Kelab Greenboc |
- WAHABI: Shahidan Turut Disenaraikan Dalam Lis WANTED
- Rumahtangga Jimmy Di Persimpangan, Iktibar Untuk Anak Muda
- Alasan Najib Terlalu Lemah Halang Himpunan BERS✔H
- BERS✔H 2.0: Peguam Keluarga Baharuddin Minta Polis Henti Beri Kenyataan Berbaur Politik
- Bahana Undi BN: Kontraktor Galas Teraniaya, Tuntutan Projek PRK Belum Dibayar
- Rais Terkedu, Media Arus Perdana Bantah Keras Penubuhan Majlis Perundingan Media
- Saintis Desak Pantau Kajian Wujudkan 'Manusia Separuh Beruk'
- UMNO BN Jangan Anggap Rakyat Bodoh!
- Biometrik: Pakatan Rakyat Tetap Tolak, MAFREL Turut Pertikai Penggunaannya
- Bekas Pemimpin UMNO Tolak Najib, Ku Li Gesa Bersihkan Negara
- Tuntutan BERS✔H Terbukti Benar. SPR Akui Wujud Pengundi Hantu
WAHABI: Shahidan Turut Disenaraikan Dalam Lis WANTED Posted: 26 Jul 2011 01:00 AM PDT Isu Wahabi: Dialog dengan kami, Shahidan ajak menteri dan PDRM KUALA LUMPUR, 26 Julai — Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menggesa pihak berkuasa menyelesaikan isu Wahabi dan kini dikaitkan dengan aktiviti pengganas diselesaikan buat selama-lamanya dan tidak terus dibangkitkan termasuk dilaporkan menjadi fokus Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam. Sehubungan itu beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mahu satu dialog diadakan bersama pihak-pihak yang dilabel sebagai pengamal dan pengikut fahaman Wahabi. Shahidan sendiri pernah dikaitkan sebagai pengamal fahaman Wahabi. Beliau merupakan salah seorang daripada empat pemimpin politik dan agama dinamakan dalam senarai 'dikehendaki' dalam isu fahaman Wahabi awal tahun lalu. Bagaimanapun Shahidan sudah beberapa kali menafikan dakwaan sedemikian dan pernah mencabar pihak-pihak yang mempertikaikannya agar mengemukakan bukti. "Perkara ini sudah lama dibangkitkan, bukan baru. Jadi, saya akan minta (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengadakan satu dialog, dialog antara mufti-mufti dengan mereka yang didakwa mengamalkan fahaman Wahabi. "Saya juga minta polis mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak ini (didakwa mengamalkan Wahabi), kami pun hendak tahu di bahagian mana dalam badan kami ada amalan Wahabi, kami mengamalkan fahaman Wahabi... bincang dengan kami, dan selesaikan isu ini buat selama-lamanya," kata beliau kepada The Malaysian Insider pagi ini. Malah perkara itu turut ditekankan oleh dalam laman sosial Facebooknya. Shahidan antara lain berkata "kerajaan persekutuan dan negeri kena perjelaskan apakah dia fahaman Ahbash kerana dalam buku haram edaran puak-puak Syiah gambar Zamihan, seorang pengamal Ahbash dipamerkan sebagai hero... mungkin kerajaan pun tidak faham tentang bahaya Ahbash.. menteri agama (Jamil Khir) camna?" kata beliau dilihat merujuk kepada Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia. Pegawai itu pernah didakwa menyenaraikan Shahidan, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada taklimat dengan Polis Diraja Malaysia dan para naib canselor pusat pengajian tingggi tempatan tahun lalu. Justeru tegas Shahidan, beliau akan menghubungi Jamil Khir hari ini meminta agar diadakan satu dialog dan tidak mahu isu ini berpanjangan. "Bagaimana mereka boleh menghina tokoh-tokoh agama ini, mufti ini kononnya mengamalkan Wahabi dan dikaitkan sebagai menjurus kepada keganasan... mengapa tidak panggil mereka dan diadakan dialog," kata Shahidan sambil mengulangi bahawa pihaknya tidak mengamalkan fahaman Wahabi. "Saya pun tidak tahu apa itu amalan Wahabi, beritahu kami apa itu amalan Wahabi, beri kami penjelasan... kalau dapat memberikan penjelasan, kami gembira," kata Shahidan yang memainkan peranan penting dalam membawa 40 ulama muda menyertai Umno tahun lalu. Kesemua 40 ulama muda itu turut didakwa disenaraikan sebagai pengamal fahaman Wahabi bersama Asri dan Juanda kali ini. Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider pagi tadi, Asri berharap ulama-ulama muda itu, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas. Sehubungan itu, Asri berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi. "Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini. "Jadi, saya meminta mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti (Umno), sama ada mahu kekal sebagai ulama muda dalam Umno," kata Asri kepada The Malaysian Insider hari ini. Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata "pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih." "Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya." Malah kata Asri, "(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik..." |
Rumahtangga Jimmy Di Persimpangan, Iktibar Untuk Anak Muda Posted: 25 Jul 2011 11:40 PM PDT Cerai atau kekal KESABARAN Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, terhadap sikap suami yang juga pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, sudah sampai ke penghujung. Ia hilang apabila Jimmy menghebahkan dalam media kononnya majlis cukur jambul anak mereka dibatalkan sekali gus turut menimbulkan kemarahan bapa isterinya yang juga ahli perniagaan, Datuk Suhaimy Othman. Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober 2010, namun selepas 20 hari bernikah, mereka tinggal berasingan dan pelbagai berita timbul sehinggalah kes dibawa ke mahkamah apabila Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat, pada 3 Januari lalu. Ikuti luahan Nursuhaila menerusi video dan kenyataan balas Jimmy yang masih berkeras enggan melepaskan isterinya. APA KATA NURSUHAILA SAYA tidak akan kembali semula kepada Jimmy walaupun dia sudah berubah. Tetapi, saya maafkan kesalahan dia. Saya tetap mahu menuntut cerai dan mendapatkan hak penjagaan anak berusia 32 hari walaupun sebelum ini Jimmy mendakwa akan menarik balik kes nusyuz terhadap saya. Saya bercakap pada sidang media yang diadakan ini (semalam) untuk menjawab segala kontroversi hubungan kami, termasuk yang terbaru membabitkan majlis cukur jambul bayi kami. Saya sudah tidak tahan dengan sikap Jimmy yang meraih simpati mengenai krisis rumah tangga kami di media. Bagi saya, dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan baik. Dia hanya memberikan wang nafkah kepada saya ketika saya mengandung, itupun hanya RM300 sebulan dan tidak cukup untuk menampung ubat dan pemeriksaan lain. Selain itu, antara faktor lain saya enggan kembali kepada Jimmy ialah kerana dia sering memukul dan menampar pipi saya hanya kerana pergaduhan kecil. Malah, sebelum malam perkahwinan pun saya ditampar apabila meminta izin untuk keluar berjumpa rakan. Selain itu, saya turut dikasari ketika berbulan madu di Koh Samui, Thailand, hanya kerana pergaduhan kecil. Tapi, saya mengakui saya seorang yang bersifat kasar dan sudah menjelaskan kepada Jimmy sebelum berkahwin tetapi dia sudi menerima saya seadanya. Bagaimanapun, tindakan Jimmy mengasari saya menyebabkan saya tidak mampu bertahan, apalagi apabila saya dikongkong dan disuruh tidur jam 9 malam dan tidak boleh melayari laman sembang sosial. APA KATA JIMMY SAYA tidak akan sewenang-wenang menceraikan dia kerana apa yang saya lakukan selama ini adalah tanggung jawab sebagai suami dan talak terletak di tangan lelaki. Sebagai isteri, Nursuhaila harus patuh pada perintah dan arahan saya dan jika ingkar, dia tidak akan mencium bau syurga. Selepas berkahwin apa yang saya harapkan ialah selepas seharian penat bekerja, dapat meluangkan masa bersama isteri dan mahu diberikan layanan sebaiknya dari seorang wanita bergelar isteri. Tanpa alasan munasabah, saya tidak akan sesekali menceraikan isteri saya dan sekiranya saya gagal dalam prosiding mahkamah pada kali ini, saya akan berusaha mendapatkan hak penjagaan anak. Saya mengakui tidak membenarkan dia menemui rakan sebelum malam perkahwinan dan meminta Nursuhaila hanya berehat di rumah, namun dia tetap berdegil. Tindakannya ingin bertemu rakan menyebabkan saya hilang kawalan dan menamparnya. Begitu juga sewaktu di Koh Samui tetapi selepas itu saya tidak melakukannya lagi. Saya juga berjanji untuk menjaganya selepas kahwin dan dia juga pernah berjanji kepada saya untuk berubah. Selain itu, saya berpendapat, ibu bapa seharusnya tidak campur tangan dalam masalah rumah tangga anak-anak kerana campur tangan itu akan menyebabkan keadaan semakin tegang. Saya cuba berkomunikasi secara baik dengan Nursuhaila, malangnya dia hanya berdiam diri dan tidak mahu menjawab SMS atau panggilan telefon. Saya cuba bertanya kepada ibu keadaannya dan memberitahu ibunya bahawa saya cuba berbincang mengenai masalah yang dihadapi, itu saja. -hm Ulasan GB GB paparkan kisah ini untuk anak muda yang baru mendirikan rumahtangga belajar dan ambil pelajaran dari kisah di atas. Menjadi kewajipan si suami mendidik. Tetapi apabila didikan itu sudah tidak berjaya hendak dilaksanakan tanpa melihat salah di pihak mana, maka di situ terpercik bibit perselisihan yang membawa perpisahan. Anehnya, malam sebelum pernikahan pun masih nak jumpa kawan? Malah, sebelum malam perkahwinan pun saya ditampar apabila meminta izin untuk keluar berjumpa rakan. |
Alasan Najib Terlalu Lemah Halang Himpunan BERS✔H Posted: 25 Jul 2011 10:00 PM PDT Najib: Tugas k'jaan lindungi nyawa, harta benda rakyat Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi melindungi kepentingan dan harta benda masyarakat umum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam blognya, www.1Malaysia.com. Beliau berkata perhimpunan BERSIH 2.0 di ibu negara baru-baru ini telah menunjukkan rakyat menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan negara. "Insiden terbaru di Kuala Lumpur baru-baru ini telah menyagikan kita dengan ujian penting. "Keputusan kita sebagai kerajaan adalah untuk melindungi kepentingan dan harta benda masyarakat umum yang bergantung mata pencarian mereka di Kuala Lumpur," katanya. Najib berkata dengan membenarkan satu kumpulan mengadakan demonstrasi, maka ia akan memberi peluang kepada pihak lain menggunakan kaedah sama untuk menimbulkan peristiwa menggemparkan atau isu kontroversi yang mendapat perhatian awam. "Tanpa menghiraukan janji-janji untuk demonstrasi aman, ia hanya mengambil sebilangan kecil kumpulan yang terlampu ghairah untuk mencetuskan keadaan bertambah buruk dengan menyerang penonton tidak berdosa atau merosakkan harta benda. "Adakah berbaloi untuk kita mengambil risiko? Oleh itu, sebagai Perdana Menteri, ia menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi segera kepentingan masyarakat umum berbanding kepentingan sekumpulan kecil penentang," katanya. Najib berkata baru-baru ini Malaysia menduduki ranking ke-19 negara paling selamat dalam dunia dan pertama di Asia Tenggara. "Selama beberapa dekad kita telah membina sebuah negara berbagai budaya dan etnik atas dasar toleransi bersama dan saling menghormati," katanya. Katanya pengalaman peribadinya semasa insiden 13 Mei, 1969 telah membentuk pemahanannya mengenai kepimpinan apabila beliau melihat ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak, ketika itu menjadi Perdana Menteri, menangani krisis tersebut. "Sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Allahyarham mempunyai kuasa Kabinet dan Parlimen dalam tangannya. "Ayah saya takut dengan kuasa mutlak dan tidak boleh menunggu untuk hari yang beliau boleh menyerahkan kuasa kepada rakyat menerusi Parlimen dan memulihkan demokrasi berparlimen," katanya. Ketika Malaysia melalui transformasi secara besar-besaran, Najib mengesa rakyat supaya tidak tunduk kepada gesaan bagi tindakan yang hanya memenuhi kepentingan segelintir untuk memecahbelahkan negara. "Biar kita tidak tunduk kepada cita rasa mereka yang menuntut balasan yang hanya akan mengakibatkan semangat muhibah dan kerja keras yang dibina sejak sekian lama lenyap begitu sahaja. "Biar kita semua bersama-sama menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara harmoni," katanya. - Bernama Ulasan GB Rakyat ingin menyuarakan kepda Najib, PM Malaysia bahawa usah berdalih dan menggunakan alasan keselamatan kerana rata-rata peserta perhimpunan yang hadir tidak berhajat untuk merosakkan apa saja harta benda, atau menyerang sesiapa saja atau menimbulkan sebarang kekacauan. Yang NYATA, yang merosakkan harta benda, yang menyerang orang awam dan yang menimbulkan kekacauan ialah pihak polis sendiri sehingga ramai yang tercedera dan ada yang mati lantarannya. Tembakan gas pemedih mata secara rambang merupakan bukti kukoh bahawa merekalah yang melakukan kesemua yang dimaksudkan itu. Apa yang dilakukan oleh pihak polis hanyalah untuk "menyelamatkan" kerajaan UMNO BN bukan untuk menyelamatkan rakyat atau harta benda. BUKTIKAN jika ada peserta-peserta BERSIH yang datang membuat kekacauan atau ada apa-apa harta benda orang awam atau harta negara yang rosak disebabkan oleh perlakuan peserta-peserta BERSIH. Hampir tidak ada. Loceng telah berbunyi bebberapa kali, bahawa rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dengan alasan-alasan superficial sedemikian rupa dan masa telah tiba untuk BN bergerak pergi. |
BERS✔H 2.0: Peguam Keluarga Baharuddin Minta Polis Henti Beri Kenyataan Berbaur Politik Posted: 25 Jul 2011 08:40 PM PDT Keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad hari ini menggesa polis supaya berhenti memberi kenyataan berbaur politik bersabit kematian beliau semasa menyertai perhimpunan Bersih 2.0 awal bulan ini. Peguam keluarga, Ahmad Zuflis Faiza mempersoalkan dakwaan polis kononnya kecederaan Allahyarham seperti gigi dan tulang rusuk yang patah mungkin dialami semasa bantuan kecemasan diberikan kepada beliau, dan bukan akibat asakan polis. Jumaat lalu, Polis Bukit Aman turut menayangkan rakaman video detik- detik Allahyarham rebah di Avenue K, bagi menguatkan dakwaan kononnya beliau bukan mangsa asakan polis. Ahmad Zuflis menyifatkan dakwaan-dakwaan polis itu sebagai tidak lebih untuk memenuhi kepentingan politik pihak tertentu. Polis tak patut buat kenyataan berbau politik. Kedua benda ni masih dalam siasatan, kita sudah tulis surat untuk membuat inkues di mahkamah, jadi polis tak perlu tergesa- gesa buat kenyataan politik untuk respon kepada orang- orang politik. kata beliau kepada TV Selangor. Ahmad Zuflis turut mempersoalkan penggunaan video untuk menyokong dakwaan polis kononnya Allahyarham Baharuddin tidak menjadi mangsa asakan polis. Beliau berkata kesahihan video itu sendiri dipertikaikan manakala rakaman pendek itu tidak mempaparkan punca Baharuddin dan peserta Bersih lain mencari perlindungan di pusat membeli belah Avenue K. Merujuk kepada rakaman itu, kita tak tahu betul atau tak betul, maknanya mungkin orang lain dan kalau betul itu si mati ketika berlari, persoalan kita ialah sebelum dia berlari itu pasal apa ? Anda ambil gambar sebahagian sahaja. Jadi sebab itu kita kata, kita minta mereka jalankan siasatan mengikut undang- undang, tambah beliau. Katanya, pihaknya dan keluarga mangsa akan mengadakan sidang akhbar Rabu ini bagi memberikan penjelasan lanjut dan tindakan susulan yang akan dambil. Anggota keluarga Allahyarham sebelum ini mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan juga kepada Ketua Polis Negara, mendakwa kecederaan yang dialami mangsa itu mungkin berpunca daripada keganasan polis. Puluhan ribu orang menyertai perhimpuan itu untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil walaupun terpaksa menongkah arus tembakan air berkimia dan gas pemedih mata oleh polis. Lebih 1,600 orang ditahan manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadi beliau, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen, Shah Alam Khalid Samad antara yang cedera. -tvsnews |
Bahana Undi BN: Kontraktor Galas Teraniaya, Tuntutan Projek PRK Belum Dibayar Posted: 25 Jul 2011 07:30 PM PDT Kontraktor belum dibayar tuntutan projek PRK Galas GUA MUSANG, 25 Julai: Selepas sembilan bulan pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas berlalu, namun belum pun kelihatan janji projek perumahan rakyat seperti terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN). Projek perumahan berharga RM180 juta itu telah diletak batu asas oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kempen pilihan raya berlangsung. Jauh sekali untuk melihat projek mega lain dilaksanakan, antaranya Golf Club dan Country Resort bernilai RM856 juta, Agro Tourism (RM256 juta) dan kampus Universiti Malaysia Kelantan cawangan Gua Musang (RM316 juta). Lebih memalukan lagi usahkan projek bertaraf mega, projek segera yang dilaksanakan bernilai di bawah RM50,000 pun didakwa belum dibayar kerajaan pusat sehingga sekarang. Lebih malang lagi masalah itu dialami sendiri anggota jawatankuasa Umno Gua Musang, Abdul Wahab Yunus yang juga seorang kontraktor. Beliau mendakwa projek kecil di bawah Kementerian Pelajaran dilaksanakan semasa kempen pilihan raya Galas lalu belum dibayar sehingga sekarang. Abdul Wahab merupakan kontraktor kelas F diberi tanggungjawab melaksanakan projek-projek kecil di bawah kendalian Kementerian Pelajaran semasa kempen pilihan raya kecil Dun Galas. "Saya telah mengemukakan tuntutan terhadap projek yang dilaksanakan semasa pilihan raya kecil Galas sejak Disember lalu. "Malah pada 10 Julai lalu saya datang menemui pihak terbabit bagi menyelesaikan bayaran tuntutan nilai projek yang telah saya laksanakan. "Namun segala usaha saya bagi mendapat bayaran projek yang dilaksanakan gagal," katanya ketika datang mengadu masalah itu kepada penyelia parlimen Gua Musang, Abdullah Hussin di sini baru-baru ini. Beliau begitu kesal kerana kos yang terpaksa ditanggung bagi menyiapkan projek pilihan raya kecil Galas tidak dibayar kerajaan BN sehingga sekarang. -HD |
Rais Terkedu, Media Arus Perdana Bantah Keras Penubuhan Majlis Perundingan Media Posted: 25 Jul 2011 05:08 PM PDT Mesyuarat sulung majlis media 'gagal' Wakil media arus perdana menyuarakan bantahan keras ke atas cadangan kerajaan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Media (MPM) dalam mesyuarat rundingan pertama yang diadakan hari ini. Seorang daripadanya, Datuk Nuraina Samad berkata beliau serta beberapa orang pengarang lain membantah cadangan berkenaan kerana ia dilihat sebagai satu lagi bentuk kawalan ke atas akhbar. "Mereka kata ianya majlis perundingan tapi sebenarnya majlis ini hanyalah satu lagi bentuk kawalan," kata editor pengurusan dan penulis blog itu. Sedangkan media hari ini sudah bergelut dengan dengan soal kredibiliti dan undang-undang sedia ada seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas mesyuarat tersebut. Beliau turut mempertikaikan mengapa pegawai kanan perdana menteri perlu hadir di majlis berkenaan sedangkan wakil media dalam talian tidak hadir. Turut disuarakan dalam mesyuarat berkenaan ialah kegelisahan pengarang akhbar yang bimbang sekiranya cadangan penubuhan majlis berkenaan akan terus menjejaskan persepsi pembaca, katanya. "Bagaimana majlis ini akan dapat membantu jualan akhbar?" soalnya. Mesyuarat sulung itu dihadiri antara lainnya pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Meor Kamarul Shahid serta wakil pengarang dari akhbar berbahasa Cina - Kumpulan Sin Chew. Lapor balik pada kerajaan Mesyuarat yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf itu sepatutnya membariskan sekurang-kurangnya 80 orang pengarang kanan daripada organisasi media cetak dan elektronik, mengikut kertas cadangan yang dikemukakan kepada wakil media sebelum ini. Kamaruddin juga mengakui, pertemuan yang diadakan hari ini merupakan satu "kegagalan" namun beliau gembira kerana pengarang berkenaan tetap menyuarakan pendapat mereka. Jelasnya, kerajaan bercadang untuk menjalankan perbincangan secara berperingkat-peringkat dan mesyuarat hari ini melibatkan sebahagian besar pengamal media cetak. "Selepas ini baru kita panggil media baru, tapi dengan media cetak pun sudah gagal... Saya lapor balik kepada kerajaanlah. "Ini hanya untuk dapatkan maklum balas tapi saya mahu yakinkan bahawa majlis ini bukan untuk mengawal tapi hanya majlis rundingan. Ia tiada kuasa eksekutif," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini di majlis sama. Jelasnya, idea untuk menubuhkan majlis media telah dibincangkan sejak tahun 1970-an namun sehingga kini tidak berhasil. "Sebab itulah kita berharap dengan adanya mesyuarat ini, ia akan membuka jalan kepada penubuhan satu majlis media. Kita cuma mahu menolong, lain tak ada. "Apa yang kita mahu, supaya (media) ada badan pengawal sendiri... Tapi buat masa ini ianya agak sukar. Tiada orang yang mengambil langkah pemula, jadi kita mahu ada perbincangan dahulu," katanya lagi. -mk |
Saintis Desak Pantau Kajian Wujudkan 'Manusia Separuh Beruk' Posted: 25 Jul 2011 09:50 AM PDT London: Para saintis di Britain mendesak peraturan ketat dikenakan terhadap usaha segelintir penyelidik yang mahu mewujudkan makhluk separuh beruk dan separuh manusia seperti dalam filem Hollywood, Planet of The Apes. Dalam satu laporan, para saintis itu memberi amaran bahawa penyelidikan yang kini sedang dilakukan hampir melanggar etika dalam percubaan menyatukan ciri manusia dengan haiwan. Profesor Martin Bobrow, seorang pakar genetik perubatan di Universiti Cambridge dan penulis bersama laporan itu, berkata masyarakat perlu sedar bahawa penyelidikan yang mencampuradukkan gen manusia dengan haiwan harus dikawal selia dengan ketat. 'Kami mahu masyarakat menyedari implikasi penyelidikan seumpama itu sebelum ia benarbenar melahirkan sesuatu yang tidak diingini,' beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar Daily Mail. Akademi Saintis Perubatan Britain telah menubuhkan pasukan penyemak yang akan meneliti penyelidikan yang mencampuradukkan gen manusia dalam tisu haiwan. Tahun lalu, lebih sejuta penyelidikan dilakukan membabitkan haiwan diubah secara genetik, kebanyakannya membabitkan tikus dan ikan yang dilahirkan dengan DNA manusia. Haiwan makmal itu digunakan untuk mewujudkan ubat baru bagi penyakit seperti barah dan Alzheimer atau untuk mengkaji fungsi gen tertentu. Para penyelidik juga didapati mewujudkan haiwan berciri manusia dengan memasukkan sel tunjang manusia ke dalam embrio haiwan. Haiwan digelar chimeras ini adalah untuk mengkaji penyakit seperti strok, hepatitis dan barah. Laporan para saintis tersebut tidak mempersoalkan penyelidikan seumpama itu, namun mereka berkata jika tidak dikawal, lambat laun kegiatan berkenaan akan mewujudkan haiwan yang memiliki ciri manusia yang tidak boleh diterima masyarakat. Laporan itu mendesak Kementerian Dalam Negeri memantau penyelidikan berkenaan dan melarang uji kaji yang membabitkan suntikan sel tunjang manusia ke dalam otak beruk bagi mendapatkan haiwan yang mempunyai tabiat seperti manusia. Larangan penyelidikan sedemikian dapat menghalang usaha mewujudkan beruk yang mempunyai daya ingatan dan pertuturan seperti manusia. Seorang lagi penulis bersama laporan itu, Profesor Thomas Baldwin, berkata: 'Kami bimbang jika sejumlah besar sel otak manusia disuntik dalam otak beruk, ia boleh memberi haiwan itu keupayaan yang selama ini hanya dimiliki manusia seperti pertuturan atau kebolehan untuk memanipulasi.' - Agensi |
UMNO BN Jangan Anggap Rakyat Bodoh! Posted: 25 Jul 2011 08:07 AM PDT Umno-Barisan Nasional(BN) diingatkan supaya tidak lagi memperbodohkan rakyat hari ini dengan penggunaan media tradisional yang dikuasai mereka, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Malah katanya, rakyat khususnya generasi muda hari ini bebas berfikir serta mendapatkan maklumat biarpun ia cuba disembunyikan pentadbiran Umno-BN. "Kini, dalam rakyat kita sudah wujud satu generasi baru yang bebas berfikir, bebas mendapat maklumat dan mengetahui fakta sebenar. Disebabkan itu, kerajaan tidak seharusnya melayan rakyat seperti di era 1980-an walaupun radio nasional cuba mengembalikan nostalgia lama," katanya dipetik Harakahdaily. Justeri itu, beliau menyifatkan zaman ini sebagai zaman kebangkitan rakyat dan menyeru BN melihat sendiri bukti itu pada waktu ini. Katanya, ia termasuk kebangkitan masyarakat peneroka yang menyedari mereka ditipu oleh Felda selama bertahun-tahun, dan kini mula bangkit menyaman Felda, bahkan mereka sudah memenangi beberapa kes terhadap organisasi yang seharusnya menjaga kebajikan mereka. Selain itu, rakyat juga sudah mula berani bangkit membantah saman ekor, kenaikan tol dan harga barangan lain. Bukti paling jelas dan masih segar jelasnya, ditunjukkan rakyat pada himpunan Bersih 2.0 yang berlangsung 9 Julai lalu bagi menuntut pilihan raya yang adil, bersih dan telus. Namun apa yang menyedihkan kata Tuan Ibrahim, kebangkitan rakyat itu dicop sebagai penentang kerajaan dan pro pembangkang. "Kalaulah, kerana kesempitan hidup, mereka terpaksa berhimpun membantah kenaikan harga barang, maka hilangkan status mereka sebagai rakyat jelata parti pemerintah, mereka akan dicop rakyat pro pembangkang yang tidak harus dibantu. "Kini, apabila mereka berani untuk berhimpun menuntut sesuatu yang lebih besar dari keperluan hidup mereka iaitu satu sistem pilihanraya yang lebih adil dan bersih demi masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka, mereka terus dicop sebagai peserta perhimpunan haram yang patut ditembak dengan air asid dan pemedih gas mata atas dakwaan cuba menjatuhkan kerajaan," katanya. Tambahnya lagi, kerajaan kini begitu angkuh sehingga menganggap semua yang dilakukan mereka dikatakan semuanya betul - dan semua yang dilakukan rakyat salah belaka. Dengan semangat slogan 'Malaysia Boleh' kerajaan jelasnya berani melakukan apa sahaja semata-mata demi kuasa dan kerana mereka menguasai media. "Tapi, beringatlah kerajaan bahawa pada hari ini semakin banyak rakyat yang tidak mempercayai media perdana! "Rasa tidak puas hati rakyat semakin melebar… dan mereka sayangkan negara – tetapi jangan pula kerajaan salah anggap – sayang negara mereka bermaksud sayang kerajaan pemerintah. Pada saat mereka sayang negara, mereka juga benci pemimpin yang ego, sombong, tamak, rakus dan zalim," tegasnya. |
Biometrik: Pakatan Rakyat Tetap Tolak, MAFREL Turut Pertikai Penggunaannya Posted: 25 Jul 2011 06:40 AM PDT Pakatan Rakyat tetap dengan pendiriannya mahu kerajaan menggunakan dakwat kekal sekali gus menolak sistem biometrik yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sistem biometrik kerana ia tidak menjamin elemen satu orang satu undi pada waktu pilihan raya. "Kita perlu menentang sistem ini. Sudah menjadi tanggungjawab rakyat memastikan negara bersih dan adil," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran slogan Selangorku, semalam. Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya. Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil. "Pelaksanaan sistem biometrik ini juga akan dapat mengatasi dakwaan-dakwaan bahawa wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini," katanya. Najib juga berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada suruhanjaya itu bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya. Penggunaan dakwat kekal merupakan salah satu tuntutan Bersih 2.0 baru-baru ini yang sepatutnya digunakan ketika pilihan raya umum 2008 tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir. Dalam pada itu, laporan Sinar Harian hari ini memetik Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih melakukan kajian secara terperinci mengenai sistem biometrik. Kata beliau, segala aspek berkaitan mengenai keupayaan, aplikasi, teknikal, kesan dan kosnya masih di peringkat kajian. "Kita bekerjasama dengan pakar yang terlibat bagi memastikan keupayaan sistem ini berkesan apabila dilaksanakan kelak. "Sistem biometrik yang digunakan imigresen berlainan dengan SPR kerana penggunaan kami adalah untuk pilihan raya," kata beliau lagi. Wan Ahmad berkata, sistem tersebut telah dikaji sejak 2010 oleh pakar yang dilantik bagi memastikan keupayaan dan tempoh yang dapat digunakan. Akhbar yang sama memetik Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sistem biometrik mampu membuktikan pilihan raya negara ini telus dan adil. Seiring dengan pendapat Dr Wan Azizah, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sistem biometrik lebih berisiko untuk dimanipulasi pihak berkepentingan walaupun ia boleh melakukan proses pengesahan pengundi secara elektronik. Katanya, perkara ini lebih ketara memandangkan pemberian kerakyatan kepada warga asing semakin berleluasa kebelakangan ini. Laporan Berita Harian memetik Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Jariah Mod Said berkata sistem biometrik jabatannya, yang akan digunakan oleh SPR, untuk pengesahan pengundi kebal daripada manipulasi dan tidak boleh ditembusi oleh pihak berkepentingan untuk menipu ketika pilihan raya. -tvsnews
|
Bekas Pemimpin UMNO Tolak Najib, Ku Li Gesa Bersihkan Negara Posted: 25 Jul 2011 05:10 AM PDT Bekas pemimpin BN juga tidak percaya Najib TASEK GELUGOR, 25 Julai: Bukan saja pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tidak mempercayai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah bekas pimpinan Barisan Nasional (BN) sendiri telah menunjukkan sikap tersebut terhadap kepimpinan beliau. Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata demikian, ketika berucap dalam majlis penerangan anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Permatang Buloh, malam tadi. Menurut beliau lagi, tindakan bekas pimpinan BN menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) dengan jelas membuktikan pimpinan Najib bukan saja tidak diyakini dikalangan pimpinan Umno dan BN, tetapi juga penyokong parti tersebut sebelum ini. "Jika bekas menteri seperti Ong Tee Keat, Tengku Razaleigh dan beberapa pimpinan lain berani bersama organisasi seperti Amanah untuk menzahirkan pandangan mereka secara positif mengenai tindakan menyimpang kerajaan, maka adalah tidak salah bagi rakyat juga untuk menyatakan ketidak puasan mereka. "Amanah juga menjadi satu lagi tamparan kepada kepimpinan Najib, apabila beliau sering mendabik dada menyatakan sokongan yang diterimanya adalah padu baik dari kalangan pimpinan BN kini, dulu dan selamanya," ujarnya yang juga ahli Parlimen Kuala Krai. Malah katanya begitu banyak kelemahan dalam pentabdiran Najib menyebabkan rakyat sudah hilang keyakinan di atas reputasi beliau sebagai Perdana Menteri. "Air Asia juga telah dipindahkan ibu pejabatnya dari Kuala Lumpur ke Jakarta. Bukankah ini juga suatu lagi krisis keyakinan yang menimbulkan persepsi yang pelbagai rakyat terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri. "Penangkapan peguam Perancis, William Bourdon pada 22 Julai baru-baru ini, juga sesuatu yang memalukan negara. Apa yang hendak ditakutkan oleh kerajaan sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan. "Bak kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah, sehingga menyebabkan tindakan mencemarkan nama negara itu terpaksa diambil oleh kerajaan pimpinan Umno dan BN," tegasnya lagi. Beliau juga berkata, Najib sepatutnya jangan begitu takut kepada bayang-bayang beliau sendiri diatas segala kesalahan dan kemungkaran yang dilakukan selama memerintah negara. AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pula berkata, menyokong Umno dan BN bererti rasuah akan terus bermaharajalela dan berleluasa dalam negara. Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, sejarah telah membuktikan bagaimana rasuah bermaharajalela di Perak apabila usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat dilakukan oleh BN. "YB Sivakumar dijanjikan habuan sebanyak RM30 juta jika sanggup menjadi katak seperti yang lain. Manakala YB Yunus pula turut dijanjikan ganjaran sebanyak RM20 juta jika sanggup melompat. "Ini adalah sejarah hitam yang menjadi nostalgia dan memori hitam dalam sejarah negeri Perak, walaupun ianya telah berlalu. Sejarah tetap menjadi sejarah yang tidak boleh diubah. "Seribu satu macam kerosakan, pemborosan, pembaziran, penyelewengan, koruspsi, skandal yang diterajui oleh Umno dan BN berada di puncak sebagai parti nombor satu menguasai keburukan dan kemungkaran," tegasnya. Beliau juga berkata, berdasarkan kepada begitu banyak bukti yang ada, Umno dan BN layak untuk dilabelkan sebagai parti rasis, pengkhianat bangsa Melayu, perasuah dan parti video seks. "Oleh kerana itu, masyarakat jangan pula terpedaya dengan bikinan video terbaru selepas ini, yang akan memaparkan pelakon baru dan lama bikinan Umno dan BN, melalui skrip lama yang diolah oleh pengarah baru menjelang pilihan raya umum yang akan datang, " jelasnya lagi. -HD
|
Tuntutan BERS✔H Terbukti Benar. SPR Akui Wujud Pengundi Hantu Posted: 25 Jul 2011 03:30 AM PDT SPR akhirnya akui wujud pengundi hantu KUALA LUMPUR, 25 Julai: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara tidak langsung telah mengakui wujudnya "klon" kepada kad pengenalan pengundi dalam daftar pemilih yang dikeluarkan mereka. Pengakuan itu dibuat Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar selepas 16 hari himpunan Bersih 2.0 berlangsung. Kenyataan tersebut disiar di akhbar The Star bertarikh 24 Julai 2011 di bawah tajuk "EC: Help us purge 'clones' from electoral roll". Beliau antara lain menyatakan bahawa pengundi hantu benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR dan meminta parti politik dan individu tertentu tampil memberi maklumat kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih. Mengulas perkara itu, Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, ia merupakan bukti bahawa desakan Pakatan Rakyat supaya daftar pemilih perlu dibersihkan adalah berasas. "Ini merupakan kenyataan "U-turn" SPR mengenai pengundi hantu yang selama ini tidak pernah diakui malah menuduh Pakatan Rakyat mengada-adakan cerita untuk melunturkan kayakinan rakyat kepadanya. "Pembersihan daftar pemilih adalah termasuk dalam tuntutan Bersih 2.0. Pengakuan SPR ini merupakan suatu kejayaan kepada Bersih 2," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor. Sebelum ini, SPR enggan percaya bahawa wujud pengundi hantu dalam daftar pemilih mereka malah menolak tuntutan bersih agar daftar pemilih dibersihkan. Sehinggalah Bersih mengadakan himpunan besar-besaran kali kedua pada 9 Julai lalu, namun SPR tetap dengan pendirian mereka untuk mengenepikan tuntutan bersih itu. Pada 21 Julai lalu, Suhaizan mendedahkan satu fakta bahawa Mariam Binti Su memiliki dua kad pengenalan berbeza iaitu 720616025472 dan 720610025738 tetapi mempunyai satu nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510. Beliau memiliki dua hak mengundi di Dun Kuala Ketil, Parlimen Baling. Murugan A/L Subramaniam pula dilahirkan pada 2 Oktober 1973 dan memiliki nombor kad pengenalan lama A2909056. Dua identiti Murugan A/L Subramaniam memiliki tarikh lahir, nombor kad pengenalan lama, jantina, lokaliti, daerah mengundi, Dun, Parlimen dan Negeri yang sama. Hanya 4 digit terakhir kad pengenalan iaitu 5201 dan 5877 yang membezakan identiti Murugan A/L Subramaniam. No kad pengenalan pertama Murugan A/L Subramaniam adalah 731002025877 dan kad pengenalan kedua adalah 731002025201. Ianya boleh disemak melalui pautan SPR http://daftarj.spr.gov.my/NEWDAFTARJ/DaftarjBM.aspx. Menurut Suhaizan, kes Mariam Su dan Murugan Subramaniam telah membuktikan dua kesalahan besar yang dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR. Pertamanya JPN telah mengeluarkan satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua identiti dan keduanya SPR telah membenarkan seorang pemilih memiliki hak mengundi lebih daripada sekali. "Ini telah bertentangan dengan Perkara 119(1) Perlembagaan Malaysia yang menyatakan "tiada sesiapa pun boleh mengundi dalam pilihanraya yang itu juga, dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya". "Standard Operation Procedure(SOP) bagi kedua-dua jabatan Kerajaan ini perlu dikaji semula. Sistem komputer JPN dan SPR telah menggunakan SOP yang salah," jelasnya lagi. Beliau juga hairan kenapa sistem pengkalan SPR membenarkan pertindanan kad pengenalan lama dan SPR pula menerima data yang salah tersebut untuk didaftarkan sebagai pemilih yang sah. Menurutnya, jika pilihanraya di adakan pada waktu terdekat maka pilihanraya umum ke-13 akan menggunakan daftar pemilih yang diragui. "Oleh itu Pemuda PAS mendesak agar ditubuhkan suatu Suruhanjaya Diraja mengkaji sistem perjalanan pilihanraya dalam negara kita yang dilihat bermasalah," tegasnya. -hd
|
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan