Ahad, 7 Ogos 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Mengapa Cemburu Orang Lain Beri Bantuan Kepada Umat Islam?

Posted: 07 Aug 2011 01:20 AM PDT

Asri: Bukan haram umat Islam terima bantuan agama lain

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan "bukan sesuatu haram" jika umat Islam menerima bantuan daripada mana-mana penganut agama lain termasuk Kristian sekiranya terpaksa berbuat demikian.

Bekas mufti Perlis berkata sikap umat Islam yang enggan menghulurkan bantuan sesama mereka menyebabkan ramai golongan miskin terpaksa bergantung kepada orang bukan Islam.

"Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang Muslim menerima bantuan daripada bukan Muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak Muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.

"Jika dibincangkan di sudut bantuan, pada asasnya kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu," kata beliau sambil menambah, mana-mana bantuan dibenarkan selagi mengikut peraturan dan undang-undang.

Tegas Asri, beliau difahamkan umat Islam yang hadir dalam satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya, Rabu lalu adalah untuk mendapatkan bantuan yang gagal dilaksanakan agensi agama Islam melalui pemberian zakat.

Jelas beliau, kemungkinan umat Islam yang hadir itu "terpengaruh" dengan agama Kristan disebabkan sikap baik penganutnya membantu mereka.

"Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin.

"Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa 'jatuh hati' dan 'terhutang budi'," katanya.

Asri berkata demikian sebagai respons terhadap laporan dua akhbar berbahasa Malaysia hari ini yang mengatakan pihak gereja menawarkan wang tunai, makanan dan tempat tinggal kepada umat Islam.

Akhbar Berita Harian edisi semalam di bawah tajuk "Sogok wang gadai akidah" melaporkan ada pihak yang berselindung disebalik pertubuhan amal dengan menawarkan pelbagai bantuan kepada umat Islam seterusnya meminta mereka keluar daripada agama itu

Selain itu, akhbar tabloid Harian Metro juga mengatakan perkara sama di bawah tajuk di muka depan "Kami diberi Bible versi Melayu."

Akhbar itu mendakwa penganut Kristian menggunakan "pendekatan lembut" untuk menarik umat Islam.

Kontroversi ini berlaku selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu satu majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama.

Pada malam Rabu lalu, kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja itu tanpa waran kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Tambah Asri, semua pihak tidak sepatutnya menyalahkan penganut Kristian yang menghulurkan bantuan, sebaliknya persoalan itu ditanya kepada diri sendiri.

Jelas beliau, sekiranya wang zakat digunakan secara telus mustahil umat Islam perlu meminta bantuan daripada penganut agama lain.

"Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta 'sedekah' kepada orang lain? Mengapa kerenah biokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM100 hingga RM200 pun, begitu banyak kerenahnya.

"Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak? Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan mualaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah Muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan daripada umat Islam khususnya zakat?"
soalnya.

Justeru Asri meminta supaya tidak bersangka buruk kepada pihak yang bersedia menghulurkan bantuan kepada umat Islam.

"Janganlah jika kita gagal membantu sedangkan kita mampu tapi kita menyalahkan orang lain yang membantu. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik.

"Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat Muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?," katanya. -TMI


Nur tiada pilihan

SEREMBAN: "Saya tiada pilihan melainkan menerima bantuan makanan dan wang daripada pihak gereja," kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Nur, 40, yang mendakwa sering mendapat cemuhan segelintir pihak kerana mendapat bantuan daripada gereja untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia kini tidak dapat bekerja kerana menghidap pelbagai penyakit, terutama asma, kencing manis, darah tinggi dan buasir.

"Saya sedar tidak sepatutnya menerima bantuan daripada gereja, namun saya terdesak kerana memikirkan hidup anak yang mahu bersekolah dan makan. Oleh itu, saya terpaksa mengambil bantuan itu," katanya ketika ditemui di rumah di Ampangan, di sini, semalam.

Nur yang pernah bekerja sebagai pembantu akaun mendakwa, dia terpaksa berhenti kerana masalah penyakit itu dan pernah beberapa kali pergi ke jabatan berkaitan, namun dicemuh umpama peminta sedekah.

"Saya sedih kerana pihak berkenaan yang sepatutnya membantu enggan melayan saya, sebaliknya saya ditolak ke sana sini hanya kerana bantuan berjumlah RM70.


"Yang membuatkan saya sedih adalah ketika mengenangkan nasib anak yang kadangkala tidak makan, malah yuran tuisyen dan sekolah mereka juga sudah lama tertunggak," katanya yang reda dengan keadaan itu.

Menceritakan bagaimana dia berjumpa seorang pendakwah gereja, Nur mendakwa, dia disapa oleh wanita berkenaan April tahun lalu ketika dia kesedihan kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan tidak berjaya.

"Dia (pendakwah gereja) kemudian menyarankan saya mendapatkan bantuan gereja milik mereka iaitu barang makanan berserta wang tunai.

"Saya tiada pilihan, malah hampir setahun saya menerima bantuan itu. Pihak gereja yang lebih inisiatif untuk tampil membantu nasib wanita seperti saya," katanya.

Dakwanya, setiap bulan pihak gereja membawa keperluan harian ke rumahnya, malah selalu menghubunginya untuk bertanyakan jika mempunyai masalah lain.

"Saya dan anak turut ditawarkan untuk tinggal di asrama mereka, malah mereka berjanji untuk membantu menyelesaikan yuran tuisyen dan sekolah anak.

"Namun, sampai bila saya dan anak harus mengharapkan bantuan pihak gereja, sedangkan saya beragama Islam," katanya.

Menurutnya, dia berharap ada sinar di penghujung hidupnya dan anaknya untuk mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu.

"Jika mampu bekerja, saya akan cuba menyara hidup ini, namun Allah masih sayangkan kami apabila saya diuji dengan pelbagai ujian hidup," katanya.-hm



Ulasan GB

GB bersetuju dengan pandangan Dr. MAZA tersebut.

Ia terbukti di dalam kes yang dilampirkan iaitu seorang ibu yang sedang menderita pelbagai penyakit, terpaksa menyara anak seramai empat orang dan disisihkan oleh masyarakat Islam sendiri. Apatah lagi permohonannya untuk mendapatkan dari kerajaan/Baitul-Mal ditolak. Sekarang siapa yang berdosa?

Jika tuan-tuan dan puan-puan mengalami nasib serupanya dan tiada tempat lain untuk mengadu, di saat itu ada pihak yang prihatin menghulurkan bantuan mengapa tidak dibolehkan untuk menerimanya? Sementelah lagi TIADA AKAD menerima bantuan MESTI masuk Kristian.

Mungkin dikhuatiri TERHUTANG BUDI, itu mungkin, TETAPI, sekali lagi GB bertanya siapa yang berdosa? Mana umat Islam, mana gerakan dakwah, mana ISMA, mana ABIM, mana UMNO, mana Baitul-Mal, mana Jabatan Kebajikan Masyarakat, mana Berita Harian, mana Utusan, mana harakahdaily, mana UG, mana Hassan Ali, mana JAINS dan JAIS, mana sekalian yang berlagak hero nak pertahankan aqidah umat Islam? Apa yang kamu telah lakukan dan sumbangkan terhadap saudaramu yang menderita itu?

Apa yang nak dijawab di depan Tuhan nanti?

Rancangan Jahat UMNO-SPR: 17,000 Pengundi Bertindan Di Selangor

Posted: 07 Aug 2011 12:36 AM PDT

Semangat Bersih 2.0 tidak terhenti pada 9 Julai. Ia akan terus disemarakkan sehingga lapan tuntutan yang terkandung dalam memorandum kepada Yang DiPertuan Agong dipenuhi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini yang ditegaskan Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan (gambar) yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor. Ikuti butiran lanjut mengenai perkara ini sebagaimana dinyatakan dalam wawancara Editor Harakah, DATO' TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan NYZA AYOB pada 28 Julai lalu.

Momentum Bersih 2.0 akan mati jika PAS tidak "memanaskannya" dalam bentuk pelbagai aktiviti di semua peringkat. Bagaimana PAS dapat mobilisasi perkara ini?

MOHD SANY HAMZAN: Mungkin saya boleh tekankan di peringkat Jabatan Pilihan Raya dan Lajnah Mobilisasi dan Demokrasi Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Di peringkat PAS Selangor, kita minta di semua Pusat Khidmat Masyarakat, Adun atau Penyelaras Dun, Ahli Majlis serta penjawat awam di Selangor sekiranya ingin mengedarkan kad ucapan Hari Raya, lapan tuntutan Bersih itu dimasukkan dalam kad ucapan tersebut.
Begitu juga sekiranya pihak berkenaan menyediakan sampul duit raya. Lapan tuntutan Bersih itu mesti dicetak di sampul duit raya tersebut. Selain itu kita juga berharap risalah berkenaan tuntutan tersebut diedarkan di masjid-masjid dan surau di Selangor. Ia boleh dimanfaatkan di bulan Ramadan ini kerana ramai mengunjungi masjid dan surau sepanjang bulan ini.

Tentang kempen "Kuningkan Sabtu". Kenapa tidak Pemuda PAS sahaja yang mempelopori kempen ini dengan memperkenalkan pelbagai program pada setiap Sabtu?

Memang kami ada mengeluarkan arahan kepada Pemuda PAS di setiap negeri dan kawasan. Sebenarnya Pemuda PAS di negeri dan kawasan cuba untuk melaksanakan program untuk menghidupkan Bersih ini. Cuma kita nampak sekarang ini Umno dan BN menggunakan polis untuk memerangi momentum Bersih ini. Apabila ada kalangan Pemuda PAS atau Pakatan Rakyat memakai baju Bersih, mereka akan dicekup. Kita tidak tahu sebenarnya apa yang menyebabkan polis bertindak demikian.

Apakah yang menyebabkan mereka takut dengan baju kuning dan lapan tuntutan kita itu? Tuntutan kita adalah tuntutan munasabah. Kita bukan hendak merusuh atau melakukan revolusi atau ingin menumbangkan kerajaan dengan mengadakan demonstrasi di jalan raya. Lapan tuntutan seperti celup dakwat, tempoh berkempen 100 hari dan akses kepada media merupakan tuntutan yang kita kira munasabah.

Tetapi apabila kita hendak menghidupkan 'Kuningkan Sabtu', BN menggunakan polis untuk menghalang setiap program yang kita lakukan. Walau bagaimanapun, kita tetap akan teruskan dengan pelbagai program pada setiap Sabtu tetapi dengan program-program seperti yang kita nyatakan di atas sempena Ramadan ini. Kita juga boleh menyatakan sokongan kita dengan menyemarakkan 'semangat kuning' ini dengan mengenakan tema kuning pada Aidilfitri nanti. Itu sebagai tanda sokongan yang penuh simbolik.

Apa langkah Pemuda PAS untuk menyedarkan masyarakat di luar bandar khususnya di kalangan orang Melayu yang tidak mendapat maklumat benar tentang Bersih 2.0 ini?

Kita juga meminta Pemuda PAS dan Jawatankuasa PAS kawasan mempergiatkan aktiviti memberi penerangan kepada masyarakat mengenai apa yang kita tuntut kepada SPR pada 9 Julai lalu supaya dapat dijelaskan kepada masyarakat luar bandar. Saya kira masyarakat luar bandar dan pinggir bandar yang mempunyai akses kepada media dan internet mungkin sudah mengetahui dan memahami tentang lapan tuntutan Bersih ini.

Mungkin masalah tentang memahami perkara ini timbul di kalangan masyarakat luar bandar. Kami akan menerbitkan poster dan kalendar 2012 yang menerangkan mengenai lapan tuntutan Bersih ini. Kami juga telah mengeluarkan arahan kepada PAS kawasan menjual kalendar Bersih ini dengan harga yang amat murah. Dan kita minta kalendar ini dibingkaikan dan ditampal di rumah masing-masing. Maknanya setiap rumah ahli atau penyokong PAS ini mesti mempunyai poster dan kalendar Bersih dan digantung di tempat yang menjadi tumpuan tetamu. Sekurang-kurangnya tetamu yang datang itu, jika dia belum memahami atau langsung tidak mengetahui apa itu tuntutan Bersih, akan bertanya kepada tuan rumah.

Ini cara untuk menterjemahkan Bersih?

Lapan tuntutan ini sebenarnya boleh diterjemahkan. Selain itu kita juga meminta kerjasama Lajnah Penerangan dan Lajnah Tarbiah supaya semua ustaz-ustaz menggunakan sedikit waktu apabila memberi tazkirah atau kuliah agama tentang mengapa perlunya untuk mengembalikan pilihan raya yang adil, bebas dan saksama dalam sistem demokrasi di negara ini.

Di peringkat Pemuda PAS Pusat, Lajnah IT sedang menyiapkan cakera padat (CD) yang akan kita edarkan kepada 1.2 juta warga kota yang akan balik bercuti sempena hari raya nanti. Itu antara perancangan kita bagi mobilisasi kelangsungan aktiviti Bersih 2.0 ini. Kita tidak mahu ia mati pada 9 Julai.

Ramai yang beranggapan tuntutan Bersih 2.0 ini hanya untuk kepentingan politik. Bagaimana Pemuda PAS hendak menangkis dakwaan ini?

Ini bukan politik. Kami kira tuntutan Bersih 2.0 ini bukan hanya melibatkan golongan pembangkang. Sebagaimana yang kita lihat pada Debat 'Apa Selepas 9 Julai?' baru-baru ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah turut menyokong tuntutan Bersih 2.0. Dalam ceramah-ceramah kita yang menyentuh mengenai Bersih 2.0 ini, kita sanggup kalah seribu tahun lagi selagi sistem pilihan raya kita tidak adil.

Selepas Debat 'Apa Selepas 9 Julai?', tidak nampak ada banyak diskusi dianjur tentang Bersih seperti forum dan seminar. Kenapa kesuraman ini berlaku?

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat, melalui jabatan pilihan raya, kita telah mengumpul data-data dan bukti pertindihan seorang pengundi yang boleh mengundi dua kawasan parlimen. Ia melibatkan perkara-perkara teknikal. Sebab itu saya tidak mahu menguarkannya dahulu. Baru-baru ini sewaktu kami membuat laporan polis mengenai perkara ini, kita cuma mendedahkan empat dan lima nama sahaja. Kami dapati kad pengenalan lama dia betul tapi my kad dia empat angka terakhir diubah. Sebagai contoh dalam kad pengenalan asal namanya Mohd tapi dalam mykad diubah kepada Muhd. Yang perempuan pula contohnya ejaan Binti ditukar kepada Bt. Jadi dia boleh mengundi di lokasi yang berbeza.

Bagaimana ini boleh terjadi? Sedangkan pengerusi SPR mengatakan data ini sudah dibersihkan...

Insya-Allah perkara ini kami akan dedahkan secara besar-besaran. Di Selangor, kami dapat dedahkan hampir 17,000 pengundi yang bertindan yang dapat mengundi di kawasan parlimen yang berbeza dalam satu-satu pilihan raya. Jabatan Pilihan Raya di setiap PAS negeri juga tengah mengumpulkan bukti. Pada 4 Ogos nanti bertempat di Hotel De Palma, Ampang, kita akan mengadakan forum bagi menjawab semula jawapan diberikan SPR dalam Debat 'Apa Selepas 9 Julai?' baru- baru ini. Kita akan menjawab semula segala jawapan yang diberikan SPR berdasarkan buku yang diedarkan badan tersebut. Kita juga akan menjawab segala persoalan kenapa relevan lapan tuntutan tersebut.

Kelantan Tiada Ancaman Penyebaran Kristian

Posted: 06 Aug 2011 10:12 PM PDT

Kota Bharu - Kerajaan Negeri mengesahkan tiada ancaman berhubung penyebaran agama Kristian di kalangan masyarakat Islam di Kelantan setakat ini dan jika ada laporan rasmi pihaknya akan segera menjalankan siasatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak menerima laporan rasmi mengenai perkara itu dan jika ada tindakan susulan pasti dilakukan.

"Secara rasminya tiada laporan diterima dan jika ada Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan menyiasat kesahihannya sebelum tindakan lanjut diambil.

"Setakat ini Kelantan tiada lagi ancaman nyata berkaitan penyebaran agama itu dan Kerajaan Negeri tidak menerima mana-mana laporan rasmi terdapatnya usaha murtadkan masyarakat Islam di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai wujudnya penyebaran agama itu secara halus di kalangan masyarakat Islam khususnya golongan ibu tunggal, mualaf dan miskin di beberapa negeri tanpa disedari.

Menurutnya, pihaknya melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (JHEAIK) sentiasa bersedia menjalankan siasatan jika menerima laporan rasmi mengenai kewujudan perkara itu.

Katanya, pemantauan terhadap gereja-gereja pula hanya boleh dilakukan selepas adanya laporan rasmi diterima dan pihaknya tiada hak untuk memasukinya sesuka hati.

Mohamad Amar berkata, penuntut UiTM, Mohamad Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 19 yang cuba keluar Islam pada 24 April lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pula bukan berlaku di Kelantan tetapi di Terengganu.

"Pelajar berasal dari Kelantan itu sudah insaf dan kini dibawah pengawasan JHEAIK selama enam bulan selepas diperintah menjalani beberapa hukuman," katanya.

Menurutnya, pelbagai pendekatan termasuk program keagamaan berterusan dilaksanakan pihaknya dalam usaha mengelak perkara seumpama itu berlaku seperti meningkatkan usaha dakwah di seluruh negeri.

Sebagai contoh, katanya, program bulan sembahyang, bertadarus, kewujudan unit halaqat dan sebagainya dilakukan demi mendekati umat Islam dan memberi kefahaman mendalam kepada masyarakat mengenai agama Islam.

Mohamad Amar berkata, pihaknya turut menyalurkan peruntukan kepada Yayasan Islam Kelantan dan menambah peruntukan kepada guru-guru agama supaya dapat melaksanakan dakwah lebih berkesan di Kelantan. -SH


'Banyak usaha pujuk umat Islam murtad'

KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata banyak usaha dilakukan pihak tertentu untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam di negara ini, namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa agama Islam termasuk pimpinan tertinggi bagi menyekat aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan bukan saja ramai umat Islam memeluk Kristian, malah ada yang memeluk agama Hindu dan agama lain terutama saudara baru seperti India Muslim.

"Apabila saya dedahkan laporan Persatuan Paderi Malaysia yang mengisytiharkan lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian pada 2008, tiada tindakan diambil, malah kata saya itu didustakan.

"Hakikatnya banyak (murtad), bukan sekadar masuk Kristian tapi Hindu pun ramai, saya tahu banyak usaha dibuat bukan Islam untuk pengaruhi Islam, malah ada mengakui poketnya sentiasa ada RM30,000 hingga RM50,000 bagi mempengaruhi umat Islam memasuki agama mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Siri Bicara Agung Panggung Dakwah di sini, semalam.

Majlis itu dilancarkan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali.

Harussani berkata, antara strategi diguna gereja mempengaruhi umat Islam termasuk mengadakan aktiviti memberi makanan seperti di sekitar masjid pada waktu solat Jumaat dan Maghrib selain mengedar risalah agama ke rumah dan memberi wang kepada pelajar.

"Pernah terjadi sekumpulan pemimpin dari Subang Jaya termasuk bergelar Datuk berjumpa saya untuk memberitahu ada gereja sebarkan agama pada pelajar, beri duit dan bible dan perkara terbabit dilaporkan pada polis, tapi tiada tindakan. Saya juga hubungi pihak berkuasa, tapi jawapannya, kami nak buat macam mana," katanya.

Beliau yang kesal dengan sikap itu, meminta pimpinan tertinggi membanteras aktiviti berkenaan daripada menjadi serius selaras kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. -BM


PR Desak Batalkan Biometrik, Tetap Mahu Dakwat Kekal

Posted: 06 Aug 2011 08:37 PM PDT

Ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini sekali lagi mempersoalkan keghairahan Kerajaan pusat terhadap penggunaan sistem biometrik pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

Malah, sejak sistem itu digunakan untuk program pemutihan pendatang asing tanpa izin, pelbagai laporan berhubung kepincangan sistem itu dikemukakan.

Sebaliknya, beberapa pendedahan terbaru mengenai kepincangan sistem itu juga jelas menunjukkan bahawa ia tidak mampu menyelesaikan masalah yang dibangkitkan berhubung undian berganda pada pilihan raya.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, kerajaan pusat sepatutnya kembali semula kepada tuntutan Bersih iaitu menggunakan dakwat kekal yang setakat ini diyakini penyelesaian terbaik untuk mengatasi pengundian berganda.

"Ini yang membuatkan kita (Pakatan Rakyat) khuatir kenapa kerajaan dalam keadaan ini beria-ia mahu melakukan sistem biometrik"katanya.

"Apa yang kita saksikan setakat ini dalam proses pendaftaran biometrik bagi pekerja asing, banyak laporan yang dibuat dan ini adalah perkara yang kurang menyakinkan para pengundi sekirannya kerajaan mengunakan kaedah yang sama sekaligus merumitkan lagi proses pengundian." katanya pada sidang media di pejabat pakatan rakyat hari ini.

Katanya, selain kurang memberi keyakinan kepada parti politik bertanding dan para pengundi, Pakatan Rakyat juga mempersoalkan kos yang terlalu tinggi dibelanjakan untuk sistem biometrik yang manfaatnya masih 'meragukan'.

"Setakat ini pihak kami dimaklumkan untuk pembangunan sistem biometrik ini memerlukan satu peruntukan yang besar, persoalannya siapa yang akan dapat projek ini? Bagaimana kaedah yang digunapakai dalam menjamin ketelusan berhubung pemberian projek."soalnya.

Justeru, Tian menyifatkan keghairahan kerajaan melaksanakan sistem biometrik jelas untuk kelangsungan politik mereka untuk terus kekal berkuasa.

"Ianya (biometrik) tidak berkemampuan untuk mengesahkan sama-ada saya ada tiga keping kad pengenalan atau saya telah undi tiga kali di tiga tempat yang berlainan, apa yang jelas ia tidak mampu selesaikan masalah ini"

Dalam perkembangan yang lain, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah menuntut janji Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar pada sesi Dialog bersama Pengerusi Himpunan BERSIH 2.0, Datuk S.Ambiga akhir bulan lalu.

"Wan Ahmad, Timbalan Pengerusi SPR telah berjanji apabila dilontarkan soalan berhubung sistem biometrik ini, bahawa beliau akan mendedahkan maklumat lanjut siapa penerima kontrak,"katanya.

"SPR akan membuktikan kepada semua pihak termasuk pihak pembangkang tentang audit dalaman dan audit luaran terhadap 'coding system' biometrik itu untuk membuktikan kepda semua yang ia tidak boleh dimanipulasi" tambahnya. -tvsnews


Kisah Ibu Yang Ditinggalkan Si Tanggang

Posted: 06 Aug 2011 06:20 PM PDT

Johor Baharu: "Makcik tetap menanti kepulangan mereka setiap kali menjelang Aidilfitri biar pun Ina sanggup menipu kononnya mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia sebenarnya berhijrah ke sana semata-mata mahu melepaskan tanggung jawab menjaga mak cik," kata warga emas, Robiah Razali, 66, di sini, semalam.

Menceritakan kisah malang hidupnya, Robiah berkata, dia hidup sebatang kara di perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Desa Bukit Mutiara, Tebrau, selain menagih kasih dan ihsan jiran selepas kedua-dua anaknya tidak lagi mempedulikannya.

Robiah berkata, anak sulungnya, Salim Ahmad, 40, melepaskan tanggung jawab untuk menyaranya dengan alasan tiada pekerjaan tetap di Kuala Lumpur manakala anak bongsunya, Ina, 36, gagal menghubunginya sejak lima tahun lalu apabila berhijrah ke New Zealand.

Menurut Robiah, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menguruskan hidupnya bersendirian biar pun dimamah usia selain menghidap kencing manis.

"Mak cik bukan mahu mengaibkan anak tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban di hati jika dapat berkongsi nasib malang ini.

"Mak cik kehilangan suami, Ahmad Budin, pada 1978 ketika berusia 33, sejak itu mak cik tidak pernah terlintas untuk berkahwin semula demi anak, mak cik membesarkan serta menyekolahkan anak dengan bekerja sebagai tukang masak di restoran selain wang pencen suami," katanya.

Menurut Robiah, masalah timbul selepas kedua-dua anaknya berumah tangga dan kehadiran warga emas berkenaan dalam keluarga mereka dianggap sebagai beban.

Robiah berkata, kini dia terputus hubungan dengan Salim mahu pun Ina yang tidak lagi menziarahinya, termasuk pada Aidilfitri.

"Ina turut tergamak menipu mak cik dengan memberi alasan mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia merancang meninggalkan mak cik dan kini hidup mewah di sana.

"Keadaan itu mengakibatkan mak cik terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen bulanan arwah suami berjumlah RM350 yang perlu diagihkan untuk membayar sewa rumah," katanya.

Menurut Robiah, setiap kali bersahur, dia hanya meminum susu kerana bimbang kehabisan barangan dapur, namun bersyukur mempunyai jiran berhati mulia yang sanggup berkongsi makanan ketika berbuka puasa.

Katanya, jiran juga pernah menyumbangkan bantuan ketika dia terputus bekalan makanan selain membelikan basikal elektrik bagi memudahkan pergerakannya untuk ke surau.

"Biarpun terguris dengan perbuatan anak, mak cik tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan mereka.

"Ibu mana yang tidak mengingati anak, mak cik harap dapat bertemu kembali dengan mereka dan cucu pada Aidilfitri ini dan seperti biasa, mak cik akan memasak juadah kegemaran mereka," katanya.

Robiah antara 100 penerima yang ditemui pada Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal di PPRT Bukit Mutiara sumbangan ahli perniagaan, Baazlan Ibrahim selain Scenic Route Sdn Bhd yang diwakili pengarah eksekutifnya, Brian Tan Chong Beng.

Scenic Route Sdn Bhd menaja sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berjumlah RM4,000 dan menurut Brian, program julung kali syarikatnya itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan. -hm



Najib Diperingatkan Lagi Supaya Panggil Sidang Tergempar Parlimen

Posted: 06 Aug 2011 04:10 PM PDT

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sekali lagi mengingatkan pentadbiran Perdana Menteri agar segera memutuskan desakan pemimpin parti itu supaya sidang Parlimen tergempar diadakan bagi membincangkan isu penduduk tetap (PR) berubah menjadi warganegara sekaligus didaftarkan sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata, peringatan itu dibuat berikutan tempoh seminggu yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk memberi maklum balas berhubung desakan seolah-olah dipandang sepi.

"Ini adalah peringatan kembali kepada beliau (Najib) bahawa beliau hanya ada kurang dari 3 hari untuk menjawap gesaan Pakatan Rakyat," tegasnya.

"Kami memberi seminggu kepada Perdana Menteri untuk mengadakan sidang parlimen tergempar bagi membincangkan isu warga asing yang diberikan kad pengenalan sekali gus disenaraikan dalam senarai pemilih," kata beliau pada sidang media di Pejabat Pakatan Rakyat, Seksyen 16, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membincangkan isu penduduk tetap (PR) berubah menjadi warganegara sekaligus didaftarkan sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.

Justeru, ianya perlu dibincangkan secara serius di Dewan Rakyat kerana ia melibatkan keselamatan negara.

Malah, penemuan beberapa bukti jelas dalam bentuk cetakan, status kerakyatan sebelum dan selepas pertukaran di laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berjaya dikesan PAS Selangor pada awal bulan lalu juga perlu diambil perhatian.

Jelasnya lagi, rekod sebelum ini juga turut menyaksikan status pemastautin tetap (PR) kepada warganegara Malaysia diubah dalam masa tidak sampai 24 jam.

Seramai 1,597 pemegang kad merah di seluruh negara dari 1 Mac hingga 31 Jun ini telah didaftarkan dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) tanpa menyertakan alamat.

Malah, Selangor turut mencatatkan bilangan tertinggi dengan 1,108 penduduk tetap yang telah didaftarkan sebagai pemilih yang layak mengundi. -tvsnews



Kasihanilah Anak2 Yatim Ini

Posted: 06 Aug 2011 08:25 AM PDT

Anak-anak yatim ini telah kehilangan ibu bapanya setahun yang lalu. Dalam lawatan saya semalam 4 Ogos 2011, Khamis, ke Kg Chicha, dalam parlimen Kubang Kerian, rumah kediaman mereka telah terbakar dan mereka sekarang ini tinggal sehelai sepinggang.

Saya akan cuba IsyaAllah membantu membina semula rumah kediaman mereka.

Kepada sesiapa yang bersimpati untuk bersama menyumbang mendirikan semula rumah anak-anak yatim ini belehlah memberikan sumbangan ke akaun Bank Islam 01032020132475 atau Maybank 101422116503 atas nama Salahuddin Ayub.

Sila nyatakan jumlah sumbangan untuk tujuan pengkhususan bina semula rumah anak-anak yatim ini. Saya akan mengambil tanggungjawab untuk menunaikan amanah tuan-tuan IsnyaAllah. -YB Salehuddin Ayub

Harga Minyak Antarabangsa Menurun, Tapi Di Malaysia?

Posted: 06 Aug 2011 05:30 AM PDT

Harga minyak antarabangsa menurun, tapi di Malaysia?

Harga minyak mentah antarabangsa menurun ke paras USD86 setong pada Jumaat, mencatat magnitud penurunan terbesar dalam seminggu sejak Mei 2011, berikutan kekhuatiran pelabur terhadap ekonomi dunia yang diperlahankan.

Meskipun harga minyak mentah antarabangsa memperlihatkan pola menurun sejak Mei 2011, namun harga minyak RON 97 Malaysia yang diapungkan mengikut pasaran antarabangsa hanya diturunkan 10 sen pada Jun, dan tiada lagi pengumuman dalam tempoh dua bulan selepas itu.

Harga minyak RON97 telah meningkat sebanyak 85 sen dari Julai 2010 hingga Mei 2011. Penurunan pada 15 Jun 2011 membawa harga RON 97 ke paras RM2.80. Harga RON97 pernah mencatat paras RM2.90/liter pada Mei 2011. Dengan kata lain, RON 97 mencatatkan pertambahan sebanyak 75 sen dengan harga kini, jika dibandingkan dengan harga pada Julai 2010.

Harga minyak mentah mula memperlihatkan pola menurun sejak Mei 2011 sehingga kini, setelah mencatat paras USD120 setong pada April tahun ini.

Menurut laporan Reuters hari ini, harga minyak mentah Brent Crude telah menurun kira-kira 9% dalam minggu ini, sementara harga minyak U.S Crude pula menurun 10% dalam minggu ini. Ini kerana kebimbangan yang menyelubungi pasaran, bahawa US akan terperangkap dalam kemelesetan ekonomi, yang bakal menggugat keperluan petroleum. Selain itu, krisis hutang di Eropah juga menggugat harga minyak mentah.



Harga minyak U.S Crude menurun 6% pada Khamis, mencipta magnitud penurunan harian yang terbesar sejak 5 Mei 2011. Pada Jumaat ini, harganya menurun USD1.40 sehingga USD 85.23 setong, mencatat paras terrendah sejak 17 Februari 2011. Harga minyak Brent Crude pula menurun secara mendadak dengan USD6 pada Khamis, dan kini mengekalkan harga pada USD 107.25 setong pada Jumaat.

Barclays Capital yang paling optimis dengan perkembangan harga minyak mentah pada tahun ini, mengakui bahawa keperluan dunia dijangka akan diperlahankan. Bank pelaburan itu menganggar, keperluan petroleum dunia bakal bertambah 1.1 juta tong, mencatat 88.68 juta tong pada tahun ini.

Ia memperlihatkan perubahan sikap bank pelaburan ini. Sebelum ini, bank pelaburan ini menjangka pertambahan keperluan 1.56 juta tong minyak, malah pernah menjangkakan pertambahan 1.7 juta tong, dua bulan yang lalu. -MR

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

Gadis Miang Kena Cekup Lagi Dengan Lelaki Lain

Posted: 06 Aug 2011 04:50 AM PDT

Ampang - Seorang gadis 'miang' yang sebelum ini pernah dikenakan hukuman kerana bersekedudukan dengan teman lelaki tidak pernah serik apabila dia sekali lagi dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Gambar fail

Namun kali ini, dia dicekup berkhalwat dengan lelaki lain apabila teman lelakinya pergi berkursus.

Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman berkata, operasi tersebut dijalankan di sebuah rumah kedai kira-kira jam 5.30 pagi semalam, setelah pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

"Kami terpaksa menunggu beberapa minit sebelum pintu rumah dibuka oleh seorang gadis berusia 20 tahun. Dia yang berpakaian lengkap itu memberi alasan tinggal seorang diri di rumah berkenaan apabila kami menyoal siasat," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati rumah tersebut disewa oleh teman lelaki kepada wanita berkenaan.

"Ketika serbuan dijalankan, kami mendapati pasangannya hanya memakai seluar pendek tanpa baju menyorok di bawah katil," katanya.

"Pasangan tersebut dibawa ke balai polis berhampiran untuk pihak kami membuat laporan polis," katanya.

Ahmad Nawi berkata, dalam operasi berasingan pihaknya turut mencekup sepasang kekasih yang juga penuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA) pada jam 8.00 pagi di sebuah pangsapuri di Pandan Indah setelah didapati berkhalwat.

"Kedua-dua operasi itu dijalankan di bawah Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. -SH

Ulasan GB

Di dalam bulan puasa pun masih berani bersikap demikian. Syaitan dah dibelenggu, teapi manusia mengambil-alih peranannya.

Tiada ulasan: