang akses kepada media arus perdana



d)mengundang pemantau asing dan tempatan.

70 peratus mahu kerajaan membenarkan pemerhati asing dan tempatan memantau perjalanan pilihan raya negara ini



Semakin Sahih: Najib PM Terakhir Dari UMNO BN

Posted: 29 Aug 2011 11:00 AM PDT

Merdeka Center: Populariti Najib terus susut

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjunam ke paras 59 peratus — penurunan dari 72 peratus, paras paling tinggi, yang direkodkan pada Mei tahun lalu, dipercayai berhubung kait dengan perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan awal Julai.

Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan arah aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Kadar populariti Najib pernah turun sehingga 56 peratus pada September 2009 — lima bulan selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang keenam.

"Seramai 59 peratus rakyat Malaysia mengatakan bahawa mereka berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam kajian (kali) ini enam peratus lebih rendah berbanding 65 peratus direkodkan pada Mei tahun ini," kata firma kajian pandangan umum ini dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini.

Kajian terbaru ini dikendalikan sebulan selepas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Pada Mei 2009, iaitu sebulan selepas menjadi perdana menteri, populariti Najib adalah 45 peratus dan ia melonjak kepada 65 peratus pada Jun 2009 sebelum menjunam ke aparas 56 peratus pada September tahun yang sama.

Pada Mac 2010, populariti meningkat semula kepada 66 peratus, 66 peratus pada Disember 2009, 69 peratus (Mac 2010) dan 72 peratus (Mei 2010).

Dari segi pecahan kaum, katanya, kajian menunjukkan 69 peratus responden masing-masing orang Melayu dan India dan 38 peratus kaum Cina melahirkan rasa puas hati dengan prestasi Najib, yang mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kajian kali ini, menurut Merdeka Center dikendalikan melibatkan 1,027 respoden, membabitkan pengundi berdaftar, antara 11 hingga 27 Ogos lalu. -TMI


Tahap puas hati terhadap Najib jatuh enam mata


Tahap kepopularan atau puas hati dengan kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah merosot enam mata kepada 59 peratus, menurut laporan terbaru oleh badan banci bebas dan pusat penyelidikan pendapat, Merdeka Center.

Menurut Merdeka Center kemerosotan itu mempunyai kaitan dengan kos sara hidup yang terus meningkat apabila pengguna mula merasai kesan atau impak kenaikan kos bahan api dan elektrik baru-baru ini.

Pusat banci itu juga mendapati bahawa cara kerajaan menangani dan mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 juga mempengaruhi persepsi umum kerana ia mempunyai kesan negatif dan telah menghakis sokongan kepada perdana menteri.
Hasil kajian turut menunjukkan Najib masih gagal mendapatkan sokongan masyarakat Cina dengan hanya 38 peratus yang berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Hanya kaun India sahaja yang memberi sokongan tambahan kepada Najib dengan peningkatan 4 peratus kepada 69 peratus berbanding Mei lalu.

Kaum Melayu bagaimanapun dilihat semakin kurang yakin dengan Najib apabila sokongan yang diterima semakin berkurang daripada 76 peratus pada Mac tahun ini, 73 peratus pada Mei dan kini 69 peratus berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Selain itu hampir setengah (49 peratus) dari responden menyatakan mereka memahami permintaan BERSIH 2.0 mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya negara ini.

Hanya 39 peratus yang puas hati dengan cara kerajaan mengawal isu berkenaan BERSIH dengan 48 peratus menyatakan sebaliknya.

Lebih menarik, majoriti bersetuju dengan beberapa permintaan BERSIH 2.0. Lebih dua pertiga menyatakan sokongan membenarkan pemantau dari dalam dan luar negara memantau pilihan raya kita (70 peratus), membenarkan akses media kawalan kerajaan kepada pembangkang untuk kempen pilihan raya (68 peratus), penggunaan dakwat kekal (70 peratus) dan pembersihan daftar pemilih (88 peratus).

Hasil kajian ini juga menunjukkan rakyat Malaysia masih berbelah bahagi dalam pelbagai isu penting dengan hanya 51 peratus, berbanding 54 peratus Mei lalu yang bersetuju bahawa negara ini menuju ke arah yang betul.

"Kajian menunjukkan kebimbangan awam masih berkaitan ekonomi dengan 38 peratus menyatakan demikian diiikuti masalah sosial - 10 peratus. Isu kebimbangan berkaitan politik pula di tangga ketiga dengan 9 peratus dan berkenaan jenayah dan keselamatan awam, 7 peratus," mengikut laporan tersebut.

Kajian ini melibatkan 1,027 responden dengan agihan kaum 59 peratus Melayu, 32 peratus Cina dan 9 peratus India. Mereka dipilih mengikut metodologi sampel berdasarkan etnik, umur, jantina dan negeri kelahiran dari seluruh semenanjung. -mk




Utusan Ditimpa Kehinaan Demi Kehinaan

Posted: 29 Aug 2011 06:15 AM PDT

Kes Sosilawati: Ketua Pengarang, Wartawan Utusan Malaysia Diberi Amaran

Ketua pengarang dan seorang wartawan Utusan Malaysia pada Jumaat diberi amaran supaya tidak menerbitkan sebarang komen membabitkan perbicaraan kes yang masih berlangsung.

Mereka diperintah hadir ke Mahkamah Tinggi di sini bagi memberi penjelasan berhubung penerbitan artikel yang didakwa 'menyerang' peribadi Manjeet Singh Dhillon, peguam dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Hakim Datuk Akhtar Tahir juga memberi amaran kepada ketua pengarang akhbar berkenaan, Datuk Abdul Aziz Ishak, dan wartawan Raja Syahrir Abu Bakar supaya tidak mengulangi perkara itu atau mereka bakal dikenakan tindakan.

Akhtar berkata mereka tidak sepatutnya menerbitkan artikel bertajuk 'Manjeet Selalu Burukkan Kerajaan' memandangkan perbicaraan kes bunuh itu sedang berlangsung dan terdapat beberapa perkara atau permohonan yang masih belum beliau putuskan.

Pada 18 Ogos lepas, Manjeet yang mewakili tertuduh pertama dalam kes itu, N.Pathmanabhan, membangkitkan mengenai penerbitan artikel bertarikh 17 Ogos, 2011 itu yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan kes berkenaan.

Dalam artikel tersebut, Anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan dilaporkan memberi komen berhubung tindakan Manjeet yang didakwa beberapa kali meminta mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap pihak pendakwaan kes pembunuhan itu.

Terdahulu, Raja Syahrir, ketika ditanya Akhtar sama ada beliau tahu bahawa beliau tidak boleh menulis mengenai perbicaraan kes mahkamah yang sedang berlangsung, menjawab beliau mengetahuinya.

"Jadi mengapa kamu tulis juga (artikel)," soal Akhtar dan wartawan itu menjawab: "Saya tidak tahu ia menjurus kepada perbuatan menghina mahkamah."

"Ya, tetapi kamu juga tidak pernah datang ke mahkamah dan apa yang dilaporkan juga tidak tepat. Kamu tidak sepatutnya siarkan (artikel) tetapi jika kamu ingin membincangkannya di kedai kopi boleh, tetapi bukan untuk disiarkan.

"Saya panggil kamu hari ini untuk memberitahu bahawa kamu tidak boleh siarkan komen mengenai kes ini tetapi apa yang saksi kata boleh (disiarkan),
" kata Akhtar.

Hakim itu berkata tindakan mereka menerbitkan komen tersebut memberi gambaran bahawa mahkamah boleh digunakan untuk tujuan politik, dan serangan yang dilakukan terhadap Manjeet juga merupakan satu serangan kepada mahkamah.

Akhtar berkata beliau hanya ingin memberi amaran tetapi terpulang kepada Manjeet sama ada ingin mengambil tindakan berhubung penerbitan komen itu.

"Saya harap media akan ambil perhatian. Saya tidak akan ambil tindakan tetapi jika perkara ini berulang, saya akan ambil tindakan terhadap anda. Saya juga akan perintahkan Gobalakrishnan hadir di mahkamah untuk memberi penjelasan," katanya.

Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Aziz dan Raja Syahrir kemudian berkata sebelum kedua-dua anak guamnya diperintah hadir ke mahkamah, mereka telah menemui beliau bagi mendapatkan nasihatnya berhubung apa yang boleh dan tidak boleh mereka laporkan.

"Kamu sepatutnya melakukan perkara ini lebih awal. Faktanya mudah, kamu tidak boleh komen mengenai perbicaraan yang sedang berlangsung, dan ini ialah asas undang-undang yang mudah," kata Akhtar.

Pathmanabhan, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Khatavarayan sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, Ahmad Kamil, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung pada 12 Sept. -- BERNAMA




Kes saman: Utusan gagal batal pembelaan Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Utusan Melayu (M) Bhd gagal untuk membatalkan pembelaan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam kes saman fitnah terhadap ahli politik pembangkang itu berhubung komennya mengenai makanan disajikan kepadanya semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk John Louis O'Hara memerintahkan saman itu menjalani perbicaraan penuh selepas memutuskan Kok mempunyai kes yang kukuh untuk membela dirinya.

"Ini bukannya kes yang biasa dan terang-terangan untuk dibatalkan, dan kes ini patut menjalani perbicaraan penuh," kata O'Hara sebelum memerintahkan syarikat akhbar itu membayar kos RM5,000 kepada Kok, demikian menurut laporan Bernama Online hari ini.

Pada Februari 2009, Utusan Melayu menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada Kok, 47, pengerusi DAP Selangor yang nama penuhnya Teresa Kok Suh Sim, kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenainya dalam akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia.

Dalam pernyataan tuntutannya, Utusan Melayu mendakwa Kok membuat kenyataan berunsur fitnah itu pada 22 Sept, 2008, apabila beliau mendakwa akhbar itu telah memutar belit kenyataannya kepada media perdana dan dalam blognya mengenai makanan yang disajikan kepadanya semasa ditahan di bawah ISA pada 2008.

Utusan Melayu menuntut, antara lain, mahkamah mengarahkan artikel, perkataan, petikan atau komen berunsur fitnah itu dikeluarkan daripada blog itu.

Ia juga memohon injunksi untuk menghalang Kok, ejen atau orang bawahannya daripada menerbitkan semula atau menyebabkan perkataan berunsur fitnah itu diterbitkan semula.

Utusan Melayu menuntut ganti rugi am, khas, tambahan dan punitif serta kos dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Utusan Melayu memberitahu pemberita yang anak guamnya akan merayu terhadap keputusan mahkamah itu.

Kok diwakili peguam Sangeet Kaur. -TMI



Polis Disaman RM5 Juta

Posted: 29 Aug 2011 03:30 AM PDT

Dua keluarga dekat sini mengemukakan saman RM5 juta terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan penahanan anak mereka yang dituduh terlibat dalam kegiatan samun dan pecah kenderaan.

Dalam pertemuan semalam, kedua-dua keluarga itu menyatakan rasa tidak puas hati berikutan penangkapan reman ke atas anak mereka.

Dalam kejadian 9 Ogos lalu kira-kira jam 1 pagi, Khairul Azani Mohd Lazawi, 21, Mohd Amir Anwar, 20, dan Mohd Khairul Liza Mohd Lazawi, 25, ditahan lima anggota polis menaiki motosikal berikutan penemuan dua palam pencucuh diubahsuai di dalam raga motosikalnya.

Mohd Lazawi Abdullah, 50, berkata, anaknya ditahan tanpa bukti kukuh.

"Sepanjang 17 hari ditahan anak saya dan rakannya dibawa ke Balai Kota Damansara sebelum dibawa ke Shah Alam, Bukit Jalil, Kepong, Pelabuhan Klang, USJ Subang Taipan yang menyaksikan mereka dipaksa mengaku terlibat dalam beberapa siri kes samun dan kecurian yang berlaku di kawasan terbabit," katanya.

Menurutnya, akibat gagal mendapatkan pengakuan anak saya, polis kemudiannya cuba memohon kepada mahkamah untuk menambah reman namun ditolak majistret.

"Saya yakin permohonan tersebut ditolak kerana ketiadaan bukti yang boleh mensabitkan anak saya malah berita tentang kejayaan polis menahan Geng Bob Belacan yang disiarkan secara meluas oleh media juga tidak benar," katanya.

Difahamkan, Khairul Azani dan Mohd Amir dibebaskan pada 26 Ogos lalu manakala Khairul Liza masih ditahan.

"Persoalannya ialah anak saya seorang lagi ditahan tanpa sebarang perintah reman yang sah dan hanya diberitahu terpaksa ditahan atas arahan daripada Setiausaha Kementerian Dalam Negeri namun sehingga kini kami tidak langsung ditunjukkan surat rasmi atau dokumen berkaitan tentang perkara ini.

"Lazimnya reman hanya dibuat selama 14 hari tetapi dalam kes ini reman sudah jadi 17 hari dan saya juga mempertikai cara reman tersebut dibuat kerana kalau diikutkan yang dibenarkan mahkamah hanya 12 hari sahaja," katanya. -SH

Md Sabu Akan Saman Utusan, Sengaja Tokok Tambah Untuk Alih Tumpuan Rakyat

Posted: 29 Aug 2011 02:21 AM PDT

Komunis: Utusan bohong, Md Sabu akan saman

KANGAR, 29 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.

Gambar: (Mohamad Sabu dalam sidang medianya di Komplek PAS Perlis hari ini)

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.

"Saya agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh Utusan itu tidak benar sama sekali," kata Mohamad Sabu kepada Harakahdaily.

Mohamad Sabu berkata, beliau mengambil masa untuk menjawab isu itu kerana ingin mengenalpasti apa yang beliau katakan dengan tepat dalam ceramah itu.

"Saya tidak katapun Mat Indera itu Komunis, saya tidak sebut pun nama beberapa-beberapa Cina yang dilaporkan dalam akhbar itu bahkan selepas membaca laporan akhbar Umno itu baru saya tahu nama mereka," jelas Mohamad Sabu yang juga membuat sidang media khas di sini hari ini mengenainya.

Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.

"Saya ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan pagi ini saya mendengarnya," kata Mohamad.

Utusan dan pemimpin Umno menyerang Mohamad Sabu dengan tuduhan kononnya beliau menghina para polis Bukit Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu.

Peristiwa Bukit Kepong terkenal kerana ia telah difilemkan oleh Datuk Jins Samsudin dengan filem berjodol Bukit Kepong.


Rakaman video Mohamad Sabu ketika berucap di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor baru-baru ini sampai ke tangan wartawan Harakah Pulau Pinang semalam.

Video itu kemudiannya disampaikan terus kepada Mohamad petang semalam dan ia dilihat beliau pagi tadi.

Rakaman yang diperolehi daripada seorang peminat tokoh nombor dua PAS itu dan diberikan kepada Mohamad yang hadir pada majlis berbuka puasa di Surau Al Ghufron, Kuala Bekah, Penaga bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng petang semalam.

Mohamad dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan akan meneliti terlebih dahulu ucapannya dalam rakaman berkenaan dan sekiranya didapati Utusan Malaysia sengaja menokoh tambah cerita yang bukan-bukan, maka tindakan undang-undang akan diambil.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Saya seolah sokong Komunis

"Berikutan dengan penyiaran berita itu, Radio dan Televisyen Malaysia serta TV3 terus menyiarkan dan membuat ulasan terhadap berita Utusan Malaysia itu, seolah-olah saya adalah penyokong perjuangan komunis bahkan saya adalah bapa komunis yang sebenar.

"Beberapa akhbar dan laman blog meminta komen saya terhadap kecaman pelbagai pihak terhadap saya dan saya memberitahu mereka bahawa saya akan membuat pendirian apabila saya mendengar kembali ucapan saya tersebut kerana berita Utusan Malaysia tersebut hanya disiarkan seminggu selepas tarikh ceramah.

"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan berita muka depan dan muka 5 Utusan Malaysia, serta kecaman-kecaman yang berterusan disiarkan Utusan Malaysia bertarikh 28 Ogos, maka saya dapati Utusan Malaysia telah memutar belit dan menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan parti saya (PAS)," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Kompleks PAS Perlis hari ini.

Ketika ditanya media tentang ucapannya, Mohamad berkata beliau tidak pernahpun menyebut Mat Indera itu sebagai seorang komunis sepertimana yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia.

"Selepas mendengar balik ucapan saya itu, didapati saya berlaku percanggahan dengan berita yang disiarkan Utusan Malaysia. Malah saya sendiri tak pernah dengar pun nama Goh Pen Tun seperti yang disiarkan.

"Berita itu telah ditokok-tambah sehingga menimbulkan kegelisahan orang ramai dan menyebabkan saya dikecam, diancam dan difitnah di atas penyiaran berita oleh Utusan Malaysia itu,
" jelasnya.

Mengulas lanjut isu ini, Mohamad berkata penyiaran berita seumpama ini adalah suatu taktik parti pemerintah dengan menggunakan media arus perdana untuk mengalihkan isu sebenar yang lebih besar seperti kepincangan sistem pilihanraya di negara ini.

"Saya tak nampak sangat penyiaran berita ini bertujuan untuk menjatuhkan saya mahupun PAS, tetapi yang lebih besarnya mereka telah digunakan untuk mengalihkan tumpuan rakyat dari isu Suruhanjaya Pilihanraya, isu pendatang asing sebagai pengundi serta pembongkaran PAS dan Bersih tentang kotornya daftar pemilih di negara ini.

"Ini yang mereka cuba alihkan dari pandangan orang ramai khususnnya sokongan orang-orang Melayu. Jadi mereka guna ucapan saya yang telah diselewengkan itu untuk mengalihkan isu yang lebih besar," jelasnya lagi. -HD


Tiada ulasan: