Rabu, 10 Ogos 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


'Monopoli media arus perdana telah dipecahkan'

Posted: 10 Aug 2011 08:39 AM PDT

MALAYSIA KINI


Pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abd Ghapa Harun berkata penggerak media arus perdana juga perlu mengikis perasaan bahawa mereka masih kuasa dalam memonopoli penyebaran maklumat sedangkan pada hakikatnya monopoli itu telah lama dipecahkan.

"Jadi, yang penting bagi kerajaan kalau berhadapan dengan sesuatu isu, yang pertama mestilah ada ketelusan dalam mengeluarkan maklumat yang berkaitan dengan sesuatu isu kerana kalau maklumat yang dikeluarkan itu betul, maka ini akan menanamkan kepercayaan masyarakat kepada saluran media yang digunakan oleh pihak kerajaan.

"Untuk melawan media alternatif, peningkatan integriti di pihak media arus perdana perlu dilaksanakan sebab mereka kena terima hakikat dalam konteks media hari ini, akhbar-akhbar arus perdana seolah-olah menghadapi krisis kepercayaan atau integriti dan keadaan inilah yang menyuburkan perkembangan media alternatif," katanya kepada Bernama.

NONEAbd Ghapa mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa pembangkang menggunakan media baru untuk menghasut rakyat mengambil bahagian dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang demi keuntungan politik mereka walaupun pada hakikatnya berita yang dipaparkan tidak benar.

Hishammuddin berkata kerajaan juga sukar menerangkan keadaan sebenar mengenai perhimpunan haram 9 Julai lepas walaupun pelbagai saluran media sedia ada digunakan berikutan meluasnya penggunaan media baru oleh pembangkang.

Abd Ghapa berkata beliau yakin penekanan tahap integriti yang tinggi di kalangan media arus perdana secara serius oleh kerajaan dengan sendirinya boleh melemahkan kepercayaan rakyat terhadap maklumat di dalam media alternatif.

Katanya jika hendak dibandingkan maklumat yang dipaparkan media alternatif di dalam dunia siber dengan media arus perdana, sebahagian besar kandungan berita media alternatif boleh dipersoalkan intergritinya.

"Jadi, media arus perdana harus ke depan dalam proses menggerakkan integriti dan kukuhkan semula kepercayaan rakyat pada media perdana. Dengan cara ini secara perlahan kepercayaan rakyat akan kembali kepada media arus perdana," katanya.

"Pihak kerajaan tidak lagi dapat menggunakan undang-undang dalam mengekang kemaraan dan pengaruh media alternatif di dunia siber, jadi satu kaedah yang boleh diberi tumpuan ialah dengan membangunkan media yang berintegriti," katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Perkembangan Minda (INMIND) Norizan Sharif berkata pendekatan konvensional menjawab tohmahan atau menangani isu menerusi akhbar, televisyen dan radio tidak lagi berkesan bagi kerajaan terutama dalam menghadapi serangan Pakatan Rakyat yang lebih proaktif menerokai dunia siber, menurut dua cendekiawan tempatan hari ini.

Katanya, kerajaan harus mempertingkatkan kehadiran mereka di internet, khususnya dengan menguasai media baru seperti 'Facebook dan 'Twitter' yang kini cukup dekat di hati rakyat, khususnya generasi muda.

azlan"Kerajaan kena respons kepada media (baru), sekarang tidak respons... kerajaan tak jawab, dalam politik boleh tuduh apa sahaja, jika tak jawab orang anggap ia benar.

"(Ketika ini) Kita tidak nampak kerajaan jawab dalam Facebook, kita tidak nampak inisiatif untuk jawab dalam blog dan Twitter. Kita boleh bandingkan berapa ramai MP (Anggota Parlimen) pembangkang ada dalam Twitter tetapi bagi pihak kerajaan, jumlahnya boleh dibilang dengan jari," katanya .

Norizan, yang turut menulis blog berkata ketiadaan kerajaan melibatkan diri dalam media sosial telah mewujudkan 'kecacatan' di pihak kerajaan hinggakan isu-isu berbangkit berkaitan perhimpunan haram sukar dijawab dan diperjelas.

Akibatnya, rakyat mudah menerima apa saja yang dimomokkan oleh pembangkang menerusi media alternatif, katanya.

"Banyak isu yang ditimbulkan tidak dijawab. Bila begitu orang akan anggap semua dakwaan itu betul. Kerajaan tak boleh berdiam diri, kalau orang 'bantai' kita di Facebook atau di Twitter, kita kena jawab melalui media itu juga, ini baru betul.

"Pendekatan menjawab melalui media apabila ditanya wartawan boleh dianggap sebagai kurang berkesan, sepatutnya kerajaan tidak perlu tunggu, jika mereka mesra media seperti Facebook dan Twitter, mereka boleh terus respons terhadap sesuatu isu dengan pantas, ini komunikasi terkini," katanya.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar kerajaan menggiatkan usaha memuat naik setiap pengumuman atau berita baik ke laman You Tube kerana kajian mendapati sebahagian daripada masa anak-anak muda dihabiskan dengan melayari internet.

Puteri Umno Sabah: P'raya umum tak lama lagi

Posted: 10 Aug 2011 08:38 AM PDT

BERNAMA


Andaian Puteri Umno Sabah bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi digunakan sebagai motivasi untuk mempersiapkan semua bilik gerakannya, kata ketuanya Musliati Moslimin.

Kini, semua bilik gerakan Puteri Umno di 25 bahagian di negeri ini bersedia menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa, katanya.

"Saya berani katakan Puteri Umno Sabah sudah bersedia menghadapi pilihan raya kerana saya sendiri telah melawat dan melihat proses persediaan semua bilik gerakan Puteri daripada segi maklumat pengundi, jumlah pengundi dan jentera yang akan digerakkan untuk berkempen.

"Kami membuat andaian pilihan raya akan diadakan pada tahun ini dan ini digunakan sebagai motivasi untuk memastikan semua persediaan dibuat sebelum pertengahan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan berbuka puasa di Kota Kinabalu malam tadi.

Musliati berkata Puteri Sabah juga sedang memperhebatkan usaha mendaftarkan rakyat yang layak mengundi sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini termasuk membuka kaunter pendaftaran di lokasi strategik, terutama di kawasan pedalaman bagi memberi kemudahan kepada rakyat untuk mendaftar, katanya.

"Kami mendapati kebanyakan belia mempunyai sikap malas untuk ke pejabat pos atau pejabat daerah untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi apabila mencapai umur 21 tahun. Kaunter-kaunter ini juga penting di kawasan pedalaman kerana ramai rakyat di sana sukar untuk pergi ke tempat mendaftar kerana masalah pengangkutan," jelasnya.

Musliati berkata Puteri Sabah, yang mempunyai jumlah ahli tertinggi berbanding negeri lain dengan 45,538 orang sehingga akhir bulan lepas, giat mendaftarkan lebih 13,000 ahlinya, yang dikenal pasti belum menjadi pengundi berdaftar sehingga 31 Dis tahun lalu.


Protes EO di Ipoh: Seorang peserta ditahan

Posted: 10 Aug 2011 08:35 AM PDT

Kuek Ser Kuang Keng


Protes PKR Perak di hadapan sebuah balai polis daerah di Ipoh pagi ini menyaksikan seorang pesertanya ditahan.

perak eo sit in protest 100811 02Dalam protes bermula jam 9 pagi itu kira-kira 30 orang duduk di hadapan balai berkenaan sebagai tanda membantah penahanan seorang remaja berusia 20 tahun yang ditangkap mengikut Ordinan Darurat (EO).

Mereka yang mengambil bahagian dalam protes ini termasuk ahli parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj dari PSM yang baru dibebaskan bulan lalu daripada tahanan EO; ADUN Teja Chang Lih Kang; dan ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai.

S Nagenteran, seorang pembantu Jeyakumar dikatakan ditangkap ketika meninggalkan protes itu pada jam 10 pagi apabila dia ditahan oleh polis trafik berhampiran Ipoh Padang dan dibawa ke sebuah balai polis.

perak eo sit in protest 100811 car sticker"Kami tidak pasti mengapa dia ditahan tetapi kami syaki kerana terdapat pelekat di keretanya yang menuntut pembebasan PSM6," kata Chang yang dalam perjalanan ke balai polis ketika dihubungi.

Beliau kemudian menulis di tweeter: 'Nagen telah dibebaskan, bersama keretanya. Nasib baik mereka tidak tahan keretanya di bawah EO!'

'PSM6' merujuk kepada enam aktivis yang ditahan selama 28 hari sebelum mereka dibebaskan pada 29 Julai lalu.

Bonus minimum RM600 bagi k'tangan awam P Pinang

Posted: 10 Aug 2011 08:34 AM PDT

Susan Loone


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengumumkan pemberian bonus minimum RM600 untuk kakitangan awan negeri itu.

Kira-kira 7,800 kakitangan awam daripada badan berkanun, majlis tempatan dan jabatan kerajaan di Pulau Pinang, akan menerima bonus tersebut.

NONELim berkata guru Kafa (al-Quran dan Fardhu Ain) pula akan dibayar minimum RM300 duit raya.

Menurutnya, jumlah tersebut adalah bersamaan dengan setengah bulan bonus bagi mereka yang berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan. (Mereka yang bergaji lebih, akan mendapatkan bonus yang lebih tinggi.)

Kerajaan negeri itu akan membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk bayaran bonus, kata Lim, yang juga setiausaha agung DAP.

Ini berikutan pengumuman kerajaan persekutuan dua hari lalu bahawa kakitangan awam akan mendapat minimum RM500 'duit raya'.

"Kita bagi tambahan RM100," kata Lim dalam sidang akhbar hari ini.

"Ini sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada kakitangan awam dan guru Kafa," katanya.

Pengundi hantu: SPR tolak kepada JPN

Posted: 10 Aug 2011 08:20 AM PDT

Kuek Ser Kuang Keng


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan kononnya terdapat tiga 'pengundi hantu' dalam daftar pemilihnya seperti yang didedahkan baru-baru ini.

Sebaliknya, SPR berkata pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) - di mana suruhanjaya itu bergantung ketika mendaftar pengundi, - telah memasukkan butiran ketiga-tiga pengundi berkenaan.

NONEWalau bagaimanapun, suruhanjaya itu gagal menjelaskan mengapa laman web JPN tidak menunjukkan keputusan carian bagi ketiga-tiga mereka apabila semakan dibuat.

"Kami baru semak melalui sistem ALIS (Agency, link-Up System) JPN. Kami mempunyai semua butiran bersama-sama dengan gambar (tiga pengundi)," kata pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof (kiri) dalam satu SMS.

Ditanya mengenai perbezaan maklumat dengan laman web JPN, Abdul Aziz menasihati wartawan Malaysiakini untuk mendapatkan jawapan tersebut daripada JPN.

ALIS adalah pangkalan data yang digunakan oleh SPR bagi mendaftarkan pengundi dan mengesahkan identiti mereka yang berpotensi menjadi pengundi.

JPN juga mengendalikan sebuah laman web yang membolehkan orang ramai menyemak status dokumen pengenalan dengan memasukkan nombor pengenalan mereka.

Sebelum ini, berdasarkan maklumat pembaca, Malaysiakini membuat semakan ke atas tiga nama yang dikatakan sebagai pengundi yang layak dalam daftar pemilih di sistem pengesahan di laman SPR, tetapi tidak dapat mengesan butiran mereka di laman web JPN.

Mereka adalah Farhana binti Abdul Rashid (MyKad: 840505715012), Basri Buru bin Alimin (Mykad: 250622715425) and Soessje Scwanne Jetty Silvana Groeneveld (Mykad: 380424715016).

azlanDalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz mengakui bahawa pendaftaran pengundi yang bernama 'Kg Baru' adalah satu kesilapan, dan bahawa SPR telah memperbetulkan kesilapan itu berikutan laporan Malaysiakini semalam.

"Rekod itu telah dipinda - nama (individu) berkenaan ialah Noraini binti Abdullah," katanya.

Semakan melalui sistem pengesahan dalam talian SPR juga mengesahkan perkara itu.

MP DAP kecam kementerian biar polis ambil alih siasatan

Posted: 10 Aug 2011 08:19 AM PDT

Lee Long Hui


Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua mengecam apa yang didakwanya "sikap tidak bertanggungjawab" Kementerian Kesihatan kerana membenarkan siasatan dakwaan gas pemedih mata dan meriam air ditembak ke dalam perkarangan Hospital Tung Shin pada 9 Julai, diambilalih oleh pihak polis.

Beliau memberitahu pemberita selepas memberi kenyataan di ibupejabat polis daerah Petaling Jaya hari ini berhubung kejadian itu.

tear gas fire at tung shin hospital 090711 3Pua mendakwa telah menyaksikan sendiri polis menembak gas pemedih mata
dan meriam air ke dalam perkarangan hospital berkenaan semasa perhimpunan BERSIH 2.0 menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis selepas beliau menawarkan diri untuk membantu Kementerian Kesihatan dengan siasatan terhadap insiden 9 Julai itu.

Pua memetik pegawai penyiasat 'ASP Marzukhi' sebagai mengesahkan dengannya bahawa Bukit Aman telah mengambil alih siasatan terhadap insiden di Hospital Tung Shin itu.

"Kementerian Kesihatan mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan hospital tersebut... Ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau perlu menjelaskan perkara ini," kata Pua kepada pemberita.

Jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan bulan lepas untuk menyiasat apa yang berlaku di hospital berkenaan, tetapi sehingga ini, hasil siasatannya masih belum diumumkan.

Menurut laporan berita sebelum ini, Liow berkata jawatankuasa itu akan memberi
tumpuan kepada siasatan terhadap doktor dan pesakit hospital berkenaan ketika insiden itu berlaku, dan membiarkan polis menyiasat dari segi pihak awam untuk mengelakkan pertindihan.

NONEKetua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Ku Chin Wah mengumumkan pihak polis akan menubuhkan dua pasukan khas, untuk menyiasat perkara yang sama, dua hari selepas pengumuman oleh kementerian berkenaan.

Pua serta dua lagi ahli parlimen DAP - Teo Nie Ching (Serdang) dan Liew Chin Tong (Bukit Bendera) - dan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang CM Lim Guan Eng - Zairil Khir Johari - telah menawarkan diri untuk memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, Pua menerima surat dari sekretariat jawatankuasa itu Jumaat lepas, yang menyatakan bahawa ia telah meminta polis menghubungi mereka untuk memberi kenyataan.

Menurut Pua, ASP Marzukhi memberitahunya bahawa siasatan hampir selesai, tetapi pegawai polis itu menyatakan hasil penyiasatan tersebut.

PAS: 'Serbu gereja' bagi tenggelamkan 'masalah' SPR

Posted: 10 Aug 2011 05:27 AM PDT

MALAYSIA KINI


Kira-kira 20 orang yang mendakwa mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi di depan pagar Bangunan SUK di Shah Alam, pagi ini.

Kumpulan itu menggelarkan diri mereka Pemuafakatan Waris Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak).

Sambil memakai topeng Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kerajaan negeri, Datuk Hasan Ali dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mereka membawa mangkuk tandas, penyapu lidi, berus pencuci tandas dan pencuci lantai.

Demonstrasi itu diadakan sebagai sokongan kepada tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu selepas mendakwa terdapat gerakan bagi memurtadkan umat Islam di negeri itu.

Menurut Bernama, setiausaha Warisan, Zulkifli Shariff, mendakwa mereka tersinggung dan terhina dengan telatah "kebudak-budakan" Abdul Khalid yang tanpa menunggu penjelasan dari JAIS memohon maaf atas serbuan itu.

Kumpulan kecil itu menunjuk perasaan dari pukul 10 pagi dan bersurai kira-kira 20 minit kemudian setelah diarah pihak polis yang bertugas mengawal keadaan.

pas muktamar 130610 idris ahmadSementara itu, PAS mendakwa isu berkenaan sengaja ditimbulkan bagi menenggelamkan isu yang cukup berbahaya kepada negara iaitu kontroversi MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR.

Menurut ahli jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad (kiri), setakat ini jawapan yang diberikan oleh SPR "diketawakan oleh orang pekak dan buta" manakala media perdana milik Umno dan BN cuba menimbus isu pendaftaran ini.

"Pemimpin Umno dan NGO Umno macam dilanda histeria mengenai isu ini (serbuan JAIS ke atas gereja). Kononnya merekalah pembela agama. PAS istiqamah dan konsisten menentang isu murtad di negara ini.

"Di mana suara Umno dan Utusan ketika isu Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin dan lain lagi? Sejarah telah mencatatkan berlaku penangkapan ISA terhadap pemimpin pemuda PAS dalam operasi lalang 1987 kerana isu Kristianisasi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, PAS juga telah membuat keputusan untuk bertemu secara langsung dengan pihak JAIS dan juga gereja untuk mendapat gambaran sebenar.

azlan"Negara kita ada undang-undang, siapa yang bersalah akan dihukum. Media bukan gelanggang untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Dalam nada menyindir Idris berkata beliau berharap pemimpin dan media Umno menyedari bahayanya murtad dan tidak menjadikannya isu politik.

"Tahniahlah kepada pemimpin Umno dan media Umno kerana baru sedar bahayanya murtad. Kita harapkan janganlah kerana politik semata-mata.

"Samalah ketika isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam Umno menjadi juara. Tetapi dalam masa yang sama menentang hukum Allah dan menyekat ajaran Allah diajar di dalam surau dan masjid. Pelik juga Umno, nama Allah dipertahan, hukum Allah dia lawan.," katanya.

azlanIdris juga mempersoalkan mengapa Umno diam membisu apabila MCA merancang untuk menyaman kerajaan Kelantan pimpinan PAS kerana mengharamkan perjudian di negeri itu.

"Sepatutnya kalau Umno pejuang Islam kena nasihatlah rakan sejawat mereka. Sudah 54 tahun berkawan pun Umno tidak boleh dakwah, bahawa judi itu bahaya pada masyarakat," kata Idris lagi.

Suresh didakwa beri keterangan palsu

Posted: 10 Aug 2011 04:27 AM PDT

BERNAMA


U Suresh, saksi pendakwaan dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes itu pada Julai lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.

Suresh, 27, pekerja ladang, didakwa telah memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan N.Pathmanabhan, T.Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, sedangkan keterangan yang dia berikan kepada pegawai perakam, ASP Ong Seng Keong pada 26 Okt 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, adalah berbeza.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari 25 dan 27 Julai lepas di Mahkamah Tinggi 8 Shah Alam.

Suresh didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azami Mohamad Nor yang mengendalikan pendakwaan berkata isu jaminan tidak timbul memandangkan tertuduh sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Peguam Avtar Singh Dhaliwal yang mewakili Suresh bagaimanapun berkata Seksyen 193 Kanun Keseksaan ialah kesalahan yang boleh dijamin dan justeru anak guamnya berhak untuk diikatjamin.

Beliau berkata tambahan pula, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 24 Ogos ini untuk mendengar permohonan Suresh bagi kebenaran untuk merayu terhadap penambahan tempoh hukuman penjara yang sedang dijalaninya.

"Dia juga kini seorang saksi dalam kes pembunuhan Sosilawati dan perbicaraan ituedang berjalan, oleh itu jaminan perlu diberikan," katanya.

Nur Azimul berkata walaupun Seksyen 193 adalah kesalahan yang boleh dijamin tetapi tertuduh telah didakwa sebelum ini bagi kesalahan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

"Tetapi jika tertuduh dibenar diikatjamin, pohon jaminan yang tinggi iaitu RM100,000 sebab kesalahan tertuduh ialah di mana terdapat 22 percanggahan dalam keterangannya di mahkamah," katanya.

"Itu tidak ada kaitan dengan permohonan jaminan ini. Kalau permohonan anak guam saya di Mahkamah Rayuan dibenarkan, dia akan dihadapkan semula di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, untuk diambil pengakuan baru dan kami berpendapat jaminan RM5,000 ke RM10,000 adalah wajar," kata Dhaliwal yang turut dibantu peguam Devinder Kaur Dhaliwal.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani yang turut mewakili pendakwaan menjelaskan bahawa permohonan Suresh di Mahkamah Rayuan hanya untuk kebenaran merayu terhadap hukuman dan bukan pendengaran untuk peringanan hukuman.

Nur Azimul pula menambah tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan kes pembunuhan keempat-empat mangsa dan keterangannya boleh memberi kesan besar pada kes itu.

Setelah mendengar hujahan dari kedua-dua pihak, Mohamed Mokhzani membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 3 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Suresh merupakan saksi ke-29 pendakwaan dalam perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan Thilaiyagan, 20; Matan, 21; serta Khatavarayan, 31; ketiga-tiganya pekerja ladang, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pada 15 Oktober 2010, Suresh dan seorang lagi pekerja ladang K.Sarawanan, 20, masing-masing dijatuhi hukuman penjara berjumlah 28 tahun selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan itu.

Majistret Hurmain Hussain mengarahkan hukuman berjalan serentak, yang bererti Sarawanan dan Suresh masing-masing akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun selepas tarikh mereka ditangkap pada 9 September 2010.

Namun, pada 21 Februari tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohtaruddin Baki, dalam melaksanakan kuasanya di bawah Kanun Acara Jenayah (CPC) untuk menyemak keputusan mahkamah rendah, mengurangkan hukuman penjara ke lima tahun bagi setiap pertuduhan, tetapi memerintahkan ia berjalan secara berturut-turut.


JAIS bertanggungjawab hantar laporan - MB

Posted: 10 Aug 2011 04:16 AM PDT

Salhan K Ahmad


Menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertanggungjawab untuk memberi laporan kepada kerajaan negeri berhubung serbuannya ke atas premis milik sebuah gereja minggu lalu.

Khalid menjelaskan, secara prinsip, JAIS merupakan satu jabatan di dalam pentadbiran negeri manakala ketua bagi agama Islam merupakan Sultan Selangor.

"Tapi JAIS perlu menjalankan aktivitinya dalam ruang lintup enakmen Selangor, berhubung (hal ehwal) agama," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tegasnya, enakmen berkenaan membolehkan JAIS melaporkan kepada kerajaan negeri.

"Sebab itu kerajaan negeri memberi arahan kepada mereka untuk mendapatkan laporan terperinci," katanya lagi.

Laporan berkenaan setakat ini masih belum diperolehi kerajaan negeri kerana JAIS masih berdepan masalah untuk mendapatkan keterangan daripada 12 orang Islam yang diperiksa dalam operasi berkenaan.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menerima surat daripada peguam yang mewakili 12 orang berkenaan.

"(Surat berkenaan) menjelaskan tanggungjawab mereka dalam memanggil 12 orang yang ingin ditemui JAIS," kata Khalid lagi yang menjangkakan laporan terperinci akan dapat diperolehi "sebelum habis hari raya."

"Kerajaan negeri menyerahkan kepada penasihat undang-undang JAIS untuk memberi nasihat yang sepatutnya dalam hal ini," katanya lagi.

Ditanya sejauh manakah kesediaan JAIS untuk menyerahkan laporan berkenaan, Khalid berkata soalan berkenaan sepatutnya diajukan kepada jabatan itu sendiri.

Khalid turut meminta media supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung kontroversi yang timbul ekoran tindakan JAIS yang menjalankan pemeriksaan ke atas Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos lalu.

Najib gagal uruskan ekonomi

Posted: 10 Aug 2011 04:13 AM PDT

Rafizi Ramli


Angka-angka ekonomi terkini yang baru diumumkan membayangkan ekonomi negara akan terus malap; selain dari kerugian ratusan bilion ringgit yang dialami pelabur di Bursa Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu.

Keputusan agensi pelaburan dan penganalisa pasaran memotong unjuran pertumbuhan ekonomi negara di bawah paras 5% bagi tahun 2011 menjadi tanda-tanda bahawa dasar dan inisiatif ekonomi yang menjadi tonggak pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak (seperti Program Transformasi Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Ekonomi Baru) telah gagal sejak dari awal-awal lagi.

Jika prestasi ekonomi terus malap seperti yang diunjurkan, Program Transformasi Ekonomi akan gagal sebelum memasuki tahun kedua kerana ia mensasarkan pertumbuhan ekonomi 6% setahun untuk mencapai sasaran Pendapatan Kasar Kebangsaan (GNI) per kapita sebanyak RM48,000 menjelang 2020 yang diwar-warkan. Pertumbuhan ekonomi tahunan di bawah angka 5% setahun bermakna Program Transformasi Ekonomi telah gagal menarik minat pelabur walhal kerajaan menumpukan sepenuh tenaga, fokus dan jentera kerajaan untuk mempromosikannya. Jika ia gagal menarik perhatian dalam tahun pertama dan di kemuncak promosinya, bayangkan keadaannya 2-3 tahun akan datang.

Prospek yang malap ini akan diburukkan lagi dengan keadaan tidak menentu yang dialami Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Pakar ekonomi dunia sependapat bahawa krisis hutang di Eropah akan mengheret 3 ekonomi terbesarnya iaitu Itali, Perancis dan Jerman ke kancah kekalutan ekonomi seperti yang dialami oleh negara-negara Eropah lain. Jika ini berlaku, prestasi ekonomi Malaysia akan turut terkesan dan memburukkan lagi angka pertumbuhan ekonomi tahun-tahun akan datang.

Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu menerima hakikat bahawa pentadbiran beliau telah gagal mencapai sasaran pelaburan swasta yang ditetapkannya sendiri dan diumumkan sebagai strategi utama beliau menghidupkan kembali pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sebelum ini, PEMANDU dengan gah mengumumkan bahawa 92% daripada dana untuk melaksanakan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi bernilai ratusan bilion ringgit akan dibiayai swasta.

Namun, sumber dana untuk membiayai projek-projek utama yang diumumkan masih diselubungi rahsia. Setakat ini, 77% daripada 10 projek terbesar yang diumumkan di bawah Program Transformasi Ekonomi akan dilaksanakan dan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Analisis 10 projek terbesar seperti berikut akan membuktikan bahawa pentadbiran sekarang masih menggunakan kaedah pergantungan kepada wang rakyat untuk mewujudkan peluang ekonomi, tetapi kini ia disalurkan melalui GLC:

PROJEK TERBESAR ETP

PELABURAN DIUMUMKAN

(RM BILLION)

GLC/BUKAN GLC

Pembangunan kompleks loji penapisan dan petrokimia (RAPID) di Johor

60.0

GLC (PETRONAS)

MRT (kos pelaburan tidak termasuk kos tanah dan koc/kenderaan)

36.6

GLC

(sebuah syarikat khas ditubuhkan)

Pembangunan minyak dan gas di lapangan Tapis dan lapangan Teluk (dijadualkan bermula 2013)

10.0

GLC

(PETRONAS & ExxonMobil, pelaburan semula kekayaan minyak negara)

Pembangunan Karambunai Integrated Resort City

9.6

Bukan GLC

Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) untuk membangunkan kedai-kedai runcit

5.43

Tidak diketahui

Program pelaburan baru Shell Malaysia (menaiktaraf dan membina loji baru termasuk membabitkan kompleks Shell Middle Distillates, kompleks Port Dickson dan pembangunan lapangan Gumusut)

5.1

GLC

(PETRONAS & Shell, pelaburan semula kekayaan minyak negara)

Pembangunan terminal petroleum laut dalam di Johor

5.1

Dialog Group

(syarikat swasta dengan pegangan saham yang besar oleh badan berkaitan kerajaan)

3 loji penjanaan elektrik yang baru, 2 loji penjanaan hidro-elektrik, 1 loji penjanaan elektrik arang batu dan pelaburan dalam infrastruktur transmisi

4.0

GLC

(TNB)

Pembangunan kompleks petroleum dan lojistik di Tanjong Agas, Pekan, Pahang

3.0

GLC

(di bawah Koridor Ekonomi Pantai Timur)

Pembangunan MINES Wellness City

3.0

Bukan GLC

Setakat ini, 10 projek terbesar di bawah Program Transformasi Ekonomi menelan pelaburan RM142 bilion, iaitu 82% daripada keseluruhan pelaburan projek-projek yang telah diumumkan berjumlah RM173 bilion. Hakikatnya, 77% daripada 10 projek terbesar di bawah pelan ekonomi Dato' Seri Najib Tun Razak sebenarnya menggunakan dana awam melalui GLC dan membuktikan bahawa sasaran 92% pembiayaan swasta itu tidak lebih dari angka-angka untuk kempen politik yang sudah tentu tidak akan dicapai.

Prestasi 3 penanda aras ekonomi yang paling utama (iaitu kekalutan di Bursa Kuala Lumpur, unjuran pertumbuhan yang semakin rendah saban hari dan kegagalan menarik pembiayaan swasta bagi projek-projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi) sudah cukup untuk membayangkan kegagalan dasar dan inisiatif ekonomi Dato' Seri Najib Tun Razak.

Malangnya, prospek ekonomi murung yang menyelubungi Malaysia adalah berlainan sama sekali dengan prestasi ekonomi Indonesia. Pertumbuhan ekonomi Indonesia terus meningkat pada kadar 6.5% suku yang lepas dan dijangka mencecah 7% tahun depan. Pada masa rakyat Malaysia bergelumang dengan kadar inflasi tertinggi dalam tempoh 2 tahun, Indonesia pula mencatatkan kadar inflasi terendah dalam tempoh 14 bulan yang lalu. Sementara kadar kenaikan gaji hanya menokok pada angka 2.6% sahaja bagi pekerja Malaysia sepanjang sedekad yang lalu, pekerja di Indonesia menikmati kadar kenaikan gaji tahunan 10% sejak tahun 2006.

Sudah tentu ada perbezaan yang nyata dari segi pendekatan ekonomi sehingga mengakibatkan prestasi yang berlainan seperti ini. Pemerintah Indonesia mengalu-alukan reformasi dan keterbukaan sejak tahun 1998 lagi, berbeza dengan Barisan Nasional yang mencari seribu satu alasan untuk memadamkan api reformasi yang dituntut rakyat sehingga mengorbankan prestasi ekonomi negara.

Baiknya keadaan ini tidak akan berterusan kerana lebih ramai rakyat boleh menilai sendiri bahawa reformasi ekonomi hanya boleh berlaku seiringan dengan reformasi politik, selaras dengan pendekatan ekonomi yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

10 OGOS 2011

Lagi pengundi berganda ditemui

Posted: 10 Aug 2011 04:10 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa menemui lima lagi pengundi bertindih di parlimen itu dalam semakan terbaru mereka melalui web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kesemua mereka mempunyai dua kad pengenalan baru yang nombornya berbeza namun mempunyai nombor kad pengenalan lama yang sama.

Antaranya individu bernama SA'AD BIN SAMSUDIN, yang memiliki dua kad pengenalan baru iaitu 380913105681 dan 510913105553 tetapi nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu 1479323.

Beliau mempunyai dua hak mengundi iaitu di Parlimen Titiwangsa dan Parlimen Setiawangsa.

Kes kedua membabitkan seorang wanita SHODAH BINTI ABDUL RAHMAN juga memiliki dua kad pengenalan baru berbeza iaitu bernombor 550620055800 dan 560620055412 tetapi nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu 4802777.

Beliau juga mempunyai kelayakan mengundi dua kali di Parlimen Titiwangsa.

Kes ketiga, seorang lelaki bernama MOHAMAD BIN ISMAIL, memiliki kad pengenalan lama bernombor 8370614, tetapi mempunyai dua kad pengenalan baru, iaitu 540405025757 dan 540405025095 dan memilik hak kelayakan mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Parlimen Titiwangsa.

Kes keempat iaitu melibatkan seorang lelaki bernama ANDERSON A/L P ARPUTHANATHAN. Beliau memiliki nombor kad penganalan lama yang sama iaitu A0831847, tetapi memiliki dua kad pengenalan baru yang berbeza iaitu 671117106499 dan 671117105963.

Beliau juga mempunyai dua hak kelayakan mengundi iaitu di Parlimen Setiawangsa dan Titiwangsa.

Kes kelima, juga dengan memegang kad pengenalan lama yang sama iaitu 7877951, beliau ini mempunyai kad pengenalan baru yang berbeza iaitu 491006045672 dan 491006015094. Pengundi perempuan ini bernama CHELLAMAH A/P MURUGESU boleh mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Titiwangsa.

Ketua Pemuda PAS Titiwangsa, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata kesalahan tersebut merupakan perkara sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

"Dengan lima contoh yang didedahkan ini, cukup untuk membuktikan bahawa memang terdapat usaha untuk membolehkan seorang pengundi mengundi lebih dari dua kali. Lebih dari itu, ia membuktikan bahawa usaha ini berjalan secara terancang di seluruh negara.

"Jika ini merupakan suatu kecuaian, kecuaian ini sememangnya tidak boleh dimaafkan kerana ia boleh menyebabkan berlakunya penipuan dalam sistem pilihanraya di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Selain mahu nama-nama tersebut disiasat oleh JPN dan SPR, mereka juga mahu kedua-dua pihak yang bertanggungjawab itu membuat penjelasan kenapa perkara tersebut boleh berlaku.

Kegagalan memberikan penjelasan munasabah kata mereka, hanya akan mengesahkan dakwaan banyak pihak sebelum ini bahawa sememangnya terdapat komplot pihak tertentu memanipulasi daftar pemilih demi kelangsungan politik mereka.

"Kita juga mendesak agar JPN menyiasat identiti kesemua individu yang didedahkan ini dan menarik balik kad pengenalan yang dikeluarkan lebih dari satu untuk seorang.

"Mungkinkah wujud kad pengenalan palsu yang diberikan kepada setiap pengundi ini, bagi membolehkan mereka mengundi 2 kali? kerana ada kad pengenalan tersebut tidak ada dalam senarai jabatan Pendaftaran Negara," tegasnya.

Watan diarah bayar pemimpin PAS RM1.4 juta

Posted: 10 Aug 2011 04:07 AM PDT

Aslani Mulhiq

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan akhbar Mingguan Watan membayar sebanyak RM1.4 juta kepada tiga pemimpin PAS Kelantan terhadap kes saman fitnah.

Perintah itu dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nariman Badruddin dalam kamar.

Ketiga-tiga plaintif iaitu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Anuar Tan Abdullah diwakili peguam Hisham Fauzi.

Bagaimanapun peguam defendan, Rosli Abu Zarim tidak hadir hari ini.

Pemimpin PAS terbabit menyaman akhbar berkenaan berhubung laporan berunsur fitnah disiarkan Mingguan Watan bertarikh 21-27 Disember 2008.

Mereka menyaman M Goenawan Mohamed, Wan Bahador Wan Ismail @ Baha Azuwan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Naluri Teratai Sdn Bhd dan Tristan Media Distributors.

Mingguan Watan pada edisi ke-17 bertarikh 21-27 Disember 2008 menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap ketiga pemimpin tersebut.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga Adun BN di Perak bertindak sebagai Penasihat Jabatan Pengarang.

Berita itu disiar di halaman hadapan bertajuk "Siasat Pemimpin-Pemimpin PAS Kelantan Seleweng Ekuiti PKINK" ditulis M Goenawan.

Akhbar mingguan itu mendakwa "Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan mengalami kerugian puluhan juta ringgit akibat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan beberapa pemimpin PAS Kelantan yang menjadi ahli lembaga pengarah PKINK.

"Kerugian bernilai RM21 juta itu berlaku dipercayai kerana penyalahgunaan kuasa di kalangan pihak pengurusan PKINK dalam urusan pentadbiran dan pengurusan projek anak syarikatnya Kelstone Sdn Bhd."

Ekoran penyiaran berita berunsur fitnah tersebut Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah menghantar surat dan memberi notis selama 14 hari untuk membolehkan Mingguan Watan memohon maaf.

Bagaimanapun akhbar berkenaan pada edisi bertarikh 4-10 Januari 2010 menyiarkan berita pihaknya tidak perlu memohon maaf.

Sebaliknya seperti mencabar PKINK supaya menghantar surat pembetulan dan penjelasan fakta sekiranya berita yang disiarkan itu tidak tepat.

Malah dalam berita sama ditulis, akhbar berkenaan tidak takut kepada ugutan kerana mendakwa berpegang kepada prinsip dan asas kewartawanan.

Kes saman tersebut sebelum ini dibicara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sejak Febuari 2009.

Hisham berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis bagi mengarahkan responden membayar gantirugi tersebut dalam tempoh tujuh hari.

"Notis tersebut InsyaAllah akan dikeluarkan esok," katanya ketika ditemui di sini.

Dalam notis saman ketiga-ketiga pemimpin PAS terbabit menuntut ganti rugi sebanyak RM15 juta daripada akhbar Mingguan Watan.

Pada keputusan hari ini juga Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi memerintahkan Mingguan Watan membayar sebanyak RM675,000 kepada PKINK dalam saman yang dibuat secara berasingan.

Sebelum ini PKINK menyaman Mingguan Watan dan menuntut ganti rugi RM5 juta.

Murtad: Umno tolak mentah-mentah usul PAS

Posted: 10 Aug 2011 04:06 AM PDT

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR: Lakonan Umno kononnya mahukan akta mencegah murtad langsung tidak boleh dipercayai kerana inisiatif mengenai perkara itu berkali-kali ditolak, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Saya bercakap mengenai pengalaman peribadi kerana dalam sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, saya mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad.

"Rang undang-undang itu bukan sahaja tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen Umno malah ditolak mentah-mentah," katanya.

Selepas itu, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sekali lagi beliau mengemukakan usul yang juga meminta Dewan Rakyat mewujudkan undang-undang mencegah murtad seperti meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peruntukan yang jelas menghalang individu Islam daripada secara bebas mengisytiharkan diri keluar daripada agama Islam.

"Usul itu juga tidak dipedulikan oleh kerajaan dan ahli-ahli Parlimen Umno," katanya

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi dilapor mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini.

Menurut Salahuddin, usaha yang dibawa oleh pihak PAS mengenai perkara itu dibuat berkali-kali selepas Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang mengemukakan usul dan rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad.

Pada 25 Mac 1988, Tuan Guru telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.

Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

"Penolakan usul dan rang undang-undang persendirian mengenai murtad yang berlaku berkali-kali itu membuktikan Umno langsung tidak berminat untuk mencegah jenayah syariah paling serius itu.

"Sebab itulah umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan gelagat gerombolan kuda tunggangan Umno yang kini nampak benar menunjuk-nunjuk kononnya mereka mahu mencegah murtad," tegas Salahuddin.

Beliau juga berharap rakyat menolak lakonan dan permainan gerombolan kuda tunggangan Umno itu kerana mereka adalah hipokrit sebenar.

"Amat hipokrit apabila bercakap hendak menentang gejala murtad tetapi pada masa yang sama menjadi kuda tunggangan Umno yang berkali-kali menolak usaha untuk mencegah murtad.

"Menolak inisiatif dan usaha untuk menentang murtad melalui peruntukan undang-undang dan perlembagaan hakikatnya menentang dan memusuhi usaha mencegah jenayah syariah paling serius itu," kata Salahuddin.

Beliau juga mempersoalkan di mana suara Umno ketika umat Islam bangkit menentang kes-kes murtad seperti kes Aishah Bukhari, Hartina Kamaruddin dan Lina Joy.

"Malah Umno juga berdiam diri ketika umat Islam bertindak menentang pindaaan 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan ketika 10 menteri dari Barisan Nasional bertindak mempertikaikan perkara 121 (1A) itu dengan tujuan untuk membunuh kuasa mahkamah Syariah serta membolehkan mahkamah sivil memansuhkan keputusan mahkamah Syariah," katanya.

Dengan sejarah sedemikian, Salahuddin sekali lagi meminta umat Islam menolak hipokrit yang cuba berlagak hero yang kononnya memperjuangkan Islam dan kepentingan umat Islam.

Dinar: Masa lancar RM323, hari ini RM809

Posted: 10 Aug 2011 04:04 AM PDT

Rizal Tahir


KOTA BHARU- Langkah Kerajaan Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham sebagai aset untuk rakyat di negeri ini menabung merupakan jalan yang tepat apabila satu dinar yang dilancar empat tahun lalu bernilai RM323 hari ini meningkat RM809.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata peningkatan itu merupakan sejarah dalam kenaikan harga emas dunia.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini sebentar tadi.

Menurutnya, harga emas pasaran dunia pula hari ini meningkat kepada USD1,723 dan ianya merupakan satu sejarah dalam kenaikan harga emas.

"Mana-mana masyarakat yang sebelum ini membeli emas mendapat keuntungan yang besar dan rugi sekiranya tidak berbuat demikian bagi mereka yang mampu.

"Bagaimanapun sekarang kita masih boleh membelinya kerana ia belum terlewat memandangkan harga emas pasaran dunia akan naik lagi mencecah USD3,000," ujarnya.

Menurutnya, memandangkan kerajaan negeri menyedari perkara ini PMBK Sawit sejak awal lagi melabur sumber kewangannya di sebuah bank di negeri ini sebanyak RM1 juta.

Tambahnya, keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lebih sebulan RM130,000.

Ketika ditanya berhubung pihak tertentu mengkritik tindakan kerajaan negeri sebelum ini, beliau berkata kritikan itu hanya kerana sentimen politik.

"Mereka mengkritik bukan kerana takut rakyat tidak akan mendapat sebarang manfaat sebaliknya kerana dendam politik terhadap kerajaan negeri yang didokongi PAS," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat seluruhnya supaya melabur serta meningkatkan pelaburan masing-masing kerana keuntungannya bakal diperolehi lebih besar khususnya penghujung tahun ini.

Menurutnya, kejatuhan dollar Amerika yang tidak berjaya mengekang kewangan ekonominya disamping jumlah hutang yang kian banyak, akan memberi ruang kenaikan keuntungan harga emas pada masa akan datang.

Warganegara: BN sedang menjual negara

Posted: 10 Aug 2011 04:03 AM PDT

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Tindakan kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan pihak mereka telah mendaftar hampir 100,000 warga asing sebagai warga negara segaligus sebagai pengundi merupakan tindakan bahaya kerana menjual negara sendiri.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar), berkata kerana ingin kekal memerintah negara, kerajaan sanggup berbuat demikian melalui JPN.

Menurutnya, warga asing yang datang ke negara ini berbagai jenis serta latarbelakang hidup yang berbeza.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung SPR dan JPN yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berikutan pelbagai pendedahan dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat di seluruh negara berhubung pendaftaran warga asing sebagai pengundi, pertindihan kad pengenalan dan berbagai lagi.

"Kalau di Singapura, kerajaan negara itu menapis terlebih dahulu mengikut kehebatan mereka khususnya dari golongan professional contohnya sebagai ahli sukan.

"Namun ianya berbeza di negara kita ni semuanya pakai ambil tangkap muat saja tanpa mengenali status individu warga asing terbabit asalkan boleh jadi pengundi pada mereka,"ujarnya .

Tegasnya, kenapa tiba-tiba sahaja mereka telah difaftarkan sebagai warga negara dan terus sebagai pengundi sekiranya tidak ada pihak tertentu mengaturkan usaha itu.

Menurut Husam, mereka hanya berminat untuk menjadi warga Negara dan bukannya sebagai pengundi, tetapi tiba-tiba pula mereka didaftarkan sebagai pemilih.

Menurutnya lagi, hasil maklumat yang diperolehi pihak tertentu menemui warga asing dari negara Bangladesh, China dan sebagainya dengan membawa borang untuk diisi sebagai warganegara tanpa menyelidiki latarbelakang golongan itu sama ada penjenayah atau sebaliknya.

Beliau menambah, konspirasi itu begitu membahayakan negara ini kerana ianya boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara pada masa akan datang.

Sehubungan itu parti-parti politik khususnya dari Pakatan Rakyat perlu merangka gerakerja yang lebih terkehadapan bagi menangi perkara ini.

"Ianya tidak begitu sukar memandangkan JPN sendiri telah mengakuinya sebelum ini berhubung pendaftaran terbabit,"ujarnya.

Beliau juga turut melahirkan dukacita di atas kegagalan JPN membuat kenyataan berhubung jumlah warga asing mengikut negara di samping tempoh permohonan sebagai pemilih sebelum ianya disahkan.

Katanya rakyat Malaysia perlu membuat bantahan berhubung perkara itu kerana ianya merupakan tindakan bahaya.

Buku garis konsep umum Negara Berkebajikan

Posted: 10 Aug 2011 04:00 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Buku Konsep Asas Negara Kebajikan karangan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sekadar menggariskan maksud, konsep umum dan tuntutan sebuah Negara Berkebajikan.

"Buka kecil ini juga bukan sebuah tesis kajian ilmiah di mana susun atur isi dan penulisan dalam buku ini adalah disampaikan dengan bahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh rakyat kebanyakan," tulis Tuan Guru Abdul Hadi pada bahagian Muqadimmah.

Menurutnya, buku itu juga tidak bermaksud untuk memperincikan seluruh program kebajikan yang dimaksudkan oleh PAS.

Katanya, perincian dan susun atur program yang menjadi pengisiannnya nanti akan dipaparkan kepada seluruh rakyat dalam bentuk manifesto dan butiran khusus dari masa ke semasa menerusi media cetak dan lain-lain siaraya oleh PAS.

Beliau yang juga ahli parlimen Marang berkata, Dokumen Negara Berkebajikan yang akan menyusul selepas buku kecil ini akan menjelaskan dengan lebih terperinci akan konsep dan tasawwur Negara Berkebajikan.

"Mudah-mudahan kita semua mendapat pahala menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan menyelamatkan manusia dengan petunjuk Allah yang sebenarnya secara beramal," ujarnya lagi.

Buku yang mengandungi tujuh bahagian dan 86 muka surat bercetak itu dilancarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Qaryah Ramadhan, Kota Bharu pada 5 Ogos lepas.

JK Disiplin DAP pecat tiga ahli

Posted: 10 Aug 2011 03:56 AM PDT

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin DAP memecat tiga ahli parti itu berkuatkuasa serta merta kerana melanggar disiplin parti.

Pengerusinya, Tan Kok Wai berkata, ketiga-tiga mereka adalah Puah Ju Kian (Cawangan Telok Gadong), Yap Kon Min (Serdang Bahru) dan Tan Chew Wah (Kampung Baru Balakong).

Puah Ju Kian didakwa salah menguruskan hal ehwal cawangannya, Yap Kon Min pula didapati salah membuat kenyataan yang salah secara berulang kali terhadap pimpinan DAP manakala Tan Chew Wah pula didapati bersalah dan secara berulang kali membuat kenyataan buruk secara terbuka terhadap pimpinan DAP.

Menurut Tan Kok Wai yang juga anggota Parlimen Cheras, Jawatankuasa Disiplin DAP telah mengadakan perbicaraan terhadap ketiga-tiga mereka pada 5 Ogos lepas di Ibu Pejabat DAP dan penjelasan mereka tidak memuaskan hati jawatankuasa kerana ia telah memburukkan kepentingan parti itu.

"Ekoran pemecatan ini, ketiga-tiga mereka tidak lagi berhak mewakili DAP dalam sebarang urusan atau bertindak sebagai ahli DAP.

"Bagaimanapun mereka boleh membuat rayuan dalam masa 14 hari terhadap keputusan ini kepada Jawatankuasa Pusat Parti berdasarkan perkara VII para 3 Perlembagaan DAP," katanya dalam satu kenyataan.

Pasca-9 Julai: Bersih 2.0 beri SPR tiga bulan laksana lapan tuntutan

Posted: 10 Aug 2011 03:55 AM PDT




KUALA LUMPUR— Sebulan selepas perhimpunan 9 Julai, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tetap dengan pendirian mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan isu berkaitan pengurusan pilihan raya terutamanya daftar pemilih.

Selain itu, menurut Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevesan (gambar), pihaknya memberi tempoh tiga bulan kepada SPR untuk melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan oleh gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

"Selepas sebulan kalau kita lihat telah wujud banyak perkara yang membuktikan semua tuntutan kami adalah berasas, malah ada bukti yang mana pada pendapat saya, SPR patut menangani dengan serius tentang perkara ini," kata beliau.

Ambiga menambah, "persoalannya sekarang bagaimana pemastautin tetap boleh didaftarkan sebagai pengundi?"

"Jadi kami mahu SPR menubuhkan jawatankuasa khas dengan melibatkan wakil parti-parti politik untuk selesaikan semua isu pilihan raya terutamanya daftar pemilih," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ambiga sebelum ini pernah mencadangkan kepada SPR agar menubuhkan jawatankuasa khas itu dan Timbalan Pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihak akan mempertimbangkan cadangan tersebut.

"Tetapi sampai sekarang kita belum mendapat apa-apa maklum balas mengenai perkara ini, kita akan teruskan tindakan untuk mendesak agar tuntutan ini dilaksanakan.

"Kita tetap mahukan SPR tubuhkan jawatankuasa khas ini, ia sangat penting untuk siasat semua masalah yang berlaku," tambah Ambiga.

Bercakap soal kepincangan daftar pemilih yang menyaksikan banyak pendedahan dibuat Pakatan Rakyat, beliau menegaskan, "ia terbukti satu penipuan yang paling serius."

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Daftar pemilih adalah satu perkara yang paling utama dalam pilihan raya, pendedahan yang dibuat PAS dan Pakatan Rakyat ini sangat serius kerana ia adalah satu penipuan yang nyata.

"Mereka (SPR) mesti melakukan siasatan secara telus dan mesti memberi penjelasan kepada rakyat tentang perkara ini," kata bekas presiden Majlis Peguam ini.

Kata Ambiga, tindakan SPR membenarkan pemastautin tetap mendaftar sebagai pengundi bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun banyak bukti didedahkan, namun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR tetap menafikan perkara itu.

"Memang parti-parti politik boleh membuat bantahan dalam masa-masa tertentu, tetapi ia satu proses yang tidak memberikan apa-apa hasil, malah ia bertentangan dengan peruntukan-peruntukan yang ditetapkan.

"Mana-mana pemastautin tetap tidak dibenarkan untuk mengundi. Kalau dibenarkan, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mana bukan warganegara Malaysia tidak boleh menjadi pengundi," tambahnya.

Ekoran pendedahan itu, Pakatan Rakyat telah menyerahkan surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memanggil sidang tergempar Parlimen dalam tempoh tujuh hari bagi membahaskan isu itu.

Ditanya apa tindakan Bersih 2.0 selepas ini, Ambiga bagaimanapun berkata pihaknya akan melihat tindakan yang diambil SPR dan kerajaan dalam tempoh tiga bulan ini.

"Semua tuntutan Bersih 2.0 boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan, kami akan melihat perkembangan terbaru... apa tindakan SPR dan kerajaan," katanya.

Selepas Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai, Barisan Nasional yang dipengerusikan Najib turut menyuarakan pendapat untuk menyelesaikan isu kepincangan sistem pengurusan pilihan raya.

Mafrel mahu SPR bersih daftar pemilih elak implikasi ketika PRU-13

Posted: 10 Aug 2011 03:53 AM PDT


Pemastautin asing didafter menggunakan imbasan biometrik. — Foto Reuters


KUALA LUMPUR — Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih yang didakwa turut melibatkan kehadiran "pemastautin tetap" yang diragui bagi mengelakkan implikasi besar ketika pilihan raya umum ke-13.

Mengikut perkembangan semasa pilihan raya umum ke-13 dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat.

Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh berkata, SPR perlu melihat secara serius pendedahan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat berhubung isu status kewarganegaraan yang diberikan kepada pemastautin tetap, sekali membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya.

Tegas beliau, SPR perlu menjalankan siasatan itu dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membersihkan daftar pemilih.

"Saya rasa kalau pendedahan itu benar, SPR perlu melakukan siasatan segera mengenai apa yang berlaku, apa yang boleh SPR lakukan ialah siasat latar belakang pengundi itu, adakah mereka betul-betul (warganegara), sebab kini terdapat banyak keraguan yang mana pemastautin tetap bertukar ke warganegara dalam tempoh yang singkat.

"Kini lebih banyak keraguan, kita rasa ragu-ragu (tentang daftar pemilih), untuk menghilangkan keraguan ini SPR perlu mengambil tindakan segera dan menyiasat perkara ini dengan kerjasama JPN," katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Syed Ibrahim percaya SPR akan memberi alasan tidak mempunyai kuasa, namun beliau menegaskan pembersihan daftar pemilih adalah di bawah bidang kuasa badan pengurusan pilihan raya itu.

"Memang daftar pemilih terletak di bawah bidang kuasa SPR, tidak boleh (kata) tiada kuasa kerana sebagai badan pengurusan pilihan raya SPR mempunyai kuasa itu.

"Sudah menjadi faktor utama yang mana daftar pemilih dan pembersihannya adalah kuasa SPR, kes ini sangat jelas... ini kes faktor yang mana ia jelas bagaimana pemilik kad pengenalan merah memperoleh kad pengenalan biru dalam tempoh singkat, untuk itu, SPR perlu siasat dengan serius," katanya.

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh JPN dan SPR.

Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi di kalangan warga asing yang diberikan taraf kewarganegaraan.

Tambah Syed Ibrahim, kegagalan SPR membersihkan daftar pemilih akan memberi implikasi yang besar dalam sistem pilihan raya negara.

"Implikasinya sangat besar, sekiranya warga asing dibenarkan mengundi keputusan itu boleh dicabar, kalau ada parti yang tidak berpuas hati... sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku.

"Sebab itu saya minta SPR mengambil tindakan segera dengan kerjasama JPN, siasat dengan serius kerana SPR adalah badan bebas," katanya.

Sebelum ini Pakatan Rakyat juga mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi "MyDaftar".

Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13.

Terengganu, Pahang juga beri bonus setengah bulan

Posted: 10 Aug 2011 03:52 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA TERENGGANU — Kerajaan Terengganu dan Pahang merupakan dua kerajaan negeri yang setakat ini mengumumkan keputusan mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

"Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam," kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dipetik Bernama Online.

Kerajaan pusat mengumumkan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kelmarin.

Katanya ia melibatkan 20,000 penjawat awam termasuk pekerja badan berkanun.

Ahmad berkata bayaran itu melibatkan peruntukan RM10 juta.

Di Kuantan, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pembayaran bonus di melibatkan 12,570 penjawat awam di negeri itu. Adnan menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian bonus itu satu pembaziran sebaliknya ia bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam membangunkan negara.

Hakim: Anwar boleh hadir ketika peguam bela temu bual saksi

Posted: 10 Aug 2011 03:50 AM PDT




KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh hadir ketika sesi temu bual pasukan pembela ke atas saksi-saksi utama kes liwat beliau, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah memberitahu peguam pasukan pendakwa dan pembela bahawa Ketua Umum Pakatan Rakyat itu mempunyai hak untuk hadir ketika temu bual diadakan.

Bagaimanapun Anwar (gambar) tidak boleh melibatkan diri dalam proses menyoal saksi.

"Hakim bersetuju dengan kami bahawa Anwar ada hak untuk berada ketika temu bual diadakan," kata peguam utama Anwar, Karpal Singh kepada pemberita di sini.

"(Tetapi) Anwar tidak boleh menyoal saksi. Beliau tidak boleh mengambil bahagian, tetapi boleh ada di sana," kata seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair.

Hakim mengeluarkan arahan ini selepas temu bual terhadap dua saksi yang sepatutnya diadakan semalam dibatalkan selepas bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof membantah kehadiran Anwar.

Kelmarin, mahkamah membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Sri Rosmah Mansor, Musa, Rodwan dan 11 orang lagi.

Hakim turut menetapkan 15 hingga 26 Ogos bagi kes pembelaan. Pada mulanya mahkamah menetapkan 8 hingga 26 Ogos dengan Anwar dijadual sebagai saksi pertama memberi keterangan.

Di akhir kes mereka, pendakwaan menawarkan 71 saksi, termasuk Najib dan Rosmah. Pihak pembelaan memilih untuk menemu bual hanya 25 orang dan setakat ini, hanya lima orang yang telah pun ditemu bual.

Mereka ialah bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, Dr Mohd Osman Abd Hamid, yang sebelum ini bertugas di Pusrawi, adik perempuan bongsu Mohd Saiful Bukhari Azlan iaitu Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang hanya dikenali sebagai Dr Daniel, dan Khairil Anaz Yusof, pembantu khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Tujuan temu bual ialah untuk menentukan sama ada saksi terbabit boleh memberikan keterangan menyokong pembela dan bukan untuk tertuduh hadir dan membandingkan nota dengan apa yang saksi akan berkata di mahkamah kemudian.

"DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berupaya untuk intimidasi saksi-saksi ketika sesi temu bual. Beliau berupaya untuk memberitahu saksi mengatakan apa yang beliau mahu ketika temu bual," kata pendakwa raya dalam hujah dikemukakan kepada Mohd Zabidin.

Karpal mengesahkan, mereka akan menemu bual 10 saksi hari ini, tetapi tidak tahu bila Musa dan Rodhwan akan dipanggil oleh pendakwa raya agar mereka dapat hadir di mahkamah.

"Jika kesemua saksi tidak dapat disediakan kepada kami dalam masa yang ditetapkan, kami tidak tahu sama ada kami boleh meneruskan perbicaraan pada minggu depan.

"Kami tidak melengah-lengahkan. Saya tidak faham mengapa pendakwa mahu melengah-lengahkan perbicaraan," kata Karpal.

Perbicaraan membabitkan peringkat membela diri oleh Anwar akan bermula Isnin ini.

Pada 16 Mei, mahkamah memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes itu, adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, atas tuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun yang sama.

SPR terus pertahan pilihan raya Malaysia bebas, adil

Posted: 10 Aug 2011 03:48 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mempertikaikan dakwaan sesetengah pihak termasuk pendirian berterusan Pakatan Rakyat sambil menegaskan, sistem pilihan raya negara ini adalah adil dan bebas.

Dalam tulisan disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, "kita tanya mereka apa yang tidak bebas dan peringkat mana yang mereka kata tidak adil?"

"Pihak-pihak tertentu mendakwa pilihan raya di negara ini tidak bebas dan tidak adil. Mereka yang berkenaan telah menang dalam pertandingan merebut kerusi-kerusi baik di Dewan Rakyat atau pun di Dewan Undangan Negeri," kata beliau.

Wan Ahmad juga berkata pihak terbabit mendakwa pilihan raya tidak adil berasaskan beberapa andaian dan persepsi dan sebagainya yang mereka tidak pernah dapat membuktikannya di mahkamah melalui petisyen-petisyen pilihan raya sama ada selepas pilihan raya umum ataupun pilihan raya kecil.

Baru-baru ini Pakatan Rakyat meminta sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan kewujudan pengundi kalangan warga asing yang diberikan status kewarganegaeraan.

Parti-parti komponen Pakatan Rakyat juga membuat laporan polis.

Semalam Pemuda PAS mendakwa SPR sudah tiada kredibiliti untuk mengendalikan pilihan raya di negara ini.

Perkembangan itu menyusuli perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang diadakan untuk mengetengahkan lapan tuntutan pilihan raya.

Dalam tulisannya, Wan Ahmad turut menyentuh soal pengundi hantu, pengundi pos dan kebebasan media.

"Mereka mendakwa 'pengundi hantu' yang telah mengundi dalam pilihan raya, tetapi mereka tidak pernah membuktikan siapa dan di mana pengundi hantu yang telah mengundi.

"Dalam semua petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi sebelum ini atas alasan pengundi hantu, semua petisyen telah ditolak kerana mereka gagal memberi bukti prima facie dakwaan tersebut," katanya.

Sambil berkata dakyah itu digunakan dalam setiap pilihan raya, Wan Ahmad menambah, golongan berkenaan pernah menahan kenderaan yang membawa pengundi dari luar kawasan yang hendak pulang mengundi kerana menuduh mereka pengundi hantu.

"Mereka enggan menerima penjelasan SPR bahawa pengundi dari luar kawasan yang balik untuk mengundi pada hari mengundi di tempat dia disahkan mendaftar adalah pengundi sah yang berhak untuk mengundi di sisi undang-undang," katanya.

Kes rasuah Norza: Sembilan bebas tuduhan beri keterangan palsu

Posted: 10 Aug 2011 03:46 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

TEMERLOH — Sembilan saksi yang dituduh memberikan keterangan palsu membabitkan kes dakwaan rasuah bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohamad Norza Zakaria, dilepas dan dibebaskan hari ini.

Majistret Siti Hajar Mustaffa semasa membacakan keputusannya berkata, beliau mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua tertuduh, lapor Bernama Online hari ini.

Mereka yang dibebaskan ialah Datuk Khadri Musa, 48; Muhammad Anuar Mohd Yunus, 44; Nasaruddin Abdullah, 48; Mohd Sabri Aziz, 46; Yusof Jamaluddin, 54; Jalaluddin Johan, 48; Mohd Taupik Hussin, 41; Nor Azhar Abdul Latip, 49, dan Saiful Azman Mokhtar Affendi, 46.

Mereka didakwa memberi keterangan yang bercanggah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh Azuar Che Yusof semasa perbicaraan terhadap Mohamad Norza yang bermula dari 10 Februari 2009 hingga 13 Mei tahun lepas.

Keterangan itu didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan mereka kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 20 Januari 2009 dan 23 April 2009 di pejabat SPRM Temerloh.

Dakwaan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Putrajaya, Mohd Josiendra Abu Senin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Francis Tan.

Pada 17 Jun 2010, Mohamad Norza dan ejennya, Halimi Kamaruzaman dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah setelah pihak pendakwaan tidak berhasrat mengemukakan keterangan lanjut selepas saksi-saksi yang memberi keterangan sebelum itu berpaling tadah. Mohamad Norza, 43, didakwa memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan supaya mengundinya memenangi jawatan Majlis Tertinggi pada Perhimpunan Agung Umno.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Januari 2008 di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.

Isu gereja: Abim mahu Jais cepatkan siasatan elak spekulasi berlarutan

Posted: 10 Aug 2011 03:45 AM PDT

TERKINI

GOMBAK — Selepas seminggu serbuan ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar mempercepatkan siasatan dan tampil membuat penjelasan mengenai insiden itu.

Menurut Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim, tindakan Jais mendiamkan diri boleh menimbulkan lebih banyak persoalan dan spekulasi mengenai apa yang berlaku.

"Kita tahu dari segi siasatan Jais memerlukan masa, tapi kita mahu ia disegerakan dan laporan dikeluarkan secepat mungkin kerana ia boleh menimbulkan lebih banyak spekulasi dan suasana tegang antara agama.

"Jais perlu segerakan laporan siasatan dan kalau terbukti seperti yang didakwa (cubaan memurtadkan umat Islam) tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pihak penganjur dan pihak yang terbabit kerana telah melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Raimi berkata demikian sebagai respons terhadap isu serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya oleh Jais minggu lalu.

Kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja tanpa waran kira-kira 10 malam.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.

Dalam serbuan itu, Jais dilaporkan telah memeriksa 12 individu beragama Islam yang turut hadir dalam program anjuran Harapan Komuniti.

Tambah Raimi, sehingga laporan siasatan Jais keluar beliau meminta semua pihak bertenang dan jangan menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan perpaduan.

"Dalam isu ini kalau kita lihat banyak pihak telah mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat, seperti sedia maklum Jais telah mengikut prosedur undang-undang Islam Selangor...mungkin ada beberapa kekurangan tapi Jais telah bertindak dengan sebaik mungkin.

"Kalau kita lihat dari isu Jais, perkara ini sudah jadi isu polis selepas banyak pihak telah membuat laporan. Jais bertindak mengikut undang-undang dan seperti yang kita tahu bidang kuasa agama Islam terletak di bawah Sultan Selangor," katanya.

Beliau menambah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku adalah dengan berdialog, namun menegaskan pertemuan antara Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama tidak diperlukan dalam keadaan sekarang.

"Bagi saya penyelesaian terbaik adalah berdialog... ia jalan terbaik, bagaimanapun Jais perlu percepatkan siasatan tapi semua perkara harus diteliti secara telus.

"Semua pihak juga harus bertenang serahkan kepada Jais untuk buat siasatan," katanya.

Tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

MB: Selangor tunggu laporan terperinci Jais

Posted: 10 Aug 2011 03:43 AM PDT


KUALA LUMPUR– Kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk menunggu laporan lengkap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kontroversi serbuan ke atas sebuah gereja minggu lalu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Jelas Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, pihaknya telah meminta Jais menyediakan satu laporan lengkap dan terperinci mengenai serbuan ke atas ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Tambah beliau, laporan terperinci itu termasuk hasil siasatan ke atas kesemua 12 individu beragama Islam, yang dilapor berada di gereja ketika serbuan.

"Kerajaan negeri Selangor telah meminta Jais menyediakan satu laporan lengkap dan terperinci mengenai pemeriksaan Jais ke Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

"Laporan terperinci yang diminta termasuklah hasil siasatan dan soal jawab 12 orang Islam yang dikatakan terlibat serta salinan barang kes yang telah diperolehi hasil dari pemerikasaan," katanya.

Menurut Khalid, beliau difahamkan Jais mengalami kesulitan mendapatkan keterangan 12 individu itu yang tidak hadir membantu siasatan.

"Kami difahamkan Jais mengalami kesulitan mendapatkan keterangan daripada 12 orang tersebut kerana beberapa undang-undang yang telah diketengahkan oleh peguam-peguam mereka.

"Malah pejabat Menteri Besar juga telah menerima surat daripada firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 dari 12 orang Islam yang terlibat," katanya menambah akan menyerahkan perkara itu kepada pakar undang-undan Jais untuk memberikan khidmat nasihat.

Semalam Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof berkata pihaknya akan memohon perintah mahkamah ke atas 12 individu beragama Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya minggu lalu.

Beliau berkata perintah mahkamah akan dipohon dalam tempoh terdekat berikutan kegagalan kesemua mereka tampil memberikan keterangan semalam.

Bagaimanapun peguam bela mewakili 10 daripada 12 individu beragama Islam, Lim Heng Seng mempertahankan tindakan anak guamnya yang tidak hadir memberi keterangan kepada Jais semalam atas alasan arahan yang dikeluarkan tidak lengkap.

Jelas beliau, anak guamnya tidak hadir memberi keterangan kerana mempersoalkan tindakan Jais yang mengarahkan mereka untuk menghadiri satu "sesi kaunseling" bukan untuk membantu siasatan.

Minggu lalu, Jais telah melakukan serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama yang dihadiri pelbagai kaum.

Dalam serbuan itu, Jais dilaporkan telah memeriksa 12 individu beragama Islam yang turut hadir dalam program anjuran Harapan Komuniti.

Tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Tambah Khalid, arahan yang dikeluarkan kepada semua exco supaya tidak membincangkan isu itu secara terbuka masih terpakai sehingga arahan baru dikeluarkan.

"Ini bagi memberi Jais ruang untuk menjalankan tugas mereka dengan tertib dan tanpa sebarang spekulasi.

"Arahan ini tertakluk kepada exco, pegawai kerajaan dan jabatan kerajaan dan tidak melibatkan individu, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau parti politik. Namun begitu, kerajaan negeri beharap sebelum fakta-fakta ditentukan dengan jelas, kita tidak harus terburu-buru membuat sebarang penilaian," katanya.

Hari ini Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) meminta Jais agar mempercepatkan siasatan dan tampil membuat penjelasan mengenai insiden itu.

Tambah Khalid, beliau berharap segala masalah yang berlaku boleh diselesaikan dengan baik selain mengetepikan kepentingan politik.

"Apa-apa perbincangan perlulah berasaskan pendekatan wajar dan objektif manakala pandangan sempit politik perlu diketepikan.

"Pendekatan sebegini adalah untuk menjaga keharmonian di antara pelbagai kaum dan agama di Selangor khususnya dan Malaysia amnya," katanya.

Tiada ulasan: