Ahad, 21 Ogos 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Hisham: K'jaan tegas tentang kelayakan jadi pengundi

Posted: 21 Aug 2011 12:37 AM PDT

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini berkata kerajaan mempunyai pendirian yang jelas dan tegas dalam soal kelayakan untuk berdaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya.

Beliau berkata walaupun proses permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran diselesaikan dengan segera melalui penambahbaikan sejak lebih dua tahun lalu, ia tidak melibatkan perubahan dasar dan syarat-syarat peruntukan undang-undang serta peraturan sedia ada.

Kementerian juga mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengemas kini rekod-rekod warganegara Malaysia yang sah dan berdaftar sebagai pengundi awal minggu lalu, selaras dengan cadangan kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, katanya dalam kenyataan hari ini.


Hishammuddin berkata langkah mengemas kini rekod di bawah kementerian yang dikendalikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memastikan rekod kedua-dua pihak antara JPN dan SPR dapat diselaraskan dan pada masa yang sama dapat dikemas kini dengan segera dan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang salah tafsir atau salah faham oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata kementerian dan JPN perlu melipatgandakan usaha dan memastikan wujudnya sistem yang telus dan memuaskan semua pihak, dan mahu agar pangkalan data yang menyimpan permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran dapat dikemas kini dan menunjukkan status semasa dengan tepat.

Mengenai jawatankuasa itu, Hishammuddin berkata keputusan Kabinet untuk menerima cadangan penubuhannya adalah langkah terbaik untuk menjawab dan menangani segala bentuk persoalan dan tuduhan yang selama ini dilemparkan oleh pihak pembangkang.

Beliau berkata ia juga merupakan peluang terbaik untuk menonjolkan peranan ahli-ahli parlimen muda dalam negara untuk mengemukakan pandangan serta buah fikiran mereka khususnya mengenai penambahbaikan proses pilihan raya memandangkan mereka adalah suara yang akan mewakili generasi masa depan.

"Perubahan yang akan diputuskan kelak akan memberi kesan langsung terhadap proses dan kaedah kerja yang diamalkan selama ini termasuk oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Apa yang boleh dan tidak boleh dibuat sepanjang tempoh kempen pilihan raya juga perlu diputuskan berdasarkan keputusan yang akan dibuat kelak.

"Setelah kesemua cadangan berkenaan diluluskan, adalah penting agar semua jabatan dan agensi terlibat membentuk kerjasama rapat antara satu sama lain bagi memastikan segala keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Hishammuddin berkata jawatankuasa itu juga merupakan platform terbaik untuk membuktikan kepada rakyat bahawa pihak kerajaan tidak mempunyai apa-apa perkara yang perlu diselindung.

"Kita senantiasa menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk menentukan sama ada kita masih diperlukan atau tidak. Di atas asas dan keyakinan itulah kerajaan merasakan rakyat perlu mendapat gambaran yang tepat serta tidak mudah terpedaya dengan dakwaan-dakwaan tak berasas," katanya.

- Bernama


Khairy Masih Belum Sedar Yang Umno Sememangnya Meluat Dengannya

Posted: 20 Aug 2011 09:08 PM PDT

Khairy: Jika parti anggap saya bukan calon boleh menang, saya terima

KOTA BARU, 21 Ogos — Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, beliau sanggup menerima keputusan kepimpinan untuk tidak meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang jika bukan dianggap calon boleh menang.

Khairy memberitahu keputusan mengenai calon terletak di tangan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempunyai kata putus berhubung siapa calon yang membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang.

"Jika Presiden Umno memutuskan saya bukanlah calon yang boleh menang, saya terima keputusan itu," katanya di sini semalam.


Dipetik Bernama Online, Khairy (gambar) berkata, perkara paling penting ialah kemenangan parti dan bukannya kepentingan individu untuk mengekalkan kuasa.

Sehubungan itu beliau menggesa semua anggota dan pemimpin parti menerima segala keputusan kepimpinan Umno tanpa wujud sebarang perasaan tidak puas hati terhadap parti.

"Jika ada anggota dan pemimpin yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya dan berasa tidak puas hati serta ingin bertindak mensabotaj calon lain, Pemuda akan melaporkan kepada pucuk pimpinan," katanya.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata mereka yang tidak terpilih seharusnya akur dan menerima keputusan pucuk pimpinan Umno kerana antara kriteria yang ditetapkan ialah calon perlu diterima masyarakat setempat.

"Sekarang bukan lagi soal calon lama, popular dalam parti atau berkelulusan tinggi. Apa yang penting, adakah masyarakat menerima calon untuk memastikan kemenangan Umno dan BN," katanya.


Bersih 2.0 : Kerajaan Patut Akui Kesilapan

Posted: 20 Aug 2011 07:53 PM PDT

KUALA LUMPUR 21 OGOS : Ketua Parlimen Nasional DAP Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan permainan wayang dan dolak-dalih mereka selama dua bulan dengan mengaku bahawa Kerajaan Barisan Nasional silap dalam menangani himpunan aman Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Kit Siang, dalam kenyataan medianya semalam sempena ulangtahun 'Yellow Saturday' ke enam menyatakan, pengharaman kerajaan terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 patut dihentikan selain semua tuduhan terhadap lebih 1,600 demonstran digugurkan serta-merta.

"Tindakan keras kerajaan dan polis pada Himpunan Bersih 2.0 benar-benar membawa publisiti dan imej buruk kepada Malaysia dalam tempoh singkat Najib sebagai Perdana Menteri.


"Malah, Perdana Menteri perlu menunjukkan penghargaan kerana Himpunan Aman Bersih 2.0 mengumpulkan kira-kira 50 ribu rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama, umur dan jantina merupakan pertunjukan terbaik dan paling menonjol dalam konsep 1 Malaysia," kata Kit Siang yang juga ahli parlimen Ipoh Timur.

9 Julai lalu, puluhan ribu rakyat Malaysia hadir berhimpun untuk menyokong tuntutan reformasi pilihan raya tersebut di ibu negara.

Bagaimanapun, kerajaan pusat dan polis telah bertindak ganas dalam menyuraikan perhimpunan itu dan seolah-olah cuba 'melenyapkan' perkara tersebut pada paparan media arus perdana.

Malah seorang peserta turut terbunuh pada hari tersebut dan beberapa yang lain cedera akibat tindakan Polis.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah pilihan raya dan menghentikan politik kotor.

Oleh yang demikian, Kit Siang tidak mahu BN terus berselindung dengan hujah pilihan raya negara ini adil dan kemenangan di lima buah negeri Pakatan Rakyat merupakan buktinya.

Menurut Kit Siang, kenyataannya ialah perkara itu bukan jawapan kepada aspirasi rakyat Malaysia yang berdiri teguh di belakang tuntutan Bersih 2.0.

"Respon mudah dan benar terhadap hujah itu ialah jika tidak kerana sistem pilihan raya yang tidak telus, lebih lima negeri telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan di peringkat Nasional, mungkin hampir menggantikan kerajaan BN di Putrajaya," tegas beliau.


Tokya Meninggal Dunia..

Posted: 20 Aug 2011 07:46 PM PDT

Novelis Azizi Haji Abdullah meninggal

GEORGETOWN, 21 Ogos: Novelis terkenal tanahair, Haji Azizi Abdullah meninggal dunia di Hospital Besar Pulau Pinang pukul 7.30 pagi tadi.

Rakan sekerjanya di Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Mohd Yusuf ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Jenazah Allahyarham Haji Azizi akan dibawa pula ke kediamanya di Taman Bersatu berdekatan Petronas Kulim tengahari ini.

Allahyarham meninggal disebabkan sakit jantung setelah lebih enam bulan di rawat di hospital berkenaan.




Panel Parlimen: Pakatan dakwa Najib ‘flip-flop’, Umno pula mula retak

Posted: 20 Aug 2011 06:05 PM PDT

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Pendirian terbaru pentadbiran Najib berhubung jawatankuasa pilihan khas mengenai pilihan raya semakin jelas wujudnya keretakan antara perdana menteri dan parti pimpinannya — Umno, dakwa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Sekali lagi, menurut mereka, perkembangan semasa menunjukkan ada bangkangan ke atas inisiatif Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno - kali ini membabitkan jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

Perkembangan terbaru dalam Barisan Nasional (BN) yang memerintah telah mencetuskan kebimbangan, malah pesaingnya Pakatan Rakyat, yang percaya lebih banyak pembaharuan akan mengalami kelewatan memandangkan Najib cuba mendapatkan sokongan ketika beliau sedang berusaha mengatasi bangkangan dalam pentadbirannya sendiri.


Dalam hal ini, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu percaya tindakan Najib yang dilihat berundur ke belakang daripada inisiatifnya menunjukkan beliau sedang "membeli masa" agar perdana menteri keenam ini boleh mendapatkan sokongan kakitangan kerajaan dan pengundi atas pagar menjelang pilihan raya umum.

"Saya tidak fikir Najib dan BN serius untuk membawa pembaharuan," kata beliau kepada The Malaysian Insider selepas melancarkan kempen antiharga barang naik, menggunakan nama Protes BN, di ibu negara semalam.

"Mereka hanya membuka injap untuk melepaskan tekanan tetapi tidak serius mengadakan pilihan raya bebas dan adil. Ya, mereka cuba beli masa," kata beliau merujuk kepada kesan perhimpunan Bersih di ibu negara pada 9 Julai lalu, yang diadakan untuk menuntut pembaharuan pilihan raya.

Petang kelmarin, Najib berrkata pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Jawatankuasa sembilan anggota itu akan dibentuk Oktober ini.

Bagaimanapun kata perdana menteri, oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran Parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan diadakan terlebih dahulu.

"Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa, tiada apa-apa kaitan dengan jawatankuasa pilihan khas Parlimen. Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Najib mengumumkan inisiatif ini Isnin lalu.

Mohamad menambah, beberapa kumpulan dalam Umno tidak berpuas hati dengan pembaharuan Najib dan cuba mewujudkan kebangkitan ke atas kepimpinan beliau dan perikatan dipimpinnya.

Beliau menamakan pertubuhan bukan kerajaan seperti Penawar dan Amanah Merdeka yang diketuai oleh veteran-veteran Umno.

Oleh itu kata Mohamad, Najib cuba mendapatkan sokongan daripada tempat-tempat lain.

"Saya tidak fikir beliau cuba menyatukan sokongan veteran Umno tetapi membeli masa pegawai-pegawai kerajaan dan menjawab Buku Jingga (dikeluarkan Pakatan Rakyat)," kata beliau.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkongsi pendirian yang sama sambil berkata, pendirian 'flip-flop' Najib adalah satu helah politik untuk mengelirukan rakyat dan mengharapkan rakyat akan lupa.

"Ia kelihatan begitu," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini memberitahu, Najib kemungkinan cuba untuk mengadakan inisiatif baru susulan perhimpunan Bersih 2.0 bulan lalu tetapi gagal ekoran tentangan daripada Umno sendiri.

"Beliau tidak boleh keluar daripada bangkangan, kritikan jelas daripada pihak berpendirian keras seperti Muhyiddin," kata Lim merujuk kepada timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selasa lalu, Muhyiddin berkata sistem pilihan raya semasa adalah adil dan telus, dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan.

"Mereka tidak boleh gembira dengan idea itu apabila mereka selama ini mempertahankan bahawa tidak ada apa-apa kekurangan dalam sistem semasa," kata Lim.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Najib cuba untuk melewatkan pelaksanaan pembaharuan pilihan raya.

Adun Seri Setia dari Selangor ini berkata, tidak munasabah bagi Najib untuk sering berubah pendirian.

"... mengatakan sesuatu hari ini dan kemudian mengubah pendirian dengan begitu cepat," kata beliau.

"Mengadakan jawatankuasa pilihan khas bermakna anda menerima adanya kepincangan dalam sistem.

"Tetapi kemudian anda mengatakan tidak perlu menunggu sehingga keputusan (laporan jawatankuasa pilihan khas), kita boleh mengadakan pilihan raya, ini tidak masuk akal. Masih ada masa sehingga akhir mandat (semasa)," kata beliau.

Mandat semasa hanya akan berakhir pada suku kedua 2013.

Nik Nazmi berkata, motif sebenar Najib dalam mengubah pendirianya hanya boleh dispekulasi, tetapi nampaknya sementara Perdana Menteri itu cuba untuk bergerak ke depan daripada episod Bersih 2.0, beliau ditarik oleh pihak lain.

"Perdana Menteri boleh kata satu dan No 2 pula boleh kata lain," kata beliau dengan merujuk kepada gandingan Najib dan Muhyiddin. - TMI


Najib atau Muhyiddin, siapa arah siapa?

Posted: 20 Aug 2011 05:56 PM PDT

Suatu ketika, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memeranjatkan banyak pihak apabila dengan tidak semena-mena beliau mencadangkan ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC).

Tujuan dibentuk PSC ialah bagi mendapatkan persetujuan semua pihak, kerajaan dan pembangkang, ke atas reformasi dalam pilihan raya sebagai mengambil jalan tengah berikutan tuntutan lapan perkara yang diterajui oleh Bersih 2.0.

Tetapi pada ketika yang lain, tidak sampai 48 jam kemudian, beliau mengendurkan pandangannya dengan menyatakan tidak ada cacat celanya dengan sistem pilihan raya dewasa ini. Beliau hanya mencadangkan ditubuhkan PSC memandangkan beberapa pihak menuntut dibuat perubahan dalam sistem itu.


Sikap berdolak dalih yang sering berlaku daripada Najib, tidak sepatutnya menimbulkan kehairanan. Najib tidak akan berkata demikian jika timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengannya dengan menyatakan pilihan raya di Malaysia sentiasa berjalan dengan baik.

Cadangan PSC oleh Perdana Menteri itu kata Muhyiddin, hanyalah untuk memperbaiki proses pilihan raya. Kenyataan terbuka Muhyiddin pada 16 Ogos lalu, datang sehari sebelumnya, merupakan suatu tamparan yang hebat kepada Najib.

Langkah berani reformasi pilihan raya

Beliau nampak ikhlas apabila mengumumkan cadangan PSC itu pada 15 Ogos, apabila beliau berkata:

"Jawatankuasa itu akan berbincang mengenai reformasi dalam sistem pilihan raya yang perlu dilaksanakan bagi mencapai persetujuan yang tidak berat sebelah tanpa apa-apa keraguan bahwa wujudnya manipulasi daripada pihak kerajaan."

Najib juga menekankan bahawa pentadbirannya tidak akan dibentuk kecuali benar-benar dipilih oleh rakyat.

Kenyataan-kenyataan ini bermakna beliau mengakui terdapatnya kelemahan dalam struktur pilihan raya dan kepincangan ini sudah cukup untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Dan keazaman Najib untuk mendapatkan persetujuan dan memerintah hanya jika "benar-benar dipilih oleh rakyat" merupakan manifestasi dari keinginan untuk memperbetulkan kesilapan yang sudah sekian lama menunggu untuk diperbaiki.

Dalam menghadapi keberanian usaha untuk memberi sedikit nafas lega kepada sistem demokrasi di negara ini yang dapat diterima oleh seluruh rakyat, kenyataan Muhyiddin yang bercanggah dengan bosnya memeranjatkan banyak pihak.

Tetapi apa yang lebih memeranjatkan ialah apabila Najib membuat pusingan U supaya selari dengan pandangan timbalannya apabila beliau mengulangi kenyataan Muhyiddin bahawa sistem pilihan raya kita adalah telus dan boleh dipercayai.

Bercakap pada satu majlis berbuka puasa pada 17 Ogos lalu, Najib menafikan bahawa cadangan PSC ini merupakan satu pengakuan terhadap kelemahan yang terdapat dalam pilihan raya.

Seterusnya beliau berkata, "kita akan memperbaiki proses pilihan raya, jika ianya dipertikaikan. Kita tidak mempertikaikannya tetapi untuk memuaskan hati setengah-tengah pihak, kita akan laksanakan beberapa perubahan dalam sistem itu."

Kenyataan yang tidak bertenaga ini tidak layak buat seorang Perdana Menteri. Jika tidak ada kesilapan, mengapa perlu diubah?

Membuat perubahan hanya kerana ada orang membuat aduan? Tidakkah Perdana Menteri mempunyai pendirian dan pegangannya sendiri?

Membentuk sebuah PSC adalah perkara serius yang berlaku apabila timbul perkara-perkara yang tersangat penting yang perlu di bahas secara terperinci di Parlimen.

Adalah suatu tindakan yang dangkal apabila Perdana Menteri mencadangkan jalan penyelesaian seperti itu dibuat terhadap aduan-aduan berkenaan dengan sistem pilihan raya, yang menurut pendapatnya adalah baik.

Sudah pasti seorang Perdana Menteri tidak bermaksud seperti apa yang beliau katakan – membentuk PSC semata-mata untuk menutup mulut para pengkritik.

Terpaksa membuat pusingan U

Dalam hal ini, tidakkah jelas bahawa Perdana Menteri tunduk kepada pendirian Timbalan Perdana Menteri yang bersikap tegas?

Mengimbas kembali pentadbiran selama dua tahun Najib, tidak dapat tidak kita melihat permulaannya agak gah tetapi sedikit demi sedikit berakhir dengan lemah dan pendiriannya yang teragak-agak, sama seperti perdana menteri sebelumnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perubahan-perubahan yang hendak dilakukan oleh Najib kelihatan betul, reformasi politik di bawah panji-panji 1Malaysia untuk menyatupadukan rakyat dan transformasi ekonomi melalui menggugurkan perlindungan dan bantuan yang berasaskan bangsa bagi memulihkan ekonomi.

Tetapi beberapa siri kenyataan yang bersifat sombong dan degil daripada kalangan anggota partinya (Umno) sendiri telah membawa kepada transformasi hanya berbentuk slogan semata-mata.

Ditengah-tengah kekecewaan ini, sikap Najib yang secara tiba-tiba mahu membuat perubahan dalam pilihan raya dilihat sebagai langkah strategik untuk meraih kembali keyakinan dari golongan masyarakat menengah.

Beliau bimbang kehilangan sokongan dari golongan masyarakat ini memandangkan beliau telah memberi amaran keras terhadap gerakan Bersih 2.0 terutamanya, dan kekejaman dan ketidakadilan semasa menangani isu perhimpunan Bersih.

Namun masih belum terlambat, jika Najib dapat menggunakan pengaruhnya sebagai Perdana Menteri bagi membawa perubahan yang bermakna dalam sistem pilhan raya yang telah kehilangan kredibilitinya.

Kuasa PM

Tambalan pula, seorang Perdana Menteri diberi kuasa penuh oleh Perlembagaan untuk melantik atau menggugurkan anggota kabinetnya.

Sebarang usaha ke arah memulihkan perlembagaan sudah pasti akan disokong dan mendapat sokongan daripada bukan sahaja mereka yang berfikiran waras dalam partinya tetapi juga sokongan dari golongan lain termasuk ahli-ahli pembangkang.

Memperbetulkan kesalahan-kesalahan dalam sistem pilihan raya tidak semestinya menjejaskan partinya, tetapi kesan penerimaan baik dan penghormatan yang terhasil dari tindakan ini (yang tentunya berupa undi), lebih dari cukup untuk menggantikan undi yang hilang.

Di samping itu, menang atau kalah, Najib akan menerima kedudukan yang mulia dalam sejarah Malaysia sebagai seorang Perdana

Menteri yang telah berjasa kerana memulihkan demokrasi dan sistem pilihan raya bagi rakyatnya.

Beliau masih mempunyai masa dua tahun sebelum pilihan raya mencapai tarikh luput pada pertengahan 2013.

Kenapa Najib harus menolak peluang untuk berkhidmat secara saksama dengan menganjurkan pilihan raya yang tergesa-gesa, tidak adil dan manipulasi serta akan menanggung risiko kehilangan segala-galanya; dirinya, partinya dan rakyatnya?

Najib atau Muhyiddin, siapa arah siapa? | Free Malaysia Today


JK Khas Parlimen - Tarik Diri Adalah Langkah Terbaik

Posted: 20 Aug 2011 05:30 PM PDT

PAS hari ini melahirkan kekesalan terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum (PRU) ke 13 boleh diadakan bila-bila masa meskipun jawatankuasa (JK) parlimen khas untuk reformasi pilihanraya sedang bersidang.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Najib Razak itu dan berkata ia adalah bukti terhadap sikap sebenar ketidak-ikhlasan BN.

Ia juga melambangkan sikap berpura-pura kerajaan terhadap tuntutan rakyat agar sistem pilihanraya yang bersih dan adil dapat diwujudkan, sebelum PRU akan datang.

"Tujuan utama JK Khas ini ialah merumus satu sistem pilihanraya yang adil dan bersih, setelah pelbagai kelemahan dibongkar.


"Apa guna dibentuk JK Khas, sekiranya kerajaan sudah memberikan bayangan jelas bahawa pilihanraya umum akan diadakan sebelum JK Khas ini menyiapkan laporan dan sekaligus memberikan petanda yang jelas bahawa sememangnya kerajaan Barisan Nasional tidak bersedia untuk menerima dan memperbaiki kelemahan yang ada," selar Tuan Ibrahim.

Perdana Menteri Najib semalam dipetik sebagai berkata bahawa PRU akan datang tiada sebarang kaitan dengan JK Khas parlimen yang bakal ditubuhkan Oktober ini.

"Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Murshidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat turut melahirkan rasa terkilannya terhadap kenyataan Najib semalam.

"Sejauhmana kesungguhan Barisan Nasional untuk penambahbaikan pilihan raya jika kenyataan yang tidak berapa cerdik ini dikeluarkan?" soal beliau.

Bagi Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, adalah mustahak untuk rakyat bahawa inisiatif mengatasi kelemahan dan hilangnya keyakinan mereka kepada sistem pilihanraya yang ada kini diperbetulkan terlebih dahulu supaya satu perjalanan sistem pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia dapat dijalankan.

"Sekiranya tidak, apa gunanya rakyat mengundi sekiranya keputusan pilihanraya bukan keputusan yang membayangkan hasrat mereka sebenar di akar umbi, tetapi hasrat pengundi hantu dan warga asing yang berlambak untuk memenangkan calon parti tertentu," tambah beliau.

Kerajaan, kata beliau harus sedar terhadap kemarahan rakyat dan tuntutan yang diadakan dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 baru- baru ini dan dengan sikap kerajaan yang menolak diadakan pilihanraya sebelum sistem diperbaiki sudah tentu akan mengundang kemarahan rakyat dan tahap kebolehpercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihanraya akan terus merosot.

Sekiranya ini berlaku, tambah Tuan Ibrahim keadaan ini adalah sangat tidak baik bagi negara, dan terutamanya kerajaan memerintah dan tidak mustahil parti- parti dalam Pakatan Rakyat akan menarik diri ekoran kenyataan Perdana Menteri.

Ketidakikhlasan kerajaan Barisan Nasional ini juga katanya akan mempercepatkan bantahan rakyat, jesteru menyemarakan semangat untuk himpunan Bersih 3.0 diadakan.

"PAS ingin tegaskan kerajaan tidak patut dan sememangnya ia amat tidak bertanggungjawab untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan mereka sedar bahawa sistem pilihanraya negara kita sememangnya tempang berhadapan dengan kelemahan dan kepincangan yang pelbagai.

Sila memperbaiki dahulu beberapa kelemahan yang utama, barulah diadakan pilihanraya ke 13, demi rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat," tegas beliau.

Menurut beliau, PAS akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaan dalam JK Khas Parlimen, kerana berpendapat, ianya tidak membawa sebarang makna sekiranya ia diadakan setelah Perdana Menteri membuat kenyataan sedemikian.

Manakala, pada 24hb Ogos ini juga satu mesyuarat Pakatan Rakyat akan diadakan untuk membincangkan secara serius perkembangan muktahir ini bagi membuat satu keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Najib dan Barisan Nasional untuk melakukan reformasi sistem pilihanraya sebelum PRU ke 13 yang bakal menjelang.


Mat Sabu: Melayu perlu sensitif lawan isu rasuah, salah guna dana

Posted: 20 Aug 2011 05:23 PM PDT

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mahu kaum Melayu mengikis sikap acuh tak acuh berhubung isu rasuah dan salah guna dana awam, sebaliknya meneladani sikap pengundi Cina yang berani menunjukkan pendirian menentang budaya sedemikian semasa pilihan raya.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, kaum Melayu tidak seharusnya bergantung pada isu-isu perkauman semata-mata.

"Muslim tidak sensitif kepada isu-isu pembaziran dan rasuah berbanding kaum Cina," kata beliau pada ceramah di Kampung Pandan di sini.

"Mengapa orang Melayu tidak sensitif? Ini masalah kita," katanya.


Mohamad (gambar) menekankan pendirian orang Melayu yang senyap ketika skandal industri perbankan terbesar di Malaysia pada 1983 apabila Bumiputra Malaysia Finance (BMF), unit Bank Bumiputra Malaysia Bhd, dilaporkan mengalami kerugian sehingga AS$1 bilion (RM3 billion).

Tambah Mohamad, masyarakat Cina pula menggerakkan sokongan mereka kepada pembangkang ketika pilihan raya umum 1986 apabila bekas presiden MCA Tan Koon Swan dipenjarakan di Singapura berhubung kes pecah amanah melibatkan Pan-Electric Industries, sebuah syarikat berpejabat di Singapura dengan modal pasaran kira-kira S$230 juta.

Ia runtuh pada 1985 dan menyebabkan pasaran saham di Singapura dan Kuala Lumpur ditutup selama tiga hari.

Orang nombor dua PAS ini juga menyentuh skandal 1986 berkaitan koperasi pengambilan deposit Tan melibatkan kerugian kira-kira RM1.5 bilion, membabitkan sejuta rakyat Malaysia, kebanyakannya masyarakat Cina.

"Pada pilihan raya 1986, kaum Cina termasuk ahli-ahli MCA tidak mengundi MCA. Mereka mengundi DAP sehingga ia mendapat 24 kerusi," kata beliau.

"Apabila kita, orang Melayu bercakap mengenai Bank Bumi rugi RM2.5 bilion, kita hanya sengih," katanya lagi.

Dengan merujuk kepada pengalaman beliau dalam mendapatkan rawatan kecederaan di lutut, yang dialami pada 9 Julai lalu semasa perhimpunan Bersih 2.0, Mohamad berkata, rasuah menyebabkan keperitan hidup.

Katanya, doktor memberitahunya bahawa mereka hanya boleh membuat pembedahan pada 21 Julai ekoran kekurangan doktor.

"Apabila dana-dana kerajaan hilang, mereka (orang Melayu) hilang hak mereka. Apabila dana kerajaan hilang, kita berhadapan dengan kesan buruk," kata beliau yang popular di kalangan pemimpin akar umbi.

Petang semalam beliau melancarkan kempen antiharga barang naik atau dikenali sebagai "Protes BN" di ibu negara.

Justeru beliau meminta ahli-ahlinya membawa mesej kempen itu ke kampung masing-masing ketika sambutan Aidilfitri minggu depan.


Pegawai SKMM Bodoh Undang-Undang Rupanya..

Posted: 20 Aug 2011 11:03 AM PDT

Pegawai SKMM Sudahlah Aju Soalan Bodoh, Berlagak Samseng Pula

KUALA LUMPUR: Yuisriah Yusof (gambar), Ketua Jurugambar Suara Keadilan – sebuah akhbar rasmi KEADILAN, berdepan pelbagai soalan tidak munasabah dan 'bodoh' sepanjang Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil keterangannya.

"Adakah patut SKMM tanya: Adakah kamu yang muat naik gambar dalam portal Malaysian Insider? Adakah gambar itu diubah suai?

"Saya jawab, kerja saya hanya tangkap gambar, tidak tahu nak adobe (ubah suai)," katanya yang tidak mahir menggunakan photoshop, malah komputernya juga tidak ada perisian itu.


Beliau ditanya kira-kira lapan soalan ketika memberi keterangan di pejabat SKMM di sini, petang ini ditemani peguam dari Lawyer For Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri.

Yuisriah atau lebih mesra dipanggil Kak Yuis dipanggil SKMM kerana membantu siasatan berhubung gambar kecederaan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Afiq Albakqry.

Pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, Fayyadh cedera teruk di muka dan hancur tulang pipi selepas terkena kanistes gas pemedih mata di laluan bawah KL Sentral.


Lima plat besi terpaksa dimasukkan di tulang pipi Fayyadh manakala Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang turut berada di lokasi sama, pula cedera di kepala hingga menerima enam jahitan.

Gambar kecederaan Fayyadh yang berlumuran darah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cedera, sempat dirakam Yuisriah yang membuat liputan di kawasan itu sebelum tersebar luas di internet.

Ketika ditemui di lobi pejabat itu, Fadiah menyatakan kekecewaannya dengan gelagat pegawai penyiasat SKMM kerana mengugutnya keluar dari bilik siasatan sedangkan beliau ada tanggungjawap terhadap anak guamnya.

"Apabila saya masuk ke dalam, sua pegawai itu menjerit, suruh keluar. Mereka ugut mahu panggil polis tapi bila saya tanya nama, mereka cuma kata – jangan bercakap soal undang-undang.

"Ini melanggar undang-undang dan mengancam saya selaku peguam. Saya kecewa kerana tidak menghormati saya sebagai peguam," katanya. -KD

Greenboc


Jari Kaki Saya Pun Ketawa Dengar SPR Kata Kesilapan Hanya 0.0001%

Posted: 20 Aug 2011 08:02 AM PDT

Pemimpin PKR mencemuh dakwaan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Abdul Aziz Mohd Yusof yang membuat kenyataan bahawa margin kesilapan dalam daftar pemilih hanya 0.0001 peratus daripada jumlah 12.4 juta pengundi berdaftar.

"Jari kaki saya pun ketawa," kata pengerusi hal ehwal undang-undang PKR, Latheefa Koya,dengan nada yang tidak ceria.

Sekiranya dakwaan Abdul Aziz itu adalah benar, ini bermakna hanya 12.4 pengundi yang terjejas.

Apabila dibandingkan dengan senarai panjang kes-kes yang dikeluarkan oleh pihak PKR, PAS dan DAP, telah menunjukkan beribu-ribu pengundi terlibat. Exco Kelantan, Husam Musa turut menunjukkan bukti 100,000 pekerja asing yang diberi kewarganegaraan sebagai pertukaran mengundi BN. Kenyataan ketua SPR ini jelas kelihatan bodoh dan defensif.


Serangan senjata terbaik

Pada sidang media di Putrajaya, Aziz telah memutuskan bahawa serangan adalah pertahanan yang terbaik, dan bermula dengan memberi amaran agar Bersih jangan "mengacukan pistol" di kepalanya. Beliau berkata SPR bersedia untuk mempertimbangkan tuntutan Bersih tetapi berhak untuk tidak melaksanakan 8 langkah reformasi pilihan raya itu.

"Saya memberitahu mereka agar jangan berbuat demikian (meletakkan pistol di kepalanya). Anda boleh mencadangkan apa-apa dan beberapa cadangan mungkin kita persetujui dan mungkin juga tidak. Tetapi jangan harapkan kita untuk bersetuju dengan kesemuanya, "kata Abdul Aziz pada hari Jumaat.

"Walaupun bilangannya agak kecil, hanya 0.0001 peratus berbanding dengan 12.4 juta, tetapi kita tetap membersihkannya setiap hari. Bersih melaporkan di media satu atau dua kes, dan mereka membuat ia seolah-olah seperti tiga perempat daripada keseluruhan adalah kotor . Walaubagaimanapun, bilangan sebenar adalah sangat kecil ".

Beliau juga cuba menyangkal aduan yang penyelenggaraan rekod SPR adalah sangat lemah. Pelbagai kelemahan dalam daftar pemilih telah ditemui dan dilaporkan, termasuk pengundi dengan dua identiti, seorang pengundi yang salah dinamakan sebagai 'Kg Baru dan pengundi dengan nombor MyKad yang tidak wujud.

"Kita hanyalah manusia, dan kita boleh membuat kesilapan.Wartawan juga kadang-kadang melaporkan berita yang salah. Hal yang sama dengan kerani saya. Janganlah terus mengetengahkan perkara sebegini, ia tidak adil ," kata Aziz.

Beliau kemudiannya menawarkan untuk "membersihkan" daftar pemilih bersama-sama, akan tetapi tidak ramai yang mengambil serius komen-komennya.

Pemimpin PKR bersetuju bahawa manusia memang mudah melakukan kesilapan, tetapi mereka menegur kerana kesombonganAbdul Aziz. Kalau bukan kerana kes yang timbul minggu lalu, beliau dan SPR akan terus bertegas bahawa daftar pemilih tidak perlukan pengauditan.

Pakatan mungkin akan boikot PSC

Abdul Aziz juga berkata suruhanjaya itu mengalu-alukan cadangan jawatankuasa parlimen reformasi itu dan mengatakan bahawa dia akan bertemu dengan Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk membincangkan hal itu pada Isnin depan.

Walau bagaimanapun, PSC telah dikritik sebagai salah satu lagi taktik melambat-lambatkan, dan kemungkinan Pakatan Rakyat tidak akan mengisi 3 kerusi yang ditawarkan pada panel yang terdiri daripada 9 ahli itu.

Bersih sebelum ini telah mencadangkan PSC untuk dijadikan sebagai Suruhanjaya Diraja Siasatan terhadap reformasi pilihan raya di Malaysia dan mahu "istilah-rujukan" untuk jawatankuasa itu disediakan dalam tempoh setahun selepas penubuhannya.

Ia juga menegaskan bahawa tidak ada sebab untuk SPR tidak melaksanakan tuntutan terhadap 8 perkara asas itu dengan serta-merta.

Sementara itu, PAS ingin menawarkan satu cadangan balas kepada PSC yang dianngap tidak memuaskan hati ramai pihak disebabkan komposisinya adalah tidak adil dan juga tidak melibatkan Bersih. Pemimpin-pemimpin PAS mahu jawatankuasa itu untuk menjadi satu jawatankuasa bukan Parlimen dan melibatkan badan-badan lain termasuk Majlis Peguam dan NGO. - Malaysia Chronicle


Kenyataan Terbaru Najib Buat PR Makin Sangsi

Posted: 20 Aug 2011 02:46 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 OGOS : Pendekatan yang diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam keghairahannya membawa penambahbaikan sistem pilihan raya ,hari demi hari menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli Pakatan Rakyat akan sejauh mana keikhlasan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) itu.

Hal ini kerana, Najib dalam kenyataan terbarunya berkata, parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu menunggu PSC.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antaranya yang nyata terkilan dengan kenyataan terbaru Najib itu.

"Sejauh mana kesungguhan Barisan Nasional untuk penambahbaikan pilihan raya jika kenyataan yang tidak berapa cerdik ini dikeluarkan?,"Nik Aziz dipetik sebagai berkata.


Najib petang semalam memberitahu pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas parlimen yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Bagaimanapun kata perdana menteri, oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan diadakan terlebih dahulu.

"Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa, tiada apa-apa kaitan dengan jawatankuasa pilihan khas parlimen. Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam.

Sementara mandat semasa parlimen akan berakhir April 2013, sesetengah pihak berpandangan bahawa jawatankuasa itu memerlukan tempoh satu tahun untuk menyiapkan laporannya.

Jawatankuasa itu akan dibentuk Oktober ini.

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai oleh sembilan orang dengan pengerusinya merupakan seorang menteri.

Turut melahirkan pendirian yang sama ialah Timbalan Presiden DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw yang meminta Najib menjelaskan sebab Kabinetnya mengesyorkan pembentukan jawatankuasa pilihan khas pada sesi Parlimen Oktober ini jika beliau berhasrat mahu memanggil pilihan raya umum bila-bila masa.

"Rakyat Malaysia tertanya-tanya dengan apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri apabila beliau mengatakan kerajaan akan berusaha untuk melaksanakan syor-syor dikemukakan oleh jawatankuasa sebelum pilihan raya.

"Sebaik sahaja jawatankuasa itu diluluskan oleh Parlimen pada sesi Oktober ini, ia akan mengambil masa, kemungkinan enam bulan atau lebih sebelum ia boleh memberi syor-syor dan undang-undang pilihan raya dipinda dan dilaksanakan," kata Dr Tan yang juga ahli parlimen Kepong.

Oleh itu soal beliau, jika Najib mengisytiharkan pilihan raya umum awal, bagaimana syor-syor jawatankuasa pilihan khas ini boleh dilaksanakan.

Sumber - WRLR


Tiada ulasan: