Ahad, 3 Julai 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Himpunan Bersih Medan Pulih Demokrasi Negara

Posted: 03 Jul 2011 06:31 AM PDT





SHAH ALAM 3 JULAI : Rakyat di negara ini hakikatnya hanya mempunyai dua pilihan iaitu memperjuangkan sistem demokrasi yang semakin pudar fungsinya mahupun membiarkannya terkubur begitu sahaja.

Oleh itu kata Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Dr Abdul Aziz Bari, satu pilihan bijak harus dibuat dalam memastikan masa depan negara terus terpelihara.
" Pilihan yang ada hanya dua sekarang, hendakkan perlembagaan diperkasa dan dimartabatkan atau hendak perlembagaan itu dipijak dan dinafikan tempatnya," kata Aziz kepada Tv Selangor ketika mengulas perkembangan terkini berhubung tindakan polis dan kerajaan pemerintah yang melakukan pelbagai cara demi menghalang himpunan aman Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil pada 9 Julai ini.
Selain menahan sesiapa sahaja yang memakai pakaian berwarna kuning dan berlogo Bersih, mengenakan Ordinan Darurat kepada enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM), mengisyitiharkan bahawa Bersih adalah sebuah pergerakan haram, kerajaan Umno-Barisan Nasioanal dilihat terus menggunakan segala kekuatan yang ada untuk menghalang perhimpunan aman berkenaan.
Ironinya, persoalan pokok kepada kebangkitan rakyat ini terus dibiarkan menjadi tanda tanya.
Lantaran itu kata Aziz, rakyat Malaysia harus bangkit menyatakan pendirian mereka dalam hal ini memandangkan tuntutan yang disuarakan oleh Bersih adalah untuk kebaikan bersama.
" Sekarang ini sudah sampai ke tahap, orang biasa pun tahu undang-undang yang digunapakai sekarang adalah undang-udang yang tidak adil. Dan dalam konteks penggunaan Ordinan Darurat ini agak lucu sedikit sebab pada tahun lepas Datuk Seri Hishamuddin mengatakan bahawa Malaysia tidak berada dalam darurat. Jadi dia telah mengeluarkan yang kenyataan yang bercanggah dan bertentangan,"ujar Aziz.
Selain penahanan yang semakin diperhebatkan, hal ini kata Aziz lebih memalukan apabila ia diselang-seli dengan hujah rapuh pemimpin-pemimpin Umno-Barisan Nasional termasuk media kawalan mereka.
Rata-rata mereka melabelkan Bersih adalah agenda pembangkang untuk menawan tampuk pemerintahan, walhal katanya, setiap orang juga pastinya mahukan sebuah pilihan raya yang adil dan bersih dilaksanakan tanpa mengenal fahaman politik.

" Apa salahnya menyokong pembangkang kalau pembangkang itu hendakkan sesuatu yang baik? Pakatan Rakyat bukannya pembangkang bawah tanah, mereka bukan pembangkang yang bergerak secara haram.
"Mereka adalah pembangkang yang didaftarkan secara sah dan mereka hendakkan perkara yang baik dan rakyat tidak salah kalau menyokong dan memberikan restu kepada mereka berbanding dengan parti yang hendak mengekalkan kelemahan, mengekalkan kekotoran dalam sistem pilihan raya,"kata beliau.
" Mereka (kerajaan) itu sebenarnya menentang usaha atau inisiatif untuk mewujudkan pilihan raya yang bersih dan adil. Ini tidak ada kaitan dengan huru-hara. Kalau kita lihat dua tiga hari ini, kita sendiri tahu siapa yang buat kacau. Ceramah yang begitu baik dalam premis pun dikacau oleh polis,"tambah beliau lagi.
Malah pensyarah undang-undang ini secara kritis membidas sikap kerajaan yang sanggup melakukan apa jua cara demi memastikan tampuk kekuasaan kekal di tangan mereka.
Lebih malang lagi apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya mengambil pendirian berkecuali dan amanah dalam menjalankan proses demokrasi negara, mudah diperkudakan oleh pihak yang berkepentingan.
Dalam hal ini kata Aziz, kerajaan dan SPR seharusnya mengkaji sedalam-dalamnya mengapa rakyat bertindak nekad menggunakan saluran jalan raya untuk menuntut hak merekamendapatkan sebuah pilihan raya adil dan bersih.
" Penafian SPR tentang wujudnya pengundi hantu, penafian wujudnya masalah dalam undi pos, adalah satu penafian yang menyebabkan rakyat terpaksa berarak ke jalan raya. Sudah tidak ada cara lain lagi dan mereka takut dengan perarakan itu,"jelas Aziz, di sebalik penafian kerajaan bahawa pilihan raya di negara ini dijalankan dengan telus, seraya menyatakan tidak perlu ada sebarang demonstrasi menuntut hal tersebut dilakukan.
Pada hemat beliau, lapan tuntutan yang disuarakan oleh Bersih 2.0 cukup berasas dalam memastikan proses pilihan raya di negara ini dapat dijalankan dengan penuh efisyen dan adil.
Tidak ada sebab katanya, SPR harus mengambil sikap dingin terhadap tuntutan yang disuarakan oleh gabungan NGO itu demi masa depan negara.
" Jadi saya tak nampak bagaimana Tun Dr Mahathir, Najib (Razak) atau siapa juga patut menentang perkara seperti ini. Semua ini telah dituntut dan diminta secara baik selama ini tetapi SPR buat tidak endah dan tidak buat apa-apa. Malah menafikan bahawa ada masalah,"kata Aziz.
Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengisytiharkan bahawa Bersih sebuah pergerakan haram yang boleh mengancam keselamatan negara.
Malah Khutbah Jumaat di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya turut disajikan dengan peringatan dan amaran bahawa Bersih adalah gerakan pelampau yang memperjuangkan kepentingan individu.
Malah himpunan Bersih itu dikatakan akan berarak ke hulu ke hilir, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta benda awam dan sanggup mencederakan pasukan keselamatan.
Walaupun ditegaskan berkali-kali bahawa Bersih adalah sebuah perhimpunan aman namun kerajaan pemerintah melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan terus melancarkan fitnah ke atas Bersih demi menghalang hak rakyat bersuara.
" Kita lihat bagaimana masjid digunakan untuk menghentam Bersih. Saya rasa ini satu perkara yang tidak patut berlaku oleh kerana Bersih tidak seburuk itu.
" Apa yang disebut dalam khutbah itu jelas satu fitnah, pembohongan. Jadi bagaimana masjid itu boleh digunakan untuk perkara-perkara seperti itu?,"soal Aziz.



Najib Beri Alasan Guna Ordinan Darurat Elak Insiden Serius

Posted: 03 Jul 2011 06:22 AM PDT




SHAH ALAM 3 JULAI : Tindakan polis menahan beberapa individu di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 kerana dipercayai terlibat dalam anasir subversif merupakan langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada perkara lebih serius berlaku, kata Perdana Menteri.

Bernama melaporkan, Datuk Seri Najib sebagai berkata, tindakan itu bertujuan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman negara dikekalkan.

"Ini sebagai langkah preventif, pencegahan lebih baik daripada berubat, apa-apa polis buat ini sebagai satu langkah pencegahan daripada sesuatu yang lebih serius berlaku," katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan enam individu termasuk Anggota Parlimen Sungai Siput Dr D. Jeyakumar mengikut Ordinan Darurat yang pertama kali digunakan terhadap penyokong Himpunan Bersih 2.0 9 Julai ini.

Sementara itu, polis juga tidak menolak kemungkinan akan terus membuat tangkapan di bawah Ordinan Darurat kerana penglibatan dalam anasir subversif.

Malaysiakini melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Khalid Abu Bakar menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa tangkapan itu dibuat sesuka hati sebaliknya menegaskan ia dibuat mengikut lunas undang-undang negara.
"Ini adalah undang-undang yang ada di negara ini.

Bukan pandai-pandai polis ambil tindakan sendiri. Apa juga tindakan kita adalah berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada di Malaysia," katanya.

BERSIH 2.0

Posted: 03 Jul 2011 02:08 AM PDT









Umno Pengecut, Nafi Sertai Demo Ganas

Posted: 03 Jul 2011 01:27 AM PDT

PULAU PINANG 3 JULAI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membidas kenyataan terbuka Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman yang menafikan penglibatan Umno negeri itu dengan sebuah demonstrasi ganas Jumaat lalu.
"Kerajaan negeri Pulau Pinang berasa terkejut dengan pembohongan terbuka Zainal Abidin Osman yang mendakwa Umno tidak terlibat dengan demonstrasi ganas yang mengganggu aliran trafik sejauh 10 kilometer dan menyerang dua wartawan pada 1 Julai lalu di Komtar dan Jambatan Pulalu Pinang," kata Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini.
Menurut Guan Eng, penafian yang dibuat oleh Zainal sekaligus menunjukkan sikap pengecut Umno Pulau Pinang walhal pada hari tersebut Senator dari Umno, Ezam Mohd Noor sendiri ditangkap polis kerana terlibat dalam demonstrasi itu.
"Rakam video menunjukkan Senator Umno, Ezam Mohd Noor ditangkap polis kerana terlibat dalam perhimpunan haram menunjukkan Umno adalah pengecut kerana menafikan penglibatan mereka. Ini adalah contoh terbaik peribahasa Melayu, "baling batu sembunyi tangan"," kata Guan Eng.
Tambah beliau, Zainal bersikap berani dan memohon maaf kepada orang ramai di atas penglibatan Umno dalam demonstrasi ganas tersebut.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menyatakan kekesalannya di atas tindak tanduk Ezam yang menghasut orang ramai untuk menggulingkan dirinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
"Di manakah hormat yang perlu ditunjukkan oleh Umno terhadap demokrasi dan mandat saya selaku Ketua Menteri yang sah?" kata Guan Eng.
Malah ujarnya, layanan media arus perdana terhadap insiden-insiden yang melibatkan pemimpin Umno-Barisan Nasional juga kekal berat sebelah apabila tidak ada satu pun media itu melaporkan tentang penahanan Ezam.
"Tiada langsung berita oleh News strait Times tentang dua wartawan yang diserang Umno mahu pun peserta demo yang menghalang laluan trafik di tengah Jambatan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kesesakan trafik sejauh 10 kilometer. Pemimpin Umno Negeri dan Pemuda Umno turut hadir pada perhimpunan haram yang ganas itu," kata Guan Eng.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, Pemuda Umno Pulau Pinang bersama Perkasa Pulau Pinang berarak dari Masjid Kapitan Keling sehingga ke bangunan Komtar kononnya menuntut Guan Eng meletak jawatan kerana menyokong himpunan Bersih yang akan berlangsung 9 Julai ini.
Dalam demonstrasi ganas itu, beberapa cermin kereta dipecahkan dan dua wartawan dari akhbar Cina juga dicederakan.

Tuntut Pilihan Raya Adil Boleh Ancam Keselamatan Negara?, Soal Surendran

Posted: 03 Jul 2011 01:25 AM PDT




PETALING JAYA 3 JULAI : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai sebuah pertubuhan haram.

Naib Presiden PKR, N. Surendran dalam satu kenyataan media mempersoalkan bagaimana sebuah pergerakan yang menuntut sebuah pilihan raya adil dilaksanakan di negara ini boleh dianggap mengancam keselematan negara.

"Bagaimanakah sebuah perhimpunan aman dengan matlamat demokrasi yang murni menjadi ancaman kepada keselamatan awam?,"soal Surendran.

Malah menurut peguam muda itu, arahan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Seksyen 5 Akta Pertubuhan adalah bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat.

"Menteri turut menyalahgunakan kuasanya di dalam mengeluarkan perintah tersebut memandangkan tindakan tersebut bermotifkan politik dan berhasrat mengekang kritikan terhadap Kerajaan BN,"katanya lagi.

Oleh yang demikian, PKR menuntut perintah tersebut dibatalkan dan semua yang ditahan kerana dikaitkan dengan Bersih 2.0 segera dibebaskan.

Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) telah diisytiharkan haram oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkuatkuasa pada Jumaat.

Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata perisytiharaan itu dibuat oleh Hishammuddin mengikut seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.

Bersih : Sasterawan Negara Gesa Intelektual Nyatakan Pendirian

Posted: 03 Jul 2011 01:24 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 JULAI : Bersedia menghadapi kemungkinan ditangkap ketika hambatan terhadap penyokong Bersih 2.0 semakin meningkat, Sasterwan Negara, Datuk A Samad Said menggesa para intelektual supaya berhenti menjadi 'carma' tetapi berani membuat pendirian terhadap kekejaman dan ketidakadilan.

Beliau mencipta istilah 'carma' itu - singkatan kepada 'cari makan' -semasa pelancaran buku kartunis dan penulis satira politik, Zunar di ibunegara malam tadi.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad berkata penulis jarang membuat pendirian dan kebanyakan mereka adalah 'carma'.

Tegasnya, sikap mereka yang tidak bersedia membuat pendirian tersebut mengakibatkan kejahatan berkembang dan merebak, lapor Malaysiakini.

Pak Samad kemudiannya mensasarkan kritikannya terhadap editor media arus perdana yang memburuk-burukkan perhimpunan 9 Julai anjuran Bersih 2.0 bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

Bagi media arus perdana, katanya, Bersih adalah kotor.

Pak Samad berkata, beliau juga terkejut mengapa wartawan yang berpengalaman dan memenangi anugerah di sana-sini, boleh memburukkan Bersih.

Berucap kepada kira-kira 250 hadirin yang memenuhi auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Pak Samad berkata beliau tahu wartawan tersebut adalah dari kumpulan 'carma'.

Bagaimanapun, katanya, nasib baik masih ada sebilangan kecil penulis yang berani membuat pendirian kerana tahu Bersih adalah bersih.

Majlis pelancaran buku Zunar itu - di mana Pak Samad dan ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar diundang sebagai tetamu khas - diadakan beberapa jam selepas polis menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat.

Walaupun mereka yang hadir, termasuk bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali dan anggota exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong, tidak berpakaian kuning, tetapi ramai yang memakai ikat tangan kuning untuk menyatakan sokongan mereka kepada Bersih 2.0.

Seorang lelaki Cina dilihat memakai baju-T Bersih yang diharamkan di bawah kain putih. Dia hanya menunjukkan baju-T kuning itu ketika bergambar dengan Pak Samad dan Zunar.

Arahan Haram Bersih Harus Ditarik Balik-Kit Siang

Posted: 03 Jul 2011 01:23 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan menarik balik pengharaman Bersih, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Kit Siang berkata, ketiga-tiga alasan yang diberikan bagi pengharaman tersebut di bawah Akta Pertubuhan hanya akan mendedahkan kerajaan dan negara kepada cemuhan masyarakat antarabangsa.

Katanya, Bersih tidak bersalah atas alasan yang pertama, iaitu "bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini".

"Mereka yang bersalah adalah Perkasa dan Pemuda Umno, malah Perkasa mengancam (akan berlaku) satu lagi 13 Mei, dengan amaran kepada orang Cina supaya tinggal di rumah dan menyimpan makanan, dan Pemuda Umno (berkumpul) di hadapan ibu pejabat PKR, mengancam keganasan dan huru-hara,"kata beliau.

Kit Siang turut mempersoalkan tindakan Hishamuddin yang bertindak ke atas Bersih walaupun pihak yang bersalah sebenarnya ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno.

Beliau juga menyifatkan bahawa pengharaman Bersih kerana "menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan menjatuhkan Kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu", adalah tidak berasas sama sekali.

Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) telah diisytiharkan sebagai pertubuhan haram berkuatkuasa Jumaat lalu menurut Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata, perisytiharaan itu dibuat oleh Hishammuddin mengikut seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.

Tiada ulasan: