Selasa, 19 Julai 2011

shalehudin

shalehudin


Paraguay kejutkan juara bertahan

Posted: 19 Jul 2011 11:00 AM PDT

PARA pemain Paraguay meraikan kejayaan pasukan itu mara ke separuh akhir Copa America selepas menewaskan Brazil 2-0 awal pagi semalam.

LA PLATA, Argentina - Selepas kegagalan Argentina, Brazil menjadi pasukan pilihan yang kedua tersingkir daripada kempen Copa America tahun ini.

Juara bertahan, Brazil dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Paraguay pada aksi suku akhir di Stadium Ciudad de La Plata awal pagi semalam.

Kejayaan Paraguay ke atas Brazil itu hadir menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.

Ia merupakan kejayaan pertama Paraguay mara ke peringkat separuh akhir sejak kali terakhir melakukannya pada 1989 yang mana mereka turut layak ke pentas final.

Pada aksi itu, penjaga gol Paraguay, Justo Villar dijulang sebagai wira apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan pemain Brazil, Thiago Silva dan Elano.

Dua lagi sepakan Brazil yang diambil oleh Andre Santos dan Fred gagal disempurnakan.

Jurulatih Paraguay, Gerardo Martino berkata, Brazil sepatutnya memenangi perlawanan itu dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

"Brazil sepatutnya tidak berdepan kesukaran untuk memenangi perlawanan pada masa sebenar kerana mereka dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.

"Namun inilah bola sepak. Kadang-kadang keputusan beginilah yang kita akan terima.

"Kami (Paraguay) tidak beraksi seperti mana yang kami kehendaki tetapi nasib masih memihak kepada kami," kata Martino.

Sementara itu, harapan Brazil untuk me- raih kejuaraan ketiga berturut-turut pada kempen Copa America kini sudah berkubur dengan kekalahan di tangan Para- guay itu.

Sebagai rekod, Brazil telah lapan kali memenangi kempen Copa America sebelum ini iaitu pada tahun 1919, 1922, 1949, 1989, 1997, 1999, 2004 dan 2007.

"Ia pasti akan mengecewakan apabila kamu tidak mencapai seperti mana yang telah dirancang.

"Kami (Brazil) tewas di tangan pasukan yang masih belum memenangi kempen Copa America (Paraguay), namun kini mereka telah layak ke peringkat separuh akhir.

"Inilah bola sepak dan kami perlu belajar bagaimana caranya untuk mengelakkan perkara-perkara seperti ini berlaku," kata jurulatih Brazil, Mano Menezes. - AP

Anak Datuk mana pulak dahhh.... haha...

Posted: 19 Jul 2011 09:00 AM PDT

Anak Datuk antara tiga ditahan seludup PATI

JOHOR BAHRU 19 Julai – Tiga lelaki, salah seorang daripadanya anak orang kenamaan (VIP) bergelar Datuk ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam jenayah penyeludupan manusia di Kota Tinggi dekat sini baru-baru ini.

Anak VIP itu yang berusia 21 tahun ditahan bersama dua rakannya di persimpangan tiga jalan besar Sungai Rengit-Teluk Ramunia pada pukul 8 malam kelmarin.

Suspek merupakan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi tempatan dan sedang bercuti semester. – Utusan

Macam komunis la perangai hampa...

Posted: 19 Jul 2011 08:34 AM PDT

Perangai BN Macam Komunis ?'
Oleh Zulkifli Yahaya

Perjalanan dengan bas dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sepatutnya tiba di Puduraya tetapi dilencongkan ke perhentian bas Jalan Duta. Pemandu bas meminta maaf terhadap kesulitan yang timbul, namun itu bukan salah mereka. Mulai detik 12 malam 9 julai 2011 semua bas tidak dibenarkan ke Puduraya.

Sama ada peserta Bersih atau individu yang tiada kena mengena dengan Bersih semua menanggung kesusahan yang sama apabila laluan ke pusat bandaraya Kuala Lumpur ditutup oleh pihak polis.
Saya bertanya pemandu teksi tempat terdekat dengan pusat bandaraya Kuala Lumpur yang boleh dilalui dan bersedia untuk diturunkan di situ. Pemandu mencadangkan KL Central atau Jalan Ke Muzium Negara. Bersama rakan-rakan kami menaiki teksi namun hanya mampu sampai di hadapan muzium. Laluan ke KL Central juga ditutup. Anggota polis berkawal di mana-mana bagaikan medan perang.

Mereka yang meneruskan perjalanan hingga ke sekatan polis di hadapan muzium ditangkap dan dikerahkan menaiki trak. Saya dan seorang rakan buntu lalu berehat di hentian bas. Tiada siapa di situ kecuali kami berdua yang pada fikiran kami berhimpun hanya berdua di tempat yang selamat tanpa sebarang kekecohan bukanlah satu kesalahan. Akta Polis pun tidak boleh diguna pakai untuk dua orang yang berkumpul.

Rupanya jangkaan itu silap. Sekonyong-konyong sebuah kereta peronda meluncur laju menongkah laluan menuju kami. "Encik minta IC." Selepas menyerahkan kad pengenalan, beg plastik saya yang hanya mengandungi kain pelekat dan sebotol air mineral digeledah.

"Encik ikut kami ke sana, kami nak kumpul bersama kawan-kawan encik di sana," ujar seorang dari tiga anggota polis. Tindakan mereka sudah dihidu. Kami mahu diangkut menaiki trak polis dan ditahan entah di lokap mana. Rakan saya melenting, kami pun sama-sama berhujah dengan polis tersebut. Mereka tak terbalas hujah, lalu mengarahkan berdedar dari situ segera jika tidak mahu ditahan.

Pilihan yang ada ialah ke KL Central, menyusup melalui terowong bawah tanah kerana semua laluan dikawal polis. Di KL Central suasana kelihatan tegang apabila polis berkawal terlalu ramai. Asal saja terlibat kelibat orang yang syaki mahu menuju perhimpunan Bersih mereka dikelilingi anggota polis, diminta kad pengenalan dan diarahkan ke trak polis. Mudah sungguh mereka menahan orang seolah-olah semua rakyat Malaysia adalah disyaki penjenayah.

Seorang lelaki berusia kelihatan uzur dan hanya bertongkat sedang enak menikmati makanan juga diarah menaiki trak. Beberapa orang pelancong asing tertanya-tanya, apa yang berlaku?

Orangramai yang mundar mandir di situ kelihatan gelisah dan tidak ceria. Suasana yang berlaku mengingatkan kepada cerita Almarhum Ustaz Fadzil Noor sewaktu kembali dari lawatan ke Russia. Katanya di bandaraya Moscow orang jarang terseyum, semuanya berwajah serius dan jarang menyapa atau bergurau antara satu sama lain. Waktu itu negara kesatuan SovietUnion baru berkubur tetapi kesan pemerintahan komunis yang panjang menyebabkan rakyatnya hilang keceriaan hidup.

Asalnya komunis bukan suatu fahaman berasaskan keganasan. Komunisme sebagai anti-kapitalisme menggunakan sistem partai komunis sebagai alat pengambil alihan kekuasaan dan sangat menentang penguasaan modal oleh individu. Pegangan terhadap agama diperangi kerana dianggap 'candu'. Di bawah pemerintahan komunis rakyat dipaksa menganut fahaman yang sama dengan kerajaan iaitu komunisme. Mereka yang berbeza dengan kerajaan dianggap musuh negara dan menerima padahnya. Maka disinilah bermulanya keganasan. Di SovietUnion ribuan ulamak dibunuh dan siapa yang mengamalkan agama secara terbuka dihukum.

Rakyat Malaysia, khususnya yang berumur melebihi 40 tahun, berjaya dipasakkan tanggapan bahawa komunis adalah pengganas berdasarkan peristiwa lampau yang benar-benar berlaku dalam negara. Keganasan askar komunis menyerang hendap tentera kita sekitar 60an dan 70an sangat membantu mensahihkan imej buruk komunis.

Kekejaman komunis terhadap rakyat yang enggan menerima komunisme hanya berlaku di negara komunis. Sebenarnya ancaman yang lebih besar dari kapitalisme dan agama bagi komunis ialah demokrasi. Ribuan para pelajar China yang bangkit menuntut demokrasi telah dibunuh beramai-ramai di Tiananmen Square pada 2 Jun 1989. Selepas peristiwa itu dan sehingga kini China belum dapat didemokrasikan.

Apakah kini rakyat China tidak dahagakan demokrasi? Tidak mungkin, tetapi lebih baik bagi mereka membungkam keinginan di dalam diri dari mendapat susah. Tapi percayalah suatu hari nanti kerajaan komunis akan hancur juga di China dan demokrasi yang tulen akan tertegak.

Jika ancaman bagi kerajaan komunis ialah demokrasi maka ancaman bagi kerajaan BN di Malaysia ialah demokrasi yang adil dan bersih. Malaysia bukan negara komunis tetapi perangai kerajaan Malaysia dalam mempertahankan kekuasaan seolah-olah meniru perangai komunis.

Menangkap seseorang tanpa sebab munasabah, mengharamkan baju yang mempunyai warna tertentu, menggeledah beg pakaian orang sesuka hati, mengubah laluan perjalanan orang mengikut kehendak mereka, membuat sekatan jalan di merata tempat sehingga menyusahkan orang, menghalang rakyat dari menuntut demokrasi yang adil; semua itu adalah perangai buruk yang selama ini dibuat oleh kerajaan komunis. Mereka menjustifikasikan semua tindakan menyusahkan rakyat itu kononnya untuk pencegahan walhal pencegahan sampai ke tahap itu tidak lain dari yang pernah dilakukan oleh kerajaan komunis.

Dengan media yang dikuasai mereka berkempen berminggu-minggu memburukkan imej Bersih, mengajak rakyat jangan sertai Bersih dalam pelbagai bentuk propaganda, mengaitkan Bersih dengan Kristianisasi, Yahudi, Hinduisme dan pluralisme agama, membuat beribu laporan polis, menganjurkan demonstrasi haram seluruh negara mengutuk himpunan Bersih, melakukan pelbagai provokasi serta ancaman untuk menghalang termasuk dari NGO yang disertai oleh para pendekar; namun rakyat tidak takut dan tidak peduli – lebih seratus ribu berarak di Kuala Lumpur untuk menuntut pilihanraya adil dan bersih!

Apa maknanya? Maknanya rakyat Malaysia hari ini tidak takut lagi akan ugutan ala komunis oleh BN dan BN akan tumbang seperti berkuburnya kerajaan komunis Soviet Union.

Dah tiga tahun dok RM7.00 jugak...

Posted: 19 Jul 2011 06:46 AM PDT

Zakat fitrah Pulau Pinang RM7

GEORGE TOWN: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menetapkan kadar zakat fitrah di negeri ini adalah sebanyak RM7 seorang atau segantang beras (2.8kg).

Yang Dipertuanya Ellias Zakaria berkata kadar itu dikekalkan selama tiga tahun berturut-turut setelah mengambil kira kedudukan harga semasa beras ketika ini.

"Bagi memudahkan umat Islam membayar zakat fitrah, MAIPP telah melantik seramai 1,645 amil yang akan bertanggungjawab melaksanakan urusan tersebut sepanjang bulan puasa ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, MAIPP mensasarkan sebanyak RM5 juta zakat fitrah bagi tahun ini berbanding RM4 juta tahun lepas.

Beliau berkata, bayaran zakat fitrah itu boleh dibuat di masjid dan surau negeri ini termasuk di kompleks beli-belah yang turut menyediakan Amil Zakat. - Bernama

Awat yang susah sangat nie...

Posted: 19 Jul 2011 05:33 AM PDT

Mengapa susah sangat hendak sahkan kematian Allahyarham Baharuddin
Oleh Sofi Wahab

Mengapa sehingga sekarang pihak berkuasa masih belum mengumumkan laporan rasmi Post Mortem kematian Pejuang Bersih Allahyarham Baharuddin Ahmad. Walaupun sudah 9 hari peristiwa itu berlaku keluarga Allahyarham masih belum berpuashati dengan sebab sebenar pemergian Allahyarham ke alam baqa'.

Mengapa begitu susah pihak berkuasa yang dikatakan cekap, telus, amanah, cepat dan hebat menjalankan kerja, hendak mengeluarkan kenyataan rasmi atau menyerahkan laporan kepada keluarga Allahyarham sehingga memaksa keluarganya membuat laporan Polis.

Hari ini Malaysiainsider melaporkan bahawa keluarga Allahyarham memberi tujuh hari kepada kerajaan pusat untu mengadakan prosiding khas menyiasat punca kematian ahli PAS itu.

Menurut balunya Rosni Melan, 55, tempoh tujuh hari itu berkuat kuasa sejak semalam.

Selain itu, Rosni yang juga Ketua Wanita PKR Setiawangsa memberitahu beliau juga berharap agar peserta yang menyaksikan insiden yang menimpa suaminya itu agar tampil memberikan maklumat.

"Kami memohon dan berharap agar saksi-saksi yang berada dan mengetahui apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu sehingga menyebabkan kematian beliau tampil menolong kami untuk mencari kebenaran dan keadilan.

"Kami telah membuat laporan polis semalam dan memohon agar satu prosiding khas bagi satu siasatan mengenai kematian beliau dibuat dalam masa tujuh hari dari tarikh laporan dibuat," katanya pada sidang media di sini.

Jelas Rosni, peguam keluarga juga akan mengambil tindakan susulan sekiranya Putrajaya enggan berbuat demikian.

"Peguam kami sedang mengkaji dan akan membuat tindakan susulan dalam perkara ini," katanya.
Ditanya mengenai langkah polis yang mahu mengadakan pasukan bebas khas untuk menyiasat kematian suaminya, Rosni bagaimanapun enggan memberi sebarang komen berhubung perkara itu.

"Tiada komen," jawabnya ringkas.

Cerita betoi dari Pak Samad, sayuuu jaa... demi anak cucu...

Posted: 19 Jul 2011 02:00 AM PDT

Tidak pernah saya rasa begitu benci pada kerajaan

Khaulah Azwar

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan sikap kelembutannya kini menyimpan satu perasaan benci kepada kerajaan.

Ini berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 genap seminggu lalu melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa rakyat.

(Gambar: Pak Samad menurunkan tandatangan pada baju seorang anak muda yang hadir pada malam itu.)

"Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Itulah waktunya saya lebih benci," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis.

Beliau menyifatkan tindakan polis menangani perhimpunan damai itu secara bengis.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia yang telah menyertai himpunan itu terus mengkritis kerajaan Umno BN apabila melihat keganasan yang dilakukan oleh pihak polis.

Justeru, beliau kesal kerana pemimpin Umno BN membuat berbagai helah menyatakan polis yang menjalankan tugas ketika itu tidak melakukan tindakan yang kasar kepada rakyat sebaliknya menuduh rakyat yang bertindak kasar.

"Kata-kata itu menjadi luka berdarah buat rakyat Malaysia dan saya percaya Umno BN akan terkubur dalam PRU ke 13 nanti," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar malam kelmarin. Turut berucap ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta anggota Unit Amal yang difitnah membawa pisau semasa himpunan Bersih 2.0, Abdul Razak.

Pak Samad juga menceritakan pengalamannya dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

"Sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada jalan alternatif lain, jadi go through saja.

"Menghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 300 meter daripada Istana Negara di sebelah petang untuk menyampaian Memorandum yang merupakan amanah rakyat untuk di sembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, amat mengecewakan tiada pertimbangan yang sebaiknya oleh polis.

"Mata saya telah mengalami kecederaan akibat tembakan gas water cannon, mereka (polis dan FRU) nampak saya ketika itu, kalau boleh mereka hendak makan saya.

"Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kali ini saya rasakan ujiannya terlalu kuat dengan menempuh pelbagai rintangan.

"Sepatu Nike saya juga hilang apabila dihimpit dengan ramai rakyat disitu lebih-lebih lagi apabila polis datang mengejar rakyat yang berhimpun di situ.

"Saya bukan sahaja hilang capal, tetapi peralatan yang saya bawa seperti garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawa sebagai alat pelindung saya tepaksa diberikan orang lain apabila salah seorang peserta himpunan disitu kelihatan nafasnya menjadi sesak meminta-minta agar diberikan bantuan.

"Saya berikan semua peralatan saya kepada beliau untuk menyelamatkan dirinya, jika tidak mungkin orang itu juga mengalami nasib yang serupa seperti arwah Baharudin.

"Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) mereka juga hilang apabila kami semua dikejar oleh polis dan FRU untuk mengelak diri daripada ditembak dengan gas.

"Pada Sabtu itu, pakaian saya sudah basah lencun akibat hujan dan dengan tembakan meriam air, saya terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada beberapa anak muda yang nampak saya ketika itu hendak beri saya sepatu Nike tetapi saya menolaknya kerana saya fikir sepatu itu cantik sangat dan biarlah saya bersusah payah untuk masa depan anak bangsa saya sendiri.

"Kemudian saya didatangi oleh seorang lagi anak muda dengan memberi saya sepatu yang besar, saya menerimanya kerana saya fikir perjalanan saya jauh dan banyak halangan yang perlu saya tempuhi untuk menyerahkan Memorandum kepada Agong. Ini merupakan satu pengalaman pahit dan tidak mungkin saya lupakan.

"Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan.

"Saya berpesan berulang kali kepada generasi muda terutamanya kalian seharusnya bertekad bersatu hati untuk mengubah pentadbiran demokrasi Negara ini dalam pilihanraya umum ke -13 nanti, demi masa depan anak cucu kita.

"Orang tua mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja kuat, namun kita akan sentiasa memberi sokongan padu bagi menukar pentadbiran kerajaan baru," kata Pak Samad Said disambut laungan Allahu akbar hadirin.

Ada harapan tambah sekolah harapan... kahkahkah...

Posted: 19 Jul 2011 12:30 AM PDT

Adakah Melaka mahu tambah Sekolah Harapan?

Ahmad Danial
MELAKA, 18 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka kesal dengan sikap dan tindakan kerajaan negeri atas keputusan untuk melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan sehingga ke 3 pagi.

Ketua penerangannya, Muhammad Aizat Baharuddin berkata, tindakan tersebut suatu yang amat malang buat umat Islam di saat umat Islam hari ini semakin jauh dari pegangan agama.

"Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam perlu sedar tindakan melanjutkan operasi pusat hiburan lebih banyak mendatangkan mudarat.

"Ianya mengalakkan maksiat berlaku dengan lebih berleluasa dengan memberi ruang kepada rakyat khususnya orang Islam berkunjung sehingga lewat malam," ujar Aizat.

Beliau berkata, sikap ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Melaka di bawah Barisan Nasional gagal membimbing rakyat kepada panduan hidup bersyariat.

"Ianya juga di lihat berlawanan dengan sikap kerajaan Kedah yang mengajar rakyatnya agar tidak terjebak kepada maksiat dengan mengharamkan pusat hiburan kepada orang Islam," katanya.

Katanya lagi, gegala keruntuhan moral anak muda hanya dibanteras setelah berlaku bukan membanteras sebelum berlaku, contohnya Sekolah Harapan yang dibina setelah anak muda terlajur.

"Adakah kerajaan negeri mahu menambahkan lagi bilangan pelajar di Sekoalah Harapan ini?" soal Aizat.

Menurut Aizat, Dewan Pemuda PAS Melaka menggesa agar kerajaan negeri mempertimbangkan lanjutan operasi pusat hiburan itu.

"Jangan hanya fikirkan soal keuntungan semata-mata. Fikirkan soal agama dan maruah anak bangsa pada masa hadapan.

"Dewan Pemuda PAS Melaka juga berharap Jabatan Agama Islam Melaka dan para agamawan dapat menegur dan tidak hanya diam membisu," kata beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily pagi ini.

Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa operasi pusat hiburan di negeri itu dari sekitar jam 1 pagi hingga ke 3 pagi.

Udin anak Yassin: Lekaih la oiii, lekaih laa... haha...

Posted: 18 Jul 2011 11:00 PM PDT

Kenapa Polis Lambat Tayang Rakaman Kekejaman Bersih?
Oleh Mohd Sayuti Omar

Udin anak Yassin meminta polis segerakan penyiaran rakaman video mengenai himpunan Bersih bagi membuktikan polis tidak bertindak ganas terhadap peserta himpunan Bersih.

Kata Udin polis perlu segera tampil mengemukakan bukti dalam bentuk visual dan odio itu bagi menangkis tohmohan pembangkang yang mendakwa polis bertindak gasan dan ganas.Kata Udin peristiwa himpuan Bersih yang dihalang polis telah dieksploitasikan oleh pembangkang dan juga bloger yang pro pembangkang.

Saya menyokong penuh gesaan Udin anak Yassin itu. Polis patut segera menayangkan video berkenaan. Kenapa tunggu lama-lama sangat. Di dalam laman sosial sudah berbagai versi video himpunan berkenaan dipaparkan. Semuanya menunjukkan akan kerakusan polis dalam menghuraikan himpunan yang disifatkan haram itu.

Bukan saja video yang dirakam oleh ametur tetapi juga yang dirakam oleh jurugambar dari stesen televisyen dari seluruh dunia. Dalam semua klik-klik video itu menujukkan akan kerakusan dan keganasan polis.

Apakah polis sedang menyunting rakaman-rakaman yang dibuat bagi disesuai dengan dakwaan dan penafian pihak polis yang bertindak mesra rakyat. Mungkin lakonan semula dilakukan oleh polis bagi menyiapkan rakaman berkenaan menjadi sebuah rakaman mesra polis?

Ribuan baju Bersih dirampas akan dipakai oleh polis untuk tujuan rakaman berkenaan. Pasukan polis Bersih itu akan menyerang dan melanyak polis kemudian dirakam. Apakah filem itu sedang diproses menyebabkan ia tidak ditayang lagi?

Tidak mustahil kalau polis membuat sandiwara dalam hal ini. Mana tahu dalam kem di Pulapo atau di mana-mana polis membikin filem kekejaman himpunan Bersih palsu terhadap polis itu. Mungkin dalam filem itu nanti akan ada anggota polis yang membantu peserta himpunan yang terjatuh atau sebagainya.

Kalau tidak ada mengada kenapa lambat sangat rakaman vidoe itu hendak dikeluarkan. Bersih sudah pun berlalu seminggu. Semua orang segenap masyarakat sudah menontonnya. Rakaman segera itu lebih benar dan genue kerana tidak mungkin ia dilakun semula.

Kelambatan menyiarkan rakaman ini menyebabkan orang ramai akan hilang kepercayaan kepada polis. Kalau pun rakaman itu benar sekalipun disebabkan ia memakan masa lebih seminggu untuk ditayangkan kepada umum, menyebabkan ia akan dikatakan sebagai lakonan semula.

Kerja-kerja melakukan lakonan semula ini adalah kepakaran polis dalam usaha mengecam suspek terhadap sesuatu kes. Adalah lebih baik kalau polis bercadang membuat rakaman di luar lokasi sebenar tidak diteruskan kerana kalau rakaman itu menjelaskan kecacatan maka padah buruk akan menimpa pasukan polis. Implikasi dari itu, Menteri Dalam Negeri, ketua polis negara dan timbalannya wajar melepaskan jawatan sebab mereka tidak layak memikul tanggungjawab itu.

http://msomelayu.blogspot.com/

Lagi DAP buat honar di Penang, padan muka orang Penang...

Posted: 18 Jul 2011 09:00 PM PDT

Hospital Islam P Pinang akan jadi realiti
Fakhri Ali

KEPALA BATAS, 14 Julai: Hospital Islam Pulau Pinang akan menjadi satu realiti di negeri ini, apabila usaha ke arah mewujudkan kemudahan tersebut menjadi realiti tidak lama lagi.

Pengerusi Promosi dan Pemasaran Pusat Urus Zakat Pulau Pinang, Dr. Mujahid Yusof Rawa, berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pentauliahan amil zakat fitrah negeri Pulau Pinang, yang telah diadakan di Dewan Millenium, pagi tadi.

Menurut beliau lagi, segala kemudahan yang ada seperti pusat haemodialisis telah pun diwujudkan oleh PUZ ,kepakaran ini akan diakseskan semaksima mungkin bagi manfaat umat Islam di Pulau Pinang, yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

"Dalam lawatan ke Mesir baru-baru ini, kita mendapati terdapat pelajar tahun akhir yang mengikuti pengajian bidang perubatan atas biaya PUZ boleh dimanfaatkan ilmu mereka bagi mewujudkan hospital tersebut di Pulau Pinang.

"Kemungkinan besar, kita boleh memulakan projek besar ini melalui kewujudan klinik-klinik yang diuruskan oleh PUZ. Setelah wujudnya infrastruktur yang sempurna dan kepakaran yang mencukupi, maka usaha ini akan dijadikan satu realiti untuk diakseskan.

"Adalah tidak mustahil projek yang telah ada perancangan ini, menjadi satu yang nyata setelah melihat kepada sokongan melalui peningkatan kutipan zakat yang telah berjaya dikutip pada setiap tahun," ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, hospital ini akan lebih menumpukan kepada khidmat untuk membantu mereka yang miskin dan tidak berkemampuan dengan bayaran yang minima.

"Saya yakin dengan peningkatan kutipan zakat dari RM53 juta pada tahun lalu kepada RM56 juta tahun ini, akan berjaya ditingkatkan kepada target RM100 juta bagi merealisasikan aspirasi ini.

"Namun begitu, mutu dan kualiti perkhidmatan akan tetap menjadi prioriti dalam memberi kemudahan tersebut apabila hospital tersebut menjadi kenyataan tidak lama lagi," tambahnya beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Exco Agama Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim, Yang Dipertua Majlis Agama Islam P.Pinang, Ellias Zakaria dan Timbalannya, Datuk Mohd Salleh Man.

Aku tau Aziz Bari perli niii... haha...

Posted: 18 Jul 2011 07:00 PM PDT

Rakyat Tertunggu-Tunggu Video PDRM-Prof Aziz Bari

Ditulis oleh Fauzan Uda Ahmad

SHAH ALAM 18 JULAI: Rakyat tertunggu-tunggu jika pihak kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai bahan bukti bagi menjelaskan situasi sebenar ketika Himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu sehingga polis terpaksa bertindak mengasari rakyat.

Bagaimanapun bahan bukti seperti video itu janganlah pula disunting atau ditokok tambah sehingga boleh menyebabkan situasi yang berlainan dipaparkan kepada rakyat, tegas Penganalisis Politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau menyatakan demikian ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu polis menyegerakan siaran rakaman video serta bukti lain bagi menghalalkan tindakan polis menyuraikan orang ramai pada 9 Julai lalu.

"Ya pada saya terpulanglah kalau polis ada video , bukti dan sebagainya boleh dkemukakan, tinggal lagi kita tak mahulah video atau gambar itu diubah-ubah atau ubah suai sebagainya seperti yang kita lihat dalam NST dan Berita Minggu baru-baru ini. Gambar itu sudah diubahsuai sudah disunting dan sebagainya dipaparkan, jadi kekeliruan itu tak bolehlah.

"Sama juga dengan video... jika video itu sudah disunting, dipotong dan sebagainya (tetapi) kita harap jangan begitulah,"kata Aziz kepada Tv Selangor.

Muhyiddin sebelum ini berkata, media dalam dan luar negara dilihat melakukan tohmahan kepada pihak polis dengan hanya menyiarkan rakaman video pihak polis
menyuraikan orang awam.

Namun katanya, video-video yang dipamerkan tidak pula memuatkan tindakan para peserta yang sengaja melakukan provokasi dan bertindak ganas membaling batu.

Hakikatnya hujah Aziz yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ada asasnya apabila Berita Minggu pada 10 Julai lalu memaparkan watak seorang peserta yang disifatkan ganas dengan memanipulasi tindakan peserta itu pada hari kejadian.

Abdul Razak Endut, individu yang dipaparkan gambarnya di muka depan akhbar itu dikatakan bertindak membalas serangan pihak polis ke atas orang awam.

Malah beliau didakwa membawa pisau dan membaling batu ke arah polis.

Namun menceritakan apa yang berlaku pada hari itu, Abdul Razak yang merupakan Unit Amal PAS berkata, beliau hanya memegang sebatang bendera Malaysia dan bukannya pisau seperti yang dilaporkan akhbar milik Umno-BN itu pada ceramah PAS malam tadi.

"Apabila polis menembak gas pemedih mata, saya ternampak angin meniup ke arah orang ramai... saya mengambil kanister itu dan membalingnya ke arah sebuah padang dengan harapan orang ramai akan selamat,"ujar beliau.

Gambar Abdul Razak berdepan pancutan meriam air dengan memegang bendera negara juga dirakamkan oleh Reuters yang sekaligus menolak dakwaan beliau memegang pisau.

"Ketika itu (saya baling kanister gas pemedih mata) gambar saya dimanipulasikan. Mana logiknya saya bawa pisau dari Temerloh? Saya terpaksa lalui tiga sekatan jalan (untuk sampai ke ibu negara)," katanya.

Justeru itu menurut Aziz, beliau agak sangsi dengan rakaman video mahupun gambar yang bakal dipaparkan oleh PDRM sendiri.

"Dan saya fikirkan kalau bahan-bahan bukti itu ada, sudah lama dikeluarkan.. tak perlu tunggu lama sehingga sekarang setelah diserang, dikritik bertubi-tubi belum ada yang kita lihat. Begitu juga tuduhan polis tembak air ke hospital,itu sudah banyak dikemukakan bukti dan nampaknya selepas itu kerajaan dan polis cuba pula buat siasatan lain.

"Kalau mereka ada (bukti) mereka boleh keluar lebih awal lagi sebelum mereka diserang. Sebenarnya sebelum himpunan Bersih itu pun pihak polis telah dikecam dan dikritik begitu hebat. Jadi mengapa perlu tunggu lama untuk mengeluarkan bukti yang ada,"kata Aziz.

Namun ujar beliau, jika polis berani bertindak menyunting mahupun menokok tambah video sedia ada, ia hakikatnya boleh menjadi boomerang kepada PDRM sendiri.

" Bukti-bukti seperti itu bukan saja tak menyakinkan tetapi menjadi boomerang juga boleh menjauhkan lagi imej pasukan polis.

" Dan saya fikir dalam hal ini, saya rasa pihak kerajaan janganlah menarik polis begitu teruk atau melibatkan pihak polis sebab kalau imej dan kredibiliti polis itu jatuh begitu teruk...yang menerima kesan ialah rakyat,"tambah beliau lagi.

Mahfuz tibai Najib

Posted: 18 Jul 2011 06:00 PM PDT

Kita mahu kebebasan media, Mahfuz jawab Najib
July 17, 2011

GOMBAK, 17 Julai — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin dengan memberitahu bahawa cara berpolitik yang sebenar dan intelektual ialah melalui kebebasan media, yang gagal dijamin oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, dengan adanya kebebasan media rakyat akan dapat mengakses segala maklumat dengan tepat dan tidak berat sebelah.

"Dia (Najib) bercakap mengenai 'kami bentangkan kes kami dan pembangkang kemukakan kes mereka'. Apa yang kita mahukan ialah maklumat yang bebas," kata Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

"Selain tuntutan Bersih, kita juga menuntut media yang bebas. Jika tidak, rakyat yang inginkan berita yang benar pun sukar kerana media yang sedia ada memutarbelitkan cerita.

"Media yang bebas mesti ada. Dengan itu barulah kita dapat berpolitik secara intelektual. Bukan dengan cara bentangkan kes," kata beliau pada ceramah perdana sempena pelancaran 'Yellow Saturday' oleh PAS Wilayah Persekutuan — seminggu selepas perhimpunan Bersih 2.0 yang membawa warna kuning.

Putrajaya telah mengharamkan kemeja-T warna kuning Bersih 2.0 Bersih 2.0 juga telah diisytiharkan sebagai haram.

Dalam satu kenyataan di London kelmarin, Najib berkata demonstrasi jalanan bukan jawapan bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan kerana perbuatan itu boleh menjadi tidak terkawal dan mungkin mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda.

"Sekiranya ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kerajaan, marilah kita selesaikannya apabila tiba pilihan raya dan biar rakyat yang membuat keputusan," katanya.

"Kami akan bentangkan kes kami dan pembangkang akan kemukakan kes mereka. Biar rakyat yang menentukannya," kata Perdana Menteri.

Kata Najib: "Kita tidak perlukan semua ini (demonstrasi)."

Mahfuz menambah tumpuan utama Pakatan Rakyat juga kini ialah untuk mendapatkan gelombang yang lebih besar menghadapi pilihan raya akan datang.

Katanya, dengan kehadiran golongan muda pada himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu, jelas menunjukkan golongan itu kini telah bangkit.

"Antara manfaat yang kita dapat lihat daripada himpunan Bersih lalu ialah sebanyak 70 peratus yang hadir ialah daripada golongan muda. Inilah kebanggaan Malaysia. Anak-anak muda kini bangkit untuk pertahankan masa depan negara," ujarnya.

Tambah Mahfuz, kehadiran lebih 50,000 menunjukkan rakyat kini inginkan satu pilihan raya yang bersih kerana pilihan raya di Malaysia merupakan pilihan raya yang paling tidak demokratik.

"Rakyat sekarang sudah sedar mengenai sikap sebenar polis pada himpunan lalu dan kerana tindakan polis itu juga ia membangkitkan kebencian rakyat kepada BN dan Umno yang mahukan pilihan raya yang bersih.

"Kita juga perlu hayati apa yang dituntut bersih. Jangan pergi himpunan sahaja tetapi tidak hayati lapan tuntutan ini," katanya.- TMI

Saman ja, jangan bagi muka

Posted: 18 Jul 2011 05:00 PM PDT

Bersih 2.0 : Pemuda Didakwa Pegang Pisau Mahu Saman Berita Minggu

KUALA LUMPUR 18 JULAI : Seorang peserta Himpunan Bersih 2.0 dari Unit Amal PAS mahu menyaman Berita Minggu milik Kumpulan New Straits Times kerana mendakwa dia memegang pisau semasa perhimpunan di ibu negara, 9 Julai lalu.

Abdul Razak Endut, 32, dari Temerloh berkata edisi 10 Julai yang menyiarkan gambarnya dengan tajuk "seorang perusuh membawa pisau dalam perhimpunan haram" manakala tajuk kecilnya pula berbunyi "perusuh guna senjata, batu, lawan polis" adalah tidak benar.

Sebaliknya Abdul Razak yang mesra dengan panggilan "Ajak" berkata dia hanya memegang sebatang bendera Malaysia dan bukannya pisau seperti mana yang didakwa.

Selain Berita Minggu, gambar sama turut dimuatkan oleh akhbar New Sunday Times dengan tajuk "Peaceful (Aman)?" pada muka depan.

"Saya mahu saman Berita Minggu kerana telah menjatuhkan imej saya, disebabkan gambar itu ramai yang bertanyakan hal sama kepada saya.

"Setakat ini saya tidak tahu berapa jumlah yang akan disaman, saya akan berbincang dulu dengan peguam saya," kata Abdul Razak kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin, Abdul Razak yang bekerja sendiri tampil membuat pendedahan berhubung gambar yang disiarkan Berita Minggu.

Dia berkata selain tidak memegang pisau, dia juga menafikan membaling batu ke arah pihak keselamatan.

Pada perhimpunan Bersih 2.0, Abdul Razak diarah agar menjaga Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Dr Hatta Ramli dan peserta perhimpunan berhampiran Menara Maybank.

"Apabila polis menembak gas pemedih mata, saya ternampak angin meniup ke arah orang ramai... saya mengambil kanister itu dan membalingnya ke arah sebuah padang dengan harapan orang ramai akan selamat," kata Abdul Razak mendedahkan perkara sebenar dengan berpakaian sama seperti yang disiarkan dalam Berita Minggu.

Gambar Abdul Razak berdepan pancutan meriam air dengan memegang bendera negara juga dirakamkan turut disiarkan media antarabangsa sekali gus menolak dakwaan beliau memegang pisau.

"Ketika itu (saya baling kanister gas pemedih mata) gambar saya dimanipulasikan. Mana logiknya saya bawa pisau dari Temerloh? Saya terpaksa lalui tiga sekatan jalan (untuk sampai ke ibu negara)," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Abdul Razak, Ahmad Nizam Hamid berkata pihaknya akan memfaikan saman itu dalam masa terdekat.

"Sebelum ini saya telah nasihatkan dia (Abdul Razak) untuk saman NST dan Berita Minggu kerana siarkan gambar palsu... ini satu kes yang bagus kerana melanggar etika.

"Tindakan ini perlu diambil kerana ia sangat tidak beretika mereka ubah gambar asal, ia adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 untuk menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Pada perhimpunan itu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno ditahan.- TVS

Wasiat Dr Lo' Lo'

Posted: 18 Jul 2011 04:00 PM PDT

Pertahan Kampung Baru wasiat terakhir Dr Lo' Lo'

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 18 Julai: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, muslimat bertekad untuk memenuhi pesanan terakhir Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali agar mereka meneruskan perjuangan mempertahankan Kampung Baru yang merupakan amanah daripada penduduk.

Siti Zailah berkata, penduduk kampung Baru di bawah Parlimen Titiwangsa amat bertuah mempunyai wakil rakyat yang sanggup berjuang membela hak mereka walaupun dalam keadaan sakit.

"Wasiat beliau kepada kami supaya kami bersama rakyat mempertahankan maruah Kampung Baru. Itulah di antara wasiat beliau yang terakhir kepada kami.

"Jadi saya rasa penduduk Kampung Baru amat bertuah kerana walaupun wakil rakyatnya meninggal dunia tapi beliau memperjuangkan nasib Kampung Baru sehingga ke akhir nyawa dan kami akan menyambung perjuangan beliau untuk mempertahankan tanah Kampung Baru," katanya.

Sejak mula dipilih sebagai ahli parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah sangat komited dalam membantu penduduk kawasan itu mempertahankan tanah mereka daripada dirampas BN.

Beliau merupakan ahli Parlimen yang lantang membawa suara rakyat ke Parlimen bagi menolak Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru dan pelan perancangan membangunkan kampung tersebut.

Selain itu, beliau memberikan sokongan penuh dengan menghadiri sesi dialog penduduk dengan peguam dalam memberikan penjelasan mengenai status tanah yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Selain itu Siti Zailah menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang sangat tabah dan cekal menghadapi segala cacian pihak lawan dalam emnegakkan kebenaran.

"Beliau tokoh mujahidah Islam yang cukup sabar, cukup tabah walaupun dalam keadaan kesakitan tapi masih cukup memberi semangat dan dorongan kepada kami dan banyak memberi pandangan bernas demi kebangkitan Islam," katanya.

Sambil menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan sebutir permata berharga, beliau berkata Allahyarhamah sentiasa memberikan semangat kepada kepimpinan muslimat untuk meneruskan perjuangan.

"Kami doakan roh beliau dicucuri rahmat, ditempatkan di kalangan orang yang soleh dan apa yang beliau tinggalkan adalah amal jariah yang kita akan teruskan.

"Bagi kami kehilangan beliau satu kehilangan permata yang amat berharga untuk negara kita

"Di antara pesanan beliau kepada kami ialah supaya kami meneruskan perjuangan dan melaksanakan yang terbaik untuk masa depan Islam dan rakyat dan mengingatkan kami supaya sabar dan tabah dalam mengharungi perjuangan dan tidak patah semangat," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.

Sementara itu, ahli Parlimen PAS akan mengagihkan tugas untuk membantu menguruskan Parlimen Titiwangsa setelah pemergian Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS akan mengaihkan tugas sebaik mungkin bagi memastikan tugas-tugas di kawasan tersebut tidak tergendala.

"Sudah tentu tidak akan ada pilihan raya kecil di Titiwangsa jadi oleh sebab itu tugas untuk memantau kehidupan masyarakat di Titiwangsa ini akan diagihkan kepada beberapa ahli parlimen PAS khususnya bersama rakan-rakan pakatan Rakyat," kata beliau ketika ditemui di majlis pengebumian allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat, pagi tadi.

Beliau juga berkata, kehadiran orang yang sangat ramai untuk memberikan penghormatan terakhir menunjukkan allahyarhamah seorang yang sangat disayangi dan pemergiannya amat dirasai.

"Bertuah rakyat Titiwangsa memiliki wakil rakyat seperti ini yang sukar dicari ganti. Kehadiran orang ramai hari ini menunjukkan betapa kasih dan sayangnya mereka kepada beliau," ujarnya

Tambahnya, sepanjang berjuang bersama Allahyarhamah, beliau dianggap seperti kakak dan ibu yang sentiasa memberikan motivasi kepada orang lain.

"Saya kehilangan seorang sahabat yang banyak memberikan motivasi walaupun kadang-kadang di kalangan kawan-kawan kami ketawa di atas sifat beliau yang membawa watak sebagai seorang ibu yang sentiasa memberikan leteran.

"Tetapi sebenarnya leteran itu ialah satu motivasi untuk kita bekerja lebih kuat untuk menjayakan misi rakyat ini dan saya lihat bahawa beliau seorang wakil rakyat yang sangat gigih turun ke padang memberikan khidmatnya kepada masyarakat," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pretty nice post. I ϳust stumbled upon your blog and wаnteԁ tо say that
I've really enjoyed surfing around your blog posts. In any case I'll bе subscribing tо your feed and Ι hopе уοu write again ѕoon!


Here iѕ my web sitе - Payday Loans