Rabu, 20 Julai 2011

shalehudin

shalehudin


Betoi betoi berpuaka kot... kahkahkah...

Posted: 20 Jul 2011 09:30 AM PDT

'Bini puaka': Pendakwa tarik balik rayuan


Abdul Rahim Sabri
Pendakwaraya kes 'bini puaka' memutuskan tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membebaskan semua tertuduh pada September lalu.

Sehubungan itu, kelima-lima bekas mahasiswa Universiti Malaya (UM) itu kekal bebas daripada tuduhan cuba melakukan khianat dengan api dan melakukan pencerobohan jenayah dua tahun lalu.

Lima mahasiswa Keputusan itu dimaklumkan kepada seorang peguam mahasiswa berkenaan Zulhazmi Shariff yang hadir dalam pengurusan kes di pejabat timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara tersebut disahkan oleh seorang lagi peguam mereka Mohd Razlan Jalaluddin ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

"Pendakwaraya tidak berminat untuk meneruskan rayuan ini. Jadi tiada lanjutan (rayuan). Mahasiswa itu kini 100 peratus bebas, bersih dan suci," katanya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 September lalu memutuskan tiada prima facie dalam kes itu.

Tertuduh - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - dituduh melakukan jenayah bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan Akademi pengajian Pengajian Islam UM pada 24 Jun 2009 kira-kira jam 4 pagi.

Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima bekas mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Kesemua mereka kini sudah menamatkan pelajaran masing-masing di universiti berkenaan.

Penjilat yang kerjanya siang malam jilat...

Posted: 20 Jul 2011 08:50 AM PDT

Bersih: Persatuan jurufoto pertahan gambar akhbar Kumpulan NST

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) membuat laporan polis menafikan dakwaan seorang lelaki bahawa sekeping gambar yang diambil oleh seorang jurufoto Kumpulan New Straits Times pada perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lepas menggunakan teknik 'super impose'.

Laporan itu dibuat oleh Presiden MPPA Mat Salim Shaari di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada pukul 3.30 petang ini.

Dalam laporan itu MPPA mempertahankan keaslian gambar itu dan menafikan dakwaan seorang lelaki dalam laman sosial "Facebook" pada 11 Julai lepas bahawa gambar itu "super imposed."

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Mat Salim berkata gambar yang menunjukkan seorang lelaki berbaju putih, berseluar celoreng tentera serta bertopeng seperti hendak melontarkan sesuatu kira-kira pukul 12 tengah hari di hadapan Dataran Maybank yang menjadi gambar muka hadapan akhbar New Sunday Times dan Berita Minggu keesokan harinya, adalah gambar tulen.

Beliau berkata tuduhan lelaki itu yang dianggap liar dan tanpa usul periksa boleh menjejaskan imej MPPA yang dianggotai 400 jurugambar, terutama jurugambar media.

Macam tak percaya ja berita nih... haha...

Posted: 20 Jul 2011 08:00 AM PDT

Ishhh.... macam tak percaya pulak bila terbaca berita nih... haha...

Betoi ka si peguam dari Perancis yang nak mai Malaysia pada hari ni 21 Julai hingga 23 Julai dan dijangka akan dedah kes pembunuhan Altantuya Sharibu? Kahkahkah... Kalau betoi la, tentu ada orang yang nak buat kenduri pisang emas hari Jumaat kat mesjid mesjid... kahkahkah.... Kalau betoi la, tentu ada orang yang la ni dah mula tidoq tak lena... kahkahkah...

Peguam Perancis, Wiliam Bourdon dijangka bukan sahaja akan membongkar skandal pembelian kapal selam Scorpene, tetapi juga misteri pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Dia nak mai ke Pulau Pinang bagi memberi ucap utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram), yang turut diadakan di Petaling Jaya dan Ipoh pada hari berikutnya. Bourdon, antara sekumpulan peguam yang dilantik Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene akan menceritakan perkembangan terkini kes itu yang kini dalam peringkat perbicaraan di mahkamah Perancis.

Sumber Suaram memberitahu kes itu dijangka akan dibawa ke mahkamah terbuka Perancis seawalnya Ogos. Pembelian kapal selam berkenaan yang dinamakan KD Tuanku Abdul Rahman dan KD Tun Razak, sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana melibatkan penggunaan wang rakyat sebanyak RM7.3 bilion.

Pada Disember 2009, Suaram telah melantik sekumpulan peguam hak asasi manusia di sana untuk memfailkan aduan mengenai skandal berhubung komisyen pembelian kapal berkenaan, yang menyalahi undang-undang negara itu. Pada April tahun lalu, mahkamah Perancis menerima permintaan untuk menyiasat dakwaan rasuah pembayaran komisyen berjumlah Euro 114 juta atau hampir RM500 juta dari pembina kapal berkenaan, DCNS kepada Perimekar Sdn Bhd.

Perundingan bagi pembelian itu dijalankan menerusi Perimekar untuk membeli dua kapal selam Scorpene dan Agosta di bawah usahasama syarikat Sepanyol-Perancis, Armaris iaitu anak syarikat DCNS.

Perimekar dimiliki Ombak Laut, milik penuh Abdul Razak Baginda manakala Isteri Razak tersenarai antara pengarah Perimekar dengan saham terbesar dalam syarikat itu. Abdul Razak merupakan kenalan rapat Najib yang terlepas dari kes pembunuhan kejam warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 yang merupakan perantara bagi pembelian kapal selam berkenaan.

Mayat Altantuya dijumpai diletupkan dengan bahan peledak C4 dari kementerian pertahanan di Puncak Alam pada Oktober 2006. Bagaimanapun dua lagi tertuduh iaitu pegawai polis pengiring yang bertugas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman mati.

Pada 2009, seorang bekas anggota cawangan khas, P Balasubramaniam yang juga pernah bertugas untuk Abdul Razak mengaitkan pembunuhan Altantuya dengan Najib Tun Razak dalam akuan bersumpahnya.

Sebelum ini Pengarah Urusetia Suaram, Cynthia Gibrael turut mendedahkan dua tiket penerbangan yang disahkan atas nama Abdul Razak dan Altantuya, ke Macau- bagi urusan pembelian kapal selam berkenan- yang turut dikaitkan dengan seorang lagi individu ketiga.

Apa hal diam ja nih... hihi...

Posted: 20 Jul 2011 06:18 AM PDT

Imelda Rosmah Masih Berdiam
Oleh: edyesdotcom

Sudah hampir dua minggu pendedahan mengenai wujud satu kemasukan belian bernilai RM24.45 j terkait nama Imelda Rosmah. Sejak itu dia diam dan membisu cuma 'pengampu-pengampu' dia yang sibuk bertungkus lumus menjawab. Mulanya pengampu Imelda mengatakan bunti tersebut palsu dan kini sudah tidak boleh menyangkal setelah SPRM mengesahkan dokumen tersebut maka muncul pula borang kastam kedua kononya belian tiu dibawa keluar 4 hari selepas itu. Kononya belian itu untuk satu pameran belian yang diadakan secara sulit, di tempat yang sulit dengan tetamu-tetamu yang sulit. Semua yang sulit itu sedang diusahakan dan disusun skripnya.

Klik bahan - bahan di bawah untuk membaca mengenainya.

Pendedahan antara bukti yang diperolehi "gambar screen komputer kastam" yang mengandungi maklumat kemasukan belian bernilai RM24.45 j. Nilai ini saya sebut dari awal dalam RM bukan USD cuma mungkin ada blogger terkeliru dan menukarnya dalam USD. klik http://chegubard.blogspot.com/2011/07/imelda-rosmah-dan-cincin-nilai-rm244.html sebaik sahaja bukti ini disiarkan pengampu - pengampu Imelda terus mengatakan ia gambar photoshop palsu

Tidak kuarng juga yang konon cabar kalau berani che'GuBard tampil buat laporan SPRM. maka pada 13 Jul. che'GuBard bersama tem,an-teman SAMM Pulau Pinang bersama juga wakil Dewan Pemuda PAS dan AMK P.Pinang hadir ke SPRM P.Pinang untuk membuat laporan SPRM dengan menyerahkan juga bberapa bukti yang masih belum disiarkan. klik http://chegubard.blogspot.com/2011/07/samm-tampil-buat-laporan-sprm-isu.html

Ketika membuat carian mengenai barang-barang kemas Imelda Rosmah terjumpa pula gambar Rosmah Mansor yang sedang menggayakan gelang tangan yang sememangnya dari Jacob & co yang merupakan syarikat pengeluar belian RM24.45j tersebut. klik http://chegubard.blogspot.com/2011/07/imelda-rosmah-memang-penggemar-jacob-co.html ini menguatkan hujah bahawa Imelda Rosmah memang peminat barangan Jacob & co.

Pengampu makin hilang punca dan menyerang yang kononya tidak masuk akal belian bernilai RM24.45 j wujud. Posting ini hanya untuk buktikan bahawa belian lebih mahal juga wujud dalam dunia yang mana manusia rakus mengejar kemewahan ini. klik http://chegubard.blogspot.com/2011/07/masuk-akal-atau-tidak-cincin-bernilai.html

SPRm tidak boleh berdolak dalih perlu tampil untuk nyatakan pendirian mengenai kewujudan belian ini. Klik http://chegubard.blogspot.com/2011/07/sprm-kena-muncul-menyatakan-pendirian.html posting ini membuktikan bahawa sememangnya beberapa hari sebelum belian ini masuk ke Malaysia, Rosmah dan suaminya Najib baru sahaja pulang dari New York untuk lawatan ke sana.

Sah bukan dipalsukan bukti tersebut kerana SPRM telah menyerbu KLIA dan A.Krishnan (yang tidak bersalah) diambil dari petang hingga subuh. Siasatan SPRM pula tumpu kepada bagaimana cukai boleh kosong. nampak sangat SPRM tidak buat kerja rumah. Najib pada belanjawan yang lepas sememangnya telah menghapuskan cukai perbagai perkara seperti pakaian, perhiasan dan seumpamanya. Kini baru rakyat sedar bahawa pemasuhan cukai itu mungkin ada kena mengena dengan perangai Imelda Rosmah yang akan bawa masuk perbagai barang hiasan mewah.

Sistem kastam juga telah 'diganggu' selama tiga jam. http://chegubard.blogspot.com/2011/07/sistem-kastam-down-3-jam-semalam-dan.html dalam posting ini juga dinyatakan rupanya gelang Rosmah yang dibeli dari Jacob & co itu bernilai RM1.6 juta (paling murah) berdasarkan respon email Jacob & co sendiri

Pengampu panik bukti tersebut bukan palsu dan ternyata benar belian RM24.45 j masuk dan ada terkait Rosmah di dalam dokumen tersebut maka mereka masuk fasa baru dalam mengampu berkenaan isu ini. maka muncul borang kedua kononya belian itu dibawa keluar dari Malaysia ke Singapura pula selepas 4 hari di Malaysia. Konon belian itu untuk pameran di tempat rumah VVIP rahsia dengan tetamuVVIP rahsia. Semua sedang bertungkus lumus menyiapkan skrip. Namun borang kastam kedua itu banyak kelemahan klik http://chegubard.blogspot.com/2011/07/usaha-terdesak-untuk-lindungi-imelda.html

Tiba - tiba jumlah pelayar blog ini meningkat mendadak, jumlah komen juga meningkat. Hampir semua komen diluluskan kecuali yang mencarut dan lucah melampau. ternyata pengampu Umno terpaksa bertungkus lumus menjawab. kebanyakan komen dari IP yang sama termasuk yang mencarut kemudian hantar pula hadis nabi. Ini pula posting yang menyatakan komen seorang orang lama dalam Kastam mengenai kewujudan pembelaan kononya barang tersebut untuk pameran klik http://chegubard.blogspot.com/2011/07/maklumat-dari-orang-kastam-edyess.html

Persoalanya mula - mula tuduh pendedahan palsu, kemudian tuduh pula untuk pameran... tetapi Imelda Rosmah tetap diam.

Rosmah yang samalah yang selama ini membazir bukan sedikit wang rakyat.

http://chegubard.blogspot.com/2011/06/ketika-rakyat-susah-jom-tengok-beg.html
http://chegubard.blogspot.com/2011/01/najib-terus-dipersenda-kerana-rosmah.html

Ada pula geng pengampu Imelda yang tuduh kononya komplot serangan ini ada kaitan dengan Khairy Jamaluddin jawapanya ialah ia tidak ada kena mengena. Kalau mereka ada masalah antara mereka pun che'GuBard tak minat campur. klik http://chegubard.blogspot.com/2011/04/khairy-mengelabah-konon-orang-nak.html"

Kesian kat Najib... kahkahkah...

Posted: 20 Jul 2011 04:34 AM PDT

Najib jumpa Pope: Penganut Kristian tulis surat nyatakan kebimbangan

KUALA LUMPUR: Seramai 365 rakyat Malaysia penganut Katolik menulis surat kepada Ketua Gereja Katolik, Pope Benedict XVI menyatakan kegusaran mereka terhadap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Vatican 18 Julai lalu.

Surat itu disampaikan kepada wakil Pope Benedict di Singapura, delegasi Apostolik His Grace Archbishop Leopoldo Girelli.

Najib bertemu Pope Benedict XVI di Rom 18 Julai lalu, bagi meningkatkan hubungan diplomatik dan kerjasama dengan Wismaputra- Gambar Reuters

Perkara itu didedahkan oleh penulis, Anil Netto dalam laman web Aliran.com semalam.

Ia menyampaikan rasa hati penganut Katolik yang risau kemungkinan kerajaan dan pemimpin asing terpengaruh dengan Najib yang ghairah menyebarkan mesej kesederhanaan di luar negara sedangkan kerajaan Najib sendiri berulang kali menggunakan kekerasan terhadap rakyat dalam negaranya.

Antara lain mereka menyebut tentang keganasan Najib menangani himpunan aman Bersih, manipulasi sentimen etnik dan keagamaan yang diamalkan Najib untuk kekal berkuasa, dan kekangan terhadap kebebasan beragama di Malaysia.

Mereka juga risau Najib akan menggunakan lawatan tersebut untuk meraih undi dan mengekalkan popularitinya di kalangan penganut Kristian di Sabah Sarawak.

"Kami risau jika terdapat agenda politik tersembunyi untuk memenangi sokongan pengundi Kristian di Sabah dan Sarawak bersempena lawatan Najib ke Vatican ini.

"Akhir sekali, kami juga risau Najib cuba untuk mendekati Holy See pada masa ini untuk mendapatkan sokongan popular dalam pilihan raya umum akan datang yang bakal berlangsung menjelang awal 2013," tulis mereka dalam surat itu.

Justeru, mereka meminta Pope Benedict agar berwaspada dalam berurusan dengan kerajaan pimpinan Najib

"Kami berdoa agar Holy See akan mempertimbangkan isu-isu yang kami nyatakan ini dan mendapat petunjuk dari Roh Kudus dalam berurusan dengan kerajaan Malaysia," kata mereka.

Akhbar arus perdana hari ini menyiarkan berita hubungan diplomatik yang baru termeterai di antara Vatican dan kerajaan Malaysia selepas Najib bertemu Pope Benedict XVI di istana musim panasnya di Castel Gandolfo.

Lawatan itu dibuat Najib selepas beberapa minggu sebelumnya, Najib membuat kenyataan terbuka kononnya himpunan aman Bersih yang berlangsung 9 Julai lalu didalangi dan dibiayai gerakan Kristian luar negara.

Hebat budak nih... wajib baca woii... haha...

Posted: 20 Jul 2011 02:00 AM PDT

Bantahan kepada Anugerah Ibrahim Ali
Oleh Hatri Asmawi

Saya sebagai seorang bekas pelajar UiTM, saya diberitahu ada anugerah Ibrahim Ali yang akan diberikan kepada pelajar cemerlang yang mengikut kriteria yang diberikan oleh beliau. Sejumlah peruntukan disediakan untuk diberikan kepada pemegang anugerah ini.

Sebagai seorang alumni UiTM yang prihatin, saya amat tidak bersetuju jika anugerah ini diteruskan memandangkan latar belakang dan perjuangan Ibrahim Ali yang terlalu ekstrim, mementingkan bangsa tanpa memperdulikan sensitiviti kaum lain

Ini tidak melambangkan visi dan misi UiTM sebagai sebuah institusi yang mengeluarkan pelajar-pelajar yang berbilang bangsa dan agama yang mementingkan muhibah sesama kaum dan sesama rakyat Malaysia.

Anugerah ini juga akan menyebabkan institusi UiTM akan dipandang serong oleh industri-industri domestik yang selama ini memandang tinggi graduan UiTM yang serba boleh dan berprestij tinggi. Sekiranya anugerah ini diberitakan, graduan UiTM lain akan menjadi mangsa kepada diskriminasi akibat dari Anugerah dari seorang rasis.

Oleh yang demikian, saya sebagai seorang alumni UiTM, sekali lagi ingin menegaskan satu usaha untuk menghalang anugerah ini dari diteruskan harus dilakukan. Saya berharap usaha yang keras perlu dilakukan untuk menghalang anugerah ini dari diteruskan.

Sekian, terima kasih.

Penulis adalah alumni UiTM

Lawak Melayu... kahkahkah...

Posted: 20 Jul 2011 12:30 AM PDT

Anugerah Ibrahim Ali - lawak Melayu ke ini?

UiTM's Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) dengan tajaan sendiri oleh Presiden Perkasa menawarkan Anugerah Ibrahim Ali untuk mereka yang dikatakan mempunyai kelayakan sebagai pejuang memartabatkan bangsa. Anugerah Ibrahim Ali?

Makin gawat perjuangan Melayu yang ada hari ini sehingga Ibrahim Ali mahu dijadikan IKON perjuangan Melayu. Mungkin Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu sendiri perlu membuat kajian dari memalukan Institut itu sendiri. Setakat ini kegawatan Melayu adalah berpunca dari perkara-perkara sebegini.

Memartabatkan mereka tanpa membuat penilaian terperinci sumbangan kepada Melayu. Mungkin pelajar UiTM lebih maju dari mencalonkan diri untuk anugerah ini dan secara jujur saya katakan kalau inilah Institut yang diharapkan untuk memantau dan memaju Melayu kepada tahap yang lebih tinggi - lupakan sahaja.

Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu IMPAk - tidak mampu berfikir.- KB

Ramai yang tak sabaq nak tengok nih... haha...

Posted: 19 Jul 2011 11:00 PM PDT

Video BERSIH akan ditayang pada media


Kuek Ser Kuang Keng
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini memberikan jaminan bahawa siasatan berhubung dakwaan keganasan polis semasa perhimpunan BERSIH 2.0 akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Rakaman pada 9 Julai itu kemudiannya, menurut Ismail, akan ditayangkan kepada pihak media.

"Saya sangat yakin dapat laporan dalam masa terdekat.

"Akan ada sesi melihat video bersama-sama media dan menjawab persoalan," kata Ismail dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman.

Ismail bagaimanapun enggan menerima seoalan daripada pihak media dalam sesi hari ini.

Beliau sebaliknya menggesa media dan orang awam supaya bersabar dan mengelak daripada membuat sebarang andaian sebelum siasatan tamat.

Menegaskan bahawa pihak polis tidak menyembunyikan sesuatu, Ismail meminta orang ramai menyerahkan gambar dan buktu video bagi membantu siasatan polis.

Ia boleh dilakukan dengan menyerahkan kepada pusat media polis atau menghubungi talian 03-2266 8321/8320.

Sementara itu, Bernama melaporkan, polis memerlukan masa untuk selesai melakukan penilaian dan penelitian oleh enam jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan terhadap polis semasa perhimpunan itu.

"Kita perlukan masa. Kita perlu tahu jumlah sebenar orang ramai yang hadir semasa perhimpunan itu. Kami juga terpaksa temu bual anggota kami sendiri dan memanggil orang awam bagi mendapatkan fakta," katanya.

Semalam, polis meminta kerjasama orang ramai menyerahkan rakaman video berkaitan perhimpunan haram itu untuk dijadikan bukti sama ada terdapat dakwaan polis bertindak ganas semasa menyuraikan perhimpunan itu.

Ismail berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu akan meneliti dan menyiasat kesemua bukti sama ada daripada polis sendiri mahupun daripada Internet bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.

"Akhir-akhir ini, melalui pemerhatian saya (ke atas gambar dan video di Internet), saya dapati ada yang tidak tepat. Oleh itu, saya minta orang ramai bantu kami dengan serahkan bukti untuk membantu siasatan.

"Fakta ini penting supaya kita dapat kaji segala bukti yang ada dan dapat gambaran jelas," katanya kepada agensi berita nasional itu.

Ketika menjelaskan mengenai jawatankuasa khas itu, Ismail berkata ia terdiri daripada pegawai yang berwibawa dan berpengalaman dan jawatankuasa ini telah ditubuhkan minggu lepas yang bekerja 24 jam sehari bagi menyelesaikan siasatan.

Panass... !!! Firaun mengamuk di Mesir

Posted: 19 Jul 2011 09:00 PM PDT

Amukan Regim UMNO di Mesir
Oleh: abu_zaim

"
Ekoran dari kejayaan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir mengadakan perkumpulan secara aman menyokong BERSIH 2.0, pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) MENGAMUK SAKAN cuba menzahirkan bahawa mereka lebih hebat dari Tuhan membunuh masa depan pelajar.

Apabila ditanya, sudah tentu semua akan berbangga mendakwa bahawa Malaysia merupakan negara yang bertamadun menjunjung konsep DEMOKRASI. Bebas menyuarakan pandangan. Bebas menzahirkan pendirian. Namun hakikatnya apa yang tinggal hanyalah UNDANG-UNDANG RIMBA mencengkam rakyat dengan kuku yang ditempa dari besi. Amukan regim Malaysia melampaui benua Afrika memangsakan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir.

Yang terbaru kes Mohd Firdaus Madzlan yang ditendang dari Kursus Darul Ifta' kerana 'kesalahan' menganjurkan perkumpulan Bersih di Kaherah. Impian beliau yang akan menyambut majlis konvo 25 Julai ini musnah apabila pihak Jabatan Penuntut Kaherah a.ka. JPMK yang bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (baca UMNO) mendesak pihak Darul Ifta' mengugurkan nama Mohd Firdaus Madzlan. JAHAT!

Tidak cukup dengan itu, pelajar-pelajar yang ingin berurusan dengan JPMK akan DISOAL SIASAT oleh pegawai (baca pencacai UMNO ) yang bernama KHAIRI JALALUDDIN tentang pembabitan dengan BERSIH. Dia akan mengeluarkan 3 album gambar untuk memeriksa samada pelajar tersebut menghadiri perkumpulan BERSIH ataupun tidak. Jika ada, dia akan memaksa pelajar tersebut supaya menyenaraikan penama-penama dalam gambar yang ditunjukkan. SAMSENG!

Terkini pelajar-pelajar yang menetap di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) DIHALAU secara lisan oleh warden. Tindakan tersebut gara-gara kerana mereka terlibat dalam perkumpulan BERSIH.

Belum lagi dibongkarkan bagaimana kerja pegawai-pegawai JPMK dan KBMK berjumpa dengan dekan kuliah Ulum Islamiyyah Universiti al-Azhar berbekalkan gambar-gambar peserta BERSIH supaya nama yang disenaraikan DITENDANG dari Universiti al-Azhar. ZALIM!

Jika ingin diungkap dengan bahasa UMNO, bukankah semua pelajar Malaysia di Mesir merupakan orang Melayu? Kata sayang sangat dengan orang Melayu. Mengapa sanggup menyembelih nasib orang Melayu? Pelajar-pelajar di negara lain tidak dikenakan tindakan sekejam itu. Tak akan berani dengan bangsa sendiri je?

Jika kita amati UMNO BN banyak menangani isu BERSIH tuntutan rakyat dengan tindakan nekad. Pendek kata apa nak jadi, jadilah. Begitu juga apa yang berlaku di Mesir, inilah tindakan yang paling gila yang pernah dibuat oleh pegawai-pegawai (baca pencacai UMNO). Jika benarlah falsafah yang mengatakan 'sesebuah kuasa jahat akan tumbang di kemuncak kejahatannya', maka sekarang adalah detik UMNO BN di kemuncak ketakutannya dan akan sanggup melakukan apa sahaja untuk survival regimnya.

Tidak kira anda pelajar, penjawat awam, warga tua atau sebagainya, pastikan anda semua mencarum saham menumbangkan regim UMNO BN acuan Firaun.

Ooo... buatan Israel, tentu PDRM megah guna ni bedai rakyat sendiri...

Posted: 19 Jul 2011 08:00 PM PDT

FRU guna kanister Israel sahkan kezaliman BN - Shuhaimi Shafiei

Kanister gas pemedih mata yang digunakan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyerang peserta himpunan Bersih, didedahkan adalah jenis sama digunakan tentera Israel untuk membunuh rakyat Palestin.Ia sekaligus mengesahkan kekejaman BN yang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk meniru pendekatan tentera zionis bagi mendatangkan kecederaan kepada rakyat yang menentangnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata demikian mengulas laporan Suara Keadilan edisi terbaru, yang mendedahkan bahawa FRU menggunakan kanister tersebut untuk menyerang peserta Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Kanister mengeluarkan gas jenis CS itu dikeluarkan syarikat Combined System Inc dari Amerika Syarikat yang berupaya menyebabkan kecederaan mata, paru-paru dan penyakit kulit. Ia pernah meragut nyawa seorang warga Palestin, Jawaher Abu Rahmah dari Kampung Bil'in pada 1 Januari 2011 akibat terhidu gas berlebihan yang dikeluarkan kanister itu.

Sebelumnya pada April 2009, abang Jawaher, Baasem Abu Rahmah juga mati akibat terkena tembakan kanister gas pemedih mata itu di bahagian dada. Pendedahan itu dilakukan Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya yang mendakwa syarikat Federal Laboratories berpengkalan di Amerika Syarikat, pernah disaman berikutan penyalahgunaan gas pemedih mata yang sama pada 1992.

Ia menyebabkan syarikat itu terpaksa membayar pampasan kepada 30 keluarga Palestin. Menurut Shuhaimi, beliau tidak terkejut dengan pendedahan itu kerana polis yang diperalatkan Umno akan menggunakan apa sahaja termasuk meniru pendekatan tentera Israel menzalimi rakyat Palestin.

"Kita memang tidak terkejut. Dari awal lagi (kita tahu) mereka akan guna kekerasan yang boleh mendatangkan kematian (kepada peserta himpunan)," katanya. "Mereka akan guna apa-apa sahaja cara, termasuklah ilmu yang diajar APCO untuk memusnahkan kebangkitan rakyat," kata Shuhaimi.

Katanya, ia bukti kelakuan ganas polis terhadap demonstran Bersih pada 9 Julai lalu sememangnya disengajakan untuk mendatangkan kecederaan kepada warga Malaysia yang menuntut reformasi pilihan raya.

"Polis Malaysia dengan arahan Umno sememangnya berniat melakukan kecederaan serius terhadap semua peserta Bersih. Malangnya, perancangan jahat mereka tidak berhasil kerana ia memakan diri," kata Shuhaimi./KD

Hodoh sungguh laaa... macam komunis...

Posted: 19 Jul 2011 07:00 PM PDT

Perangai BN Macam Komunis?
Oleh Zulkifli Yahaya

Perjalanan dengan bas dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sepatutnya tiba di Puduraya tetapi dilencongkan ke perhentian bas Jalan Duta. Pemandu bas meminta maaf terhadap kesulitan yang timbul, namun itu bukan salah mereka. Mulai detik 12 malam 9 julai 2011 semua bas tidak dibenarkan ke Puduraya.

Sama ada peserta Bersih atau individu yang tiada kena mengena dengan Bersih semua menanggung kesusahan yang sama apabila laluan ke pusat bandaraya Kuala Lumpur ditutup oleh pihak polis.

Saya bertanya pemandu teksi tempat terdekat dengan pusat bandaraya Kuala Lumpur yang boleh dilalui dan bersedia untuk diturunkan di situ. Pemandu mencadangkan KL Central atau Jalan Ke Muzium Negara. Bersama rakan-rakan kami menaiki teksi namun hanya mampu sampai di hadapan muzium. Laluan ke KL Central juga ditutup. Anggota polis berkawal di mana-mana bagaikan medan perang.

Mereka yang meneruskan perjalanan hingga ke sekatan polis di hadapan muzium ditangkap dan dikerahkan menaiki trak. Saya dan seorang rakan buntu lalu berehat di hentian bas. Tiada siapa di situ kecuali kami berdua yang pada fikiran kami berhimpun hanya berdua di tempat yang selamat tanpa sebarang kekecohan bukanlah satu kesalahan. Akta Polis pun tidak boleh diguna pakai untuk dua orang yang berkumpul.

Rupanya jangkaan itu silap. Sekonyong-konyong sebuah kereta peronda meluncur laju menongkah laluan menuju kami. "Encik minta IC." Selepas menyerahkan kad pengenalan, beg plastik saya yang hanya mengandungi kain pelekat dan sebotol air mineral digeledah.

"Encik ikut kami ke sana, kami nak kumpul bersama kawan-kawan encik di sana," ujar seorang dari tiga anggota polis. Tindakan mereka sudah dihidu. Kami mahu diangkut menaiki trak polis dan ditahan entah di lokap mana. Rakan saya melenting, kami pun sama-sama berhujah dengan polis tersebut. Mereka tak terbalas hujah, lalu mengarahkan berdedar dari situ segera jika tidak mahu ditahan.

Pilihan yang ada ialah ke KL Central, menyusup melalui terowong bawah tanah kerana semua laluan dikawal polis. Di KL Central suasana kelihatan tegang apabila polis berkawal terlalu ramai. Asal saja terlibat kelibat orang yang syaki mahu menuju perhimpunan Bersih mereka dikelilingi anggota polis, diminta kad pengenalan dan diarahkan ke trak polis. Mudah sungguh mereka menahan orang seolah-olah semua rakyat Malaysia adalah disyaki penjenayah.

Seorang lelaki berusia kelihatan uzur dan hanya bertongkat sedang enak menikmati makanan juga diarah menaiki trak. Beberapa orang pelancong asing tertanya-tanya, apa yang berlaku?

Orangramai yang mundar mandir di situ kelihatan gelisah dan tidak ceria. Suasana yang berlaku mengingatkan kepada cerita Almarhum Ustaz Fadzil Noor sewaktu kembali dari lawatan ke Russia. Katanya di bandaraya Moscow orang jarang terseyum, semuanya berwajah serius dan jarang menyapa atau bergurau antara satu sama lain. Waktu itu negara kesatuan SovietUnion baru berkubur tetapi kesan pemerintahan komunis yang panjang menyebabkan rakyatnya hilang keceriaan hidup.

Asalnya komunis bukan suatu fahaman berasaskan keganasan. Komunisme sebagai anti-kapitalisme menggunakan sistem partai komunis sebagai alat pengambil alihan kekuasaan dan sangat menentang penguasaan modal oleh individu. Pegangan terhadap agama diperangi kerana dianggap 'candu'. Di bawah pemerintahan komunis rakyat dipaksa menganut fahaman yang sama dengan kerajaan iaitu komunisme. Mereka yang berbeza dengan kerajaan dianggap musuh negara dan menerima padahnya. Maka disinilah bermulanya keganasan. Di SovietUnion ribuan ulamak dibunuh dan siapa yang mengamalkan agama secara terbuka dihukum.

Rakyat Malaysia, khususnya yang berumur melebihi 40 tahun, berjaya dipasakkan tanggapan bahawa komunis adalah pengganas berdasarkan peristiwa lampau yang benar-benar berlaku dalam negara. Keganasan askar komunis menyerang hendap tentera kita sekitar 60an dan 70an sangat membantu mensahihkan imej buruk komunis.

Kekejaman komunis terhadap rakyat yang enggan menerima komunisme hanya berlaku di negara komunis. Sebenarnya ancaman yang lebih besar dari kapitalisme dan agama bagi komunis ialah demokrasi. Ribuan para pelajar China yang bangkit menuntut demokrasi telah dibunuh beramai-ramai di Tiananmen Square pada 2 Jun 1989. Selepas peristiwa itu dan sehingga kini China belum dapat didemokrasikan.

Apakah kini rakyat China tidak dahagakan demokrasi? Tidak mungkin, tetapi lebih baik bagi mereka membungkam keinginan di dalam diri dari mendapat susah. Tapi percayalah suatu hari nanti kerajaan komunis akan hancur juga di China dan demokrasi yang tulen akan tertegak.

Jika ancaman bagi kerajaan komunis ialah demokrasi maka ancaman bagi kerajaan BN di Malaysia ialah demokrasi yang adil dan bersih. Malaysia bukan negara komunis tetapi perangai kerajaan Malaysia dalam mempertahankan kekuasaan seolah-olah meniru perangai komunis.

Menangkap seseorang tanpa sebab munasabah, mengharamkan baju yang mempunyai warna tertentu, menggeledah beg pakaian orang sesuka hati, mengubah laluan perjalanan orang mengikut kehendak mereka, membuat sekatan jalan di merata tempat sehingga menyusahkan orang, menghalang rakyat dari menuntut demokrasi yang adil; semua itu adalah perangai buruk yang selama ini dibuat oleh kerajaan komunis. Mereka menjustifikasikan semua tindakan menyusahkan rakyat itu kononnya untuk pencegahan walhal pencegahan sampai ke tahap itu tidak lain dari yang pernah dilakukan oleh kerajaan komunis.

Dengan media yang dikuasai mereka berkempen berminggu-minggu memburukkan imej Bersih, mengajak rakyat jangan sertai Bersih dalam pelbagai bentuk propaganda, mengaitkan Bersih dengan Kristianisasi, Yahudi, Hinduisme dan pluralisme agama, membuat beribu laporan polis, menganjurkan demonstrasi haram seluruh negara mengutuk himpunan Bersih, melakukan pelbagai provokasi serta ancaman untuk menghalang termasuk dari NGO yang disertai oleh para pendekar; namun rakyat tidak takut dan tidak peduli – lebih seratus ribu berarak di Kuala Lumpur untuk menuntut pilihanraya adil dan bersih!

Apa maknanya? Maknanya rakyat Malaysia hari ini tidak takut lagi akan ugutan ala komunis oleh BN dan BN akan tumbang seperti berkuburnya kerajaan komunis Soviet Union.

Yang Tuhan buat tu tak elok lagi...

Posted: 19 Jul 2011 06:00 PM PDT

Jantina ditentu ketika lahir

MOHD ASHRAF HAFIZ...sudah tukar jantina

KUALA TERENGGANU: "Walaupun pemohon sudah menjalani pembedahan tukar jantina, perkara itu tidak boleh dijadikan hujah untuk mendapatkan kebenaran mahkamah."

Demikian kata Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya ketika menolak permohonan Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 26, yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz, semalam.

Selain itu, kata Mohd Yazid, tiada laporan lengkap daripada pihak hospital bersabit pembedahan jantina yang dibuat terhadap Mohd Ashraf Hafiz dan sepanjang prosiding berlangsung, tiada seorang pun doktor dipanggil memberi keterangan.

"Selepas kes ini diperhalusi dan diteliti daripada semua aspek dan mengambil kira implikasi kepada masyarakat, mahkamah menolak permohonan ini," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Ashraf Hafiz selaku pempetisyen tidak hadir di mahkamah semalam dan hanya diwakili peguamnya, Horley Isaacs.- myMetro

Depa buat pekak apa yang dituntut, yang depa tau... kerja ugut...

Posted: 19 Jul 2011 05:00 PM PDT

Ambiga: Putrajaya perlu respons tuntutan Bersih, bukan terus ugut
Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 19 Julai — Kerajaan persekutuan perlu secara aktif melibatkan Bersih 2.0 dan memberi respons ke atas segala tuntutan pilihan raya tanpa terus mengeluarkan amaran kepada orang ramai tidak menyertai demonstrasi, kata Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar).

Justeru, pengerusi Bersih 2.0 hari ini mengajukan persoalan untuk mengetahui mengenai respons pentadbiran Najib ke atas tuntutan-tuntutan gabungan tersebut sambil menegaskan, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengadakan demonstrasi pada masa-masa akan datang.

"Ada laporan mengatakan bahawa saya ada menyebut tidak akan ada lagi perhimpunan. Ini tidak tepat dan saya melihat para menteri mengulangi (perkara ini). Apa yang saya sebutkan ialah tidak akan ada perhimpunan dalam waktu terdekat. (Tetapi) kami tidak memandang ringan (idea) untuk mengadakan perhimpunan sedemikian (pada masa akan datang)," kata beliau lagi.

"Kami akan terus mengambil langkah-langkah sedemikian untuk memberi tekanan berhubung soal pembaharuan sistem pilihan raya tetapi apa yang kami harapkan ialah penglibatan aktif bersama pihak berkuasa dalam perkara ini," kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Bekas presiden Majlis Peguam ini berkata, kerajaan telah "mengabai perkara" sewajarnya dengan mengeluarkan ugutan dan bahawa lebih banyak halangan ke atas perhimpunan-perhimpunan pada masa depan sedangkan sewajarnya pihak berkuasa mengambil langkah untuk menangani tuntutan yang diketengahkan pada 9 Julai lalu.

"Apa respons kerajaan ke atas permintaan kami mengenai pembaharuan? Kepada permintaan kami agar diadakan satu suruhanjaya siasatan diraja?" kata Ambiga dengan menegaskan bahawa kerajaan seharusnya melakukan sesuatu yang baik untuk menangani kebimbangan rakyat daripada hanya terus mengeluarkan ugutan.

"Mudah kata, adakah kerajaan hendak meneliti tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya atau tidak?" kata beliau.

Bersih 2.0 mengemukakan lapan tuntutan kepada SPR yang bertujuan membawa pembaharuan sistem pilihan raya.

Sejak 1 Julai, Putrajaya telah mengharamkan Bersih 2.0.

Meskipun dihalang dan disekat, Bersih 2.0 mengadakan perhimpunannya di ibu negara 9 Julai lalu dengan penganjur berkata ia disertai sekitar 50,000 orang.

Bagaimanapun polis mendakwa hanya 6,000 orang hadir.

Kesian... parutnya makin teruk...

Posted: 19 Jul 2011 04:00 PM PDT

Parut pada wajah Lin makin teruk

Oleh MANIRAH OTHMAN

PARUT pada wajah Fazlinda kini semakin teruk ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU - Keengganan kanak-kanak yang menjadi mangsa simbahan asid oleh bapa sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, untuk memakai topeng tekanan pada wajah telah menyebabkan parut pada mukanya kini menjadi semakin serius.

Pada awal tahun ini, Nurul Dahyatul telah menjalani pembedahan pertama untuk mengurangkan kesan parut pada wajahnya namun, kesan parut yang timbul pada wajahnya kian teruk.

Malah, perubahan itu turut menjejaskan peluang kanak-kanak itu untuk kembali memperoleh wajah seperti sedia kala.

Ibu kanak-kanak itu, Che Ku Huzaimah Che Ku Awang, 29, yang turut bimbang dengan keadaan itu menjelaskan, dia sendiri seperti hilang ikhtiar untuk mendisiplinkan anak kedua dari empat beradik itu untuk memakai topeng tekanan.

"Lin (panggilan Nurul Dahyatul Fazlinda) cakap topeng itu menyebabkan muka dia rasa perit dan tidak selesa, sebab itu dia jarang pakai alat itu," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu dekat sini semalam.

Kanak-kanak tersebut cedera teruk pada wajah dan badan akibat terkena simbahan asid pada 15 Ogos tahun lalu di rumahnya yang turut mencederakan Che Ku Huzaimah, Muhammad Irfan Firdaus, 3, serta nenek Lin, Minah Omar, 57.

Tiada ulasan: