Isnin, 18 Julai 2011

Kopitiam Bang Nan

Kopitiam Bang Nan


Coretan Dr. Asri tentang seorang mujahidah yang sudah pergi....

Posted: 18 Jul 2011 03:47 PM PDT

DR LO' LO' SEKADAR YANG SAYA KENALI

Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut 'insyaAllah'.

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo' Lo' Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi s.a.w nasihati kita:

"Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: 'aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan Jawatan Mufti

Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo' Lo'. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo' Lo' sejak sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum.

Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo' Lo' menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu.

Antara yang beliau sebut

"..saya juga seorang manusia yang dhaif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam. Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat".

Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu. Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin UMNO.

Selepas Mufti

Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.

Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo' Lo' yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya:

"Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada".

Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.

Masuk UMNO

Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. Apabila timbul berita saya akan masuk UMNO, Dr Lo' Lo' menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:

"Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk UMNO. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama".

Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya:

"mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk UMNO. Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk UMNO? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk UMNO".

Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat. Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk UMNO, Dr Lo' Lo' sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata:

"Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk UMNO, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk UMNO".

Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.

Kritik PR

Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama PR, Dr Lo' Lo' kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya 'tegas'. Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya 'Ulama atau professional Jadi Pemimpin' . Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.

Ziarah Hospital

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz. Dr Lo' Lo' meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil. Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau:

"ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik".

Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah. Kata-kata yang tidak lahir di saat- demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.

Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz Sampul

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. Antara yang beliau kata;

"Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana".

Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau 'pendakwah'. Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata Dr Lo' Lo' itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan. Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.

Apalah agaknya pendirian "Pejuang Islam Sejati" sekarang ni???

Posted: 18 Jul 2011 08:19 AM PDT

Najib temu Pope Benedict, jalin hubungan diplomatik formal
TERKINI @ 08:36:58 PM 18-07-2011
July 18, 2011


Pope Benedict XVI menerima cenderamata daripada Najib Razak ketika kunjungan beliau di Castelgandolfo, Rom hari ini. – Foto Reuters

ROM, 18 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengunjungi Pope Benedict XVI di sini hari ini, dengan kedua-dua Malaysia dan Vatican telah bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik secara formal bagi memperkukuhkan kerjasama, demikian menurut Wisma Putra.

Pertemuan berlangsung di Apostolic Palace, kediaman musim panas pemimpin penganut Katolik itu di Castel Gandolfo di pinggir Rom.

Sehubungan itu kata Najib, Malaysia telah bersetuju untuk mewujudkan hubungan diplomatik memandangkan ia berminat untuk berkongsi pengalamannya dan menggalakkan keamanan dan keharmonian dunia.

"Dunia berada di persimpangan," kata beliau sambil menambah sikap-sikap tidak waras dan perbezaan pendapat mengancam kemakmuran dan kestabilan yang telah lama dibina dengan kerja keras.

Ini merupakan pertemuan kedua antara seorang Perdana Menteri Malaysia dan seorang Pope selepas pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pope John Paul pada Jun 2002.

Pope adalah pemerintah Vatican City State dan the Holy See.

Holy See merupakan kerajaan yang mentadbir gereja Katolik di seluruh dunia dan beroperasi dari Vatican City State, yang merupakan sebuah wilayah bebas dan berdaulat terletak di satu kawasan seluas 0.44 km persegi.

Najib, yang membawa bersamanya rombongan terdiri pemimpin pelbagai agama, kemudian mengadakan perbincangan peringkat delegasi dengan Setiausaha Negara bagi Holy See, Cardinal Tarcisio Bertone.

Laporan Bernama Online menyebut rombongan Perdana Menteri termasuk isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok serta Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dan Ketua Biskop Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam.

Babipun Tak Giler Macam Ni...!!

Posted: 18 Jul 2011 01:31 AM PDT

UiTM tawar Anugerah Ibrahim Ali untuk pelajar
Joseph Sipalan
Jul 18, 11
3:52pm

Sebuah universiti tempatan membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu.

Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM memuatkan butiran terperinci anugerah berkenaan yang menawarkan RM5,000 yang ditaja oleh presiden PERKASA itu sendiri di laman webnya.

Selain mesti mempunyai prisip yang jelas dan konsisten, pelajar UiTM yang layak memohon juga mesti mematuhi empat kriteria.

Antaranya membantu merangsang pelajar bagi mengikuti program dan aktiviti berkaitan dengan peningkatan maruah dan martabat bangsa pelajar.

Kriteria lain adalah:

• Menjadi pemimpin persatuan yang berdaftar dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni seperti persatuan kebudayaan, kesenian Melayu atau persatuan kebangsaan lain yang dianggap cemerlang dan berkesan di dalam atau di luar kampus
• Menjadi pemimpin atau jawatankuasa yang memperjuangkan bangsa dan budaya di luar kampus seperti GPMS, ABIM, PERKASA, GAPENA.
• Mendapat pengiktirafan dari badan-badan di luar UiTM

Idea anugerah ini datang daripada Ibrahim sendiri pada forum perpaduan yang dianjurkan oleh Impak pada 17 Oktober tahun lalu dan dibuka kepada pelajar wanita dan lelaki UiTM. Setiap satu bernilai RM2,500.

Mereka mesti memperolehi CGPA sekurang-kurangnya 3.0, tiada tindakan tatatertib atau kesalahan jenayah atau diisytiharkan muflis semasa tempoh pengajian.

Tarikh tutup pencalonan adalah pada 15 September dan anugerah itu akan diberikan pada setiap tahun semasa majlis konvokesyen pada bulan Oktober atau berikutnya.

Ibrahim, yang juga ahli parlimen Bebas Pasir Mas adalah bekas pelajar UiTM.

Beliau belajar di sana dari 1971 hingga 1974. Seorang aktivis pelajar ketika itu, beliau banyak menyertai perhimpunan anti kerajaan.

Ibrahim pernah ditangkap selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan dalam Negara (ISA) ketika hampir tamat pengajiannya.

Beliau kini mempin kumpulan pendesak Melayu - PERKASA yang mahu keistimewaan termasuk biasiswa dan segala bantuan hanya dikhususkan kepada orang Melayu sahaja.

Tiada ulasan: