jiwo kelate |
- Ketua Polis Negara dan tiga yang lain disaman … ha baru tau
- Sanggupkah Najib dan Isterinya disoal ?? ada berani..
- Royalti Petroleum: Terengganu ok, Kelantan tak ok … sedangkan sama-sama lebih 3 batu nautika
Ketua Polis Negara dan tiga yang lain disaman … ha baru tau Posted: 08 Aug 2011 02:46 AM PDT Peguam Muda bawa kes lawan Ketua Polis Negara dan tiga yang lain Dua naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar hari ini memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, kerajaan Malaysia dan dua lagi pegawai polis ekoran tindakan pihak berkuasa menahan mereka ketika hari perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu. Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini melalui Tetuan Faiz Fadzil & Co pada pukul 10.30 pagi tadi. Menurut Mahfuz (gambar), pihaknya menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan daripada semua defendan berikutan tangkapan yang didakwa beliau menjatuhkan imej sebagai seorang wakil rakyat. Tindakan saman itu dibuat ekoran penahanan kedua-dua mereka pada 9 Julai lalu yang disifatkan tidak sah. "Hari ini kita telah memfailkan saman malu berikutan tangkapan salah pada Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu di KL Sentral, tangkapan itu bertentangan dengan perintah mahkamah dan undang-undang negara. "KL Sentral bukan tempat larangan, kami tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan, kami juga tidak dinyatakan mengapa kami ditahan dan polis juga tidak mengambil apa-apa keterangan kami sepanjang ditahan di Balai Polis Jinjang," kata Mahfuz. Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata tindakan pihak berkuasa menahan mereka berdua adalah satu perkara yang memalukan. "Selain itu, kami juga mahu faedah pada kadar lapan peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh, kos dan lain-lain relif atau perintah yang difikirkan perlu oleh mahkamah," katanya. Tambah Mahfuz, jumlah saman akan dibincangkan dengan peguam mereka Zulhazmi Shariff tapi secara berseloroh berkata "tidak kurang daripada RM1 juta." Sementara itu Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tindakan mereka adalah satu peringatan kepada pihak berkuasa agar bertindak mengikut undang-undang yang ditetapkan. "Ini sebagai satu peringatan dan pengajaran kepada mereka yang terlibat, lain kali mereka perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan," katanya. Mereka juga telah membuat satu laporan polis pada 11 Julai. Mereka dibebaskan kira-kira pukul 9.30 malam dan sepanjang tempoh penahanan mereka juga tidak dibenarkan untuk menghubungi sesiapa termasuk peguam. Pada Himpunan Bersih 2.0 itu hampir 1,700 orang ditahan termasuk pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat. Perhimpunan itu dianjurkan oleh Bersih 2.0 menuntut pembaharuan sistem pilihan raya. – The Malaysia Insider |
Sanggupkah Najib dan Isterinya disoal ?? ada berani.. Posted: 08 Aug 2011 02:35 AM PDT Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bagi perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapinya. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata apabila pihak pendakwaan menawarkan saksi kepada pihak pembelaan, adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk pastikan kehadiran saksi ke mahkamah. Bagaimanapun, menurut Zabidin adalah terpulang kepada saksi sama ada mereka mahu ditemu-bual ataupun tidak. “Justeru, mahkamah membenarkan kedua-dua permohonan (untuk temu bual 15 saksi) termasuk perdana menteri Najib Abdul Razak dan isterinya Rosmah, bekas IGP (Tan Sri Musa Hassan),” katanya. Zabidin berkata, pihak pembelaan ada hak untuk temuramah saksi berdasarkan syarat saksi itu, yang bersetuju untuk ditemuramah. Anwar pada 16 Mei lalu diperintahkan membela diri selepas mahkamah memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat itu, adalah saksi yang bercakap benar dan berwibawa. Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama. |
Royalti Petroleum: Terengganu ok, Kelantan tak ok … sedangkan sama-sama lebih 3 batu nautika Posted: 08 Aug 2011 02:22 AM PDT Kelantan menimbang untuk memohon injunksi terhadap bayaran royalti oleh Petronas kepada negeri Terengganu, kata Datuk Husam Musa, Exco Kerajaan Kelantan. “Ini dalam pertimbangan kita. Mungkin dibawa dalam sidang exco,” tambahnya. Katanya, tindakan itu mungkin diambil memandangkan bayaran lima peratus royalti sebanyak RM900 juta itu merupakan keputusan berat sebelah dalam pemakaian undang-undang. Sedangkan, tegas Husam, hasil petroleum yang diusahakan Petronas di perairan Terengganu itu juga berada lebih tiga batu nautika daripada pantainya. Husam memberi alasan, pembayaran royalti itu melibatkan kepentingan Kelantan dalam kes tuntutan yang dikemukakannya memandangkan berlakunya “pertindihan” melibatkan dua telaga minyak Terengganu. “Jika dibayar, ia juga melibatkan kepentingan Kelantan,” kata naib presiden PAS itu lagi ketika ditemui di mahkamah persekutuan di Putrajaya hari ini. Sebelum itu, mahkamah tersebut menolak rayuan kerajaan Kelantan berhubung permohonan mencelah oleh kerajaan Malaysia dalam prosiding saman yang dikemukakan negeri itu berhubung tuntutan royalti minyaknya. Mahkamah turut menolak permohonan rayuan kerajaan untuk membicarakan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Bahagian Perdagangan dan bukannya di Bahagian Sivil. Mahkamah turut memerintahkan Kelantan membayar kos sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua permohonan berkenaan kepada kerajaan persekutuan. Kelantan juga diperintahkan kos dalam kausa kepada Petronas sekiranya pemohon berkenaan tewas dalam kesnya yang akan bersambung di Mahkamah Tinggi. Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh anggota panel Mahkamah Persekutuan – Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Tan Sri Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Suriyadi Halim Omar. – Malaysiakini |
You are subscribed to email updates from jiwo kelate To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan