Selasa, 16 Ogos 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Fitnah Bersih 2.0 - Berita Harian Disaman RM10 Juta

Posted: 15 Aug 2011 10:03 PM PDT

TEMERLOH, 16 Ogos: Seorang Pemuda Unit Amal yang pernah digambarkan oleh akhbar Berita Minggu sebagai 'perusuh yang membawa pisau' dalam himpunan Bersih 9 Julai lalu, menghantar notis tuntutan fitnah terhadap akhbar berkenaan.

Abdul Razak Endot, 33, dalam notis yang difailkan melalui syarikat guaman Sazali & Lim dan ditujukan kepada Ketua Pengarang Berita Minggu serta penerbit dan pencetak syarikat The New Strait Times Press (M) Bhd., meminta pihak berkenaan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta.

Dalam notisnya, pihak berkenaan juga diminta memberhentikan penyebaran fitnah dan menerbitkan permintaan maaf tanpa syarat.


"Tindakan ini perlu bagi membersihkan imej saya yang tercemar teruk akibat penyiaran gambar dan ulasan akhbar berkenaan," katanya kepada Harakahdaily.

Akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Julai iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur di halaman muka depannya telah menyiarkan gambar seorang pemuda bertubuh sasa dan bertopeng sambil memegang pisau.

Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak, berkata tangannya memegang bendera jalur gemilang bukannya pisau sebagaimana kapsyen di bawah gambar akhbar berkenaan tetapi gambar tersebut telah diubah suai.

[Gambar: Ajak (berdiri, kiri) bersama pekerja di kedainya.]

Bercerita lanjut, Abdul Razak berkata beliau turun ke Kuala Lumpur pada perhimpunan tersebut sebagai anggota Unit Amal PAS yang diajar dengan disiplin tinggi. Beliau diarahkan mengawal keselamatan puluhan ribu rakyat di hadapan menara Maybank.

Katanya, pada masa itu Polis Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata. Bagi mengawal pemimpin, beliau sempat mengutip kelongsong gas yang masih berasap itu lalu membalingnya ke atas rumput bukannya ke arah polis," ujarnya.

Tambahnya lagi, gambar yang disiarkan akhbar berkenaan seolah-olah memegang pisau dan membaling batu sedangkan beliau memegang bendera jalur gemilang dan membaling kelongsong gas ke tepi.

Serentak dengan itu, beliau menganggap akhbar kawalan Umno itu berniat jahat dan fitnah sehingga merosakkan nama baik serta reputasinya serta dipandang rendah oleh masyarakat.

"Saya merupakan seorang peniaga dan imej yang dipaparkan oleh akhbar berkenaan amat negatif menyebabkan saya boleh dipandang serong oleh masyarakat dan pelanggan. Sebab itu saya mahukan keadilan dan imej saya dibersihkan.

"Saya juga sering terlibat dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan. Jadi jika gambaran ganas itu tidak ditarik akan terus merosakkan imej saya di mata masyarakat," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Razak memberitahu notis yang telah dihantarnya itu memberi tempoh 21 hari kepada pihak akhbar berkenaan untuk dipatuhi. Jika tidak, tindakan undang-undang seterusnya akan diambil.


Mahkamah tolak saman RM200 juta Felda terhadap Dr Tan

Posted: 15 Aug 2011 08:09 PM PDT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah sebanyak RM200 juta yang difailkan terhadap Pengerusi Jawatankuasa Displin KEADILAN, Dr Tan kee Kwong yang juga bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi.

Ia sekaligus merupakan kemenangan pertama buat KEADILAN dan akhbar milik parti itu, Suara Keadilan, yang disaman Felda kerana didakwa menyiarkan artikel berbaur fitnah.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu kerana Felda gagal membuktikan bahawa Dr Tan yang membuat kenyataan tersebut dalam artikel yang disiarkan dalam akhbar berkenaan.

Felda juga katanya gagal memanggil wartawan yang menulis artikel berkenaan


Hakim Zabariah mengarahkan kos sebanyak RM70,000 kepada Tan, meskipun peguamnya Razlan Hadri Zulkifli dan Ho Kok Yew meminta RM100,000.

Dr Tan yang dilihat menitiskan air mata kegembiraan dengan kemenangan itu berkata, keputusan itu akan lebih menguatkan semangatnya untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Pada 16 Ogos 2010, Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd memfailkan saman terhadap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, mantan Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali, Editor Suara Keadilan pada masa itu Dzulkarnain Taib dan wartawannya, Rusnizam Mahat.

Ia kerana Suara Keadilan didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah dalam akhbar milik parti KEADILAN, 'Suara Keadilan'.

Felda mendakwa akhbar itu telah menerbitkan dua artikel yang didakwa bersifat memfitnah pada 22 Jun 2010 dan 29 Jun 2010.

Felda mendakwa artikel pertama bertajuk "Felda Bankrap" dan artikel kedua berserta gambar bertajuk "Kontroversi" dan "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu" berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.

Pada 25 Januari lalu, Felda memfailkan saman terhadap Tan atas dakwaan memfitnah melibatkan artikel yang sama.

Felda mendakwa Tan mengeluarkan kata-kata fitnah tersebut semasa beliau ditemuramah oleh seorang wartawan Suara Keadilan, Faizal Zakaria beberapa hari sebelum 22 Jun 2010.

keadilandaily


Zambry Memang Menteri Besar Haram-Jadah

Posted: 15 Aug 2011 07:09 PM PDT

Ketakutan pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) berbahas terserlah apabila parti pemerintah itu memendekkan tempoh sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dari dua hari kepada tiga jam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang.

"Sidang ini patut menjadi tempat menilai prestasi kerajaan negeri tetapi apa yang boleh dibuat dalam tiga jam?

Ini helah Speaker dan Menteri Besar yang takut untuk berbahas dengan Adun Pakatan Rakyat.

"Ia sepatutnya berlangsung dua hari tetapi dipendekkan kepada satu hari, dan dalam satu hari hanya berlangsung selama tiga jam," katanya kepada KeadilanDaily, hari ini.


Sidang DUN itu dijadualkan berlangsung dua hari tetapi ditamatkan kira-kira jam 2 petang hari ini.

Malah, Lih Kang berkata, sidang DUN itu menyaksikan Speaker, R Ganesan bersikap tidak demokratik apabila memadamkan mikrofon Adun Pakatan Rakyat sepanjang perbahasan dan menggantung Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim.

"Ini tidak adil kepada rakyat negeri Perak.

Wakil rakyat dipilih untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab tapi dinafi untuk berbuat demikian," katanya.

Adun Kuala Kurau, Yunus Jamhari pula menyifatkan sidang DUN kali ini semata-mata untuk memenuhi syarat minimum sidang DUN.

"Menurut amalan DUN Perak, satu sidang Dewan Undangan Negeri perlu diadakan tidak lebih dari 6 bulan.

Kali terakhir ialah pada April 2011 dan akan datang pada November 2011.

Terdahulu, Adun Pakatan Rakyat keluar dewan membantah pengendalian sidang DUN yang banyak kepincangan dan pelanggaran undang-undang.

Antara isu yang dibangkitkan Adun Pakatan Rakyat ialah penyelewengan projek Teluk Rubiah dekat Manjung berikutan sebuah syarikat bermodal RM100 diberi konsensi menjalankan projek bernilai RM5.2 billion.

Hanya selepas laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat, modal syarikat baru itu ditambah kepada RM5 juta.

Justeru, Pakatan Rakyat Perak membuat laporan polis mengenainya.

Dipetik dari sini


Nazri Azizi Malu Sendiri Apabila Pinangan Ditolak..

Posted: 15 Aug 2011 05:56 PM PDT

Nazri: Saya tak pelawa DAP

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menafikan yang beliau ada mempelawa DAP agar menyertai Barisan Nasional (BN) bagi menarik sokongan pengundi Cina kepada perikatan kerajaan pusat itu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini, Nazri (gambar) berkata, beliau hanya memberi respons kepada satu soalan mengenai kemerosotan sokongan kaum Cina kepada BN.

"Tidak, itu tidak benar. Saya tidak mempelawa DAP," katanya sambil menambah, "MCA mesti bekerja keras" apabila ditanya bagaimana BN akan mendapatkan balik sokongan pengundi Cina.



Padah Bila Orang BODOH Agama Bercakap Tentang Agama

Posted: 15 Aug 2011 04:40 PM PDT

Amalan Islam bakal tergadai

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Satu demi satu amalan agama dan tradisi umat Melayu Islam di negara ini bakal tergadai sekiranya tiada pihak mahu mempertahankannya semata-mata kerana mengejar kepentingan politik pihak tertentu.

Dalam isu terbaru berkenaan larangan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara yang disokong oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perkara itu jelas membuktikan undi rakyat adalah lebih penting daripada mempertahankan akidah Islam.

Justeru katanya, adalah lebih baik pemimpin Pas menukar slogan perjuangan mereka kepada 'Berjuang Demi Undi' yang memberi maksud 'Aku mesti menang walaupun Islam kalah'.


''Nampaknya hujan sudah naik ke langit. Agaknya Menteri Besar Kelantan dan pemimpin Pas lain tidak lagi berhasrat menggunakan pembesar suara apabila memberi tazkirah atau program qiyamullail di masjid atau surau walaupun jumlah jemaah ramai," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bermesyuarat 7 April lalu memutuskan, membaca al-Quran dengan pembesar suara di masjid dan surau adalah dilarang mengikut hukum syarak.

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Muslim Malaysia, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, jabatan agama Islam negeri perlu membuat penelitian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang fatwa.

Katanya, selagi tidak mendapat bantahan besar masyarakat termasuk penduduk bukan Islam, amalan Islam harus diteruskan.

''Kita perlu teliti apakah sebab-sebab yang mendorong larangan itu dibuat, adakah sebab itu merupakan sebab hakiki atau tidak mahu Islam lebih tinggi atau terdapat sebab lain? Ulama tidak boleh mengeluarkan fatwa hanya kerana berdasarkan andaian," katanya.

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my


Umno Pulau Pinang Terkancing Gigi Dengan Kenyataan Mufti Negeri

Posted: 15 Aug 2011 07:00 AM PDT

GEORGE TOWN, 15 Ogos – Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad menegaskan larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih.

Oleh itu katanya, tidak timbul isu kononnya larangan itu akan diperluaskan untuk melarang penggunaan pembesar suara untuk azan kerana larangan itu bukanlah satu fatwa.

"Saya kesal atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu.


"Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad s.a.w dan juga menjaga Islam yang harmoni," katanya dipetik Bernama Online.

Hassan berkata larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri.

Katanya, banyak pihak termasuk media massa telah menyalahtafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru.

Hassan berkata, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004 tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ianya tidak memerlukan perkenan Seri Paduka bagianda.

"Bagaimanapun, perkara itu (larangan penggunaan pembesar suara untuk bacaan Quran) mungkin dibincangkan dalam mesyuarat majlis fatwa akan datang bagi membuat keputusan sama ada ianya dijadikan fatwa atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, dalam Islam sebenarnya terdapat dua azan subuh iaitu azan pertama ialah sebelum waktu subuh untuk mengejutkan orang ramai tetapi ianya tidak dipratikkan di negara ini bagi mengelak dari mengganggu orang ramai sebelum masuk waktu subuh.

"Islam mensyariatkan tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali untuk azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan terdapat banyak nas yang melarang kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain kerana walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik, kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita," katanya.

Hassan berkata Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah mengeluarkan larangan itu kepada Jabatan hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang pada 12 Julai lepas kerana pentadbiran kariah adalah di bawah bidang kuasa jabatan itu.

Katanya, beliau juga bersedia untuk bertemu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi berbincang menangani isu itu.


The Malaysian Insider


Umno takut kuliah agama jadi ceramah politik

Posted: 15 Aug 2011 05:41 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Kejahilan para pemimpin dan penyokong-penyokong Umno dalam agama terserlah, apabila ceramah Israk Mikraj yang akan disampaikan oleh penceramah PAS atas undangan mereka sendiri, diminta dibatalkan kerana bimbang akan dijadikan ceramah politik.

Sebagai gantinya, majlis ceramah itu diarahkan ditukar kepada majlis bacaan surah Yaasin, seperti yang lazim diamalkan oleh masyarakat kita pada setiap malam Jumaat, dengan diketuai oleh penceramah terbabit dengan serta merta oleh pihak penganjur atas arahan pemimpin atasan Umno.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Solehin Muhyi menjelaskan, kejadian itu pernah dialami oleh beliau sendiri sekitar tahun 2001 lalu, apabila diundang oleh pihak pentadbiran sebuah masjid di Shah Alam yang dibarisi pemimpin dan penyokong Umno untuk menyampaikan ceramah di masjid itu pada suatu malam.


Menurut beliau, ketika arahan pertukaran majlis ceramah kepada bacaan Yaasin itu diberikan kepada beliau oleh pihak pengurusan masjid itu, beliau sudah pun memegang mikrofon untuk memulakan ceramah Israk Mikraj seperti yang dijadualkan.

Katanya, beliau yang datang dari Sabak Bernam, Selangor dengan mengambil masa sekitar sejam untuk sampai ke masjid itu, amat hairan dan kecewa dengan sikap pihak pengurusan masjid tersebut kerana mahu menukar jadual tersebut dalam masa mendadak.

"Apabila saya bertanya kepada pihak penganjur yang datang berbisik kepada saya untuk memberikan arahan itu, saya terus diberitahu oleh pihak penganjur bahawa pertukaran tersebut terpaksa dilakukan atas arahan pihak atasan, iaitu pemimpin tertinggi Umno," katanya ketika menyampaikan tazkirah di ibu pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, arahan tersebut tidak dilaksanakan oleh beliau kerana memikirkan tanggungjawab yang terpikul di bahunya berhubung tugas penyebaran ilmu kepada orang ramai, di samping kerugian yang pasti dihadapi oleh masyarakat sekitarnya berhubung kepentingan menuntut ilmu.

"Mengikut jadual, ceramah itu pun bukannya panjang, hanya untuk satu jam sahaja. Jadi pada pandangan saya, jika hanya untuk ceramah sependek itu pun tak dibenarkan, bagaimanakah lagi masyarakat sekitar akan terdidik dengan didikan agama?

"Memikirkan tentang kewajipan dan kepentingan itulah, saya enggan mematuhi arahan itu dan bertegas untuk menyampaikan ceramah Israk Mikraj juga seperti yang dirancangkan sebelumnya," jelasnya.

Ketegasan beliau itu bagaimanapun tetap ditentang oleh pihak penganjur sehingga akhirnya memaksa beliau mengambil jalan tengah dengan tidak menukarkan majlis itu kepada bacaan surah Yaasin, tetapi tazkirah surah Yaasin.

Sungguhpun begitu, majlis tersebut tetap dikenakan sekatan tertentu oleh pihak penganjur bagi menghalang didengar oleh orang ramai di luar masjid, dengan disyaratkan tidak boleh menggunakan alat pembesar suara.

"Atas kepentingan dakwah, saya terpaksalah juga mematuhi arahan itu agar dapat menyampaikan perkara-perkara yang berguna kepada orang ramai berkaitan surah Yaasin," katanya.

Menerusi skop yang begitu terbatas itu, beliau antara lain memfokuskan tazkirahnya kepada kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya, kepentingan setiap kita mendapatkan kasih sayang Allah dengan beribadat dan keistimewaan orang yang mendapat kasih sayang Allah sehingga dijemput untuk masuk ke dalam syurga dengan tenang di akhirat nanti.

"Begitulah teruknya sikap para pemimpin dan penyokong-penyokong Umno. Mereka begitu takut untuk menyebarkan ilmu kerana bimbang orang ramai akan memberikan sokongan kepada PAS, tidak lagi kepada Umno BN.

"Untuk membolehkan mereka kekal berkuasa, mereka tergamak menyekat perkembangan ilmu terhadap orang ramai sehinggakan ceramah Israk Mikraj pun disangkakan akan dijadikan ceramah politik oleh saya. Pada hal saya langsung tidak berniat untuk menyampaikan ceramah politik pada majlis itu," katanya.

Bagaimanapun, kebangkitan rakyat tetap tidak mampu disekat oleh Umno BN, apabila rakyat Selangor telah memberikan undi kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada tahun 2008 lalu bagi membolehkan Selangor diperintahkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

Dipetik dari Harakah Daily


PM umum JK reformasi sistem pilihan raya

Posted: 15 Aug 2011 05:20 AM PDT

Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas parlimen bagi mengkaji cadangan-cadangan bagi mengadakan reformasi dalam sistem pilihan raya negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, jawatankuasa itu bakal dianggotai wakil daripada parti kerajaan dan pembangkang.

"Ia akan ditubuhkan dalam masa terdekat. Kita akan bincang segala reformasi pilihan raya supaya tidak ada pihak lagi syak wasangka terdapat manipulasi kerajaan.



DAP akan sertai BN

Posted: 15 Aug 2011 05:10 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 OGOS – Kepada pelawaan Datuk Seri Nazri Aziz supaya DAP menyertai Barisan Nasional: Terima kasih daun keladi, tak payahlah susah-payah kerana DAP tetap komited dengan Pakatan Rakyat.

Isu itu ditimbulkan oleh Nazri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam wawancara dengan akhar Sin Chew Daily yang mencadangkan penyertaan DAP dalam BN yang mencerminkan hasrat agar DAP menggantikan MCA dalam gabungan pemerintah pusat itu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menjelaskan bahawa DAP bukanlah parti kaum Cina yang memperjuangkan hak kaum Cina tetapi ia adalah sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia.

Katanya DAP memperjuangkan hak setiap rakyat Malaysia, sama ada Cina, Melayu, India, Iban, Kadazandusun atau Orang Asli, sebagai warga negara Malaysia yang mempunyai hak dan peluang saksama.


"Para pemimpin DAP telah berusaha gigih dan banyak berkorban demi kepercayaan politik mereka sejak 45 tahun lalu, ditekan dan didakwa di mahkamah, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, termasuk ada yang paling lama ditahan sehingga empat tahun sembilan bulan.

"Malah ada yang dipenjarakan dan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan dilarang bertanding selama lima tahun kerana berdiri teguh dan tegas atas prinsip memperjuangkan hak untuk semua rakyat Malaysia yang menjangkau kaum dan agama – semua pengorbanan ini bukannya untuk DAP menggantikan MCA dalam BN," katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dan pernah ditahan di bawah ISA dua kali menyatakan wawasan dan komitmen para pemimpin sejak dari awal lagi adalah untuk melahirkan sebuah negara di mana semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, dapat bersatu padu.

Menurutnya, usaha yang ingin dicapai itu adalah dalam bentuk perpaduan bersemangat patriotik bagi membentuk kerajaan yang cekap, bersih dan telus yang mampu melahirkan Malaysia yang adil, demokratik, progresif, makmur dan dapat bersaing dengan sihat.

"DAP mesti sentiasa berjuang untuk semua masyarakat, bukan sahaja untuk kaum Cina di Malaysia," tambahnya.

Beliau berkata hanya politik baru secara menyeluruh dapat menyelamatkan Malaysia, iaitu melalui usaha memecahkan tembok yang dibina oleh BN:

* Cengkaman politik 'pecah dan perintah' mengikut garisan kaum;

* Kepentingan awam dikorbankan demi ketamakan peribadi yang mengakibatkan kehancuran institusi awam nasional;

* Korupsi dan kronisme yang menjadi-jadi di mana pengswastaan menjadi 'rompakan'; dan

* Penyalahgunaan Dasar Ekonomi Baru yang dijadikan alat untuk mengangkat UMNOputra atas nama Bumiputera, yang menyebabkan segelintir Bumiputera semakin kaya dan tidak boleh disentuh oleh undang-undang manakala majoriti Bumiputera masih di takok lama.

Kit Siang berkata DAP tetap komited bersama PAS dan PKR untuk memastikan kejayaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Katanya, kejayaan yang bakal dicapai bersama Pakatan Rakyat akan merealisasikan usaha memartabatkan semula hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kepada semua rakyat.

"Jadi, tidak timbul sama sekali isu DAP mahu menyertai BN," jelasnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: