Selasa, 9 Ogos 2011

Addin

Addin


Panas!! SPR Tipu Lagi..

Posted: 09 Aug 2011 09:00 AM PDT

Dewan Pemuda Pas Kawasan Titiwangsa (DPPKT) mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan kewujudan beberapa lagi pengundi bertindih di parlimen itu. Menurut Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, carian pihaknya mendapati terdapat beberapa individu yang mempunyai nama yang sama dalam daftar pemilih SPR. "Ada beberapa individu mempunyai 1 kad pengenalan lama tetapi memiliki dua pengenalan baru yang sama, nama yang sama dan mengundi di dua parlimen yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau memberi contoh nama seperti SA'AD BIN SAMSUDIN, yang memiliki no kad pengenalan lama iaitu 1479323.




Kad pengenalan barunya pula adalah 380913105681 dan 510913105553. Beliau mempunyai dua hak mengundi iaitu di Parlimen Titiwangsa dan Parlimen Setiawangsa. Contoh kedua, terdapat seorang wanita yang memiliki kad pengenalan lama yang sama iaitu 4802777, tetapi memiliki kad pengenalan baru berbeza iaitu 550620055800 dan 560620055412.

Beliau bernama SHODAH BINTI ABDUL RAHMAN dan mempunyai kelayakan mengundi dua kali di Parlimen Titiwangsa. Contoh ketiga, seorang lelaki bernama MOHAMAD BIN ISMAIL, memiliki kad pengenalan lama 8370614 dan dua kad pengenalan baru, iaitu 540405025757 dan 540405025095 dan memilik hak kelayakan mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Parlimen Titiwangsa.

Contoh keempat melibatkan seorang lelaki bernama ANDERSON A/L P ARPUTHANATHAN. Yang memilik kad penganalan lama yang sama iaitu A0831847 dan dua kad pengenalan baru yang berbeza iaitu 671117106499 dan 671117105963. Beliau mempunyai hak kelayakan mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Titiwangsa.

Manakala contoh kelima pula seorang pemegang kad pengenalan lama yang sama iaitu 7877951, dan mempunyai kad pengenalan baru yang berbeza iaitu 491006045672 dan 491006015094. Pengundi perempuan ini bernama CHELLAMAH A/P MURUGESU boleh mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Titiwangsa.

Menurut Suhaimi, dengan lima contoh yang didedahkan ini, cukup untuk membuktikan bahawa terdapat usaha untuk membolehkan seorang pengundi mengundi lebih dari dua kali. "Lebih dari itu, ia membuktikan bahawa usaha ini berjalan secara terancang di seluruh negara," kata beliau.

Justeru pihaknya mempersoalkan bagaimana JPN boleh mendaftarkan kad pengenalan lama yang sama serta mempunyai nama yang sama untuk dua individu yang berbeza. "Atau mungkinkah ia individu yang sama yang mempunyai dua kad pengenalan baru yang berbeza? Bagaimana pula SPR boleh menerima sahaja kesalahan ini tanpa tapisan yang betul terhadap senarai nama yang dibekalkan," ujar beliau.

Katanya, DPPK Titiwangsa mendesak agar kesemua nama ini dikeluarkan segera dari maklumat data Pemilih di parlimen Titiwangsa. "DPPK Titiwangsa juga mendesak agar JPN menyiasat identiti kesemua individu yang didedahkan ini dan menarik balik kad pengenalan yang dikeluarkan lebih dari satu untuk seorang," ujarnya.
/kd



Pengkhianat Sebenar Negara

Posted: 09 Aug 2011 07:12 AM PDT

Tindakan memberikan kewarganegaraan kepada warga asing semata-mata untuk mendapatkan undi dan kekal berkuasa merupakan satu bentuk pengkhianatan. Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Jonah menggesa pihak yang berbuat demikian didakwa di mahkamah kerana pecah amanah. "Individu yang terlibat dalam menjayakan kewujudan pengundi hantu dianggap sebagai mencabuli etika ketatanegaraan. "Ada juga komen kata tindakan ini satu pengkhianatan kepada negara, saya juga setuju. 
 

Contohnya, kalau yang terlibat itu pegawai tertinggi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita dakwa mereka kerana pecah amanah," kata Jonah. Menurutnya, mereka yang tergamak memberikan kewarganegaraan kepada penduduk asing itu secara jelas terlibat dalam proses yang sistematik tetapi pada masa yang sama mendedahkan maklumat negara kepada ancaman kompromi data. 

"Ia satu pecah amanah kerana mereka (pegawai) berkenaan terlibat dalam aktiviti yang mengkompromikan integriti data negara, menukar dokumen, dan juga memindahkan data," kata Jonah. Mutakhir ini terdapat semakin banyak pendedahan dilakukan membuktikan wujudnya permainan kotor dan ketidakcekapan SPR sebagai badan yang mengendalikan pilihan raya di Malaysia. Antara yang terbaru adalah skandal Mismah-gate – menyaksikan seorang penduduk tetap mendapat status warganegara dalam masa empat jam sahaja dan layak mengundi kerana namanya wujud dalam daftar SPR. 

Hari ini pula, Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kayat yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda Pas mendedahkan 'Kg Baru' didaftarkan sebagai pemilih dalam portal SPR dan turut berada dalam senarai pemilih./kd


Perkasa 'Berlakon' Dedahkan Peranan Israel Dalam PDRM

Posted: 09 Aug 2011 05:41 AM PDT

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dianggap berpura-pura mendedahkan peranan Israel dalam pasukan Polis di Raja Malaysia, kata Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Azmizam Zamanhuri. Beliau mengulas tindakan NGO itu membuat laporan polis pada 4 Ogos lalu, mendakwa penyelewengan dan penglibatan pihak Israel dalam kontrak PDRM. "Saya percaya mereka cuba untuk menonjolkan Perkasa sebagai sebuah pertubuhan yang neutral dan kononnya tidak berpihak kepada mana-mana pihak. "Namun, kita percaya orang ramai tetap tahu Perkasa adalah sebuah pertubuhan yang amat intim dengan Umno kerana Presidennya sendiri, Ibrahim Ali adalah bekas ahli Umno," katanya.


Menurut Azmizam, isu mengenai hubungan Israel dan polis telah dibongkar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat sejak lebih setahun lalu sehingga menyaksikan Anwar digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat.

"Kalau Perkasa hendak buat laporan tentang elemen Israel dalam PDRM, Pakatan Rakyat dah lama dedahkan," katanya ketika dihubungi. Perkasa minggu lalu mendesak siasatan dijalankan ke atas dakwaan berhubung penyelewengan dan penglibatan pihak Israel dalam kontrak PDRM.

Dalam laporan polisnya, ketua pemuda pertubuhan itu, Irwan Fahmi Ideris berkata siasatan itu perlu dijalankan ke atas dakwaan pengagihan dan pemberian projek melibatkan polis Bukit Aman.

Laporan polis itu dibuat selepas lebih setahun Datuk Seri Anwar mendedahkan kewujudan perisik Israel dalam pasukan polis yang telah disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.

Anwar pada April tahun lalu membongkar penglibatan syarikat berkenaan melalui subkontrak daripada sebuah syarikat tempatan untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital.

Kontrak yang dikenali dengan nama APCO 425 itu disubkontrakkan kepada syarikat bernama Asiasoft Malaysia pada tahun 2008. Dua pemegang saham dalam syarikat berkenaan ialah B System Sdn Bhd dan Asiasoft PLC. Asiasoft PLC didaftar di Singapura, dikuasai oleh Asiasoft Global PLC dan berpengkalan di Israel./kd

Pemuda PAS Sokong Tindakan JAIS

Posted: 09 Aug 2011 03:18 AM PDT

Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang melakukan pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya Rabu lalu. Perkara itu diutarakan oleh Ketua Pemudanya Nasrudin Hassan Tantawi dalam satu sidang media di sini hari ini selepas pertemuan kira- kira sejam bersama Exco Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali bagi mendapat penjelasan lanjut berhubung kontroversi yang membabitkan Jais.

Kenyataan Nasrudin itu juga sekaligus berbeza dengan pandangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor III, Khalid Samad pada Jumaat lalu yang menyifatkan tindakan Jais itu tidak wajar.Beliau yang hadir bersama 10 exco pemuda berpuas hati dengan penjelasan yang diberi Hasan dan meminta agar umat Islam bertenang dengan kontroversi yang berlaku sekarang.

Menurut Nasrudin menjadi prinsip dan tanggungjawab mana-mana jabatan agama untuk mempertahankan akidah umat Islam serta kesucian agama tersebut. Beliau berkata tindakan itu juga wajar disokong oleh semua pihak agar tidak timbul sebarang keraguan.

Tanpa prejudis

Malah beliau mahu kepercayaan diberi kepada Jais tanpa sebarang prejudis lebih-lebih lagi ia melibatkan usaha dalam menjaga agama Islam. "Kami berpuas hati dengan penjelasan yang diberi Hasan. Tindakan Jais juga kami sokong dan wajar memandangkan pendekatan yang diambil adalah untuk mempertahankan Islam dan wajar disokong oleh semua pihak agar tidak timbul sebarang keraguan.

"Jais ambil kesempatan dalam setiap tindakan dan penguatkuasaan iaitu menepati kaedah atau prosedur untuk fahami dan patuhi segala peraturan yang ada. "Ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang timbul. Harap beri kepercayaan tanpa sebarang prejudis untuk menjaga agama. Yang salah dalam peraturan dan prosedur harus ditegur," kata Nasrudin.

Sementara itu ketika ditanya sama ada wakil pemuda akan turut serta dalam pertemuan dengan pimpinan PAS Pusat bersama Jais dan gereja kelak, Nasrudin berkata beliau akan menghadirinya. Beliau turut mengesahkan bahawa pihak pimpinan PAS Pusat sudah mengeluarkan surat kepada dua pihak terbabit namun tarikh pertemuan masih belum diketahui.

Dalam pada itu, kontroversi yang memalit Jais dan gereja ini masih belum selesai sehingga menyebabkan Hasan turut dipanggil memberi penjelasan lanjut kepada pimpinan tertinggi PAS kelmarin. Hasan juga dilaporkan semalam berkata bahawa beliau rela dipecat ekoran pendiriannya yang mempertahankan tindakan Jais tersebut.

Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mahu pihak media berhenti melaporkan pemeriksaan Jais ke atas gereja terbabit./fmt

Addin :

Sekiranya benar ada unsur-unsur ingin memurtadkan umat Islam amatlah wajar tindakan JAIS..


Siapa Yang Benarkan Hasan Ali Untuk Terus Bermaharajalela?

Posted: 09 Aug 2011 03:11 AM PDT

Pada tahun 1846, parlimen Britain meluluskan pemansuhan Corn Laws (The Abolition of the Corn Laws), yang menjurus kepada perdagangan bebas. Sistem perlindungan (protectionism) yang kompleks telah menjurus kepada politik oligarki di Britain. Meskipun kos penghasilan bijirin adalah murah di benua Eropah, namun Corn Laws telah mengenakan cukai yang tinggi, sehingga rakyat terpaksa membeli produk pertanian dengan harga yang tinggi dalam negara. Situasi ini agak menyerupai projek kereta nasional di Malaysia - politikus dan kroninya dimanfaatkan, rakyat pula yang membayar untuknya.

Sebelum ini, perbahasan untuk memansuhkan cukai atau tidak telah menyebabkan kabinetnya retak menanti belah. Pada tahun 1841, Perdana Menteri ketika itu, Lord Melbourne memberi peringatan kepada rakannya dalam kabinet, "... seperkara lagi yang belum kita capai muafakat, iaitu apakah kenyataan kita? Adakah meninggikan harga bijirin, atau menurunkan harga, atau kekal tidak berubah? Saya tak kisah, tapi kita mesti mengeluarkan kenyataan yang selaras."

(Bye the bye, there is one thing we haven't agreed upon, which is, what are we to say? Is it better to make our corn dearer, or cheaper, or to make the price steady? I don't care which: but we had better all tell the same story.)

Dari kaca mata ramai pakar perlembagaan Britain, kata-kata Lord Melbourne di atas mencerminkan sepenuhnya prinsip kebertanggungjawaban bersama (collective responsibility). Dalam kerangka sistem raja berperlembagaan, kabinet yang selaras pendiriannya bukan sahaja memaksa pembangkang untuk bekerja lebih keras, malah mampu menghalang campur tangan raja dalam politik.

Pada hakikatnya, kebertanggungjawaban secara kolektif wujud untuk mengelakkan campur tangan Raja Britain ke dalam kabinet ketika itu. Misalnya, George III pernah beberapa kali mengambil kesempatan ke atas perbezaan pandangan antara wakil rakyat, malah cuba untuk melantik orangnya ke dalam kabinet. Namun, dalam kerangka sistem raja berperlembagaan, raja wajib berkecuali dalam hal ehwal politik. Maka kabinet yang utuh mampu menghalang campur tangan dari kerabat raja.

Kabinet BN tidak selaras

Namun demikian, semangat kebertanggungjawaban bersama ini berubah bentuknya ketika sampai di bumi Malaysia. Ekologi politik Malaysia yang istimewa ini memperlihatkan "pertembungan" antara menteri kabinet yang mewakili parti kaum masing-masing. Dari isu pendidikan bahasa ibunda, sehinggalah dasar agama - perbezaan pandangan dalam kabinet adalah sesuatu yang lumrah.

Malah, ketika pergelutan kuasa berlaku dalam parti, bukanlah sesuatu yang aneh apabila mereka yang berasal dari parti yang sama saling bercakaran. Misalnya, apabila Perdana Menteri Najib Razak melaungkan slogan "1Malaysia"-nya, Timbalannya Muhyiddin Yassin pula menegaskan bahawa dirinya mendahulukan identiti sebagai Melayu.

Selama ini, kabinet di Malaysia tidak sesuai untuk ahli politik yang berprinsip. Menteri kita pun nampaknya bukan terkenal atas prinsip - Hishammuddin Hussein, Ng Yen Yen dan Liow Tiong Lai, malah Ong Ka Ting, Ong Tee Keat dan Chua Jui Meng yang pernah terkenal untuk seketika, juga tidak meninggalkan apa-apa "idea" yang disanjung tinggi.

Justeru itu, ramai yang tertanya-tanya apabila Zaid Ibrahim meletakkan jawatan Menteri Jabatan Perdana Menteri beliau kerana membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh kerajaan Abdullah Ahmad Badawi tiga tahun yang lalu. Keberanian ini jarang-jarang dilihat dalam Barisan Nasional, sungguhpun sikap "kedegilan" Zaid Ibrahim menjadi "cerita lain" kemudiannya.

Namun, kemunculan teknologi dan media baru menyukarkan kabinet untuk mengekalkan imej "pendirian yang selaras". Perbezaan pandangan wujud antara Mahathir dengan Timbalannya Musa Hitam dalam isu kereta nasional dan projek mega, ketika Mahathir baru sahaja mengambil alih tampuk kerajaan. Mahathir meminda pelbagai akta untuk menutup keretakan dalam parti - sehingga gagal ditutup lagi pada akhirnya.

Bekukan jawatan rasmi Hasan Ali

Nasib Najib tidak sebaik Mahathir. Percambahan Facebook dan Twitter menyukarkan lagi cubaan untuk menyekat berita-berita negatif. Keterlanjuran mana-mana anggota kabinet akan tersebar secara meluas dalam ruang internet, dalam masa yang singkat.

Bukan sahaja kerajaan persekutuan yang terasa bahang impak teknologi dan media baru, malah parti pembangkang dan beberapa kerajaan negeri yang dikuasainya juga perlu lebih berhati-hati dan peka terhadap senario politik sedemikian. Dalam isu serbuan JAIS ke majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya baru-baru ini, Hasan Ali yang memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, sekali lagi bercanggah pandangan dengan barisan kabinet negeri. Malah, Hasan Ali secara terbuka bertentangan pendirian dengan Menteri Besar dalam isu ini.

Hasan Ali tetap dikekalkan di situ, biarpun berkali-kali beliau bercanggah kenyataannya dengan barisan EXCO kerajaan Selangor. Mereka yang mendahagakan politik baru mula mengeluh, sesungguhnya bukanlah rahsia untuk BN menaungi kroninya. Namun, mengapa pula kerajaan Pakatan Rakyat turut gagal menyerlahkan kesungguhannya?

Hasan Ali membela JAIS dengan mendakwa bahawa JAIS berkuasa untuk menyiasat desas-desus di mana pihak gereja cuba menyebarkan agamanya kepada muslim. Namun, pendekatan yang digunakan, dengan sebegitu kasar - adalah sesuatu yang tidak boleh diwajarkan. Islam mendukung keadilan, malah tidak menyerang kediaman dan rumah ibadat kafir walaupun ketika berperang. Tindak-tanduk JAIS bercanggah dengan ajaran Islam, malah menonjolkan keangkuhan pegawai penguatkuasa. Apa bezanya fikrah Hasan Ali, dengan hegemoni kuasa UMNO?

PAS mungkin enggan berbalah dengan Hasan Ali kerana ingin menjaga hati penyokong tradisionalnya. Namun, tindak-tanduk Hasan Ali untuk bersuara menggunakan media kawalan UMNO jelas memperlekehkan disiplin dalam parti, dan semestinya menjejaskan imej pembaharuan yang ingin ditonjolkan PAS baru-baru ini.

Jika dilihat senario terkini, pimpinan tertinggi UMNO jelas telah berputus asal untuk meraih sokongan pengundi Cina, sebaliknya memilih untuk mengukuhkan sokongan India dan meningkatkan sokongan Melayu. Mewujudkan suasana krisis dengan mempermainkan isu agama adalah taktik biasa yang digunakan oleh UMNO, misalnya isu pemakaian "tengkolok bersalib" oleh Tengku Razaleigh dalam PRU pada tahun 1990. Justeru, tidak pelik seandainya tindak-tanduk JAIS ini disokong oleh UMNO. Apa yang pelik, orang PAS pula yang menari mengikut rentak ini!

Tidak memadai untuk PAS Selangor yang sekadar menuntut penjelasan Hasan Ali, mahupun kritikan Lim Kit Siang bahawa beliau tidak mempunyai semangat berpasukan. Ini kerana mana-mana parti politik atau kerajaan yang menegaskan politik baru, tidak akan menggadaikan prinsip kebertanggjawaban secara kolektif dalam kabinet, semata-mata untuk memberi laluan kepada anggota yang mahu mengaut kepentingan politik sendiri. Sebelum kebenaran ditemui sepanjang siasatan, jawatan EXCO Hasan Ali perlu dibekukan.

Khalid Ibrahim perlu berani

Sebagai seorang Menteri Besar, Khalid Ibrahim perlu menunjukkan keberaniannya untuk membuat keputusan tegas, memancung mana-mana yang perlu - dan bukannya seperti Najib yang teragak-agak apabila berdepan dengan kuasa konservatif dan ekstremis. Ronnie Liu, EXCO yang kredibilitinya dipertikaikan; Hasan Ali, EXCO yang pendiriannya tidak selaras dengan pendirian bersama kabinet negeri, malah halatuju pentabiran kerajaan negeri. Namun, kedua-dua orang EXCO yang bermasalah ini kekal pada tempatnya sehingga hari ini, lantaran imbang kuasa dalam parti politik - cukup untuk menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat turut mendahulukan kepentingan parti politik sebagai pertimbangan pentadbirannya.

Secara peribadi, saya menghormati anutan politik Hasan Ali. Seandainya beliau tetap membela pendekatan JAIS, maka beliau harus meletak jawatan sebagai EXCO, dan bersuara lantang sesuka hatinya atas kapasiti sebagai ADUN biasa. Seandainya kerajaan yang diketuai Khalid Ibrahim mengekalkan beliau dalam barisan kabinet, maka semangat kebertanggungjawaban secara kolektif akan meluntur, dan disiplin akan menjadi longgar. Ini bukan pasukan yang diamanahkan rakyat.

Saya cuba meniru persoalan Perdana Menteri Lord Melbourne, "Apakah dasar agama kerajaan Pakatan Rakyat? Lebih jelas? Lebih kabur? Atau lebih rasional? Saya tak kisah. Namun, bolehkah kamu selaku barrisan EXCO, selaraskan pendirian kamu?" Jikalau tidak menjernihkan air yang keruh, maka jangan lagi mengadu UMNO yang menangguk dalam air keruh/mr 
 
 

DAP Dan PKR Berebut Kerusi Parlimen?

Posted: 08 Aug 2011 10:39 PM PDT

Keghairahan parti-parti politik semakin ketara apabila isyarat semboyan PRU13 akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi, lebih-lebih lagi terdapat kenyataan demi kenyataan pemimpin kerajaan BN yang membayangkan seolah-olah pilihanraya sudah menghampiri selekoh garisan penamatnya. Lantaran itu, di pihak pembangkang khususnya Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan PAS sudah mengatur langkah awal masing-masing akan mencadangkan ke meja mesyuarat Negeri Pakatan Rakyat kononnya mereka sudah mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi dan bakal dimenangi parti masing-masing pada PRU13. 


Dalam pada itu, difahamkan DAP, salah satu daripada parti gagasan Pakatan Rakyat sudah mendahului parti-parti lain dalam kerabatnya untuk menuntut kawasan-kawasan yang bakal ditandinginya terutamanya di kawasan Pedalaman; khususnya kawasan Parlimen Tenom yang merangkumi dua kawasan DUN iaitu Dun Melalap dan DUN Kemabong.

Berikutan tindakan DAP itu, membuatkan penyokong-penyokong PKR kawasan Parlimen Tenom melenting dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan mereka terhadap keputusan itu, memaksa kira-kira 100 pemimpin akar umbi PKR terdiri daripada AJK Cabang, Wanita dan Angkatan Muda bertandang ke kediaman Ketua Cabang untuk mendapatkan kepastian maklumat yang mereka terima itu.

Ramai yang menyifatkan keputusan itu sesungguhnya tidak adil jika maklumat yang mereka terima itu sahih dan memberikan kuota Parlimen Tenom yang merangkumi dua DUN (Melalap dan Kemabong) kepada DAP, sedangkan DAP tidak mempunyai 'Political base' di situ berbanding PKR yang sudah bertungkus lumus mengukuhkan pengaruhnya sejak lebih tiga tahun lalu, berserta dengan penubuhan beberapa ranting.

Sementara itu, beberapa individu yang memerhati keaktifan politik pembangkang di Tenom mendapati kehadiran DAP di Parlimen Tenom sekadar biasa dan ala kadar pengaruhnya; jika dibandingkan dengan PKR atau SAPP kerana kedua-duanya mempunyai Pejabat Perhubungan dan siap dengan kakitangan menjalankan jentera pentadbiran parti masing-masing.

"Apakah asasnya DAP dengan sewenang-wenangnya menuntut kawasan Parlimen Tenom dan apakah DAP mampu menumbangkan UMNO-BN yang mempunyai pengaruh dan kekuatan logistik yang kukuh di Tenom, sedangkan DAP hanya mampu melayani kehendak petugas jenteranya dengan air liur sahaja," tegas salah seorang pemerhati.

Pandangan masyarakat di Tenom terhadap niat dan hasrat DAP sebagai terlalu terikut-ikut dengan keghairahan mereka bahawa rakyat tetap memihak kepada pembangkang pada PRU13 berdasarkan momentum sebelum ini; namun DAP gagal mengambilkira bahawa perjuangan DAP berasaskan kepada perjuangan untuk membela kebajikan masyarakat Cina, yang tidak sesuai digunakan di kawasan DUN Kemabong dan Melalap yang majoritinya adalah pengundi suku kaum Murut. 

Harus diingat bahawa, tidak seperti PKR atau SAPP yang bulat-bulat sudah beralih kepada perjuangan berbilang kaum (multi racial), yang boleh dikategorikan sebagai sebuah parti yang bersesuaian dengan konsep berbilang suku kaum dalam perjuangannya./sabahkini


Buku-Buku Fahaman Syiah Di Kesan Diedar Di Perlis

Posted: 08 Aug 2011 08:12 PM PDT

Buku-buku berkaitan fahaman Syiah dikesan telah disebarkan kepada umat Islam di Perlis termasuk para pemimpin UMNO, dakwa seorang pemimpin UMNO Isnin. Pengerusi Biro Agama UMNO Bahagian Arau, Dr Amar Hassan bimbang orang ramai akan terpengaruh dengan fahaman sesat itu jika tidak dibendung. Katanya, turut menerima buku-buku berkaitan fahaman itu ialah Ketua UMNO bahagian Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan beliau percaya lebih ramai yang turut menerimanya.



Menurutnya, buku-buku tersebut adalah bertajuk "Inilah Khulafa Ar-Rasyidin Rasul, Dialog Mengenai Islam dan Akhirnya Kutemui Kebenaran". Katanya beliau akan membuat laporan polis selain melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) berhubung penyebaran buku-buku tersebut./bernama

Addin :

Bukan semua fahaman syiah itu sesat..

Panas!! SPR Daftar Kg. Baru Sebagai Pengundi

Posted: 08 Aug 2011 07:00 PM PDT

Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi. Menurut Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut. Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor dalam satu kenyataan berkata, daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.


Berikut ulasan beliau berhubung perkara itu.


Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi. Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut. Daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.

Maklumat pemilih yang mencipta sejarah ini adalah seperti di bawah:


Apabila semakan dibuat dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) mengikut nombor kad pengenalan pemilih maka nama Kg Baru sebenarnya adalah Noraini Binti Abdullah. Persoalannya bagaimana SPR boleh melakukan kesilapan yang begitu memalukan? Bagaimana kecuaian ini boleh berlaku? Apakah Datuk Wan Ahmad Wan Omar masih menganggap isu ini hanyak layak di jawab oleh kerani SPR sahaja?

Maklumat Noraini Binti Abdullah adalah seperti berikut:








Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah menjumpai pemilih dari kalangan pengundi hantu di mana nama pemilih ini tidak terdapat dalam rekod JPN. Pengundi hantu ini bernama Farhana Binti Abdul Rashid, no kad pengenalan 840505715012 dan mengundi di Dun Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu.

Maklumat pengundi hantu ini adalah seperti berikut:
 

Semakan di laman Web JPN menunjukkan identiti Farhana Binti Abdul Rashid tidak wujud.


Persoalannya bagaimana SPR boleh mendaftarkan pengundi hantu sedangkan SPR mempunyai Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) yang telah dihubungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem ALIS (Agency, link-Up System)?

Berdasarkan kepada peristiwa pada 2 Ogos 2011 di mana JPN mengubah status warganegara dalam tempoh satu jam setengah maka mungkin maklumat Farhana Binti Abdul Rashid akan berubah selepas media menyiarkan maklumat pengundi hantu ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia beranggapan mungkin telah berlaku kecuaian manusia yang menyebabkan sebuah kampung dibenarkan mengundi. Salah satu punca kepada masalah ini adalah kerana SPR tidak mempunyai sistem pengesahan pengundi yang benar-benar mantap. Kecuaian manusia tidak dapat dikesan oleh sistem selepas data-data dimasukkan.

Dewan Pemuda PAS juga mendesak kepada SPR agar menggugurkan bayaran RM10 bagi setiap bantahan dan RM200 bagi setiap bantahan yang ditolak. Bantahan ini merupakan salah satu kaedah mengesan kesilapan manusia. Bantahan ini dibenarkan semasa SPR mempamerkan rang daftar pemilih. Apabila bayaran yang dikenakan terlalu mahal maka ia akan membebankan mereka yang mahu membuat bantahan sedangkan bantahan ini bertujuan untuk membersihkan daftar pemilih SPR.

Ini bermaksud pembantah mahu membantu SPR membersihkan data mereka. Membersihkan daftar pemilih adalah tugas hakiki SPR. Malangnya SPR mengenakan bayaran yang tinggi untuk membantunya membersihkan daftar pemilih. Bayaran yang dikenakan oleh SPR kepada pembantah adalah termasuk perkara-perkara yang pelik dalam negara kita. Sepatutnya SPR memberi bayaran tanda penghargaan kepada mereka yang membuat bantahan bukannya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu membantu SPR.

Tempoh bantahan juga terlalu singkat dan tidak munasabah iaitu hanya 5 hari sahaja termasuk 2 hari bercuti. Contohnya dalam rang suku ke-2 tahun 2011, SPR hanya membenarkan bantahan pada 29 Julai 2011 hingga 2 Ogos 2011. Iaitu 5 hari bermula hari Jumaat hingga selasa. Tempoh ini terlalu singkat dan merumitkan. Bayaran dan tempoh yang terlalu singkat ini seolah-olah SPR mempunyai agenda tersembunyi bagi menyukarkan pembantah untuk membuat bantahan.

Dewan Pemuda PAS mendesak agar tempoh bantahan ini dipanjangkan dan bayaran kepada pembantah digugurkan. Ini bagi memudahkan semua pihak membuat pembersihan daftar pemilih di masa akan datang./hrkh


Tiada ulasan: