Sabtu, 13 Ogos 2011

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Imam digantung kerana sertai Bersih 2.0

Posted: 12 Aug 2011 08:17 PM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Seorang imam bertauliah di kawasan Gelang Patah digantung jawatannya oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) dipercayai kerana beliau menyertai himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Beliau Hassan Md Said, imam masjid Kampung Ladang sudah berkhidmat selama 14 tahun.

Menurut surat yang ditandatangani Pengarah Jabatan Agama Johor, Elias Hasran, penggantungan Hassan bermula pada tarikh 2 Ogos lalu sehingga 2 November 2011.


Tanpa menyatakan kesalahan Hassan dengan jelas, surat itu hanya menyatakan tindakan penggantungan itu kerana Hassan "melanggar beberapa arahan Majlis Agama Islam Johor melalui Pejabat Kadi Daerah Johor Bharu.

Selain penggantungan sebagai imam tersebut, Hassan juga disekat dari mendapat surat tauliah sebagai Pegawai Amil Zakat Fitrah bagi penduduk Kampung Ladang biarpun lulus kedua-dua ujian saringan yang dijalankan.

Difahamkan, sewaktu beliau ingin mengambil tauliah tersebut pada masa yang telah ditetapkan, pegawai JAJ yang bertugas menyatakan penangguhan pemberian tauliah kepada beliau dan terpapar dalam senarai nama penerima tauliah bahawa namanya telah ditandakan merah.

Lebih merumitkan, Hassan juga telah dinafikan haknya untuk menerima elaun bantuan dari Persatuan Nelayan Kampung Gelang Patah yang sepatutnya diterima oleh semua ahli persatuan sejak sekian lama yang bernilai RM 350.

Pada hari himpunan Bersih 2.0 Julai lalu, Hassan adalah antara 1600 peserta himpunan yamg ditangkap pihak polis.

Beliau ditangkap ketika memasuki bandar Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi iaitu sebelum himpunan sebenar bermula kira-kira jam 2 petang.


Biarpun alasan penggantungan beliau tidak dinyatakan ada kaitan dengan himpunan itu, namun maklumat yang diterima dipercayai ianya berkaitan dengan kehadiran beliau ke himpunan Bersih 2.0 itu.

Ekoran penggantungan tersebut juga, elaun beliau sebagai imam juga ditarik.

Kini beliau dan isteri serta empat orang anak, terbeban kerana hilang mata pencarian lebih-lebih lagi berdepan persiapan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri yang akan tiba.

Lebih malang beliau juga terpaksa mengosongkan rumah ehsan masjid yang didudukinya sekarang dan terpaksa menyewa rumah kediaman baru.


Larang pembesar suara: Perlis sokong Pulau Pinang

Posted: 12 Aug 2011 07:38 PM PDT

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

"Amalan pasang mikrofon kuat waktu sebelum subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur. Perbuatan mengganggu ini adalah haram dan berdosa," katanya dalam satu pesanan SMS kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, Dr Juanda berkata pihaknya menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.



"Kami sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuat-kuasakan larangan itu di masjid dan surau, walaupun kadang-kadang ada (pihak) yang larang.

"Mikrofon (di) masjid hanya boleh laungkan azan waktu subuh sebanyak dua kali sahaja iaitu azan pertama 30 minit sebelum subuh dan kemudian azan subuh.

"Ini adalah amalan yang menepati kehendak Sunnah Nabi SAW yang sepatutnya dipatuhi oleh semua umat Islam yang cintakan Sunnah Nabi SAW yang sahih," katanya.

Hormati keputusan

Mengulas perkara yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik Bernama berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang itu.

"Kami menghormati keputusan itu kerana ia adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lepas dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu," katanya selepas menghadiri majlis Iftar Perdana Bersama Asnaf dan penyampaian bantuan Ramadan di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur malam semalam.

Berita Harian semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan larangan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri itu kerana amalan berkenaan dikatakan bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Akhbar milik Umno itu juga memetik pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Abd Shukor Husin, berkata larangan itu ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini

Sebaliknya, kata beliau, larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.

"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.

"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan," katanya dipetik Berita Harian.


Bekas Komando TUDM Dedah Penipuan Undi Pos

Posted: 12 Aug 2011 03:13 PM PDT

"Saya berani tanggung risiko kerana menegakan kebenaran. Buat apa takut untuk berhadapan dengan penipuan sebab merekalah yang sebenarnya patut malu kerana bertindak sebagai pengkhianat memangkah undi pos tanpa pengetahuan si pengundi," ujar pesara komando Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd Kamel Haji Omar (gambar) yang berpangkalan di Butterworth.

Beliau ketika menceritakan detik-detik yang berlaku pada pilihan raya umum ke-10 iaitu tahun tsunami politik Malaysia 1999 menjelaskan, undi pos memang talian hayat Umno dan Barisan Nasional (BN) seandainya rakyat berpaling tadah tidak menyokong parti pemerintah.

Jelasnya, semua itu berlaku di hadapan matanya sendiri ketika diberikan amanah menjaga uncang undi pos sebelum dibawa ke tempat pengiraan.


Menurut beliau, tidak dinafikan memang tiada penipuan ketika dihari pengundian secara pos kerana ada wakil parti yang bertanding tetapi ianya berlaku setelah uncang berkenaan dikumpul untuk dibawa di hari pengundian sesuatu pilihan raya sebenar.

"Di hari tersebutlah pegawai dan orang pangkat bawah bertungkus lumus buat kerja memangkah kertas undi yang tiada bertuan atau lebihan kertas undi kerana si pengundi berpindah tempat kerja atau tidak datang menunaikan amanah kepada negara," tambahnya.

Contohnya, kata beliau satu uncang itu patut diisi 1,500 pengundi pos tetapi yang datang mengundi sekitar 1,000 orang sahaja. Maka, lebihan 500 undi lagi dipangkah oleh individu lain.

Beliau terkejut apabila melihatnya sendiri setelah kembali dari tugasan mengambil uncang undi pos daripada pasukan lain seperti tentera laut dan darat di sebelah pulau untuk dikumpul di pangkalan TUDM, Butterworth.

Harakahdaily


Bersih 2.0: Buat kenyataan politik bukan tugas orang No 2 SPR

Posted: 12 Aug 2011 02:58 PM PDT

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Bersih 2.0 melahirkan pendirian "sangat kecewa" dengan cara Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang terus mengambil pendekatan perselisihan melampau dan hilang upaya ke arah mereformasikan pilihan raya.

Oleh itu tegas Bersih 2.0, membuat kritikan politik merupakan tugas seorang timbalan pengerusi sebuah parti politik bukannya tugas yang sepatutnya sebagai seorang timbalan pengerusi SPR.

"Kami telah menyatakan berulang kali bahawa matlamat Bersih 2.0 adalah untuk mencapai satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil untuk semua rakyat Malaysia, bukannya bertujuan memburukkan mana-mana institusi atau mempromosikan apa jua agenda politik," kata Bersih 2.0 dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.


Oleh itu, Bersih 2.0 berkata, pihaknya amat dukacita melihat SPR terus membuat ulasan yang memudarkan semangat muafakat bekerjasama ke arah pilihan raya yang lebih bersih.

"Sebaliknya SPR ternyata lebih beria-ia mempertahankan parti pemerintah daripada para pesaingnya," kata Bersih 2.0 sambil menambah, ia hanya berminat untuk melihat hasil daripada pilihan raya yang bersih.

Merujuk kepada tulisan timbalan pengerusi SPR baru-baru ini, kata Bersih 2.0, jika Barisan Nasional atau mana-mana parti memenangi melalui pilihan raya yang bersih dan adil, maka matlamat "kami telah pun tercapai."

"Kami berpendapat bahawa SPR dan Datuk Wira Wan Ahmad (gambar) mesti menumpukan perhatian mereka dengan melibatkan diri bersama-sama masyarakat madani bagi memperbaiki institusi-institusi awam dan bukannya terlibat dalam perang mulut dengan parti-parti politik.

"Ulasan terkini yang dibuatnya mengancam kewibawaan awam berkenaan sifat 'non-partisan' SPR yang diperlukan untuk mengekalkan keyakinan orang ramai," tambah Bersih 2.0.

Bersih 2.0 juga berkata. pihaknya berharap SPR menumpukan tenaganya untuk menyelesaikan masalah besar yang dihadapi daftar pemilih dalam penemuan baru-baru ini seperti "skandal Mismah" yang telah mendedahkan perkembangan yang membimbangkan mengenai pemberian hak mengundi kepada seseorang yang diragukan kewarganegaraannya.

"Masalah-masalah daftar pemilih lain termasuk kejadian pengundi bernama "Kampung Baru", penyelewengan yang serius berkenaan pengundi berganda serta alamat penuh sesak dan sebagainya.

"SPR sepatutnya memberi perhatian untuk membetulkan masalah ini dengan segera dan bukannya mempertahankan serta menjadikan perkara-perkara ini sebagai isu politik yang menjejaskan kewibawaan semua pihak," kata gabungan itu yang mengetuai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Mengenai isu pengesahan biometrik, Bersih 2.0 berkata, pihaknya menganggap ia sebagai serius memandangkan laporan terkini bahawa pihak polis sedang menyiasat penyelewengan sistem biometrik yang digunakan untuk mendokumen para pekerja asing.

"Lebih tepat lagi, ia merupakan kelemahan dan kesalahan yang akan membolehkan penipuan pilihan raya secara besar-besaran sekiraya hanya sistem biometrik sahaja yang digunakan untuk mencegah pengundi hantu.

"Kami masih belum mendengar hujah-hujah meyakinkan tentang kenapa kaedah dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan lebih berkesan tidak patut dipakai," katanya yang merujuk kepada salah satu daripada lapan tuntutan Bersih 2.0.

Ia menambah kenyataan Wan Ahmad bahawa semua parti politik mempunyai akses yang sama rata kepada media dikeluarkan tanpa sebarang penelitian rapi.

"Perbandingan penerbitan parti yang sangat terhad edarannya dengan akhbar-akhbar nasional dan khidmat penyiaran kebangsaan yang dikawal parti pemerintah adalah amat mengelirukan.

"Kenyataan bahawa parti-parti pembangkang memiliki media baru juga tersasar daripada pokok permasalahannya. Malaysia yang kami hasratkan adalah di mana kesemua parti politik daripada kedua-dua belah pihak memiliki hak yang sama terhadap kesemua jenis media, tanpa ada pengecualian," katanya lagi, yang turut berkata, "bukan semata-mata hanya satu-satu parti politik saja yang berhak terhadap satu-satu jenis media."


Rusuhan: Hishammuddin buta hati, pekak telinga

Posted: 12 Aug 2011 08:02 AM PDT

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dapat membezakan di antara perhimpunan aman Bersih 2.0 yang bermatlamat murniberbanding rusuhan membakar dan menyamun yang berlaku di United Kingdom (UK).

Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri itu bahawa rakyat Malaysia harus bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu tidak menjurus ke situasi rusuhan di UK adalah tidak munasabah.

(Sumber: Hisham: Be thankful Bersih not like London riots http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/hisham-be-thankful-bersih-not-like-london-riots/)

Katanya, perhimpunan Bersih 2.0 yang berlaku di Kuala Lumpur (KL) langsung tidak boleh disamakan dengan rusuhan di UK.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh membuat perbandingan antara rusuhan di UK dan himpunan aman Bersih 2.0 di KL.

Di UK, rusuhan telah berlaku secara rambang tanpa sebarang agenda yang jelas atau spesifik melainkan menghasilkan suatu keadaan yang kacau-bilau.

Di KL, perhimpunan Bersih 2.0 mempunyai matlamat yang jelas dan telah dianjurkan secara terancang. Agenda, tarikh dan waktu bersurai telah dinyatakan secara terus-terang buat pengetahuan pihak kerajaan, PDRM, media dan orang awam dari awal-awal lagi. Penganjur Bersih 2.0 telah menegaskan bahawa perhimpunan mereka adalah perhimpunan yang aman dari awal-awal lagi.

Di UK, beratus-ratusan perniagaan dan orang awam telah disamun oleh perusuh. Kehilangan harta benda dianggarkan bernilai berjuta-juta Sterling Pound.

Di KL, tidak ada satu pun laporan kedai disamun oleh penyokong Bersih 2.0. Sebaliknya, kedai yang buka pada hari itu seperti kedai makan minum mencapai perniagaan yang menguntungkan kerana kehadiran beribuan penyokong Bersih 2.0 di KL.

Di UK, berpuluh-puluh kereta dan bangunan telah dibakar dan dirosakkan oleh perusuh menyebabkan keadaan berasap dan membahayakan keselamatan.

Di KL, asap yang wujud berpunca daripada tembakan gas pemedih api oleh pihak Unit Simpanan Persekutuan (Federal Reserve Unit atau FRU) ke atas penyokong BERSIH 2.0 yang berhimpun secara aman. Gas pemedih mata dan meriam air juga ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin di mana penyokong Bersih 2.0 cuba berlindung.

Di UK, perusuh memegang senjata seperti pisau, batu dan "molotov cocktail".

Di KL, penyokong Bersih 2.0 tidak bersenjata tetapi sekadar memakai t-shirt kuning yang diharamkan oleh Hishammuddin sendiri. Sejak bila t-shirt atau pun warna kuning dapat menggugat keselamatan dalam negeri?

Di UK, perusuh secara aktifnya cuba menyerang dan mencederakan polis.

Di KL, penyokong Bersih 2.0 mengelakkan pertembungan dengan PDRM dan FRU. Tindak balas para peserta Bersih 2.0 bersifat pasif dan tidak agresif.

"Saya ingin menggesa Hishammuddin supaya membuka hati beliau dan mengambil iktibar daripada bagaimana kerajaan dan pasukan polis United Kingdom mengawal keadaaan rusuhan yang sebenar," kata Teresa dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Di UK, pihak polis hanya menahan 1,000 orang walaupun rusuhan telah berlanjutan selama lima hari.

Di KL, pihak polis telah menahan lebih daripada 1,600 orang dalam tempoh satu hari sahaja hanya kerana mereka cuba berhimpun di pusat bandar secara aman.

Beliau juga merasa kesal kerana Hishammuddin masih buta hati dan tidak insaf walaupun beratus-ratusan rakaman video membuktikan PDRM dan FRU telah menggunakan kekerasan yang keterlaluan telah dimuat naik ke atas Internet untuk tontonan orang ramai.

"Beliau masih memekakkan telinganya terhadap kutukan keras oleh warga Malaysia dan komuniti antarabangsa dan masih menyokong tindakan PDRM dan FRU," katanya.

Sehingga hari ini, ujarnya sebulan telahpun berlalu sejak perhimpunan Bersih 2.0 diadakan, Hishammuddin dan PDRM masih gagal membentangkan laporan keganasan PDRM dan FRU kepada orang ramai.

"Apakah ini menunjukkan ketidakcekapan dan kelalaian Kementerian Dalam Negeri dan PDRM dari segi siasatan terhadap anggotan PDRM sendiri?" soalnya.

Sumber Harakahdaily


Cover Line.. SPR Makin Menggelabah..

Posted: 12 Aug 2011 07:14 AM PDT

SPR: Jangan besarkan isu, tiada dunia daftar pemilihnya sempurna

PUTRAJAYA, 12 Ogos — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan bahawa badan pengurusan pilihan raya itu sengaja membenarkan pemastautin tetap menjadi pengundi yang sah.

Sebaliknya Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) berkata, ia hanya kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya difahamkan Pakatan Rakyat telah menyemak semakan daftar pemilih melalui laman web JPN dan bukan Sistem Pengkongsian Maklumat Antara Agensi (Alis) yang datanya lebih lengkap dan tepat.


Justeru jelas, Abdul Aziz, pihaknya telah melakukan semakan dengan Alis dan mendapati pemastautin tetap yang didakwa Pakatan Rakyat adalah warganegara yang sah serta layak untuk mengundi.

"Dalam daftar pemilih kita ada lebih kurang 12.3 juta pengundi dan sudah tentu akan berlaku kesilapan sana dan sini, seluruh dunia pun ada masalah yang sama ... tiada dunia yang daftar pemilihnya sempurna.

"SPR bersihkan daftar pemilih hari-hari, ada yang meninggal dunia, ada yang lucut warganegara, ada yang nama bertindan dan sebagainya ... kita lakukan semakan hari-hari dan kalau ada keraguan kita akan semak dengan JPN," katanya pada sidang media di sini.

Tambah Abdul Aziz, pihak tidak sama sekali membenarkan pemastautin tetap didaftarkan sebagai pengundi.

"Dakwaan mengatakan kita daftarkan pemastautin tetap sebagai pengundi adalah tidak benar sama sekali, SPR tidak akan benarkan pemastautin tetap sebagai pengundi jika mereka bukan warganegara.

"Kalau pemastautin tetap kita akan tolak tapi kadang-kadang berlaku kesilapan ... ada yang terlepas satu dua nama," katanya.

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh JPN dan SPR.

Pakatan Rakyat turut meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan perkara itu.

Justeru tegas Abdul Aziz, SPR tidak pernah merancang untuk membenarkan kesilapan itu termasuk isu pemastautin tetap atau pengundi bertindan.

"Proses (bersihkan daftar pemilih) mengambil masa yang lama kerana kita mahu pastikan orang yang kita nak potong adalah orang yang betul, kita tidak mahu salah potong orang lain (dalam daftar pemilih).

"Janganlah perbesarkan kesilapan ini, semua yang berlaku ini tidak dirancang oleh SPR, SPR bukan sengaja mahu benarkan mereka mengundi dua kali, kadang-kadang akan berlaku kesilapan semasa pendataan (oleh JPN), silap letak dan kami akan semak, kalau tak betul kami akan buang," katanya menjawab segala persoalan yang timbul mengenai isu daftar pemilih.

Tambah beliau, pihaknya juga memutuskan untuk memotong senarai nama pengundi yang berumur 90 tahun ke atas sekiranya mereka "tidak aktif" — yang dianggarkan seramai 12,000 orang.

"Kita putuskan hari ini pengundi yang berumur 90 tahun ke atas kita akan potong, JPN akan beritahu sama ada pengundi itu aktif atau tidak.

"Tapi kalau masa mengundi mereka ada datang kita akan betulkan semula, tidak aktif ini boleh berlaku macam-macam cara ... kita akan berhubung dengan JPN," katanya menambah satu pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri akan diadakan minggu depan bagi menaiktaraf sistem Alis.

PM dan isteri tak mahu jadi saksi pembela

Posted: 12 Aug 2011 06:14 AM PDT

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu peguam yang mewakili ketua pembangkang yang juga defendan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mereka tidak mahu menjadi saksi pembela.

Ini didedahkan oleh peguam utama Anwar - Karpal Singh - dan juga peguam Sankara Nair.

Karpal dan Sankara, serta peguam kanan Datuk Param Cumaraswamy dan Ram Karpal, berada di dalam bilik yang sama apabila saksi-saksi dibawa masuk, seorang demi seorang.

Karpal berkata, apabila peguambela tiba di kompleks mahkamah, Najib dan Rosmah sudahpun berada di situ.


"Najib masuk dahulu dan apabila kita tanya, beliau kata tak mahu jadi saksi pembela dan tidak mahu ditemubual," kata Karpal.

Kemudian tiba giliran Rosmah dan beliau memberitahu perkara yang sama, dan diikuti pula oleh bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Ketiga-tiga mereka (Najib, Rosmah dan Rodwan) berada di dalam bilik dan mereka tidak ditemani peguam.

Najib dan Rosmah tiba kira-kira jam 2.55 petang dan beredar kira-kira jam 3.28 petang.

Pembantu mereka menunggu di luar semasa mereka menghadiri temubual ringkas itu.

Karpal berkata mereka terkejut kerana tiada tanda-tanda yang Najib dan Rosmah akan datang hari ini.

"Biasanya, mereka akan memberi notis terlebih dahulu," kata peguam kanan itu.

Karpal menyifatkan Rosmah dalam keadaan 'teramat tegang' ketika diajukan soalan dan pada satu ketika, beliau (Rosmah) berkata, "jangan buli saya, Encik Karpal".

Kata Karpal, beliau tidak tahu mengapa Najib dan Rosmah takut untuk datang ke mahkamah, ketika mengulas keengganan mereka untuk menjawab soalan.

Malaysiakini

Berita Baik Yang Amat Sukar Untuk Dipercayai..

Posted: 12 Aug 2011 06:08 AM PDT

BN akan jumpa SPR bincang p'raya bersih, adil

Barisan Nasional (BN) akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan kaedah terbaik untuk memastikan proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan
bersih dan adil.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu pilihan raya yang bersih dan adil juga menjadi perhatian dan komitmen parti dan bukan dimonopoli oleh pihak lain semata-mata.

"Kita akan berunding dengan SPR dan pihak-pihak lain juga boleh berunding, supaya SPR boleh merumuskan sesuatu kaedah yang boleh menjamin supaya pilihan raya ini tidak boleh dipertikaikan.


"Kita (BN) bersikap terbuka dalam hal ini dan apa-apa formula yang baik kita akan bincang dengan SPR. Semoga salah anggapan ini seolah-olah BN tidak memperjuangkan prinsip ini (bersih dan adil) untuk mengadakan pilihan raya yang bersih dan bebas, BN dapat sangkal sama sekali," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Mengenai sidang khas Parlimen yang dituntut oleh pihak pembangkang, Najib berkata: "Sampai pada masanya kita akan buat sesuatu kenyataan nanti".

Sementara itu, beliau berkata Dewan Tertinggi BN hari ini menerima empat pertubuhan sebagai anggota bergabung BN iaitu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia dan Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah.

Katanya, BN masih membuka permohonan kepada mana-mana pertubuhan yang ingin bergabung dengan parti itu.

- Bernama

Tiada ulasan: