Kelab Greenboc |
- Labuh Muka Pak Him, Cadangan Anugerah Ditolak
- Amizudin Pilih Untuk Terus Lawan, Tak Terkejut Arah Bayar Rais RM400K
- Tindakan Ganas Polis Jadi Sebab Saya Benci Kepada Kerajaan UMNO BN - Pak Samad
- UMNO Masih Terbawa-bawa Politik Zaman Purbakala - TGNA
- BERS✔H Akhinya Berjaya Serah Dokumen 8 Perkara Kepada Agong
- Ke Mana Najib Pergi, Ada "Hantu" Mengekori
- Video BERS✔H 2.0 Versi PDRM: Hasil Rekayasa Untuk Nafikan Keganasan Polis?
- Ibrahim Ali Sendiri Taja Anugerah Guna Namanya Untuk Raih Publisiti
- BERS✔H 2.0: Rakyat Lebih Tahu Apa Yang Berlaku..
- Pemimpin PR Pulau Pinang Perlu Sentiasa Berwaspada
- Hadi Selar Pihak Kritik PAS Sokong Ambiga Sebagai Buta Sejarah
- IKIM Yang Sepatutnya Keluar Dari Kepompong Remeh Temeh
Labuh Muka Pak Him, Cadangan Anugerah Ditolak Posted: 20 Jul 2011 12:45 AM PDT Impak terlepas pandang, anugerah hanya cadangan' UiTM belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan presiden PERKASA supaya Anugerah Ibrahim Ali diberikan kepada pelajar universiti itu yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu. Menurut naib canselornya, Datuk Profesor Sahol Hamid Abu Bakar UiTM tidak memilih nama ataupun membuat sebarang cadangan anugerah berkenaan. "Anugerah dicadangkan oleh Datuk Ibrahim Ali sendiri tetapi sebelum (sesuatu) anugerah boleh diberi, ia perlu dibawa ke Senat dan Lembaga. Saya hanya minta membawanya untuk diputuskan. "(Jika) setuju baru bawa untuk endorsement Lembaga. Proses bukan mudah dan mengambil masa (yang lama)," kata Sahol Hamid dalam laman Facebooknya. Menurut beliau senat UiTM adalah badan yang kuat dan berkecuali dan mereka yang bakal menentukan sebelum sesuatu anugerah boleh diberikan, "Di senat ada 60 orang professor, dekan-dekan dan rektor-rektor kampus. Masing-masing bertindak secara individu. Tidak boleh lobi. (Ia) satu badan yang kuat dan independent di UiTM," katanya. Menurut naib canselor itu, isu itu berlaku kerana Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM terlepas pandang dan membuat hebahan mengenainya di laman web mereka. "UiTM prihatin tentang keadaan semasa dan tidak akan terima Anugerah tersebut tanpa kelulusan Senat dan Lembaga Pengarah. Dengan penjelasan ini, saya berharap isu ini tidak akan dibesarkan lagi," kata Sahol Hamid. Isnin lalu, Impak pada laman webnya membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar universiti itu yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu. Anugerah itu menawarkan RM5,000 yang ditaja oleh presiden PERKASA itu sendiri . Selain mesti mempunyai prisip yang jelas dan konsisten, pelajar UiTM yang layak memohon juga mesti mematuhi empat kriteria. Antaranya membantu merangsang pelajar bagi mengikuti program dan aktiviti berkaitan dengan peningkatan maruah dan martabat bangsa pelajar. Kriteria lain adalah: • Menjadi pemimpin persatuan yang berdaftar dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni seperti persatuan kebudayaan, kesenian Melayu atau persatuan kebangsaan lain yang dianggap cemerlang dan berkesan di dalam atau di luar kampus • Menjadi pemimpin atau jawatankuasa yang memperjuangkan bangsa dan budaya di luar kampus seperti GPMS, ABIM, PERKASA, GAPENA. • Mendapat pengiktirafan dari badan-badan di luar UiTM Bagaimanapun tindakan menamakan anugerah itu sempena nama pemimpin yang kontroversial itu menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan pelbagai pihak. -mk |
Amizudin Pilih Untuk Terus Lawan, Tak Terkejut Arah Bayar Rais RM400K Posted: 19 Jul 2011 10:30 PM PDT Amizudin Ahmat yang semalam diarah membayar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim RM400,000 berhubung satu artikel berkaitan dakwaan merogol pembantu rumah Indonesia berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan itu, sebaliknya menegaskan akan "terus lawan." "Saya akan terus lawan. Saya akan meneruskan perjuangan... akan membuat rayuan," kata Amizudin kepada The Malaysian Insider. "Sebenarnya saya tidak terkejut dengan keputusan ini... jumlah RM400,000 yang diarah dibayar pak menteri (kepada Rais)," kata beliau. Pengendali laman sharpshooterblogger.blogspot.com ini menambah, keputusan mahkamah mengarahkannya membayar RM400,000 juga tidak akan menghalangnya daripada terus menyiarkan tulisan-tulisan kritikal mengenai pemimpin-pemimpin kerajaan. "Saya akan terus menulis. Tindakan pak menteri hanya mahu menakut-nakutkan blogger Pakatan Rakyat, saya tidak akan patah semangat," katanya lagi. The Malaysian Insider difahamkan beliau sudah berbincang dengan peguamnya untuk membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah semalam. Rayuan dijangka difailkan hari ini ataupun esok. Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Amizudin membayar ganti rugi RM300,000 kepada Rais. Selain itu, mahkamah juga memerintahkan Amizudin membayar kos RM100,000 kepada Rais. Pada 1 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda PKR, berhubung artikel yang disiarkan dalam blognya pada atau sekitar 28 Disember lalu. Rais diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Azad Bashir manakala Amizudin diwakili peguam William Leong. Dalam komen disiarkan di blognya, Amizudin berkata, "sebenarnya kalah sebab gagal bawa saksi Migrant Care dan Robengah ke mahkamah dan semua tahu bahawa laporan yang menuduh pak menteri rogol itu adalah laporan tiga muka surat Migrant Care." "'Sharpshooter' diberi pilihan sebelum perbicaraan pada Isnin 4 Julai 2011 lalu untuk mohon maaf secara terbuka kepada Rais Yatim, namun 'sharpshooter' tolak pilihan tersebut kerana sudah pasti jika 'sharpshooter' mohon maaf secara terbuka... akan ada tuduhan 'berapa ribu sharpshooter terima duit daripada Rais Yatim untuk minta maaf'." "Walau bagaimanapun 'sharpshooter' akan keluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat setelah berbincang dengan peguam di Pulau Pinang. Lawan tetap lawan," katanya. -TMI |
Tindakan Ganas Polis Jadi Sebab Saya Benci Kepada Kerajaan UMNO BN - Pak Samad Posted: 19 Jul 2011 10:00 PM PDT Kuala Lumpur, 18 Julai: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan sikap kelembutannya kini menyimpan satu perasaan benci kepada kerajaan. Ini berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 genap seminggu lalu melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa rakyat. "Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Itulah waktunya saya lebih benci," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis. Beliau menyifatkan tindakan polis menangani perhimpunan damai itu secara bengis. Katanya, seluruh rakyat Malaysia yang telah menyertai himpunan itu terus mengkritis kerajaan Umno BN apabila melihat keganasan yang dilakukan oleh pihak polis. Justeru, beliau kesal kerana pemimpin Umno BN membuat berbagai helah menyatakan polis yang menjalankan tugas ketika itu tidak melakukan tindakan yang kasar kepada rakyat sebaliknya menuduh rakyat yang bertindak kasar. "Kata-kata itu menjadi luka berdarah buat rakyat Malaysia dan saya percaya Umno BN akan terkubur dalam PRU ke 13 nanti," katanya. Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar malam kelmarin. Turut berucap ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta anggota Unit Amal yang difitnah membawa pisau semasa himpunan Bersih 2.0, Abdul Razak. Pak Samad juga menceritakan pengalamannya dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. "Sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada jalan alternatif lain, jadi go through saja. "Menghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 300 meter daripada Istana Negara di sebelah petang untuk menyampaian Memorandum yang merupakan amanah rakyat untuk di sembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, amat mengecewakan tiada pertimbangan yang sebaiknya oleh polis. "Mata saya telah mengalami kecederaan akibat tembakan gas water cannon, mereka (polis dan FRU) nampak saya ketika itu, kalau boleh mereka hendak makan saya. "Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kali ini saya rasakan ujiannya terlalu kuat dengan menempuh pelbagai rintangan. "Sepatu Nike saya juga hilang apabila dihimpit dengan ramai rakyat disitu lebih-lebih lagi apabila polis datang mengejar rakyat yang berhimpun di situ. "Saya bukan sahaja hilang capal, tetapi peralatan yang saya bawa seperti garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawa sebagai alat pelindung saya tepaksa diberikan orang lain apabila salah seorang peserta himpunan disitu kelihatan nafasnya menjadi sesak meminta-minta agar diberikan bantuan. "Saya berikan semua peralatan saya kepada beliau untuk menyelamatkan dirinya, jika tidak mungkin orang itu juga mengalami nasib yang serupa seperti arwah Baharudin. "Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) mereka juga hilang apabila kami semua dikejar oleh polis dan FRU untuk mengelak diri daripada ditembak dengan gas. "Pada Sabtu itu, pakaian saya sudah basah lencun akibat hujan dan dengan tembakan meriam air, saya terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. "Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada beberapa anak muda yang nampak saya ketika itu hendak beri saya sepatu Nike tetapi saya menolaknya kerana saya fikir sepatu itu cantik sangat dan biarlah saya bersusah payah untuk masa depan anak bangsa saya sendiri. "Kemudian saya didatangi oleh seorang lagi anak muda dengan memberi saya sepatu yang besar, saya menerimanya kerana saya fikir perjalanan saya jauh dan banyak halangan yang perlu saya tempuhi untuk menyerahkan Memorandum kepada Agong. Ini merupakan satu pengalaman pahit dan tidak mungkin saya lupakan. "Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan. "Saya berpesan berulang kali kepada generasi muda terutamanya kalian seharusnya bertekad bersatu hati untuk mengubah pentadbiran demokrasi Negara ini dalam pilihanraya umum ke -13 nanti, demi masa depan anak cucu kita. "Orang tua mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja kuat, namun kita akan sentiasa memberi sokongan padu bagi menukar pentadbiran kerajaan baru," kata Pak Samad Said disambut laungan Allahu akbar hadirin. -hd
|
UMNO Masih Terbawa-bawa Politik Zaman Purbakala - TGNA Posted: 19 Jul 2011 08:10 PM PDT Saya mengikuti perkembangan yang berlaku di Kedah iaitu yang melibatkan isu arahan penutupan pusat-pusat hiburan sepanjang bulan Ramadhan. Seperti biasa, media massa yang dimiliki oleh UMNO terus menerus menghentam PAS dan melaga-lagakan di antara pimpinan Pakatan Rakyat dalam isu ini. Utusan Malaysia yang menjadi lidah rasmi UMNO pula mengambil kesempatan untuk membina keyakinan palsu di benak pembaca dengan tajuknya PAS Tunduk Kepada DAP. Saya kira UMNO sudah lupa bahawa mereka sendiri yang meluluskan Enekmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang mana di dalam dalam Jadual C, muka surat 150 dinyatakan dengan jelas syarat am no.8 seperti berikut: … Jenis-hiburan yang tersebut di atas tidak boleh diadakan pada bulan Ramadhan atau pada hari Jumaat (iaitu, antara jam 6 petang hari Khamis dan jam 2.30 petang hari Jumaat)kecuali izin bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri diperolehi. UMNO sudah lupa bahawa pada tahun 1997, mereka masih lagi menjadi kerajaan di Kedah dan sehingga tahun 2011 ia baru dikuatkuasakan di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Layakkah UMNO bertempik sorak pada hari ini kononnya PAS tunduk kepada DAP? Jika demikian, selama ini UMNO tunduk kepada siapa? Simpati sungguh saya kepada kaedah permainan politik kampung yang dimainkan oleh UMNO pada hari ini. Barangkali mereka masih terbawa-bawa dengan politik zaman purbakala yang mengharapkan rakyat di'butatulikan' pancaindera mereka dengan hanya menerima maklumat sehala sahaja. Berkali-kali saya nyatakan, PAS sangat berbeza dengan UMNO dalam hal bertahaluf dengan non muslim. Di antara PAS dengan DAP misalnya, PAS sentiasa melontarkan dasar-dasar yang selari dengan prinsip Islam. Berbeza dengan UMNO yang bertempik sakan mahu memelihara Islam, alih-alih bukan sahaja tidak mahu menutup pusat hiburan, bahkan melanjutkan masanya dari jam 2.00 pagi kepada jam 3.00 pagi! Ini telah diputuskan di Melaka melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka pada 7 Julai 2011. Saya menurunkan kata-kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika mengumumkan perkara ini, "Keputusan ini diambil sebagai memenuhi permohonan pengusaha terbabit kerana mereka mendapat permintaan pelanggan yang sebahagian besarnya datang bercuti dan mahu berhibur hingga lewat pagi" (Lihat Utusan Malaysia, 8 Julai 2011). Di Kedah, sewaktu Datuk Seri Azizan mengumumkan bahawa operasi rumah hiburan sepanjang Ramadhan 100% untuk bukan Islam, dan penarikan lessen serta merta akan dilakukan jika terdapat pengunjung muslim, Utusan Malaysia melompat tinggi melatah seolah-olah langit sudah runtuh. PAS dikatakan tunduk kepada DAP sedangkan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah ialah memberikan hak kepada bukan Islam dan juga memastikan umat Islam terhindar daripada perkara-perkara yang menjejaskan ibadah sepanjang bulan itu. Namun apabila kerajaan negeri Melaka mengumumkan untuk melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan, di mana Utusan Malaysia? Di mana NGO-NGO yang hebat membela Islam? Sudah hilangkah darah segala pendekar Melayu yang siap mengatur pencak membela kesucian agama mereka? Hakikatnya, UMNO tidak pernah meletakkan akhirat menjadi agenda dalam perjuangan. Di mana-mana sahaja tempat UMNO berkuasa dan menjadi majoriti, tidak pernah agenda Islam menjadi keutamaan. Berbeza dengan PAS yang ditohmah menjadi alat DAP, PAS mengambil ruang dan peluang yang ada untuk sentiasa melontarkan dasar yang selari dengan Islam. Di Melaka, siapakah yang menjadi majoriti jika bukan UMNO? Jika PAS dikatakan menjadi alat DAP, UMNO alat siapa? Alat nafsu? Sayangnya, UMNO menjadi majoriti langsung tidak menguntungkan Islam. Barangkali itulah sebabnya tangan mereka sentiasa menggapai PAS. Saya katakan, turun sahajalah UMNO dari takhta kuasa, bertenggek di situpun tiada apa yang boleh ditumpang bakti. Apapun, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Kedah. Usah dipeduli nista dan cerca pihak yang berkokok berderai-derai dengan ekor yang memalukan. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan Darul Naim. Bertarikh: 18 Julai 2011 |
BERS✔H Akhinya Berjaya Serah Dokumen 8 Perkara Kepada Agong Posted: 19 Jul 2011 05:40 PM PDT Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 semalam berjaya menyerahkan memorandumnya yang mengandungi lapan perkara kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, lapor sebuah laman berita setempat. Encik Richard Yeoh dan Encik Liau Kok Fah, dua anggota jawatankuasa pandu Bersih 2.0, menyerahkan memorandum itu kepada seorang pembantu setiausaha peribadi Sultan Mizan pada sebelah petang. 'Memorandum itu menggesa agar diadakan pembaharuan (proses) pilihan raya,' kata Encik Liau kepada laman berita dalam talian Free Malaysia Today (FMT), semalam. Antara lain, memorandum Bersih 2.0 itu menggesa agar dikemaskinikan senarai pengundi bagi pilihan raya mendatang, membaharui amalan undi pos dan menghentikan politik kotor dan rasuah. Ia juga mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menggunakan dakwat tidak boleh dikikis bagi setiap pengundi, mengadakan tempoh berkempen selama 21 hari, akses media yang bebas dan adil, serta pengukuhan institusi awam seperti SPR. Selain itu, Bersih 2.0 turut menggesa agar enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk seorang Ahli Parlimen (AP), Dr Michael Jeyakumar Devaraj, dibebaskan daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat. Dalam satu perkembangan lain pula, Datuk Marina Mahathir, anak mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau marah dengan serangan peribadi para pemimpin Barisan Nasional, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, terhadap Ketua Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan. 'Saya rasa rakyat Malaysia sangat terkejut dengan tindakan ini. Juga tindakan kerajaan menahan anggota-anggota Parti Sosialis Malaysia dengan alasan mereka 'komunis'. Satu tuduhan yang sangat tidak berasas,' kata Datuk Marina, seperti yang disiarkan oleh laman berita Indonesia, VIVANews.com. Anak sulung Dr Mahathir itu menyertai perhimpunan Bersih di Kuala Kumpur pada 9 Julai lalu bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih tetapi mengakui dirinya bernasib baik kerana menyertai perhimpunan itu di kawasan polis tidak langsung bertindak keras. Namun, menurutnya, para pembantah di tempat lain mengalami tindakan kekerasan berlebihan daripada polis. 'Ada banyak cerita daripada peserta lain, termasuk rakan kerja saya. Mereka terkenan gas pemedih mata, meriam air dan keadaan kacau bilau,' katanya. Datuk Marina berkata, walaupun mereka tidak melakukan hal-hal yang provokatif, mereka tetap diserang polis, walaupun telah melarikan diri, dengan tembakan gas pemedih mata hingga dalam pekarangan Hospital Tung Shin.
|
Ke Mana Najib Pergi, Ada "Hantu" Mengekori Posted: 19 Jul 2011 04:10 PM PDT Pertemuan Najib-Pope, cari sokongan Kristian?' Sekumpulan 365 rakyat Malaysia yang beragama Kristian, termasuk penganut Katolik telah menandatangani sepucuk surat kepada Pope Benedict XVI, bagi mengadu tindakan keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan aman BERSIH 2.0 9 Julai lalu. Mereka juga melahirkan kebimbangan Najib mempolitikkan lawatannya ke Vatican. Mereka juga khuatir bahawa lawatan Najib ke Vatican pada masa ini dilihat sebagai usaha mencari sokongan popular menjelang pilihan raya umum ke-13 yang mesti diadakan sebelum pertengahan 2013 dan boleh menyaksikan beliau terus berkuasa. Surat itu juga menyampaikan rasa hati penganut Katolik yang risau kemungkinan kerajaan dan pemimpin asing terpengaruh dengan Najib yang ghairah menyebarkan mesej kesederhanaan di luar negara sedangkan kerajaan BN pimpinan Najib sendiri berulang kali menggunakan kekerasan terhadap rakyat di negara ini. Menurut mereka kebebasan beragama di Malaysia begitu terhad dan mengemukakan contoh seperti kes mahkamah Lina Joy dan rampasan buku serta kitab Kristian sebagai hujah. Populariti Surat yang disiarkan secara penuh oleh NGO Aliran itu dialamatkan kepada paderi kanan - Pontiff, dengan salinannya dihantar kepada Archbishop Leopoldo Girelli, yang beribu pejabat di Singapura. Dalam surat mereka, kumpulan itu berkata tindakan keras ke atas BERSIH 2.0 yang menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini - menyaksikan gabungan 62 NGO berkenaan ditekan dan dihambat oleh pihak berkuasa yang selama ini dikuasai oleh parti politik yang sama dan sekarang diterajui oleh Najib. Menurut mereka, Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang mana Gereja Katolik turut bernaung telah mengesahkan hak BERSIH untuk berhimpun dan berarak secara aman yang disifatkan sebagai 'tuntutan berpatutan'. Kumpulan itu juga mendakwa Najib bertindak bertentangan dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong, yang mahu konfrontasi dengan penyokong BERSIH dielakkan. Malah presiden Umno itu juga mengisytiharkan pertubuhan BERSIH sebagai haram dan menolak permohonannya untuk berhimpun di Stadium Merdeka pada 9 Julai lalu. Berwaspada Justeru, kumpulan itu meminta Pope Benedict agar berwaspada dalam berurusan dengan kerajaan pimpinan Najib "Kami berdoa agar Holy See akan mempertimbangkan isu-isu yang kami nyatakan ini dan mendapat petunjuk dari Roh Kudus dalam berurusan dengan kerajaan Malaysia," kata mereka. Penganut Kristian berkenaan juga risau Najib akan menggunakan lawatan tersebut untuk meraih undi dan mengekalkan popularitinya di kalangan penganut Kristian di Sabah Sarawak. "Kami risau jika terdapat agenda politik tersembunyi untuk memenangi sokongan pengundi Kristian di Sabah dan Sarawak bersempena lawatan Najib ke Vatican ini. "Akhir sekali, kami juga risau Najib cuba untuk mendekati Holy See pada masa ini untuk mendapatkan sokongan popular dalam pilihan raya umum akan datang yang bakal berlangsung menjelang awal 2013," tulis mereka. Selepas lawatan ke Vatican semalam, Najib berkata Malaysia dan kerajaan Vatican bersetuju menjalin hubungan diplomatik bagi menggalakkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa. Pertemuan Najib dan Pope Benedict XVI diadakan di Castel Gandolfo, kediaman musim panas pemimpin penganut Katolik itu di pinggir bandar Rom. -mk Ulasan GB Kemana saja Najib pergi, seolah-olah ada hantu sedang mengekorinya. Di London, sebelum beliau sampai, Amnesty National telah terlebih dahulu mengadu kepada pihak kerajaan Britain supaya tidak menyediakan hamparan karpet merah kepada Najib. Dan Najib disambut dengan demo serta nyanyian Yellow Submarine di sana oleh rakyat Malaysia yang tinggal di London. Lebih memburukkan, Queen Elizabeth menyambutnya dengan berpakaian kuning, satu sindiran tajam kepada Najib yang menentang perhimpunan BERSIH - itu pun jika Najib mempunyai harga diri dan maruah untuk memahami warna pakaian yang dipakai oleh Queen. Kini, beliau ke Rom bertemu Pope Benedict XVI dan diekori dengan surat yang ditandatangani 365 rakyat Malaysia yang beragama Kristian, termasuk penganut Katolik yang mengadu kepad Pope berkenaan tentang perilaku buruk Najib terhadap peserta perhimpunan BERSIH 2.0. Nampaknya apa yang GB katakan sebelum ini bakal menjadi kenyataan. Petikan:
|
Video BERS✔H 2.0 Versi PDRM: Hasil Rekayasa Untuk Nafikan Keganasan Polis? Posted: 19 Jul 2011 08:10 AM PDT Video BERSIH akan ditayang pada media Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini memberikan jaminan bahawa siasatan berhubung dakwaan keganasan polis semasa perhimpunan BERSIH 2.0 akan diselesaikan dalam masa terdekat. Rakaman pada 9 Julai itu kemudiannya, menurut Ismail, akan ditayangkan kepada pihak media. "Saya sangat yakin dapat laporan dalam masa terdekat. "Akan ada sesi melihat video bersama-sama media dan menjawab persoalan," kata Ismail dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman. Ismail bagaimanapun enggan menerima seoalan daripada pihak media dalam sesi hari ini. Beliau sebaliknya menggesa media dan orang awam supaya bersabar dan mengelak daripada membuat sebarang andaian sebelum siasatan tamat. Menegaskan bahawa pihak polis tidak menyembunyikan sesuatu, Ismail meminta orang ramai menyerahkan gambar dan buktu video bagi membantu siasatan polis. Ia boleh dilakukan dengan menyerahkan kepada pusat media polis atau menghubungi talian 03-2266 8321/8320. Sementara itu, Bernama melaporkan, polis memerlukan masa untuk selesai melakukan penilaian dan penelitian oleh enam jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan terhadap polis semasa perhimpunan itu. "Kita perlukan masa. Kita perlu tahu jumlah sebenar orang ramai yang hadir semasa perhimpunan itu. Kami juga terpaksa temu bual anggota kami sendiri dan memanggil orang awam bagi mendapatkan fakta," katanya. Semalam, polis meminta kerjasama orang ramai menyerahkan rakaman video berkaitan perhimpunan haram itu untuk dijadikan bukti sama ada terdapat dakwaan polis bertindak ganas semasa menyuraikan perhimpunan itu. Ismail berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu akan meneliti dan menyiasat kesemua bukti sama ada daripada polis sendiri mahupun daripada Internet bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut. "Akhir-akhir ini, melalui pemerhatian saya (ke atas gambar dan video di Internet), saya dapati ada yang tidak tepat. Oleh itu, saya minta orang ramai bantu kami dengan serahkan bukti untuk membantu siasatan. "Fakta ini penting supaya kita dapat kaji segala bukti yang ada dan dapat gambaran jelas," katanya kepada agensi berita nasional itu. Ketika menjelaskan mengenai jawatankuasa khas itu, Ismail berkata ia terdiri daripada pegawai yang berwibawa dan berpengalaman dan jawatankuasa ini telah ditubuhkan minggu lepas yang bekerja 24 jam sehari bagi menyelesaikan siasatan. -mk
Ulasan GB GB amat yakin bahawa video versi PDRM adalah video yang direkayasa untuk menunjukkan bahawa polis tidak melakukan keganasan seperti yang rakyat telah merasainya sendiri di hari perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu. Siasatan polis terhadap polis biasanya berat sebelah, biasanya tidak menjelaskan "hal yang sebenar". Mengenai video PDRM yang bakal ditayangkan, KPN dan Timbalannya perlu bertanggungjawab jika terbukti ia adalah hasil suntingan dan bukan "raw material" daripada kejadian sebenar. Kerana sebarang suntingan dan rekayasa, adalah satu penipuan kepada rakyat. Apa-apa pun kita sama-sama tunggu. Kita berharap SUHAKAM akan meneruskan proses inkuirinya sehingga selesai. Ia lebih diharapkan dan diyakini. |
Ibrahim Ali Sendiri Taja Anugerah Guna Namanya Untuk Raih Publisiti Posted: 19 Jul 2011 06:45 AM PDT Anugerah Ibrahim Ali dibidas pelbagai pihak Tindakan UiTM membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar universiti itu yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu dibidas pelbagai pihak. Penubuhan anugerah itu datang daripada Datuk Ibrahim Ali sendiri dan hadiahnya juga ditaja oleh presiden kumpulan pendesak Melayu, PERKASA itu. Ia dianjurkan oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) Ahli parlimen Pasir Mas itu juga adalah bekas pelajar UiTM dan menuntut dari tahun 1971 hingga 1974. Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang pernah menjadi pensyarah di UiTM terdapat ramai lagi pemimpin yang jasa mereka lebih besar. "Nama pemimpin lain lebih berhak. Arsyad Ayub, Ani Arope, Ishak Mohamad, Dr Awang Had Salleh, dan (bekas naib canselor UiTM) Ibrahim Abu Shah akan tersenyum bila mengetahui ada anugerah dinamakan atas nama Ibrahim Ali!" kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily semalam. Ketua Penerangan PAS itu berkata anugerah berkenaan akan terkubur kerana Ibrahim bukan orang yang dipandang tinggi oleh masyarakat. "Penerima anugerah mesti berbangga dengan anugerah mereka. Jika sesuatu anugerah itu hanya mendatangkan cemuhan dan menjadi stigma kepada penerimanya, saya pasti anugerah itu akan gagal," katanya. Berkongsi pendapat yang sama adalah setiausaha agung Pemuda MCA Chai Kim Sen yang kecewa dengan keputusan UiTM. Katanya, Ibrahim tidak layak mendapat pengiktirafan seumpama itu. "Ibrahim adalah individu kontroversi. Tindakannya dan kenyataannya gagal menyatukan masyarakat. Sebaliknya menjejaskan pembangunan negara dan perpaduan dan tidak harus dijadikan teladan bagi orang lain," katanya dalam satu kenyataan. -mk
|
BERS✔H 2.0: Rakyat Lebih Tahu Apa Yang Berlaku.. Posted: 19 Jul 2011 06:00 AM PDT Pakatan Rakyat secara konsisten mengalu-alukan tindakan polis mendedahkan salah laku peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang didakwa melakukan provokasi terhadap anggota polis. Namun menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, bukti itu tidak cukup untuk mengubah persepsi rakyat bersabit kekasaran yang dilakukan agensi itu kepada masyarakat yang berhimpun secara aman pada 9 Julai lalu. Justeru beliau menganggap kepimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) akan terus terputus hubungan dengan rakyat jika berterusan menunding jari ke arah kumpulan yang rata-rata terdiri daripada golongan pertengahan dan rendah menuntut reformasi pilihan raya. "Yang terus terhantuk ini BN sebab sampai sekarang masih belum jumpa satu jalan bagaimana untuk goncang keyakinan rakyat bahawa Bersih ini berjalan dalam keadaan aman dan berhasrat baik," ujar beliau. Dalam masa yang sama, Rafizi tidak menolak usaha pihak tertentu mencari jalan mencemuh imej perhimpunan Bersih seraya menutup tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh anggota polis pada hari kejadian. "Hakikatnya semua orang tahu yang turun (perhimpunan) Bersih itu berniat berjalan dengan aman. Kalau tidak kerana polis mengambil pendekatan keras dan kasar, perhimpunan hari itu adalah aman dan akan diingati sebagai perhimpunan yang berbilang kaum," tambah beliau. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini meminta polis menyegerakan siasatan rakaman video untuk mempertahankan tindakan kasar agensi itu terhadap orang awam ketika perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu. Katanya, gesaan itu dibuat bagi menangkis kecaman masyarakat termasuk media alternatif dan asing yang mendakwa polis bertindak kejam ke atas peserta-peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa. Muhyiddin sebaliknya menunding jari ke arah rakyat yang dianggap mencetuskan provokasi terhadap anggota polis selain melontarkan kata-kata kesat. Akhbar-akhbar pro kerajaan sehingga ke hari ini turut memainkan peranan menuduh peserta Bersih yang juga anggota Unit Amal, Abdul Razak Endut membawa pisau ketika himpunan itu dan bertindak membaling batu ke arah anggota polis menerusi sekeping foto pada 10 Julai lalu. Namun gambar itu ternyata satu manipulasi apabila Razak sendiri tampil menceritakan apa yang berlaku pada hari tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada akhbar terbabit. Mengulas hal itu, Rafizi berpendirian, taktik kuno Umno-BN dengan memanipulasi fakta dan imej untuk menghalalkan perbuatan kasar polis gagal memberi impak kepada rakyat. Ini kerana menurut beliau rata-rata masyarakat terdedah kepada sumber maklumat internet yang meluas sekaligus mampu menilai antara kesahihan dan penipuan. Katanya lagi, video yang disiarkan di laman Youtube merupakan hasil rakaman peserta-peserta yang hadir dan kebanyakkannya terdiri daripada rakyat jelata. "Sebab itu seperti saya sebut tadi kita tidak takut dengan propaganda BN sebab ceritanya terus bertukar tanpa bukti yang dibawa kepada rakyat," katanya. Jelasnya, walaupun terdapat segelintir masyarakat yang masih mempercayai propaganda Umno-BN namun ianya tidak akan merubah landskap politik Malaysia. Ini kerana menurut beliau, hampir 60 peratus pengundi atas pagar bergantung kepada maklumat alternatif selain media arus perdana. "Ada pepatah Inggeris berkata kita beri mereka lebih banyak tali, akhirnya mereka akan gantung diri sendiri. Dengan cara yang mereka buat sekarang, rakyat makin tidak yakin dengan BN sebab mereka menegakkan benang yang basah dengan jelas melalui media mereka," tambahnya lagi. -tvsnews |
Pemimpin PR Pulau Pinang Perlu Sentiasa Berwaspada Posted: 19 Jul 2011 04:30 AM PDT Pemimpin Pakatan Rakyat berkeyakinan dapat mengekal kerajaan negeri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata beberapa ahli Parlimen negeri itu hari ini. Bagaimanapun, menurut mereka kerajaan negeri perlu berwaspada dengan ancaman Barisan Nasional (BN) khususnya Umno untuk merampas negeri itu. Ahli Parlimen PAS Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sokongan semasa pengundi Melayu masih memihak kepada PAS. "Tetapi saya mengingatkan supaya kita jangan leka dan berfikir bahawa Umno dan BN tidak boleh merampas Pulau Pinang," kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. "Namun saya percaya rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan gembira kerana sebahagian besar janji pilihan raya telah dapat ditunaikan," katanya. BN sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan merampas semula kerajaan negeri Pulau Pinang dalam PRU ke 13 kelak. Bagi PKR, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik kepada rakyat walaupun berdepan dengan pelbagai halangan yang dibuat oleh Umno negeri. Oleh itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof menyifatkan hasrat BN merampas negeri Pulau Pinang dalam PRU akan datang sebagai mimpi di siang hari. Propaganda dan fitnah "BN hanya ada satu agenda di Pulau Pinang iaitu propaganda dan fitnah. Tetapi Pakatan Rakyat yang memerintah sejak tiga tahun lalu mempunyai agenda yang lebih baik dalam bidang ekonomi dan sosial. "Dakyah bahawa hanya Umno yang menjadi juara Melayu hanya omong kosong dan tidak boleh dipakai," katanya. Mengenai gangguan yang dilakukan oleh kumpulan tertentu terhadap kerajaan negeri, Yusmadi berkata, ia hanya kumpulan nakal yang membuat propaganda tetapi tidak akan bertahan lama. "Umpama bunyi petir yang kuat tetapi tidak ada hujan," tambahnya. Beberapa kumpulan terutama Umno dan Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang sering kali mendakwa kerajaan DAP meminggirkan orang Melayu. Bagaimanapun, Ketua Menteri Lim Guan Eng menafikan semua dakwaan tersebut. |
Hadi Selar Pihak Kritik PAS Sokong Ambiga Sebagai Buta Sejarah Posted: 19 Jul 2011 03:30 AM PDT Hadi: Pihak bantah PAS sokong Ambiga buta sejarah Islam KUALA LUMPUR, 19 Julai — PAS menyifatkan pihak-pihak yang membantah PAS menyokong perhimpunan Bersih 2.0 dengan alasan ia dipimpin oleh bukan Islam, Datuk S Ambiga sebagai buta sejarah Islam. "Nabi Muhamad S.A.W. menyertai perjanjian Al Fudul di Mekah untuk membantu mereka yang dizalimi ketika Nabi belum menyebarkan Islam. Dan Baginda berkata dalam satu hadisnya, sekiranya ia berlaku lagi (semasa sudah menyebarkan Islam), aku akan menyertainya. "Jadi berdasarkan sejarah ini, orang yang kata kat PAS itu tidak tahu sejarah Islam sebenarnya," kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dalam wawancara khasnya dengan Harakahdaily dan Harakah. Beliau mengulas kenyataan ramai pemimpin BN khasnya di kalangan pemblog Umno yang mempertikaikan PAS yang menyokong perjuangan Bersih 2.0 yang dipimpin oleh Datuk S Ambiga. Mereka membuat pelbagai dakwaan buruk terhadap Ambiga dan mengecam PAS yang menyokong dan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu. Turut menyertai perhimpunan itu dan ditangkap polis adalah Hadi sendiri yang terpaksa naik 'black maria' polis dan dibawa ke balai polis Jinjang. Selain beliau turut ditahan ialah timbalannya Mohamad Sabu dan dua naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar. Menurut Hadi, semasa Nabi belum menyebarkan Islam, bapa saudara beliau telah mengajaknya bertemu dengan para pemimpin Arab ketika itu di rumah Abdullah Al Judaan di kota Mekah. Ia turut disertai sama oleh Abu Jahal dan Abu Lahab iaitu dua pembesar Quraisy ketika itu yang banyak menentang perjuangan Islam yang dibawa baginda. Perjanjian yang dinamakan Al Fudul itu adalah bertujuan untuk mengikat janji bagi mempertahankan mereka yang dizalimi. Selepas sudah menyebarkan Islam, Baginda menceritakan peristiwa ini kepada para Sahabat Baginda dan berkata, jika perjanjian sebegitu berlaku lagi, Baginda akan menyertainya. "Saya yakin, Datuk Ambiga adalah profesional yang adil. Begitu juga Datuk Samad Said. Takkan mereka sama dengan Abu Jahal dan Abu Lahab. Jadi apa salahnya kita bersama-sama memperjuangkan kebaikan yang ingin dibawa oleh Bersih 2.0 pimpinan mereka," kata Hadi lagi. -TMI |
IKIM Yang Sepatutnya Keluar Dari Kepompong Remeh Temeh Posted: 19 Jul 2011 01:55 AM PDT Ikim: Pedulikan yang remeh-temeh Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan (gambar) berkata di sebalik isu larangan operasi pusat hiburan pada Ramadan di Kedah, umat Islam patut menumpukan perkara yang lebih besar. "Senario kita adalah menumpukan kepada perpaduan untuk majukan negara kita. Cabaran luar negara terlalu banyak, soal ekonomi. "Soal ekonomi yang merisaukan saya sebagai seorang ahli ekonomi. Kita jangan buang masa terhadap perkara-perkara yang remeh-temeh, mari kita teruskan (usaha) untuk membina negara kita," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini. Menurutnya, Ramadan bulan yang sangat mulia dan istimewa untuk meningkatkan spiritual umat Islam dan hormat-menghormati antara satu sama lain dalam masyarakat berbilang agama. "Jadi sudah pastilah, hak agama itu... mengapa kita nak menafikan, tetapi kita mestilah hormat-menghormati (antara satu sama lain)," katanya. Bagaimanapun beliau enggan mengulas secara terperinci mengenai keputusan kerajaan Kedah berhubung isu larangan kepada pusat hiburan kepada umat Islam dalam bulan Ramadan. Gesa ulama kuasai realiti semasa Bagaimanapun, beliau memberi contoh, sekiranya menetap berdekatan gereja, beliau tidak boleh memainkan musik yang kuat pada hari Ahad sebagai menghormati ibadat penganut Kristian pada hari tersebut. "Kalau nak main musik kuat, pergi tempat lainlah," tegasnya. Sehubungan itu, beliau yakin, masyarakat bukan Islam yang telah lama menetap di Malaysia memahami dan menghormati dengan masyarakat Islam. Sementara itu, Nik Mustapha juga menggesa ulama dan pemikir Islam menguasai suasana dan realiti semasa, khususnya dalam bidang sistem kewangan Islam di samping menguasai ilmu al-Quran. "Apa yang berlaku di Amerika, India, China dan Asean akan mempengaruhi di sini. Mengambil panduan al-Quran dan mengambil kira keadaan semasa, dan kita (boleh) gubal dasar. "Kita mesti menguasai perjalanan sistem semasa, baru kita boleh mengeluarkan ijtihad dan mengeluarkan pandangan. "Kita tidak boleh teknikal, mekanikal begitu (dengan merujuk) tulisan-tulisan (semata-mata)," katanya di seminar "Al-Quran dan cabaran pluralisme agama: Pengajaran masa lalu, keperihalan semasa dan hala tuju masa depan" di Institut Ikim. Sebanyak 10 kertas kerja dibentangkan dalam program itu. Ulasan GB Apa yang sebenarnya yang remeh temeh? IKIM yang sepatutnya keluar dari kepompong yang remeh temeh. Soal hedonisma yang melanda negara ekoran dari sistem jahiliyah moden yang dijalankan oleh pemerintah bukan isu yang remeh temeh. Tuntutan untuk dibersihkan sistem pilihanraya di dalam memilih pemimpin dan pemerintah negara bukan isu yang remeh temeh. Keganasan polis yang terpapar untuk satu dunia melihat baru-baru ini bukan isu yang remeh temeh. Soal ekonomi yang tersangat dipentingkan oleh IKIM rupa-rupanya. Sedangkan ianya telah dijawab oleh Allah s.w.t. firmanNya: وَإِذْ قُلْتُمْ يَا مُوسَى لَن نَّصْبِرَ عَلَىَ طَعَامٍ وَاحِدٍ فَادْعُ لَنَا رَبَّكَ يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنبِتُ الأَرْضُ مِن بَقْلِهَا وَقِثَّآئِهَا وَفُومِهَا وَعَدَسِهَا وَبَصَلِهَا قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَى بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ اهْبِطُواْ مِصْراً فَإِنَّ لَكُم مَّا سَأَلْتُمْ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَآؤُوْاْ بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُواْ يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعْتَدُونَ Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa, kami tidak sabar dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan kacang dalnya, serta bawang merahnya. Nabi Musa menjawab: Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu. Dan ditimpakan ke atas mereka kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mu'jizat-mu'jizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh. Surah Al-Baqarah : 61 |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan