Khamis, 21 Julai 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Perbicaraan 23 Aktivis PSM Ditetapkan Pada 10-14 Oktober

Posted: 21 Jul 2011 12:55 AM PDT




BUTTERWORTH 21 JULAI : Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini menetapkan 10 hingga 14 Oktober depan untuk perbicaraan 22 dewasa dan seorang juvana aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dituduh berhubung pembabitan mereka dalam satu perhimpunan haram dan memiliki dokumen subversif tanpa alasan sah.

Mereka terdiri R. Nalayani, 64, A. Shanmugam, 57, M. Ravindran, 20, G. Velaitham, 54, M. Sivoosamy, 56, S. Ramasamy, 35, Chan Mooi, 55, K.Kamaladevi, 57, Cheang Sew Yin, 60, K. Deeba, 22, K. Thanushia, 21, G.Packialetchumy, 40, R. Saroza, 51, M. Santhanadevi, 30, N.P. Indra, 54, P.Jody, 52, M. Kavitha, 35, K. Gana Santhanam, 45, J. Reveen Veerasenan,18, dan S. Thivya Kumar, 18, kesemuanya dari Perak, M. Aroklam, 62, dari Perlis dan Soh Sook Hwa, 29, dari Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara niat bersama memberi bantuan kepada satu pertubuhan haram, iaitu "Bersih 2.0" dengan membawa 600 helai salinan risalah haram.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pertubuhan 1966, [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka juga menghadapi pertuduhan alternatif iaitu secara niat bersama telah memberi bantuan dengan membawa 600 helai salinan risalah yang mempunyai tulisan "Perhimpunan Bersih 2.0", bagi tujuan satu pertubuhan haram iaitu "Bersih 2.0" untuk kegunaan perhimpunan "Bersih 2.0" di Kuala Lumpur pada 9 Julai.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.
Mereka turut hadapi pertuduhan dengan niat bersama membawa dokumen-dokumen subversif tanpa alasan yang sah mengikut Seksyen 29 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri [Akta 82] 1960, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pada 25 Jun lalu, kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bas di Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan.
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan rayuan pihak pembelaan, yang diketuai Datuk C.V. Prabhakaran, untuk mengurangkan jaminan terhadap juvana berkenaan daripada RM4,000 kepada RM500 bagi setiap pertuduhan.
Manakala yang lain dikenakan ikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim.

Bersih 2.0 Beri Momentum Baru Kepada PR, Kata Anwar

Posted: 21 Jul 2011 12:39 AM PDT

SHAH ALAM 21 JULAI : Kejayaan Bersih 2.0 menggembling suara rakyat dan kemarahan awam terhadap tindakan kuku besi pemerintah untuk membatalkan perhimpunan aman itu menguatkan keyakinan Pakatan Rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke 13, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata sokongan untuk gagasan pembangkang itu makin meningkat susulan tindakan Umno-Barisan Nasional merestui penggunaan kekerasan untuk menyuraikan perhimpunan itu yang menuntut pilihanraya umum yang adil dan telus.

"Rejim pemerintah kini di tahap terakhir untuk mengekalkan kuasa dalam keadaan terdesak. Kami kini mendapat momentum baru. Ada kemungkinan besar kami akan berjaya (dan) kami akan memang," beliau dipetik berkata oleh agensi berita antarabangsa Associated Press.

Puluhan ribu orang awam pelbagai kaum menongkah tembakan gas pemedih mata dan air berkimia oleh polis untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Lebih 1,600 orang ditangkap, termasuk pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Seorang peserta mati manakala Anwar dan pengawal peribadinya adalah antara yang tercedera dalam asakan polis untuk menyuraikan perhimpunan itu.

Enam penyokong perhimpunan itu ditahan di bawah Ordinan Darurat yang menetapkan penahanan tanpa perbicaraan.

Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan aman itu setelah Suruhanjaya Pilihanraya dilihat gagal bertindak di atas lapan tuntutan gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan demi memastikan proses pilihanraya berjalan secara adil dan telus.

Antara tuntutan itu termasuk tempoh berkempen 21 hari, rombakan undi pos, pembersihan senarai pengundi dan penghapusan rasuah politik.
Umno-BN bagaimanapun tidak melayan tuntutan itu dan mengishtiarkan Bersih sebagai pertubuhan haram dan sesiapa yang memakai baju dengan logo Bersih ditangkap oleh polis.

Anwar memberitah AP bahawa Perdana Menteri Najib Razak dijangka memanggil pilihanraya umum lebih awal daripada pertengahan 2013, apabila mandat lima tahun kerajaan berakhir.

Pemerhati politik tidak menolak kemungkinan pilihanraya umum diadakan tahun ini atau awal tahun depan dengan prestasi ekonomi negara menjadi paksi kepada kempen Najib untuk mendapatkan sokongan.

Anwar menegaskan bahawa pentadbiran Najib hanya berjaya mencipta pelbagai slogan.

"Selain dari slogan, tidak ada apa-apa perubahan," kata beliau.

Waran untuk Anwar, Samad Said, Husam

Posted: 21 Jul 2011 12:37 AM PDT

Polis akan mendapatkan waran tangkap ke atas 13 individu, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan gagal hadir membantu siasatan selepas terbabit dalam perhimpunan 9 Julai lalu.

Sebelum ini, polis menyenaraikan 14 individu bagi melengkapkan kertas siasatan, bagaimanapun anggota parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali meninggal dunia Ahad lalu, lapor Berita Harian.

NONESelain Anwar, mereka yang lain adalah Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, Timbalan Pengerusi DAP Perak V Sivakumar, aktivis Wong Chin Huat, pengendali blog Haris Ibrahim, peguam Latifah Koya dan aktivis Badrul Hisham Shaharin.

Sementara anggota parlimen Pakatan Rakyat pula yang termasuk dalam senarai itu R Sivarasa (Subang), Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai)

Tanpa memetik mana-mapa pihak, akhbar itu melaporkan semua individu itu dipanggil ke ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi sejak 11 Julai, namun belum berbuat demikian.

Semalam, polis Kuala Lumpur menghantar kertas siasatan dan laporan berhubung kegagalan individu itu kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan susulan, termasuk cadangan mengeluarkan waran tangkap.

Sementara itu, beberapa individu terbabit yang dihubungi semalam mendakwa tidak menerima sebarang arahan untuk menghadirkan diri ke IPD Dang Wangi, lapor Berita Harian lagi.

Sebelum ini, polis sudah mengambil keterangan Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Mohamad Sabu serta anak bongsu Anwar, Nurul Iman.

Daripada pihak Umno, ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim juga dilaporkan sudah memberikan keterangan.

Anwar Tidak Terima Notis Polis, Kata Peguam

Posted: 21 Jul 2011 12:33 AM PDT

SHAH ALAM 21 JULAI: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa lain tidak pernah menerima sebarang notis daripada pihak polis untuk memberi keterangan bersabit perhimpunan aman Bersih, kata peguam Parti Keadilan Rakyat, N.Surendran.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR, menafikan laporan Berita Harian kononnya polis memohon waran tangkap terhadap Anwar, anaknya Nurul Izzah dan 11 individu lain kerana tidak hadir memberi keterangan kepada polis sejak 11 Julai lalu.
Surendran menyifatkan laporan akhbar kawalan Umno itu sebagai berniat mencalar imej Pakatan Rakyat.
"Saya boleh sahkan bahawa tidak ada apa-apa notis di bawah Kanun Acara Jenayah mahupun panggilan telefon yang diterima Datuk Seri Anwar meminta beliau agar hadirkan diri ke balai polis seperti yang dinyatakan dalam laporan Berita Harian," kata beliau.
Sehubungan dengan itu Surendren berkata, akan menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menuntut penjelasan terhadap laporan Berita Harian itu.
"Kita menganggap laporan ini berniat buruk dan sengaja untuk memburukkan pihak pembangkang. Saya percaya daripada senarai 13 orang itu saya boleh pastikan Sivarasa, Datuk Samad Said, Nurul Izzah dan Lathefah Koya tidak menerima notis," tambah beliau.
Antara nama lain yang turut tersenarai termasuk ahli parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, bekas speaker Perak V Sivakumar, ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Wong Chin Huat dan Haris Ibrahim dan pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin.
Antara lain laporan itu menyebut polis Kuala Lumpur telah menghantar laporan ke ibu pejabat polis Bukit Aman menamakan 13 individu yang gagal menghadirkan diri untuk membantu siasatan berkaitan perhimpunan Bersih 2.0.
Malah, polis turut membuat permohonan waran tangkap kepada kesemua individu terbabit.
Perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung di ibu negara 9 Julai lalu menyaksikan hampir 1,700 orang penyokong ditangkap.
Seorang meninggal dunia manakala Anwar, pegawal peribadinya, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu adalah antara mereka yang tercedera akibat asakan polis.

Tiada ulasan: