Sabtu, 16 Julai 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Agong : Keamanan Negara Berkait Rapat Dengan Perpaduan Ummah

Posted: 16 Jul 2011 08:31 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 JULAI : Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah bahawa keamanan sesebuah negara adalah berkait rapat dengan perpaduan ummah.

Seri Paduka bertitah sesungguhnya Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara, dan perkara ini turut ditekankan dalam Al-Quran.

Malah, titah baginda "Islam mengajar kita bahawa setiap perselisihan pasti ada penyelesaian manakala penyelesaian yang dicapai hasil daripada pendekatan dengan cara yang berhemah mengikut cara Rasulullah adalah yang lebih mulia dan terpuji di sisi Allah".

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa ke-53 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan bertemakan 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.

Oleh itu, titah baginda umat Islam perlu menghayati perihal Rasulullah SAW yang telah menunjukkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara.

"Iaitu dengan mengukuhkan persefahaman dan perpaduan warganegara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan. Rasulullah dalam Piagam Madinah mewajibkan semua penduduk Madinah agar menyayangi dan menghormati bumi Madinah," titah baginda dipetik Bernama Online.

Seri Paduka bertitah antara yang termaktub dalam piagam itu ialah sesiapa yang melakukan perkara-perkara yang menjejaskan perpaduan di kalangan warga Madinah maka orang itu dikira sebagai mencabul kesejahteraan Madinah.

Tuanku Mizan turut bertitah jika ada perselisihan pendapat dan sukar untuk mencari keputusan, maka Allah telah menggariskan supaya al-Quran dan al-Sunnah dijadikan tempat rujukan seperti firman Allah dalam Surah An Nisa.

"Inilah yang ingin beta tekankan supaya kita kembali kepada ajaran Islam sebenar," titah baginda.

"Namun harus kita fahami bahawasanya ini bukanlah bermakna Islam menolak perbezaan pendapat kerana Islam mengharuskan kepelbagaian pendapat tentang sesuatu perkara untuk menghasilkan kebaikan," titah baginda.

"Beta percaya bahawasanya keamanan negara berkait rapat dengan perpaduan ummah. Perkara ini ditunjukkan dengan kehancuran empayar-empayar hebat pada masa lampau akibat perlakuan rakyatnya yang tidak bersatu padu malah mengenepikan persefahaman dalam menjaga kemakmuran negara.

"Sesungguhnya Islam melarang umatnya membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau apa-apa keadaan yang akhirnya melemahkan negara," titah baginda.

Turut berangkat Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Seramai 81 peserta termasuk 50 qari, dari 50 negara akan mengambil bahagian dalam tilawah kali ini yang akan berakhir pada 23 Julai ini.

Malaysia diwakili oleh qari Amirrahman Abas dan qariah Suraya Abu Hassan yang muncul johan pada majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-54 di Kuching, Sarawak.

Kita Mahu Kebebasan Media, Mahfuz Jawab Najib

Posted: 16 Jul 2011 08:18 PM PDT

GOMBAK 17 JULAI : Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyelar Perdana Menteri berhubung kenyataanya bahawa demonstrasi jalanan bukan jawapan bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Tegas Mahfuz, cara berpolitik yang sebenar dan intelektual ialah melalui kebebasan media, yang gagal dijamin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut Mahfuz, dengan adanya kebebasan media rakyat akan dapat mengakses segala maklumat dengan tepat dan tidak hanya memihak kepada kerajaan pemerintah serta berat sebelah.

"Dia (Najib) bercakap mengenai 'kami bentangkan kes kami dan pembangkang kemukakan kes mereka'. Apa yang kita mahukan ialah maklumat yang bebas," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Selain tuntutan Bersih, kita juga menuntut media yang bebas. Jika tidak, rakyat yang inginkan berita yang benar pun sukar kerana media yang sedia ada memutarbelitkan cerita.

"Media yang bebas mesti ada. Dengan itu barulah kita dapat berpolitik secara intelektual. Bukan dengan cara bentangkan kes," kata beliau pada ceramah sempena pelancaran 'Yellow Saturday' anjuran PAS Wilayah Persekutuan di sini malam tadi, selepas genap seminggu perhimpunan Bersih 2.0. berlangsung.

Sebelum ini, Putrajaya telah mengisytiharkan setiap kemeja-T warna kuning Bersih 2.0 sebagai haram.

Dalam satu kenyataan Najib di London kelmarin, beliau berkata demonstrasi jalanan bukan jawapan bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan kerana perbuatan itu boleh menjadi tidak terkawal dan mungkin mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda.

"Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kerajaan, marilah kita selesaikannya apabila tiba pilihan raya dan biar rakyat yang membuat keputusan," katanya.

"Kami akan bentangkan kes kami dan pembangkang akan kemukakan kes mereka. Biar rakyat yang menentukannya," kata Perdana Menteri.

"Kita tidak perlukan semua ini (demonstrasi)."katayanya.

Jelas Mahfuz, tumpuan utama Pakatan Rakyat juga kini ialah untuk mendapatkan gelombang yang lebih besar menghadapi pilihan raya akan datang.

Ujarnya, dengan kehadiran golongan muda pada himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu, jelas menunjukkan golongan itu kini telah bangkit.

"Antara manfaat yang kita dapat lihat daripada himpunan Bersih lalu ialah sebanyak 70 peratus yang hadir ialah daripada golongan muda. Inilah kebanggaan Malaysia. Anak-anak muda kini bangkit untuk pertahankan masa depan negara," ujarnya.

Tambah Mahfuz, kehadiran lebih 50,000 menunjukkan rakyat kini inginkan satu pilihan raya yang bersih kerana pilihan raya di Malaysia merupakan pilihan raya yang paling tidak demokratik.

"Rakyat sekarang sudah sedar mengenai sikap sebenar polis pada himpunan lalu dan kerana tindakan polis itu juga ia membangkitkan kebencian rakyat kepada BN dan Umno yang mahukan pilihan raya yang bersih.

"Kita juga perlu hayati apa yang dituntut bersih. Jangan pergi himpunan sahaja tetapi tidak hayati lapan tuntutan ini," katanya.

Orang Muda Suara Dan Kuasawan Kepada Negara', Kata Pak Samad

Posted: 16 Jul 2011 08:15 PM PDT

GOMBAK 17 JULAI : Genap seminggu selepas perhimpunan Bersih 2.0, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said meneruskan mesejnya dengan menegaskan hanya golongan muda yang mampu membawa perubahan kepada corak kepimpinan negara.

Justeru, beliau menekankan corak kepimpinan itu boleh diubah melalui pilihan raya yang demoktratik.

"Demonstrasi ini hanya boleh diubah oleh golongan muda. Dunia ini untuk anak muda. Suara yang akan mengubahnya ialah anak-anak muda ini. Mereka ialah suara dan kuasawan kepada negara.

"Cuma, kuasa untuk berubah masih lagi dikuasai sekelompok bangsawan. Mengapa tidak kita kawal ia dengan pilihan raya supaya kuasawan pula yang naik," kata beliau kepada The Malaysian Insider pada ceramah sempena pelancaran 'Yellow Saturday' anjuran PAS Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.

A Samad Said atau lebih mesra dipanggil Pak Samad turut berharap agar golongan tua dapat mengubah fikiran dan memberi peluang kepada golongan pelapis untuk mencuba tampuk pimpinan.

"Saya berharap pilihan raya akan datang, orang-orang yang tua ini boleh berubah fikiran mereka. Berilah waktu kelompok yang lebih bawah yang datang dari bawah menjadi ketua supaya tidak sia-sia pilihan raya akan datang.

"Berilah suara kita. Berilah undi kita supaya kita tidak tinggal di dunia yang penuh dendam," katanya.

Sejak sebulan lalu, Samad di sebalik perkembangan sosiopolitik semasa dilihat sebagai "ikon baru".

Pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 pada 19 Jun lalu, Pak Samad telah membacakan sebuah puisi "Unggun Bersih", sekali gus membawa kepada tindakan pihak berkuasa menyoal siasat beliau atas dakwaan menghasut.

Di sebalik perhimpunan Bersih 2.0, Samad merupakan antara beberapa personaliti bersama 600 penyokong gabungan menuntut pembaharuan pilihan raya tiba di Stadium Merdeka di setelah dihalang dengan sekatan ketat pihak polis.

Malah, katanya beliau menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 sebagai "satu kejayaan besar" kerana berjaya menarik puluhan ribu rakyat pada 9 Julai lalu.

Catatan 709: Propaganda murahan tidak laku

Posted: 16 Jul 2011 04:28 PM PDT


Aishah


Demokrasi mempunyai dua aspek. Pertama-tama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara dan kedua sebagai nilai-nilai universal yang diperjuangkan demi kemanusiaan. Islam lebih kepada sebuah agama dan aturan hidup bermasyarakat, tidak berbicara tentang sistem, apalagi bentuk sebuah negara. Di Eropah pula, ide demokrasi dikembangkan melalui sekularisme (Niccolo Machiavelli), Negara Kontrak (Thomas Hobbes), pengasingan kuasa (John Locke) yang disempurnakan (Baron de Montesquieu), kedaulatan rakyat dan kontrak sosial (Jean-Jacques Rousseau). Doughlas Lummis kemudian datang dengan ide demokrasi radikal tentang perlunya meredefinisi demokrasi, kerana demokrasi kini telah menggantungkan maknanya pada para demagog. Katanya, "Democracy doesn't means 'feeling' powerful. It means holding real power…Radical democracy describes the adventure of human beings creating, with their own hands, the conditions for their freedom".

Proses inilah yang berlaku pada 9 Julai 2011/ 7 Sya'aban 1432. Perhimpunan aman BERSIH juga diadakan di 18 buah bandar, mungkin lebih, yang melibatkan New Zealand, Korea dan lain-lain. "Anwar Dalang Perhimpunan Haram", "BN Tak takut", "Proses demokrasi salah" dijadikan tajuk berita media perdana agar perhimpunan dipandang serong. Stadium Merdeka mula dicanang mempunyai simbol negara. Walhal pada suatu ketika, stadium itulah yang mengalu-alukan Justin Bieber dan bakal dirobohkan untuk mendirikan bangunan 100 tingkat. Ramai masih dalam bebalisme-nya itu, tidak terkecuali para cendekiawan, yang "ter"pelajar dan penganut agama rasis- masih kukuh pendirian "orang Melayu itu seperti boneka yang dimainkan 'bangsa' lain".

Perhimpunan 9 Julai antaranya melibatkan wakil rakyat seperti Saifudin Nasution dan Liew Chin Tong dan ramai lagi, basah dengan rahmat rabbal alamin. Mungkin mengejutkan ramai orang, tetapi yang melaungkan kata-kata semangat, bukan "boneka" Melayu sahaja, tetapi etnik Cina dan India.

Inilah Malaysia yang rakyat perlukan. Tiada sempadan kelas, etnik, agama, gender yang menghalang hasrat rakyat yang inginkan keadilan (atau dengan "K" besar). Tiada siapa-siapa yang mampu untuk berkompromi dengan penindasan.

PM iaitu Perdana Menteri yang tercinta turun padang hanya selepas 24 jam perhimpunan diadakan semalam. Tidak cukup berani untuk berdepan dengan massa semalam. Hari ini (10 Julai 2011), kelihatannya yang beramai-ramai bersama beliau itu hidungnya terletak, orang luar, mungkin orang yang sama dalam "perhimpunan" Patriot. Malah, orang awam mengatakan baju Patriot disebarkan dengan percuma kepada mamat-mamat Bangladesh di KL. NGO terus mengutuk perhimpunan ini seperti pengerusi silat gayong - meminjam kata Hishamudin Rais, taktik persilatan ghaib amat berkesan semalam.

"Baru kena sikit tear gas, muka dahi berkerut, macam dah kena belasah je…lepas tu dah terlentang di hospital."- PM

Benarlah kata Rosmah sebelum ini yang ditemubual akan hal suaminya, PM kita ini pandai bergurau! Jika lihat di berita TV3 jam 8 malam semalam, orang yang dimaksudkannya itu mungkin Khairi Jamaludin!

Malah, kodok besar yang selama ini menyanyikan lagu sumbang, juga tidak ada semalam. Kodok yang satu ini tidak lebih tidak kurang seperti Encik Ghaffar. Rakyat masih ingat kata-kata Ibrahim Ali yang lancang menyuruh Cina duduk rumah. Tanggal 9 Julai sudah cukup membuktikan pihak yang berani dan pihak yang kecut. BERSIH 2.0 dikatakan hanya akan melagakan Melayu sesamanya, menjayakan agenda pembangkang, menjadi alat kepentingan politik dan macam-macam lagi telah menunjukkan ia perayaan yang dikongsi rakyat multi etnik. Mereka berganding bahu melindungi satu sama lain, menghulur tangan bagi mereka yang tersungkur di jalan dan memberi air mineral dan garam kepada yang lain. Mereka yang merupakan "bangsa pendatang", "kafir", dan entah apa lagi tohmahan ini melindungi pakcik-pakcik tua dan anak muda tampan yang sedang solat dalam hujan tetapi diserang atas arahan parti yang dikatakan membela "bangsa" dan agama.

Di situ, hari itu, cukup membuktikan rakyat telah menolak politik primordial yang berasaskan warna kulit, agama, "bangsa". Mereka berkongsi agama Cinta, rentas agama, etnik/ kaum, gender; mendahulukan kebajikan bersama daripada kepentingan diri. Perempuan juga sehebat bilangan lelaki turun ke jalan, lagaknya tidak seperti Maria Sunari dan Musa Elba. OKU juga didapati hadir dan bergerak bersama dalam laungan "Hidup Rakyat", "Daulat Tuanku", dan nyanyian lagu Negaraku. Unit amal terus mengawal lalu lintas, mereka yang hadir walaupun tidak cukup jari yang mengira, membuka jalan kepada kereta-kereta, biarpun itu kereta polis! Pemandu, penumpang, malah mereka yang berada dalam monorail menyatakan sokongan mereka dengan membunyikan hon dan melambai-lambai. Siapakah gerangan yang senang-senang dibodohkan dengan "BERSIH 2.0 tidak mendapat sokongan"?

Seperti biasa, media TV1, TV2, TV3, NTV7 dan banyak lagi tidak akan putus-putus menyaring dan memilih berita yang serasi dengan kepentingan rejim sedia ada. Bukan semalam, tetapi sejak minggu-minggu lepas. Sekejap kerugian peniaga mencecah RM1 juta, sekejap RM100 juta? Setelah kerajaan mengarahkan peniaga-peniaga menutup kedai, kini melalui presiden Ikhlas dengan tag 1Malaysia di dadanya menawarkan khidmat percuma peguam kepada peniaga-peniaga?? Berita Harian juga tidak terlepas mempamerkan gambar pemuda memegang senjata berupa pisau semasa "perhimpunan haram". Propaganda murahan itu tidak laku. Media bukan satu. Rakyat multietnik semalam membawa bunga, membawa cinta kasih untuk disampaikan pada anjing-anjing penguasa. Turut kelihatan juga belon-belon kuning dengan mesej "balloons not bombs". Namun, semua itu dibalas dengan tuba.

Media sebagai aparatus politik terus mengabsahkan kata-kata dan tindakan kerajaan menipu orang ramai. Solidariti yang ditunjuk semalam itu tidak mampu dibeli dengan harga RM200, mungkin hanya dalam perhimpunan Belia di Putrajaya. 907 itu ekspresi rakyat yang mencapai kesedaran atas penindasan yang mereka alami. Pemerintahan BN selama lebih lima puluh tahun cukup untuk membuatkan siapa-siapa sahaja turun. Tambah lucu, penganjur dan pengikut perhimpunan ini dikatakan "menderhaka/ mengkhianati perintah YDP Agong". Orang ramai ada di Brickfields, ada di Hospital Tung Shin, dan ada juga yang memenuhkan jalan-jalan di hadapan KLCC, tertera "Daulat Tuanku" di situ. Mereka duduk. Sambil mendengar ucapan. Helikopter berlegar-legar di langit pun tidak mampu menutup suara dan telinga yang ingin mendengar. Ada juga yang sanggup keluar dari BMW untuk duduk mendengar bersama. Membuat stadium mereka sendiri. Semua ini gara-gara stadium tidak diberi, permit tidak dikeluarkan, "pertubuhan" BERSIH diharamkan kerana yang di atas itu tidak mampu atau mahu mengabulkan tuntutan berkehendakkan pilihan raya bersih.

Hari itu di sekitar Kuala Lumpur diakhiri dengan "tren rakyat". Di KL central pada malam harinya, kelihatan ramai yang melabuhkan punggung di lantai menantikan pembohongan tepat jam 8 malam. Berita Utama TV3 hanya menjadi hiburan bukannya alat hegemoni. Dalam tren, ramai yang masih melaungkan "Hidup hidup, hidup Rakyat!" sambil memberi laluan pada yang lain. Kata mereka ini tren rakyat, dan dengan senangnya perempuan masuk ke dalam gerabak bukan-perempuan. Budak- budak muda semuanya mendengar kata-kata nasihat dan komen orang tua yang juga penumpang. Gelak tawa seolah difahami pelancong luar yang ada. Sesudah tiga orang tua itu turun di Bandar Tasik Selatan, kedengaran takbir dilaung berkali-kali. Beberapa minit kemudian, tren berhenti di UKM. "FRU dan kereta black Maria telah menjadikan UKM sebagai tempat mereka keluar masuk." Universiti yang didirikan atas usaha rakyat, kini menjadi balaci penguasa yang zalim! Itulah mesej yang tertera di media baru seperti Tweeter, Facebook, WhatsApp.

Walaupun tidak dinafikan ia mungkin menjadi landasan buat mereka yang mempunyai kepentingan politik tetapi ia juga hasrat warga, hak yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Hak untuk bersuara. Penguasa bukan sahaja menggunakan berpuluh trak FRU tetapi polis dengan anjing buruan, polis yang berkuda di sekitar KL dan telah memberi amaran awal jika keadaan tidak terkawal, tembakan dengan peluru juga akan dibenarkan. "dispersed or we'll shoot" itu tidak lagi hanya tembakan gas pemedih mata. Penguasa harusnya menjalankan tanggungjawab melindungi rakyat bukan melindungi tembolok diri dan anak cucu cicitnya.

MEMANG NAK SELESAIKAN DALAM PILIHANRAYA. NAMUN BERSIHKAN DAHULU TUNTUTAN BERSIH.TN PM

Posted: 16 Jul 2011 04:04 PM PDT

Rakyat pun tidak mahukan demontrasi jalanan.Namun tuntutan yang di kemukakan BERSH adalah tuntutan munasabah yang perlu di buat kerajaan.BERSIH kan dahulu sistem pilihanraya,berlawan di padang yang sama rata,hapuskan undi pos,dan sebagaimana tuntutan yang lainnya, maka rakyat akan berpuas hati jika Umno nak memerintah sampai kiamat.Jika tidak adalah tidak mustahil semakin ramai generasi anak muda akan turun ke jalanraya dan pilihan jalanraya adalah sesuatu yang biasa walau MR PM menggunakan walau sebatalion tentera sekalipun menentang rakyat sendiri.


Najib: Demonstrasi jalanan bukan jawapan, mari selesai masa PRU


LONDON, 16 Julai – Datuk Seri Najib Razak berkata demonstrasi jalanan bukan jawapan bagi melahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap kerajaan kerana perbuatan itu boleh menjadi terkawal dan mungkin mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda.

"Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kerajaan, marilah kita selesaikannya apabila tiba pilihan raya dan biar rakyat yang membuat keputusan," katanya dipetik Bernama Online.

"Kami akan bentangkan kes kami dan pembangkang akan kemukakan kes mereka. Biar rakyat yang menentukannya," kata Perdana Menteri (gambar) ketika berucap pada perhimpunan rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di sini malam tadi.

Kata Najib: "Kita tidak perlukan semua ini (demonstrasi)."

"Apa yang kita mahu ialah sebuah negara Malaysia yang ditransformasikan, sebuah negara Malaysia yang boleh menjadi kebanggaan dan kesayangan kita," katanya lagi.

"Kita mahukan sebuah negara yang boleh berdiri sama tinggi dengan negara yang maju sepenuhnya, yang boleh menjadi contoh ketara sebagai sebuah negara maju. Inilah harapan kita untuk Malaysia.

"Kalau pun kami hendak dianggap membuat kesilapan, kesilapan itu semata-mata bertujuan untuk memastikan ketenteraman, keselamatan awam dan keharmonian awam sentiasa terpelihara kerana apabila berlaku sesuatu kesilapan, ia akan merebak dengan amat pantas dan sukar untuk dibayangkan apa yang akan terjadi selepas itu kerana keganasan pasti akan membuahkan keganasan juga," katanya.

Merujuk kepada beberapa perkara, termasuk pencapaian pembangkang pada pilihan raya umum lepas, Najib berkata itu menunjukkan wujudnya demokrasi di Malaysia.

"Dan pilihan raya di Malaysia diadakan secara bersih. Kalau anda rasa itupun belum memadai, kami akan lakukannya dengan lebih baik lagi – kami akan perkenalkan sistem biometrik, contohnya, untuk memastikan tidak wujud pengundi hantu," kata beliau.

Generasi 709 Berarak Peringati Mangsa Bersih 2.0

Posted: 16 Jul 2011 08:53 AM PDT







KUALA LUMPUR 16 JULAI : Sekumpulan orang awam yang menggelar diri mereka sebagai Generasi 709 hari ini mengadakan perhimpunan aman bagi memperingati kematian seorang peserta perhimpunan Bersih 2.0, Allahyarham Baharuddin Ahmad pada 9 Julai lalu.

Kira-kira kurang 60 orang peserta perhimpunan berkenaan yang memakai pakaian bewarna kuning berarak secara aman dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) menuju ke Avenue K pada jam 2.00 petang tadi.

Jurucakap kumpulan berkenaan yang juga Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon menyatakan kesedihan diatas kematian Baharuddin dan menggesa polis menyiasat mengenai kejadian berkenaan.

"Kami amat prihatin terhadap kematian Baharudin dan mangsa lain semasa perhimpunan itu," katanya kepada pemberita di sini.

Anak saudara mangsa, Azhar Kassim, 53, berkata perhimpunan itu bertujuan bagi mendapatkan keadilan di atas kematian bapa saudaranya.

"Kami percaya pihak berkuasa gagal bertindak terutamanya dalam memberi rawatan dengan cepat kepada mangsa," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Baharuddin iaitu suami kepada Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa yang dipercayai turut serta dalam perhimpunan berkenaan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Polis juga telah menafikan dakwaan yang dibuat menerusi beberapa laman web yang mendakwa Baharuddin meninggal dunia selepas terkena gas pemedih mata.

Isu Scopene : Pegawai Kerajaan Dapat Sogokan Jauh Lebih Besar, Dakwa Suaram

Posted: 16 Jul 2011 08:31 AM PDT



KUALA LUMPUR 16 JULAI : Isu pembelian kapal selam Scopene di bawah teraju Datuk Seri Najib Tun Razak dikejutkan dengan pendedahan terbaru bahawa pegawai-pegawai kanan kerajaan disogok dengan komisyen yang jauh lebih besar daripada jumlah yang terbongkar sebelum ini.

Seorang peguam dari Perancis akan memberikan butiran lebih lengkap mengenai sogokan itu dalam sesi penerangan di Ipoh, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bermula minggu depan, kata jurucakap Suaram Cynthia Gabriel.

Beliau berkata peguam William Bourdon akan memberitahu hasil siasatan beliau ke atas pembelian dua kapal selam itu dari Peranchis pada tahun 2002 yang turut dikaitkan dengan pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Sharibuu.

Sebelum ini, syarikat Perimekar yang dikendalikan oleh Abdul Razak Baginda, penasihat kepada Najib ketika itu, dilaporkan menerima komisyen RM540 juta ringgit daripada syarikat DCNS berpangkalan di Paris.
Komisyen lumayan itu disifatkan oleh pembangkang sebagai pendapatan "atas angin" untuk Perimekar hanya kerana hubungan Abdul Razak dan Najib yang ketika itu adalah Menteri Pertahanan.

Abdul Razak dituduh bersubahat dalam pembunuhan Altantuya pada tahun 2005. Beliau mengaku menjalin hubungan sulit dengan Altantuya namun dilepaskan daripada tuduhan itu. Dua anggota polis disabit membunuh bekas model itu pada tahun 2007.

Gabriel berkata bukti-bukti terbaru yang dikumpul oleh pasukan penyiasat di Peranchis menunjukkan pembayaran komisyen yang jauh lebih besar daripada apa yang dibayar kepada Perimekar.

"Kami terkejut untuk mengetahui bahawa wujud lebih banyak pembayaran komisyen kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan di negara ini," tambah beliau.

Pembayaran komisyen adalah dilarang di bawah undang-undang Peranchis. Suaram menerusi peguam-peguam di negara itu telah menyerahkan bukti-bukti yang ada kepada pendakwaraya untuk memulakan siasatan.

Polis Boros?

Posted: 16 Jul 2011 01:01 AM PDT

SHAH ALAM 16 JULAI : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mempersoalkan sejauh mana kebenaran polis membelanjakan sebanyak RM25 seorang untuk menyediakan makan dan minum kepada peserta Himpunan Bersih 2.0 yang ditahan pada 9 Julai lalu.

"Jika benar, ini bermakna pihak polis sudah menyalah guna dana awam ketika menyediakan makan minum peserta yang ditahan," ujar beliau yang dipetik dari laman blognya semalam.

Badrul Hisham, yang dikenali sebagai CheguBard, berkata demikian bagi merujuk laporan media yang memetik kenyataan polis apabila cuba membela diri kononya semua peserta Himpunan Bersih diberikan layanan sempurna.

"Bila ditanya kepada mereka yang ditahan, rata-rata memberitahu bahawa mereka makan ayam goreng, sayur, sambal dan nasi kosong beserta dengan air manis. Hah! adakah ini harganya RM25 satu orang?" soalnya.

"Pergilah ke mana-mana pembekal makanan memasak, tanyakan harga menu tersebut untuk lebih dari 1,000 orang makan secara buffet…..rata-rata akan mengatakan RM6 satu kepala malah ada yang akan menawarkan semurah RM4 sahaja jika cara pembayaran dipermudahkan," jelasnya.

Chegubard berkata, ini bermakna, polis mengeluarkan belanjawan RM25 untuk seorang daripada wang rakyat. Mana pergi lagi RM20? Ini melibatkan salah guna kuasa.

Justeru itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melaksanakan tugasnya untuk menyiasat perkara ini.

Menurut CheguBard, perkara seperti ini sememangnya sudah lama berlaku dimana makanan dalam lokap tidak pernah diperiksa berapakah harga yang diperuntukkan dan bagaimana mutu makanan disajikan serta siapa yang bertanggungjawab meraih keuntungan 'rasuah' tersebut?

"Satu lagi teori menurut mereka yang ditahan, jumlah peserta demonstrasi Bersih sebenarnya menjangkau lebih 3,500 orang tetapi sebaliknya yang diisytiharkan ditahan hanya lebih 1,000 orang," katanya.

Tambahnya, beliau mahu pihak polis memberi penjelasan mengenai adakah benar sebanyak RM25 dibelanjakan untuk seorang peserta dan adakah jumlah yang ditahan melebihi dari jumlah yang diisytiharkan.

Bersih 2.0 : Polis Akui Salah Guna Dana Awam

Posted: 15 Jul 2011 10:06 PM PDT

SHAH ALAM 16 JULAI : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mempersoalkan sejauh mana kebenaran polis membelanjakan sebanyak RM25 seorang untuk menyediakan makan dan minum kepada peserta Himpunan Bersih 2.0 yang ditahan pada 9 Julai lalu?

"Jika benar, ini bermakna pihak polis sudah menyalah guna dana awam ketika menyediakan makan minum peserta yang ditahan," ujar beliau yang dipetik dari laman blognya semalam.

Badrul Hisham, yang dikenali sebagai CheguBard, berkata demikian bagi merujuk laporan media yang memetik kenyataan polis apabila cuba membela diri kononya semua peserta Himpunan Bersih diberikan layanan sempurna.

"Bila ditanya kepada mereka yang ditahan, rata-rata memberitahu bahawa mereka makan ayam goreng, sayur, sambal dan nasi kosong beserta dengan air manis. Hah! adakah ini harganya RM25 satu orang?" soalnya.

"Pergilah ke mana-mana pembekal makanan memasak, tanyakan harga menu tersebut untuk lebih dari 1,000 orang makan secara buffet…..rata-rata akan mengatakan RM6 satu kepala malah ada yang akan menawarkan semurah RM4 sahaja jika cara pembayaran dipermudahkan," jelasnya.

Chegubard berkata, ini bermakna, polis mengeluarkan belanjawan RM25 untuk seorang daripada wang rakyat. Mana pergi lagi RM20? Ini melibatkan salah guna kuasa.

Justeru itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melaksanakan tugasnya untuk menyiasat perkara ini.

Menurut CheguBard, perkara seperti ini sememangnya sudah lama berlaku dimana makanan dalam lokap tidak pernah diperiksa berapakah harga yang diperuntukkan dan bagaimana mutu makanan disajikan serta siapa yang bertanggungjawab meraih keuntungan 'rasuah' tersebut?

"Satu lagi teori menurut mereka yang ditahan, jumlah peserta demonstrasi Bersih sebenarnya menjangkau lebih 3,500 orang tetapi sebaliknya yang diisytiharkan ditahan hanya lebih 1,000 orang," katanya.

Tambahnya, beliau mahu pihak polis memberi penjelasan mengenai adakah benar sebanyak RM25 dibelanjakan untuk seorang peserta dan adakah jumlah yang ditahan melebihi dari jumlah yang diisytiharkan.

Tiada ulasan: