Jumaat, 29 Julai 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pulau Tioman Diserang Ratusan Keluang

Posted: 28 Jul 2011 11:50 PM PDT

Rata-rata penduduk dan peniaga gerai makan di Kampung Tekek, di sini, terpaksa berhadapan dengan bunyi bising keluang yang menjadikan kawasan atas pokok palma, mentiga dan nangka sebagai habitat haiwan itu sejak lebih setahun lalu.

Sebelum ini, haiwan mamalia dalam keluarga kelawar itu dipercayai mendiami kawasan sekitar Kampung Air Batang, berhampiran Kampung Tekek sebelum berpindah ke kawasan sekarang selepas kebanyakan pokok ditebang bagi projek pembangunan.

Peniaga gerai makan meluahkan rasa bimbang dengan keadaan itu berikutan gerai makan mereka tidak dikunjungi pelanggan, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah pelancong luar khususnya warga asing begitu teruja dengan kehadiran haiwan bersayap itu dan menyifatkan ia sebagai tarikan baru di Pulau Tioman.

Perniagaan terjejas

Seorang penduduk, Wan Azura Abdul Panar, 36, berkata, dia terpaksa berpindah ke tapak baru untuk berniaga kerana tapak lama di bawah pokok nangka dan palma berdekatan rumahnya menjadi 'sarang' haiwan berkenaan.

Wan Azura berkata, kehadiran ratusan keluang yang bergayut setiap masa di pokok menimbulkan kebimbangan, tambahan haiwan itu memakan buah-buahan dari pokok yang ditanam.

"Bunyi bising haiwan ini seawal jam 3 pagi mengganggu tidur kami dan menyebabkan suasana di pusat pelancongan dunia ini riuh rendah pada waktu malam," katanya kepada Sinar Harian.

Wan Azura berkata, hasil dua pokok nangka yang ditanam di depan rumah mertuanya tidak lagi boleh dimakan akibat dirosakkan haiwan terbabit sedangkan buah itu boleh dijual kepada penduduk sekitar.

"Selain menjual juadah makanan kepada pelancong luar, saya turut menjual buah nangka kepada penduduk setempat, namun buah nangka itu tidak lagi boleh dimakan akibat dirosakkan keluang," katanya.

Seorang lagi peniaga, Nurul Fariha Mat Badar, 19, berkata, dia juga menerima rungutan daripada sesetengah pelanggannya yang tidak selesa dengan bunyi bising dan najis haiwan itu yang diterbangkan angin hingga sampai ke gerainya.

"Penduduk di sini, kebanyakannya kurang selesa dengan haiwan ini, namun tidak kepada pelancong asing.

"Bagaimanapun saya perlu mengekalkan aspek kebersihan di gerai saya bagi mengekalkan pelanggan," katanya.

Menurutnya, gerainya terletak berhampiran pokok palma yang dihinggapi beratus-ratus keluang yang membuat bising pada setiap masa hingga menyebabkan kanak-kanak dan bayi di kampung itu sukar tidur pada waktu malam.

"Kami sudah tidak tahan dengan keadaan ini dan berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan kemelut kami ini dengan segera," katanya. -SH

Bantah Tahanannya & Lima Yang Lain : MP Sungai Siput Lancar Mogok Lapar

Posted: 28 Jul 2011 09:45 PM PDT

Ahli parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jeyakumar Deveraj melancarkan mogok lapar sebagai tanda protes terhadap penahanan polis ke atas dirinya bersama lima orang rakan seperjuangannya di bawah Ordinan Darurat (EO), menurut ahli jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia, Rani Rasiah.

Rani yang juga isteri Jeyakumar menyatakan keputusan ini dimaklumkan kepada dirinya ketika beliau melawat Dr Jeyakumar semalam.

Dalam pertemuan itu, Jeyakumar meluahkan kekecewaan dirinya terhadap polis, dan menyatakan tekadnya untuk mogok lapar mulai 28 Julai 2011, sehingga enam orang tahanan di bawah Ordinan Darurat termasuk dirinya dibebaskan.

"Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga kesemua PSM 6 dibebaskan atau dituduh di mahkamah.

"Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar," kata Rani dalam satu kenyataan hari ini.

25 Jun lalu, 31 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dan direman di bawah Seksyen 122 kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

2 Julai lalu, enam daripadanya termasuk Dr Jeyakumar dilepaskan tanpa tuduhan tetapi ditangkap semula di bawah EO sejurus menjejakkan kaki ke luar balai polis dan ditahan sehingga kini.

Enam orang tersebut ialah Dr Jeyakumar, Timbalan Presiden PSM, M. Saraswathy, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Choo Chon Kai dan M. Sugumaran, Setiausaha PSM Bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan Ketua Pemuda Nasional PSM, R. Sarathbabu.

Rani menyatakan Dr Jeyakumar telah memberi kerjasama penuh namun muak dengan taktik Pegawai Cawangan Khas (SB) yang menyoal siasatnya.

"Menurut Dr Jeyakumar, beliau telah memberi kerjasama penuh sejak direman di mana beliau telah menandatangani 3 laporan termasuk laporan 45 muka surat di Pulau Pinang. Sekarang SB telah sediakan report dengan 80 mukasurat tetapi Dr Jeyakumar buat keputusan beliau tidak akan tandatanganinya kerana beliau melihat kesemua siasatan sebagai sia-sia sahaja," kata Rani lagi.

Dalam respon kenyataan itu, Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan, dalam kenyataan medianya mendesak agar semua tahanan EO itu dibebaskan segera.

Beliau yang nyata bimbang dengan kesihatan Dr Jeyakumar kini sedang berusaha mendapatkan maklumat di Bukit Aman mengenai hal ini.

"Tiada pengesahan lagi dari pihak berkuasa dalam hal ini. Kami percaya Dr Jeyakumar telah memulakan mogok laparnya dan kami bimbang kesihatan beliau.

"Kami mendesak Kerajaan segera membebaskan EO 6 ini dan berikan kami akses kepada Dr Jeyakumar," kata Arutchelvan. -tvsnews




Sultan Muhammad V Akan Dimasyhur Sebagai Canselor Baru UMK

Posted: 28 Jul 2011 08:56 PM PDT

Kota Bahru: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, akan dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 19 September ini.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Zainai Mohamed berkata istiadat pemasyhuran itu akan berlangsung di kampus induk UMK di Bachok sempena Majlis Konvokesyen sulung universiti itu.

Katanya, pelantikan Sultan Kelantan itu dibuat mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin berikutan canselor UMK sebelum ini, Sultan Ismail Petra, sedang gering.

Pada majlis konvokesyen sulung itu, seramai 266 graduan daripada Fakulti Keusahawan dan Perniagaan, Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli dan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan akan menerima ijazah sarjana muda masing-masing. katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya untuk sesi pengambilan baru tahun ini, UMK menerima 6,000 permohonan manakala UMK hanya mampu mengambil kira-kira 1,000 pelajar sahaja.

Beliau berkata, kampus induk UMK itu akan beroperasi sepenuhnya September depan dan kesemua warga kerjanya di kampus sementara di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa telahpun berpindah lebih awal.

Katanya, sejak universiti berkonsepkan keusahawanan itu beroperasi empat tahun lepas, kerajaan membelanjakan RM420 juta bagi membiayai kos fizikal, termasuk pembinaan kampus utamanya di Bachok, kampus cawangannya di Jeli dan kampus sementara di Pengkalan Chepa.

"Adalah diharapkan graduan UMK akan dapat menggunakan ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari untuk menyumbang sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada tranformasi ekonomi negara pada masa akan datang," katanya. - BERNAMA

Unggun BERS✔H Menyelubungi Hari Kemerdekaan

Posted: 28 Jul 2011 08:10 PM PDT

Semakin lara kita didera bara -
kita laungkan juga pesan merdeka…. A. Samad Said

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri Najib bersama timbalannya Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri akan mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara di Stesen ERL dan di Stesen KL Sentral.

Bayangkan Najib bersama-sama dengan adik saudaranya Hishammuddin, Liow Tiong Lai dan Koh Tsu Koon ketawa dengan manis sambil melambai-lambai tangan dengan orang ramai - berpura-pura seakan-akan tidak ada apa-apa yang pernah berlaku dengan negara kita kebelakangan ini.

Adakah rakyat Malaysia yang berprihatin dengan perkembangan politik negara akan terharu dengan perbuatan mereka? Adakah wujud "mood" perayaan Hari Kemerdekaan sebelum segala-gala kegilaan politik dihentikan dengan serta-merta?

Pada pendapat saya, tiga perkara yang penting perlu diselesaikan sebelum kita dapat merayakan Hari Kemerdekaan 2011 dengan jiwa yang bersatu-padu.

Perkara yang pertama, kemerdekaan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang tidak berdosa di bawah akta EO (Emergency Ordinance) harus diberikan. Penahanan E06 adalah sesuatu yang paling tidak masuk akal dalam sejarah penahanan politik Malaysia. Mereka terkorban dalam percaturan permainan politik lampau yang disebabkan anggaran dan keputusan yang salah dan tidak dapat diterima umum baik di dalam negara mahupun di antarabangsa.

Bagi kawan-kawan yang berkenalan dengan EO6, memang difahami bahawa mereka bukan sahaja tidak membawa sebarang ancaman terhadap negara sebaliknya menyumbang kepada kepentingan negara. Saya pernah menyertai salah satu aktiviti mereka beberapa tahun yang lepas. Aktiviti tersebut adalah pengumpulan tandatangan untuk meminta gaji minima bagi perkerja. Sekarang Parlimen sudah mula mempertimbangkan tuntutan gaji minima untuk golongan perkerja.

PSM adalah parti politik yang memperjuangkan kepentingan masyarakat terpinggir. Sejak penubuhan parti sehingga masa kini, ianya berkepercayaan terhadap sistem pilihan raya. Mereka tidak pernah menggunakan sebarang kekerasan untuk merampas kuasa. Sebaliknya, kali ini mereka menghulurkan tangan untuk menyokong pengukuhan sistem pilihan raya negara dengan penyertaan dalam aktiviti BERSIH. Malangnya, disebabkan saiz parti politik tersebut dan komposisi parti, mereka menjadi korban dalam persaingan kuasa antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Terdapat 5,000 orang doktor menyeru supaya EO6 dibebaskan. Seruan kebanyakan doktor dalam Malaysia menunjukkan rasional sekelompok barisan pimpinan polis tidak dapat direstui orang ramai. Ini kerana bidang kedoktoran merupakan pencapaian tamadun manusia yang dicirikan dan dbentuk oleh fahaman rasional dan sainstifik. Penggunaan kanun EO memang jauh daripada pemikiran rasional. Ini telah mengakibatkan orang ramai melihat polis yang sepatutnya mempertahankan undang-undang negara telah terjerumus dan condong ke arah yang anti rasional.

Politik Malaysia sekarang sudah berubah dan sebarang parti politik yang ingin terus relevan tidak dapat bergantung kepada hanya satu ideologi, sama ada tuntutan satu kaum atau tuntutan politik satu agama. Kepelbagaian kepentingan politik diperlukan supaya dapat memenuhi politik segenap lapisan masyarakat. Dengan ini, jelaslah PSM tidak dapat memberikan ancaman komunis seperti yang didakwa.

Penahanan EO6 dan pendakwaan 24 pimimpin dan ahli PSM adalah tindakan yang memburukkan imej BN sendiri. BN akan ditegelami oleh angkara jahat sendiri. Mereka perlu dibebaskan tanpa syarat.

Perkara kedua yang perlu diselesaikan sebelum Hari Kemerdekaan ialah kembalikan kebenaran dan fakta-fakta asas apakah yang telah berlaku di perhimpunan BERSIH 2.0. Antara tindakan-tindakan yang seharusnya diambil adalah meminta maaf daripada semua yang telah menjadi mangsa di perhimpunan BERSIH 2.0 akibat keganasan tindakan polis.

Keikhlasan perlu ditunjukkan menerusi langkah-langkah berikut:

* Pampasan negara harus diberikan kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad;
* Mengambil tindakan terhadap anggota-anggota penembak gas pemedih mata ke arah Hospital Tung Shin;
* Mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota-anggota polis yang menggunakan kekerasan dan kekasaran terhadap peserta perhimpunan seperti anggota polis dalam video ini yang menumbuk peserta yang tidak bertindak apa-apa semasa ditahan;
* Semua anggota kabinet perlu meminta maaf kepada semua yang terasa dianiaya dalam permulaan, semasa, dan selepas perhimpunan BERSIH 2.0 dan,
* Menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji pengukuhan sistem pilihan raya umum.


Perkara ketiga yang dapat meringankan kerosakan imej BN ialah Menteri Dalam Negeri Hishammuddin yang kurang berwibawa perlu meletak jawatan. Matthias Chang bekas penasihat khas politik Mahathir menyifatkan Hishammuddin telah mengidap "Sindrom Memperbesar Ego Diri" (Enlarged Ego Syndrome) dan memerlukan bantuan terapi psikologi untuk mengubatinya. Menurutnya, Hishammuddin tidak berkeupayaan dan gagal dalam mengendalikan tuntutan BERSIH 2.0.

Kematangan Hishammuddin dalam pengendalian BERSIH 2.0 diuji dan keputusan yang ditunjukkan adalah ianya gagal. Kekurangan kematangan ditunjukkan tanpa melihat diri dan pertimbangan yang mendalam. Masa depan politik Hishammuddin juga penuh dengan tanda tanya.

Perihal penahanan yang tidak meyakinkan orang ramai berlaku, persoalannya apakah ahli-ahli kabinet lain tidak menasihat menteri yang berkaitan? Adakah fungsi kabinet sebagai pasukan politik yang saling membantu sudah buntu dan tidak dapat lagi berjalan lancar?

Perkiraan politik yang tidak memenuhi kehendak rakyat telah mengakibatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri di bawah pimpinan Hishammudin tersalah langkah dan mendatangkan kesan-kesan negatif terhadap pimpinan BN.

Hishammuddin telah mengakibatkan populariti BN jatuh pada paras yang jauh lebih serius berbanding perhimpunan BERSIH pada tahun 2007. Abang saudaranya Najib yang bertungkus lumus merancang transformasi Malaysia dengan slogan Satu Malaysia yang mulai meyakinkan sesetengah pihak, segala usaha Najib dirosakkan dengan sekelip mata seakan-akan landaan tsunami yang memusnahkan Bandar Acheh. Imej Najib yang memihak kepada adik saudaranya turut terjejas dalam masa tidak cukup satu bulan.


Hishammuddin juga telah menyebabkan imej antarabangsa Malaysia jatuh. Ini telah memalukan Najib yang berkebetulan sedang berdiplomasi dengan negara-negara asing. Najib disambut oleh Permaisuri British dengan baju kuning dan ini menjadi bahan bualan di Internet.

Pada abad ke-21 yang dilengkapi dengan teknologi Internet yang dapat menyiarkan segalanya dengan cepat dan berkesan ke serata dunia, tindakan polis menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 telah dirakam dan disebarkan. Segala tindakan tersebut dianggap tidak demokratik dalam kaca mata sedunia.

Bukan sahaja imej BN, Najib dan Malaysia dinodai, yang paling ketara ialah imej polis turut terjejas dengan pada tahap yang amat kritikal.

Kewibawaan polis cuba dikembalikan sejak zaman pemerintahan Abdullah Badawi. Usaha pengembalian maruah polis adalah sumbangan paling penting bagi Abdullah Badawi kepada Malaysia. Dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja dan peningkatan peruntukan kepada polis, imej polis yang beransur-ansur dipulihkan dengan susah payah ini telah sekali lagi terkakis dengan teruk.

Polis menjadi sasaran utama pengguna Internet selepas perhimpunan BERSIH 2.0. Pada pendapat saya, ini adalah tidak adil bagi pihak polis. Memang sudah menjadi tradisi bagi pimpinan polis untuk menunaikan permintaan parti pemerintah. Oleh hal yang demikian, polis dilihat sebagai alat politik sesetengah pihak, baik yang memanipulasi jentera polis ataupun dalam anggapan masyarakat umum. Autonomi polis digadai dalam pengendalian BERSIH 2.0.

Menurut pengamatan saya berdasarkan video-video Youtube wujud babak-babak sedemikian.

Apabila polis cuba menahan rakyat Malaysia (yang membayar cukai yakni membayar gaji polis), sesetengah rakyat akan bertanya terhadap polis apakah kesalahan memakai baju kuning. Persoalan tersebut membuat sesetengah polis serba salah. Ini kerana memang tidak ada undang-undang yang menghadkan warna pakaian rakyat. Disebabkan polis perlu mengikut arahan atasan, maka mereka perlu mengambil tindakan yang melanggar lojik dan kefahaman rasional umum serta kehendak minima tamadun manusia. Malangnya mereka tidak dapat mengingkari perintah atasan.

Tindakan pimpinan atasan yang menurut karenah politik parti pemerintah secara membuta tuli telah menyebabkan kejatuhan maruah dan pengikisan keyakinan terhadap jentera polis secara keseluruhan dirasai. Polis harus menjauhi daripada diheret oleh persaingan politik di antara parti pemerintah dengan parti pembangkang dan juga antara puak-puak dalam parti pemerintah sendiri.


Penangkapan yang keterlaluan tidak dapat dirasionalkan apabila berhadapan dengan peserta-peserta perhimpunan yang aman dengan tidak sebiji pun batu dibaling kepada penguatkuasa. Sebaliknya, rakyat hanya berdiam diri menentang pemecutan air kimia dan penembakan gas pemedih mata.

Sebelum Hari Kemerdekaan, usaha mengembalikan keyakinan rakyat umum amat perlu. Usaha-usaha tersebut juga merupakan "kawalan kerosakan" (damage control) yang telah dilakukan. Tanpa usaha sedemikian, Hari Kemerdekaan tidak akan disambut baik oleh rakyat jelata kerana kepada pihak-pihak yang menyokong BERSIH 2.0, Hari Kemerdekaan telah disambut pada tanggal 9 Julai. Hari tersebut adalah hari yang benar-benar merdeka bagi rakyat dengan memperlihatkan penampilan pelbagai kaum di jalan raya berganding bahu untuk perjuangan sebuah sistem demokrasi yang lebih kukuh.

*Tan Lee Ooi ialah kolumnis MerdekaReview. Beliau sedang melanjutkan pelajaran peringkat Doktor Falsafah (PhD) di National University of Singapore, pernah menulis buku berjudul Dinamik Ruang Siber Dalam Gerakan Reformasi Di Malaysia.

HKL Terbakar, Seorang Pesakit Rentung

Posted: 28 Jul 2011 05:06 PM PDT


Seorang lelaki warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) rentung dalam kebakaran di unit kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, awal pagi tadi.

CEMAS...kelihatan orang awam menunggu di luar bangunan Hospital Besar Kuala Lumpur manakala jentera Bomba dan Penyelamat menghampiri pintu masuk bahagian kecemasan zon kuning berikutan kebakaran sebuah bilik yang menempatkan pesakit di ICU. Foto: Mohd Yusni Ariffin

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi, mangsa, Dedy Mulia Abdul Ghani, 33 yang dipercayai menghidap sakit mental sedang dirawat di hopsital berkenaan gagal diselamatkan selepas terperangkap di dalam bilik di wad terbabit.

Pengarah Penguat Kuasa Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata, anggota bomba menerima panggilan pada jam 12.34 pagi dan sampai ke tempat kejadian tujuh minit selepas itu.

Menurutnya, dua jentera bomba dari Balai Bomba Chow Kit dan Sentul dikerahkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

"Ketika sampai di HKL, kita dapati kakitangan hospital sedang berusaha memadam kebakaran itu menggunakan alat pemadam api.

"Kami mengambil alih memadamkan kebakaran di wad terbabit yang diselubungi asap tebal," katanya ketika dihubungi awal pagi tadi.

Menurut Azizan, bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tempat lain dan api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh setengah jam.

"Kakitangan hospital juga berjaya memindahkan seramai 15 pesakit ke wad lain. Bagaimanapun, Dedy yang terperangkap di dalam bilik terbabit gagal diselamatkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut kejadian terbabit bagi mencari punca kebakaran dan bagaimana mangsa terperangkap di dalam bilik itu. -hm

PAS Akan Terus Perjuangkan Keadilan Untuk Teoh

Posted: 28 Jul 2011 04:00 PM PDT

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menegaskan pihaknya akan tetap menuntut keadilan ke atas kematian mendiang Teoh Beng Hock sekali gus menolak keputusan Suruhanjaya Diraja itu.

Husam berkata, ini kerana hasil siasatan dan keputusan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock pada 21 Julai lalu bahawa kematian mendiang berpunca daripada bunuh diri tidak dapat diterima serta disifatkan sebagai tidak masuk akal.

"Kalau kita mengimbas semula bagaimana kerajaan menolak pandangan keluarga Teoh Beng Hock tentang pemilihan penubuhan Suruhanjaya Diraja Teoh Beng Hock yang mana kelima-lima anggota suruhanjaya itu adalah sepenuhnya dilantik dan dipilih oleh kerajaan Malaysia," ujarnya.

"Tidak ada perundingan dengan keluarga, dan hari ini apabila kita kata kita tidak boleh menerima laporan ini kerajaan Malaysia memberi amaran bahawa semua orang kena terima laporan ini,"jelasnya.

"Hari ini saya berkata bahawa saya menolak laporan ini,"tegasnya.

"Majlis Peguam juga menolak laporan ini," jelasnya.

Malah Husam berkata, pentadbiran Umno- Barisan Nasional(BN) harus memikul tanggungjawabnya yang mencipta raksasa di kalangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hingga menyebabkan kematian pembantu politik itu.

"Saya juga tidak boleh menerima laporan dan tindakan membunuh seorang warganegara Malaysia dan pembunuh itu juga dilindungi dengan laporan-laporan yang tidak elok. Kita semua bertanggungjawab dalam ketidakadilan ini. Kalau tidak hari ini Teoh Beng Hock dibunuh dan esok orang lain pula yang akan dibunuh," katanya dalam forum "Dimanakah Kebenaran?" di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur, semalam.

Tegas Husam lagi, beberapa insiden yang melibatkan anggota polis menembak mati mangsa mahupun tahanan mati dalam lokap bukanlah kerana isu bangsa mahupun kaum sebaliknya mengingatkan rakyat bahawa pihak berkuasa tidak sewenang-wenangnya melakukan kezaliman dan penindasan terhadap orang awam dengan alasan perundangan.

Katanya, perkara tersebut dapat dilihat melalui kematian Teoh Beng Hock sendiri, A Kugan dan Aminulrasyid Hamzah.

Ujarnya lagi, kematian mereka ini bukan saja dimanipulasi oleh sesetengah pihak malah turut terpalit dengan fitnah liar polis dengan mendakwa ada dari kalangan mangsa itu adalah penjenayah.

"Orang melayu mengatakan ini kematian anak orang india. Teoh Beng Hock anak orang cina orang melayu tak perlu bangkit. Kita dikejutkan dengan kematian adik Amirul Rashid yang masih lagi remaja. Pada pagi hari mereka dia ditembak berdas-das oleh pihak polis. Dan lebih menyakitkan hati ialah tiap-tiap kali kejadian ini berlaku tidak pernah kerajaan Malaysia bercakap benar kepada rakyat. Jelas Husam.

Laporan setebal 124 muka surat itu adalah keputusan sebulat suara semua anggota panel Suruhanjaya berkenaan yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Teoh, 30, pembantu Politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Prosiding suruhanjaya itu bersidang selama 50 hari dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini sejak 14 Februari dan berakhir pada 10 Mei lalu.

Tambah Husam, tindakan suruhanjaya memutuskan kematian Beng Hock adalah akibat bunuh diri tidak akan mematahkan semangat keluarga mendiang untuk terus bangkit menuntut keadilan.

"Saya berharap ini dapat memberikan kekuatan semangat kepada keluarga Teoh Beng Hock.Kita akan bersama sepertimana saudara Gobind Singh Deo memperjuangkan keadilan kepada mendiang Beng Hock, saudara Kugan dan Aminulrasyid,"katanya.

"Selagi kita hidup, kita akan perjuangkan keadilan untuk mendiang Teoh Beng Hock," tambahnya. -tvsnews


BERS✔H: Polis Gagal Buktikan Keganasan, Tetapi Rakyat Banyak Bukti Polis Bertindak Ganas

Posted: 28 Jul 2011 10:00 AM PDT

Polis gagal buktikan 'keganasan' Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 28 Julai: PAS mendakwa polis gagal mengaitkan Bersih 2.0 dengan keganasan apabila sehingga kini tidak mendedahkan hasil siasatan penemuan senjata berbahaya dan t-shirt kuning berlogo Bersih beberapa hari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, beliau yakin dakwaan penemuan senjata tersebut hanyalah propaganda Umno BN yang menggunakan pihak polis untuk memburuk-burukkan Bersih 2.0.

"Apa yang berlaku sebelum perhimpunan Bersih itu hanyalah propaganda Umno BN untuk menggambarkan peserta Bersih satu kumpulan militan untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.Ini matlamat sebenarnya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Awal pagi 4 Julai lalu, polis menemui empat bahan letupan molotov coktail yang diletakkan dalam plastik hitam di Jalan Raja Laut yang didakwa akan digunakan ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

Bahan letupan itu didakwa ditemui bersama beberapa senjata tajam seperti pisau dan parang serta 15 mercun bola dan t-shirt berlogo bertulisan Bersih yang dibungkus dalam plastik hitam dan diletakkan dalam pasu bunga di belakang pusat beli-belah Sogo.

Salahuddin berkata, apa yang menghairankan, polis gagal membuktikan senjata tersebut digunakan peserta perhimpunan Bersih 2.0, malah perhimpunan berlangsung aman melainkan gangguan daripada pihak polis sendiri.

"Ternyata pada hari itu kita berjaya mengadakan perhimpunan yang ternyata aman dan tidak pernah sekali-kali mencderakan atau merosakkan harta awam.

"Memang kita berjaya membuktikan kita tak bawa apa-apa senjata dan bahan-bahan bukti itu perlu diisytiharkan oleh pihak keselamatan apa statusnya.

"Lepas perhimpunan Bersih kita tak tahu status barang-barang tersebut dan ke mana pergi baju kuning yang dirampas polis," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

'Cerita' yang diada-adakan

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyifatkan dakwaan penemuan barang-barang tersebut sebagai "cerita" yang sama dengan kes penemuan parang dalam kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak polis April tahun lalu.

Parang itu ditemui oleh polis di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid, 15, sedangkan dalam keterangan tiga saksi selepas itu, mereka mendakwa tidak pernah meletakkan parang itu di dalam kereta dan tidak pernah melihat Aminulrasyid membawa senjata itu.

Menurut Nizar, polis sengaja mengada-adakan cerita untuk memfitnah peserta Bersih 2.0.

"Saya letak cerita ini (penemuan senjata dan t-shirt Bersih) sama dengan kes Aminulrasyid dahulu, episod yang sama, fitnah dari pihak polis dan mereka kena minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana memfitnah.

"Rakyat tak buat macam itu tapi polis mengada-ngadakan cerita jadi terbukti polis sendiri yang buat fitnah," kata beliau yang juga dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sehubungan itu, beliau mempertikai tiadanya sebarang tangkapan yang dibuat pihak polis berhubung dakwaan penemuan senjata berbahaya yang dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 2.0 itu.

"Kita katakan kalau betul apa yang polis dakwa, dah tentulah ada seorang dua yang ditangkap dan dakwa mereka tapi sampai sekarang tak ada sesiapa pun yang ditangkap.

"Kenapa tak ditangkap orang yang bawa barang-barang berbahaya itu? Jadi ini adalah pembohongan mereka sebelum perhimpunan Bersih. Semasa perhimpunan banyak lagi pembohongan dan begitu juga selepas perhimpunan," katanya yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang. -HD

Ulasan GB

Apa yang JELAS berlaku ialah di sebaliknya. Rakyat berjaya membuktikan bahawa polis lebih banyak menimbulkan aksi kekacauan dan keganasan di sepanjang perhimpunan Bersih 9 Julai itu.

Tetapi Polis masih dengan sindrom penafian dan sindrom penipuan. Menolak dan menyangkal mereka bertindak ganas. Sedangkan bukti-bukti nyata melalui foto dan video mendedahkan kisah zalim dan ganas mereka berlaku di sepanjang perhimpunan diadakan.

Majnun Yang Masih Tergilakan Laila

Posted: 28 Jul 2011 08:20 AM PDT

Usaha tiga tahun gagal, Umno masih harapkan kerjasama PAS

SHAH ALAM, 28 Julai — Meskipun usaha tiga tahun masih belum berjaya, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, parti itu masih berharap PAS dapat bekerjasama dengan Umno bagi menyatu padukan umat Islam dan Melayu di negara ini terutamanya dengan ketibaan bulan Ramadan kali ini.

"Walaupun tangan yang dihulurkan oleh Umno tidak disambut sebelum ini tetapi Umno tidak pernah menutup pintu rundingan kepada PAS apatah lagi sempena bulan Ramadan," katanya dipetik Bernama Online.

Umno mengusahakan perbincangan dengan PAS sejak selepas pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Terdahulu Ahmad menutup Forum Perdana Menjana Umatan Wahidah anjuran Umno Bahagian Kota Raja di sini malam tadi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kesanggupan Umno untuk bekerjasama dengan PAS bukanlah kerana Umno berada dalam keadaan terdesak tetapi untuk masa hadapan umat Islam terutamanya dalam soal sosio-ekonomi.

"Lagipun, sejak PAS menukar haluan perjuangannya daripada memperjuangkan penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan, akan memudahkan lagi kerjasama kedua-dua parti memandangkan Umno telah lama mengamalkan konsep negara berkebajikan ini," katanya.

Ahmad berkata penduduk bukan Melayu tidak perlu bimbang jika orang Melayu dalam Umno dan PAS bersatu kerana orang Melayu akan kurang berpolitik dan lebih menumpukan perhatian untuk membangunkan tahap sosioekonomi mereka.

Laporan media menyebut kepimpinan Umno dan PAS telah mengadakan pertemuan ke arah kerjasama mereka pada 24 Disember lalu.

PAS sudah banyak mengesahkan ia akan meneruskan kerjasama dengan PKR dan DAP menerusi perikatan Pakatan Rakyat.

Pendirian itu turut ditekankan ketika Muktamar PAS awal bulan lalu. -TMI


Kisah Majnun Yang Tergilakan Laila

Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Inilah perasaan yang menimpa pemimpin Umno sekarang apabila sedaya upaya berusaha menjalinkan hubungan dengan PAS.

Sedangkan ia tidak lebih seperti bertepuk sebelah tangan.

"Saya pun tak faham kenapa perkara ini boleh berlaku, macam cerita Majnun pula apabila seorang pengembala kambing berhajat untuk mengahwini anak raja.

"Macam-macam kerenah yang dibuat oleh Majnun sehingga pada suatu hari dia duduk seorang diri di bawah pokok sementara menunggu kambing sedang makan rumput, Majnun bercakap seorang diri.

"Apabila kawan dia tanya kamu bercakap dengan siapa, lalu Majnun menjawab, saya sedang bercakap Laila, seorang anak raja.

"Macamana seorang pengembala kambing mahu mengahwini anak raja. Mahu tidak mahu dia menulis nama Laila atas pasir. Dia tulis nama Laila lalu dia baca sendiri berulang kali.

"Kawan dia bertanya lagi, kamu bercakap dengan siapa, lalu dia jawab lagi dengan Laila. Mana Laila, kawan dia tanya, ini Majnun menunjukkan nama Laila yang dia tulis di atas pasir,"
katanya Menteri Besar Kelantan ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini pemimpin Umno beriya-iya benar mahu mengadakan kerjasama dengan PAS kononnya untuk perpaduan orang Melayu. -ulangsiar dari SINI


"Itu Bukan Bararuddin" - Keluarga Sangkal Lelaki Dalam Rakaman Video Polis

Posted: 28 Jul 2011 07:05 AM PDT

Keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad hari ini tampil menafikan lelaki dalam rakaman CCTV yang ditayangkan polis di saluran televisyen perdana adalah beliau.

Menurut anak saudaranya, Azhar Kassim, pihak keluarga menolak sekeras-kerasnya lelaki dalam video tersebut adalah arwah Baharudin dan mereka juga kesal dengan tindakan polis menayangkan video itu.

"Video itu bukan arwah, kami menafikan sekeras-kerasnya itu adalah beliau.

"Setakat ini pihak peguam keluarga memperincikan beberapa alasan kami menolak bahawa itu adalah Baharudin,"
kata Azhar ketika dihubungi KeadilanDaily.com.

Menurut Azhar, mereka ada alasan yang kukuh mengapa lelaki dalam video itu bukan arwah Baharudin.

"Kami ada alasan yang kukuh dan kuat kerana video yang ditunjukkan tidak selari dengan gambar arwah semasa dibawa keluar daripada Avenue K oleh pegawai perubatan.

"Mulanya gambar yang ditunjuk, pakai seluar jeans, tapi masa dibawa keluar pakai seluar hitam. Tapi keluarga menegaskan bahawa semasa keluar dari rumah untuk ke perhimpunan Bersih, arwah pakai baju putih berseluar hitam,"
kata beliau.

Selain itu, bentuk fizikal arwah Baharudin yang amat dikenali ahli keluarganya menguatkan lagi keyakinan mereka lelaki dalam video itu bukan beliau.

"Kalau tengok video itu, rupa yang kononnya Baharudin adalah cengkung, tapi muka sebenar arwah bentuk bulat
.

"Manakala cara jalan arwah tidak sama, kami percayai arwah sebelum ini jatuh berdekatan KLCC, takkan boleh berlari masuk," ujarnya.

Azhar seterusnya menyifatkan tayangan video itu sebagai mengganggu siasatan yang masih lagi berjalan ke atas kematian Baharudin.

"Sepatutnya polis berbincang dengan keluarga dan peguam sebelum keluarkan video itu, ini sedang mengganggu siasatan. Tindakan polis hanya mahu melepaskan batuk di tangga, nak senang semuanya," katanya.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid Jumaat lalu mendakwa kononnya tulang rusuk Baharudin patah mungkin disebabkan rawatan kecemasan yang diberikan ke atasnya.

Beliau turut mendakwa kononnya gigi lelaki berusia 58 tahun itu mungkin patah disebabkan tiub bantuan pernafasan yang dimasukkan ke dalam mulutnya.

Salleh juga mendakwa, tiada gas pemedih mata dilepaskan di KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Baharudin meninggal dunia. -KD

Laporan Suruhanjaya Dipersoal: Pakar Psikatri Buktikan Lebih Banyak Faktor Teoh Tak Bunuh Diri

Posted: 28 Jul 2011 05:40 AM PDT

TBH: RCI terlepas pandang penilaian risiko bunuh diri

ANALISIS Satu daripada bukti-bukti utama yang digunakan oleh suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyokong kesimpulan kontroversinya bahawa Teoh Beng Hock telah membunuh diri, ialah laporan pakar psikiatri Paul Edward Mullen (gambar).

Selepas meneliti laporan 11-muka yang dikemukakan dalam siasatan tersebut oleh Mullen - profesor emeritus psikiatri forensik dari Universiti Monash yang dibawa oleh Majlis Peguam - didapati lebih banyak faktor yang menunjuk kepada Teoh tidak membunuh diri, dan bukan sebaliknya.

Ini, bagaimanapun, nampaknya seolah-olah telah terlepas pandang oleh RCI.

Dalam penilaian risiko bunuh diri, Mullen mengklasifikasikan
Teoh dalam "kumpulan yang paling rendah berisiko untuk membunuh diri ketika berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia tidak membuat kesimpulan Teoh telah membunuh diri, dengan menggambarkan setiausaha politik DAP itu kekurangan faktor-faktor yang biasanya terdapat pada mereka yang boleh membunuh diri.

Mullen menulis bahawa dia mendapati Teoh mempunyai pekerjaan tetap, teman wanita yang akan dikahwininya tidak lama lagi, hubungan kekeluargaan yang rapat, ramai teman dan rakan sekerja dan tidak ada masalah kewangan yang diketahui.


Katanya, semua itu merupakan faktor-faktor sosial yang mengurangkan risiko membunuh diri.

Teoh, katanya, berada di peringkat awal kehidupan dewasa (25-40 tahun), tidak mempunyai sejarah cubaan membunuh diri atau memudaratkan diri sendiri, tidak berjudi berlebihan, dan tidak mempunyai sejarah keluarga membunuh diri.

Menurut Mullen, ia adalah faktor-faktor yang mengurangkan kemungkinan untuk membunuh diri. -mk

Sebelum Dan Selepas BERS✔H 2.0: Apa Kata Anak Muda?

Posted: 28 Jul 2011 03:50 AM PDT

Fahmi Reza: 709 adalah jari tengah kepada elit pemerintah Oleh Lim Hong Siang

Reaksi kerajaan Barisan Nasional terhadap BERSIH 2.0 mencungkil ketidakpuasan orang ramai, terutamanya orang muda, yang melihat bagaimana elit pemerintah semakin hari semakin tidak mewakili rakyatnya.

Kerajaan telah menyalahgunakan institusi awam untuk menjaga kepentingan diri - termasuk memanipulasikan media, mempergunakan polis untuk menguasai rakyat, seolah-olah dirinya raja yang mana rakyat kena ikut cakapnya.

"Jadi, 9 Julai (perhimpunan BERSIH 2.0) tu, is a big middle finger (jari tengah) to them, sebenarnya. It's a big f*** you to them juga. Ya, dia suruh kita jangan pakai yellow (kuning), we say f*** you, kita akan pakai apa-apa baju yang kita nak pakai. They said you tak boleh turun ke jalan, we say f*** you, this is our country, this is our rights. Dan kita akan jalan, whether you like it or not, because we are only exercising our rights untuk kebebasan berhimpun."

Demikianlah kata-kata Fahmi Reza, Pengarah filem "10 tahun Sebelum Merdeka" dalam forum "Sebelum & Selepas 709: Apa Kata Anak Muda?", anjuran bersama Free Public Forum Malaysia (FPF), Amnesty International Malaysia, dan Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS) di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

Ramai panelis dan hadirin yang bersetuju, malah kagum dengan kejayaan rakyat Malaysia untuk menembusi sekatan polis dan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0, lebih-lebih lagi dibadai dengan ugutan, amaran keras dan sebagainya daripada pihak pemerintah sebelum 709.

Selain Fahmi Reza, forum ini membariskan bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysiam Shazni Munir; Faisal Aziz dari Amnesty International, Setiausaha Pentadbiran DEMA, Wong Swee Nee, aktivis JERIT dan PSM Bawani, dan Afif dari IDEAS sebagai ahli panel. Diskusi yang bertindih dengan forum isu Teoh Beng Hock (di bangunan yang sama diskusi diadakan), candle light vigil untuk EO6 (di Dataran Merdeka) semalam, menarik kira-kira 80 orang.

Beberapa orang hadirin yang berkongsi pandangan dalam sesi soal-jawab menyahut apa yang dikatakan Fahmi, iaitu reaksi kerajaan terhadap BERSIH yang mengeruhkan keadaan. Seorang hadirin mendakwa dirinya tersinggung dengan label negatif yang dilontarkan Perdana Menteri terhadap peserta perhimpunan sebagai pengkhianat (traitor), kurang ajar dan sebagainya, sedangkan beliau hanya berhimpun untuk meluahkan pandangannya.

"BERSIH" menjadi buah mulut

Perhimpunan BERSIH 2.0 disertai mereka yang berasal dari latar belakang yang pelbagai, malah ramai antara mereka yang turun ke jalan raya buat kali pertama, menurut pengamatan Fahmi Reza. Beliau melihat 709 mungkin petanda awal manifestasi kebangkitan rakyat, khususnya orang muda; bagaimanapun mengingatkan bahawa sama ada kebangkitan itu mampu diteruskan atau dimatikan bergantung kepada usaha kita semua.

Faisal Aziz yang terakhir berucap untuk pusingan pertama, mendahului dengan "ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia, kerana "terma demokrasi itu kini diraihkan di jalan raya, dan bukan hanya di buku sahaja". Beliau menyifatkan penyertaan perhimpunan sungguh menggalakkan, terutamanya "anak-anak muda yang tak pernah terlibat dengan organisasi human rights, atau organisasi seperti IDEAS, ataupun tampil ke depan untuk berdiskusi intelek, atau discourse intelektual lain."

Menurut pemerhatian Faisal, anak-anak muda yang tidak menyentuh soal politik dalam sembang-sembang teh tarik mereka sebelum ini, kini semakin "celik" dan mula berbincang mengenai "BERSIH". Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangannya terhadap penduduk kampung yang lebih terpengaruh dengan maklumat media arus perdana, di mana mereka enggan berbincang mengenai "BERSIH".

Namun, pengalaman Bawani agak berbeza, beliau mendapati orang-orang kampungnya yang sebelum ini tidak bercakap pasal politik, kini bercakap pasal "BERSIH". "Sekurang-kurangnya mereka tahu sesuatu mengenai BERSIH, lebih baik daripada langsung tidak tahu apa-apa mengenainya," kata Bawani. Mungkin ia bukan kesedaran yang tinggi, tetapi memadai buat peringkat permulaan, kata Bawani.

709 lebih daripada 8 tuntutan BERSIH

Afif pula bersetuju dengan Fahmi, bahawa makna perhimpunan BERSIH pada 9 Julai 2011 lebih daripada lapan tuntutan yang dikemukakan BERSIH 2.0. Beliau menghurai bagaimana masalah yang menimpa rakyat dalam kehidupan harian, misalnya inflasi, korupsi, penyelewengan dan sebagainya telah mendorong mereka untuk turun ke jalan raya.

Swee Nee pula menuduh bahawa media yang sepatutnya memupuk kesedaran masyarakat terhadap "lapan tuntutan BERSIH', mengalihkan tumpuan kepada isu-isu seperti "sama ada BERSIH haram", "adakah BERSIH mendapat permit perhimpunan", "siapa dalang di sebalik BERSIH" dan sebagainya, ketika membuat liputan sebelum perhimpunan 709.

Afif mengambil kesempatan untuk menyanggah logik kerajaan bahawa hak berhimpun golongan minoriti perlu dinafikan demi kepentingan majoriti. Beliau menyimpulkan bahawa apabila kita menafikan hak segelintir orang minoriti, pada masa yang sama kita juga akan menafikan hak semua orang. Beliau mengambil contoh 709, "Untuk menafikan (hak) 50 ribu orang yang masuk KL itu, polis telah menafikan (hak) ratusan ribu orang yang duduk dan nak masuk KL."

Impak BERSIH: Sebelum atau selepas 709?

Shazni Munir memberi pandangan bahawa bilangan yang turun pada 709 sebenarnya tidak penting, tetapi impaknya merebak kepada rakyat yang neutral dan tidak turun ke jalan raya selepas 709 - apabila rakyat menyaksikan sendiri bagaimana mereka yang mahu menyampaikan pandangan dilayan sebegitu rupa oleh polis dan kerajaan.

Faisal bersetuju dengan pandangan Shazni, bahawa orang ramai mula berfikir sama ada lapan tuntutan BERSIH itu relevan, atau terlalu berat untuk dilaksanakan selepas 709. Impak BERSIH lebih terasa selepas 709 berikutan keganasan polis, yang menyebabkan orang ramai mula bersimpati terhadap BERSIH, pada masa yang sama, cuba menyelami apa sebenarnya BERSIH 2.0.

Bagaimanapun, ketika mengulas pandangan yang dilontarkan Shazni Munir, seorang hadirin menganggap impak BERSIH telah bermula sebelum perhimpunan pada 9 Julai. Penangkapan mereka yang berbaju kuning, kerajaan yang berdolak-dalih dalam isu stadium - telah memaksa orang di atas pagar untuk membuat satu pendirian, menurutnya.

Beliau turut membangkitkan bagaimana peranan Facebook untuk menghapuskan ketakutan rakyat sebelum 709. Apabila laman sosial ini ditenggelami dengan gambar profile berwarna kuning, atau dengan badge BERSIH 2.0, maka ia memberi makna bahawa orang ramai berada bersama BERSIH, dan keadaan ini membantu untuk menyingkirkan rasa takut pada diri mereka yang menyokong BERSIH - kerana solidariti yang diberikan warga internet. -MR

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia

Saya Ada Hak Untuk Temui PM. Demi Rakyat, Saya Mahu PM Letak Jawatan

Posted: 28 Jul 2011 01:49 AM PDT

Mohd Fareez: Saya bukan teroris

PETALING JAYA: Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Mohd Fareez Kamal Intidzam yang ditahan polis ketika majlis pelancaran pengibaran bendera Jalur Gemilang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menegaskan beliau ada hak untuk berjumpa dan menegur perdana menteri.

"Saya hanya seorang rakyat. PM adalah hak rakyat. Maka adalah hak untuk saya berjumpa dan menegur PM kerana PM itu milik rakyat.

Demi rakyat, saya sayangkan negara saya. Demi rakyat, saya mahu PM letak jawatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau bersama enam ahli AMK yang lain ditahan di KL Sentral semalam kerana dikatakan cuba menyampaikan memorandum kepada Najib.

Bagaimanapun, Mohd Fareez menegaskan beliau bukan seorang teroris.

"Dear PM, my name is Fareez. And I'm not a terrorist."

"Susulan laporan penahanan saya dan aktivis Bersih lain sehingga tempoh 24 jam ini saya telah diserang hebat di twitter, facebook dan blog pro-Umno bahawa kononnya saya ditahan kerana cubaan mensabotaj program edaran Jalur Gemilang.

Tentera upahan Umno

"Malah ada yang melampau sehingga mendakwa bahawa saya merancang mahu mencedera dan membunuh Perdana Menteri hanya kerana kapasiti lain saya sebagai pengasas Pertubuhan Revolusi Anak Muda Malaysia (PRAMM).

"Ingin saya ingatkan kepada tentera media upahan Umno dan Najib, hattaPapa Gomo sekalipun, bahawa jika Najib terus-terusan menipu, menindas dan membuli rakyat, bukan sahaja rakyat akan menolak beliau dan Umno-BN pada PRU13 kelak, malah tidak mustahil ada yang akan sanggup membunuhnya juga nanti.

"Maka, demi memelihara keselamatan PM, saya menggesa agar seluruh jentera Umno jangan mencabar kesabaran rakyat lagi," katanya.

Mohd Fareez berkata, penahanan semalam juga menggambarkan seolah-olah beliau dan aktivis lain umpama pengganas di negara ini.

"Hanya sebuah kerajaan yang bersalah pada rakyatnya sahaja akan takut berhadapan dengan rakyatnya," tambahnya. -FMT



Tiada ulasan: