Isnin, 25 Julai 2011

PRO REFORM

PRO REFORM


Belum layak guna biometrik: PKR

Posted: 25 Jul 2011 07:54 AM PDT

SHAH ALAM - Malaysia masih belum layak menggunakan sistem biometrik dalam pilihan raya selagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bebas sepenuhnya dan telus dalam mengendalikan proses pemilihan di negara ini kata Pengarah Pilihan raya Pusat PKR, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, banyak persoalan timbul bila menggunakan sistem itu, antaranya bagaimana SPR mahu memastikan sama ada seseorang itu layak mengundi atau tidak.

"Mereka tidak boleh katakan warganegara yang memiliki MyKad layak mengundi kerana sebelum ini banyak aduan diterima yang mana pengundi diberikan dua, tiga MyKad untuk mengundi.


"Dengan cara ini, tiada siapa boleh menghalang, malah pengundi hantu pun akan semakin berleluasa dalam pilihan raya," katanya.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, pembangkang akur sekiranya kerajaan menggunakan sistem ini, peratus undi terhadap mereka akan menyusut terutama di kawasan yang dimenangi dengan jumlah undi yang tidak begitu tinggi.

"Sebab itulah kita minta kerajaan luluskan penggunaan dakwat kekal, malah ia termasuk sebagai salah satu tuntutan kita dalam perhimpunan Bersih 2.0. Kerajaan akan setuju menggunakan dakwat kekal sekiranya mereka benar-benar telus dan mahukan pemilihan yang adil," katanya.

Fuziah berkata, walaupun sistem biometrik bukan sistem baru, ia mampu dipraktikkan di negara luar kerana memiliki pengurusan pilihan raya yang adil dan media yang bebas.

"Di negara luar, misalnya di beberapa negeri di Amerika Syarikat, mereka memang menggunakan sistem ini, tetapi pengundi-pengundi di sana ada alamat penuh dalam sistem daftar pemilih dan parti politik boleh semak alamat pengundi," katanya.

Beliau berkata, SPR kini semakin kehilangan taring dan lebih mengikut telunjuk Jabatan Perdana Menteri, tidak bebas dan telus.

"Dalam hal ini, pembangkang akan terus memupuk kesedaran awam terhadap sistem pengundian termasuk tuntutan-tuntutan dalam Bersih.

"Kita bukan sahaja mahu penggunaan dakwat kekal, kita juga mahu pembersihan pendaftaran pemilih, gunakan alamat penuh pemilih, perlu kepada pemerhati pilihan raya dan sistem SPR yang bebas dan tidak memayungi mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi, Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, kemungkinan terdapat masalah bagi mengesan kad pengenalan seseorang pemilih menggunakan biometrik.

"Masalah akan timbul sekiranya cip kad pengenalan pemilih rosak atau kad pengenalan hilang dan mereka hanya membawa kad pengenalan sementara atau terdapat pemilih yang enggan melalui proses pengesahan biometrik.

"Dalam Perkara 119 (1) Perlembagaan Malaysia menyatakan setiap warganegara berumur 21 tahun layak mengundi dan tidak dinyatakan mereka perlu melalui proses biometrik. Persoalannya, di manakah hak SPR menghalang seseorang pemilih mengundi jika kad pengenalan seseorang pemilih tidak dapat disahkan oleh sistem biometrik ?," katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan SPR bahawa penggunaan indelible ink atau dakwat kekal bertentangan dengan Perkara 119(1) Perlembagaan Malaysia, sedangkan penggunaan dakwat kekal bukan halangan seseorang mengundi tetapi hanya mengesahkan seseorang itu telah mengundi.

"SPR pernah membelanjakan lebih kurang RM3 juta untuk membeli dakwat kekal sebelum PRU-12, malangnya telah dibatalkan di saat akhir. Mereka terbukti membazirkan wang rakyat untuk membeli sesuatu yang tidak boleh digunakan dalam pilihan raya.

"Adakah SPR membuat kajian keberkesanan perlaksanaan sistem pengesahan menggunakan biometrik? Berapakah kos diperlukan SPR membeli segala peralatan dan menyediakan kakitangan mahir untuk melaksanakan sistem itu nanti?," katanya.

- Sinar Harian

" Ya.. Allah.., berilah hidayat, hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda, bantulah baginda, begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya. Ya.. Allah.., selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal. Ya.. Allah.., bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang "

Tiada ulasan: