Jumaat, 1 Julai 2011

MANDOR.BLOGSPOT.COM

MANDOR.BLOGSPOT.COM


AYUH, KITA BERSIHKAN IMEJ PDRM SEGERA

Posted: 30 Jun 2011 10:58 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

KITA tiada pilihan lain sekiranya ingin melihat imej Polis menjadi bersih dan profesional. Kita yang terpaksa mengubahnya kerana mereka sendiri tidak mampu mengubahnya walaupun sedikit. Silih berganti Ketua Polis Negara menerajui PDRM, namun kita masih gagal melihat imej PDRM bertambah baik malahan semakin jelek di mata rakyat.

Semua menyangka bahawa setelah Musa Hassan meninggalkan Bukit Aman, mungkin imej Polis akan mulai menyinar dengan kehadiran Ismail Omar. Melihat pada raut wajahnya yang agak lembut dan seolah-olah mempunyai sikap yang jujur, kita mulanya yakin beliau mampu melakukan transformasi di dalam Pasukan Keselamatan itu. Itulah janji beliau ketika mula mengambil alih jawatan KPN.

Rupa-rupanya kita terlupa satu perkara, bahawa kita masih menyimpan orang yang berkuasa penuh ke atas PDRM iaitu Menteri Dalam Negeri. Menteri yang sama sewaktu Musa Hassan menjadi KPN. `Menukar tayar kereta atau steering kereta' tidak mencukupi untuk memandu dengan baik dan lancar jika keadaan injin kereta masih teruk dan berkarat".

Siapakah Menteri Dalam Negeri yang berkuasa ke atas PDRM? Menteri ini adalah pemimpin Umno iaitu parti yang menjadi musuh utama kepada Pakatan Rakyat. Memang benar, kita menentang Umno bukan PDRM, tetapi kita mungkin lupa bahawa PDRM itu di bawah siapa? Apabila Hishamuddin, Menteri Dalam Negeri mengeluarkan `fatwa' haram memakai baju kuning berlambangkan BERSIH, `fatwa' ini diimani oleh PDRM malahan lebih dari itu di mana baju kuning yang tidak berlambangkan BERSIH pun ditahan. "Lebih sudu dari Kuah". Baca di sini. (Foto di atas, di tahan hanya memakai baju kuning walaupun tiada logo BERSIH)

Akhbar hari ini menyiarkan kenyataan KPN bahawa terdapat tanda-tanda akan berlaku kekecohan sekiranya Perhimpunan BERSIH diadakan juga pada 09 Jul nanti. Apa kata jika kita pula mendakwa bahawa akan ada tanda-tanda Perhimpunan 2 Juta Belia yang akan dianjurkan oleh kerajaan nanti akan berlaku huru-hara? Agak-agaknya Najib akan batalkan perhimpunan itu atau tidak, atau adakah KPN mengeluarkan arahan agar jangan diadakan Perhimpunan 2 Juta Belia? Kita semua tahu jawapannya.

Terlalu pantas `deria bau' KPN kita ini. Patut lah kadar jenayah di negara ini jauh menurun dan patutlah video seks pun dihantar ke luar negara dengan pantas untuk diuji `ketulenan'nya. Mungkin sudah banyak kes kanak-kanak yang dilaporkan hilang telah ditemui oleh pihak Polis kerana kepantasan `deria' KPN yang baru ini. Mungkin Ayah Pin pun sudah ditemui. Itulah hebatnya PDRM di bawah KPN sekarang.

Apakah pilihan yang kita ada sekarang? Tiada jalan lain, rakyat perlu bangkit untuk tumbangkan Kerajaan Umno/Bn demi menyelamatkan negara ini. "Ikan busuk bermula dari kepala", satu pepatah Cina yang amat tepat untuk kita renungi. Imej PDRM hanya boleh dibaiki dengan hanya satu cara iaitu tukar pemerintah yang zalim sekarang melalui Pilihanraya Umum nanti. Adakah kita boleh menumbangkan mereka dengan keadaan Sistem Pilihanraya yang ada sekarang? Bagaimana untuk kita menang jika di dalam sebuah rumah terdapat 5 ke 6 pengundi yang menggunakan alamat yang sama sedangkan masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain?

Bolehkah kita menumbangkan rejim Umno/Bn dengan mereka menguasai media kerajaan? Bagaimana dengan sistem Undi Pos? Rasuah politik wang dan peruntukan kilat? Jawapannya, tidak mungkin. Justeru itu, apakah yang perlu kita buat? Jawapannya, kita mesti tunjukkan kepada mereka bahawa rakyat tidak lagi mahu ditipu untuk selama-lamanya. Tidak perlu memberontak, tidak perlu wujudkan huru-hara, memadai kita berhimpun menunjukkan rasa tidak puas hati kita dan mengadu kepada Raja yang berjiwa rakyat. Itu sahaja.

Jika usaha sedemikian pun kita gagal lakukan, maka kita harus bersedia untuk berada lebih lama lagi di negara ini dengan sistem yang kuno dan kita harus bersama bertanggungjawab mencemarkan imej Polis. Mudah-mudahan kita mampu memulihkan imej PDRM agar menjadi sebuah pasukan yang dihormati, disegani dan diberkati Allah. /PKR Pahang

GURU SILAT TIDAK PERLU LAH KALUT DENGAN BERSIH, JIKA HEBAT DAFTAR NAMA UNTUK KE PALESTINE

Posted: 30 Jun 2011 11:27 AM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

ADA seorang Guru Silat, terkenal dulu kerana pernah dibuang daerah ke Pulau Jerjak kalau tak silap kerana menunjukkan `gedebe'nya. Bila keluar dari pulau tersebut, menjadi pengampu nombor Wahid kepada Umno. Baru-baru ni, Guru Silat yang OKU ini bercakap bagaikan `Panglima Harimau Berantai' kununnya sanggup bermandi darah sekiranya BERSIH meneruskan perhimpunan.

Guru Silat ini dulu pernah menunjukkan `kehebatan'nya apabila beliau di`tanam' hidup-hidup selama beberapa minit. Setahu saya Silat yang sebenarnya bukan untuk dimegah-megahkan tetapi hanya digunakan untuk mempertahankan diri atau membantu orang yang dizalimi. Tetapi, sekarang ini Silat hanya sebagai pertunjukan sahaja lebih dahsyat lagi pertubuhan Silat kini banyak yang telah diperkudakan.

Adalah lebih baik Guru Silat ini tidak melibatkan diri dengan pihak yang zalim demi untuk mendapat nama. Untuk apa beliau mahu menunjukkan hebat kepada kumpulan BERSIH yang berniat baik? Jika mahu sangat berjuang, hantar sahaja nama dan kumpulkan anak-anak muridnya itu untuk berpencak silat di Palestine bagi menentang Israel. Di sana, bukalah berapa banyak `bunga atau langkah' sekalipun, mudah-mudahan dapat `mati syahid'.

Mengapa sibuk mahu tunjuk hebat kepada rakyat yang mahu membersihkan sistem yang kotor? Sebelum mahu ke medan juang, tentukan dahulu siapa musuh kamu yang sebenar. Jangan ikut rentak puak yang akan memperbodohkan petubuhan kamu itu. Adakah bila Guru Silat ini berkata akan menentang BERSIH, maka rakyat yang menyokong tuntutan BERSIH ini akan kecut? Jika pihak Polis yang memberikan berbagai amaran pun peserta BERSIH tetap istiqomah untuk berhimpun, apa sangat lah dengan Guru Silat ini.

Kita bukan mahu memperlekehkan pertubuhan silat, tetapi kita sedih bila melihat Pendekar-Pendekar yang terlatih ini diperbodohkan oleh puak yang ingin terus berkuasa dan menindas rakyat. Tergamakkah pertubuhan silat ini melanggar sumpah pendekar mereka sendiri? Masih banyak lagi pertubuhan silat yang tidak mahu menonjolkan diri dan mengampu kerana mereka tahu tujuan dan motif pihak yang menentang BERSIH ini.

Seandainya Guru Silat ini masih merasakan beliau hebat dan ingin menunjukkan egonya, kita tak mampu berbuat apa-apa. Kita tidak mahu beraduh dengan sesiapa tetapi kita juga tidak mempunyai sebab untuk tidak berhimpun hanya kerana Guru Silat ini./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: