WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- BERSIH pertubuhan haram: PKR kutuk keras keputusan KDN
- Zunar: Ambil risiko dengan kehormatan sebagai manusia
- A Samad: Kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!
- TUNJUKKAN DIMANA KEZALIMAN KAMI
- Bersih 2.0 : Khutbah Jumaat Jadi Wadah Sebar Fitnah?
- Wan Ahmad Dicabar Buktikan Kata-Katanya
- MP Sg. Siput Dan Lima Yang Lain Ditahan Di Bawah Akta Darurat
- Tahan Anggota PSM : Cubaan Terbaru Gertak Ahli Politik, Orang Ramai Tidak Sertai Bersih 2.0
- Khutbah Jumaat Dipolitikkan Mirip Rejim Mubarak
- Bersih 2.0 : Polis Tahan 14 Orang Di Alor Setar
- Apa Jua Halangan, Bersih Tetap Diteruskan-Maria Chin
BERSIH pertubuhan haram: PKR kutuk keras keputusan KDN Posted: 02 Jul 2011 05:37 PM PDT
Kami mengutuk keras tindakan Menteri Dalam Negeri yang mengisytiharkan BERSIH sebagai pertubuhan haram di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966. Bagaimanakah sebuah pergerakan untuk pilihan raya yang adil menjadi ancaman kepada keselamatan? Bagaimanakah sebuah perhimpunan aman dengan matlamat demokrasi yang murni menjadi ancaman kepada keselamatan awam? Arahan yang dibuat Menteri adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan. Seksyen 5 Akta Pertubuhan adalah bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat. Menteri turut menyalahgunakan kuasanya di dalam mengeluarkan perintah tersebut memandangkan tindakan tersebut bermotifkan politik dan berhasrat mengekang kritikan terhadap Kerajaan BN. Kami menuntut perintah tersebut dibatalkan dan semua yang ditahan berkaitan dengan BERSIH dibebaskan serta-merta. *Kenyataan media oleh N. Surendran (gambar kanan) selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat. | ||
Zunar: Ambil risiko dengan kehormatan sebagai manusia Posted: 02 Jul 2011 05:24 PM PDT Berkecuali, tidak memihak mana-mana pihak, atau istilah "neutral", sering menjadi sikap manusia yang enggan mengambil risiko untuk menghalang kezaliman daripada berlaku. Namun, "kalam" telah menyedarkan Zunar, bahawa "even my pen has a stand" (bahkan kalam mempunyai pendirian), apatah lagi kartunis sebagai manusia? Zunar (gambar kiri), atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Ulhaque mengisahkan bagaimana dirinya mendapat inspirasi untuk nama bukunya yang keempat, "Even My Pen Has A Stand", dalam majlis pelancaran bukunya, semalam. Beliau menamakan bekas yang digunakan untuk mencelupkan pen dakwatnya itu sebagai "pen stand", lantas menyedari bahawa "bahkan kalam mempunyai pendirian" (stand dalam bahasa Inggeris juga bermakna pendirian). Sambil mengambil contoh bagaimana seseorang Mat Rempit (jenaka Zunar: kini dinamakan Patriot) yang "kebetulan" berpakaian merah, meragut beg seorang wanita (jenaka Zunar: yang berasal dari Mongolia) di stesen bas, beliau bertanya apakah kita yang berada di situ akan berdiam diri? "Sekiranya kita berdiam diri, bererti kita membantu mereka yang zalim!" tegas Zunar, membidas sikap sesetengah orang yang mendakwa dirinya mahu bersikap "neutral". Beliau meneruskan, sudah semestinya setiap langkah yang kita ambil ada risikonya, "Tetapi, risiko itu kita ambil dengan kehormatan kita sebagai manusia." Beliau menambah, kita mungkin luka, jikalau mengejar Mat Rempit yang mempunyai pisau; tetapi kita akan lebih berhormat daripada mereka yang hanya berdiri memandang apa yang sedang berlaku dan tidak terluka. Kira-kira 150 orang hadir dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Majlis pelancaran ini dianjurkan penerbit buku ini, iaitu Malaysiakini; dirasmikan oleh ahli parlimen Pantai Dalam, Nurul Izzah Anwar. Malah, tetamu khas yang hadir memberi sokongan termasuklah Sasterawan Negara, A Samad Said, peguam dari Lawyers for Liberty, Fadiah Nadwa Fikri, Kelab Kartun Independen, Ronasina, Senator Syed Husin Ali dan aktivis dalam gerakan sosial. Tidak lukis karya yang bertentangan dengan pendirian Zunar turut menceritakan proses bagaimana kartunnya dihasilkan, bermula dengan memahami isu dari pelbagai sumber, kemudian mengambil pendirian dalam isu tersebut, dan akhirnya mempersembahkannya dalam kartun dengan unsur-unsur humour. Peringkat ketiga adalah peringkat yang paling memakan masa buat dirinya, dan beliau menegaskan bahawa dirinya tidak akan melukis kartun yang bertentangan dengan pendiriannya. "Saya berani pertahankan (karya saya) kerana saya ada hujah-hujah di sebaliknya," katanya sambil mengambil contoh bagaimana kartunis Utusan Malaysia yang mencungkil kontroversi dengan karyanya itu hanya berdiam diri apabila dipertikaikan. "Kita tidak boleh menghormati karyawan yang tidak boleh mempertahankan karyanya," tekan Zunar, yang bertegas bahawa seseorang karyawan bertanggungjawab untuk memberi mesej yang tepat kepada pembacanya. | ||
A Samad: Kekejaman mempunyai tarikh lupusnya! Posted: 02 Jul 2011 05:24 PM PDT Perkembangaan senario politik terkini sesungguhnya sesuatu yang agak merunsingkan buat seniman dan karyawan, namun sasterawan negara A Samad Said tetap tidak berganjak langkah dari pendiriannya ketika berdepan dengan kuasa pemerintah. Sambil bersikap sinis terhadap kerajaan yang "takut dengan warna", A Samad Said menyuntik semangat dengan peringatan bahawa "kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!" A Samad Said dipanggil polis untuk disoal-siasat pada 27 Jun, lantaran kehadiran beliau dalam majlis pelancaran perhimpunan BERSIH 2.0 pada 19 Jun 2011. Beliau kembali ke bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor semalam, untuk menghadiri majlis perlancaran buku kartun Zunar, "EVEN MY PEN HAS A STAND". Sekurang-kurang dua kali A Samad Said berjenaka bahawa Zunar dan dirinya mungkin ditangkap selepas majlis tersebut, namun disusuli dengan kenyataan bahawa dirinya sudah "bersedia". Beliau mengulas perkembangan yang terbaru ketika berucap dalam majlis pelancaran buku Zunar, mengambil pendirian untuk mempertahankan Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan, di samping membidas penahanan menggunakan Ordinan Darurat sebagai satu kekejaman. Kelompok "Carma" A Samad Said menyifatkan sesetengah kelompok seniman dan karyawan yang "selalu bersedia untuk tidak bersikap" sebagai "carma", iaitu cari makan. Dan sikap sedemikian menurutnya, memberi laluan kepada segala kemungkaran yang sedang berlaku dengan dahsyatnya pada hari ini. Beliau mengisahkan bahawa dirinya langsung tidak membaca media arus perdana seperti Utusan Melayu, Berita Harian, New Straits Times dan The Star sebelum ini, "oleh kerana dengan tak membacanya pun, saya tahu". Namun, perkembangan terbaru mendorong dirinya untuk membeli dan membaca akhbar-akhbar tersebut, pada dua tiga hari kebelakangan. "Daripada medium mainstream, bersih tu kotor. Saya sekarang pun hairan juga mengapa orang akhbar yang begitu berpengalaman, mendapat anugerah itu dan ini boleh mengotorkan bersih? Saya tidak faham, tapi saya tahulah di sana ada kelompok-kelompok semata-mata carma, cari makan." A Samad Said turut menyanggah tuduhan "sasterawan negara baru" terhadap dirinya, bahawa A Samad menggunakan anugerahnya untuk memecah-belahkan bangsa. A Samad Said membela dirinya bahawa sepanjang usianya, beliau hanya "menyatukan bukan mengecaikan". Ambiga tidak bersalah! Satu hal lain yang merunsingkan A Samad Said adalah, munculnya satu kelompok yang mendakwa dirinya wira khusus untuk bangsa Melayu, ingin menyaingi BERSIH 2.0, setelah BERSIH 2.0 mengumumkan hasrat untuk mengadakan demonstrasi murninya. "Dan saya kira, kalaulah terjadi pertelagahan, saya lebih menyalahkan polis. Sebab polis lebih awal tahu bahawasanya beberapa bulan yang lalu kelompok BERSIH ini sudah pun meminta ruang dan hari untuk membolehkannya berdemonstrasi jujur. " Beliau memuji niat BERSIH yang bagus, namun apa yang berlaku adalah polis dengan sengaja, atau disuruh tidak membenarkannya. "Dan saya tidak hairan kalau Puan Ambiga, kerana tidak dibenarkan, dia teruskan. Bukan salahnya! Dia minta, tapi tidak dibenarkan. Jadi, apakah BERSIH yang salah, ataupun yang tak bersih tu yang salah?" persoal beliau. Malah, beliau berkata niat polis adalah jelas, iaitu untuk menakutkan rakyat - ketika mengulas kejadian di mana 70 anggota polis mengelilingi tujuh orang yang ingin ditangkap. "Sebab mustahil ada, tiba-tiba ada 70 orang polis," katanya, sambil meneruskan "Niatnya ialah untuk menakutkan. Jadi sekarang ini zaman menakutkan, supaya rakyat berhati-hati..." Timbulkan soal komunis A Samad Said tidak lupa untuk membidas, bahawa iklim siasah kita sudah mula beralih menjadi "amat kasar", apabila soal komunis ditimbulkan. Beliau berkata isu ini seolah-olah sengaja ditimbulkan untuk mempermudahkan penangkapan dengan undang-undang yang lama. Beliau sempat menyindir "pengkhayalan" mereka yang berkuasa, "Dan saya fikir pengkhayalan itu hanya dua orang, tak payah saya sebut namalah...", sambil menambah "Kadang-kala khayalan polis juga luar biasa". Enam orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditangkap semula dengan Ordinan Darurat pada 2 Julai, yang membenarkan tempoh penahanan 60 hari tanpa perbicaraan. Mereka sebelum ini dituduh cuba menghidupkan semula komunisme, dan berniat memerangi Yang Di-Pertuan Agong. A Samad Said berterus-terang, "Saya kira ini adalah satu kekejaman." Beliau mempersoalkan, "Sebab kita juga hidup dalam satu dunia demokrasi, di mana suara harus didengar, harus dipertimbang. Mengapa tiba-tiba kita harus berada dalam satu situasi yang tidak boleh bercakap pun, malah warna pun tidak boleh hidup?" Beliau kemudian membidas bahawa warna kuning sebagai warna yang murni, warna simbolis sampai ke puncaknya, warna yang dihormati - kini cuba dikuburkan, selepas beliau menyindir, "Dengan warna pun dia takut?" "Dengan kesombongan kuasa yang ada, yang mengatakan tak mahu berunding lagi, itu sudah tidak demokrasi." A Samad Said berkata, "Tidak mahu berunding lagi, maksudnya, permulaan zaman menangkap!" Dengan kain kuning yang dililitkan oleh Zunar pada lengannya, A Samad berkata, "Kekejaman mempunyai tarikh lupusnya!" Beliau terus meluahkan keresahannya, "Saya khuatir kalau ini dibiarkan, ada tanda-tanda yang kemungkinan yang sangat besar negara kita akan menjadi negara polis. Ada tanda-tanda itu." Sebelum mengakhiri ucapannya, A Samad Said sekali lagi melontarkan jenaka, "Saya nampak banyak gambar rambut", dalam buku Zunar. Pembaca yang masak dengan kartun Zunar menyedari bahawa kartun tersebut membawa sindiran tersirat terhadap isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. A Samad mengakhiri ucapannya, "Saya takut dengan rambut!" | ||
TUNJUKKAN DIMANA KEZALIMAN KAMI Posted: 02 Jul 2011 05:00 AM PDT Tunjukkan dimana kezaliman kami - Guan Eng
| ||
Bersih 2.0 : Khutbah Jumaat Jadi Wadah Sebar Fitnah? Posted: 02 Jul 2011 04:57 AM PDT KOMENTAR : Keunggulan Islam di Malaysia akan tercemar jika umat Islam tidak bangkit untuk menolak penggunaan masjid bagi mencapai agenda politik parti pemerintah. Penggunaan Khutbah Jumaat untuk menfitnah penganjur dan peserta Bersih 2.0 harus dibidas oleh seluruh umat Islam; tidak kira mereka di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terpaksa mendengar khutbah itu sebelum menunaikan solat Jumaat semalam. | ||
Wan Ahmad Dicabar Buktikan Kata-Katanya Posted: 02 Jul 2011 04:55 AM PDT SHAH ALAM 2 JULAI : Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dicabar supaya tampil dengan bukti kukuh bahawa "hampir mustahil" seorang pengundi boleh membuang undi sebanyak dua kali pada satu-satu pilihan raya. Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu Wan Ahmad bukan hanya berhujah lantang, sebaliknya membuktikan kata-kata beliau berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat sebelum ini. Malah badan itu perlu menjadikan amalan penambahbaikkan dalam mewujudkan sistem yang adil dan tidak terikat kepada kerajaan pemerintah. | ||
MP Sg. Siput Dan Lima Yang Lain Ditahan Di Bawah Akta Darurat Posted: 02 Jul 2011 04:53 AM PDT KUALA LUMPUR 2 JULAI : Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain ditahan di bawah Akta Darurat setelah mereka dibebaskan pada jam 2 petang tadi. Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Aruchelcan ketika dihubungi Tv Selangor mengesahkan hal itu sebentar tadi. " Ya beliau ditahan di bawah Akta Darurat bersama lima yang lain. " Mereka tadi dibebaskan dan mereka akan dibawa ke Bukit Aman pukul empat petang ini,"kata beliau. Menurut peguam mereka, antara ahli lain yang ditangkap semula itu adalah timbalan pengerusi PSM M Saraswathy, ahli jawatankuasa pusat Choo Chon Kai, M Sukumaran, setiausaha bahagian Sungai Siput Letchumanan dan pemimpin pemuda Sarat Babu. Dr Jeyakumar pada 25 Jun lalu ditahan polis bersama 31 yang lain ketika menaiki sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang. Bendahari PSM Siva Rajan pada sidang media di luar mahkamah Butterworth berkata kumpulan itu dibebaskan dari ibu pejabat daerah polis Kepala Batas, Pulau Pinang pada jam 2 petang tadi. Namun mereka ditangkap semula oleh anggota polis Bukit Aman yang bersedia menunggu di luar balai berkenaan. Pada Khamis, 30 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan keenam-enam mereka dikenakan tahanan reman sehingga hari ini. Aktivis tersebut menyertai siri kempen "Udah La Tu Bersaralah" yang dilancarkan pada 24 Jun, menjelang perhimpunan Bersih 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya. Polis mendakwa berdasarkan beberapa barangan yang dirampas daripada aktivis berkenaan menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan fahaman parti Komunis Malaya (PKM). Akta Darurat merupakan suatu akta yang menggunakan pendakatan penahanan tanpa bicara seperti yang diamalkan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). | ||
Tahan Anggota PSM : Cubaan Terbaru Gertak Ahli Politik, Orang Ramai Tidak Sertai Bersih 2.0 Posted: 02 Jul 2011 04:52 AM PDT SHAH ALAM 2 JULAI : Penahanan enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar adalah cubaan terbaru kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menakut-nakutkan orang ramai dan pemimpin politik dari terus menyertai perhimpunan aman Bersih pada 9 Julai ini. " Tindakan itu adalah tindakan untuk menakutkan orang ramai dan pemimpin-pemimpin politik khususnya bahawa ini adalah satu isyarat, kalau kamu teruskan Bersih, inilah akibatnya, kamu akan terima hukuman seperti ISA. " Ini menunjukkan kerajaan tidak ada alasan di atas penahanan yang mereka lakukan. Jadi mengheret mereka ke atas Akta Darurat adalah sesuatu yang tidak adil,"tambah Mahfuz lagi. | ||
Khutbah Jumaat Dipolitikkan Mirip Rejim Mubarak Posted: 01 Jul 2011 11:47 PM PDT SHAH ALAM 1 JULAI : Tindakan ulama Jabatan Agama Islam (JAWI) menggunakan medium khutbah untuk menghalang rakyat daripada menyertai himpunan BERSIH 2.0 dilihat mirip kepada tindakan rejim bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak. Tatkala masyarakat Mesir keluar beramai- ramai untuk mendesak Hosni supaya berundur dari tampuk pemerintahan, khutbah Jumaat di masjid- masjid berkumandang, menyeru dan melarang rakyat daripada berkumpul di Tahrir Square, untuk menyatakan pendirian mereka. Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu berkata demikian mengulas tindakan JAWI mengheret institusi masjid dalam cubaan membatalkan perhimpunan BERSIH 2.0 pada minggu hadapan. "Ini khutbah yang dipolitikkan. Jawi sepatutnya tidak buat begitu. Mereka perlu tahu apa tujuan (Bersih) dahulu dan merujuk kepada ahli ulamak. Ini dia buat sesuka hati sahaja. "Ianya digunakan oleh (universiti) Al Azhar di Mesir untuk khutbah supaya melarang rakyat keluar ke Tahrir Square," ujar beliau ketika dihubungi Tv Selangor petang tadi. Beliau berkata JAWI sepatutnya memelihara institusi agama Islam Malaysia bukannya diperalatkan rejim Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menyebarkan fitnah tanpa merujuk pandangan ulama-ulama seluruh negara. Masjid- masjid di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini dibekalkan teks khutbah Jumaat yang dipercayai mempunyai unsur menuduh penganjur Bersih sebagai "pengkhianat". Selain itu, teks yang dibacakan oleh imam-imam itu turut membayangkan peserta himpunan itu "akan bertindak ganas, merosakkan harta benda... malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan". Antara lain teks yang bertajuk "Memelihara Nikmat Keamaman" itu turut menuduh golongan yang akan menyertai program Bersih hanya memperjuangkan kepentingan diri. Ia turut mendakwa Himpunan Bersih 2.0 berselindung di sebalik perjuangan hak asasi manusia dan politik untuk "meniru" keganasan di negara asing demi menekan pemerintah. Walaupun pengajur Bersih telah berulang kali memberi jaminan bahawa perarakan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong itu nanti akan berlangsung secara aman, namun kerajaan Umno-BN bertegas menafikan hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru Mat Sabu tidak menolak kepimpinan agama khususnya Islam gagal mengasingkan diri dengan kepentingan politik. "Rejim untuk menyokong rejim Mubarak, ayat yang sama juga digunakan seperti di Putrajaya. Ini semua ulama upahan Umno-Barisan Nasional," tambah beliau lagi. | ||
Bersih 2.0 : Polis Tahan 14 Orang Di Alor Setar Posted: 01 Jul 2011 11:35 PM PDT ALOR SETAR 2 JULAI :Polis Kedah hari ini menahan 14 orang yang sebahagian besar mereka ahli PKR kerana didakwa terbabit dengan kempen perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini di sebuah kedai kopi di sini, pagi ini. Mereka juga didakwa cuba menjual kemeja T kuning dengan logo Bersih. "Kami baru hendak mula sidang akhbar tetapi polis terus serbu. Ini amat memeranjatkan dan mengarut," katanya. | ||
Apa Jua Halangan, Bersih Tetap Diteruskan-Maria Chin Posted: 01 Jul 2011 11:32 PM PDT KUALA LUMPUR 2 JULAI : Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini akan tetap diteruskan meskipun pihak polis menegaskan akan memastikan perhimpunan itu tidak akan berlaku. Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya akan cuba memohon untuk mengadakan dialog kali kedua bersama pihak polis,lapor KeadilanDaily.com. Namun sekiranya gagal berbuat demikian, beliau menegaskan bahawa perhimpunan itu akan tetap diteruskan. "Kalau mereka berkeras saya amat kecewa dengan tindakan mereka. Namun kita masih memohon agar sesi dialog akan dibuat untuk kali kedua. "Apapun kami tetap akan mengusulkan dan membuat rundingan sekali lagi.Walau apapun halangan, perhimpunan akan diteruskan," kata Maria. Beliau memberi reaksi berhubung kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar semalam, bahawa polis telah menutup semua pintu rundingan dengan penganjur. Ia ekoran pertemuan Pengerusi Bersih 2.0, S Ambiga dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi mencari jalan rundingan dengan polis sendiri menentukan jalan laluan peserta Bersih ke Istana Negara. Bercakap pada sidang media di Bukit Aman, Khalid berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas peserta perhimpunan itu. Menurut Maria, Bersih kecewa kerana polis masih berkeras, malah mengancam menggunakan ISA yang secara jelas mencabuli hak asasi manusia. "Polis sudah tidak ada idea dan cara lain selain kekerasan iaitu ISA, saya nak tanya PM kenapa bila kita dah buka cara untuk berdialog dan cuba berbincang tapi masih lagi tidak dapat terima?," soal beliau. Menurut Maria, Bersih telah memberikan cadangan dan usul yang munasabah untuk diterima pihak polis. "Ianya mudah dengan memberitahu tiga tempat berlainan di mana tiga kumpulan akan berkumpul untuk berarak," kata beliau. "Kita juga menjamin keselamatan peserta kerana Bersih sendiri sudah menyediakan 5000 petugas untuk mengawal keselamatan dan perarakan juga tidak akan melebihi 2 hingga 3 jam," tegasnya lagi. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan