Rabu, 3 Ogos 2011

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


Ampun Tuanku, Patik pohon tolak bubar Parlimen

Posted: 02 Aug 2011 07:59 PM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Parlimen selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi.

"Isu yang mendesak kini ialah ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.

"Apabila daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing, ia jelas merupakan ancaman serius kepada kedaulatan negara dan keselamatan negara selain dari pencabulan hak asasi warganegara Malaysia sendiri," tegas beliau ketika menuntut supaya SPR menjelaskan bagaimana daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing yang hanya memiliki status penduduk tetap sahaja.

Mahfuz menyifatkan pendedahan itu sebagai bukti yang tidak boleh disangkal lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR tidak habis-habis membohongi rakyat Malaysia apabila berulang kali mendakwa bahawa daftar pemilih yang ada sudah dibersihkan.

"Kita boleh terima kalau nama orang yang baru sahaja seminggu dua meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih walaupun zaman sekarang zaman teknologi yang membolehkan nama si mati dibuang hampir serta merta dari daftar pemilih.

"Tetapi kebanjiran begitu banyak warga asing bukan lagi perkara yang boleh dikompromikan. SPR boleh dituduh terang-terangan terlibat membiarkan kedaulatan dan keselamatan negara ini terancam.

"Sebagai agensi kerajaan, SPR tidak sepatutnya dilihat menjadi pihak yang mengancam kedaulatan dan keselamatan negara," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi. Tuntutan-tuntutan lain ialah mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

"Sebab itulah kita mohon Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu campur tangan antaranya tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan parlimen selagi tuntutan Bersih tidak dipenuhi.

"Kini semakin terbukti, keengganan SPR membersihkan daftar pengundi sudah sampai ke peringkat mengancam kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing dalam daftar tersebut.

"Jangan sampai nanti orang melihat SPR bukan sahaja tidak mahu membersihkan daftar pemilih malah menjadi dalang utama yang mengotorkan daftar itu dengan kebanjiran warga asing tersebut," kata Mahfuz.

Kebanjiran warga asing dalam daftar pemilih itu didedahkan oleh blog Perisik Rakyat (http://www.perisik-rakyat.com).

Blog itu mendedahkan sehingga 169 nombor Kad Pengenalan Pemastautin tetap Bukan Warganegara Malaysia yang dikesan telah didaftarkan sebagai pengundi di Malaysia.
Namun begitu, menurut siasatan Harakahdaily, tidak semestinya nombor kad pengenalan yang mempunyai angka -71- di tengah adalah warga asing. Ini kerana, angka -71- di tengah menunjukkan lahir di luar negara.

Menurut pendedahan Perisik Rakyat, antara warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi bernama Mismah.

Menurut laporan Malaysiakini pula, Mismah diterima sebagai pengundi baru di Ijok, di mana Ahli Dewan Undangan Negerinya ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimennya ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dzulkelfy Ahmad.

Menurut Malaysiakini, Mismah didaftarkan dalam daftar pemilih tambahan sekarang dan sedang dipamer kepada awam untuk diteliti.

Semakan dalam melalui sistem pengesahan dalam talian JPN dan SPR mengesahkan dakwaan itu.

Sistem JPN yang membenarkan pengguna menyemak status individu dengan memasukkan nombor kad PR, menunjukkan Mismah (640704715238) seorang penduduk tetap.

ADA APA YA:MCA bahagian diminta serah senarai calon

Posted: 02 Aug 2011 10:18 AM PDT

Bahagian-bahagian MCA telah diminta untuk menyerahkan senarai calon awal kepada ibu pejabat parti sebelum 6 Okt ketika parti itu giat melakukan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sumber dalaman parti itu berkata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha telah meminta bahagian-bahagian MCA, menerusi sepucuk surat bertarikh 22 Julai, untuk menyerahkan senarai calon berpotensi bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sebelum 6 Oktober.

"Hanya bahagian-bahagian di mana MCA akan bertanding (sebagai calon Barisan Nasional) diminta untuk menyerahkan senarai nama. Sekurang-kurangnya tiga nama setiap satu, sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berdasarkan kepada peruntukan pilihan raya umum 2008.

"Bahagian-bahagian yang kerusi pilihan raya bukan ditandingi MCA adalah terkecuali daripada arahan itu," kata sumber itu kepada Bernama.

Pada pilihan raya umum lepas, MCA menerusi tiket Barisan Nasional (BN) bertanding di 40 kerusi Parlimen dan 91 kerusi DUN. Namun, parti itu hanya memenangi 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN.

Ketika dihubungi, Kong bagaimanapun tidak banyak bercakap mengenainya, malahan tidak mengesahkan ataupun menafikan akan arahan seumpamanya pernah dikeluarkan beliau.

Beliau hanya berkata "bahagian menyerahkan nama sama ada mereka diarahkan berbuat demikian atau melakukannya sendiri".

Kong enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semasa merasmikan Konvensyen MCA Negeri Sembilan baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata anggota parti harus berhenti membuat spekulasi mengenai senarai calon yang akan dikemukakan parti itu pada pilihan raya umum kelak.

Tiada ulasan: