Sabtu, 13 Ogos 2011

.

.


Maklumat Iseng

Posted: 13 Aug 2011 01:54 AM PDT

Doktor Amerika Belah Lutut Najib?

Ya Quddus: Perkara ini kecil saja dan tidak patutnya menjadi isu. Tetapi disebabkan tidak ada isu besar lewat petang ini rasanya elok kalau ia dicatatkan di sini untuk menjadi renungan. Mudah-mudahan sumber dan maklumat ini dapat menyedarkan kita semua bagaimana sikap pemimpin kita.

Nilailah sendiri sebaik mungkin. Apa yang berlaku ini menyebabkan kita merasakan betapa rendahnya nilai orang kita di mata pemimpin negara kita yang bercakap soal bangsa, soal identiti dan soal nilai-nilai kita. Jelas pemimpin hanya tahu menyeru tetapi tidak mudah untuk berbuat.

Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Itulah slogan PM Najib Razak. Bila sebut rakyat dalam konteks hakikatnya Melayu. Kita faham kita kenakan dahulukan Melayu dulu sebab kita adalah orang Melayu dan PM itu Melayu Bugis.

Tetapi malang Najib tidak cuba mempraktikan apa yang diseru itu sebaliknya dalam masa sama merendahkan keupayaan Melayu bangsa yang memayungnya sebagai pemimpin.

Ini dapat dilihat kepada apa yang baru terjadi. Katanya doktor yang membedah lutut Najib bukan melayu tetapi doktor dari sebuah universiti Amerika Syarikat. Perkara ini telah menjadi buah mulut dari kalangan doktor dan pakar bedah negara ini.

"Najib tidak percaya kepada Melayu, yang bedah lutut dia doktor Amerika," begitu bagi tahu seorang doktor pakar di sebuah hospital pakar di KL kepada kawan saya yang kemudian memberi tahu saya.

Menurut katanya doktor itu rasa kecewa sedikit sebab Najib seakan tidak percaya kepada doktor Melayu. Urusan membawa mari doktor berkenaan dilakukan oleh Wanita Pertama Malaysia.

"Kita hanya periksa saja, pembedahan dilakukan oleh doktor asing," jelas doktor itu kepada kawan saya itu.

Tentang berapa bayaran untuk doktor pakar jangan ditanya, Najib PM kerajaan tanggung semuanya.

Hal ini tidak ada masalah. Seperti saya katakan tadi ia bukan isu. Kerana tak ada isu elok dicatat supaya rakyat tahu dan orang Melayu tahu bahawa Najib tidak percayakan kepada Melayu. Itu saja dan selamat berbuka puasa. [wm.kl.5:03 pm 13/08/11]

Sebelum Tidur

Posted: 12 Aug 2011 02:57 PM PDT

Rupanya Almarhum Fadzil Nor
Sudah Kenal Siapa Dia Z 9/10?


Ya Malik: KENALKAH anda dengan Z 9/10? Apakah benda Z 9/10 itu? Apakah dia seekor binatang seperti Salentia ataupun pun tumbuhan macam lalang ataupun pohon dedalu - parasit yang tidak tahu diuntung ataupun kacang yang lupakan kulit?

Atau pun dia ini makhluk Allah misteri yang sebenarnya hawaian yang berkaki dua menyerupai manusia. Atau anak hantu yang bertopengkan manusia?

Saya sendiri baru tahu apa dia Z 9/10 ini. Dia bukan nombor plat kereta atau motisikal. Dia sebenarnya makhluk yang termasuk dalam species manusia juga. Dia dilahirkan Allah atas tujuan dan kehendak-kehendak tertentu. Peristiwa satu hari memberikan saya peluang mengetahui apa dia Z 9/10.

Selepas selesai menunaikan solat jenazah Allahyarham Dr Lo' Lo' Ghazali baru-baru ini saya telah menziarahi seorang ustaz di Keramat. Ustaz ini mengenali saya, saya yang tidak berapa ingat mengenainya. Buktinya dia menyebut nama saya dan katanya selalu mengikuti penulisan saya dalam blog.

Hari itu saya bersama tiga lagi rakan, Md Radzi Mustafa, Zaki Abdul Rahman dan Zulaimi Kazin mengekori Exco Kelantan Husam Musa yang berhajat menziarahi ustaz berkenaan. Saya tidak tahu kenapa saya begitu mudah pula untuk mengikuti rakan-rakan itu untuk sama-sama menziarahi ustaz berkenaan.

Sampai di rumah ustaz berkenaan, entah macam mana terkeluar cerita mengenai hamba Allah yang satu ini. Di sinilah terbongkar kisah Z 9/10 ini. Masing-masing meluahkan pengalaman dengan hamba Allah ini, yang menurut pengalaman masing-masing sungguh perih dan mendukacitakan apa yang dilakukan.

Perbuatan politiknya amat meloyakan. Dia sanggup melakukan apa saja untuk melepaskan dirinya. Dia mengkhinati lawan dan mencerca bekas orang yang disanjungnya selama ini. Dia juga seorang bermuka-muka dan munafik yang jelas. Munafik 'kubra'. Dia akan menipu sesiapa saja yang berkesempatan. Gaya hidupnya tidak ubah seperti ular sawa akan menjeler-jelerkan lidah dan membelit sesiapa yang lalai. Dia jenis orang makan orang.

Pembohongan dan 'belawak'nya mengatasi gunung Tahan dan gunung Kinabalu. Orang yang mengenalinya tahu sifat buruknya ini. Kepada yang tidak percaya sila mendekatinya dan berkawannya dengan untuk beberapa ketika, akan tahulah tembelang dan temberangnya.

Gara-gara sifat buruk itu dia mendapat gelaran dengan berbagai nama yang jelek-jelek termasuk dipernah digelar orang sebagai Abu Jahal dan Abu Lahab atau al Kazeeb. Nauzubilahiminazalik.

Saya sendiri pernah membuat anologi begini kepada manusia ini. Bohongnya tidak kira tempat dan tidak kira masa. Kesanggupan dia berbohong melepasi kesanggupan manusia lain. Kenapa tidak dia boleh dan sanggup berbohong di dalan Masjid Haram di Makkah, masjid Nabawi di Madinah. Apa jenis manusia ini. Kalau di dua tempat yang suci dan mulia itu sanggup berbohong maka tidak hairanlah.

Mungkin kalau dia bisa memasuki masjid al Aqsa dia juga akan melakukan pembohongan di sana?

Dalam cakap-cakap mengenai dia ini ketika inilah Husam mencelah, katanya Ustaz Fadzil sudah lama kenal dengan dia ini. Ustaz Fadzil panggilan dia Z 9/10. Hanya Anwar Ibrahim saja tidak kena siapa dia ini sebab Anwar mempercayai dan melayaninya?

Apabila Husam menceritakan sejarah itu barulah kami semua tahu akan hakikat orang ini. Rupanaya sudah lama dia hidup tidak serupa dengan orang. Orang yang kenal dan arif mengenai sudah kali dengan tingkah laku dan segala bual-bual besar dan pembohongannya.

Kenapa 9/10? Sembilan sepuluh ialah bererti 9 yang dicakap oleh manusia ini 10 adalah bohong dan temberang. Semoga di bulan Ramadhan Kareem ini Allah membuka pintu hatinya dan Lailatu Qadar yang bakal menjelma akan merubah hidupnya. Ya Allah tolonglah semuga hambaMu ini selamat dan sihat menjadi seperti makhluk lain. [wm.kl.10:57 13/08/11]

Laporan Lewat

Posted: 12 Aug 2011 07:04 AM PDT

Najib, Rosmah Datang Tayang Body Di Mahkamah

Al Rahim: DUNIA politik hari ini agak terkaget sedikit apabila mendapat tahu yang Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor hadir di mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Kehadiran Najib itu mulanya dirasakan sebagai satu keberanian kerana beliau akan berhadapan dengan pasukan peguam bela Anwar dan juga Anwar sendiri.

Najib dan Rosmah adalah antara 15 orang saksi yang ditawarkan oleh pendakwa untuk disoal sebelum mereka muncul di mahkamah sebagai saksi perbicaraan liwat Anwar. Mulanya saya sendiri merasakan tidak yakin yang Najib dan Rosmah akan berani untuk bertentangan mata dengan Anwar.

Tetapi kalau Najib dan Rosmah berani berbuat demikian ia adalah satu perkara luar biasa dan satu sikap gentlemen Najib dan isteri. Kalau Najib bersedia disoal siasat peguam Anwar hari ini saya angkat tabik kepadanya.

Dengan berbuat demikian Najib dan Rosmah tidak dianggap pengecut dan beliau sedia untuk ditanya apa saja oleh peguam Anwar dalam usaha mencari kebenaran di sebalik kes liwat yang dituduh ke atas Anwar.

Najib dan Rosmah dilaporkan berada sengah jam di komplek mahkamah Jalan Duta.

Apakah Najib dan Rosmah sudah bertentangan mata dengan Anwar atau telah menjawab semua soalan yang dihimpun oleh pasukan peguam Anwar?

Dari satu laporan yang memetika sumber peguam Anwar, sebenarnya Najib tidak pun menjawab apa-apa persoalan yang hendak dibangkitkan oleh peguam bela Anwar. Jadi kenapa beliau hadir? Beliau hadir sebagai untuk menyatakan mereka berani dan benar saja. Kehadiran itu lebih kepada strategi politik untuk tidak diatakan penakut.

Kehadiran itu tidak lebih daripada sekadar mahu melihat bangunan mahkamah sahaja. Atau ia untuk menayang body di bulan Ramadhan. Najib pula lebih untuk men unjukkan kepada ramai bahawa lututnya yang dibelah baru ini sudah sembuh molek. Sudah tentu kedatangan mereka berdua akan dihebuhkan oleh media massa penjilat buntut sebagai sikap terbuka dan berani Najib berdepan dengan kenyataan.

Mungkin begitu. Jadi telahan saya setelah mendapat berita awal yang Najib dan Rosmah ke mahkamah, bukan untuk memenuhi kenendak peguam Anwar tetapi sebagai mengelirukan orang ramai untuk tidak mengatakan dia berdua penakut atau tidak mahu mahu memberi kerjasama.

Apakah tektik Najib itu berjaya? Tidak. Selepas ini berita pemergian Najib dan Rosmah ke mahakamah itu akan dijadikan isu politik oleh Pakatan Rakyat. Dari penjelasan tujuan pemergian Najib itu menjelaskan kepada umum bahawa Najib bermain politik kecil dengan kehadirannya hari ini yang lebih bersifat untuk melawat mahkamah dan mengejek penyokong Anwar cuma.

Menurut seorang pengamal undang-undang yang rapat dengan saya, Najib memang boleh hadir dan beliau boleh untuk tidak menjawab soal peguam bela di luar mahkamah. Kemungkinan kehadiran Najib itu bagi memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia dan isterinya akan hadir untuk menjawab apa saja pertanyaan di dalam kandang orang salah di mahkamah bukan untuk disoal siasat di luar mahkamah.

"Tetapi kalau Najib dan Rosmah benar berdepan dengan penguam Anwar dan menjawab pertanyaan diajukan, itu adalah keberanian dan sikap itu patut dipuji," kata peguam yang menjadi kawan saya itu.

Kesimpulannya kedatangan Najib ini sama jugalah dengan kehendak peguam di sebelah Anwar lebih bermotifkan politik daripada hakikat untuk mencari keadilan kepada kes yang sedang berlarutan itu. Mahkamah telah menetapkan 15 hingga 26 Ogos ini untuk membela diri. [wm.kl.10:13 am 12/08/11]

Analisa Isu

Posted: 12 Aug 2011 03:48 AM PDT

Selamat Berjumpa Dengan Gereja

Al Rahman: NAMPAKNYA Pas tetap meneruskan juga keputusan untuk menemui pihak Gereja Methodits seperti mana yang diputuskan oleh Jawatankuasa kerjanya. Pertemuan itu akan diadakan pada 16 Ogos ini di gereja berkenaan di Damansara Utama.

Pertemuan itu akan diketuai oleh Timbalan Presiden, Mohamad Sabu bersama Naib Presiden Sallahuddin Ayub, PPJ Selangor Dr Mohd Rani Osman, Ketua Penerangan Tuan Ibrahim Tuan Man, Ajk Idris Ahmad, Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Dzulkefly Ahmad dan Mujahid Yusuf Rawa.

Akan ikut sama Setiausaha Agung Mustafa Ali.

Pas juga turut untuk mengadakan pertemuan dengan Jais bagi mendapat penjelasan berhubung isu itu tetapi pihak Jais menangguhkan dahulu pertemuan itu. Pas sepatutnya memahami kenapa Jais menangguh terlebih dahulu dan gereja pula yang menyatakan persetujuannya untuk bertemu.

Dari segi tertibnya Pas patut berjumpa Jais dahulu barulah berjumpa dengan gereja.

Saya sudah memberi pandangan mengenai hasrat berkenaan dan serta menyatakan sedikit kebimbangan tentangnya. Pada saya pertemuan itu tidak wajar dan tidak perlu. Saya tidak nampak kenapa Pas harus mengambil bahagian begitu sekali untuk mengambil tahu (menyelesaikan) isu berkenaan yang dilihat sudah berbaur dengan kepentingan politik.

Pas tidak sepatut membelitkan isu itu dengan dirinya. Kalau Pas tidak beriya menyelesaikannya ia tidak memberi apa-apa risiko kepada Pas dan kalaupun ia berjaya tidak banyak laba yang Pas kutip darinya. Orang tidak akan menuduh apa-apa kepada Pas kalau Pas tidak berbuat jauh dari itu.

Kita bimbang kalau silap hari bulan cara Pas itu ianya akan dieksploitasi oleh musuhnya dan makin menjadi masalah kalau pemanipulasian itu tidak sempat untuk dijelaskan di saat-saat pilihan raya umum menjelang tiba.

Saya bersetuju dengan seorang penjenguk blog saya yang mencadangkan elok kalau pertemuan itu diadakan atas nama Pakatan Rakyat bukannya Pas saja. Walaupun Pas parti Islam yang relevan menyelesaikannya isu-isu keagamaan tetapi isu itu bukan saja akan menjejaskan Pas sebaliknya turut sama tempias kepada rakan mereka DAP dan PKR.

Sepatutnya PKR dan DAP ikut sama dalam pertemuan itu dan tidak mengadakan pertemuan secara berasingan. Apa-apa perbincangan Pas dengan gereja dan mana-mana rakannya DAP dan PKR perlulah terbuka dan telus. Jangan pula selepas ini DAP atau PKR mengadakan pertemuan berasingan dengan gereja yang mana pertemuan itu nanti akan timbul pula apa-apa prejudis tidak baik.

Pertemuan Pas itu juga seolah Pas tidak mempercayai kepada Exco Kerajaan Selangor yang juga ahli Pas, Hasan Ali. Hasan telah memberi penjelasa berhubung perkara itu dalam mesyuarat jawatan kuasa kerja tempoh hari.

Disebabkan pertemuan itu akan diadakan di gereja, saya ingin mengingatkan sekali lagi para pemimpin Pas itu agar berhati-hati. Pertemuan itu sudah tentu akan diburu oleh media massa. Media massa akan melaporkan seluas-luasnya mengenai pendekatan Pas itu mengikut selera dan agenda mereka. Bagaimana pun itu tidak membimbangkan.

Apa yang perlu diwaspadakan gambar kunjungan mereka itu nanti akan dieksploitasikan oleh musuh. Sudah tentu musuh akan mengirimkan jurugambar profesional untuk merakam pertemuan itu. Bersalam dengan Paderi atau Pastor tidak menjadi masalah. Itulah gambar kehidupan negara ini yang sebenarnya.

Tetapi apa akan jadi kalau gambar itu nanti dibawa ke kampung-kampung? Misalnya apa jadi kalaiu gambar Sallahuddin Ayub yang sedang bersalam dengan Pastor di bawah ke Kelantan. Mungkin Tok Guru Nik Aziz, Husam Musa faham dengan kunjungan itu tetapi macam mana dengan ustaz-ustaz konvensional? Mereka tentu merasa cuak dan kurang senang dengan pertemuan berkenaan yang akan ditafsirkan Pas bersimpati dengan gereja.

Kalau gambar itu diecerkan oleh musuh kepada orang kampung yang rendah pengetahuan agamanya, ia bakal menjadi masalah kepada Sallahuddin. Tidak paya gambar itu eksklusif sangat, seperti berpelukan dengan Pastor tetapi cukup kalau gambar Sallahuddin atau pemimpin Pas itu berlatarkan gereja berkenaan ia sudah menjadi isu.

Kenapa tidak mengadakan pertemuan di tempat berkecuali bagi mengelakkan fitnah?

Apa yang pernah menimpa Tengku Razaleigh Hamzah tahun 1995 lalu perlu diambil iktibar. Macam mana gambar Tengku Razaleigh memakai 'sigah Kristian' telah dipapar di akhabr menjelang hari mengundi. Gambar berkenanaan benar-benar telah mengelirukan pengundi menyebabkan Semangat 46 yang dirasakan akan menumbangkan BN sebaliknya kalah teruk.

Apapun kerana janji untuk bertemu itu sudah dibuat terus sajalah. Tetapi kena berhati-hati jangan pula niat yang suci dan bersih itu terbalik menjadi musibah kepada Pas. Saya hanya menulis dan berpesan saja berdasarkan perintah Allah; berpesanlah ke arah kebaikan dengan penuh kesabaran. [ukp.kl.7:05 pm 12/08/11]

Tiada ulasan: