Rabu, 27 Julai 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Tindakan keras hadapi Bersih, Najib disabotaj?

Posted: 27 Jul 2011 03:02 PM PDT

Hari ini, sekumpulan diketuai pemuda PKR ditahan di stesen KL Sentral, dalam perkembangan terbaharu berkaitan tuntutan Bersih dan tekanan pihak berkuasa terhadap gerakan ini.

Peristiwa yang meningkatkan lagi kemarahan terhadap pentadbiran Najib berlaku sekitar masa yang sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggerakkan persediaan secara agresif untuk BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tindakan pihak berkuasa terhadap kempen Bersih sejak sebelum 9 Julai lalu sepenuhnya mengikut garisan keras berbentuk amaran, sekatan dan tangkapan yang dilihat sebagai taktik mencetuskan ketakutan supaya ramai akan mengelak daripada menghadiri perhimpunan itu.

Tindakan-tindakan pihak berkuasa sehingga kini mudah dijangka, iaitu berbentuk sekatan dan tekanan tanpa sebarang ruang kompromi yang dilihat ramai termasuk pemimpin-pemimpin dalam Umno dan BN sendiri sebagai mampu memberi kesan negatif terhadap BN pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Pihak berkuasa dilihat telah bertindak berdasarkan sikap dan bahasa lama politik kuasa, tanpa melayan langsung hak-hak demokratik pihak penggerak Bersih, sehingga pentadbiran Najib terlalu mudah menerima liputan negatif di media.

Penerusan sikap kerajaan itu, sehingga semakin hampir Pilihan Raya Umum ke-13, berpotensi menjejaskan lagi imej pentadbiran Najib.

Setakat ini, hanya seorang pemimpin Umno yang menunjukkan sikap agak positif terhadap Bersih, iaitu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Beliau walau bagaimanapun dikecam sesetengah pihak dalam parti ekoran sikapnya itu

Pemilihan hanya satu bentuk tindakan oleh pihak berkuasa mendorong sesetengah pihak melihatnya sebagai tindakan sabotaj dalaman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Kerajaan BN telah menghadapi impak negatif ekoran laporan media tempatan dan antarabangsa semasa protes Bersih pada penghujung 2007. Tindakan kerajaan kali ini telah mengakibatkan kesan negatif yang sama, malah dijangka lebih buruk disebabkan tekanan yang dikenakan hingga selepas perhimpunan 9 Julai.

http://siasahdaily.blogspot.com/2011/07/tindakan-keras-hadapi-bersih-najib.html

Edisi Hiburan Dan Gosip: Khairul Fahmi (Apek) Kena Sound Dengan Tunang? Hubungan Berantakan?

Posted: 27 Jul 2011 06:09 AM PDT

http://cdn.drivenmedia.com.my/ohbulancom/wp-content/uploads/2011/07/dahliateck2.jpg



Selanjutnya Di Blog Sumber

Blog Kerabu Bersuara jarang mengeluarkan artikel-artikel berkaitan hiburan kebelakangan ini. Malam ni kami mengeluarkan artikel yang santai dan gosip.

Pssstt... Zaman IT, orang pompuan kena jaga tau perkara yang rahsia-rahsia. Jangan main luah jer beb.

Artikel ini dibuat oleh Rizal, Pembantu Admin Kerabu Bersuara. Admin sekarang berada di luar kawasan.

Tepuk Dada Tanya Iman!

Salam.

Kartun Sindiran Untuk Pengkhianat

Posted: 27 Jul 2011 05:53 AM PDT

http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/251574_177809715619445_108258609241223_438268_8172965_n.jpg

http://a3.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/253234_177806378953112_108258609241223_438266_6765013_n.jpg

Orang Ramai Tak Bodoh Macam Umno La Rais

Posted: 27 Jul 2011 04:40 AM PDT

Majlis Perundingan Media hanya cadangan, kata Rais

Oleh Shannon Teoh


KUALA LUMPUR, 27 Julai – Di sebalik bantahan berterusan daripada organisasi media yang bimbang ia akan menambah kawalan pihak berkuasa, Putrajaya hari ini berkata, Majlis Perundingan Media (MPM) yang dihalusi Isnin lalu hanyalah satu cadangan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata, MPM "hanya satu percubaan".

"Jika ia tidak menerima sokongan... kami tiada masalah untuk melepaskan daripada penyeliaan kami," katanya.

Bagaimanapun Rais yang juga pengerusi bersama MPM berkata, "ramai yang sudah menyatakan persetujuan" tetapi hanya golongan "elitis tidak memberi persetujuan mereka".

Seorang lagi pengerisi MPM ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mesyuarat Isnin lalu dikatakan gagal mencapai konsensus atau persetujuan mengenai cadangan Putrajaya mahu mengadakan MPM.

Ketika ditemui di sini hari ini, Rais berkata MPM bertujuan memastikan media bertindak dengan penuh tanggungjawab dan mematuhi undang-undang.

"Kami mahukan kerjasama, tiada agenda lain," kata beliau.

Katanya, satu pakatan media mesti wujud dan "mereka boleh melakukan apa yang mereka hendak lakukan, tetapi undang-undang mesti dihormati."

Pada Khamis lalu, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa beberapa ketua organisasi media dijangka membantah cadangan Putrajaya yang mahu membentuk MPM dengan tidak mempedulikan satu pertemuan bagi membincangkan terma rujukannya yang diadakan Isnin lalu.

Satu sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa daripada mereka sendiri menghadiri pertemuan itu, beberapa ketua media telah bersetuju untuk memperlihatkan protes dengan menghantar editor-editor junior sebagai wakil.

Difahamkan ketua-ketua berkenaan termasuk dari organisasi media yang dikawal oleh Barisan Nasional, bimbang majlis seumpama itu hanya akan mengenakan lebih banyak halangan ke atas kebebasan akhbar di Malaysia.

Menurut surat kementerian Rais, anggota MPM termasuklah wakil dari kerajaan, media cetak, elektronik dan media baru serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Antara yang dijemput agensi berita Bernama, Kumpulan Utusan, Astro TV, stesen Media Prima seperti TV3, NTV7, TV8, TV9, Hot FM, Fly FM dan One FM, AMP Radio Network, AlHijrah Media Corporation, Suara Johor, Star RFM, Husa Network, kesemua akhbar di bawah Kumpulan NSTP, Kumpulan Media Karangkraf, Star Publications (M) Berhad, The Sun, The Edge, Malay Mail, Makkal Osai, Tamil Nesan, Sin Chew Daily, Malaysia Nanban, Kwong Wah Yit Poh Press Berhad, China Press, Nanyang Siang Pau, Sarawak Press Sdn Bhd, See Hua Daily dan United Daily News.

Kesemua akhbar perlu mendapatkan permit penerbitan tahunan manakala stesen siaran elektronik dikawal oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Blog House Malaysia telah dipilih sebagai wakil tunggal media baru manakala pertubuhan bukan kerajaan terdiri daripada Institur Akhbar Malaysia, Kesatuan Wartawan Malaysia dan Persatuan Penerbit Majalah.

Portal berita atas talian seperti The Malaysian Insider, Malaysiakini, Free Malaysia Today, Malaysia Today atau Merdeka Review sendiri tidak dijemput meskipun mereka mempunyai kad tauliah media dikeluarkan Jabatan Penerangan.

Surat jemputan kementerian itu juga disertakan dengan kertas cadangan penubuhan MPM, yang memperincikan terma rujukan untuk dibincangkan pada pertemuan Isnin ini termasuk peranan, objektif, fungsi, keanggotaan dan aktivitinya.

Kertas cadangan itu menggariskan lima fungsi MPM, antara lain memperbaiki pengurusan dan perkongksian maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan, program dan aktiviti komuniti dan membincangkan isu-isu semasa dan merangka pelan komunikasi untuk menangani mereka secara bersepadu dan teratur.

Dalam pada itu, Rais menganggap pelancaran kempen Kibarkan Jalur Gemilang tahun ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini dianggap unik kerana ia melibatkan pemimpin pergi ke tempat tumpuan awam yang berbeza dari sebelum ini apabila rakyat dibawa ke lokasi sambutan.

Kata Rais, pelancaran kempen itu di Stesen KL Sentral di sini adalah istimewa kerana melibatkan pemimpin tertinggi negara bersama rakyat.

Ketika ditemui pemberita selepas pelancaran kempen itu, beliau berharap rakyat tidak lupa kepada amanat Najib dalam ucapan pelancaran itu bahawa kesejahteraan yang dicapai melalui transformasi akan mensejahterakan suasana dalam negara.

"Kerajaan yang beliau pimpin kini telah membawa kita ke tahap kemajuan, satu demi satu, sehingga gagasan 1Malaysia itu bererti kepada setiap insan yang menjadi warganegara Malaysia dapat bersama berasa megah dan bangga tidak kira apa pegangan politik, agama ataupun kebudayaan masing-masing," katanya.

Sempena sambutan kemerdekaan ke-54 tahun ini, Rais berkata 244 program jalinan dirancang untuk diadakan di negeri-negeri menerusi Badan Bukan Kerajaan dan sektor swasta.

Selain melancarkan kempen itu, Perdana Menteri turut melepaskan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 Jabatan Penerangan ke setiap negeri untuk menjalankan aktiviti serta program kemasyarakatan bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Tahun ini, sambutan kemerdekaan diadakan pada 16 September serentak dengan sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka.

Peruntukkan Dikeluarkan Untuk Semua Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan

Posted: 27 Jul 2011 04:15 AM PDT

Kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukkan untuk pembangunan kepada semua daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lama lagi tetapi setiap projek perlu disenaraikan mengikut kepentingan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Pegawai Daerah dan Datuk Bandar serta Yang Dipertua PBT mesti tahu nilai kos sebenar bagi setiap projek yang disenaraikan supaya tidak berlaku pembaziran dan menggunakan kos minima.

Beliau berkata, Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) yang mempunyai aset berjumlah RM800 juta akan menyalurkan sebahagian dari dana untuk pembangunan ini.

Menteri Besar berkata, semua pejabat tanah dan daerah serta PBT diarahkan supaya menyelenggara dengan baik semua aset milik negeri terutama yang melibatkan tanah.

Beliau berkata, ini bagi memastikan kerajaan negeri mempunyai harta untuk meneruskan pembangunan dan pembinaan infrastruktur untuk keselesaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan semua pejabat tanah dan daerah serta PBT melantik pegawai yang bertanggungjawab memantau, melawat dan mengemas kini semua tanah-tanah kerajaan negeri.

Beliau berkata, langkah ini untuk mengelak kerajaan negeri menanggung kerugian apabila terpaksa membayar sejumlah pampasan kepada pihak tertentu yang menduduki tanah milik kerajaan negeri secara haram.

Beliau berkata, kaedah merekodkan semua aset milik kerajaan negeri khususnya tanah dalam fail tidak lagi pratikal diamalkan kerana berlaku perubahan persekitaran yang menyebabkan tanah-tanah kerajaan negeri diceroboh.

"Negeri Selangor memerlukan dana untuk menjana pembangunan tetapi pada masa yang sama kita juga perlu menyelenggara dengan baik harta milik kita supaya kita mempunyai dana untuk meneruskan pembangunan," katanya.

Menteri Besar berkata demikian ketika menutup Program Temu Rapat bersama Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT, pentadbir tanah dan daerah seluruh Selangor di Genting Highland yang berakhir hari ini.

Program dua hari ini bertujuan mempertingkatkan persefahaman dan kerja sama antara pembuat dasar dan anggota pelaksana di peringkat daerah serta PBT selain memastikan dasar kerajaan negeri difahami serta dilaksanakan dengan berkesan.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO' MENTERI BESAR

TI-Malaysia Gesa Kerajaan Laksana Reformasi Pilihanraya

Posted: 27 Jul 2011 03:30 AM PDT

SHAH ALAM 27 JULAI : Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) menggesa kerajaan prihatin terhadap tuntutan rakyat yang mahukan perjalanan pilihan raya adil dan bersih melalui pelaksanaan reformasi sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Setiausaha Agung TI-Malaysia Josie Fernandez berkata, gabungan 62 badan bukan kerajaan di bawah Bersih 2.0 hakikatnya membuka ruang kepada kerajaan, rakyat dan badan-badan bukan kerajaan untuk bersama-sama memperbetulkan perjalanan pilihan raya negara yang pincang.

TI-Malaysia berkata badan itu juga menyerahkan memorandum 22 perkara kepada pemerintah pada 3 Mei lepas menuntut pembasmian politik wang menyeluruh dalam proses pilihan raya.

"TI-Malaysia mengemukakan memorandum mengenai politik wang dan pembiayaan politik, 22 pembaharuan semuanya kepada Perdana Menteri. Ia mendapat respon dan mereka memberitahu sedang melihat pembaharuan ini dan kami telah meminta 10 pembaharuan itu dimulakan sebelum pilihan raya umum ke-13,"katanya.

Menurut Josie, pihaknya berharap pemerintah mampu membuat pendirian merentasi garis kepartian dalam memastikan proses pilihan raya dapat dijalankan dengan baik.

"Saya tidak tahu sejauh mana perubahan itu akan dilakukan sebelum pilihan raya akan datang. Sekiranya reformasi ini tidak memberi sokongan kepada pentadbiran sekarang … maka saya mempunyai keraguan," tambah beliau lagi.

Tuntutan utama memorandum TI-Malaysia ialah parti politik tidak didaftarkan di bawah Pendaftar Persatuan, sebaliknya di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya suruhanjaya itu diberdayakan dengan kuasa untuk bertindak ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang pilihan raya.

EO sama zalim dengan ISA – Sivarasa

Posted: 27 Jul 2011 02:45 AM PDT

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa berkata, perlaksanaan Ordinan Darurat (EO) adalah sama zalim dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Ini kerana perlaksanaan dua akta ini membolehkan penahanan individu oleh polis selama 60 hari tanpa perbicaraan, dengan alasan kononnya mengancam Keselamatan negara.

"Akta ini adalah zalim kerana kuasa yang telah diberikan oleh pemerintah terhadap polis untuk menangkap seseorang yang kononnya tanpa membuktikan kesalahannya terlebih dahulu,"

"Penahanan individu dalam tempoh yang panjang tanpa bicara dan dibuktikan kesalahan sememangnya melanggar prinsip hak asasi manusia," katanya ketika dihubungi Keadilandaily.

Menurutnya, EO juga melanggar prinsip keadilan yang termaktub dalam semua agama di mana untuk menghukum seseorang perlu dibuktikan kesalahannya terlebih dahulu.

Tambah beliau, pelaksanaan undang-undang seperti ini mengundang amalan rasuah untuk lebih berleluasa. Ini kerana sebelum ini beliau pernah mendapat laporan dari keluarga tahanan yang terpaksa memberikan wang kepada pihak berkuasa untuk melepaskan mereka yang ditangkap di bawah EO.

Katanya, amalan rasuah sukar dikesan dan penyalahgunaan akta ini akan menyebabkan penindasan terhadap orang ramai semakin bertambah.

Hari ini, Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar dan lima lagi aktivis parti Sosialis Malaysia yang ditahan di bawah EO, dibebaskan tanpa sebarang syarat.

Kata Anwar, alasan kerajaan menahan enam individu terbabit kerana terlibat dengan aktiviti subversif, ternyata merupakan satu helah pemerintah untuk memburukkan Bersih 2.0 semata-mata.

Tong sampah 1Malaysia – Oleh Wan Pok Wan Malini

Posted: 27 Jul 2011 01:00 AM PDT

27 JULAI – Bayangkan…jika tong-tong sampah yang berselarak di Kota Kuala Lumpur ini ditukar menjadi tong sampah 1Malaysia. Niat yang murni ini akan terserlah dalam bentuk faedah kepada rakyat jelata.

Antara faedahnya ialah ia akan mencantikkan kota Kuala Lumpur dengan tong-tong sampah yang baru siap dengan simbol 1Malaysia, menawan, beraneka corak dan bergaya sekali. Dan hasilnya, tong-tong sampah ini akan dilihat seragam sebagaimana tiang-tiang lampu mewah di Putrajaya.

Dengan cara itu, masyarakat kota akan mula sedar betapa pentingnya membuang sampah ke dalam tong sampah 1Malaysia. Maka berduyun-duyunlah rakyat dari segenap pelusuk kampung dan pekan akan datang ke Kuala Lumpur untuk membuang sampah ke dalam tong sampah 1Malaysia itu.

Malah pelancong-pelancong yang datang ke Kuala Lumpur juga akan berebut-rebut mengambil gambar bersama tong-tong sampah 1Malaysia, idea yang lahir dari benak Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Selain daripada itu, kontrak-kontrak membuat tong-tong sampah 1Malaysia yang baru ini akan diagihkan kepada kontraktor-kontraktor sahabat UMNO dan Barisan Nasional yang dapat menambah pendapatan mereka.

Mungkin juga akan lahir kontraktor-kontraktor baru yang bakal menjadi kroni UMNO- BN dari pelbagai bangsa sebagai manifestasi 1Malaysia. Inilah buah fikiran 'glokal' Najib.

Bersih

Bayangkan lagi…

Jika ada orang yang menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai yang terlanggar tong-tong sampah 1Malaysia ini hingga menyebabkan ianya rosak dan pecah. Maka orang-orang ini telah melakukan dua jenis kesalahan.

Pertama, kerana menyertai perhimpunan yang difatwakan haram oleh pemerintah yang takut kepada rakyat sendiri, dan kedua, kerana merosakkan imej dan idea 1Malaysia dengan cara memecahkan tong-tong sampah 1 Malaysia.

Di mana-mana mahkamah pun, sudah hampir pasti anda akan disabitkan dengan kesalahan jenayah yang 'mengancam' imej negara tercinta ini serta mengisytiharkan perang terhadap tong-tong sampah 1Malaysia.

Melanggar dan memecahkan tong-tong sampah 1Malaysia ini akan dituduh sebagai menjatuhkan maruah bangsa dan kerajaan. Malah ia bertentangan dengan Perlembagaan kerana melakukan kerja-kerja subversif dengan menjahanamkan tong-tong sampah 1Malaysia.

Bayangkan pula…

Para pemilik tong-tong sampah 1Malaysia ini, baik secara individu atau pun organisasi, akan mendesak organisasi Bersih atau Pakatan Rakyat untuk membayar pampasan kepada mereka kerana bukan sahaja telah merosakkan tong sampah 1Malaysia ini, malah memcacatkan keindahan kota Kuala Lumpur yang selama ini dihiasi oleh tong sampah Najib.

Maka muflislah Pakatan Rakyat kerana disaman oleh individu dan kerajaan dengan jumlah pampasan yang berjuta-juta itu.

Takut

Bayangannya…

Jika semua benda dan perkara yang ada di Malaysia hendak di '1Malaysia'kan oleh kerajaan, sudah pasti rakyat biasa yang berjalan ke mana-mana pun di Malaysia ini akan terpaksa berhati-hati agar tidak melanggar, merosak atau menyentuh segala benda fizikal atau perkara yang mungkin akan menjadikan mereka penjenayah 1Malaysia.

Kita semua akan berada dalam ketakutan kerana segala rutin harian akan terus dikaitkan dengan konsep 1Malaysia.

Kita takut kalau-kalau tidak makan makanan yang ada tanda halal 1Malaysia, jika tidak mungkin dianggap memakan makanan 'haram'.

Hendak membeli dan memilih mesti di kedai 1Malaysia. Nak bercakap atau berbincang, kena faham dan kaitkan dengan agenda 1Malaysia dulu. Nak berkahwin pun kena buat majlis yang ada simbol 1Malaysia.

Jika tidak mengikut jalan ini, maka anda dianggap sebagai musuh 1Malaysia, yakni anti-kerajaan. Hal yang digambarkan sebagai anti kerajaan ini samalah dengan dakwaan penderhakaan yang sering dikaitkan oleh UMNO kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Hinggakan, mana-mana parti pembangkang yang berani berbahas menegur kerajaan di Parlimen akan dituduh sebagai anti 1Malaysia.

Salam

Bayangkan…

Salam atau berjabat tangan pun mungkin kena ada cara 1Malaysia, dengan mudah kita akan mengenal siapa yang 1Malaysia dan siapa dia yang bukan 1Malaysia. Mungkin salam satu jari sebagai lambang 1Malaysia.

Sesiapa yang didapati bukan dari golongan 1Malaysia, maka masa depan anda akan dicampakkan ke dalam tong-tong sampah 1Malaysia.

Jurang

Idea 1Malaysia ini penting kerana yang hanya benr-benar berjiwa 1Malaysia layak menikmati habuan kerajaan UMNO-BN. Tidak penting sama ada ia akan menjarakkan lagi jurang perbezaan antara kerajaan sebagai pemerintah dengan rakyat jelata yang berbeza pandangan dan pendirian.

Maka 1Malaysia ini sama dengan kata-kata George W. Bush Jr, "sama ada kamu bersama kami atau kamu musuh kami".

Memang belum ada lagi tong-tong sampah 1Malaysia, tapi tak lama lagi mungkin wujud di seluruh pelusuk bandar dan pekan. Sekiranya ada antara kita yang menolak konsep 1Malaysia termasuk tong sampahnya, maka kita akan dianggap sebagai anti kerajaan dan tidak patriotik.

Tidak hairanlah jika Pakatan Rakyat, malah rakyat tak berparti yang bebas befirkir, telah dituduh dengan bermacam gelaran yang hina kerana tidak mahu kepada 1Malaysia yang nampak indah tapi amalannya busuk dan hapak.

Inilah gaya politik baru UMNO-BN laung-laungkan. Yang menegur, mengkritik dan tidak bersetuju dengan mereka, diibaratkan seperti sampah-sarap 1Malaysia. – Roketkini.com

Akrab SPR dan BN – Oleh Amaluddin Zhafir

Posted: 27 Jul 2011 12:00 AM PDT

27 JULAI – Dalam satu majlis dialog yang panas di Shah Alam semalam, terbongkar sudah hakikat bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan suara kepada Barisan Nasional apabila timbalan pengerusi suruhanjaya tersebut Datuk Wan Ahmad Wan Omar tersasul menyebut 'kemesraan' hubungan badan yang sepatutnya bebas itu dengan parti pemerintah.

"Barisan Nasional tak hentam SPR," katanya disambut teriakan 'boo' oleh para hadirin sewaktu dialog berkenaan.

"Kita (SPR) memang ada hubungan yang baik dengan Bukit Aman," antara yang disebutnya dengan lantang dan jelas.

Dalam wacana "Apa Selepas 9 Julai" yang dikelolakan oleh Sinar Harian dan Karangkaf semalam, terdapat beberapa input yang boleh difikirkan rakyat Malaysia, antaranya berkaitan sistem biometrik, pengundi yang telah meninggal dunia, SPR dan hubungannya dengan parti-parti politik Malaysia serta ketelusan dan kebebasan SPR sendiri.

Sistem biometrik

Di awal pembukaan dialog, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevenasan sebagai ahli panel menekankan bahawa sistem biometrik yang dicadangkan oleh kerajaan BN tidak boleh digunakan jika pilihan raya berlaku awal tahun depan kerana SPR perlu menerangkan kepada rakyat tentang penggunaan sistem itu dalam tempoh yang singkat.

Tambahnya, sistem biometrik ini juga perlu lebih canggih memandangkan ia akan digunakan secara berterusan dan cepat pada hari pengundian.

Bagaimana pun, Wan Ahmad menjelaskan bahawa salah satu tujuan untuk melaksanakan sistem biometrik ialah kerana mahu 'maju ke hadapan' dari sudut teknologi.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa 12 angka nombor kad pengenalan MyKad akan dijadikan batu penanda kepada sistem biometrik pada pilihan raya.

Selain itu, beliau menambah bahawa penggunaan dakwat kekal tidak sesuai dengan keadaan negara sekarang, apa lagi mengambil contoh negara lain seperti India dan Indonesia yang menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya, kerana penggunaan dakwat kekal juga boleh dimanipulasi.

Beliau menyoal hadirin bagaimana jika awal pagi, pengundi yang datag awal sudah dicalit jarinya dengan dakwat kekal, sedangkan pengundi tersebut belum mengundi. (Mungkin beliau tidak terfikir pegawai SPR boleh memeriksa semua jari pengundi sebelum diberikan kertas undi)

Ambiga yang terkenal dengan sikap terbukanya menyatakan kesediaan Bersih untuk duduk berbincang dengan SPR tentang hal itu tanpa mengorbankan lapan tuntutan Bersih bagi mewujudkan pilihan raya bebas, adil dan bersih.

Pengundi yang telah meninggal dunia

"Saya tidak boleh membayangkan kita (Malaysia) tidak boleh merekodkan (kematian) sedangkan sistem kita terlalu canggih," jelas Ambiga.

Katanya kecanggihan sistem yang digembar-gemburkan kerajaan termasuk sistem canggih biometrik nampak hebat tetapi lemah kerana gagal merekodkan kematian pengundi. (Kerana itu Pakatan Rakyat telah banyak kali membangkitkan isu di mana dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, "orang mati" masih boleh mengundi)

Wan Ahmad yang meneruskan tradisi kepimpinan SPR hanya mampu memberi jawapan yang 'standard' iaitu Jabatan Pendaftaran Negara yang menyimpan rekod orang yang sudah meninggal dunia.

Persoalannya ialah, jika benar SPR ingin meningkatkan kredibiliti mereka, kenapa SPR tidak bekerjasama dengan JPN?

Pilihan raya 'baik'

Wan Ahmad menempelak Bersih kononnya tidak memperjuangkan sesuatu yang 'baik' sedangkan soalnya, siapa yang tidak mahu perkara yang baik, dan yang lebih melucukan, beliau sebagai wakil SPR mengeluarkan kata-kata ini:

"Barisan Nasional juga mahu (pilihan raya) yang baik."

Dalam percubaan untuk menutup malu SPR, beliau menuduh rakyat pula yang didakwanya membuat persepsi yang salah. SPR cuba mempertahankan diri, tetapi ditembak pula dari pelbagai sudut.

Dengan itu beliau berkata, kerajaan pimpinan Barisan Nasional tidak menghentam SPR seperti mana barisan pembangkang.

Jelas Wan Ahmad, Barisan Nasional juga mengkritik SPR, tetapi kritikan mereka itu tidak dicanang di dalam media.

Justeru itu, Ambiga membalas tentang kritikan BN terhadap SPR itu dengan berkata: "(Sebaliknya) kita (Bersih) yang kena serang (oleh kerajaan)."

Menurut Ambiga, Bersih diadakan kerana tekanan selepas melihat pilihan raya Sarawak baru-baru ini yang penuh dengan rasuah dan tipu helah oleh pihak tertentu yang berkepentingan.

Oleh itu, adalah sangat jelas SPR kelihatan tidak telus seperti 'teguran' moderator Wan Saiful berhubung cara bercakap wakil SPR itu yang ketara partisannya terhadap BN.

Rumusan

Dalam wacana yang sedikit huru-hara itu akibat emosi orang ramai yang tak tahan dengan jawapan mandom wakil SPR itu, Wan Ahmad kelihatan sedikit kaget dan tertekan.

Walau pun tekanan orang ramai itu mungkin tak seteruk tekanan yang dikenakan oleh para pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mendiang Teoh Beng Hock, tetapi kenyataan-kenyataan yang keluar dari mulut Wan Ahmad itu adalah sangat ketara sifatnya membela BN.

Kenapa? Mungkin, seperti apa yang dijelaskan di awal wacana, Wan Ahmad mengakui SPR secara keseluruhannya dikongkong dan ditekan oleh kerajaan melalui pelbagai undang-undang termasuklah Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya.

Mungkin Wan Ahmad perlu diingatkan bahawa SPR adalah badan yang bebas dan ianya dilantik serta ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong agar pilihan raya bebas, bersih dan telus, dan sepatutnya hanya bertanggungjawab kepada Parlimen, dan bukannya Perdana Menteri atau Kabinet atau mana-mana parti.

Justeru itu adalah sangat tidak wajar apabila Wan Ahmad mengulang-ulang kenyataan bahawa SPR tidak ada kuasa untuk mengawal kepincangan pilihan raya kerana ianya bukan dapat meyakinkan rakyat Malaysia pun, tetapi sebaliknya akan membuatkan rakyat lebih meluat dengan SPR.

Kerana itu juga pertubuhan Bersih bosan mahu bertemu dengan SPR yang akan terus mengulang jawapan yang sama semata-mata kerana ia takut untuk berkata yang benar di depan Perdana Menteri dan kerajaan BN.

Dan bukti betapa meluatnya rakyat Malaysia, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang turut hadir dalam wacana semalam, pemimpin perlu peka dengan tiga realiti sekarang – kemunculan media baru, kesedaran sosial baru, dan penyertaan rakyat dalam perubahan demokrasi.

Adakah belum jelas bahawa SPR tidak nampak atau buat-buat tidak nampak lagi, walhal pemimpin generasi muda UMNO itu pun bolehkan sedar, apatah lagi sebuah badan profesional yang bebas dan kononnya 'telus itu?

Mungkin kerana itu SPR hanya menjadi pak turut apabila kerajaan BN mencadangkan sistem biometrik tetapi marah apabila Bersih mencadangkan lapan idea untuk membersihkan pilihan raya di negara ini.

Lain diminta, lain pula diberikan; seolah-olah mahu lari dari tanggungjawab. Bersih hanya menuntut kerajaan supaya – membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, menggunakan dakwat kekal, memberi akses media bebas dan adil, memberi masa berkempen minimum 21 hari, mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan menghapuskan politik kotor.

Apa yang 'kotor' sangat dengan tuntutan Bersih itu? – Roketkini.com

Tunaikan 8 tuntutan Bersih, tak perlu belanja ratusan juta untuk sistem biometrik

Posted: 26 Jul 2011 11:21 PM PDT

KUALA LUMPUR, 27 JULAI – Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan sistem biometrik bagi pilihan raya akan datang membuktikan kenyataan Pakatan Rakyat selama ini memang benar dan betul bahawa memang wujud pengundi hantu serta amalan jahat mengundi berulang kali.

Menurut Sekretariat Pakatan Rakyat, langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu yang bertujuan mengatasi masalah pengundi hantu dan pengundian berulang kali juga membuktikan suara rakyat melalui perhimpunan aman Bersih 2.0 terpaksa diterima oleh kerajaan Barisan Nasional.

"Kita wajar mengucapkan tahniah kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai kempen Bersih 2.0 dan turun ke perhimpunan aman pada 9 Julai 2011 baru-baru ini.

"Tanpa kesabaran dan keberanian mereka, SPR dan Barisan Nasional akan terus menafikan bahawa penipuan-penipuan ini wujud," kata sekretariat berkenaan melalui satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi pihak sekretariat oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Rami; Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

Bagaimanapun, Sekretariat Pakatan Rakyat tidak yakin dengan kemampuan sistem biometrik untuk menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini di samping kosnya yang menelan belanja ratusan juta ringgit yang akan membebankan rakyat.

"Mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem.

"Maka tidak hairanlah SPR tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang PRU13; kerana mereka sendiri sedar ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan," kata kenyataan itu.

Lebih penting lagi, menurut para pemimpin Pakatan berkenaan, adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana asasnya sudah salah – iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah.

Jika kad pengenalan sahaja menjadi asas, ia akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam PRU13.

Justeru, para pemimpin Pakatan tersebut mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu kerana sudah ada penyelesaian yang lebih baik melalui penggunaan dakwat kekal yang lebih mudah, murah dan berkesan.

"Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderungan pengundi keluar mengundi," kata mereka.

Menurut kenyataan itu juga, sistem biometrik bakal menghapuskan proses timbang tara (melalui penyertaan ejen mengundi/polling agent dan ejen pengiraan/counting agent dalam proses membuang undi) sedia ada.

Apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi, tambah kenyataan itu.

"Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

"Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui Bersih 2.0," kata para pemimpin Pakatan berkenaan.

Dengan itu, mereka mendesak SPR supaya kembali kepada 8 tuntutan yang disuarakan melalui Bersih 2.0 terutamanya penggunaan dakwat kekal kerana langkah itu adalah berkesan, murah, serta memberdayakan peranan parti-parti politik dan digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Sistem pilihan raya di negara ini memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan kemarahan rakyat. – Roketkini.com

NSTP selesaikan saman fitnah Lim 'luar mahkmah'

Posted: 26 Jul 2011 10:00 PM PDT

Hafiz Yatim

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini bersetuju membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan New Straits Times Press (M) Bhd berhubung saman fitnahnya yang mendakwa akhbar itu salah memetiknya pada pilihan raya kecil Galas yang lalu.

Bagaimanapun jumlah pampasan yang dipersetujui tidak dinyatakan.

Perkara itu didedahkan oleh peguam Lim, Sangeet Kaur setelah perjumpaan dengan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.


"Pihak-pihak berkenaan diminta hadir semula pada 17 Ogos bagi merakamkan kenyataan dan syarat-syarat yang dipersetujui," kata hakim.

"Berikutan kenyataan yang dirakamkan itu nanti, saman berkenaan akan ditarik balik."

NSTP diwakili oleh peguam Liew Teck Huat.

Lim pada November tahun lalu menfailkan saman fitnah terhadap NSTP kerana mendakwa ia menyiarkan artikel berunsur fitnah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di akhbar Berita Harian, pada 2 November lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim berkata NSTP telah secara salah dan berniat jahat menyiarkan artikel bertajuk "Tindakan Kit Siang tuduh Umno kafir melampau" yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah dicetak dan disiarkan di akhbar Berita Harian.

Menurutnya, artikel itu antara lain melaporkan bahawa beliau telah berucap di satu ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di Kelantan, di mana beliau telah menuduh orang Melayu Umno kafir.

Katanya artikel itu membawa maksud beliau adalah seorang ahli politik yang berniat jahat untuk mewujudkan perasaan saling benci-membenci di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Lim berkata penyiaran perkataan-perkataan fitnah itu, telah merendahkan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik serta penghinaan awam, dan sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos.

Malah kata Lim, beliau langsung tidak hadir pada cermah di Kampung Baru Hulu di kawasan Galas yang juga dihadiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

Wahabi: Mufti Perlis anggap fitnah liar, tuntut penjelasan segera Putrajaya

Posted: 26 Jul 2011 09:44 PM PDT

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 27 Julai — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, yang didakwa turut dinamakan sebagai antara personaliti perlu dipantau berhubung isu Wahabi, mahu pihak berkuasa memberi penjelasan mengenai polemik terbaru itu dengan "segera."

"Saya minta penjelasan segera... agar pihak berkuasa dapat memberikan penjelasan dengan kadar yang segera mengenai isu terbaru ini," kata Juanda ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Mengenai tempoh segera yang dimaksukan, Juanda berkata, "secepat yang mungkin."

"Saya mengharapkan satu penjelasan segera sebab ini membabitkan fitnah yang amat liar," kata beliau ketika ditanya bahawa nama beliau turut dilaporkan, antara yang disenaraikan sebagai personaliti diminta agar dipantau berhubung isu amalan Wahabi dan dipercayai boleh menjurus kepada pemikiran radikal dan aktiviti terorisme.

Selain Juanda, turut dinamakan ialah bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan sekitar 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Kata Juanda, beliau sudah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai perkembangan terbaru, tetapi belum ada maklumat terbaru.

Kata beliau, penjelasan pihak berkuasa sangat penting memandangkan isu terbaru ini turut dikaitkan dengan pembabitan beberapa negara.

Tanpa menamakan negara-negara yang dimaksudkan, kata Juanda, "pihak berkuasa tidak harus membisu... sebab apa yang dikatakan boleh menjejaskan hubungan diplomatik (Malaysia) dengan negara-negara terbabit."

"Keadilan itu adalah universal, kita kena berlaku adil kepada semua manusia," kata beliau.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada empat pemimpin politik dan agama dinamakan dalam senarai "dikehendaki" dalam isu fahaman Wahabi awal tahun lalu.

MKN dalam satu mesyuaratnya kelmarin dikatakan telah meminta agensi-agensi agama negeri dan para mufti memantau perkembangan amalan Wahabi.

Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberitahu The Malaysian Insider isu amalan Wahabi semakin serius dan rumit sejak sejak setahun lalu.

Selain Juanda, turut dinamakan tahun lalu lalu ialah bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Isu fahaman Wahabi juga dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin dari Perlis, tetapi ia telah berulang kali dinafikan oleh Asri dan Shahidan sendiri.

Dalam komennya, Shahidan juga berkata MKN sepatutnya sensitif mengenai hubungan baik kerajaan Malaysia dan Arab Saudi apabila menyentuh isu-isu seperti Wahabi.

"Berdasarkan laporan media, saya mendapati nama Saudi ada disebut. Jadi, saya fikir MKN sepatutnya sensitif... kita mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Saudi, tidak dengan begitu mudah membuat penilaian sedemikian (berkaitan isu Wahabi)," kata Shahidan lagi dengan merujuk kepada sokongan dan bantuan yang diberikan oleh Arab Saudi semasa memindahkan rakyat Malaysia dari Mesir melalui Jeddah.

"Kerajaan negeri Saudi telah menyediakan kemudahan, tanpa bayaran dan pesawat secara percuma... mengapa tidak ambil kira perkara ini, kita kena sensitif apabila membincangkan isu-isu seperti ini," kata beliau lagi.

Isu Wahabi muncul sekali lagi April lalu ekoran kehadiran Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais dan didakwa beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini.

Dalam kenyataannya 27 April lalu, Juanda telah menafikan perkara tersebut.

Kata Juanda ketika itu, kenyataan bahawa Sheikh Abdul Rahman telah menggunakan platform jemputan kerajaan untuk menyebarkan amalan Wahabi di Malaysia adalah "satu fitnah."

Malah kata beliau, pandangan seorang pegawai kanan Jakim, walaupun bersifat mengesyaki, tetapi ia menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan di kalangan umat Islam memandangkan Sheikh Abdul Rahman mengimamkan solat di Masjid Wilayah Persekutuan dan di Masjidil Haram di Arab Saudi yang turut dihadiri jemaah haji.

"Ia kenyataan keterlaluan," kata beliau.

Video: Wacana Bertajuk Apa Selepas 9 Julai?

Posted: 26 Jul 2011 06:18 PM PDT





















Ulama' Muda UMNO : Sudah Jatuh ditimpa Tangga

Posted: 26 Jul 2011 04:34 PM PDT

1. Saya masih ingat, antara maklumat yang diterima ramai orang dan bertiup pula ke serata ruang tatkala mengiringi kemasukan 40 ulama' muda ke dalam UMNO baru - baru ini ialah kerana mahu mengelak dari dilabel sebagai pengganas atau terroris. Kebetulan, pada masa itu terdapat usaha dari beberapa pihak yang giat menyerang fahaman wahabi dan lebih nekad mengaitkannya dengan kumpulan pengganas.

2. Antara yang dipalit dan diseret ke kancah wahabi dan pengganas ialah Dr. Mohd Asri Zainal Abidin mantan Mufti Perlis. Namun alhamdulillah, Dr. Mohd Asri tidak mudah terpedaya dan tidak mudah mengantuk biarpun telah dihulurkan bantal empuk buat beliau.

3. Buat beberapa purnama, isu pengganas ini reda, demikian juga isu wahabi surut seketika. Sementara itulah, ulama' Muda UMNO giat menyerang usaha yang dilakukan oleh PAS terutama dalam beberapa isu seperti isu Majlis Fesyen Islam yang dinaungi oleh Rosmah Mansur di Monte Carlo. Ketika DPP Malaysia membantah, ulama' Muda UMNO tampil mempersoalkan tindak DPP Malaysia ketika itu tanpa pula mempersoalkan penganjuran majlis tersebut.

4. Terbaru isu Himpunan BERSIH 2.0 yang menyaksikan beberapa tokoh Ulama' Muda UMNO ini gigih mempertahankan kerajaan dan sekaligus menempelak penganjuran himpunan BERSIH 2.0 sebagai bertentangan dengan syariat Islam dan manhaj salafus soleh.

5. Tidak semena - mena, setelah Ulama' Muda UMNO mengerah segala keringat, ilmu dan masa untuk mempertahankan kerajaan dan memburukkan BERSIH 2.0 , kini mereka pula disenaraikan sebagai wahabi dan lebih malang dikaitkan pula sebagai pengganas.

6. Ternyata usaha Ulama' Muda UMNO tidak langsung dihargai, kedudukan mereka kini seperti habis madu sepah dibuang merata - rata. Saya tidak pasti apakah benar matlamat mereka menyertai UMNO adalah untuk menyelamatkan diri mereka dari terus dilabel sebagai wahabi dan pengganas atau tidak.

7. Andai benarlah bagai dikata, saya sungguh bersimpati dengan nasib 40 Ulama Muda UMNO , sudahlah mereka jatuh terperosok dalam perangkap UMNO kini mereka pula tertimpa tangga yang mereka panjat sendiri untuk mencari ruang selesa dalam UMNO, parti yang mereka sangka mampu menyelamatkan kedudukan mereka pada waktu itu.

8. Andai maklumat umum yang saya terima itu tiada kebenarannya, maka atas dasar dan asas apa sekalipun 40 Ulama' Muda yang menyertai UMNO tempohari, setelah dipuja dan dijulang sebagai pembawa rahmat dan manisan buat UMNO, kini usaha mereka dibalas racun berbisa apabila mereka terus dilabel sebagai Wahabi dan pengganas. Kelihatan Pergerakkan Pemuda UMNO pun tidak mempertahankan Ulama' Muda UMNO tersebut biarpun dalam masa yang sama mereka membela Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Apakah Pemuda UMNO merasakan Ulama' Muda UMNO ini menjadi saingan mereka lalu membiarkan mereka dipalit label pengganas ? wallahua'lam bissowab.

9. Saya mengenali sebahagian dari tokoh Ulama' Muda UMNO tersebut. Tidak tergambar pada fikiran saya dengan raut wajah dan susuk tubuh yang dimiliki, mereka boleh tersenarai sebagai pengganas. Tapi apa boleh buat, kini usaha memerangi fahaman wahabi dan mengaitkannya dengan pengganas telah berjaya mempengaruhi pihak kerajaan. Sebagaimana Ulama' Muda UMNO itu begitu tega menuduh BERSIH 2.0 dengan pelbagai label maka kini kerajaan tidak sedikitpun menunjuk wajah simpati kepada mereka dengan melabelkan mereka pula sebagai ppengganas.

10. Sementara kerajaan UMNO dan BN ini pula memang terkenal mudah melabel satu - satu pihak dengan label yang bukan - bukan sesuka hati mereka. Terbaru lebih 60 Ngo yang bergabung membentuk sebuah kempen dikenali sebagai BERSIH 2.0 telah dilabel sebagai komunis dan mendapat pembiayaan dari kuasa asing. Kini saya termenung dianjung musolla sambil mengenang isu ini dan hati saya berdetik, kalaulah 40 Ulama' Muda itu menyertai PAS lalu berganding memperjuangkan Islam, membasmi kejahilan, menentang kezaliman, membenteras kemungkaran dan menegakkan syariat, alangkah manis dan indahnya. Berbaloi digelar "pengganas" oleh kerajaan UMNO dan BN kerana menentang mereka.

Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: