Sabtu, 20 Ogos 2011

.

.


Catatan Dari Banda Aceh

Posted: 19 Aug 2011 08:10 AM PDT

Memesrai 40 Anak Yatim

Ya Qohar
: BERKAT doa isteri, anak-anak dan rakan teman Fb dan penjenguk setia blog MT saya bersama dua rakan sdr Md Radzi Mustafa dan sdr Rushdan Mustafa selamat mendarat di bendara Sultan Iskandar Muda Banda Aceh jam 2:45 petang. Pendaratan licin dan mulus sahaja. Di lapangan terbang hanya ada sebuah kapal saja yang siap untuk berangkat ke destinasi Jakarta.

Urusan pemeriksaan Imigresen berjalan lancar. Aceh juga telah mengadakan sistem biometerik untuk mengesan setiap pelancong masuk ke negerinya. Apakah Malaysia meniru Aceh? Tetapi cara mereka menguruskan pemeriksaan dan 'memutar' komputer masih belum cekap sepenuhnya. Hal yang boleh dilakukan seorang pegawai saja dibantu oleh dua orang pegawai lain.

Di airport sudah menanti Agus yang akan menjadi juru pandu kami dalam musafir kali ini. Agus adalah orang tempatan yang akan menyambut kedatangan kami setiap kali ke Aceh. Sebahagian besar keluarga Agus turut hilang dalam putaran tsunami tujuh tahun lalu.

Mulanya saya dan teman berhajat benar untuk mendirikan solat Jumaat di masjid Baiturahman tapi tidak kesempatan. Masjid yang menjadi tempat himpunan ratusan mayat mangsa tsunami 2004 lalu. Saya sempat menyaksi sendiri bagaimana timbunan mayat yang diletakkan di sekeliling laman masjid itu dalam keadaan mengharukan dan bau yang masya-Allah tidak terkata.

Susana seluruh di koridor dan laman masjid pula habis 'kerunyalan' dan penuh dengan puing-puing kerana dihempas dan dipulas gelombang tsunami. Kalau melihat kepada keadaan ketika itu nescaya masjid itu sudah jatuh menimpa bumi. Tetapi kuasa Allah Maha Kaya dan Allah tetap melindungi rumah-Nya dalam keadaan apa sekali pun. Apa yang berlaku masjid itu hanya mengalami sedikit saja keretakan iaitu di menara utamanya.

Masjid Baiturahman ada tarikan tersendiri. Keunikan senibinanya di bahagian-bahagian tertentu menyebabkan kita tidak puas untuk memotretnya. Saya setiap kali menjejak kaki ke sini tidak akan lepas dari memotretnya walaupun dari sudut sama. Masjid Baiturahman menjadi hidup di dalam gambar.

Kami tidak banyak waktu untuk rihat. Gamitan dan panggilan anak-anak yatim menjadi kami harus segera bergerak. Setelah selesai mendirikan solat jamak - Zohor dan Asar di hotel penginapan kami terus memulakan tugas. Apa yang tergambar dalam kepala ialah anak-anak yatim yang sedang menanti kehadiran kami. Kali ini kapung atau desa yang menjadi destinasi ialah di desa Ujung Batee, yang terletak kira-kira 60 km dari Banda Aceh.

Kampung ini terletak di tepi pantai. Perkampungan pantai. Sebuah kampung lama persis perkampungan nelayan. Kampung Ujung Batte adalah antara kampung yang turut sama dilanda oleh tsunami, bagaimana pun keparahannya tidak sehebat kampung Kajoo - kampung yang kami kunjungi sebelum ini yang mana ratusan orang meninggal dan ratusan anak yatim yang kini membesar di bawah jagaan pelbagai pihak.

Kami sampai ke desa Ujung Batte kira-kira jam 6:00 atau 5:00 petang waktu tempatan. Masa bebuka di sini ialah pukul 7:45 minit malam atau pukul 6:45 petang waktu tempatan. Di sebuah musallah di kejauhan sudah kelihatan sekumpulan kanak-kanak berusia 6 hingga 10 tahun berlarian. Mereka main kejar-kejar. Begitu ternampak kenderaan yang membawa kami mereka menerpa, melambai-lambai tangan memberi salam dengan senyum mengepak di bibir.

Mereka adalah sekumpulan dari 40 anak-anak yatim yang dikumpulkan untuk dirai oleh kami. Selepas itu sekumpulan, sekumpulan lagi sampai. Begitu juga orang kampung sekitar turut memberi sambutan pada majlis itu. Melihat kepada wajah-wajahnya ternyata mereka adalah masyarakat yang susah dan miskin. Gurisan diwajah mencerminkan keperitan mereka menjalani kehidupan terutamanya selepas berlaku tsunami.

Paling jelas ialah diwajah beberapa perempuan tua yang kelihatan 'laif' dan lesu. Masih ada yang berkaki ayam. Untuk menyara hidup anak beranak ada yang berkerja jauh di gunung memecah batu. Tidak terbayang bagaimana dengan sejemput kudrat yang sudah tersisa mereka masih meneruskan kerja memecah batu gunung untuk hidup yang pendapatannya tidak sampai Rp200,000 sebulan.

Lima belas minit menjelang berbuka majlis kecil dan ringkas penyampaian bahan makan dan sedikit wang disampai. Saat inilah yang menggembira dan menyanyukan. Kegembiraan jelas terbayang di wajah mereka, satu demi satu tangan yang disalami bagaikan mengamit kasih berterusan. Ironisnya pemberian tidak seberapa, tetapi bagi mereka hadiah itu disembut dengan penuh kesyukuran dan hormat.

Bagi saya dan rakan pula apa yang benar-benar terasa ialah kesyukuran kepada Allah kerana dapat menemui mereka. Dapat melakukan apa yang menjadi kesukaan Rasulullah s.a.w. itu, mengusap-usap kepala anak-anak yatim. Perbuatan atau sunnah ini sudah jarang diingati dan dipraktikan oleh kita semua.

Bagi saya kerja ini dilihat sejak dari kecil lagi. Ketika mengikuti buntut arwah datuk (Othman Yaacok - al Fatihah untuknya) menghadiri majlis maulid ataupun solat hajat, bila bertemu kanak-kanak datuk akan mengusap-usap kepala mereka sambil mulutnya membaca sesuatu. Lama selepas itu baru saya memahami bahawa perbuatan arwah datuk itu adalah satu amalan terpuji yang dilakukan Rasulullah.

Majlis ringkas yang penuh bererti tadi berakhir selepas menunaikan solat Maghrib. Saat untuk berpisah dengan anak-anak ini merupakan saat yang paling menyayukan. Sukar untuk melepas mereka. Tetapi antara kami terus berdoa semoga diketamukan Allah di lain kali.

Bukan saja anak-anak yang masih putih dan kudus jiwanya itu tetapi tok imam di kampung berkenaan, Teuku Jamaluddin juga sempat membisikan secara perlahan penuh segan kepada saya; ustaz (wah dipanggil ustaz) kalau boleh datanglah menjalani ibadat korban di kampung ini pada Aidiadha nanti, kami di sini sudah lama tidak merasai daging korban."

Rasanya tersayap hati saya mendengar kata-kata tok imam yang lirih dan penuh mengharap itu. Saya tidak membalas dengan suara terhadap kata-kata itu cuma menjawab dalam hati, isya-Allah kalau ada rezeki dan diberi kesihatan saya dan rakan akan kemari lagi.

Kepada rakan khasnya penjenguk blog MT dan rakan Fb yang turut memberi sumbangan dan bersedekah saya ucapkan berbanyak terima kasih. Saya terharu atas keprihatinan anda. Allah jua yang akan memberi ganjaran atas kemurahan itu.

Apa yang kita beri telah digenggam erat oleh mereka persis menarik tangan kita untuk terus bersama mereka sepanjang masa. Semoga kita mendapat keampunan di atas segala pengorbanan kita dan berterima kasih juga kepada si cilik yatim piatu itu kerana sudi menerima derma tak seberapa itu. Apalah kita kalau derma yang kita hulur enggan diterima mereka? [ba indo.7:47 am 20/08/11]

Tiada ulasan: