Sabtu, 16 Julai 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Sensasi: Konsert "Jom Ubah" Anjuran "PAS" Paya Besar Malam Tadi Dapat Sambutan Menggalakkan Dari Kalangan Anak Muda Yang Ingin Perubahan

Posted: 16 Jul 2011 04:23 AM PDT

KUANTAN, 16 Julai - Program Konsert "Jom Ubah" bersama bekas vokalis kumpulan rock Melissa yang popular dengan lagu hitsnya "Cinta Untuk Nabila" iaitu Ustaz Radzi dan Pak Long "Selagi Ada Rindu" yang diadakan di perkarangan Markaz PAS Felda Panching Selatan dekat sini malam tadi telah berjaya mendapat sambutan. Program yang bertemakan "Orang Muda Geng Kita" anjuran PAS Kawasan Paya Besar itu berjaya membuktikan bahawa parti PAS tidak memingggirkan hiburan dalam perjuangan mereka. Ramai anak-anak muda telah hadir beramai-ramai untuk menyaksikan konsert tersebut termasuk dari kalangan anak-anak orang UMNO sendiri. Konsert dimulakan dengan persembahan oleh Ustaz Radzi bekas vokalist kumpulan Melisaa. Beliau telah menyampaikan beberapa buah lagu popular ketika zaman kegemilangannya termasuk "Cinta Untuk Nabilla". Disamping berhibur, beliau turut memberikan kata-kata nasihat kepada hadirin yang menyaksikannya. Orang ramai tidak berganjak sejak awal lagi malahan ada yang membawa tikar sambil bersila untuk menyaksikan persembahan tersebut. Disamping berhibur, majlis turut diserikan dengan cabutan nombor bertuah yang telah disampaikan oleh Yang DiPertua PAS Paya Besar, Ustaz Yusof Embong. Persembahan Ustaz Radzi menggunakan muzik minus one itu telah menarik perhatian anak-anak muda yang hadir. Malah mereka turut sama bernyanyi ketika dia sampaikan lagu popularnya.


Ustaz Radzi (Melissa) serta Pak Long, sedang hiburkan peminat mereka

Kanak-kanak dan kaum wanita juga turut hadir memeriahkan konsert itu

Sebahagian daripada anak-anak muda yang turut hadir ke konsert tersebut

Pak Long diserbu oleh anak-anak muda ketika bersalaman dengan mereka

Ustaz Yusof Embong (kiri) turut hadir menyaksikan persembahan tersebut
[Persembahan diambil alih oleh Pak Long sekitar jam 10.15 malam. Pak Long memulakannya dengan lagu "Selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW" yang sungguh mendayu-dayu. Beliau turut mengajak adik-adik dan anak-anak muda berselawat dengan diringin petikan gitar "unplugged". Persembahan Pak Long semakin bertenaga bila dia menyampaikan lagu popular Mawi "Al-Jannah" dan diikuti dengan lagu barunya serta "Cinta Pantai Merdeka" sebuah lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan rock Jinbara hasil ciptaannya. Hadirin bertambah bersemangat bila Pak Long menyanyikan lagi popularnya iaitu "Selagi Ada Rindu". Orang ramai turut menyanyi bersama beliau lagu tersebut dengan bersemangat sekali. Ramai yang naik ke pentas untuk berhambar dengan beliau ketika dia menyanyi di pentas. Hujan renyai-renyai turun, namun hadirin tidak berganjak dan terus bersama beliau. Program berakhir sekitar jam 12.10 tengah malam apabila Pak Long turun dari pentas dan bersalaman dengan orang ramai sambil diiringi lagu "Cinta Pantai Merdeka" dan "Selagi Ada Rindu" secara minus one. Ternyata orang ramai terutamanya anak-anak muda begitu terhibur dengan persembahan Pak Long. Malah, beliau senantiasa dikerumi oleh mereka yang mahu bersalam dan bergambar. Apapun, syabas dan tahniah kepada PAS Paya Besar atas usaha mendekati orang muda ini. Semoga ia diteruskan pada masa yang akan datang].

Majlis Penerangan "Projek Lynas" Oleh Kerajaan Negeri Hari Ini Mendapat "Maklum Balas Positif"

Posted: 16 Jul 2011 02:58 AM PDT

KUANTAN 16 Julai - Maljis penerangan mengenai projek pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Syarikat Lynas Corporation Ltd. di Gebeng di sini, menerima maklum balas positif daripada penduduk, khususnya di sekitar Kuantan. MB Pahang, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob (foto) berkata, kebanyakan mereka memahami situasi sebenar berhubung perkara itu terutama mengenai isu kesihatan. "Kalau tengok reaksi mereka Lynas ini tidak menjadi isu...di kalangan masyarakat Melayu ia bukan isu tetapi di kalangan pembangkang ia menjadi isu besar," katanya. Ditanya sama ada kerajaan negeri akan berjumpa dengan mereka yang membantah pembinaan kilang itu termasuk yang menggelarkan kumpulan mereka 'Save Malaysia', Adnan berkata ia tidak perlu. Katanya, kumpulan terbabit bukan saja tidak rasional malah tidak dapat menerima hakikat bahawa pembinaan kilang tersebut selamat dan memberi faedah kepada rakyat dan juga negara.

[Biar pun mendapat maklum balasa positif, namun harus diingat siapakah kelompok rakyat yang diberikan penerangan oleh kerajan negeri itu sebenarnya?. Sepatutnya, taklimat sebegitu dibuka kepada semua pihak agar masing-masing boleh mengambil bahagian untuk bertanya dan mendapatkan maklumat yang lebih jelas tentang projek itu daripada MB sendiri. Jika ia hanya dilakukan dihadapan penyokong UMNO BN sahaja, maka sudah semestinya mereka akan mengangguk dan menerima apa saja yang disampaikan tersebut. Ini boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan mereka yang membantah. Adalah lebih elok, pihak kerajaan negeri mengadakan sessi taklimat dan dialog terbuka tentang isi ini agar kemarahan rakyat tidak berterusan untuk selama-lamanya kelak].

Panas: Demontrasi Adalah Budaya Beruk Kata MB Pahang Sebagai Teguran Kepada Pihak Penganjur Dan Peserta 'Himpunan Bersih 2.0' Baru-Baru Ini

Posted: 16 Jul 2011 01:47 AM PDT

KUANTAN, 16 Julai - Menteri Besar Pahang, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob (foto) hari ini menegur penganjur dan penyokong Bersih 2.0 yang telah berhimpun di ibu negara pada 9 Julai lalu. Sambil menyifatkan "demontrasi adalah budaya beruk", Adnan menegaskan bahawa tindakan pihak terbabit adalah amat memalukan. "Saya hairan, apa yang mahu dibersihkan agaknya. Kita lihat mereka (pemangkang) telah berjaya menang di beberapa buah negeri termasuk mengurangkan majoriti 2/3 Barisan Nasional, tetapi mereka masih mengatakan pilihanraya di negara ini tidak bersih. Pemimpin mereka seperti Anwar Ibrahim, Hj.Hadi Awang, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh dan ramai lagi telah menang di kawasan parlimen masing-masing. Itu pun mereka kata SPR tipu dan berat sebelah. Saya hairan dengan perangai mereka ini. Mereka tergamak menjatuhkan imej negara dan mencetuskan huru-hara sebegitu. Bila pihak polis ambil tindakan, polis pula dipersalahkan. Kalau saya jadi polis, tindakan lebih tegas saya akan ambil terhadap mereka", kata Adnan. Beliau berkata demikian ketika merasmikan BN Youth Fair 2011 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Hotel Zenith dekat sini. Program yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO itu telah mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan rakyat Kuantan. Sementara itu, Adnan selaku Pengerusi BN Pahang turut mengucapkan tahniah kepada Pemuda UMNO pimpinan Khairy Jamaluddin atas usaha penganjuran karnival yang bermanfaat seperti itu. "Kita mahu beri kemudahan kepada rakyat, jaga kebajikan mereka dan kita tidak mahu pemuda hanya menjadi kumpulan pendesak semata-mata", kata Adnan.


Antara tetamu jemputan serta pemimpin Pemuda UMNO BN yang hadir

Peluang pekerjaan untuk rakyat Pahang kini menanti di BN Youth Fair

Kementerian Sumber Manusia juga turut ada membuka kaunter mereka
[Sementara itu, Datuk Razali Ibrahim, Naib Ketua Pemuda UMNO menyifatkan kehadiran orang ramai untuk mendapatkan tawaran kerja pada BN Youth Fair 2011 itu setakat ini (sekitar 3,000 orang) disifatkan sebagai bukti bahawa rakyat di negeri Pahang tidak ramai yang menganggur dan memerlukan pekerjaan. Ia berbeza dengan ditempat lain katanya. Ini membuktikan bahawa dasar-dasar dan peluang pekerjaan di negeri ini masih terbuka luas dan tidak seperti yang diwar-warkan oleh pihak pembangkang. Beliau turut mengutuk perhimpunan Bersih 2.0 yang katanya telah menyebabkan kerugian mencecah ratusan juta ringgit. "Ini semua kerja pembangkang yang cuba untuk memalukan dan menjatuhkan imej negara di mata dunia", katanya. Karnival yang akan berakhir esok itu dipercayai menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan kepada orang ramai. Difahamkan karnival berkenaan akan melibatkan penyertaan 150 pelbagai syarikat dan agensi swasta dan kerajaan. Oleh itu, orang ramai yang belum hadir, boleh dapatkan maklumat tentang peluang pekerjaan yang disediakan di karnival tersebut].

Parti KITA Intai Untuk Letak Calon Bertanding Di Sepuluh Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Pada "Pilihan Raya Umum" Akan Datang !

Posted: 15 Jul 2011 10:09 PM PDT

JERANTUT, 16 Julai - Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) bakal meletakkan calonnya di 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Pengerusi KITA Pahang, Mohd Nor Jaafar (foto) berkata beliau sedar partinya masih terlalu mentah untuk berhadapan dengan pilihanraya."Ramai dikalangan rakyat masih belum mengenali hala tuju dan perjuangan KITA yang sebenarnya. Misi dan visi KITA samalah dengan apa yang diperjuangankan oleh Pakatan Rakyat selama ini. Kami mempunyai pendirian yang sama seperti yang diperjuangkan oleh pembangkang di negara ini. Maka itu, kami bersedia untuk mewujudkan persefahaman dalam menghadapi UMNO BN pada PRU-13 akan datang", katanya. Mohd Nor adalah merupakan bekas pemimpin PKR Pahang yang telah meninggalkan parti itu bagi menyertai Datuk Zaid Ibrahim bersama KITA. "Setakat ini KITA sudah mengenalpasti beberapa orang calon yang sesuai untuk diketengahkan. Calon terbabit adalah anak tempatan yang pastinya banyak menyumbang jasa kepada masyarakat dan dikenali ramai. Itulah kriteria yang KITA utamakan", tambah beliau lagi. Ketika ditanya apakah KITA akan berhadapan pertandingan tiga penjuru di kawasan DUN yang dipilih itu nanti. Mohd.Nor menegaskan bahawa KITA sebolehnya tidak mahu pertembungan tiga penjuru."Saya telah berbincang dengan pimpinan Pakatan Rakyat Pahang, terutamanya dari PKR untuk memberi ruang kepada pertembungan satu lawan satu dengan BN. Jika Pakatan Rakyat berangan-angan mahu merampas Wisma Sri Pahang, maka mereka perlu pertimbangkan perkara ini. Memang benar, KITA adalah parti baru yang kurang dikenali tetapi faktor calon tidak wajar diperlekehkan. KITA boleh menjadi penentu parti mana yang bakal menubuhkan kerajaan andai kami menang dibeberapa buah DUN terbabit", tambah beliau lagi.


Mohd Nor bersama Zaid ketika majlis pelancaran parti KITA di Jerantut
Beliau tidak menolak kemungkinan untuk berunding dengan Pakatan Rakyat ke arah mewujudkan kesefahaman menentang BN. "Seboleh-bolehnya KITA mahu mengelakkan pertembungan tiga penjuru, namun jika ditakdirkan ianya berlaku maka apa yang boleh dibuat lagi. Misalnya, saya sendiri mungkin akan bertanding tiga penjuru di DUN Damak pada PRU-13 nanti", katanya. Berdasarkan kepada sejarah terdahulu, Mohd Nor ternyata berjaya mengurangkan majoriti undi BN di DUN Damak hingga ke paras tidak lebih dari 600 undi pada PRU-12 lalu. Ketika itu beliau mewakili PKR bertanding tiga penjuru di DUN itu. Kini apakah senario yang sama bakal berulang lagi?. Difahamkan, selain DUN Damak, KITA turut mengintai untuk meletakkan calonnya di DUN Semambu, DUN Luit, DUN Cheka dan DUN Mentakab. Namun segalanya masih dalam perbincangan lagi.

[Nampaknya, kemeriahan PRU-13 bakal dihangatkan lagi dengan kehadiran parti KITA nanti. Namun, harus diingat jika benar KITA mahu meletakkan calon mereka maka sudah sewajarnya KITA perlu menggiatkan promosi agar parti itu lebih dikenali oleh rakyat. Buat masa ini, rakyat masih menaruh kepercayaan kepada parti yang sudah lama bertapak seperti UMNO, PAS, PKR, DAP, MCA, MIC dan sebagainya. KITA perlu memperbanyakkan agenda dan aktiviti mereka agar diterima oleh rakyat. Langkah meletakkan calon tanpa melihat peluang pasti akan menyebabkan KITA terperangkap. Tambahan pula, jika ditanya kepada majoriti rakyat mereka masih tidak jelas dengan perjuangan KITA dan menganggap parti itu adalah untuk golongan orang yang kecewa seperti Datuk Zaid Ibrahim. Ia berbeza dengan parti PKR yang diterima rakyat atas faktor simpati atas kezaliman yang dilakukan oleh Mahathir terhadap Datuk seri Anwar Ibrahim.KITA mungkin akan menjadi seperti Semangat 46 yg dimpimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah dulu. Parti isu diasaskan atas dasar kekecewaan Ku Li akibat kekalahan kepada Mahathir dalam merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan tahun 1988 dulu. Akhirnya S46 tumbang dimamah usia dan kesemua pemimpin dan ahli mereka kembali menyertai UMNO seperti Ku Li sendiri, Rais Yatim, Shabery Chik dan ramai lagi. Lantaran itu, kehadiran parti KITA mungkin dianggap enteng oleh BN mahupun pembangkang, pun begitu mereka boleh memastikan kekalahan dan kemenangan calon yang bertanding jika undi pecah di situ].

Bersih 2.0: Tangkapan 'Tidak Sah', Ahli PAS Fail Saman Pemula Terhadap Menteri Dalam Negeri !

Posted: 15 Jul 2011 05:59 PM PDT

SHAH ALAM 16 Julai - PAS memfailkan kes saman pemula ke atas Menteri Dalam Negeri dan tiga yang lain berhubung tangkapan "tidak sah" kepada ahlinya menjelang Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Saman difailkan semalam oleh Tetuan Ahmad Termizi & Associates yang mewakili pemohon, Musafri Abdullah Azmi. Musafri mendakwa penahanan yang dibuat ke atas beliau kira-kira pukul 11.20 malam di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan, Padang Jawa di Klang adalah tidak sah selain tidak dimaklumkan alasan dia ditahan. Oleh itu, writ saman yang difailkan menuntut mahkamah membuat satu deklarasi berhubung tankapannya itu. Beliau memohon agar mahkamah membuat satu deklarasi bahawa tangkapan yang dibuat pada 24 Jun lalu tidak sah dan mahu deklarasi bahawa rampasan berupa lapan helai kemeja-T berwarna kuning bertulis "Bersih 2.0 Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil" adalah tidak sah dan mahu ia dikembalikan semula. Selain itu, Musafri juga mahu mahkamah membuat satu deklarasi bahawa polis menyalahgunakan kuasa, menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, kos dan lain-lain perintah yang difikirkan adil. Turut hadir ketika writ saman difailkan ialah Pesuruhaya PAS Selangor, Dr Rani Osman dan timbalannya Khalid Samad. Khalid yang ditemui media berkata, PAS akan terus memperjuangkan hak rakyat yang dinafikan kerajaan termasuk salahguna kuasa dan kekejaman kerajaan terhadap rakyatnya sendiri. "Seperti mana yang kita sedia maklum kita hidup dalam negara yang mempunyai undang-undang dan kerajaan juga harus sedar bahawa mereka juga perlu ikut undang-undang negara,"ujar beliau. sumber

Tiada ulasan: