pemuda cheh |
Keistimewaan Pengebumian Umat Islam Posted: 09 Jul 2011 05:56 PM PDT Kesederhanaan yang memberikan keindahan "Kamu tahu tak, orang cina yang mati kalau nak kebumikan mayat diorang kena sediakan lebih kurang RM20 ribu tau" seorang sahabat saya membuka perbualan ketika kami sedang berjalan ke arah liang lahad untuk mengebumikan seorang jenazah yang baru sahaja meninggal dunia di taman perumahan kami. "Oh ye ke? Baru sekejap tadi saya berbual dengan seorang sahabat kita yang baru memeluk Islam. Dulu dia Buddha. Katanya paling murah RM6 ribu nak kena sediakan" kata saya. "Tu yang murah punya rasanya. Yang tu diorang bakar je kot." balas sahabat saya sambil kami berjalan seiringan. Tidak cukup duit? Jawapannya bakar "Alhamdulillah, kos pengebumian kita tidaklah semahal itu. Setahu saya lebih kurang RM850 sahaja. Itu dah masuk semua sekali, dengan van jenazah sekali. Murah kan" saya menambah. "Ya, murah je. Dan alhamdulillah, taman perumahan kita ni semuanya ditanggung oleh pihak surau tanpa keluarga waris perlu bayar apa-apa" sahabat saya yang merupakan AJK surau memberikan penjelasan tentang kaedah pengurusan jenazah di taman perumahan kami. "Alhamdulillah. Itulah antara yang cantiknya Islam ni. Cara pengebumian orang Islam ni boleh jadi pintu hidayah kepada orang bukan Islam untuk masuk Islam. Mudah dan tidak menyusahkan waris" saya membalas sambil menyegerakan langkah kerana jenazah sudah mahu diangkat ke liang lahad. Tidak mahu ketinggalan untuk turut sama mengangkat jenazah. Sedang talkin dibacakan oleh imam di perkuburan, saya merenung kembali kata-kata saya kepada sahabat saya tadi. Sungguh, memang cara pengebumian umat Islam boleh menjadi jalan hidayah kepada orang yang bukan Islam untuk tertarik dengan Islam. Cara pengebumiannya ringkas dan sederhana sifatnya. Dan kos pengurusannya tidak sehingga membebankan pihak waris. Perlukah ini semua selepas mati? Saya teringat akan dua kisah yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu tentang bagaimana dua orang yang beragama Kristian yang masuk Islam disebabkan oleh tertarik dengan cara pengebumian orang Islam yang cukup sederhana dan ringkas sifatnya. Kisah Pertama Kisah pertama berlaku kepada seorang paderi Kristian dari Itali. Beliau telah menyatakan hasrat untuk memeluk Islam setelah menonton dengan teliti cara pengebumian Raja Fahd bin Abdul Aziz, iaitu Raja Arab Saudi ketika itu. Cara pengebumian yang sangat sederhana itu telah ditayangkan ke seluruh dunia dan dapat disaksikan oleh ramai orang. Perkuburan Raja Fahd bin Abdul Aziz Seingat saya, faktor utama yang membuka pintu hidayah si paderi itu ialah bagaimana Islam bertindak tidak membeza-bezakan antara jenazah si pembesar dengan jenazah orang biasa. Telah ditayangkan bagaimana jenazah Raja Fahd disolatkan bersama-sama dengan jenazah yang lain tanpa upacara yang istimewa khas untuk jenazah Raja Fahd. Malah kain kapan dan kotak keranda serta keseluruhan proses pengebumian sama sahaja tanpa dibezakan darjat raja atau orang biasa. Walaupun sudah bertahun-tahun beliau diajak masuk Islam dan tetap berdegil, namun dengan melihat cara pengebumian yang cukup sederhana ini telah membuatkan beliau pasrah dengan keindahan Islam, seterusnya masuk Islam. Kisah Kedua Kisah kedua berlaku kepada seorang nenek di USA. Cucu beliau telah pun memeluk Islam dan menjadi salah seorang yang giat berdakwah di tempat mereka. Puas si cucu ini memujuk neneknya untuk masuk Islam, tetapi tidak berjaya dipujuknya. Pada suatu hari telah berlaku kematian di kalangan orang Islam di tempat mereka. Disebabkan orang Islam yang meninggal dunia itu adalah terdiri barangkali keluarga terdekat atau jiran mereka, maka si nenek pun hadir sama ke upacara pengebumian si muslim yang meninggal dunia itu. Selepas upacara pengebumian tersebut, nenek itu telah berkata kepada cucunya tadi, "Kalau aku mati nanti, aku mahu kamu kebumikan aku macam itu juga", beliau merujuk kepada cara pengebumian muslim tersebut. Dengan hidayah dan taufiq dari Allah, maka nenek itu pun masuk Islam. Beliau masuk Islam lantaran tertarik dengan cara pengebumian Islam yang sederhana dan menginsafkan. Selang beberapa tahun kemudian, nenek itu meninggal dunia. Dan beliau dikebumikan dengan cara yang beliau mahukan iaitu meninggal dunia sebagai muslim dan dikebumikan dengan cara pengebumian muslim. Kisah ini telah disampaikan oleh cucu beliau yang merupakan seorang pendakwah Islam yang aktif berdakwah di USA. Itulah dua kisah yang mungkin dapat kita pelajari dan ambil iktibar. Betapa kesederhanaan dan mudahnya Islam ini dapat menambat hati fitrah manusia. Justeru, amalkanlah Islam mengikut contoh yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu `alaihi wasallam. Jangan menyusah-nyusahkan dengan upacara tambahan dan rekaan. Sungguh, pada kesederhanaanlah, Islam ini dilihat cantik. | ||
Jangan sangka gari, peluru boleh takutkan orang ! Posted: 09 Jul 2011 05:41 PM PDT Oleh NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT Saat ini saya sedang berada di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah menunggu waktu solat Zohor dan menghadap wajah saya ke Kaabah. Insya Allah selepas Asar, saya akan bertawaf wida' dan akan meninggalkan Tanah Suci. Baru sebentar tadi saya dimaklumkan tentang penahanan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Saya juga dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden PAS dan beberapa orang pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat adalah antara beratus-ratus orang yang telah ditangkap oleh polis kerana menyertai Bersih 2.0 pada hari ini. Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis. Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang. Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap Umno. Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden Umno. Padahal, apa masalahnya dengan berhimpun? Bukankah Presiden Umno baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa ada sedikitpun halangan? Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini hanya untuk mengumpulkan 300 ribu orang dibalas dengan gari dan semburan gas? Bukankah orang yang sama juga pernah menjanjikan bahawa himpunan akan dibenarkan jika dibuat di dalam stadium bahkan diberikan keizinan untuk 'melalak sampai pagi'? Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada Umno. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja. Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti. Umno barangkali tidak tahu bahawa orang yang dizalimi mempunyai senjata yang ampuh iaitu doa. Saya menyeru kepada semua umat Islam agar marilah bersama-sama berdoa di dalam sujud kita kepada Allah SWT agar dilaknat kezaliman yang dilakukan pada hari ini. Yakinlah, perjuangan menuntut keadilan ini pasti akan berjaya. Umno pasti akan jatuh tersembam juga akhirnya. Tentangan dan penindasan ini hanyalah tanda perjuangan keadilan akan berjaya. Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan! Allahu Akbar!!! NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT |
You are subscribed to email updates from pemuda cheh To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan