Rabu, 31 Ogos 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Mat Indera Tak Mati Di Tali Gantung, Disimpan British Sebagai Pemberi Maklumat Komunis

Posted: 31 Aug 2011 01:04 AM PDT

Syabas diucapkan kepada Mat Sabu kerana bertepatan dengan hari merdeka dan bulan merdeka negara dipanaskan dengan peristiwa Bukit Kepong. Tahniah juga kepada Utusan Meloya yang membantu menaikkan isu yang sama secara besar-besaran. Memang dari segi 'pemasaran politik', tidak ada sesiapa yang dapat menandingi Utusan Meloya.

Kedua-dua mereka Utusan dan Mat Sabu membuatkan rakyat mencari-cari siapa sebenarnya pejuang dalam memastikan negara kita merdeka. Isu ini juga membuatkan kita mula mengkaji semula segala bahan tulisan sejarah yang tersedia ada dan diulang-ulang sebagai hidangan untuk kita telan bulat-bulat sejak sekian lama. Tiba-tiba ramai orang meminati sejarah.


Kata cerdik pandai, sejarah bukanlah apa yang kita fikirkan, sebaliknya sejarah adalah apa yang kita ingat. Bagi saya pula 'Sejarah adalah apa yang kerajaan mahu kita ingat'. Apa yang orang lain ingat dan mengalami atau menyaksikannya sendiri tidak menjadi bahan sejarah jika kerajaan atau penguasa tidak mahu mengingati peristiwa tersebut.


Antara maklumat yang paling dicari oleh orang ramai sekarang ini adalah menyelidiki siapa sebenarnya Mat Indera. Banyaklah tulisan yang tiba-tiba muncul menceritakan siapa sebenarnya Mat Indera. Nama tersebut bukan satu nama yang diingati oleh orang ramai dan kalau kita buat carian pada Wikipedia dalam peristiwa trajedi Bukit Kepong pun, maklumat mengenai Mat Indera masih lagi kosong.

Antara maklumat-maklumat mengenai Mat Indera yang ada boleh didapati di sini dan juga di sini. Penulis asal cerita Mat Indera ini boleh dilihat di sini, dia ada memberikan komen tambahan mengenai legenda Mat Indera ini seperti di bawah:


"sebelum nih.. ade anak sedare mat indera bagitau saye.. dia tak tau kat mane sebenornye kubor mat indera.. dan ade beberape orang pernah bagitau saye.. yang digantung tu bukannye mat indera.. tetapi mat indera disembunyikan untuk mendapatkan maklumat mengenai komunis.. wallahualam..
dan terbaru.. ade seseorang memberitahu mat indera baru jer ninggal beberape bulan yg lepas..entah ler.."

Cerita Mat Indera dengan kehebatan serta kesaktiannya dah jadi macam dongeng pula, nampaknya orang Melayu masih lagi suka dengan cerita-cerita seumpama itu dan tangkal masih lagi ada pasarannya di negara kita.

Walau apapun dakwaan bahawa Mat Indera baru saja meninggal menarik juga untuk dijadikan bahan cerita sensai. Apakah benar British menyimpannya sebagai pemberi maklumat kegiatan komunis tidak dapat dipastikan melainkan perlu korek bahan-bahan sejarah dari muzium kat London.

Cuma kalau dia tak ke tali gantung, selepas British berambus dari tanah Melayu, dia berkhidmat untuk siapa pulak....besar kemungkinannya ia hanyalah satu lagi imaginasi yang diharapkan berlaku oleh mereka yang kagum dengan Mat Indera dan tidak dapat menerima perjuangan Hero mereka lansung tidak dihargai.....biasalah, "Sejarah adalah apa yang penguasa mahu kita mengingatinya....."

Dipetik dari sini


Fakta sejarah perlu dikaji semula, tak timbul isu sokong komunis

Posted: 30 Aug 2011 09:52 PM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-54 dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula dikritik sesetengah pihak berhubung satu ceramah baru-baru ini, parti Islam itu menegaskan, negara perlu mentafsir semula fakta sejarah agar semua hero diberi penghormatan sewajarnya.

Sehubungan itu Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, soal menyokong komunis tidak timbul jika "kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis."

"Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit," kata Tuan Ibrahim (gambar).


Mohamad atau lebih dikenali sebagai "Mat Sabu" dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, dilaporkan berkata, pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Mohamad dan menegaskan akan mengambil tindakan saman ke atas Utusan Malaysia atas alasan telah memutarbelitkan kandungan ceramahnya.

Polis pula berkata mahu menyiasat Mohamad kerana mengeluarkan kenyataan mengemparkan rakyat.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas iaitu "apakah British dan kuncunya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah ditafsirkan."

Kata beliau, kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.

"Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya.

"Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Hari ini, genap 54 tahun negara mencapai kemerdekaan. Bagaimanapun sambutan akan diadakan pada 16 September ini sempena Hari Malaysia.

Tuan Ibrahim menambah, disebabkan pada zaman British menjajah negara, mereka telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka.

"Namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan, maka kini timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.

"Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), PKM (Parti Komunis Malaya) dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British," katanya lagi.

Justeru kata Tuan Ibrahim, atas penilaian itu, "kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero."

"Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?" tambah beliau.

Beliau seterusya menyoal, jika kedua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya?

"Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya," kata Tuan Ibrahim.

Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.

Bagaimanapun katanya, yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero.

Pada masa yang sama kata Tuan Ibrahim, kedudukan dan jasa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.

"Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat?

"Secara menafsir sejarah secara jujur, semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun," katanya lagi.

Namun demikian, tambah beliau, "kita tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya menghalau penjajah."

"Namun apa yang pasti, menghalau penjajah merupakan 'common goal' yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain," katanya lagi.

Tuan Ibrahim seterusnya bertanya, "pada 1950 adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara?"

"Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu," jelas beliau.

"Selepas merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan.

"Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British," kata beliau.

Oleh itu kata beliau, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.

"Inilah tafsiran sejarah secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi satu-satu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era. Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri selepas menghalau penjajah," katanya sambil menambah, sejarah yang paling kritikal juga berlaku di zaman peralihan antara Jepun dan British.

"Di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British," kata beliau lagi.

"Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.

"Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Profesor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini," kata beliau lagi. - TMI


Sajak Dimuatnaikkan Semula Sempena Merdeka

Posted: 30 Aug 2011 06:35 PM PDT


Klik sini untuk ceritanya. AlFatihah untuk pahlawan kita. Polis yang jaga tu Melayu ke?

Di atas Jambatan Sultan Yahya Petra yang jem
aku memandang arus sungai yang mewarnai skyline Kota Bharu
sambil bertanya kepada Tok Janggut

Di atas Jambatan Sultan Mahmud yang gah
aku memandang pondok tol yang ditutup Hj. Hadi
sambil bertanya kepada Haji Abdul Rahman Limbong


Di atas flyover ke Ayer Keroh di Melaka
aku menyampah melihat billboard bermuka Ali Rustam
sambil bertanya kepada Dol Said

Di atas jambatan di Ranau setelah kepenatan memandu dari Tawau
aku berhajat singgah di kedai sup gadis Dusun bertudung yang cantik
sambil bertanya kepada Pahlawan Mat Salleh

Di tepi Sungai Sarawak dikala mencari gambir
aku asyik terkenangkan isterinya dan Taib Mahmud
sambil bertanya kepada Rosli Dhoby

Di atas Jambatan Sayong di Kuala Kangsar
aku membandingkan Zambry dan Nizar
sambil bertanya kepada Dato' Maharaja Lela

Di kala atas jambatan merentasi Sungai Rompin
aku cuba sedaya melupakan si Jarjis di New York
sambil bertanya kepada Datok bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau

Dikala makan lemang sambil merenung cerita "Bukit Kepong" di TV
aku terkenangkan Mat Sabu dan Jins Samsudin
sambil bertanya kepada Mat Indera

Benarkah kata mereka kita merdeka di meja rundingan tanpa setitis darah?



Kalaulah Mat Indera ada blog!

Dipetik dari Laman Muhandis


Mat Sabu, komunis dan PRU 13

Posted: 30 Aug 2011 04:27 PM PDT

Mohamad Sabu menjadi pemimpin pembangkang terbaharu yang berkonfrontasi dengan Utusan Malaysia, akhbar harian dikuasai parti pemerintah, Umno.

Ucapan timbalan presiden PAS itu yang didakwa pengkritiknya sebagai mengina pejuang kemerdekaan kini menjadi isu besar yang diwacanakan media propemerintah menjelang kemerdekaan.

Mohamad bukan individu pertama yang cuba memberi penilaian semula sejarah negara melibatkan persaingan ideologi dalam perjuangan menentang penjajah dan kemerdekaan.


Dalam penafsiran semula hal itu, tidak dapat dielakkan penilaian terhadap golongan berhaluan kiri termasuk sosialis dan komunis, yang diabaikan dalam penulisan sejarah paling dominan negara ini.

Pengiktirafan terhadap golongan kiri, yang pernah dilakukan antaranya melalui buku-buku terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia turut mencetuskan kontroversi serupa, yang dikritik keras secara simplistik sebagai pengiktirafan terhadap komunis.

Hakikatnya, perjuangan komunis dikawal China tidak diterima sepenuhnya oleh golongan kiri di Malaysia, terutama yang berbangsa Melayu dan mempunyai jati diri berasaskan Tanah Melayu. Dominasi China ialah penguasaan berbentuk penjajahan yang ditentang golongan kiri tersebut.

Ucapan Mohamad itu dieksploit dalam konteks persaingan wacana perjuangan kemerdekaan yang penting kepada pemerintah untuk memastikan versi sejarahnya kekal dominan, dan kepentingan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Mohamad dalam kes ini meneruskan kritikannya terhadap apa yang dilihatnya sebagai dominasi satu versi sejarah, walaupun kritikannya itu kurang cermat dan tidak mengambil kira sensitiviti sejumlah besar orang Melayu.

Hal ini sama dengan kritikan lamanya terhadap orang Melayu yang didakwa kurang sensitif terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding orang Cina, yang turut dieksploit penyokong Umno.

Turut memperlihatkan kekurangan sensitiviti beliau ialah pujian berpanjangan terhadap Lim Guan Eng, pemimpin DAP rakan karibnya yang juga ketua menteri Pulau Pinang, pujian yang dianggap berlebihan dan hampir menghina termasuk oleh penyokongnya sendiri.

Dalam hal melibatkan sensitiviti Melayu ini, Mohamad boleh disifatkan telah melakukan kesilapan kerana tidak cermat, dan boleh menjejaskan undi Melayu terhadap PAS ketika pelbagai isu termasuk kes gereja di Selangor menambah persepsi negatif Melayu terhadap PAS.

Walau bagaimanapun, kontroversi ini tidak semestinya negatif terhadap beliau, terutama melibatkan pertandingan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Sekiranya beliau bertanding di kerusi majoriti Cina, apa yang berlaku selama ini memberi kesan positif kepada beliau, kerana imej mesra dengan masyarakat itu - terutama hubungan baik dengan DAP yang mendapat sokongan kuat Cina - telah terbina lama.

Beliau disebut-sebut akan bertanding di kawasan bandar atau majoriti Cina. Kerusi seperti Parlimen Bayan Baru di negeri dikuasai DAP, Pulau Pinang ialah satu contoh kerusi yang mempunyai majoriti Cina yang berpotensi untuk Mohamad.

Bayan Baru mempunyai 48.46 peratus pengundi Cina pada pilihan raya lalu, dan 39.14 peratus pengundi Melayu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohamed Hashim telah meninggalkan PKR dan kini menjadi ahli bebas. PAS berhasrat mengambil alih kerusi-kerusi yang ditandingi oleh wakil PKR yang telah melompat keluar parti.

Mohamad ialah salah seorang pemimpin PAS yang paling rapat dan mempercayai DAP, dan yakin kedua-dua parti mampu membina hubungan rapat walaupun berbeza ideologi.

Dipetik dari SiasahDaily


Kajian Merdeka Centre Bodoh Dan Kurang Ajar

Posted: 30 Aug 2011 08:11 AM PDT

TPM: Imej tercalar Najib tak cermin situasi sebenar

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata bancian populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dijalankan Merdeka Centre tidak mencerminkan situasi sebenar.

Beliau berkata laporan terbaru organisasi itu "tidak semestinya benar" kerana ia bergantung kepada bagaimana responden dipilih.

"Kita tidak mengambil serius laporan itu kerana tanggapan orang ramai boleh berubah dari semasa ke semasa. Apa yang penting sekarang ialah apa yang perlu kita lakukan untuk mengatasi isu berbangkit bagi memastikan Perdana Menteri terus mendapat sokongan teguh," katanya kepada pemberita, di Putrajaya hari ini.


Muhyiddin yang ditemui di Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sempena Aidilfitri di Seri Perdana, juga berkata kerajaan bekerja keras untuk mengatasi kenaikan harga barang dan perkhidmatan di negara ini.

"Kami sedang mengatasi isu itu. Kenaikan harga barang adalah isu global. Bagaimanapun kerajaan mengambil langkah untuk menanganinya," kata beliau.

Kajian membabitkan 1,027 responden itu menunjukkan rating Najib jatuh enam peratus daripada 65 peratus pada Mei lepas kepada 59 peratus pada Ogos.

Kajian itu menyifatkan kemerosotan tersebut berpunca daripada kebimbangan rakyat mengenai peningkatan kos sara hidup yang mula dirasai pengguna akibat kenaikan harga minyak dan tarif elektrik baru-baru ini.

- Bernama


Nabi Pun Dianggap Pengkhianat, Apatah Lagi Mat Sabu..

Posted: 30 Aug 2011 08:04 AM PDT

MARANG, 29 Ogos: Dunia hari ini akan menghukum bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pengkhianat kepada bangsa dan tanahair, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ini, katanya kerana Nabi s.a.w. menyerang bangsa dan tanahairnya sendiri di Mekah dan kaum Arab yang dipimpin oleh bapa mertuanya, Abu Suffian.

"Tidak, tidak sekali-kali kerana bangsanya menganut ajaran jahiliah, ajaran syaitan dengan meninggalkan syariat Allah SWT," tegasnya semasa berkhutbah Idulfitri di Masjid Rusila, hari ini.


Pada ketika itu, jelasnya di bahagian timur Semenanjung Tanah Arab dijajah oleh Parsi dan baratnya oleh Rom.

"Mekah dibebaskan, Mekah dimerdekakan. Dimerdekakan daripada siapa? Dimerdekakan daripada jahiliah, bukan jahiliah Parsi, bukan jahiliah Inggeris, jahiliah Perancis, jahiliah Cina dan India. Mekah dibebaskan dari jahiliah Arab, sebangsa dengan Nabi s.a.w.," jelasnya di hadapan lebih 3,000 jemaah.

Katanya, Mekah dijajah oleh jahiliah Arab, dengan itu Nabi s.a.w. memimpin para sahabat untuk membebaskan Mekah daripada jahiliah bangsanya sendiri.

Tegasnya, Mekah dibebaskan daripada jahiliah kerana kemerdekaan yang sebenar ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Beliau yang juga ahli parlimen marang berkata, tidak ada kemerdekaan selagi tidak mengabdikan diri kepada Allah SWT.

"Selagi sembahyangnya tidak mengadap Allah, selagi syariat dan hukum-hakamnya tidak mengikut syariat dan hukum-hakam Allah, tidak dinamakan merdeka dalam erti kata yang sebenar," jelasnya.

Tegasnya, perjuangan memerdekakan manusia dengan hanya mengabdikan diri kepada Allah.

"Ketahuilah, umat Islam belum merdeka daripada penjajah Inggeris, penjajah Perancis, penjajah Itali, penjajah Komunis, penjajah Cina, Rusia dan lain-lain selagi mereka tidak melaksanakan Islam di tanahair mereka.

"Selagi hukum Islam tidak berdaulat, syariat Allah tidak diamalkan semuanya, menandakan perjuangan kita belum selesai, perjuangan untuk menyambung risalah yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w. belum selesai," ujarnya lagi.

Dipetik dari Harakahdaily


Umno Terus Hidup Dalam Mimpi Ciptaan Sendiri..

Posted: 30 Aug 2011 07:48 AM PDT

Rais: Kajian Merdeka Center tak berasas, Najib diterima majoriti rakyat

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diterima majoriti rakyat di negara ini, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kepimpinan Perdana Menteri amat kukuh di kalangan rakyat di negara ini terutamanya daripada segi penerimaan program pembelaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menganggap laporan kajian Merdeka Centre yang mengatakan populariti Perdana Menteri semakin menurun sebagai tidak berasas.


"Mereka hanya mengambil beberapa sampel yang tidak menyentuh komuniti luar bandar, masyarakat India yang tidak menyeluruh, masyarakat yang berada di sekitar kuala Lumpur yang mempunyai sokongan kuat dan padu kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini hari ini.

Kajian terbaru Merdeka Centre mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Bagaimanapun, kajian Jabatan Penerangan Malaysia yang melibatkan 50,000 responden yang terdiri daripada pelbagai masyarakat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak mendapati mereka amat menerima kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara ikhlas.

Sehubungan itu, Rais dipetik Bernama Online, meragui kajian Merdeka Research Centre dan menasihatkan pusat penyelidikan itu mengambil pendekatan yang menyeluruh apabila membuat sesuatu kajian sepertimana yang dilakukan di beberapa negara barat.

"Saluran penyelidikan mereka adalah terhad dan bagi pihak yang tertentu. Jadi ia tidak berasas kepada kenyataan dan keadaan sebenarnya," katanya.

Rais berkata peningkatan berganda bilangan orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri pada hari ini berbanding tahun lepas juga jelas menunjukkan keyakinan rakyat negara ini terhadap kepimpinan Najib sebagai pemimpin nombor satu negara.

The Malaysia Insider


Tiada ulasan: