Isnin, 4 Julai 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kenyataan Rasmi KFC Berhubung Video Ayam KFC Perisa Tapak Kasut

Posted: 04 Jul 2011 06:30 AM PDT

Kenyataan Rasmi dari KFC
by Kfc Malaysia on Monday, July 4, 2011 at 7:00pm

Pada bulan Oktober tahun lalu, KFC Malaysia telah dihubungi oleh seorang individu yang telah mengemukakan satu salinan klip video yang menayangkan seseorang telah merosakkan hidangan ketika proses penyediaan makanan tersebut. Kami berpendapat bahawa perbuatan menerbitkan klip video itu sebagai berniat jahat dan merupakan serangan terang-terangan terhadap organisasi kami. Kami telah mengambil tindakan segera dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Pada 25 Jun baru-baru ini, kami telah mendapati klip video tersebut telah dimuat turun di halaman YouTube.

Pihak kami ingin menegaskan kepada para pelanggan dan orang ramai bahawa kejadian ini merupakan kes terpencil dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Sejak Oktober 2010, pihak kami telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan kejadian-kejadian seperti itu berlaku lagi termasuklah dengan memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di bahagian dapur restoran-restoran KFC.

KFC akan sentiasa mengekalkan standard kebersihan dan kualiti yang tertinggi dalam semua aspek bisnes kami. Sama ada di Malaysia ataupun di seluruh dunia, anggota-anggota pekerja kami amat berdedikasi untuk terus menyediakan perkhidmatan terbaik, berkualiti dan makanan yang selamat. Kami memandang serius di atas kejadian yang telah berlaku ini. Pihak kami akan sentiasa mengemaskini semula proses-proses pengambilan dan latihan untuk meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada semua pelanggan kami. Pasukan kami yang terdiri daripada 9,700 orang chef dan anggota pekerja lain di seluruh Malaysia akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti seperti yang telah diketahui selama ini.

Bagi pihak KFC Malaysia, pihak kami ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas sokongan anda semua.

Pengarah Urusan
KFC Holdings (Malaysia) Bhd


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Ulasan Isu: Untuk pilihan raya bebas, adil dan bersih

Posted: 04 Jul 2011 04:26 AM PDT

Komentar Roketkini

4 JULAI – Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dalam perkembangan politik semasa amat penting bagi memastikan keadilan, keharmonian dan kestabilan negara.

Sebagaimana yang dititahkan oleh Seri Paduka berhubung cadangan perhimpunan aman Bersih 2.0 untuk menuntut pilihan raya bebas, adil dan bersih, ia memberi gambaran pandangan jauh dari kaca mata seorang Ketua Negara.

"Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat," titah Baginda dalam satu kenyataan.

Seri Paduka sedar hasrat hati rakyat yang mahu melihat negara ini mengamalkan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih selaras dengan jaminan-jaminan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Bersih 2.0 telah mengemukakan tuntutan:

1. Bersihkan senarai undi

- Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan 'pengundi hantu' seperti orang yang telah meninggal dunia.

- Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos

- Semua pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

- Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

- Undi pos mesti dijalankan dengan telus; ejen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

- Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minimum 21 hari

- Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

- Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihan raya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

- RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan dengan wang rakyat. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

- Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

- Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam

- Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.

Contohnya:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil;
Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak;
Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat;
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa;
Polis Diraja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

- Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin. Pembelian undi harus dihentikan. Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama.

8. Hentikan politik kotor

- Semua parti politik mesti menghentikan politik kotor.



Siapa timbulkan kekacauan?

Menyedari hal ini, Yang di-Pertuang Agong menyeru semua pihak supaya menyuburkan demokrasi dalam negara dengan memastikan bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Sememangnya Baginda sedar bagaimana tunjuk perasaan yang ganas di negara-negara luar telah menimbulkan pelbagai masalah dalam sesebuah negara itu sehingga kestabilan tergugat.

Di Malaysia pula, rakyat mahu mengadakan perhimpunan secara aman, sebaliknya kerajaan Barisan Nasional khususnya UMNO dan lidah rasminya Utusan Malaysia telah menimbulkan pelbagai kekacauan untuk membangkitkan keadaan huru-hara di negara ini.

Dengan menyekat hak dan menangkap rakyat semata-mata kerana memakai t-shirt kuning, tindakan kerajaan BN telah menampakkan betapa bencinya mereka kepada kebebasan dan hak asasi rakyat mengikut lunas-lunas Perlembagaan.

Dengan itu, Seri Paduka telah menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

"Yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri atau pun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun," titah Baginda.

Seri Paduka mengemukakan jalan keluar kepada permasalahan yang ditumbulkan oleh kerajaan BN, iaitu dengan pihak kerajaan mengadakan rundingan bersama penganjur-penganjur Bersih 2.0.

Najib perlu hentikan tindakan zalim

Sehubungan dengan itu, Datuk Seri Najib perlu menghentikan tindakan-tindakan ganas dan tidak bertamadun yang telah memburukkan imej negara di mata dunia kerana telah membiarkan demonstrasi liar anti-Bersih yang diadakan oleh penyokong-penyokong UMNO dan Perkasa, serta tangkapan-tangkapan terhadap sesiapa yang memakai baju kuning.

"Hakikatnya, demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik," titah Yang di-Pertuan Agong.

Memang demonstrasi jalanan yang ganas seperti yang dilakukan oleh penyokong UMNO dan Perkasa di Pulau Pinang pada Jumaat lalu mebawa keburukan.

Apa yang Bersih 2.0 mahu adalah perhimpunan secara aman, selaras dengan semangat Allahyarham Dato' Onn menganjurkan perhimpunan aman menentang Malayan Union kira-kira 65 tahun lalu.

"Sebaliknya, kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

"Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara," titah Seri Paduka lagi.

Sememangnya rakyat prihatin akur dengan titah Agong dan mahu menyelesaikan masalah melalui rundingan.

Tetapi selama ini perbincangan, sama ada dengan SPR atau mana-mana pihak kerajaan, untuk mengadakan pilihan raya bebas, adil dan bersih seperti "mencurah air di daun keladi".

Isu yang berbangkit hari ini bukan sekadar perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini. Perhimpunan aman itu hanya bertujuan menyampaikan niat dan hasrat rakyat.

Niat dan hasrat itu ialah supaya kerajaan yang dipilih oleh rakyat menghormati pandangan rakyat yang mahu amalan pilihan raya di Malaysia diadakan secara bebas, adil dan bersih. Ia boleh bermula dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Hak berhimpun secara aman dijamin Perlembagaan

Rundingan tidak pula bererti menggadaikan hak-hak semua pihak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Perhimpunan aman Bersih 2.0 masih boleh diadakan selagi ia mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Najib sendiri telah menjayakan Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya baru-baru ini yang dihadiri oleh beberapa puluh ribu rakyat dalam keadaan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenangnya terlebih menggunakan kuasa kerana pangkat dan kuasa mereka adalah amanah rakyat.Yang penting, perhimpunan aman mesti kekal sebagai perhimpunan aman.

Jika rundingan dapat memastikan pilihan raya akan datang dilaksanakan secara bebas, adil dan saksama, maka ia adalah harapan semua rakyat prihatin.

Kerajaan BN yang ditunjangi UMNO perlu akur dengan titah Agong supaya tidak "mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang" sebaliknya berbuat kebaikan untuk memastikan harapan Najib untuk "mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian" berjaya.

Dengan menangkap rakyat yang tidak bersalah dan mengugut serta mengancam rakyat yang mahu kepada piliahn raya yang adil dan bersih tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

Akur lah dengan titah Yang di-Pertuan Agong; bebaskan mereka yang telah ditahan dan gugurkan tuduhan-tuduhan terhadap mereka.

Runding lah dengan cara yang terhormat dan bertamadun. Cari jalan untuk tunaikan lapan tuntutan Bersih 2.0 yang bakal menjamin kebersihan, keadilan dan kesaksamaan dalam proses pilihan raya di Malaysia. – Roketkini.com

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Kenyataan Media Presiden PAS Berhubung Titah Titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Posted: 04 Jul 2011 12:19 AM PDT

Menjunjung Kasih Titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

Parti Islam SeMalaysia (PAS) menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 Julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman Bersih 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keperihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.

Titah Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.

Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan Bersih 2.0 dan rakan parti politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini. Kesan dari salah faham ini telah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi oleh pihak berkuasa.

PAS percaya bahawa asas penyebab bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini. Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana. Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihan raya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihan raya umum diadakan. Sejak sekian lama ini, kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.



Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

4 Julai 2011 / 2 Syaaban 1432 H

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Terkini! Serangan Hendap Husam Kepada Kickdefella!

Posted: 04 Jul 2011 12:05 AM PDT

Artikel yang dikeluarkan oleh Yb Husam Musa

Kickdefella & Perdana Menteri Satu Kategori


Kickdefella dan Perdana Menteri adalah dalam satu kategori, apabila sudah berbohong, menuduh orang lain pula berbohong.

Disini disertakan attachment (klik sini) cabutan Hak-milik Tanah Tapak Stesen Kereta Sewa Pasir Puteh yang dimiliki Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) yang didakwa telah dijual kepada Syarikat Swasta bukan Melayu oleh Perdana Menteri dalam satu program di Pasir Putih ketika Lawatan Kerja Sehari Perdana Menteri di Kelantan.

Tidak seperti yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri kepada orang ramai di Pasir Putih, dengan bukti hitam putih, terbukti tuan-punya yang sah kepada tanah tersebut, masih lagi milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) seperti yang direkod.

Tidak ada siapa-siapa yang boleh menutup Bohong dengan Berbohong.


https://lh6.googleusercontent.com/-BgNUBtfj1lo/ThFcdS9LdoI/AAAAAAAAVJ8/4rS8XpYubdo/s800/photo.JPG

Serang balas oleh blog Kickdefella


Husam Itu Pembohong


YB Husam Musa sudah menjawab isu tanah tapak stesen Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pasir Puteh. Kononnya Husam menyalahkan pemberi maklumat kepada PM.

Penyokong PAS yang mulanya senyap sunyi terus melompat-lompat setelah mendengar jawapan Husam. Husam sebenarnya berbohong. Dia adalah pembohong. Macammana hendak dipercayai kata-kata Husam.

Saya tidak akan siarkan kenyataan seorang pembohong di dalam posting saya. Jika anda mahu membacanya sila ke ruang komen dalam posting sebelumnya.

Seorang pembohong tidak boleh diterima pakai kata-katanya. Dia akan membelit-belitkan fakta untuk menyelamatkan keadaan dan sekala kata-katanya penuh inuendo.

Kata-kata Husam tidak boleh diterima sehingga dia berani menyaman saya diatas segala apa yang saya kata tentangnya. Husam takut kerana dia tidak mahu segala-gala terbongkar.

Dia takut untuk berkata benar kerana bila dia berkata benar maka bocorlah segala pembohongannya selama ini. Husam tidak akan berkata benar terutama di dalam soal wang dan tabiatnya terhadap perempuan.

Husam sila saman saya kalau anda bukan pembohong.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Bersih mahu menghadap Agong, sedia batalkan himpunan Sabtu ini

Posted: 04 Jul 2011 12:00 AM PDT

Oleh Clara Chooi


PETALING JAYA, 4 Julai — Dilihat sebagai perkembangan mengejutkan, Bersih 2.0 akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong sambil berkata gabungan itu berhasrat untuk menghadap baginda sebelum Sabtu ini dan bersedia membatalkan perhimpunan jika diminta berbuat demikian.

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan yang baru sahaja balik daripada mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pagi ini mengumumkan pendirian itu pada sidang media di sini tengah hari ini.

Ambiga berkata keputusan itu dibuat pada satu mesyuarat yang diadakan malam tadi ekoran titah Yang di-Pertuan Agong.

"Bersih 2.0 menjunjung penghargaan yang tinggi ke atas Yang di-Pertuan Agong atas sokongan baginda berhubung aspirasi melakukan pembaharuan sistem pilihan raya.

"Bersih 2.0 akan akur dengan nasihat baginda agar diadakan perundingan, ke arah mencapai konsensus berhubung pembaharuan sistem pilihan raya dan pembangunan demokrasi di Malaysia," kata beliau dengan membacakan kenyataannya di sini hari ini.

Ambiga menambah Bersih 2.0 akan menulis kepada Istana Negara hari ini untuk meminta perkenan diadakan satu pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau enggan menyatakan apabila ditanya sama ada perhimpunan itu secara rasmi telah dibatalkan memandangkan baginda menekankan bahawa demonstrasi jalanan akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Sebaliknya kata Ambiga, satu pengumuman rasmi akan dibuat sebaik sahaja pertemuan itu menjadi kenyataan.

Apabila ditanya sama ada pihaknya akan membatalkan perhimpunan atas permintaan baginda kelak, Ambiga berkata: "Ya."

Semalam, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan "yang pentingnya."

"Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik," titah baginda dalam satu kenyataan.

Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.

"Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora," titah baginda.

"Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara," titah baginda lagi.

Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Sehingga kini lebih 150 orang yang dikaikan dengan Himpunan Bersih 2.0 telah ditahan.

Tuanku Mizan berkata baginda sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Bersih 2.0, mampukah tekanan hentikan semangat rakyat?

Posted: 03 Jul 2011 11:00 PM PDT

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan kerajaan telah mengemukakan pandangannya berhubung himpunan aman anjuran Bersih 2.0 sebagai himpunan yang selari dengan Perlembagaan Negara.Sementara polis kini sedang sibuk menyekat, menahan dan mencari siapa sahaja yang memakai, memiliki dan menjual baju 'kuning' Bersih 2.0, selain mula menyiasat beberapa pimpinan utama pembangkang berhubung kes Bersih 2.0.

Himpunan aman 9 Julai, pastinya suatu yang 'besar' kepada Umno-BN yang dilihat semakin resah dan gelisah dengan perkembangan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

Tekanan demi tekanan dilakukan, ugutan demi ugutan disuarakan oleh pemimpin Umno-BN, penguasa dan pihak yang berkepentingan.Semuanya menyuarakan kononnya himpunan ini akan memudharatkan negara, mencalar imej negara.

Kempen menghentikan Bersih 2.0 kini masuk ke fasa memberi gambaran kononnya Bersih juga diselubungi anasir fahaman komunisme.

Tertera muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Komunis Resapi Bersih' dengan memberi gambaran kepada orang Melayu agar tidak menyertai himpunan Bersih.

Begitu hebat permainan media hari ini yang boleh sahaja membundar pemikiran rakyat agar terpesong semula dengan khurafat lama Umno-BN kononnya negara ini masih lagi dalam ancaman komunis.

Nampaknya, Umno-BN mula mengerahkan akhbar-akhbar yang mirip kepada mereka untuk menjahanamkan harapan sebilangan besar rakyat Malaysia untuk menuntut perubahan dalam sistem dan perjalanan pilihan raya.

Mana tidaknya, Umno-BN sebenarnya bimbang dengan sikap rakyat hari ini yang sudah mula bosan dengan 'janji palsu' Umno-BN selepas masih diberi kepercayaan untuk berkuasa lebih 50 tahun menjadi kerajaan di Malaysia.

Walaupun biasanya dalam usia sebegini sesebuah parti akan mula jatuh, namun Umno-BN masih tidak mahu mempercayai realiti bahawa parti pemerintah mula melakukan kesilapan yang besar dengan menggunakan kuasa sewenangnya untuk mempertahankan kekuasaan.

Polis, Suruhanjaya Pilihan Raya, agensi awam dan media kini semaksimanya digunakan bagi menyekat suara rakyat, dengan momokan bahawa Bersih mempunyai agenda jahat.

Walhal jika diteliti lapan tuntutan Bersih tidak satupun boleh menggugat keselamatan mahupun ketenteraman awam, malah jauh daripada idealisme komunis seperti yang dipropagandakan kini.

Lapan tuntutan Bersih antaranya;supaya pihak SPR membersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh berkempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Ramai yang melihat, tuntutan ini wajar dan SPR mahupun kerajaan memerintah tidak perlu 'gentar' kerana ianya juga akan menguntungkan Umno-BN jika suatu hari nanti mereka bergelar 'pembangkang'. Di kedia kopi, di dalam bas, di pejabat malah di surau sekalipun, rakyat terus membincangkan himpunan Bersih 2.0. Ada suara sumbang yang menolak.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Patik Junjung Titah Tuanku!

Posted: 03 Jul 2011 10:30 PM PDT

Abu Nabil

Patik adalah rakyat negeri Terengganu Darul Iman, negeri asal Tuanku juga. Patik sangat prihatin tentang suasana politik negara ini sebagaimana Tuanku juga. Patik sangat menjunjung titah khas Tuanku sempena cadangan BERSIH mengadakan himpunan aman 9 Julai nanti. Keprihatinan Tuanku sehingga mengeluarkan titah khas ini membuktikan bahawa Tuanku sangat sayangkan rakyat dan negara ini dan mahukan negara ini aman sentosa. Dan itulah juga hasrat patik dan rakyat yang mahu mengadakan himpunan aman ini bagi menyerahkan memorandum kepada Tuanku.

Keamanan dan kesentosaan negara ini bergantung kepada perjalanan pemerintahan dan agensi kerajaan di dalamnya termasuklah SPR dan PDRM. Patik menjunjung titah Tuanku yang menyebut bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini. Namun setakat ini, patik dan rakyat sangat dukacita apabila kerajaan menafikan langsung hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan sengaja dilabelkan sebagai himpunan haram sedangkan ia dijamin oleh perlembagaan Malaysia sendiri dalam Perkara 10. Ia juga diakui oleh pihak NGO seperti Suhakam dan lain-lain pertubuhan.

Himpunan ini himpunan aman. Itulah yang ditekankan oleh penganjur BERSIH, termasuk kepimpinan PAS yang menyokongnya. Justru, patik dan rakyat tentunya menolak sebarang bentuk kekerasan dan provokasi dari mana-mana pihak. Demikian juga isu perkauman dan agama yang sengaja ditimbulkan sedangkan isu asalnya ialah pilihanraya yang adil dan bersih.

Patik menjunjung titah Tuanku tentang isu menyuburkan demokrasi. Atas nama menyuburkan demokrasi itulah maka himpunan aman anjuran BERSIH ini dibuat. Tuntutan BERSIH sebanyak 8 perkara itu yang berkait dengan proses perjalanan pilihanraya adalah bagi memastikan demokrasi subur dengan ertikata sebenar di Malaysia tercinta ini agar ia tidak dirosakkan oleh mereka yang berkepentingan peribadi sahaja tanpa mempedulikan hak rakyat dalam menentukan secara sah pemimpin mereka di peringkat tertinggi negara ini.

Patik juga menjunjung titah Tuanku yang mengingatkan supaya kita tidak menjadi seperti negara lain dalam menjaga keharmonian dan kestabilan. Kerana itulah patik merasakan pentingnya pihak berkuasa menyusun dan membantu proses perhimpunan ini agar dapat berlangsung dengan baik tanpa sebarang provokasi. Kalau ada pertandingan lumba basikal peringkat antarabangsa, perarakan sempena hari Kebangsaan dan lain-lain acara, pihak polis dapat menyusun perjalanan lalulintas dengan baik, maka mengapa tidak untuk himpunan aman ini agar ia berlangsung dengan baik dan aman tanpa sebarang perkara yang tidak baik? Inilah yang barangkali diingatkan oleh Tuanku dalam titah itu bagaimana agensi dan jabatan yang terlibat menangani isu ini.

Patik sangat-sangat menjunjung titah Tuanku yang mengungatkan agar kerajaan melaksanakan amanah yang diberikankepada rakyat secara adil dan bijaksana, serta penyelesaian mesti diselesai dengan cara rundingan. Justru, patik sangat kesal dengan pintu rundingan yang telah ditutup oleh pihak keselamatan sedangkan dengan pihak kominis seperti di Baling zaman dahulu pun boleh dibuat.

Patik memahami keprihatinan Tuanku ketika bertitah 'demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik' agar niat yang baik itu dapat dibuat juga dengan cara yang baik. Kerana itulah BERSIH mahukan agar penyerahan memorandum ini kepada Tuanku dapat berjalan dengan baik dengan sokongan daripada rakyat yang ramai. Rakyat tidak mahu merusuh. Rakyat tidak mahukan keburukan. Rakyat juga tidak mahu sistem pilihanraya diperalat oleh pemerintah berkuasa untuk kepentingan peribadi dengan mengenepikan hasrat sebenar rakyat. Patik yakin kalau pilihanraya adil berlaku, rakyat senang hati dengan segala keputusan termasuk pemerintah yang baharu yang lebih diyakini boleh memerintah Malaysia dengan lebih aman dan makmur.

Patik menjunjung titah Tuanku ini sambil sentiasa mendoakan kesejahteraan Tuanku sebagai payung buat rakyat mengadu hal mereka dan kesejahteraan negara ini dari mereka yang tidak sukakan keBERSIHan hati dan masyarakat, keamanan dan keadilan.


Abu Nabil,
Terengganu

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Bersih 2.0 berusaha menghadap Agung

Posted: 03 Jul 2011 10:11 PM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Jawatankuasa penganjur Bersih 2.0 sedang berusaha untuk menghadap Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum Sabtu ini sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perhimpunan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat Bersih 2.0, "Kami akan berkomunikasi dengan Yang Dipertuan Agung sebelum membuat keputusan akhir."

Pagi ini Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Srevanasan bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan situasi sekarang, kata satu kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Bersih melalui Twitter mereka.

Petang semalam Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengeluarkan titah agar diadakan rundingan antara pihak Bersih dan kerajaan.

Baginda juga mengarahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda seminggu menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Apa Polis Buat Dengan Ugutan Ini? Harap Ada Respon

Posted: 03 Jul 2011 10:08 PM PDT

Pemuda Umno: 'Kami tiada pilihan, Patriot menanti Bersih 2.0 datang'

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 4 Julai — Pemuda Umno akan "menanti" kedatangan Bersih 2.0 di depan Istana Negara atau mana-mana lokasi di ibu Negara jika gabungan itu meneruskan rancangan mahu mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini, kata penyelaras Himpunan Patriot anjuran pergerakan itu.

Lokman Noor Adam, yang juga ahli jawatankuasa Pemuda Umno menegaskan, pihaknya tiada jalan lain melainkan menghentikan perhimpunan-perhimpunan seperti itu mulai sekarang.

"Apa pilihan yang kami ada? Kami tiada pilihan kecuali menghentikan demonstrasi macam ini," kata beliau dalam satu pertemuan dengan The Malaysian Insider di sini kelmarin.

"Kita tidak mahu buat benda ini... sesuka hati (macam mereka), kita mahu akal menguasai emosi kita dengan baik... sungguhpun ramai yang beranggapan ini bukan cara terbaik untuk berhadapan dengan Bersih, tetapi sikap kepala batu dan degil Bersih, kita tiada pilihan kecuali hadapi mereka secara fizikal dan sampai bila rakyat mahu biarkan benda demonstrasi ini," kata Lokman sambil menambah sanggup mengorbankan nyawanya untuk berhadapan dengan Himpunan Bersih 2.0.

Katanya, walaupun tindakan mereka mengadakan perhimpunan balas tidak sah, pihaknya "sanggup melawan."

"Saya tahu (cara) tindakan Anwar, sebab saya bekas jeneral dia," katanya merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR.

Beberapa jam selepas pertemuan itu yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan "yang pentingnya."

"Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik," titah baginda dalam satu kenyataan.

Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.

"Kata nak hantar memorandum kepada Istana Negara... mengapa nak adakan perhimpunan... kami akan menanti kejadiran mereka, kalau berlaku pertempuran, (Pengerusi Bersih Datuk) Ambiga dan Anwar harus bertanggungjawab. Kita akan mempertahankan kedaulatan negara," kata Lokman.

Pertengahan bulan lalu, Pergerakan Pemuda memutuskan untuk mengadakan perhimpunan balas membantah Bersih 2.0 dengan menghantar memorandum kepada Istana Negara mempertahankan sistem pilihan raya semasa.

The Malaysian Insider difahamkan Pemuda Umno kemungkinan akan menghantar pada hari lain, bukannya pada Sabtu ini sebagaimana diumumkan sebelum ini.

Lokman berkata pihaknya ingin menyampaikan mesej "majoriti yang diam" bahawa mereka tidak suka dengan apa yang dilakukan oleh Bersih 2.0 dan "sekarang mahu menyuarakan" pendirian" mereka.

"Kita hendak menanti mereka... di mana-mana lokasi, kita nak memberitahu mereka, kita juga boleh menghantar (memorandum)... kami hendak menanti kehadiran mereka," kata beliau sambil menambah, tujuan Himpunan Bersih 2.0 bukan untuk menghantar memorandum tetapi mahu menggulingkan kerajaan.

"Himpunan Bersih berbeza daripada Patriot, berbeza kerana kami rakyat yang mencintai, Patriot mencintai keamanan dan akan membantah sebarang usaha untuk menggulingkan, sebarang usaha mengadakan demonstrasi," kata beliau.

"Partriot mahu menghentikan mereka, ya, kami mahu menghentikan mereka," kata Lokman,merupakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum menyertai kembali Umno.

Justeru kata beliau, sesiapa sahaja yang membantah Himpunan Bersih 2.0 digalakkan "memakai baju merah."

"Kami menawarkan kepada rakyat," kata beliau sambil menambah, kemeja-T sebagai simbol semua rakyat mencinta keamanan dan "hanya Patriot yang mempertahankan negara."

Meskipun Umno sebahagian daripada komponen Barisan Nasional (BN), tetapi keputusan mengadakan perhimpunan balas ini hanya diputuskan oleh Pergerakan Pemuda dan tidak melibatkan sayap muda perikatan itu.

"Ya, ini keputusan Pergerakan Pemuda, kami memutuskan untuk mengambil langkah ini," kata Lokman.

Baru-baru ini beberapa komponen kecuali MCA menyatakan sokongan kepada pendekatan Pemuda Umno.

Justeru kata Lokman, mereka tidak kecewa dengan pendirian MCA itu.

"Tidak, kami tidak kecewa," katanya sambil menambah, masing-masing ada cara untuk melahirkan pendirian tidak puas hati dengan Himpunan Bersih 2.0.

"Kami mahu melahirkan pendirian untuk mengatakan bagaimana majoriti fikir mengenai perhimpunan haram ini," katanya lagi.

"Kami hendak memberitahu bahawa bagi Bersih 2.0 untuk membuat sesuka hati sudah tamat, kami tidak akan duduk diam dan lihat lagi," kata beliau merujuk kepada siri demonstrasi diadakan pihak pembangkang.

Lokman yakin Himpunan Bersih 2.0 tiada kekuatan sebagaimana didakwa oleh penganjurnya boleh mengumpulkan lebih 100,000 orang, dua kali ganda berbanding Himpunan Bersih 2007.

Sambil berkata pihaknya tidak perlu menggerakkan ahli-ahli dan penyokongnya dari seluruh negara, kata Lokman, berdasarkan maklumat yang diterima, penganjur hanya mengambil sekitar 15,000 daripada 50,000 kemeja-T yang telah ditempah.

"Saya tahu kekuatan mereka (Himpunan Bersih). Cukup bagi kami menghumpulkan ahli kami dari Lembah Klang sahaja," katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Najib: Kami sedia benarkan Himpunan Bersih di stadium

Posted: 03 Jul 2011 10:05 PM PDT

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersedia untuk membenarkan Himpunan Bersih 2.0 jika ia diadakan di stadium.

"Ini satu peringatan sebelum terlambat. Jika mereka mahu menyerahkan memorandum dan sebagainya, mereka boleh menunjukkan dengan cara demokrasi dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Kami bersedia menyediakan mereka satu stadium bagi mereka untuk berhimpun tetapi mereka pilih jalan untuk protes. Kerajaan tidak menentang mereka berhimpun di stadium dari pagi sehingga malam. Jangan buat protes jalan kerana ia berisiko kepada negara," kata beliau.

"Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan... mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

"Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara," katanya dipetik Bernama Online.

Najib berkata jika matlamat perhimpunan haram itu adalah untuk memperbetulkan sistem pilihan raya di negara ini, kenapa Barisan Nasional (BN) tewas di lima buah negeri pada pilihan raya umum 2008.

Perdana Menteri menjelaskan keadaan itu menunjukkan bahawa sistem pilihan raya yang diadakan di negara ini adalah bebas dan adil.

Malah, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sanggup mengkaji dengan melakukan penambahbaikan, termasuk akan memperkenalkan sistem biometrik bagi memastikan sistem pilihan raya di negara ini, berjalan dengan adil.

"Tetapi yang anehnya bila dah menang... sunyi sepi, tiada cerita pengundi hantu. Tiba-tiba bila rasa dah dekat, timbul balik. Ini jenis hantu, ada masa timbul, ada masa dia hilang," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Najib mengingatkan rakyat supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh merosakkan atau menghancurkan apa yang dibina dan dibangunkan selama ini.

Perdana Menteri berkata rancangan mengadakan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan oleh pihak berkepentingan pada 9 Julai ini, bukannya cara yang baik dalam mencari penyelesaian.

"Ini semua (perhimpunan haram) sebenarnya bukan tujuannya untuk memperbetulkan sangat sistem yang ada tetapi bermotifkan politik untuk mendapatkan kuasa melalui cara yang tidak demokratik.

"Melalui demonstrasi jalanan... dan jika berlaku, banyak orang akan tumpang semangkuk. Tidak ada jaminan bahawa segala-galanya boleh berlaku dengan aman.

"Kalau ada orang suka kepada rusuhan dan kekacauan, dia akan tumpang sekaki dan akan berlaku keadaan yang kita hendak elakkan," katanya

Najib berkata sebenarnya ada pendekatan lain untuk menangani sesuatu isu itu dan jangan melakukannya kerana dipengaruhi oleh emosi.

Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya mendengar nasihat daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang bimbang bahawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan dengan mengadakan perhimpunan haram itu.

"Saya harap, kita beringat dan sedar bahawa tanggungjawab kita menjaga masa depan negara... jaga masa depan anak-anak dan kelangsungan Malaysia, negara kita yang tercinta," katanya.

Najib berkata sejak merdeka, Malaysia telah membangun menjadi sebuah negara berjaya berasaskan kepada lima sendi atau prinsip iaitu keharmonian hubungan kaum, kestabilan politik, mengamalkan sistem pasaran terbuka, meletakkan perlembagaan dan undang-undang negara di tempat yang tertinggi serta memperkenalkan dasar-dasar yang pasti dilaksanakan.

Lawak!

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Lawan perlembagaan bererti menentang Agong – Aziz Bari

Posted: 03 Jul 2011 09:30 PM PDT

Oleh: Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, kerajaan boleh didakwa menentang Yang Dipertuan Agong, sekiranya gagal melaksanakan perlembagaan yang antara lain menjamin pilihan raya bebas dan kebebasan berhimpun.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah khas Tuanku Mizan Zainal Abidin, berhubung perhimpunan aman Bersih, malam tadi.

"Kerajaan tidak boleh gunakan titah ini untuk kepentingan mereka. Begitu juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kalau mereka gagal lakukan apa yang dikehendaki perlembagaan, mereka boleh dituduh menentang Agong," Ujar Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu.

Menurut Aziz, Titah baginda yang menyeru kedua pihak berunding untuk mencari jalan penyelesaian perlu difahami dalam konteks yang terkandung dalam perlembagaan.

"Agong tidak menggelar himpunan Bersih haram, baginda cuma titah demo tidak semestinya cara terbaik.

"Dan saya fikir baginda juga mengingatkan kerajaan," Ujarnya dalam kenyataan khas kepada Keadilandaily.com.

Menurutnya, rakyat perlu akur bahawa baginda bertitah sebagai ketua negara dan dalam peranan itu, baginda tidak boleh menunjukkan sikap emosional.

"Mungkin ada bahagian titah itu yang kita tidak selesa tetapi kita harus letakkan diri kita di tempat baginda supaya faham kedudukan dan sensitiviti yang baginda perlu ambilkira.

"Perlu disedari apa yang dituntut bukan kepentingan Bersih tetapi kehendak dan semangat perlembagaan," ujarnya lagi.

Ketika ditanya kemungkinan berlakunya darurat, ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyerahkan hal itu kepada polis minggu lalu, Aziz yakin perkara itu tidak akan berlaku.

"Darurat diisytihar oleh Agong selalunya atas nasihat kerajaan tetapi dalam senario sekarang, saya tak fikir kerajaan berani menasihatkan Agong isytihar darurat.

"Saya fikir ini peluang untuk Bersih mendesak tahanan dibebaskan serta merta. Begitu juga rampasan yang dibuat. Jika polis enggan mereka bukan sahaja melanggar perlembagaan malah engkar titah Agong," kata merujuk enam individu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.

Kata Aziz, tindakan polis yang sewenangnya menangkap mereka, tidak selaras dengan kehendak perlembagaan.

"Alasan yang mereka berikan tidak masuk akal. Mereka kata mereka ikut undang-undang. Soalnya apakah semangat dan tujuan asal undang-undang itu mereka pertimbangkan?

"Ramai yang terpinga-pinga dengan penggunaan ordinan darurat, tuduhan komunis dan lain lain.

"Apalagi tahun lalu Hishamuddin sendiri mengatakan yang Malaysia tidak lagi berada dalam keadaan darurat.

"Pendeknya menteri dan polis tidak konsisten dalam hujah dan tindakan mereka," katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Titah Agung: PAS mesyuarat khas tengahari ini

Posted: 03 Jul 2011 09:00 PM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Lajnah Politik PAS iaitu lajnah atau biro paling berkuasa dalam PAS akan mengadakan mesyuarat khas tengahari ini bagi membincangkan titah Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dikeluarkan lewat petang semalam.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, beliau telah berbincang dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebaik sahaja mengetahui titah itu lewat petang semalam.

Datuk Mustafa pula difahamkan telah menemui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang malam tadi bagi membincangkan isu yang sama di samping lain-lain hal parti.

Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda enam hari menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

"Saya rasa sidang media akan diadakan selepas itu bagi menyatakan pendirian PAS berkaitan dengan isu ini," kata Salahudin kepada Harakahdaily.

Mesyuarat akan diadakan jam 11 pagi manakala sidang media dijangka akan diadakan kira-kira jam 12.30 tengahari.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Taat pertintah Agung dengan PM temui Bersih - DAP

Posted: 03 Jul 2011 08:50 PM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Julai: DAP menyambut baik keperihatinan Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin tentang perhimpunan Bersih dan meminta Perdana Menteri agar bertemu segera dengan penganjur Bersih 2.0.

Pertemuan ini perlu untuk menguruskan segera keprihatinan rakyat untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil menjelang pilihan raya umum ke 13.

Langkah seterusnya adalah dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein menarik balik pengharaman Bersih dan membebaskan semua tahanan yang berkaitan dengannya termasuk anggota Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jayakumar.

Demikian kata ketua anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika mengulas titah Yang Dipertuan Agung berkaitan Bersih 2.0 hari ini.

Kenyataan ini adalah yang pertama dari pemimpin kanan parti politik Pakatan Rakyat ekoran titah Yang Dipertuan Agung yang dikeluarkan lewat petang semalam itu.

Dalam titah itu, Yang Dipertuan Agung menitahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda seminggu menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Polis pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

"Keperhatinan Yang Dipertuan Agung tentang 'kegilaan' yang memuncak ekoran cadangan perhimpunan aman untuk pilihan raya yang bersih dan adil anjuran Bersih 2.0 9 Julai sangat tepat dan dialu-alukan," kata Lim Kit Siang dalam kenyataan itu.

"Jangan ragukan sikap petriotik dan taat setia rakyat Malaysia yang mahu melihat pilihan raya umum yang bebas dan adil iaitu bentuk tertinggi kecintaan, ketaatan dan petriotik kepada Malaysia," katanya.

Sebagai langkah positif yang pertama terhadap titah Yang Dipertuan Agung itu, Perdana Menteri perlu menemui pimpinan Bersih 2.0 segera, tegas beliau.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Reduan Tee: Bersih dalam kotor!

Posted: 03 Jul 2011 08:41 PM PDT

Sinar Harian 4 Jul 2011

Seperti yang saya sebut dalam program Bicara Rakyat, secara langsung TV1, Jumaat lalu, dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat melalui pelbagai saluran. Tidak salah berdemonstrasi kerana ia dibenarkan oleh perlembagaan. Asas demokrasi adalah kerajaan dari rakyat, untuk rakyat. Tetapi satu perkara kita harus ingat, jika kebebasan tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, maka demonstrasi perlu difikirkan kembali. Apakah sudah tidak ada altenatif lain pada zaman globalisasi ini dalam menyuarakan pendapat selain berdemonstrasi?

Kenapa tidak dibuat demonstrasi tersebut secara tertutup seperti di stadium? Kenapa harus di jalanan? Adakah suara demonstrasi di kawasan tertutup tidak didengari? Pada saya, di mana jua demonstrasi diadakan, impaknya pasti ada, tidak semestinya di jalanan. Tempat yang paling sesuai untuk berdemo adalah di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat terutama di Selangor, berhampiran Kuala Lumpur. Bandaraya Kuala Lumpur tidak sesuai disebabkan oleh kepadatan dan kesesakan yang telah sedia ada.

Saya masih teringat minggu lalu ketika berlangsungnya acara Kuala Lumpur Marathon 2011, bermula dari jam 5.30, apabila sesetengah jalan ditutup, kesesakan jalan raya amat dirasai. Kebetulan saya berada di dalam bas ketika itu daripada Pulau Pinang. Lebih satu jam bas berlegar-legar di sekitar bandaraya kerana pemandu tidak dapat menurunkan penumpang. Akhirnya saya turun sahaja di tepi jalan untuk balik ke rumah sebagai persiapan untuk memberi ceramah motivasi di Memorial Tun Hussein Onn, pada jam 10.30 pagi. Ceramah motivasi tertunda kerana semua peserta terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Dalam hati saya berkata, "ini baru Marathon, bayangkan jika demonstrasi Bersih menjadi kenyataan".

Saya cadangkan jika Marathon yang sama hendak diadakan tahun hadapan, cukuplah sekadar mengelilingi Tasik Perdana (Botani) berkali-kali, tidak perlulah menutup banyak jalan sehingga berlaku kesesakan dan menyusahkan rakyat. Masa dan tenaga (termasuk petrol) banyak terbuang. Tidakkah masa yang terbuang itu lebih sesuai dimanfatkan untuk anak isteri di rumah. Bayangkan juga, tenaga petrol yang digunakan akibat kesesakan. Jika dikumpulkan semua tenaga yang terbazir dan disedekahkan kepada fakir miskin dan ibu tunggal, bukankah banyak pahala yang dapat kerana dapat membantu mereka yang memerlukan.

Lagi pula terdapat begitu banyak tempat strategik yang lain seperti Stadium Melawati, Shah Alam atau mungkin juga Bukit Jalil, kenapa Bersih masih berdegil untuk berada di tengah Bandaraya Kuala Lumpur? Saya yakin, mereka tahu, jika dibuat di luar Kuala Lumpur, sambutannya sudah pasti tidak memberansangkan.

Mereka tidak mahu melihat seolah-olah demonstrasi tidak ada orang. Maka untuk melihat ramai, medan orang ramai digunakan. Dengan harapan, dengan berada di sana bersama orang ramai, mereka akan kelihatan ramai. Maka tercapailah hasrat untuk menghimpun ratusan ribu orang. Wal hal yang datang tidak seberapa. Inilah laba politik yang ingin dicapai. Mereka mahu memperlihatkan demonstrasi tersebut benar-benar mendapat sambutan, walaupun hakikat sebenar tidaklah sedemikian.

Saya amat mengharapkan Perkasa, Pemuda Umno dan Pertubuhan Silat Melayu, yang semuanya umat Islam yang ingin turun sama berdemonstrasi, tidak bersikap seperti mereka. Apa bezanya kita jika sama seperti mereka. Dua kali lima sahaja. Amat hina sekali melihat pertembungan sesama umat Islam. Biarlah kumpulan ini ditangani oleh polis dan tentera.

Kita selalu membandingkan situasi kita dengan demonstrasi di di Thailand. Politik di sana berbeza dengan negara kita. Thailand adalah negara sebangsa, budaya dan cara hidup mereka sama. Begitu juga di Indonesia. Mereka hanya ada dua kumpulan, pro dan anti kerajaan. Berbanding kita, kita adalah sebuah negara berbilang bangsa, agama, budaya dan cara hidup. Politik kepartian amat kuat dan ekstrem. Parti politik berasaskan bangsa. Keadaan kita jauh lebih kompleks. Sudah pasti dalam banyak perkara kita tidak sehati sejiwa. Apakah kita tidak menjangka ada orang yang akan mengambil kesempatan. Wahai umat Islam! Janganlah mudah untuk diperalatkan.

Tidakkah kita terfikir dengan banyaknya perbezaan ini, ada pihak-pihak tertentu yang akan mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan kita dengan melakukan pelbagai provokrasi. Mereka mahu kita berantakan, kerana itu adalah salah satu perancangan mereka. Kita selalu menuding jari kepada polis yang melakukan provokasi. Saya yakin di luar sana masih ramai kafir harbi yang sedang menunggu kesempatan.

Cuba buat perbandingan, sedangkan perhimpunan sukan secara tertutup pun pergaduhan berlaku macam seolah-olah tidak kenal saudara. Inikan pula perhimpunan terbuka. Masihkah kita ingat siri perlawanan bola sepak di antara pasukan negeri Kelantan dengan Negeri Sembilan dan Selangor. Kerusi stadium, trak polis dibakar dan macam-macam lagi perkara menyedihkan berlaku, termasuk kematian akibat balingan botol (Stadium Melawati). Kekecohan ini juga berlaku di hadapan tok guru. Bayangkan jika yang memimpin demonstrasi ini begitu jauh sifatnya dengan tok guru. Beliau bukan sahaja tidak ada status tok guru, malahan sikap anti Islamnya begitu terserlah ketika menjadi memimpin Majlis Peguam.

Persoalan yang tidak dapat dijawab oleh panelis PAS dalam Bicara Rakyat tempoh hari, apakah jaminan perhimpunan tersebut akan berlangsung dalam suasana dan keadaan aman? Siapakah yang boleh memberi jaminan tersebut? Apakah pemimpin Bersih begitu berwibawa boleh mengawal manusia yang katakan bilangannya begitu ramai? Bagaimana pula jika ada kalangan mereka yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan pergaduhan? Minta maaf cakap, dalam keadaan masyarakat yang terlalu banyak perbezaannya, saya tidak percaya bahawa semuanya anggota Bersih yang turun akan bertindak seperti malaikat?

Kumpulan yang mengambil kesempatan berada di mana-mana, mereka hanya menunggu masa yang sesuai untuk mencetuskan pergaduhan. Janganlah terlalu menuding jari kepada polis. Bayangkan jika bukan polis yang mengawal keselamatan dan kesesakan jalan raya. Apa akan jadi dengan bandaraya ini.

Wahai Islam, jangan mudah tertipu dan akhirnya kita akan ditipu. Lagipun beliau bukan ahli politik. Jika masalah daftar pemilih pilihan raya yang menjadi isu utama. Yang sepatutnya lebih sensitif adalah parti-parti politik kerana mereka yang akan bertanding. Bukannya NGO seperti yang didakwa. Apa kepentingan NGO dalam daftar pilihan raya kalau bukan untuk mencari publisiti? Beliau cuma mahu mencari publisiti untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Kesempatan ini digunakan untuk mempopularkan dirinya. Jangan terpedaya dengan permainan silap mata ini.

Perkembangan terbaharu meyakinkan lagi saya mengapa kumpulan ultra kiasu ini harus ditolak dan tidak boleh dipercayai dan ditolak. Walaupun isu yang saya bangkitkan agak sedikit lari daripada tajuk, tetapi ia mempunyai kaitan rapat dalam menilai integriti atau meletakkan kepercayaan terhadap seseorang. Saya tidak nafikan hak rakyat untuk berhimpun. Tetapi bukan diketuai oleh ultra kiasu ini. Tuhan sahaja yang tahu sama ada mereka benar-benar ikhlas atau sebaliknya. Sudah tidak ada orang Islam lainkah yang boleh dijadikan pengantara atau rujukan? Atau sekurang-kurang carilah bukan Melayu yang begitu memahami jiwa, sensitiviti dan perasaan umat Melayu Islam? Janganlah berketuakan pengantara yang pernah menghina dan menginjak-injak Islam. Lina murtad Lina Joey dan penghinaan terhadap mahkamah syariah masih terngiang-ngiang di telinga dan amat sukar dipadamkan dalam lipatan sejarah.

Apatah lagi, saya cukup sedih apabila kehadiran 12 wakil rakyat parti ultra kiasu yang tidak mengenakan pakaian rasmi dan songkok pada Upacara Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-17. Tindakan ini boleh disifatkan sebagai 'kurang ajar' kerana tidak menghormati majlis. Memang benar, pakaian rasmi tidak diwajibkan, mematuhi etika pemakaian pada upacara berkenaan secara zahirnya menunjukkan seseorang itu menghormati negeri, ketuany aserta DUN itu sendiri.Tindakan, tabiat dan tingkah laku ini boleh dikatakan berlaku di mana-mana sahaja negeri mereka berada.

Jelas dan terang, pemakaian songkok pula bukan simbol agama, masyarakat di India pun pakai songkok walaupun mereka bukan Muslim.Songkok hanya melengkapkan pakaian seragam. Parti ultra kiasu sama ada di Semenanjung Sabah dan Sarawak telah lama mempersoalkan pemakaian seragam rasmi dan songkok pada upacara pembukaan persidangan kerana menyifatkan ia menafikan kebebasan beragama di samping membazir wang rakyat. Berapa sen sangatlah harga songkok dan baju Melayu berbanding dengan harga pakaian barat yang dibanggakan itu? Di Indonesia berapa ramai orang Kristian yang memakai songkok. Kenapa mereka begitu selesa sedangkan kita terlalu sensitif. Sebenarnya, kita terlalu memandang rendah kepada bangsa lain. Kita tidak mahu dipandang rendah sama. Tidakkah lebih baik kita lebih memahami Melayu daripada Mat Salleh?

Kenapa kita boleh begitu berlagak dan berbangga dengan pakaian barat blazer, jacket, dan tie tetapi, bila ada konotasi dengan Melayu kita memandang hina. Adakah ini wajar? Bila orang Melayu memakai pakaian Cina, kita seronok. Kenapa kita tidak 'raikan' Melayu dengan memakai pakaian Melayu. Adakah 'budaya Melayu' ini begitu hina?Kita begitu berbangga dengan pakaian skirt yang begitu pendek sehingga ternampak yang tersurat dan tersirat. Tetapi memandang hina pakaian yang ada konotasi dengan Islam.

Kenapa kita terlalu obses dengan bangsa yang begitu jauh dengan kita, sedangkan bangsa yang terdekat dan merupakan penduduk induk di negara ini tidak dipandang endah, malah dihina lagi? Tidakkah semua agama menganjurkan pakaitan yang bersopan? Dari mana datangnya sumber memakai yang seksi-seksi ini jika bukan dari barat? Hina sungguh kita. Sanggup ketepikan budaya masyarakat tempatan kerana terlalu obses dengan barat. Sanggup ketepikan bahasa kebangsaan, kerana terlalu mengejarkan bahasa Inggeris. Adakah tindakan ini wajar dan mampu menjamin keluhuran pembangunan sebuah negara bangsa?

Pelik sungguh, bila tiada kepentingan, mereka begitu angkuh. Namun, bila ada kepentingan, misalnya penerimaan anugerah bintang dan pingat, kumpulan muka tidak tahu malu ini, tidak segan-segan mula mengenakan 'pakaianMelayu'.

Berasaskan kepada hujah-hujah ini, apakah kita boleh menaruh kepercayaan kepada Bersih? Tidak. Sebenarnya mereka adalah bersih dalam kotor. Nampak suci tetapi berdebu. Pada saya, selagi mana mereka tidak hormat budaya bangsa induk negara ini, selagi itulah golongan ini tidak boleh dipercayai. Mereka ini ibarat duri dalam daging atau api dalam sekam. Sentiasa mencari kesempatan atau menangguh di air yang keroh.

Saya tidak yakin demonstrasi Bersih ini akan menjadi kenyataan jika tidak disokong oleh umat Islam. Mereka tidak akan berani mengangkat muka pun jika kita tidak bersama mereka. Kenapa mereka begitu bongkak? Jawapannya, amat mudah, kerana mereka tahu, kita tidak sehati sejiwa, kita berpecah, kita terlalu mabuk kuasa, kita sanggup menabur pasir di periuk saudara sendiri, kita menikam sesama sendiri dan terlalu banyak kelemahan kita.

Peluang keemasan sebegini mungkin mereka tidak akan dapat pada masa akan datang, maka kelemahan umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuh untuk mendapatkan apa yang selama ini dicita-citakan. Moga dijauhkan Allah SWT daripada perancangan jahat dan licik sebegini. Wahai umat Islam! kita sudah tidak ada banyak masa, bangunlah, buka mata dan buka minda, sebelum terlambat atau nasi menjadi bubur. Yakinlah, apabila nasi sudah menjadi bubur, apa cara juga yang digunakan, bubur tidak akan menjadi nasi semula. Ketika itu orang lain sudah menjadi terlalu berkuasa. Mereka mempunyai rakan-rakan sebangsa yang begitu ramai di luar sana yang sedang ternanti-nanti untuk masuk ke dalam wilayah atau kawasan kita.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

BERSIH dan Respon Dari Kerajaan BN

Posted: 03 Jul 2011 08:18 PM PDT

Kelam-kabut dan gundah-gulana merupakan dua perkataan yang barangkali boleh menggambarkan serba sedikit keadaan UMNO/BN dalam usaha mereka menangani perhimpunan BERSIH 2.0 sebagai Pembuka Jalan Politik Baharu pada 9 Julai ini. Berbagai propaganda telah dilancarkan untuk menghalang perhimpunan tersebut dari terus berlaku. Berdasarkan ucapan, tingkah laku dan riak wajah mereka, 1mesej jelas terpampang, iaitu 'BERSIH' akan mengakibatkan UMNO/BN tersungkur dalam pilihan raya ke-13. Maka mesej inilah yang ingin mereka sampaikan kepada para penyokong atau golongan CARMA supaya BERSIH dihalang dengan sedaya upaya.

Walhal segenap lapisan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan semasa memahami bahawa BERSIH hanya sekadar menuntut pilihan-raya yang bebas dan adil. BERSIH mengemukakan hanya 8 tuntutan yang kesemuanya selari dengan prinsip-prinsip demokrasi. Melalui pilihan-raya yang bersih, maka pilihan rakyat yang sebenar akan dimartabatkan dan kerajaan yang terbentuk akan benar-benar merupakan kerajaan pilihan rakyat. Oleh yang demikian, BERSIH tidak bertujuan menjatuhkan BN mahupun PR, atau menaikkan BN atau PR. Ia bertujuan untuk menentukan rakyat dengan sepenuhnya diberi kuasa untuk memilih kerajaan yang diinginkan mereka dengan menjamin tiadanya penipuan dan penyelewengan semasa pilihan-raya.

BN TERSUNGKUR KALAU PILIHAN RAYA BERSIH DARI PENIPUAN!
BN memahami hakikat sebenar usaha BERSIH. Namun mereka tetap berusaha keras untuk menfitnah usaha BERSIH dengan bermacam-macam tohmahan dan dakwaan palsu. Mengapa? Jawapannya mudah sahaja. BN sedar bahawa pada hakikatnya rakyat sudah tidak bersama mereka dan pilihan-raya yang bersih, tanpa penipuan undi pos, kad pengenalan palsu, monopoli media dan sebagainya, akan menghasilkan kekalahan bagi BN!

Dalam erti-kata yang lain, pilihan-raya bersih = BN kalah!

Maka itulah sebabnya perhimpunan BERSIH telah difitnah dengan dakwaan kononnya BERSIH ingin menjatuhkan kerajaan melalui huru-hara dan keganasan. Oleh itu ianya diharamkan. Sedangkan himpunan BERSIH adalah himpunan aman yang bertujuan untuk menzahirkan sokongan rakyat terhadap tuntutan supaya pilihan-raya bersih dari penipuan. Ianya bertujuan untuk menganjurkan perarakan aman dari SOGO ke Istana Negara demi menyerahkan memorandum BERSIH kepada DYMM Yang Di Pertuan Agung.

Sebenarnya perarakan sebegini amat mudah untuk dikawal, sekiranya pihak berkuasa menghormati hak rakyat berkumpul dan berhimpun secara aman. Apa yang perlu dilakukan hanya sekadar menjaga lalu-lintas dan laluan kenderaan sepanjang perjalanan dari SOGO ke Istana Negara. Dalam masa tidak lebih dari 2 jam, semuanya akan selesai. Malangnya, UMNO/BN meyakini bahawa pilihan raya yang bersih dari penipuan akan menyebabkan mereka tersungkur. Oleh itu mereka akan terus berpegang teguh kepada kekuasaan dan bertindak untuk menundukkan rakyat.

TINDAKAN UMNO/BN LEBIH DAHSYAT DARI TINDAKAN ISRAEL
Tindakan kerajaan BN memfitnah BERSIH boleh disamakan dengan tindakan kerajaan Israel memfitnah Flotilla LL4G sebagai Flotilla perang yang membawa senjata. Ini sebenarnya tidak menghairankan kerana Tok Guru mereka adalah sama. APCO penasihat kepada kedua-dua kerajaan. Malahan, tindakan UMNO/BN lebih dahsyat dari tindakan kerajaan Israel dalam dua aspek seperti berikut:

a) Mencemar Kesucian Agama Islam

Tindakan UMNO/BN mengatasi tindakan kerajaan Israel apabila pada hari Jumaat yang lalu, khutbah di Masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan mengharamkan ummat Islam dari melibatkan diri dalam perhimpunan ini. Hujjah untuk mengharamkannya adalah berdasarkan fitnah UMNO/BN bahawa perhimpunan ini bertujuan untuk melakukan huru-hara, tumpah darah, membawa kerosakan dan berniat untuk menjadikan keadaan Negara lebih teruk dari yang sedia ada. Amat malang apabila mimbar masjid digunakan untuk menyebar fitnah dan tohmahan kerana pada hakikatnya BERSIH inginkan suatu pembaikkan kepada yang sediada melalui satu perarakan yang aman.

Kalau ada yang inginkan huru-hara, ianya bukan BERSIH. Kalau ada yang inginkan tumpah darah, ianya bukan BERSIH.

Amatlah sedih apabila khutbah dipergunakan sebegini rupa. Amat sedih melihat mimbar digunakan untuk menabur fitnah dan dakyah demi kepentingan politik UMNO/BN. Sebenarnya ummat Islam sepatutnya yang pertama bangun untuk menjadi pejuang keadilan dan kebenaran, penentang penipuan dan kezaliman. Tetapi oleh kerana UMNO/BN berkuasa, maka ummat Islam didorong untuk menjadi pembela penipuan dan kezaliman.

Merosakkan agama sehingga diperalatkan untuk membela sesuatu yang jelas songsang dan bercanggah tidak dilakukan oleh mana-mana kerajaan walaupun oleh kerajaan Israel terhadap agama Yahudi. Pilihan raya Israel dilakukan secara telus dan adakalanya parti Likud menang, adakalanya parti yang lain membentuk kerajaan. Tetapi UMNO/BN ingin terus memerintah dan mereka pada awalnya memutar-belitkan undang-undang pilihan-raya. Sekarang mereka sudah mula memutar-belit ajaran agama Islam untuk membela penipuan dan penyelewengan.

b) Mengasari Rakyat Sendiri

Tindakan kerajaan UMNO/BN mengatasi tindakan kerajaan Israel dari satu aspek lagi. Dalam isu Flottila, kerajaan Israel berjanji tidak akan melakukan tumpah darah. Walaupun anggota Flottila terdiri dari warga Negara asing, mereka tidak akan dikasari, menurut Israel. Percaya atau tidak itu soal kedua. Paling kurang Israel mengakui anggota Flottila ada hak dan tidak boleh dikasari atau ditembak sewenang-wenangnya.

Kerajaan UMNO/BN sebaliknya. Melalui polis dan samseng yang bertopengkan NGO, mereka secara terang-terangan mengugut untuk melakukan tumpah darah dan kegansan terhadap rakyat sendiri! Di sini APCO sendiri mungkin terkejut dengan 'kehebatan' UMNO/BN. Kesediaan mereka untuk mengasari rakyat sendiri mungkin tidak disangka tetapi pasti merupakan sesuatu yang menggembirakan APCO.

KESIMPULAN
Ini semua merupakan bukti akan betapa terdesaknya UMNO/BN. Mereka tahu rakyat tidak bersama mereka tetapi mereka akan mempertahankhttp://www.blogger.com/img/blank.gifan kedudukan mereka walau apa sekalipun yang akan berlaku. Inilah jenis pemimpin yang mementingkan kedudukan dan jawatan mereka lebih dari nyawa rakyat sendiri. Inilah jenis pemimpin yang perlu kita jatuhkan melalui PRU ke-13 kelak.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

SUMBER


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Campur Tangan Agong Jamin Pilihan Raya Adil Dan Bersih

Posted: 03 Jul 2011 08:05 PM PDT

KUALA LUMPUR 4 JULAI : Penganalisis dan juga Pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpandangan titah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin agar Bersih 2.0 menyelesaikan segala permasalahan yang timbul melalui jalan rundingan, bukan bermakna satu kekalahan kepada gabungan badan bukan kerajaan itu.

"Berunding tak semestinya kekalahan pada Bersih," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Dr Aziz, titah Seri Paduka Baginda itu secara jelas merujuk kepada betapa pentingnya sebuah pilihan raya yang adil dan bebas dilaksanakan di negara ini.

"Ringkasnya kedua-dua pihak perlu bersedia berunding dan rujukannya perlu Perlembagaan Persekutuan," menurut pakar perlembagaan ini.

Jelas Aziz lagi, dari segi Perlembagaan Persekutuan, Tuanku punya hak dan kuasa untuk campur tangan dalam situasi ini.

"Campur tangan Yang di-Pertuan Agong adalah kemenangan bagi menjamin satu pilihan raya yang adil dan besih, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan," katanya lagi.

Tuanku Mizan semalam menyeru pihak kerajaan untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh rakyat secara adil dan bijaksana.

Hal ini bagi mengelakkan berlakunya segala masalah yang tidak diingini di samping mengelakkan timbulnya perasaan kurang senang rakyat terhadap pemerintah.

"Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

"Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Sehubungan itu, Aziz berkata, sekiranya bakal berlangsung suatu rundingan di antara pihak Bersih 2.0 dan kerajaan, Istana Negara harus melakukan pantauan agar ia mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Malah kata Aziz, sekiranya Bersih bersetuju berunding dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan melaksanakan tuntutan, yang kesemuanya adalah selaras dengan kehendak Perlembagaan, badan pelaksana pilihan raya itu akan dipersalahkan dan Umno-BN akan kalah dalam pilihan raya umum ke-13 kerana dianggap menggunakan istana.

Kata beliau, SPR perlu mempunyai keyakinan kesemua parti yang menyertai proses pilihan raya dan "dalam terma yang mudah, Perlembagaan yang perlu kekal sebagai teragung di sini dan bukan demi kepentingan mana-mana parti."

"Buat masa ini kedua-dua Umno-BN dan SPR sudah dianggap bersekongkol untuk menipu dalam pilihan raya," katanya sambil menambah, semua tahanan mesti dibebaskan serta-merta kerana ia juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Begitu juga dengan rampasan yang dilakukan oleh polis," kata beliau lagi.

Menurut laporan media semalan polis telah menahan lebih 150 orang, kebanyakannya pemimpin Pakatan dan aktivis pro-Bersih 2.0 sejak seminggu lalu.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Pheu Thai pimpinan adik Thaksin menang majoriti tipis 264 kerusi

Posted: 03 Jul 2011 06:23 PM PDT

BANGKOK, 4 Julai — Parti pembangkang Pheu Thai memenangi pilihan raya umum Thailand dengan majoriti tipis — meraih 264 dari sejumlah 500 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Tinjauan pendapat awal meramalkan parti pimpinan Yingluck Shinawatra, adik bekas perdana menteri yang digulingkan, Thaksin menuju kemenangan besar dengan lebih 300 kerusi.

Yingluck Shinawatra melambai ke arah penyokongnya dari luar ibu pejabat patinya Puea Thai di Bangkok semalam. — Foto Reuters
Menurut keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand bekas parti memerintah Demokrat, hanya mendapat 160 kerusi.

Menurut laporan Bernama Online, Pheu Thai meraih tambahan 78 kerusi sementara Demokrat kehilangan 12 kerusi berbanding kedudukan sebelum pembubaran Parlimen.

Kali ini Bhumjaithai merangkul 34 kerusi, Chart Thai Pattana 19 kerusi sementara parti-parti kecil seperti Palong Chan dan Chart Pattana Puea Pandin masing-masing tujuh kerusi.

Rak Thailand memenangi empat kerusi, Matubhum dua dan masing-masing satu kerusi bagi parti Mahachon, Demokrat Baru dan Rak Santi.

Jumlah tidak rasmi keluar mengundi ialah 65.99 peratus dengan 30,987,801 pengundi membuang undi dari sejumlah 47.3 juta pengundi yang layak.

Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tempoh hingga 2 Ogos untuk mengesahkan keputusan.

Sejurus selepas pengundian ditutup pada 3 petang semalam, tiga universiti tempatan meramalkan parti Pheu Thai bakal meraih kemenangan besar kira-kira 300 kerusi berasaskan tinjauan di kalangan pengundi di pusat-pusat mengundi di seluruh negara.

Dalam pada itu dipetik laporan BBC, sambil berkata banyak kerja keras diperlukan, Yingluck memberitahu: "Keutamaan pertama ialah ekonomi."

Beliau menjanjikan yang terbaik dalam kerajaan selepas mengetuai partinya memperoleh kemenangan besar kali ini.

Yingluck juga beliau sedang mengadakan perbincangan bagi mengadakan pakatan dengan kerjasama Chart Thai Pattana dan parti-parti lain.

"Saya mahu mengulangi bahawa kami bersedia untuk melaksanakan kesemua dasar yang kami telah umumkan. Saya akan melakukan terbaik dan tidak akan mengecewakan anda," katanya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj9nmsLsxe_8b61knJDPNQTSe8PtLTVvTAz7P10fK-MZ9I4UR32Ho0g-LJ1ArNortzA-OCjFzbTOn9T5SGQLqPb1QHmy0yAe1Jz9ZiWpt72XLvS4TPwu-q-LeQkM7V13vS0aRZhZakNr6I/s1600/JALANRAYA.jpg

Tiada ulasan: