Ahad, 31 Julai 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Didakwa Menjadi 'Liabiliti' Paling Besar Kepada Umno, Najib Cari 'Talian Hayat

Posted: 31 Jul 2011 08:23 PM PDT





SHAH ALAM 31 JULAI : Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menjadi "liabiliti paling besar" kepada Umno menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya, ini kerana kegagalan Najib dalam menangani beberapa isu penting termasuk himpunan Bersih 2.0 dan yang terbaru penahanan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat.

Justeru itu, Najib kini terpaksa mencari "talian hayat" dengan menggunakan apa sahaja cara untuk terus kekal berkuasa.

"Mengapa Umno terpaksa singkirkan Najib? Sebabnya banyak dan terus menonjol. Pendeknya, Najib telah menjadi liabiliti paling besar buat Umno di ambang pilihan raya umum ke-13 ini.
"Beliau (Najib) telah menjadi seumpama Tun (Abdullah Ahmad Badawi) cuma dalam masa yang jauh lebih singkat, bagi sebuah parti yang penting ialah survival atau kesinambungan hidup parti untuk terus berkuasa," katanya.

Jelas Dr Dzulkefly, dalam tempoh tiga tahun memerintah negara Najib telah melakukan banyak perkara demi memperoleh semula kepercayaan rakyat, namun usaha itu ternyata sia-sia.

"Tempoh tiga tahun ini menyaksikan Najib berusaha keras membuktikan bahawa beliau punya wibawa dan wawasan. Beliau tidak lengah untuk meyakinkan rakyat dan pengundi, malah beliau telah cuba buktikan bahawa beliau peka kepada soalan pandangan awam sehingga sanggup mengungkapkankan bahawa era kerajaan tahu semua telah berlalu.

"Ketika itu kononnya beliau sanggup mendengar rakyat. Najib cuba perbaiki imej partinya yang tercalar kerana terlalu angkuh dengan mantranya 'Rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan', kesemua itu adalah cubaan gigih Najib untuk baik pulih persepsi (rakyat) terhadap partinya," katanya sambil menambah, Najib juga cuba mendekati rakyat melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, kegagalan Najib menangani isu-isu agama dan penyelewengan yang berlaku membuktikan anak kepada perdana menteri kedua itu merupakan seorang pemimpin yang tidak tegas dalam menguruskan negara.

"Pelbagai pergolakan politik nasional, pertentangan agama dan pertelingkahan atas garis ras atau kaum, kemelut rasuah, ketirisan serta ketirisan dalam pengurusan kewangan dan pembangunan negara, semua menyerlahkan kepemimpinan Najib sebenarnya... beliau seharusnya sedar, tetapi beliau tidak begitu, beliau semacam dirasuk sindrom penafian.

"Beliau tidak mempunyai jati diri politik yang wajar disanjungi seumpama bapanya, seorang negarawan sebaliknya kata-kata tidak cermat seperti 'you help me, I help u (anda tolong saya, saya tolong anda)', beliau sinonim dengan tabiat 'flip-flop', satu ciri yang tidak membuktikan ketegasan kerana beliau hanya mahu sokongan semua," katanya.

Menurut Dr Dzulkefly, Najib kini berhadapan dengan pelbagai cabaran getir termasuk mendapatkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli parti Melayu terbesar itu.

Tambah beliau lagi, gesaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) agar transformasi sistem pilihan raya dilaksanakan menyerlahkan lagi betapa buruknya kepimpinan Najib.

"Kini rakyat dan pengundi yang mengalami pencerahaan minda dan kemerdekaan jiwa serta punya keberanian menyatakan segala yang salah yang dilakukan orang politik dan parti-parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

"Najib gagal mendepani tuntutan dan melayani desakan masyarakat sivil sekaligus meletakkan persepsi negatif terhadap diri dan kerajaannya yang semacam mahu terus melindungi yang kotor dalam sistem pilihan raya," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat berjaya menguasai Selangor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak namun Perak kemudian jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) awal 2009.

Selain itu, Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

Kelmarin polis membebaskan enam pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang ditahan selama 28 hari sejak 2 Julai lalu tanpa sebarang syarat.

Nik Aziz Seru Anak Kelantan Pulang Mengundi PRU 13

Posted: 30 Jul 2011 09:32 PM PDT

PETALING JAYA 31 JULAI: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata atas dasar tanggungjawab untuk mengekalkan kerajaan Islam, seluruh anak jati negeri itu yang kini berada di perantauan diseru untuk pulang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu berkata, rakyat negeri itu perlu pulang mengundi walau di mana mereka berada dan dengan apa cara sekalipun.

"Kalau ada duit naik kapal terbang, kalau tidak naik kereta, kalau tak dapat juga naik bas.

"Saya tak boleh jamin nak bayar duit, kena tanya bendahari la, kalau ada kita bagi," katanya di hadapan kira-kira 2,000 anak-anak Kelantan yang hadir.

Hadir sama pada majlis perasmian itu kesemua ahli mesyuarat kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Ahli-ahli parlimen dan Adun-adun Kelantan.

Selain mereka, wakil kerajaan negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari yang juga Exco Pembangunan Pertanian, Pengurusan Alam dan Usahawan negeri turut bersama.

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim juga hadir pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada anak-anak Kelantan di perantauan ekoran kepulangan mereka pada pilihan raya umum 2008.

Kepulangan mereka itu jelasnya telah membantu kemenangan PAS untuk terus memerintah negeri itu.

Mengimbau kembali sejarah empat tahun lalu, beliau berkata kedudukan PAS di Kelantan agak genting sebelum PRU 2008 apabila hanya berkelebihan satu kerusi berbanding BN iaitu 23 PAS dan 22 BN.

Bagaimanapun, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU 2008 itu telah menyebabkan PAS kembali memperteguh kedudukan dengan mendapat 38 kerusi.

Sehubungan itu, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU akan datang sangat-sangat diharapkan.

Dalam pada itu,Nik Aziz sekali lagi menegaskan bahawa beliau menolak hasrat kerajaan pusat untuk menggunakan sistem biometrik pada PRU ke-13 akan datang.

Menurutnya, sistem itu bukan sahaja diragui banyak pihak malah terdedah dengan manipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

"Umno guna biometrik bagi orang luar (dapat kerakyatan) boleh mengundi. Orang Bangladesh pun boleh mengundi nanti.

"Ini bukti Umno yakin orang Melayu dah tolak dia. Kalau PM (perdana menteri) menang pilihan raya pun nanti, kita kata ini PM Bangladesh," katanya disambut ketawa hadirin.

Sistem biometrik yang digunapakai kepada warga asing juga tegasnya boleh mengancam rakyat negara ini dari sudut kerjaya mereka.

Ini kerana, kebanyakan majikan tentunya akan mengambil orang asing bekerja kerana gaji mereka lebih murah.

Oleh itu, beliau mahu kerajaan menilai semula cadangan itu ataupun kembali kepada tuntutan asal Bersih 2.0 iaitu menggunakan dakwat kekal bagi menghalang penipuan undi berganda dan undi hantu.

Sementara itu, Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung satu hari yang bermula jam 9 pagi tadi menyaksikan hampir 10,000 rakyat Kelantan berkunjung ke stadium itu.

Selain dapat bersemuka dengan anggota exco kerajaan negeri dan wakil rakyat yang lain, oarang ramai juga boleh mengenali lebih dekat anak syarikat di bawah kerajaan negeri yang turut serta mengadakan pameran mereka hari ini.

Hadirin juga turut dihidangkan nasi gulai kawah serta pelbagai buah-buahan tempatan yang rata-ratanya disumbang oleh anak-anak Kelantan sendiri.

Kami Bebas Kerana Sokongan Rakyat, Kata Dr Jeyakumar

Posted: 30 Jul 2011 09:31 PM PDT




IPOH 30 JULAI : Kesemua enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dibebaskan semalam selepas ditahan tanpa bicara mengikut Ordinan Darurat (EO) selama 28 hari, percaya bahawa kuasa rakyat terus-menerus mengenakan tekanan terhadap kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) adalah faktor utama yang membawa kepada pembebasan mereka.

Mereka adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar, Naib Presiden PSM M Sarasvathy, Ahli Jawatankuasa Pusat, Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Ketua Pemuda R Saratbabu dan Setiausaha Cawangan Sungai Siput, A Letchumanan.
Malah Ahli Parlimen Sg Siput Dr Jeyakumar berkata, beliau tidak gentar dengan penahanan itu dan label komunis yang cuba dikaitkan dengan dirinya.
"Kalau tiada kuasa rakyat, kami tak akan keluar. Terima kasih semua,"katanya selepas beberapa jam dibebaskan semalam.
Justeru itu, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya meneruskan perjuangan untuk menghapuskan Ordinan Darurat.

"Kita kena baik pulih polis, oleh itu kita kena tukar pemerintah. Kita mahu polis yang betul-betul tangkap penjenayah, kalau polis tangkap orang yang tak salah lepas itu bohong rakyat...apa guna jadi polis? soalnya.

"Kita kena pulih sistem kehakiman yang semakin terhakis, kerana agensi itu perlu seimbang dalam melaksanakan undang-undang, tetapi sebaliknya pula yang berlaku," ujarnya.

Jelasnya, beliau masih teguh pendirian dan kerja-kerjanya dengan PSM serta akan berjuang demi menuntut keadilan terhadap mangsa tahanan Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut Dr Jeyakumar lagi, pembebasan mereka kali ini adalah bukti jelas bahawa rakyat Malaysia hari ini sudah berani bangkit menentang kezaliman pemerintahan Umno-Barisan Nasional(BN) yang selama ini hanya bertindak untuk memperbodohkan rakyat.
Tambah Dr Jeyakumar lagi, penahananya enam aktivis PSM kali ini perlu dijadikan ikhtibar oleh semua rakyat Malaysia agar hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan perlu dihormati kerajaan pimpinan Najib supaya tidak sekali-kali cuba untuk merampas hak tersebut.
Sejak jam 7.45 malam, Pusat Perkhidmatan PSM di Sungai Siput dipenuhi kira-kira 100 orang yang menunggu enam pimpinan PSM atau EO6 yang baru dibebaskan dari tahanan sekitar jam 5.30 petang semalam.

Mereka dibebaskan di balai polis Jinjang dan dijadual ke KLSCAH yang mulanya dijadual sebagai lokasi program nyalaan lilin sebagai desakan kepada pimpinan Datuk Seri Najib Razak supaya membebaskan mereka.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya berkata, berikutan pembebasan itu, tindakan selanjutnya akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara.

Keenam-enam aktivis PSM itu ditahan dua minggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0 berlangsung di ibu negara pada 9 Julai lepas.

Mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat, polis boleh menahan suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Tiada ulasan: