Isnin, 8 Ogos 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Khir Toyo Belum Boleh Beraya Sakan Tahun Ini - Diarah bela Diri Kes Rasuah

Posted: 08 Aug 2011 01:24 AM PDT

Kes rasuah: Dr Khir Toyo diarah bela diri

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bagi membela dirinya berhubung kes rasuah pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan terdapat kes prima facie ke atas Khir.

Beliau kemudian menetapkan 26 hingga 30 September ini untuk pembelaan yang dijangka mengemukakan sembilan saksi.

Dr Mohd Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Haryoni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5
juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohd Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohd Khir, yang menjawat jawatan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Dalam prosiding hari ini barisan pendakwaan dan pembelaan masing-masing diketuai Abdul Wahab Mohamad dan M Athimulan.

Seramai 25 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberikan keterangan pada perbicaraan itu.

Shamsuddin (kanan) pula dilepas dan dibebas daripada tuduhan bersubahat dengan Dr Mohd Khir berhubung pertuduhan itu pada 6 Jun lepas dan seterusnya menjadi saksi pendakwaan kedua dalam perbicaraan kes.

Dalam penghakimannya, Mohtaruddin berkata elemen berkenaan ialah tertuduh adalah penjawat awam pada hari kejadian, tertuduh membeli hartanah daripada Shamsuddin dengan harga belian dikatakan tidak mencukupi dan tertuduh mengetahui Shamsuddin mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi beliau sebagai penjawat awam pada hari kejadian. -mk


Istana Ala Bali : Khir Diarah Bela Diri

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bagi membela dirinya berhubung kes rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan terdapat kes prima facie ke atas Khir.

Mokhtaruddin kemudiannya menetapkan perbicaraan pada 26 hingga 30 September ini.

Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Khir yang melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Khir diwakili peguam M.Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi. -tvsnews



BERS✔H 2.0 : Mahfuz & Salahuddin Fail Saman KPN, Tiga Lain

Posted: 08 Aug 2011 12:04 AM PDT

Dua Naib Presiden PAS Saman IGP, Tiga lain

Dua naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar hari ini memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, kerajaan Malaysia dan dua lagi pegawai polis ekoran tindakan pihak berkuasa menahan mereka ketika hari perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini melalui Tetuan Faiz Fadzil & Co pada pukul 10.30 pagi tadi.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Inspektor Mohd Zaid Madzizat dan Ketua Polis Daerah Brickfields.

Menurut Mahfuz (gambar), pihaknya menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada semua defendan berikutan tangkapan yang didakwa beliau menjatuhkan imej sebagai seorang wakil rakyat.

Tindakan saman itu dibuat ekoran penahanan kedua-dua mereka pada 9 Julai lalu yang disifatkan tidak sah.

Kedua-dua mereka memfailkan saman secara berasingan.

"Hari ini kita telah memfailkan saman malu berikutan tangkapan salah pada Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu di KL Sentral, tangkapan itu bertentangan dengan perintah mahkamah dan undang-undang negara.

"KL Sentral bukan tempat larangan, kami tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan, kami juga tidak dinyatakan mengapa kami ditahan dan polis juga tidak mengambil apa-apa keterangan kami sepanjang ditahan di Balai Polis Jinjang," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata tindakan pihak berkuasa menahan mereka berdua adalah satu perkara yang memalukan.

"Tangkapan ini memberi gambaran yang salah tentang kami. Oleh itu, kami menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

"Selain itu, kami juga mahu faedah pada kadar lapan peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh, kos dan lain-lain relif atau perintah yang difikirkan perlu oleh mahkamah," katanya.

Tambah Mahfuz, jumlah saman akan dibincangkan dengan peguam mereka Zulhazmi Shariff tapi secara berseloroh berkata "tidak kurang daripada RM1 juta."

Sementara itu Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tindakan mereka adalah satu peringatan kepada pihak berkuasa agar bertindak mengikut undang-undang yang ditetapkan.

"Ini sebagai satu peringatan dan pengajaran kepada mereka yang terlibat, lain kali mereka perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Mereka juga telah membuat satu laporan polis pada 11 Julai.

Pada 9 Julai lalu, Mahfuz dan Salahuddin telah ditahan di KL Sentral pada pukul 11.50 pagi sebelum dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Mereka dibebaskan kira-kira pukul 9.30 malam dan sepanjang tempoh penahanan mereka juga tidak dibenarkan untuk menghubungi sesiapa termasuk peguam.

Pada Himpunan Bersih 2.0 itu hampir 1,700 orang ditahan termasuk pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Bersih 2.0 menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.
-TMI Foto: FMT

[Video] Prof Dr Ariffin Omar Sertai DAP

Posted: 07 Aug 2011 11:00 PM PDT

Tokoh akademik dan pakar sejarah budaya Prof Dr Ariffin Omar hari ini mengumumkan penyertaannya ke dalam DAP sekali gus meneruskan perjuangan menentang politik perkauman dan menggalakkan hubungan erat antara kaum.

Beliau menyertai DAP atas keyakinan bahawa parti itu bukan sahaja ditegakkan atas dasar berbilang kaum tetapi juga mengamalkan politik yang menolak perkauman.

"Pemilihan parti ini bagi saya ialah kerana ia tidak mementingkan kaum sebaliknya berorientasikan kaum dan mewakili semua kaum"katanya.

"Selama lebih 30 tahun saya aktif dalam gerakan hak asasi manusia serta menentang korupsi dan salah guna kuasa serta menggalakkan amalan demokrasi," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Ariffin, 62, adalah pensyarah di Universiti Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur.

Beliau yang dilahir dan dibesarkan di Pulau Pinang bersekolah di St Xavier's Institution, sebelum ke Universiti Sains Malaysia untuk memperolehi ijazah sarjana muda (B.A.).

Beliau melanjutkan pengajian tinggi di Singapore University dengan memperolehi ijazah sarjana (M.A.). Setelah mengajar di USM, beliau memasuki Australian National University untuk memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) pada 1991.

Beliau terkenal sebagai salah seorang pengasas gerakan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara Aliran pada 1977.

Karya beliau yang terkenal serta menjadi rujukan kolej dan universiti antarabangsa ialah Bangsa Melayu: Malay Concepts of Democracy and Community 1945 – 1950 terbitan Oxford University Press, 1993.

Beliau juga adalah pengarang buku Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu: Runtuhnya Kerajaan-Kerajaan Melayu Sumatera Timur pada Tahun 1946 (2001, USM Press) yang memaparkan kajian tentang kejatuhan pemerintahan diraja di Sumatra Timur pada 1946, dan buku Bumiputra Policies: Dynamics and Dilemmas (2004, Kajian Malaysia) mengenai masalah negara yang berlaku akibat kerajaan mengenepikan keadilan sosial di Malaysia.

Dr Ariffin yang juga seorang Fulbright Fellow di University of Utah, Amerika Syarikat, kini sedang menulis buku mengenai hubungan antara kaum dan kebebasan beragama di Malaysia.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong dan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari. -tvsnews



Ustaz Mohd Farhan Abdullah Al-Hafiz : Pilih Masjid, Tinggalkan Gereja

Posted: 07 Aug 2011 10:00 PM PDT

Ketika menghadiri forum perdana di Hotel De Palma Ampang, penulis tertarik untuk mengetahui kisah lanjut tentang seorang ahli panel yang merupakan bekas paderi Kristian di Sabah.

Alhamdulillah, penulis dapat merungkai perjalanan yang ditempuhi oleh beliau sehingga hatinya kini berpihak kepada Islam. Bagaimana dulu beliau yang pernah memurtadkan 200 orang Islam kini berjaya mengislamkan hampir 2000 orang dari pelbagai kaum.

Ustaz Mohd Farhan bin Abdullah Al-Hafiz dahulunya dibesarkan di dalam suasana agama Kristian dan bersekolah Kristian selama lapan tahun. Beliau juga dilatih menjadi Mubaligh Kristian dan mendapat didikan awal dari ayahnya sendiri yang merupakan Ketua Gereja dari Gerakan Penginjilan Sidang Injil Borneo. Semasa menganut agama Kristian, beliau seorang yang sangat taat kepada agama warisan itu dan merupakan pengikut yang fanatik.

Ketika itu, beliau juga mengkaji perbandingan antara Kitab Injil dan Al-Quran. Beliau banyak menelaah tulisan-tulisan Al-Marhum Syeikh Ahmad Deedat yang merupakan pendakwah terhebat di dunia dan pernah berdebat dengan para paderi dari pelbagai tempat di pelosok dunia. Akhirnya dengan kuasa Allah yang tiada tolok bandingnya, mata hati beliau telah terbuka untuk melihat keindahan dan kebenaran agama Islam.

Konsep 'Triniti' Cabar Keyakinan

Menurut pendakwah bebas ini atau nama Kristiannya Pastor Yohanes, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan beliau hilang keyakinan terhadap agama Kristian. Paling utama ialah mengenai konsep 'triniti'. Dalam konsep yang dipegang oleh orang Kristian ini, mereka mempercayai bahawa Tuhan itu adalah Allah. Namun, Tuhan itu adalah gabungan daripada tiga iaitu bapa, anak dan roh kudus. Mereka juga yakin Nabi Isa yang digelar Jesus sebagai Tuhan mereka kerana baginda ialah anak Tuhan.

Bagaimapun, ketika mengkaji al-Quran selama enam tahun, Ustaz Farhan bertemu firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud, "Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): "(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?" Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (al-Maidah: 17)

Kebesaran kalam Allah itu akhirnya telah membuka pintu hati Ustaz Farhan untuk memeluk agama Islam. Justeru, pada tanggal 26 Februari 1990, beliau telah melafazkan dua kalimah syahadah dan rasmilah menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Bagaimanapun, ternyata bukan mudah pengislaman beliau diterima oleh keluarga. Beliau telah dihalau dari rumah dan dibuang oleh keluarga.

Cabaran Setelah Bergelar Muslim

Namun, sebelum beliau melangkah kaki meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang, beliau sempat memeluk ibu bapa dan adik-beradiknya sambil berkata, "Ayah, ibu, maafkan saya. Sungguhpun ayah ibu halau dan benci dengan saya, serta tidak mengakui saya sebagai anak, tetapi saya tidak jadikan Islam yang saya pilih sebagai pemisah hubungan antara seorang anak dengan ibu bapanya". Selepas itu, beliau sentiasa berdoa di dalam solat hajat supaya dibukakan pintu hati keluarganya memeluk agama suci ini.

Menjadi seorang Muallaf tidak membataskan dirinya untuk berusaha mendalami Islam dan mengkhatam al-Quran. Pengajian beliau bermula di Pusat Latihan Dakwah Keningau, PERKIM Petaling Jaya dan pelbagai institusi pengajian Islam. Beliau juga telah berjaya mengkhatam al-Quran pada penghujung tahun 1998.

Benarlah Allah pasti membantu hamba-Nya yang bersabar dan redha dengan ujian-Nya. Akhirnya ayah dan ibu serta adik-beradiknya memeluk Islam. Malah, setahun selepas itu, 30 keluarga terdekat juga telah berjaya diislamkan oleh beliau. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dan bergiat aktif dalam memberi ceramah dan forum kepada para pelajar Malaysia tentang kepentingan dan kewajipan berdakwah setelah kembali ke Malaysia.

Perjuangan Dakwah

Sekembalinya beliau ke tanah air, beliau mula berjuang demi agama yang tercinta. Beliau memberi ceramah berkenaan "Murtad dan Kenapa Saya Memeluk Islam" ke seluruh negara. Disamping itu, beliau turut mengadakan kuliah-kuliah bulanan di masjid-masjid dan surau-surau sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Ada kalanya beliau dijemput memberi ceramah di Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.

Usaha dakwah seorang pejuang yang cekal ini diperhebat lagi dengan tertubuhnya dua pusat tahfiz iaitu Akademi Tahfiz Al-Quran Wal Hadith (ATAQWA) dan Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari (PPTQB). Dua pertubuhan ini adalah kerjasama bersama rakan-rakan seperjuangan beliau di Mesir. Beliau juga mengasaskan "Program Dakwah Bergerak" bagi misi dakwah Islamiyah di Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai persoalan mengapa masih ada orang bukan Islam yang tidak tertarik dengan Islam sedangkan Islam itu terang-terangan sebuah agama yang indah dan lengkap untuk dijadikan panduan kehidupan, Ustaz Farhan berkata, "Halangan utama yang membuatkan orang bukan Islam tidak tertarik dengan Islam apabila orang Islam sendiri tidak menunjukkan imej dan contoh teladan yang baik. Ramai umat Islam yang tidak beramal dengan ajaran Islam dan terlibat dengan gejala sosial dan maksiat kerana jahil dalam ilmu agama."

Justeru, jelas beliau lagi, umat Islam haruslah segera kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ia dapat dilakukan dengan cara beramal dengan Islam, menghayati ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan menyebarkannya. Kewajipan berdakwah pula adalah perlu bagi melahirkan ummah yang bersatu dan berpegang teguh pada tali Allah SWT. Maka, pihak kerajaan dan rakyat perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing mengembalikan jati diri, sahsiah, akhlak dan imej umat Islam sejati.

Betapa besarnya perjuangan yang beliau lakukan demi menegakkan syariat Allah di muka bumi. Kita sebagai seorang Muslim yang memang Islam sejak dilahirkan lagi seharusnya mempunyai semangat jihad dan cintakan agama yang lebih tinggi! di akhir kata, beliau menyeru agar seluruh umat Islam sama-sama menjaga nikmat iman dan Islam di dalam diri, keluarga dan masyarakat agar tidak terkeluar dari Islam baik dari sudut perbuatan, ucapan dan tingkah laku. -iluvislam


Bapa cincang lumat sejadah

TAMAN CENDANA – Usaha Pusat Aduan Rakyat (PAR) mengundang khusus seorang penceramah yang dahulunya merupakan mubaligh Kristian bertujuan berkongsi pengalaman dengan saudara baru.

Timbalan Penyelia PAR Permas, Kelana Bakri berkata, kebolehan Muhammad Farhan Abdullah Al-Hafiz, 43, menghafaz 30 juzuk Al-Quran selama dua tahun lapan bulan sangat dikagumi.

Menurutnya, anak kepada ketua paderi dari Kota Belud, Sabah itu akhirnya mendapat hidayah daripada Allah SWT selepas berhujah dan berdebat dengan ulama ke-10 dari Semenanjung.

"Kecintaannya kepada Islam begitu mendalam walaupun mendapat tentangan hebat daripada keluarga sehingga pernah terjadi peristiwa bapanya mencincang lumat sejadah dan membalingnya ke muka selepas melihat Muhammad Farhan solat.

"Muhammad Farhan pernah ditembak bapanya, tetapi tersasar dan sempat ditepis ibunya kerana terlalu marah dengan tindakannya ingin keluar daripada rumah," katanya ketika merasmikan bilik serba guna, di sini.

Kelana berkata, bagaimanapun selepas tujuh tahun Muhammad Farhan merantau ke Mesir, beliau berjaya mengislamkan ahli keluarganya.

Menurutnya, pengalaman berharga itu ingin dikongsi khusus kepada saudara baru supaya tidak berhenti mencari ilmu dalam mengenal Islam.

"Kita mahu bilik serba guna yang dibina khas dapat menjadi pusat pengajian fardu ain dan al-Quran kepada saudara baru dan penduduk setempat.

"Bilik serba guna ini juga akan dibuka untuk pusat tuisyen kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kadar bayaran serendah RM5," katanya. -SH


PAS Tak Bincang Hal Hassan Ali Kekal Exco

Posted: 07 Aug 2011 08:40 PM PDT

Hadi: Hasan Ali akan kekal Exco, isu gereja masalah negeri

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Ekoran kontroversi membabitkan serbuan ke atas sebuah gereja Rabu lalu, PAS menegaskan parti Islam itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan beliau akan kekal di jawatan itu.

Hasan merupakan pengerusi yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam.

Selain itu tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menyifatkan kontroversi yang berlaku adalah "masalah negeri."

"Ia masalah negeri, kita juga sebahagian daripada negeri, kita tidak terima teori kemungkinan (masalah dengan Hasan)... kemungkian dah banyak, ada juga kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menggantikan (Datuk Seri) Najib (Razak).

"Beliau (Hasan) akan terus jadi Exco, kita tidak bincang dalam mesyuarat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di sini.

Hasan juga merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Dalam mesyuarat itu, Hasan telah memberikan penjelasan berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu.

Pada kejadian malam Rabu itu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Namun Hasan mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan malam tadi.

Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan "al-Quran" dan "doa" diselitkan.

Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam telah menghadiri majlis tersebut tetapi tiada tangkapan dibuat. Mereka disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Khalid memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.

Hasan dalam laporan Mingguan Malaysia hari ini berkata, beliau sanggup dipecat demi mempertahankan Islam. -TMI

Ulasan GB

GB rasa ada semacam laporan yang tidak tepat di dalam berita TMI di atas.

Pertama, Ustadz Hadi menyatakan "Beliau (Hasan) akan terus jadi Exco, kita tidak bincang dalam mesyuarat," dirumuskan oleh wartawan TMI di dalam tajuk sebagai : Hasan akan terus jadi exco.

Sedangkan hakikatnya hal tersebut iaitu hal samada Hasan akan terus jadi exco ataupun tidak, isu itu sebenarnya tidak dibincangkan dalam mesyuarat.

Kerana kuasa perlantikan exco adalah hak prerogatif Menteri Besar Selangor sekalipun dari aspek mesyuwarah, PAS mungkin boleh mencadangkan calonnya.

Kedua ialah mengenai keseluruhan isu serbuan gereja oleh JAIS ini. Sepatutnya PAS Pusat tidak perlu untuk "campurtangan" kerana menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim sambil menyifatkan kontroversi yang berlaku adalah "masalah negeri.".

Jika ia "masalah negeri", maka bukankah elok hanya PAS Negeri Selangor sahaja yang menguruskan dengan memberikan kepercayaan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor dan barisan kepimpinannya yang baru untuk menyelesaikannya?

PAS sudah sepatutnya mendelegasikan kepercayaan dan amanah kepada peringkat negeri, dan PAS Pusat sepatutnya juga lebih memfokuskan isu sekurang-kurangnya bertaraf nasional. Isu pembersihan proses pilihanraya masih belum selesai misalnya. Bukankah itu lebih aula untuk difokuskan oleh PAS Pusat buat masa ini?


[Bergambar] Tragedi Tanah Runtuh: 7 Maut, 2 Terselamat Tapi Parah

Posted: 07 Aug 2011 06:33 PM PDT

Cameron Highlands: Tujuh penduduk Orang Asli terbunuh, manakala dua cedera apabila lima rumah di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, ditimbus tanah runtuh dalam kejadian hujan lebat, kira-kira 5.45 petang semalam.

Dalam kejadian itu, tiga daripada lima rumah terbabit tertimbus menyebabkan nasib semua penghuninya belum diketahui.

Sehingga tengah malam tadi, sumber mengesahkan mangsa maut ialah empat wanita dan tiga lelaki.

Ketua Polis daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang maut bersama dua yang cedera dibawa ke Hospital Hajah Kalsom, Tanah Rata, sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, kira-kira 10 malam tadi.

Mangsa yang pertama dikeluarkan dari tempat kejadian jam 6.30 petang manakala dua yang cedera dikenali Bah Anjang Besar Alang, 39, dan remaja perempuan, Strry Priry, 15.

Katanya, pasukan penyelamat termasuk polis, anggota bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan unit anjing pengesan dihantar ke tempat kejadian.

Sehingga ini, katanya, penghuni dua rumah yang terkena runtuhan itu sudah diselamatkan dan dibawa ke tempat lebih selamat.

Sumber berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada runtuhan lereng bukit yang ditarah bagi membangunkan projek perumahan berdekatan tempat kejadian. -hm







Sudah Sampai Waktunya Rejim BN Ditukarkan!

Posted: 07 Aug 2011 04:20 PM PDT

A.Samad: Sudah tiba waktunya untuk "regime change"

"Sudah tiba waktunya kita adakan regim change. Kita sudah memberi masa kepada orang yang memerintah sekarang ini 54 tahun. Dan kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih dari itu."

Demikianlah kata-kata daripada Sasterawan Negara, A.Samad Said kepada anak-anak muda, ketika merasmikan pelancaran kempen Jom Baca Media Alternatif anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, petang tadi.

Beliau menyebut, antara hal yang boleh dilakukan oleh anak-anak muda adalah "merubah" - dan "regim change" itu hanya menjadi "mungkin" di tangan-tangan anak muda.

A. Samad Said, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad mengakui bahawa dirinya "gemar mendengar daripada mereka yang oppose". "Saya langsung tak gemar dengar mereka yang sokong. Sokong tu maksudnya, sokong kerajaan."

Kata-katanya disambut dengan tepukan dan sorakan oleh kira-kira 70 orang hadirin.

Pak Samad yang sudah hampir setahun tidak membaca akhbar mainstream, menjelaskan mengapa dirinya memilih media alternatif, "Saya dapat melihat benda-benda yang tidak dapat kita lihat dalam akhbar mainstream."

"Saya mendapati bahawasanya, tanpa media alternatif, akhbar mainstream akan menjadi gangster," dakwa Pak Samad, yang mendakwa gambaran yang dipaparkan dalam media mainstream, hanya "hitam-putih", dengan "Yang memerintah sentiasa betul, yang membangkang, yang tidak memerintah sentiasa salah."

Beliau melihat media alternatif lebih sesuai untuk anak-anak muda, yang akan menjelajah ke ceruk-ceruk untuk memperjelaskan apa yang sedang berlaku kepada rakyat.

Fathi Aris Omar: Media alternatif perlukan sokongan kewangan

Sebelum ini, Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar mengakui bahawa media alternatif berdepan dengan masalah di mana sebarannya lebih terbatas kepada kawasan bandar, sementara penduduk kampung masih bergantung kepada media cetak dan elektronik sebagai sumber maklumat.

Fathi Aris Omar (gambar kiri) juga berkata, media alternatif berdepan dengan masalah kewangan, di mana ramai peniaga yang masih tidak yakin bahawa iklan di ruang internet mampu membawa pulangan. Lebih-lebih lagi, di Malaysia, sebahagian iklan dikaitkan dengan syarikat GLC (Syarikat Kaitan Kerajaan), yang berkepentingan bersama parti pemerintah. Justeru itu, media alternatif memerlukan bukan sahaja sokongan dari segi audiens, tetapi juga sumber kewangan daripada pembaca, sama ada dalam bentuk langganan atau lain-lain.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

PAS Akan Jumpa Jais & Gereja Dulu - Hadi

Posted: 07 Aug 2011 07:57 AM PDT

PAS hari ini mengambil pendirian untuk mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Gereja Methodist Damansara Utama bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kotroversi terbaru.

Jelas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pertemuan dengan kedua-dua agensi itu akan dibuat dalam tempoh terdekat untuk mengungkai situasi sebenar yang berlaku ekoran tindakan Jais menyerbu majlis makan malam muhibah di gereja itu.

"Kita bincang isu Selangor dan buat keputusan untuk terus ke medan yang mana kalau kita lihat ia sengaja dijadikan isu oleh Barisan Nasional (BN) untuk tutup isu Himpunan Bersih 2.0.

"PAS akan bertemu dengan Jais dan gereja secara terus untuk mendapatkan penjelasan dan selesaikan masalah ini,"katanya selepas pada sidang media di sini.

Beliau terlebih dahulu mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat.

Tambah Hadi, Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali telah memberikan penjelasan berhubung dakwaan program anjuran Harapan Komuniti bertujuan untuk memurtadkan umat Islam.

Hasan, sebelum ini mempertahankan tindakan Jais melakukan serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Rabu lalu dengan alasan pihaknya telah dimaklumkan perkataan "al-Quran" dan "doa" diselitkan, mendakwa ada bukti mahu memurtadkan umat Islam.

"Hasan Ali telah memberikan penjelasan dan beliau bersetuju dengan cadangan kita (untuk adakan pertemuan dengan Jais dan gereja).

"Bila (maklumat daripada) media tak cukup kita perlu turun ke medan... tidak timbul masalah bukt,i sebab itu kita akan jumpa terus dengan kedua-dua pihak," kata Hadi.

Tambah Ahli Parlimen Marang ini, PAS terpaksa mengadakan pertemuan dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama sebagai langkah selamat selain dapat memberi keadilan kepada semua pihak termasuk Hasan.

Surat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Jais dan gereja akan dihantar esok melalui Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

"Kita mahu dapatkan penjelasan kedua-dua pihak, mesti daripada orang yang berkenaan daripada pihak Jais dan gereja sendiri... laporan media tak cukup.

"Hasan Ali sudah jelaskan dan beliau juga dapat laporan itu setelah (serbuan) berlaku, sebab itu kita mahu dapatkan gambaran (sebenar) daripada kedua-dua pihak," katanya Hadi.

Walaupun diasakan dengan pelbagai soalan berhubung tindakan Jais itu, Hadi bagaimanapun menekankan pihaknya mahu mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak terlebih dahulu.

"Kita akan bertemu dengan kedua-dua pihak, pendirian ini sama... jadi tidak timbul sokong siapa yang penting penjelasan dulu, bagaimana dibuat, siapa yang bertindak... dah jumpa baru kita tahu.

"Kita perlukan penjelasan secara langsung, bukan daripada media," katanya.

Pada malam Rabu lalu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Tambah Hadi: "Semua perkara akan jelas selepas berjumpa dengan pihak gereja."

Ekoran kontroversi itu Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu.

Beliau berkata langkah itu akan diambil sebaik sahaja menerima laporan Jais, yang turut akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor. -TMI



Ulasan GB

Kita harap ia TIDAK TERLALU LEWAT sebelum isunya berjaya dimanipulasi dan dieksploitasikan musuh.

Sekarang pun dah wujud tanda-tanda besar ianya telah dimanipulasikan sedemikian rupa oleh media massa arus perdana.

Nak Dapatkan RM100-RM200 Pun Banyak Karenahnya Sedang Gaji Pegawai Agama Pun Begitu Tinggi...

Posted: 07 Aug 2011 04:36 AM PDT

Ke mana perginya wang zakat kita?'

ULASAN Saya belum ingin mengulas tentang serbuan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan serbuan' itu.

Cumanya, sepertimana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah.

Saya ingin menyentuh tentang orang Islam yang hadir di majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka.

Difahamkan bahawa orang Islam yang hadir, terutama ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal.

Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa 'jatuh hati' dan 'terhutang budi'. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;

1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta 'sedekah' kepada orang lain?

2. Mengapa kerenah biokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri.

Untuk mendapatkan RM100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih.

Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?

3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!

4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat.

Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.

5. Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu.

Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa.

Janganlah jika kita gagal membantu – sedangkan kita mampu - kita menyalahkan orang lain yang membantu.

6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan.

Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim?

Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?

Maka, banyak persoalan perlu masyarakat Muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita! -mk


Ulasan GB

Baru sebentar tadi GB sudah ulas di SINI. Petikan:

Jika tuan-tuan dan puan-puan mengalami nasib serupanya dan tiada tempat lain untuk mengadu, di saat itu ada pihak yang prihatin menghulurkan bantuan mengapa tidak dibolehkan untuk menerimanya? Sementelah lagi TIADA AKAD menerima bantuan MESTI masuk Kristian.

Mungkin dikhuatiri TERHUTANG BUDI, itu mungkin, TETAPI, sekali lagi GB bertanya siapa yang berdosa? Mana umat Islam, mana gerakan dakwah, mana ISMA, mana ABIM, mana UMNO, mana Baitul-Mal, mana Jabatan Kebajikan Masyarakat, mana Berita Harian, mana Utusan, mana harakahdaily, mana UG, mana Hassan Ali, mana JAINS dan JAIS, mana sekalian yang berlagak hero nak pertahankan aqidah umat Islam? Apa yang kamu telah lakukan dan sumbangkan terhadap saudaramu yang menderita itu?

Apa yang nak dijawab di depan Tuhan nanti?

Tiada ulasan: