Khamis, 25 Ogos 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Masjid Terengganu sasaran buku ajaran Syiah

Posted: 25 Aug 2011 04:15 PM PDT

UTUSAN ONLINE

KUALA TERENGGANU - Pengedaran buku mengenai 'kebenaran' ajaran Syiah yang dikaitkan dengan akidah Islam sebenar ke masjid-masjid seluruh negeri ini sejak beberapa hari lalu menimbulkan tanda-tanya umum.

Sehubungan itu juga, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) telah mengarahkan pihak masjid yang menerima buku tersebut agar menyerahkannya kepada pejabat agama terdekat.

Buku-buku itu diposkan kepada semua pengerusi masjid untuk diagihkan kepada imam yang bertugas di setiap masjid di mana setiap bungkusan mengandungi tiga set buku yang perlu dituntut di pejabat pos.

Salah sebuahnya berjudul Akhirnya Kutemui Kebenaran, buku terjemahan berbahasa Arab tulisan Dr. Muhammad al-Tijanji Al-Samawi setebal 245 halaman dan terdapat catatan ia terbitan kumpulan Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa, 1995.

Sebuah lagi buku setebal 548 halaman berjudul Dialog Mengenai Islam dan Akidah Islam Sebenar dan Kewajipan Muslim Mentaati Kepimpinan Yang dilantik Allah dan Rasul Demi Perpaduan Dan Kejayaan Dunia Akhirat.

Setiap bungkusan itu disertakan dengan cap pengirim atas nama Majlis Syiah Malaysia, beralamat No. 148, Jalan Haji Mahmood, Ulu Tiram, Johor di samping terdapat cop beralamat Majlis Syiah Malaysia, 1012, Desa Melawati, Kuala Lumpur yang diragui.

Pengerusi Masjid Kampung Petai Bubus di sini, Tuan Syarif Putera menyifatkan ia mungkin langkah halus untuk menyemai fahaman itu melalui para imam di peringkat akar umbi.

''Ia juga mungkin salah satu taktik, di mana apabila menjadi isu dan heboh diperkatakan, ia mungkin mendorong untuk membaca buku itu dan memudahkan mereka mempercayai dan menerima ajaran Syiah.

''Gejala seumpama itu dengan keberanian yang makin diperlihatkan dalam menyebarkan ajaran yang ditegah di negara ini, perlu dibanteras dengan tegas kerana ia boleh mencetuskan kecelaruan yang membahayakan akidah umat Islam," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JHEAT, Mohd. Rozali Salleh ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, pihaknya telah meneliti buku-buku yang diserahkan kepada pihak berkuasa.

''Kita telah maklumkan kepada semua pegawai agama dan masjid tentang buku-buku fahaman Syiah sedang cuba diedarkan ke masjid seluruh negeri oleh pihak tertentu.

''Kita akan menjalankan pemantauan bersama pihak Kementerian Dalam Negeri berhubung mereka yang dikaitkan dengan penghantaran bahan-bahan ini," ujarnya.

Beliau berkata, pada masa yang sama pihaknya akan memanggil satu mesyuarat khas bersama para pegawai masjid mengenai langkah kawalan penyebaran bahan seumpama itu di masjid-masjid.

JAIM serbu markas fahaman Syiah

Posted: 25 Aug 2011 04:14 PM PDT

UTUSAN ONLINE


Rahimin Bani menunjukkan tiga buah buku yang telah diharamkan KDN serta risalah yang dikatakan mempunyai fahaman Syiah di sebuah rumah di Taman Paya Dalam, Melaka, semalam.

MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam dekat sini yang dipercayai menjadi markas sebuah kumpulan penganut fahaman Syiah.

Dalam serbuan itu, sejumlah 35,000 buku dan risalah mengenai fahaman Syiah yang telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri ditemui di rumah tersebut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, buku dan risalah yang ditemui itu telah siap dibungkus dan akan diedarkan melalui pos ke seluruh masjid dan jabatan-jabatan kerajaan.

Lebih mengejutkan, katanya, satu memorandum mengenai penubuhan Persatuan Syiah Malaysia yang akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut ditemui di situ.

"Siasatan awal mendapati, buku-buku yang akan dihantar itu datang daripada Majlis Syiah Malaysia beralamat di Ulu Tiram, Johor Bahru dan sejumlah 6,000 naskhah telah dihantar ke seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mengetuai serbuan itu di sini, hari ini.

Antara ajaran kumpulan itu adalah menghalalkan para pengikutnya bernikah secara kontrak dan membenarkan sembahyang jamak dilakukan pada bila-bila masa walaupun bukan dalam keadaan darurat.

Pengikut ajaran tersebut juga menyanjung Ahlul Bait iaitu ahli keluarga Nabi Muhammad SAW secara keterlaluan dengan menganggap golongan itu maksum atau bebas daripada dosa serta anti para sahabat kecuali Saidina Ali.

Menurut Rahimin, turut ditahan dalam serbuan yang berakhir pukul 2 petang itu ialah seorang remaja berusia 18 tahun yang mengaku bekerja di situ serta lima remaja berusia antara 14 dan 15 tahun.

Beliau berkata, kumpulan Syiah itu dikesan mula mengedarkan buku-buku terbabit di seluruh masjid dan surau di negeri ini sejak Julai lalu tetapi berjaya dipintas oleh JAIM melalui surat yang diedarkan.

"Kita percaya, rumah ini telah disewa sejak empat bulan lalu untuk menjadi pusat pengedaran buku-buku dan risalah fahaman sesat ini

"Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengisytiharkan ajaran itu perlu dihindari, begitu juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang telah mengeluarkan fatwa supaya masyarakat Islam berpegang teguh fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Tambahnya, kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 48 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 di bawah kesalahan penerbitan agama yang bercanggah dengan hukum syarak.

Lelaki terjebak sindiket dadah Peru pulang

Posted: 25 Aug 2011 04:03 PM PDT

Oleh Halina Mohd Noor dan Nurul Farina Nazlan

KUALA LUMPUR: Doa pemandu teksi yang diselamatkan wartawan Berita Harian daripada menjadi keldai dadah di Lima, Peru supaya dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama isteri dan anak berusia empat bulan di tanah air termakbul.

Ini kerana lelaki berusia 47 tahun yang tersadai di negara Amerika Selatan sejak lebih seminggu lalu akan pulang dan tiba di ibu negara pada Ahad ini hasil bantuan Kelab Putera 1Malaysia dan boleh beraya bersama keluarganya minggu depan.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, semalam berkata pihaknya menerusi Sekretariat Misi Menyelamatkan Mangsa Dadah Dianiaya, terpanggil sekali lagi membantu keldai dadah selepas menaja kepulangan seorang lagi mangsa, Rosna Shariff baru-baru ini.

Katanya, usaha berterusan itu membuktikan komitmen kelab untuk menyelamatkan warga Malaysia yang teraniaya oleh sindiket dadah yang kebanyakannya menggunakan rakyat asing warga Afrika sebagai ejen memerangkap mangsa.

"Ini adalah misi kedua yang dilaksanakan hasil pendedahan Berita Harian. Dia bernasib baik kerana bertemu wartawan sebelum sempat berangkat ke Sao Paulo, Brazil yang dipercayai bagi mengambil barang seperti yang diarahkan seorang lelaki kulit hitam.

"Dia tidak tahu kemungkinan barang yang bakal dibawanya itu sudah dicelup dengan bahan kimia dadah. Alhamdulillah, dia tidak ditangkap polis," katanya kepada Berita Harian semalam.

Abdul Azeez berkata, usaha yang sama akan dipertingkatkan untuk menyelamatkan banyak lagi mangsa, wanita terutama pelajar dan ibu tunggal yang dimanipulasi sindiket untuk menyeludup dadah di luar negara.

"Kita akan meminta mereka menjadi jurucakap Kelab Putera 1Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi berkongsi pengalaman terpedaya dengan tipu helah 'Awang Hitam' yang menawarkan janji manis, ayat cinta dan keseronokan bercuti di luar negara," katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan wartawannya, Halina Mohd Noor menemui lelaki berkenaan di lapangan terbang di Peru pada 21 Ogos lalu selepas selesai tugasan menemubual dan membawa pulang Rosna ke Malaysia.

Hasil perbincangan dengan lelaki itu, dia bersetuju supaya diletakkan di bawah perlindungan pejabat kedutaan Malaysia dan pihak berkuasa Peru dan tidak meneruskan perjalanan ke Brazil seperti yang diarah anggota sindiket itu.

Lelaki itu, ketika dihubungi sebelum ini berharap Kelab Putera 1Malaysia dan Berita Harian dapat membantu membawanya pulang sebelum Aidilfitri kerana terlalu merindui isteri dan anaknya yang berusia empat bulan.

"Saya memohon bantuan Kelab Putera dan Berita Harian untuk membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air dengan segera. Tiket yang disediakan sindiket tidak boleh digunakan lagi atas faktor keselamatan dan saya bimbang jika mereka melakukan tindakan yang membahayakan nyawa saya," katanya..

Kasino Halal,Tazkirah Haram Di Pahang

Posted: 25 Aug 2011 03:54 PM PDT

Oleh: fezuljengka


" Gempar di Pahang apabila TYDP Majlis Agama Islam Pahang(MUIP) Dato Sri Wan Wahid keluar kenyataan haramkan tazkirah di masjid dan surau kerana ganggu orang nak bertarawikh.Kenyataannya itu disiar oleh Buletin Utama jam 1.30 hari 22 Ogos lalu di TV3.

Saya ada bertanya beberapa orang pegawai Agama Islam di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di Pahang berkaitan larangan tazkirah.Mereka tidak bersetuju dengan larangan tersebut.Bagaimanapun tidak ada arahan bertulis dikeluarkan pihak MUIP setakat ini.Hanya yang ada arahan lisan dari TYDP sendiri.

Untuk lebih shahih ,seorang rakan telah menghubungi telefon Dato Wan.Inilah mesej yang saya terima dari sahabat itu selepas beliau menghubungi TYDP MUIP itu.

"Kecewa sungguh. Saya bertanya dengan baik pada Dato Wan Wahid, dia jawab dua sebab diharamkan, pertama nak tazkirah mesti ada tauliah, kedua tak perlulah tazkirah sebab mengganggu orang nak solat. Saya tanya dimana nak katakan tazkirah itu mengganggu, kalau yang diajar itu Al Quran, hadis dan sirah. Dia jawab, senang ginilah, kalau tak setuju peraturan kita, letak jawatan. Saya kata nak letak jawatan apa, saya hanya ahli jemaah masjid. Dia matikan HP...:,

Maknanya shahihlah berita yang diterima sebelum itu.Kalau begitulah kepala hotak orang yang tadbir agama,jahanamlah Islam di negeri Pahang ini.

Saya pun tak pelik.rakan rakan di MUIP ramai yang tak tahan dengan berbagai tindakan beliau yang membiarkan diri menjadi alat pemimpin pemimpin yang jahil.

Saya sendiri hantar mesej kepada Dato Wan menasihati beliau ,tetapi jawapan balas yang diberi beliau berbelit belit nak lepaskan diri.

Jadi eloklah tuan tuan semua menelefon atau hantar sms kepada beliau pulak.Hubungi nombor beliau 0199313756 "

Sidang Media "Penafian Pembohongan Terhadap Pengundi Klon"

Posted: 25 Aug 2011 03:50 PM PDT

Oleh Abdul Hadi


KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengadakan satu sidang media yang bertujuan untuk menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu yang mengatakan berlaku pembohongan dalam siri pendedahan pengundi klon yang dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS.

Selaku Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat, Suhaizan Kaiat hari ini memberi beberapa bukti yang mana isu Pengundi Klon ini bukan satu perkara yang direka-reka.

Bahkan timbalannya, saudara Adram bin Musa mengatakan terdapat ribuan bukti yang berada dalam tangan Dewan Pemuda PAS. Bukti ini juga menurut beliau sudah cukup untuk menumbangkan Kerajaan Negeri Selangor.

Kata beliau lagi, Dewan Pemuda PAS akan terus mendesak dan membuat banyak lagi pendedahan yang berkaitan dengan kelemahan sistem daftar pemilih dan juga undi pos.

"Pihak kami memberi masa 14 hari kepada semua pihak yang terlibat terutamanya SPR dan JPN untuk menjawab soalan-soalan yang telah kami timbulkan".

Terpijak buaya

Posted: 25 Aug 2011 03:43 PM PDT

Oleh Angkun Khidri

BUKTI...Rahman menunjukkan lokasi isterinya terpijak buaya.

BUKTI...Rahman menunjukkan lokasi isterinya terpijak buaya.

PAPAR: "Isteri saya tidak menyangka 'kayu' yang dipijak sebenarnya seekor buaya tersesat di halaman rumah ketika banjir," kata Rahman Nawang, 60, menceritakan kejadian cemas menimpa isterinya yang nyaris dibaham buaya dalam kejadian di Kampung Kawang, di sini, baru-baru ini.

Nelayan terbabit berkata, isterinya, Raimah Abdullah, 56, tidak menyedari reptilia itu berada di bawah rumah berikutan keadaan gelap, selain badan haiwan itu berwarna coklat seakan kayu.

"Kejadian berlaku ketika banjir baru-baru ini apabila isteri dikatakan terlihat kotak dihanyutkan air menyebabkan dia bergegas turun untuk mengambilnya.

"Tanpa disangka, sebaik meranduk (meredah) air banjir, dia terpijak seekor buaya sepanjang lebih tiga meter yang disangkakan dahan kayu," katanya ketika ditemui, di rumahnya, kelmarin.

Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam itu agak gelap dan sukar membezakan antara kayu dan buaya.

"Sebaik terpijak 'kayu' itu, ia bergerak dan isteri saya yang terkejut bergegas naik ke rumah, manakala buaya itu melarikan diri ke semak berhampiran.

"Saya bimbang jika tiada usaha pihak berkuasa, pasti akan ada penduduk menjadi mangsa 'sang bedal' ini kelak," katanya.

Menurut Rahman, dia sering terserempak beberapa ekor buaya berjemur di tebing sungai sepanjang lebih tiga meter dan hampir satu meter lebar ketika sedang menjala ikan.

"Bukan saya saja, malah beberapa penduduk kampung pernah terserempak dengan berbahaya ini, malahnya semakin banyak dan dianggarkan melebihi 100 ekor.

"Buaya itu hanya akan muncul ketika paras air sungai surut hingga menampakkan tebing dan pasir," katanya.

Tanpa berselindung, Rahman berkata, dia pernah terserempak dengan buaya bersaiz gergasi sepanjang lebih lima meter dan selebar lebih satu meter sedang berjemur di tebing sungai yang terletak hanya kira-kira 30 meter dari rumah.

"Sepanjang menetap di kampung ini, itulah pertama kali saya melihat buaya sebesar itu timbul di sungai ini," katanya.

Menurut Rahman, dia pernah menangkap beberapa ekor anak buaya sebagai bukti kewujudan haiwan berkenaan.

"Anak buaya sepanjang 40 sentimeter (sm) sering dilihat berenang mencari makanan terutamanya pada waktu malam.

"Saya pernah menangkap anak buaya pada waktu malam hanya menggunakan tangan ketika pulang dari laut dan melepaskannya semula selepas selesai merakam gambar sebagai bukti," katanya.

Rahman berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu mengatasi atau mengurangkan masalah ini demi keselamatan penduduk kampung.

"Kelibat buaya semakin kerap timbul di permukaan air dan mendedahkan diri mereka mungkin petanda haiwan itu kini kekurangan makanan," katanya.

SPR belum tolak guna dakwat dalam PRU

Posted: 25 Aug 2011 03:38 PM PDT

KL TODAY


Penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian dua kali masih merupakan satu pilihan yang mungkin dilaksanakan dalam pilihan raya umum akan datang, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata suruhanjaya itu akan membuat keputusan "Insya-Allah menjelang pilihan raya umum akan datang."

Beliau berkata SPR kini sedang mengkaji tiga pilihan – penggunaan dakwat kekal, penggunaan sistem biometrik, atau kedua-dua sistem itu sekaligus.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata, Pejabat Peguam Negara masih mengkaji aspek undang-undang, terutamanya jika penggunaan mana-mana sistem tersebut diwajibkan.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan menyatakan pengundi yang berdaftar tidak boleh dihalang daripada mengundi.

Pindaan perlembagaan tidak diperlukan jika sistem itu dibuat "secara sukarela."

Bagaimanapun, kata Abdul Aziz, membuatnya secara sukarela pun tidak dapat mengelak berlaku pengundian dua kali.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz memaklumkan bahawa semua pengundi berdaftar Malaysia yang menetap di luar negara akan dapat mengundi melalui pos tidak lama lagi.

Beliau berharap ini dapat dilakukan dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, SPR sedang dalam proses meminda peraturan pilihan raya untuk membolehkan mereka berbuat demikian.

Perubahan dalam peraturan pilihan raya ini akan memperluaskan lagi undi pos yang kini hanya untuk penjawat awam dan pelajar sepenuh masa dan pasangan mereka.

Perluas undi pos luar negara, SPR main wayang – Fuziah

Posted: 25 Aug 2011 03:36 PM PDT

Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh membidas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof, yang mahu memperluaskan sistem undi pos untuk warga Malaysia di luar negara.

Ahli Parlimen Kuantan itu menyifatkan SPR sengaja main wayang dan tidak fokus kepada isu sebenar yang terlebih dahulu perlu diperbetulkan seperti pembersihan daftar pemilih, pengunaan dakwat kekal serta reformasi undi pos sedia ada.

"SPR ini benda yang lebih penting yang patut dibuat dia tak buat, yang tak patut buat dia nak buat. Penggunaan dakwat kekal contohnya, sudah tidak memerlukan pindaan dan hanya perlu laksanakan apa yang dituntut rakyat.

"SPR janganlah nak main wayang dan akhirnya apa yang dituntut tak dilaksanakan," katanya yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Pusat.

Beliau mengulas laporan media dalam talian hari ini yang memetik kenyataan Aziz yang mahukan proses itu dilakukan pada pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur , Aziz berkata, SPR kini dalam proses meminda peraturan pilihan raya untuk membolehkan mereka berbuat demikian.

Perubahan dalam peraturan pilihan raya itu katanya akan membolehkan undi pos diperluaskan untuk penjawat awam dan pelajar sepenuh masa dan pasangan mereka di luar negara.

Menurut Fuziah, beliau merujuk pendedahan empat bekas anggota tentera baru-baru ini yang mengaku telah menyelewengkan undi pos bagi pihak ribuan anggota tentera dan isteri mereka.

"Undi pos yang dilihat punyai risiko manipulasi yang tinggi, boleh disalahgunakan malah telah dibuktikan dengan pengakuan oleh empat bekas anggota tentera yang mengaku memangkah ribuan undi pos," kata Fuziah.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat pula berpendapat SPR masih berdegil untuk tidak memenuhi kehendak rakyat yang mahukan reformasi terhadap undi pos.

"Saya tak faham dengan SPR ni, rakyat mahukan reformasi undi pos tapi dia lagi nak tambahkan undi pos. Kita bukan tak buktikan yang undi pos boleh dimanipulasi," katanya ketika dihubungi Keadilandaily.

Beliau mengeaskan sekali lagi bahawa undi pos tidak relevan kerana hanya yang betul-betul kritikal saja seperti anggota tentera yang bertugas di perbatasan sepatutnya dibenarkan melalui proses itu.

Mankala di luar negara, Pas mencadangkan supaya undi pos di kendalikan pihak kedutaan, namun sehingga kini tidak dipedulikan SPR.

"Malah janji SPR tentang 'advance voting' yang dikatakan Julai lepas tapi masih lagi tak nampak apa perkembangan," katanya.

Islam bukan milik orang Melayu saja- Huda Chew

Posted: 25 Aug 2011 03:29 PM PDT

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN Bukit Gelugor, Sheryl Chew Hong Wah atau nama barunya Huda Chew Hong Wah nekad mendalami ajaran Islam sepenuh masa.

Bercakap kepada Suara Keadilan, beliau kini merasa lebih tenang selepas memeluk Islam, yang disifatkan beliau sebagai agama yang bersifat universal.


"Saya merasa amat tenang selepas saya memeluk Islam dan amat meyakini agama ini adalah agama yang benar.

"Ia bukan hanya milik orang Melayu atau bangsa Arab tetapi ia milik semua manusia," katanya.

Menurut Huda, beliau turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan berterusan semua pihak terutama guru dan sahabat karibnya, Faridah Abdul Karim yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Cabang Gombak.

"Sejak berita saya memeluk Islam tersebar, rakan-rakan Facebook saya semakin bertambah.

"Tetapi yang lebih buat saya terharu ialah dokongan berterusan dan kata-kata semangat dari semua pihak terutamanya kak Faridah," katanya.

Sementara itu, di Facebook, beliau kini menggunakan nama Huda Chew Hong Wah (Cheryl).

Huda sah bergelar muslim kira-kira 3 petang semalam di pejabat Jemaah Islam Malaysia (JIM) Taman Melawati, Gombak dan disaksikan rakan-rakan terdekatnya yang turut menitiskan air mata menyaksikan majlis itu.

Huda yang bermaksud 'petunjuk' dalam bahasa Arab sebelum ini banyak mendalami Islam menerusi kenalan yang menghadiahkan tafsir Al-Quran dan buku-buku agama dari rakan-rakan terdekat.

Difahamkan, sebelum ini Huda Cheryl sudah mula berpuasa dan mendalami Islam berperingkat-peringkat sebelum mengambil keputusan memeluk Islam ketika hari ke 24 umat Islam menunaikan ibadah Ramadhan.

Mahkamah gugur tuduhan seks terhadap Anwar pada 2004, tegas Nik Nazmi

Posted: 25 Aug 2011 03:23 PM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan tuduhan seks pertama yang dikenakan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, digugurkan mahkamah pada 2004.

Beliau merujuk artikel disiarkan Asia Sentinel bertajuk 'Why Did Malaysia's Anwar Say Too Much' yang memberi persepsi salah dan mengelirukan mengenai perbicaraan Anwar.

Rencana tulisan John Berthelsen yang diterbitkan pada 23 Ogos 2011 itu menyentuh mengenai kes Fitnah I dan II terhadap Anwar, namun terdapat kesalahan fakta yang jelas dalam laporan itu.

Pada versi pertama pengarang itu menulis – 'Beliau telah dihukum atas dakwaan salahlaku seksual selama enam tahun sebelum dibebaskan'.

Namun ia kemudian dipinda kepada – 'Beliau telah dihukum selama enam tahun sebelum dakwaan salahlaku seksual diubah', pada versi kedua.

"Hakikatnya adalah, sabitan kes liwat Anwar Ibrahim telah digugurkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataannya hari ini.

Sementara itu, Nik Nazmi menegur ketepatan pengarang dalam merujuk individu-individu dalam laporannya dengan penggunaan perkataan 'dia' sehingga mengelirukan pembaca.

Misalnya, pengarang tidak menjelaskan siapakah 'dia' yang dimaksudkan membawa bahan pelincir ke kondominium tersebut sepertimana yang didakwa.

Menurut Nik Nazmi, pada perenggan ke empat pula, tulisan itu menerangkan bahawa 'Saiful pergi ke kondo pada waktu malam' sedangkan fakta menjelaskan bekas pembantu Anwar itu pergi ke kondominium itu kira-kira 2.30 petang.

Tambah beliau, dugaan pengarang bahawa Anwar bersendirian dan menunggu Saiful juga tidak benar kerana Anwar menghadiri satu taklimat dengan sekumpulan ahli ekonomi di kondominium itu.

"Ironinya tiada seorang pun daripada mereka dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk mengesahkan sama ada Anwar bersama mereka untuk taklimat tersebut. Peguambela berulang kali menegaskan bahawa Saiful tidak berada di unit kondominium tertentu.

"Apa yang pihak pendakwa lakukan untuk membuktikan bahawa Saiful berada dalam lif dan berhenti di tingkat yang sama dengan unit kondomonium tersebut?

"Dan tiada seorang pun dari mereka yang bersama Anwar nampak Saiful datang. Pendakwa juga gagal menghasilkan keterangan sebaliknya," tegas Nik Nazmi.

Lynas: Pandangan berbeza Lajnah Alam Sekitar PAS

Posted: 25 Aug 2011 02:55 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Lajnah Alam Sekitar PAS mempunyai pandangan berbeza dengan dua pakar atom termasuk seorang anggota parlimen PAS, Dr Che Rosli Che Mat berkaitan dengan kilang Lynas di Kuantan.

(Zulkefly kiri dan Dr Che Rusli kanan)

Menurut pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar, perbezaan ini berdasarkan kajian mendalam yang mereka buat terhadap kilang ini dan pengalaman yang dilalui oleh kilang seumpamanya seluruh dunia.

Malam tadi, Dr Che Rusli, anggota parlimen Hulu Langat, seorang pakar atom yang pernah bertugas di Puspati dan pensyarah UKM memberikan wawancaranya dengan TV3 dan yakin kilang itu selamat.

Namun, aktivis dan pimpinan PAS di peringkat kawasan Kuantan khasnya di Gebeng, tempat kilang itu sedang dibina membantah keras pembinaannya.

Perbezaan ini disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai perbezaan pendapat teknikal yang tidak menjadi kesalahan kerana PAS menyatukan ahli-ahlinya dengan kesatuan aqidah melalui Islam.

Ia juga melambangkan kesuburan kebebasan memberikan pandangan yang bukan menjadi tunjang kepada aqidah.

Berikut adalah kenyataan penuh Zulkefly yang dihantar kepada Harakahdaily.

Saya Zulkefly Mohamad Omar, AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat ingin memberi kenyataan berhubungkait kenyataan Dr Che Rusli Che Mat dan Prof Ahmad Termizi di TV3 semalam dalam Buletin Utama TV3.

Saya telah mengamati kenyataan kedua-dua tokoh tersebut dan sama sekali tidak berhasrat untuk mempertikaikan kaliber mereka sebagai Pakar Saintis Nuklear. Apa yang saya utarakan bahawa beberapa pandangan yang berbeza boleh dianggap sebagai medan untuk saya perjelaskan tentang Pendirian Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat dan Badar (Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery)berkaitan Isu Kilang Rare Earth Refinery yang akan beroperasi Gebeng, Kuantan.

Pendedahan mereka yang dipetik dari TV3 berkenaan kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS adalah Loji Nuklear disangkal PAS. PAS tidak pernah mengakui bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu adalah Loji Nuklear, malah nama badan yang berjuang untuk menentang LYNAS itu adalah Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery (BADAR) di mana pekataan 'refinery' itu sendiri merujuk kepada KILANG.

Memetik kenyataan Prof.Dr.Ahmad Termizi bahawa risiko bukan alasan untuk mengharamkan sesuatu perkara dan risiko itu mesti berpadanan dengan manfaat jelas merupakan satu kenyataan yang tidak berasas malah dilihat seolah-olah cuba memperjudikan nasib penduduk setempat khususnya penduduk di sekitar Balok Kuantan di atas nama kemajuan teknologi dan ekonomi.

Risiko yang dikenalpasti bukanlah hanya daripada pancaran radiasi, malah terdapat banyak potensi risiko yang cukup tinggi ketika pengangkutan bahan mentah yang tiba dari Australia di pelabuhan Kuantan ke tapak kilang LAMP milik LYNAS di Gebeng Kuantan, ketika kerja-kerja pemprosesan, simpanan dan pengurusan sisa buangan (pepejal, air sisa dan gas) yang dikenalpasti mempunyai elemen radioaktif di dalamnya.

Kami tahu banyak air sisa yang dikatakan 'telah dirawat' akan dilepaskan ke Sungai Balok yang diketahui umum sudah tercemar pada tahap 2 dan 3. Malah sehingga hari ini, penduduk setempat masih tidak dilibatkan di dalam menilai perancangan pengurusan sisa buangan milik LYNAS itu.

Risiko dari Kilang LAMP milik LYNAS adalah sesuatu risiko yang tidak boleh dikompromi walaupun jika ada manfaatnya dari aspek ekonomi walaupun PAS ragu-ragu dengan manfaat ekonomi yang dimaksudkan. Pelepasan cukai perolehan selama 12 tahun kepada LYNAS adalah satu tindakan yang tidak menguntungkan negara.

Risiko itu tidak boleh dikompromi dengan manfaat kerana pencemaran sisa radioaktif kepada alam sekitar tidak mampu dipulihkan dalam tempoh yang singkat malah dikenalpasti akan kekal sehingga tempoh yang lama iaitu puluhan tahun lamanya.

Malah ancaman kepada kesihatan juga boleh berlaku seperti penyakit kanser dan lieukemia jika terdapat kebocoran dan kegagalan fungsi peralatan yang sedia ada sehingga menyebabkan pendedahan bahan-bahan beradioaktif kepada penduduk setempat. Laporan keretakan tangki simpanan serta spesifikasi yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan seperti yang dipaparkan oleh New York Times (NYT) mengukuhkan lagi ketidakyakinan penduduk setempat kepada jaminan keselamatan yang acap kali diwawarkan oleh agensi yang berkenaan termasuk pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN).

PAS sekali lagi menegaskan tahap dos sinaran yang dimaksudkan Prof. Dr. Ahmad Termizi hanyalah satu daripada beberapa isu yang dibangkitkan rakyat.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana membangkitkan kegusaran mereka terhadap aspek-aspek keselamatan termasuk potensi ancaman dari kilang LAMP milik LYNAS itu. Lebih-lebih lagi penglibatan pihak awam tidak dialu-alukan dari peringkat awal malah kelemahan aspek ini diakui oleh wakil MITI ketika kami bertemu mereka tempoh hari. Lebih-lebih lagi Kajian Alam Sekitar (PEIA) jelas tidak melibatkan pihak awam ketika itu walaupun Kajian Terperinci Alam Sekitar (DEIA) boleh digunapakai seolah-olah potensi pelbagai ancaman yang tidak sahaja terhad kepada pancaran radiasi tidak menjadi satu kepentingan dan keutamaan kepada penduduk setempat.

Apakah risiko itu boleh dipadankan dengan manfaatnya?. PAS menyangkal kenyataan ini apabila ia melibatkan industri yang berisiko tinggi seperti ini.

Insiden dari loji nuklear Fukushima boleh dirasai oleh beberapa negara yang beribu-ribu batu jauhnya. Tetapi kesan ini tidak dirujuk sebagai kesan radiasi sahaja tetapi lebih dirujuk kepada potensi penyebaran 'radioactive particles' atau 'serbuk/habuk radioaktif' yang boleh bergerak dan tersebar melalui air dan udara sehingga manusia yang menghidunya atau menelannya berpotensi sebagai ancaman kepada organ dalaman manusia.

'External Radiation' atau 'Radiasi Luar' bukan kerisauan utama penduduk setempat tetapi 'Internal Radiation' atau 'Radiasi Dalaman' itulah yang menjadi kegusaran utama penduduk setempat. Tahap pencemaran habuk yang sedia dari Kawasan Perindustrian Gebeng (GIE) akan lebih parah dengan kehadiran kilang LAMP milik LYNAS itu. Pendedahan radiasi dalaman berkemungkinan tetap ada.

Kenyataan yang mengatakan bahawa ketakutan orang ramai hanya merujuk kepada tahap radiasi sahaja juga tidak tepat kerana hakikatnya bukan tahap radiasi sahaja yang menjadi pertikaian penduduk setempat selama ini malah tahap radiasi yang dimaksudkan beliau yang mirip hanya kepada 'external radiation' atau 'radiasi luar' sahaja sebenarnya lebih menjurus kepada ancaman 'internal radiation' atau 'radiasi dalaman' seperti yang dimaksudkan di atas. Radiasi dalaman boleh menyumbang kepada kerosakan organ dalaman manusia.

Kegusaran penduduk dan pandangan umum dari berbagai lapisan masyarakat adalah berdasarkan beberapa tindakan yang di lakukan oleh Lynas terlalu tergopoh-gapah untuk meneruskan operasi pembinaan tanpa mengambil pandangan penduduk dan rakyat khususnya di Kuantan serta kawasan yang berhampiran.

Bagaimanakah keyakinan tinggi di kalangan penduduk setempat terhadap agensi penguatkuasa alam sekitar itu wujud jika pencemaran Sungai Balok sudah ditahap 2 dan 3? Adakah rakyat harus yakin akan kredibiliti agensi penguatkuasa yang berkenaan untuk memantau kilang LAMP milik LYNAS jika Sungai Balok sendiri sudah gagal dipantau agensi kerajaan yang berkenaan.

Adakah dengan semua ini, rakyat harus tetap yakin dengan kredibiliti agensi kerajaan yang berkaitan?

Rakyatkah yang salah?

PAS juga menyangkal bahawa isu LYNAS ini dibawa oleh PKR. Malah PAS sekali lagi tetap bertegas bahawa isu LYNAS adalah isu yang dibawa oleh PAKATAN RAKYAT dan telah lama disepakati.

Rakyat Kuantan khususnya mempunyai sebab untuk takut akan kewujudan Kilang LAMP milik LYNAS. Kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu selamat bersandarkan laporan IAEA juga tidak tepat kerana penilaian panel pakar IAEA itu hanya bersandarkan tahap pembinaan infrastruktur Kilang LAMP milik LYNAS yang pada ketika itu hanya ditahap 40 peratus sahaja malah Kilang itu masih belum beroperasi dan pengurusan sisa buangan juga tidak dinilai, bagaimanakah pihak-pihak tertentu boleh dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan bahawa Kilang LAMP milik LYNAS itu SELAMAT?

Malah 11 cadangan penambahbaikan yang dicadangkan oleh panel IAEA itu jelas menunjukkan bahawa polisi, piawaian dan prosedur yang sedia ada di Negara ini masih terbelakang berbanding piawaian antarabangsa. Jika Negara ini memenuhi piawaian antarabangsa, kenapa perlu ada 11 penambahbaikan itu?.

Hakikatnya kehadiran Kilang LAMP milik LYNAS dibuat tanpa penglibatan pihak awam dan tidak menyeluruh. Malah kelemahan ini diakui panel IAEA itu dan wakil MITI sendiri. Adakah salah rakyat untuk beremosi apabila hanya diberitahu ketika pembinaan infrastruktur kilang sudah mencecah 40 peratus? Dan adakah fakta-fakta yang dibentangkan oleh wakil penduduk adalah semata-mata propaganda dan tidak berdasarkan ilmu? Termasuk tiada rujukan kepada pakar-pakar tertentu?.

Rakyat tidak pernah beremosi kosong, malah emosi itu disertakan kajian yang menyeluruh dan bersandarkan rujukan-rujukan yang tertentu sehingga terbukti bahawa salah satu isu yang dibangkitkan wakil penduduk setempat berkenaan ketiadaan pelan pengurusan sisa buangan diakui oleh panel IAEA sendiri sebagai salah satu penambahbaikan yang perlu disediakan oleh pihak LYNAS dan AELB.

Kenapa rakyat pula yang terpaksa berhempas pulas meyakinkan kerajaan sedangkan agensi-agensi yang berkenaanlah yang harus menyakinkan pihak kerajaan bahawa pelan pengurusan sisa buangan adalah satu kewajipan yang perlu ada.

Bukankah rakyat yang berperanan sebagai majikan kepada agensi-agensi yang berkenaan melalui bayaran cukai pendapatan tahunan?

Kenapa rakyat pula yang terpaksa berhempas pulas untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar penduduk setempat?

Zulkefly Mohamad Bin Omar
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pas Pusat

Umno hipokrit isu akidah

Posted: 25 Aug 2011 02:53 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihat supaya masalah akidah jangan dikorbankan walaupun berlainan ideologi politik menunjukkan Umno hipokrit.

"Sebenarnya nasihat ini patut ditujukan kepada pemimpin Umno yang sedang mempolitikkan isu murtad kebetulan isu ini berlaku di negeri Pakatan Rakyat," katanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Jika berlaku di negeri yang ditadbir oleh Umno tentunya nada berlainan, katanya.

"Inilah wajah pemimpim umno yang bersikap hipokrit, daripada dahulu sampai sekarang dalam isu agama," katanya.

Katanya, jika satu isu itu menguntungkan, maka mereka seolah-olah bercakap mempertahankan Islam seolah-olah lanjutan pemerintahan khalifah al-Rasyidin.

Beliau bertanya, mana suara pemimpin Umno apabila Noraishah Bukhari di Johor, Hartina Kamarudin di Perak, Lina Joy di Wilayah Persekutuan yang murtad.

Waktu itu, jelasnya PAS dan NGO lain bangkit menentang, pada ketika itu mungkin Umno belum berjumpa lagi kitab akidah menyebabkan mereka membisu.

Begitu juga dalam politik, katanya ketika bertemu dengan orang bukan Islam mereka menakutkan dasar Islam yang hendak diperjuangkan oleh PAS.

Menurutnya, apabila bertemu dengan orang Islam, mereka mengatakan bahawa PAS sudah tidak berani menegakkan Islam kerana takut kepada DAP dan PKR.

"Inilah contoh hipokrit pemimpin Umno ketika berkempen di dalam pilihan raya, Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri tidak menghalang kerajaan Melaka yang hendak membina Tugu 1Malaysia.

"Bukankah fatwa mengatakan tidak boleh membina tugu?" soalnya.

Katanya, kerajaan pimpinan Umno terus langgar juga fatwa tersebut.

Menurutnya lagi, sikap pragmatis dan hipokrit pemimpin Umno terserlah lagi dalam isu larangan memasang bacaan al-Quran melalui pembesar suara sebelum Subuh yang diarah oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang.

Maka, ujarnya bangkitlah pemimpin Umno menunjukkan kejahilan mereka menentang secara membuta tuli dengan menuduh itu satu lagi penghakisan syiar Islam di bawah pemerintahan Lim Guan Eng.

Pada hal, tambahnya isu itu tidak ada kaitan langsung dengan Pejabat Ketua Menteri.

Begitupun, katanya pemimpin Umno menikus apabila kerajaan Perlis di bawah pemerintahan Umno bersetuju dengan arahan Jabatan Mufti Pulau Pinang.

"Kenapa pemimpin Umno tidak mengamuk kepada kerajaan Perlis?" soalnya lagi.

Jawapannya, kata beliau mudah kerana itu negeri Umno dan jika Umno buat semua kebal.

Beliau bertanya lagi, mana suara pemimpin Umno ketika seorang peguam dan ahli seumur hidup MCA dari Pantai Hill Park tidak berpuas hati dengan berkumandangnya azan di Masjid Al-Khadijah, Kampung Pantai Dalam.

" Suasananya tentu berlainan jika yang melakukan ini ahli DAP. Pemimpin Umno tidak tahu mana sunat dan mana haram," ujarnya.

21 pengundi berbeza bangsa dalam sebuah kedai

Posted: 25 Aug 2011 02:46 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Keraguan daftar pemilih terus dibongkar apabila terbaru, DAP menemui bukti 21 orang pengundi berlainan kaum tinggal di sebuah kedai.

Selain penemuan itu, mereka juga menjumpai seorang anggota tentera berumur 111 tahun tetapi masih lagi berkhidmat dalam tentera, seorang anggota dengan dua isteri yang nama mereka sama, dan seorang wanita yang lahir dua kali pada abad yang lepas.

Keganjilan yang bersifat penyelewengan dan penipuan ini telah didedahkan oleh Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau seperti dipetik Roketkini berkata, DAP telah menemui 21 nama daripada beberapa keluarga Cina dan India yang berdaftar sebagai tinggal di sebuah kedai yang dijadikan pusat khidmat tidak rasmi seorang pemimpin MCA di Negeri Sembilan.

Kedai itu yang beralamat di A11-2 Metrix Medan Jalan Manikawasagan, Seremban mempunyai 10 pengundi Cina dan 11 India.

"Ini membuktikan satu penipuan yang jelas kerana tidak munasabah sebuah kedai, dan bukannya rumah, boleh mempunyai begitu ramai pengundi daripada keluarga yang berbeza," katanya.

Menurutnya, satu lagi keganjilan yang ditemui ialah nama seorang pengundi di kem tentera Jalan Rasah, iaitu Nor Hisham bin Md Darus dengan kad pengenalan tentera T1091492.

"Apa yang pelik di sini ialah Nor Hisham ini mempunyai seorang isteri bernama Khadijah Binti Husin yang mempunyai dua kad pengenalan, iaitu 79022011518 dan 700220115182.

"Adakah Nor Hisham ini mempunyai dua isteri dengan nama yang sama dan ejaan nama yang sama?" katanya.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, ini adalah tidak mungkin kerana Khadijah membuat pendaftaran baru sementara Khadijah 'yang kedua' baru sahaja mendaftar sebagai pengundi.

Dalam masa sama juga, beliau mempertikaikan bagaimana seorang anggota tentera bernama Hisni Bin Isnain yang bernombor tentera T1102918 dan lahir pada 24 Julai 1900, masih berkhidmat di kem tentera Sunggala, Bagan Pinang.

"Hebat sekali anggota tentera kita. Sudah berumur lebih 100 tahun pun masih berkhidmat," ujarnya.

Katanya, DAP juga menemui dalam daftar pemilih nama seorang pengundi Swee Lan @ Chia Swee Lan yang lahir pada 17 September 1918 yang mempunyai kad pengenalan baru dan lama bernombor 410917055006 dan 1559230.

Daripada maklumat dua kad pengenalan itu, tidak dapat dipastikan sama ada Swee Lan telah dilahirkan dua kali, iaitu pada 1918 dan 1941.

"Ini hanya di kawasan Parlimen dan DUN saya sahaja, dan hanya beberapa kes sahaja yang dapat kami kesan, kerana bukannya mudah untuk mengesan pengundi-pengundi misteri ini," kata Loke.

Justeru, beliau berkata, walau pun penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen (PSC) adalah satu langkah yang boleh diterima, tidak ada gunanya jika masalah pelik yang boleh menimbulkan keraguan dalam sistem pilihan raya negara gagal diatasi.

"Begitu juga kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya yang angkuh kerana mengatakan mereka boleh menolak apa-apa keputusan PSC. Maksudnya, masalah-masalah ini tidak akan selesai," katanya.

Mana satu? Parlimen atau Dun?

Posted: 25 Aug 2011 02:44 AM PDT

JIka calon itu bertanding untuk kerusi Parlimen, beliau tidak boleh bertanding kerusi Dun dan begitulah sebaliknya.



PETALING JAYA: PAS Melaka memutuskan bahawa bakal calonnya hanya dibenarkan memilih satu kerusi sahaja untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 – Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun).

"JIka calon itu bertanding untuk kerusi Parlimen, beliau tidak boleh bertanding kerusi Dun dan begitulah sebaliknya.

"Dalam PRU 2008, beberapa calon PAS Melaka telah bertanding dua kerusi – Parlimen dan Dun. Malangnya mereka semua kalah," kata Ketua Penerangannya Kamaruddin Sidek kepada FMT hari ini.

Namun kali ini katanya, lebih ramai calon muda akan diletakkan oleh PAS dalam PRU yang dijangka di adakan pada penghujung tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata, PAS Melaka gagal menghantar senarai nama calon pilihan raya kepada PAS Pusat sebagaimana yang ditetapkan, 31 Ogos ini.

Katanya, PAS Pusat menghantar surat kepada semua PAS negeri supaya menghantar senarai nama calon untuk pilihan raya umum ke 13 selewat-lewatnya 31 Ogos.

"Memandangkan cuma ada masa kurang seminggu menjelangnya sambutan Hari Raya tidak mungkin kita boleh mengadakan mesyuarat terakhir untuk memilih nama calon itu. Jadi kita perlu menunggu sehingga dua atau tiga minggu untuk berbuat demikian.

"Kelewatan ini kerana polisi PAS yang perlu mendapatkan nama dari peringkat cawangan dan kawasan sebelum dipilih oleh PAS negeri untuk dihantar kepada PAS Pusat," katanya.

Kamaruddin mengesahkan PAS akan bertanding di 13 kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen dalam PRU 13 sama seperti PRU 2008.

Belum runding dengan PKR

Menurut beliau lagi, PAS Melaka gagal mengadakan rundingan dengan PKR negeri itu mengenai pembahagian kerusi untuk PRU 13 kerana Pengerusi PKR negeri, Shamsul Iskandar Md Akin selalu ke luar negara.

"Ini yang menyebabkan PAS belum dapat mengadakan rundingan dengan PKR. Kita berharap ia boleh dibuat bulan depan," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Melaka, Mohd Yusof Abdullah mengesahkan parti itu belum mengadakan rundingan dengan PAS.

"Saya akui kerana masalah Shamsul, rundingan ini tidak dapat dijalankan tetapi saya akan maklumkan kepada beliau secepat mungkin. Satu cara lagi ialah Shamsul mewakilkan kepada saya sebagai pengarah pilihan raya PKR negeri untuk berunding dengan PAS," katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua parti PAS dan PKR, telah mengadakan rundingan peringkat pertama dengan rakan lain, DAP mengenai pembahagian kerusi di negeri itu.

NGO serah penyelewengan daftar pengundi pada SPRM

Posted: 25 Aug 2011 02:36 AM PDT

"Sebahagian nama itu dikesan didaftar sebagai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi nama itu tidak ada dalam carian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



PETALING JAYA: Jingga 13, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang baru ditubuhkan empat bulan lepas tampil memberi bukti terhadap penyelewengan senarai pemilih kepada ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya tengah hari tadi.

Menurut kordinator Jingga 13, Faris Musa kira-kira 10 bukti diberikan kepada SPRM untuk siasatan lanjut dan SPRM menyatakan akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pendedahan NGO itu.

"Sebahagian nama itu dikesan didaftar sebagai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi nama itu tidak ada dalam carian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Ini bermakna SPR telah mendaftarkan nama orang yang tiada dalam JPN," katanya.

Faris bekas pemimpin muda PKR berkata, dua pengundi mempunyai nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu seorang wanita di Klang dan seorang lagi di Shah Alam.

"Saya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan SPR membersihkan daftar senarai pemilih dengan segera.

"Najib nak tunggu bukti apa lagi kerana penyelewengan daftar pemilih telah berlaku di depan mata. Sudah tentu semakin hari semakin banyak penyelewengan daftar pemilih," tegasnya.

Najib mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk mengkaji dan menambahbaik sistem serta proses pilihanraya. Jawatankuasa Khas itu dianggotai Ahli Parlimen dari parti pemerintah dan pihak pembangkang.

Hindraf fail notis gugur pertuduhan 54 aktivis ‘Interlok’

Posted: 25 Aug 2011 02:30 AM PDT

S Jayathas dalam permohonannya pagi tadi berkata dakwaan yang dikenakan terhadap mereka itu tidak sah dan bersifat 'mala fide' (berniat jahat).



KUALA LUMPUR: Pertubuhan Hindraf Makkal Sakthi (Hindraf) hari ini memfailkan permohonan agar 54 aktivisnya yang didakwa mahkamah terlibat dengan perhimpunan protes novel Interlok digugurkan.

Permohonan itu difailkan wakilnya S Jayathas melalui Tetuan Kumar Hashimah & Co di Mahkamah Tinggi di sini pagi tadi.

Beliau menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai responden pertama dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai responden kedua.

Kesemua 54 aktivis terbabit ditahan pada Februari lalu dan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, Ipoh, Seremban dan Jalan Duta melakukan kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) iaitu menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang- undang iaitu Hindraf.

Sehubungan itu, S Jayathas dalam permohonannya pagi tadi berkata dakwaan yang dikenakan terhadap mereka itu tidak sah dan bersifat 'mala fide' (berniat jahat).

Beliau juga menyatakan alasan Hindraf telah pun membuat permohonan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjadi satu pertubuhan yang sah sejak November 2009 namun tidak diluluskan sehingga sekarang.

"Saya percaya dalam dunia ini tidak pernah dapat pertuduhan jenayah oleh kerana seseorang itu menjadi anggota NGO hak asasi manusia dan hak minoriti kecuali dalam negeri pemerintahan raja berkuasa mutlak di Arab Saudi.

Beliau turut mempertikaikan mengenai beberapa tindakan pemimpin Umno dan Perkasa yang membuat demonstrasi jalanan namun tidak pernah ditangkap dan didakwa.

"Responden kedua di atas arahan reponden pertama telah bertindak secara 'mala fide', bermotifkan politik dan bertindak secara selektif dengan hanya melepaskan aktivis pro Umno-Barisan Nasional-Perkasa dan Bersih (yang disokong parti politik PKR, DAP, PAS) yang mempunyai kuasa ekonomi dan politik yang kuat dan berpengaruh.

"Tetapi oleh kerana pemohon daripada masyarakat India, pemohon telah dianaktiri dan didiskriminasi (melanggari Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan)," katanya.

Interlok, novel sastera yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran sebagai buku teks untuk pelajar Tingkatan Lima menyentuh tentang kisah masyarakat India daripada kasta 'paria' yang datang ke Tanah Melayu.

Akibatnya, ia menimbulkan ketegangan dan mendapat reaksi pelbagai pihak kerana menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Kajian: Liputan Utusan paling banyak untuk BERSIH

Posted: 25 Aug 2011 02:26 AM PDT

MALAYSIA KINI


Akhbar harian bahasa Melayu - Utusan Malaysia - memberikan liputan paling meluas kepada BERSIH 2.0 berbanding dengan beberapa akhbar harian yang lain, demikian menurut kajiselidik oleh Pusat Kewartwanan Bebas (CIJ).

Kajiselidik tersebut meneliti semua laporan tentang gerakan reformasi pilihan raya itu, dua minggu sebelum perhimpunannya pada 9 Julai dan dua hari selepasnya, di Utusan Malaysia, The Star, New Straits Times dan The Sun.

cij report on bersih news reporting 240811 ding jo-annPemantau media CIJ, Ding Jo-Ann (kiri), yang membentangkan hasil
kajiselidik itu di sesi perbincangan di Kuala Lumpur malam tadi, berkata sejumlah 771 artikel mengenai gerakan itu telah direkodkan dari 25 Jun hingga 11 Julai, dengan lebih separuh daripadanya atau 435 artikel adalah dari Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, 94 peratus atau 407 artikel daripadanya memberi gambaran negatif terhadap gerakan tersebut, manakala 27 yang lain adalah neutral.

"Terdapat hanya satu artikel yang positif, di mana Utusan memetik (pengerusi BERSIH 2.0 Datuk) Ambiga (Sreenevasan) tanpa memanggilnya biadap atau degil)," kata Ding.

Manakala akhbar The Star, New Straits Times dan The Sun masing-masing menyiarkan 152, 147, dan 37 artikel mengenai BERSIH.

Daripada jumlah ini, artikel negatif yang dilaporkan ialah The Star (100 atau 66%), New Straits Times (110 atau 75%) dan The Sun (23 atau 62%).

Menurut Ding, walaupun terdapat beberapa artikel yang positif tentang BERSIH, sebahagian besar dilaporkan apabila BERSIH menimbang untuk membatalkan perhimpunan tersebut selepas Yang di-Pertuan Agong campurtangan.

'Pendengaran isu JAIS-DUMC berjalan baik'

Posted: 25 Aug 2011 02:23 AM PDT

MALAYSIA KINI


Sesi pendengaran sulung gerak kerja pendengaran bagi menyelesaikan isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) selesai jam 4.00 petang.

Dua pihak yang diminta memberi penjelasan - penganjur program Harapan Komuniti dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) - bertemu dengan gerak kerja berkenaan yang diketuai Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau dibantu oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, dan timbalannya, Datuk Abdul Majid Omar.

Pertemuan secara berasingan itu bagi mendengar penjelasan kedua-dua pihak berhubung kehadiran umat Islam dan dakwaan terdapat usaha menyebarkan Kristian kepada umat Islam di DUMC 3 Ogos lalu.

Gerak kerja tersebut akan menyediakan laporan untuk dipersembahkan kepada Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pertemuan JAIS dengan gerak kerja itu berlangsung selama setengah jam bermula jam 2.30 petang.

JAIS yang diwakili pengarahnya Marzuki Hussein memberi penjelasan kepada gerak kerja pendengaran itu di tingkat 22 Bangunan SUK Selangor.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Marzuki enggan mengulas mengenai butiran perjumpaan itu.

"Tidak ada komen," katanya sambil tersenyum.

Malah, beliau berdiam diri dan terus tersenyum ketika diminta menjawab mengenai bilakah laporan JAIS akan diumumkan.

Mereka juga menjadi tumpuan lensa kamera ketika keluar untuk beredar sebaaik sahaja keluar daripada bilik mesyuarat.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar mengerumuni bagi mendapatkan komennya.

Sementara Harapan Komuniti diwakili enam orang dengan dua daripadanya antara 12 orang yang diminta membantu siasatan.

Peguam Datuk Kenny Ng Bee Ken dan Annou Xavier turut mengiringi wakil kumpulan itu.

Ketika ditemui pemberita selepas selepas pertemuan itu, Kenny menyifatkan pertemuan tersebut satu "mesyuarat yang baik".

"Kami berharap sangat (gerak kerja ada) pertimbangan, niat dan harapan yang baik," katanya, sambil tersenyum.

Ditanya sama ada pihaknya akan dipanggil semula, Kenny berkata beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut dan akan memaklum kepada media sekiranya ada pertemuan selanjutnya.

"Kami (akan) bekerjasama (dengan gerak kerja pendengaran)," katanya.

Pertemuan itu berlangsung selama satu jam, bermula jam 3.00 petang.

Sementara itu, tidak ada sidang media diadakan oleh pejabat menteri besar selepas pertemuan tersebut.

Pindaan undi pos dijadual dibentang Oktober

Posted: 25 Aug 2011 02:20 AM PDT

Aidil Razak


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari ini bahawa ia berhasrat untuk menukar pengundi pos kepada 'pengundi awal', ekoran dakwaan berlaku penipuan undi menggunakan undi pos.

election commission chief abdul aziz yusofBercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (kiri) berkata pindaan undang-undang itu diperlukan untuk membolehkan ia dirangka untuk pembentangan di sidang Parlimen Oktober ini.

"Hasrat kami adalah untuk mengubah status semua anggota polis dan Angkatan Tentera dan pasangan mereka,yang menjadi pengundi pos, kepada 'pengundi awal', yang boleh mengundi dua atau tiga hari sebelum hari mengundi," kata Abdul Aziz.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang bertugas jauh dari kem dan tidak boleh hadir untuk mengundi awal, masih boleh memohon menjadi pengundi pos.

Katanya, ini termasuk mereka yang bertugas di pos sempadan atau bertugas membuat rondaan di laut.

Bercakap dalam taklimat mengenai tuntutan BERSIH 2.0, Abdul Aziz berkata, dibandingkan dengan undi pos, pengundian awal adalah sama seperti pengundian biasa dan terbuka kepada penelitian ejen-ejen parti politik.

Khir Toyo: Bukan ancaman, cuma peringatan

Posted: 25 Aug 2011 02:16 AM PDT

Salhan K Ahmad


Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo hari ini menafikan tanggapan bahawa beliau memberi ancaman kepada Umno apabila menimbulkan dakwaan berhubung konspirasi di kalangan tiga orang menteri ke atasnya.

Sebaliknya, kata Khir, ia hanyalah satu peringatan dan teguran kepada individu berkenaan, yang tetap enggan dinamakannya.

khir toyo interview 150910Beliau juga tidak berpendapat bahawa kenyataannya – berhubung konspirasi tiga orang menteri berkenaan supaya beliau dikenakan hukuman penjara atas tuduhan rasuah – akan melemahkan lagi Umno dan BN Selangor.

"Tak ada (ancaman). Terpulanglah kepada siapa yang kena tegur itu. Mereka sepatutnya kerja lebih keras untuk perkukuhkan Umno dan memenangi pilihan raya, lebih-lebih lagi di Selangor," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, individu berkenaan sepatutnya menumpukan ke arah usaha berkenaan dan bukannya terhadap kes perbicaraan yang sedang dihadapinya.

Ditanya sekiranya salah seorang daripada individu berkenaan merupakan menteri pertanian dan industri asas tani, Datuk Seri Noh Omar, Khir hanya tertawa.

"Saya tak mahu sebut sesiapa. Siapa makan cili, dia rasalah pedas. Siapa makan nangka, dialah yang kena getah, bukan?," kiasnya.

Dalam pada itu, Khir turut memberi peringatan kepada individu berkenaan supaya tidak mengganggu sistem kehakiman

Beliau menimbulkan isu berkenaan kerana berasa ragu setelah menerima surat berhubung arahan mahkamah mengenai keputusan supaya beliau membela diri atas dakwaan yang dihadapinya.

"(Tapi) saya dapat (surat berkenaan) seminggu sebelum mahkamah buat keputusan (supaya membela diri). Surat itu dari mahkamah Shah Alam tapi nombor faksnya daripada Putrajaya," katanya lagi.

Jelasnya, surat menimbulkan tandatanya kerana pada kebiasaannya surat seperti itu akan dihantar selepas sesuatu keputusan mahkamah dibuat.

"Kalau ikut peguam saya, amalan seperti ini jarang berlaku," katanya lagi yang menambah, salah satu daripada dua pucuk surat itu ditandatangani oleh seorang pegawai mahkamah.

Ditanya sekiranya beliau berpendapat bahawa surat berkenaan menunjukkan wujudnya campurtangan pihak tertentu dalam keputusan mahkamah, Khir berkata beliau tidak ingin membuat sebarang kesimpulan.

"Sukar untuk saya katakan, tapi ianya pelik bagi saya (terima surat sebelum keputusan mahkamah dibuat). Biarlah rakyat umum yang tentukan.

"Saya masih percaya kepada sistem perundangan. Sebab itu saya tidak buat kenyataan. Mahkamah sepatutnya bebas daripada sebarang pengaruh.

"Ianya hanya satu peringatan kepada mereka yang terlibat, jangan ganggu sistem (kehakiman). Saya cuma memberi peringatan kepada mereka bertiga supaya kembali kepada perjuangan asal," katanya lagi.

Aziz: Biometrik lebih banyak masalah dari dakwat kekal

Posted: 24 Aug 2011 11:08 PM PDT

Aidil Razak


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal untuk mengelak pengundian berganda, adalah kurang bermasalah daripada menggunakan sistem biometrik.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, walaupun biometrik adalah "sistem yang sempurna" di segi teorinya, tetapi wujud kelemahan bila diamalkan.

pulau ketam village head election 310711 indelible ink 02"Hujah bahawa (seseorang yang mempunyai beberapa kad pengenalan) boleh mengundi sekali sahaja dan kemudian bawa kad lain ke saluran yang berbeza, dan ia akan sepadan dengan cap ibu jarinya dan dia akan dibenarkan mengundi

"Prasyarat bagi sistem ini berkesan ialah setiap orang mempunyai hanya satu kad pengenalan sahaja," katanya.

Dibanding dengan dakwat kekal, katanya, sistem tersebut boleh juga bermasalah pada hari mengundi dan menyulitkan prosesnya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya mencubanya dengan 50 orang dan purata masa bagi setiap orang adalah 10 saat, tetapi menghadapi masalah apabila mesin tidak dapat mengesannya.

"Dengan dakwat kekal, anda hanya perlu celup jari dalam dakwat," katanya.

Beliau juga berkata sistem biometrik "sangat mahal" dan memerlukan sekurang-kurangnya tujuh bulan.

Abdul Aziz juga menafikan dakwaan timbalannya, Datuk Wan timbalan Ahmad Wan Omar bahawa dakwat kekal boleh digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menandakan pengundi naif supaya mereka hilang kelayakan untuk mengundi.

PAS dakwa ramai lagi anggota tentera akan tampil

Posted: 24 Aug 2011 11:06 PM PDT

Abdul Rahim Sabri


Susulan pendedahan empat bekas anggota tentera yang mendakwa telah menanda ribuan kertas undi pos dalam pilihan raya sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa lebih ramai bekas anggota itu akan tampil membuat pengakuan yang sama.

johor pas chief suhaizan kaiatPengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Suhaizan Kaiat berkata berdasarkan maklum balas yang diterimanya, ramai bekas anggota tentera menghubunginya untuk membuat pengakuan tersebut.

"Setiap kali ceramah, ada (bekas tentera) yang mengaku bahawa dia terlibat. Mereka terdiri daripada dua kategori.

"Pertama, mereka yang memangkah iaitu anggota tentera yang membuat kerja-kerja yang dilakukan oleh empat orang tersebut.

"Satu lagi, mereka yang tidak berpuas hati,kerana mereka beberapa kali tidak dapat mengundi. walhal, nama mereka ada dalam daftar pemilih," katanya dalam satu sidang media.

Bagaimanapun, sehari selepas pendedahan itu dibuat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan manipulasi undi pos yang dibuat oleh empat bekas anggotanya.

NONEPanglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bagaimanapun dilaporkan tidak menyalahkan bekas anggota berkenaan yang didakwanya "mungkin telah dipergunakan sebagai alat."

Beliau dilapor menyalahkan Pemuda PAS dan mencabar mereka mengemukakan bukti untuk mengukuhkan dakwaan berkenaan.

Mengulas cabaran Zulkifeli itu, Suhaizan berkata pihaknya akan menunjukkan bukti dan data untuk membuktikan dakwaan mereka selepas sambutan Hari Raya Aildilfitri.

"Apa yang kita jumpa di Bagan Pinang, di Sibu... Ini kita akan keluar satu per satu untuk menyatakan ini bukti-bukti bahawa ada manipulasi dalam undi pos," katanya.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS akan "mengumpulkan lebih ramai" untuk membuktikan dakwaan mereka "benar-benar berlaku".

azlan"Perkara ini, bukan satu atau dua orang berkata, tapi begitu ramai (bekas) anggota tentera yang menyatakan perkara ini," katanya.

Suhaizan yang juga ketua Pemuda PAS Johor berkata pihaknya akan terus memperjuangkan reformasi undi pos sekiranya tidak ada usaha dibuat ke arah itu.

Ditanya sama ada Zulkifeli patut mengeluarkan kenyataan tersebut, Suhaizan berkata perkara tersebut sepatutnya dijawab oleh menteri yang terlibat dan SPR.

"Kita khuatir bila panglima respons, ia akan mencetuskan berpihak. Itu yang kita khuatir," katanya.

'Dakwaan boleh sebabkan menteri S'gor terasa hati'

Posted: 24 Aug 2011 11:02 PM PDT

Abdul Rahim Sabri


Dakwaan Dr Mohd Khir Toyo bahawa tiga menteri kabinet mahukan beliau dipenjarakan untuk membolehkan BN merampas semula Selangor, boleh menyebabkan menteri dari Selangor terasa hati, kata ketua penerangan Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus.

Selangor Umno Youth Mob Karpal Singh Abdul Syukur Idrus 050309 05"Kesan dakwaan itu (bahawa) ada tiga menteri (yang dimaksudkan). Ada (seorang) menteri di Selangor barangkali terasa hati, dan dua lagi yang lain, saya tak tahu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menteri kabinet dari Selangor ialah Datuk Seri Noh Omar yang kini memegang protfolio menteri pertanian dan industri asas tani.

Beliau adalah ahli parlimen Tanjong Karang dan juga timbalan ketua badan perhubungan Umno Selangor yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sepatutnya Dr Seri Khir Toyo tidak segera melatah dengan mengeluarkan kenyataan yang belum tentu kesahihannya," kata Abdul Syukur yang juga ketua Umno Selayang.

Malah, katanya, dakwaan Dr Mohd Khir dalam blognya semalam, boleh menimbulkan "kekusutan terhadap perkara yang dilihat kembali tenang".

"Umno dan BN nampak begitu mantap untuk kembali menguasai negeri-negeri yang kita kalah," katanya.

NONEAbdul Syukur mengulas pendedahan Dr Mohd Khir Toyo mendakwa tiga menteri persekutuan dalam jemaah menteri sekarang sedang berkonspirasi bagi beliau dikenakan hukuman penjara atas tuduhan rasuah.

Dalam blognya semalam, Dr Khir dilapor berkata beliau tidak akan mendedahkan nama menteri-menteri berkenaan kerana tidak mendapat bukti yang sahih sungguhpun mendakwa beberapa sumbernya sangat boleh dipercayai.

Mengulas lanjut, Abdul Shukur yang juga ADUN Kuang berkata dakwaan Dr Mohd Khir "sesuatu yang memeranjatkannya dan beliau tidak mengetahui kesahihan perkara tersebut".

Sehubungan itu, beliau "tidak nampak" dengan memenjarakan Dr Mohd Khir akan membolehkan BN menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

"Itu satu pandangan yang jumud dan mendahului kuasa Tuhan. Menang atau kalah dalam pilihan raya, tertakluk kepada prestasi sebagai pemimpin dan kerajaan sebelum ini.

"Ia tidak menjejaskan Umno Selangor, kerana kita mempunyai satu keazaman untuk mengembalikan kuasa kepada BN," katanya.

Menurutnya lagi, rakyat akan memilih calon dan parti yang lebih berketrampilan serta menunjukkan prestasi yang boleh menjamin masa depan rakyat pada masa akan datang.

Ditanya sama ada pemimpin Umno yang lain akan mempercayai dakwaan Dr Mohd Khir, Abdul Sykur berkata beliau tidak tahu sama ada mereka mempercayainya.

"Beliau (Dr Mohd Khir) bos saya dulu, saya bersimpati atas apa yang berlaku kepadanya. Tetapi kepentingan parti perlu didahulukan," katanya.

Sementara itu, ketua pembangkang DUN Selangor Datuk Mohamad Satim Diman berkata dakwaan Dr Mohd Khir itu "tidak ada kena mengena dengan Umno Selangor".

"Sebaliknya ia merupakan masalah peribadinya. Dalam Umno Selangor kita bersatu, banyak program kita buat, PM pun turun. Kita tidak ada masalah," katanya.

Mohamad Satim yang merupakan ADUN Sri Serdang dan bekas setiausaha Umno negeri Selangor berkata beliau tidak tahu mengenai dakwaan bekas menteri besar Selangor itu.

Manakala ADUN Sementa Datuk Abdul Rahman Palil - yang pernah bertugas sebagai exco sewaktu pentadbiran Dr Mohd Khir - juga enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut.

"Saya tidak mahu komen, semua itu kawan-kawan saya. Saya kira tidak elok," katanya.

Undi pos liputi rakyat M'sia di luar negara

Posted: 24 Aug 2011 11:01 PM PDT

Aidila Razak


Semua pengundi berdaftar Malaysia yang menetap di luar negara akan dapat mengundi melalui pos tidak lama lagi.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof, berharap ini dapat dilakukan dalam pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, SPR sedang dalam proses meminda peraturan pilihan raya untuk membolehkan mereka berbuat demikian.

Perubahan dalam peraturan pilihan raya ini akan memperluaskan lagi undi pos yang kini hanya untuk penjawat awam dan pelajar sepenuh masa dan pasangan mereka.

Panel khas: Pakatan tuntut jaminan Najib PRU hanya selepas pembaharuan

Posted: 24 Aug 2011 10:49 PM PDT

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat hari ini sepakat menuntut Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan pilihan raya umum ke-13 hanya akan diadakan selepas syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen dilaksanakan.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, barisan kepimpinan tertinggi perikatan itut akan mempertimbangkan cadangan sama ada mahu menyertai jawatankuasa khas itu ataupun tidak selepas Perdana Menteri memberi jaminan.

Jelas beliau, pendirian rasmi Pakatan Rakyat berhubung perkara itu akan dimuktamadkan bulan depan.

"Kita telah bincang isu jawatankuasa Parlimen ini walaupun keputusan muktamad belum dibuat kerana ia tertakluk kepada penjelasan Perdana Menteri.

"Mengikut undang-undang tiada sebarang masalah untuk SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) mengambil tindakan segera, kalau isu pembersihan daftar pemilih, ketelusan dan memastikan perjalanan pilihan raya bersih tidak perlu tunggu jawatankuasa ini, SPR boleh laksanakan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di sini.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat tidak memboikot pembentukan jawatankuasa itu tetapi mahukan komitmen daripada Najib untuk melakukan pembaharuan sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Kerajaan perlu pastikan pilihan raya umum ke-13 (hanya) akan diadakan selepas jawatankuasa selesai bersidang dan menggunakan cadangan pembaharuan," katanya.

Minggu lalu Najib berkata, pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan pbila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) juga menggesa pilihan raya umum ke-13 tidak wajar diadakan selagi syor-syor jawatankuasa pilihan khas Parlimen berkaitan sistem pilihan raya tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Sehubungan itu, Anwar menambah, tiada sebab untuk kerajaan tidak boleh melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya.

Beliau berkata SPR perlu memastikan cadangan yang dikemukakan jawatankuasa khas itu perlu dilaksanakan dalam pilihan raya umum ke-13.

"Tiada sebab untuk SPR tidak bertindak dengan bersih jujur dan amanah," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga berkata pihaknya juga mahu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk meneliti isu warga asing bertukar status kepada warganegara dalam tempoh yang singkat.

Minggu lalu Pakatan Rakyat telah memberikan tempoh tujuh hari kepada Najib untuk mengadakan inkuiri awam dalam isu itu.

"Inisiatif Ahli Parlimen yang dipimpin Salahuddin Ayub menuntut Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) mengambil tindakan segera untuk menjelaskan isu yang melibatkan keselamatan negara iaitu kewarganegaraan segera.

"Sehingga kini masih tiada penjelasan mengenai perkara itu dan kita setuju supaya suruhanjaya siasatan diraja dibentuk dalam isu warga asing ini," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang pula berkata, pembentukan jawatankuasa khas itu tidak bermakna sekiranya cadangan yang dikemukakan tidak dilaksanakan.

"Kalau kerajaan tak terima keputusan jawatankuasa ini buat apa nak tubuhkan jawatankuasa ini.

"Perdana Menteri perlu beri satu jaminan dan komited untuk laksanakan pembaharuan sistem pilihan raya," katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata empat tuntutan awal Bersih 2.0 termasuk penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen dan daftar pemilih.

"Dulu SPR kata tiada kuasa tapi sekarang kata ada kuasa, sebenarnya mereka ada kuasa terutamanya dakwat kekal, tempoh berkempen dan pembersihan daftar pemilih dan kita harap SPR bersungguh dalam perkara ini.

"Semua ini SPR boleh lakukan kalau SPR mahu," katanya.

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan dibentuk rangka kerjanya berdasarkan lapan tuntutan Bersih 2.0.

Tiada ulasan: