Tempayan Retak |
Bersih 2.0: Suhakam dakwa tindakan polis cabuli hak asasi Posted: 12 Jul 2011 04:29 AM PDT Oleh Syed Mu'az Syed Putra KUALA LUMPUR, 12 Julai — Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Muhammad Sha'ani Abdullah mengencam kekerasan dilakukan polis semasa bertindak menangkap peserta Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan ia pencabulan hak asasi manusia. "Ini adalah isu yang besar, semua mangsa harus tampil ke depan dan kemukakan aduan secara terus supaya kita boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperoleh. "Cara yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, satu pencabulan, satu penyalahgunaan kuasa dan ia bertentangan dengan hak asasi manusia," katanya pada sesi dialog dengan Dewan Pemuda PAS pusat yang mengemukakan empat pelanggaran dilakukan pihak keselamatan pada Sabtu lalu. Sha'ani yang turut memantau perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga merupakan satu pencabulan. "Tahan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pulapol juga merupakan satu pencabulan, mereka (polis) telah merancang untuk tahan mereka, ia sekadar penahanan sahaja bukan untuk diambil keterangan. "Kita tidak boleh terima tindakan begitu dalam negara yang dikatakan negara maju, polis telah aniaya mereka dengan menggunakan kekerasan, peserta ditangkap, digari kemudian diarahkan menaiki trak dengan tangan di belakang," katanya dengan nada kesal. Tambah Sha'ani, beliau menyifatkan tindakan yang dilakukan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0 sebagai "orang yang tiada pelajaran." "Pihak itu tidak berpelajaran, mereka pakai uniform, pakai lencana... mereka tiada hak untuk bertindak kasar terhadap sesiapapun. "Kami mahu kerajaan memastikan institusi polis menjaga kelakuan petugas supaya menghormati sesiapa yang mereka tangani," tegasnya. Pada Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat ditahan. Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu. |
Polis bertindak melampau ke atas peserta Bersih, kata Majlis Peguam Posted: 12 Jul 2011 04:17 AM PDT Oleh Clara Chooi KUALA LUMPUR, 12 Julai — Polis telah bertindak secara "rambang, sembarangan dan melampau" dengan menggunakan meriam air dan gas pemedih mata dalam jarak yang dekat serta di bawah aras mata terhadap peserta Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu, kata laporan pemerhatian Majlis Peguam. Laporan itu mengatakan polis melepaskan gas pemedih mata dengan tujuan mahu menyebabkan kecederaan. Pada Sabtu lalu, Majlis Peguam telah meletakkan anggotanya di beberapa lokasi untuk memantau perhimpunan itu. Ia mendedahkan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berjalan dalam suasana aman sekiranya polis tidak melepaskan gas pemedih mata ke atas peserta. Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee (gambar) berkata, pihaknya akan membentangkan hasil laporan itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada pertemuan yang dijangka akan diadakan minggu ini. Pasukan pemantauan itu, kata Lim, melaporkan beberapa insiden kecil di mana peserta berkelakuan liar dengan melempar botol air mineral ke atas wartawan stesen televisyen. Mereka lakukan dengan aman, kata Lim sambil menambah, peserta perhimpunan melaungkan "Hidup Rakyat", "Bersih" dan "Reformasi" selain turut menyanyikan lagu "Negara Ku" semasa dalam perjalanan ke Stadium Merdeka sebelum dihalang polis. Bagaimanapun polis, menurut Lim, telah menggunakan senjata seperti gas pemedih mata dan meriam air secara "rambang, sembarangan dan melampau" untuk menghuraikan peserta. "Ada beberapa pegawai yang menyatakan polis telah memberi amaran sebelum menggunakan gas pemedih mata dan meriam air. Bagaimanapun ia begitu sukar untuk kumpulan yang besar mendengar apa yang dikatakan," katanya semasa menyampaikan kesimpulan laporan perhimpunan itu. Lim menambah ada satu insiden yang menyaksikan peserta berkumpul beramai-ramai di belakang Kompleks Dayabumi kerana tiada jalan untuk melarikan diri daripada gas pemedih mata yang dilepaskan polis. "Ia juga berlaku di kawasan Puduraya. Anda melepaskan tembakan di kedua-dua arah tanpa ada jalan melarikan diri. Anda sepatutnya menembak untuk menyuraikan peserta ... semua strategi ini tidak perlu dilakukan," katanya. Lim berkata berdasarkan dua laporan Suhakam, polis telah melakukan kesilapan pada Sabtu lalu kerana gagal mengawal perhimpunan itu. "Anda tidak perlu menggunakan gas pemedih mata dan meriam air ... anda boleh gunakan pendekatan memujuk dengan peserta. Polis sepatutnya mengurangkan menggunakan senjata. "Pegawai polis yang ditugaskan untuk menangani perhimpunan perlu mencari pemimpin dan tarik perhatian mereka. Jika mereka tetap mahu bergerak dan mengganggu ketenteraman awam, sepatutnya beritahu kepada mereka agar tidak bergerak, kemudian tanya kepada mereka berapa lama masa diperlukan untuk berucap dan selepas selesai, mereka akan bersurai," katanya. Lim berkata terdapat seorang pegawai polis bernama "Suhaimi" telah menunjukkan toleransi sementara ramai di kalangan mereka sikap yang tidak sepatutnya. "Ada pelbagai sikap di kalangan mereka. Seperti — saya mahu lawan anda kerana anda mahu lawan dengan saya ... saya mahu tangkap anda dan pukul anda sehingga jatuh dan menangkap anda. Pemikiran seperti ini perlu diubah. Polis sepatutnya bertindak melindungi kita, membantu menjayakan perhimpunan bukan bertindak menindas," katanya. Lim juga menambah cara polis menangani peserta perhimpunan dengan menggunakan gas pemedih mata dalam jarak yang dekat dan di bawah paras mata seolah-olah mahu mencederakan bukan menyuraikan. "Jika menggunakan dengan cara tertentu, ia boleh menjadi senjata membunuh. Kami juga menyaksikan sendiri bagaimana polis menyerang peserta," katanya tetapi menambah, pihaknya tidak memperoleh sebarang rakaman video berhubung keganasan polis. Beliau menambah Ismail bersetuju untuk mengadakan pertemuan dan pihaknya akan menggesa polis agar menjalankan siasatan secara komprehensif berhubung perhimpunan Sabtu lalu dan melibatkan Suhakam - MalaysianInsider |
You are subscribed to email updates from Tempayan Retak To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan